Agaknya, sekitar jam 0500 pagi, saya tidak pasti samada ianya mimpi, ilham, suruhan atau kenangan yang berputar-putar, dua peristiwa berligar dalam benak fikiran saya saat saya sedang nyenyak tidur. Pertama, saya bertemu kembali dengan seorang teman lama di Jakarta. Teman ini, suatu ketika dulu sangat-sangat mengidam untuk ke Tanah Haram biar sekadar Umrah. Namun dia juga agak dalam dilema kerana tidak kecukupan wang untuk turut memperbaiki rumah ibunya yang sudah agak kurang selesa. Dia juga sedang menghadapi masalah dalam urusniaganya.
(2) Seboleh-bolehnya dia kepingin ke Tanah Haram pada tahun berkenaan juga atas sebab-sebab tertentu serta mahu memperbaiki rumah ibunya sebelum ke sana. Maka saya berkira, dia punya tujuan yang sangat murni, maka saya membantu dia untuk memperbaiki rumah ibunya atas niat sebagai wakaf saya buat kedua orang tua saya. Usul tersebut diterimanya, dan dia ke Tanah Haram tidak lama kemudian. Alhamdullilah, mungkin berkat ketulusan dan kesungguhannya untuk berusaha sekerasnya membantu isi keluarganya yang payah dan susah, di Tanah Haram kemudiannya dia meminta dengan penuh luhur saat berdepan dan menyerah diri kepada Allah, maka kini dia agak berjaya dalam hidupnya. Khabarnya, kakaknya yang pada masa itu sedang sarat dilanda kanser juga telah turut pulih.
(3) Anihnya, selepas saya ketemu teman dari Jakarta tadi, saya kemudiannya seperti melayang ke Nabawi. Sepertinya, seorang teman saya dari Kota Bharu sedang berada di sana, dan saya menyusul untuk mengambil foto bersamanya. Nan anih, saat melangkah ke dalam Nabawi saya dapati struktur dataran Nabawi tidak sebagai Nabawi tetapi lebih menyerupai Al Haram. Namun saya terus berjalan mencari teman saya tadi, lantas melewati Mimbar Rasullulah dengan hamparan permaidani terhias indah berwarna merah darah. Saya kemudiannya terus berjalan ke sebuah Taman dan Perkampungan. Paling celaru, Perkampungan ini, seperti dipenuhi dengan rumah-rumah orang miskin dan menyerupai rumah-rumah atas air masyarakat hanyut di Tasik Tonle Sap di Kambodia.
(4) Saat saya seperti sangat kehairan melihat suasana Kampung itu, maka saya terbangun lalu sholat bertanya kepadaNya apa maksud semuanya itu? Saat tafakur kepadaNya, dada saya terasa berbaur berat dan lapang. Namun saya tetap tidak pasti apa maksudnya. Lantas saya terus menyemak sekilas tafsiran Al Baqarah dan dari beberapa ayat, sebuah ayat memaku fikiran saya sejenak: ...Tidaklah kamu menyangka bahawa kamu telah berIman hanya dengan menghadap mukamu ke Barat atau Ke Timur, melainkan nilai Imanmu adalah terletak pada nilai KeImananmu padaKu, mendirikan sholat, mengeluarkan zakat, membantu fakir miskin dan yatim piatu, memberi kepada yang meminta.....
(5) Apakah mungkin Ayat ini ada kaitan dengan mimpi saya itu, saya tidak jelas. Namun saya beranggapan sebegitu, maka seterusnya saya bergegas ke kantor untuk berfikir dan merumus, bagaimana seharusnya pembelaan harus saya usahakan khusus buat ummah di luar bandar. Saya hanya mahu berusaha dan berdoa, agar saya punya kesempatan untuk menghulur tangan emas buat mereka di dua kawasan yang menjadi dendam kesumat saya sejak sekian lama.
(6) SubhanaAllah, mudah-mudahan saya berada dalam jalan yang sepertinya kehendakMu.
Matang Jaya, Kuching, Sarawak
4 Mei, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Dah sampai seru la tu, insyaallah.
Post a Comment