.

7/3/12 MEMBINA RUMAH MAMPU MILIK...

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 11, 2012

Share

& Comment


(Melayu yang hanyut dan melarat merempat di Laos, Siam, Chambodia dan Vietnam tanah tumpah darah mereka. Kita hanya tahu, tetapi tidak terbuat apapun. Rumah mereka di mana?)

Bila Allah menyuruh kita: Berjalan di muka bumi, dan menyaksikan segala kekuasaanNya…. maka banyak yang mentafsir betapa kita mesti patuh kepada perintahNya kerana apapun juga di semesta alam ini adalah ciptaan dan milikNya. Kita adalah manusia lemah. Dunia adalah pinjaman, tak sampai ke mana-mana akhirnya jika dunia yang kita hambat. Memang betul pendapat itu. Cuma celanya, pengertian mematuhi segala perintahNya pula sering ditafsir sebagai perlakuan penuh patuh sujud kepadaNya dalam sudut kerohaniah semata. Tetapi apakah kebenarannya terbatas hanya di situ?

(2) Bagaimana pula halnya dengan tujuan Allah menciptakan agar kita menjadi khalifah seluruh alam? Saat Adam telah tercipta, Allah bukan sekadar meniupkan roh ke dalam dirinya, tetapi Dia memberikannya akal agar dia boleh berfikir dan mencungkil ilmu melewatipengetahuan milik para malaikat dan syaitan. Jika kita berfikir dalam, pasti muslihat di sebalik semua ini, adalah manusia mesti berilmu dan ilmu itulah yang sangat ia perlukan untuk menjadi seorang khalifah. Taraf khalifahnya, pasti tergantung kepada taraf keilmuan miliknya.

(3) Hari ini saya ke Machang, Kelantan melihat sebuah Projek Perumahan yang sedang dijalankan oleh seorang sahabat. Dia bercita-cita untuk membina rumah yang bermutu dengan harga mampu. Saya juga kepingin, jika ada kesempatan akan membina rumah di Darul Hana dengan sistem yang baik dan murah agar rumah milik mereka di sana nantinya adalah jauh lebh besar dan selesa. Sistem yang dia sedang ujikaji adalah pre-cast system menggunakan teknologi Itali. Bahan yang digunakan agak mudah, ringkas, ringan dan lebih murah.

(4) Sistem yang digunakan berupa struktur tiga lapisan pre-cast di mana dikedua lapisan luarannya, kulitnya adalah lapisan konkrit yang diperkukuhkan dengan jaringan dawai khas, lapisan ini setebal 35 cm setiap satunya, dan ditengah atau intinya adalah polystrine yang khusus serta amat ringan. Pembuatannya adalah secara cement spray dan pembinaan bangunan dengan cara ini tidak memerlukan stuktur asas yang mahal. Kebaikan dari sistem ini adalah penjimatan dari aspek struktur asas, serta ketangkasan pemasangan berbanding dengan pengunaan batu bata dalam sistem pembinaan biasa.

(5) Melihat semua ini, fikiran saya menerawang. Pertamanya saya berfikir soal keselamatan. Kerana sistem ini adalah ciptaan manusia dan baru, pasti banyak kelemahannya. Namun, saya juga harus berfikiran optimistis kerana kos binaan kian melambung. Penduduk kita kian kembang dan besar kemungkinan kita akan menghadapi masalah perumahan yang sangat kritikal di masa depan.

(6) Saat terjengah-jengah meneliti sistem tersebut, saya terpandang pokok-pokok besar di keliling kawasan tersebut. Pokok, hakikatnya boleh berdiri kukuh kerana punya kulit yang sangat tebal dan keras. Lingkaran luar pohon biasanya adalah jauh lebih keras dari bahagian dalammnya, melainkan pohon-pohon yang sudah tua. Cuba lihat keratan rentas pohon tebu, pisang, kelapa, pinang, keladi, ubi kayu, jagung dsb semua bahagian tengahnya adalah empulur pith yang lembut, dan seluruh pohonnya adalah didokong oleh kulit yang tebal dan keras. Kalau kita lihat, bambu dan padi pasti lebih menakjubkan kerana di tengah-tengahnya adalah lompong.

(7) Makanya, penemuan pre-cast system yang diusahakan oleh teman saya ini, adalah suatu penghayatan yang bistari tentang ciptaan Ilahi yang berada di sekeliling kita. Dengan itu saya menjadi sangat yakin tentang keunggulannya. Namun, apa yang mendukacitakan adalah, para kafirun seperti lebih faham dan mengerti dari kita yang mengaku Muslimin tentang alam dan kekuasaan Ilahi. Sayang seribu kali sayang, seharusnya para malaikat tidak hanya mempersoal kejadian Adam atas zuriatnya akan merosakkan dunia, tetapi seharusnya dia juga mempersoalkan Allah betapa manusia itu akan terlalu banyak yang cetek pemikiran mereka.

(8) Berdasarkan kelemahan ini, saya sekali lagi dan akan terus mengajak sesiapa juga yang mengaku beragama Islam, perlu melihat Islam dalam keseleuruhan tuntutan agama itu. Islam adalah adeen, bukan religion lewat kacamata Barat. Kita mesti bangkit demi menyelesaikan kemelut yang bakal umat manusia hadapi nantinya. Inilah saya kira tuntutan ke atas kita yang punya ilmu agar terus berbakti dan beibadah kepadaNya lewat keberanian dan kelapangan hati tanpa dengki, tanpa iri, tanpa takut demi Allah semata-matanya.


Lapanganterbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu
11 Mac., 2012

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.