Inilah wajah-wajah ayu, yang jika Melayu tidak bergerak pantas, akan menjadi barangan jalangan di pinggir jalan seperti di Bugis Street Singapura. Tegakah kita?
Melayu mesti bangun. Melayu mesti menjadi hebat. Jika tidak, tidakkah mungkin sia-sia Allah mengesahkan betapa Islam itu adalah cara kehidupan yang sempurna bagi kita umat yang mengakui menganuti agama ini? Alangkah sakitnya, ruginya, saat kita memiliki yang sempurna namun kita tidak berusaha untuk memenafaatkan pemberian kesempurnaan itu. Tidakkah sama sikap kita, bila di beri tangan, maka kita lebih suka makan dengan kaki. Bila diberi otak, kita berfikir dengan buntut! Orang Kedah lama dulu berkata: ”Orang simpan otak ataih kepala, hang otak dok dalam pungkok!” Juga bila orang Jawa mengungkit: ”kok utek ea disekek neng selet?". Apa lagi kata orang Kelantan:”Tak guno otok”. Tulisan ini, sedikit mengupas sengketa otak dan hati yang sering membunuh Melayu!
Sikap Membunuh
Bila kita berbicara tentang keperluan bagi membangunkan bangsa Melayu, biar ada yang akan mahu ke depan, namun tidak sedikit keloh keasah yang perlu didepani. Ada saja tangan yang mahu menyentap ke belakang. Akan ada terbitlah gelaran Pak Turut, Kepala Batu, dan Batu Api. Kenapa? Sedikit waktu dahulu, saya sudah bilang, sikap kewaspadaan pada bangsa Melayu itu sangat hebat, jika kita mengerti maksud terselindung dari pribahasa-peribahasa berikut: Duduk dulu sebelum berlunjur; Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna; Burung terbang jangan dipipiskan lada; Sudah terhantuk baru terngadah; dsb. Namun, kenapa kewaspadaan itu seperti menjadi penghadang dalam langkah membangkit dan menghebatkan Melayu?
(2) Kewaspadaan itu pasti sesuatu yang sangat baik. Ianya adalah suatu keperluan dalam risk analysis. Cuma, apakah pribahasa-pribahasa itu tidak sekadar mengambarkan sifat kewaspadaan, tetapi turut juga melambangkan sikap prasangka yang tebal pada bangsa ini? Kalau ianya adalah suatu kewaspadaan, pastinya ada perhitungan-perhitungan yang boleh membawa bangsa ini jauh melangkah ke depan. Namun, bangsa Melsyu wajib menilai sikap kewaspadaan ini seitingan dengan peringatan Ilahi: …demi masa… seperti tersurat dalam Sural Wal Asri. Tetapi, jika ianya adalah prasangka, yang akhirnya mendorong kepada sikap cemburu, hasad, dan dengki pasti hasilnya adalah khianat dan kedurjanaan. Dalam prihal ini, pastinya, pribahasa-pribahasa: Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan; Biar berputih mata, jangan berputih tulang; Marahkan nyamuk, kelambu dibakar; Nila setitik, susu sebelanga habis rosak; dsb amat mendokong hadirnya sikap prasangka yang mengakar menunjang pada bangsa ini.
(3) Saya berkira, sikap waspada dan prasangka adalah dua sikap yang orang Melayu harus nilai dengan penuh hemah jika mereka mahu melangkah gagah ke depan. Pribahasa: Hangat-hangat tahi ayam; Kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari; dsb harus menjadi peringatan kepada semua, betapa ada satu lagi sikap orang Melayu yang amat membunuh, iaitu mudah mengalah atau berputus asa. Kerana sikap mudah mengalah maka terlahir konsep: Rezeki secupak tidak akan jadi segantang; Ajal, jodoh dan rezeki di tangan Tuhan; dsb. Jika ada yang mahu melawan pasti aka nada cemuhan: Kepala batu; melawan takdir, dsb.
(4) Makanya, pertamanya sikap prasangka yang seringnya melahirkan sikap khianat dan kedurjanaan, keduanya, kewaspadaan yang akhirnya menjadikan kita terlalu berhitung, sering jika ini terjadi pasti akan menimbulkan sikap membunuh ketiga iaitu putus asa. Banyak telah saya lihat, bahkan saya sendiri mengalaminya, termasuklah Dr,. Mahathir Mohammed, betapa putus asa akhirnya adalah sikap yang diterima oleh terlalu banyak mereka yang sebermulanya amat gigih untuk membela dan membangun Melayu, mereka akhirnya melayu, bila terlalu diasak dengan sikap prasangka dan kewaspadaan tidak bertempat!
(5) Hakikatnya, bila kewaspadaan, prasangka, dan menyerah kalah sudah menjadi melulu, sebetulnya hati telah menguasai diri kita. Akal menjadi mati. Maka, wajar kita kembali kepada peringatan betapa: Dalam diri manusia itu, ada seketul daging yang boleh menjernih dan atau merosakkan segalanya. Jika daging itu betul, maka betullah, jika tidak maka sebaliknyalah kudrat manusia. Daging itu adalah hati.
(6) Semasa Israk dan Mikraj, Muhammad dibedah dadanya lalu hatinya dibersihkan dengan air zam-zam. Mulai saat itu, Muhammad terus terpikul dengan 1001 kewajiban yang wajib dia tunjuk dan ajarkan bagi kebangkitan ummah yang suci dan mulia. Kita, umat Melayu dan Islam, tidak semua punya kesempatan untuk biar hanya mencuci muka di telaga Zam-Zam, namun, apakah perlu kita sesal akan ketidak upayaan itu. Marilah kita berfikir dan berusaha gigih cuba mengerti dan memperlakukan rahsia di sebalik pembersihan hati Muhammad dalam peristiwa ajaib Israk Mikraj.
Jalan Keluar
Biar apapun, terdapat segelintir anak-anak Melayu yang berjaya dalam bidang masing-masing. Sayangnya mereka ini hanya segelintir. Syed Mokthar, Azman Hashim, Hashim Ali, Ungku Aziz Omar, Rasdan Baba, Azhar Mansor, Sudirman Hj Arshad, dsb adalah sebahagian dari mereka. Mungkin sebegitulah kehendak Ilahi, atas tujuan dan muslihatNya yang MahaMengetahui. Manusia berjaya dan terhormat jumlahnya hanya sedikit. Inilah mereka yang berpegang pada konsep pribahasa-pribahasa: Gengam bara api, biar sampai jadi arang; Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit; Berjagung-jagung dahulu, sementara padi masak; Kalau tidak dipecahkan ruyungnya, manakan dapat sagunya; Tiada rotan, akarpun berguna, dsb.
(2) Dalam lawatan saya ke Kelantan minggu lepas, saya bersyukur dapat bertemu dengan seorang hamba Allah bernama Datuk Halim Hamat yang memberikan saya sedikit lowongan dalam menyediakan penyuluh bagi bangsa Melayu. Katanya: ” Orghe Melayu kito ni, terutama sekali oghe Kelate, sapopun nok naik, mesti kena cantas dulu. Kena cas keting dulu. Tapi bila kita buak kerah palo, oghe cantas atau cas keting lagu manopun tapi kita tetap lawe, kito berjaya, lepah tu gak, hok dok busuk hati denge kitopun ake semboh kita. Contoh dio, aci tengok Ibrahim Ali, Annuar Muso…mulo-mulo semua pakak nok bunuh puok-puok ni, loni puok dia doh berjayo, berebut pakak nok cium tange!”
(3) Hakikatnya, seorang Melayu yang hendak berjaya, benar-benar berjaya, dia mestilah bekerja jauh lebih kuat dan bijak dari kaum lain. Orang Melayu, untuk mendapat penghargaan dan pengiktirafan dari bangsanya sendiri mesti sanggup membuktikan dia boleh berkerja jauh lebih kuat dan bijak dari kaum lain. Suatu ketika, saya pernah disodorkan dengan ungkapan: Orang Melayu biar banyak mana jasanya, namun belum pasti dia dapat gelaran Datuk. Kaum lain, ‘kipas’ saja, gelaran Datuk bersepah untuk dipilih! Buat segelintir yang berani menyahut cabaran ini, mereka menjadi sangat berjaya. Hakikatnya, kebanyakan bangsa Melayu, hanya menghargai yang sudah tiada.
(4) Pandangan saya, Muhammad perlu dibedah dan dicuci hatinya dengan air zam-zam sebelum dia berangkat menerima perintah Ilahi bagi seorang itu dapat disempurnakan Islamnya. Penyuician hatinya adalah bagi menetapkan pegangannya terhadap janji dan kudrat ilahi yang bakal dia tempuhi. Dalam Israk Mikraj, Muhammad dapat melihat syurga dan neraka secara nyata. Maka, salah satu kewajipan yang diperakui sangat berat untuk umatnya adalah Sholat. Kesempurnaan sholat itu menuntut 1001 macam sifat dan prilaku yang sempurna. Dan pembalasan dari segala kesempurnaan itu adalah kebahagian mutlak di syurga. Apakah ertinya semua ini?
(5) Saya bukan pakar dalam tafsiran Islam, namun pengertian dari pemikiran saya yang sekelumit, ini semua jika kita umat Melayu mengerti, betapa, yang payah dan berat jika diperbuat dengan sempurna, maka ganjarannya adalah hadiah sejahtera yang mutlak. Itulah apa yang dapat saya lihat dari rahsia Israk Mikraj serta penurunan perintah Ilahi terhadap perkara-perkara wajib dalam Islam. Segalanya adalah payah namun kesungguhan dan keikhlasan menjadi alah bisa tegal biasa.
(6) Makanya, kejujuran, keikhlasan, kesungguhan demi berbakti kepadaNya, dalam bahasaNa, segalanya demi Allah, atas keyakinan mutlak kepadaNya, dalam kita membina bangsa Melayu yang gagah, adalah obat kepada hati yang melulu sifatnya dalam perimbangan kewaspadaan, prasangka dan putus asa.
Matang Jaya, Kuching
5 Mac., 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment