.

15/1/12 JIKA KAU SANGSI....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - January 24, 2012

Share

& Comment


Teman, sudah lama kita tidak berkhabaran. Bukan aku menyisih. Bukan aku menyepi. Payahku, terketar-ketar jari-jemariku untuk melukiskannya. Dukaku pedih, dadaku payah untuk serasi dengan fikiranku.


Seketika itu, saat kita bersama, telah kukatakan, betapa Amir Hamzah begitu lirih melukis syair buat Siti Nurbayah: Nurbaya, kerana besok aku akan meninggalkan Kota Padang ini, akan pergi ke rantau orang, entah kembali entah tidak, sebab itu pada sangkaku inilah waktunya aku akan membuka rahsia hatiku ini. Ketahuilah olemu, Nur, bahawa aku sangat cinta kepadamu. Cinta itu telah lama aku sembunyikan dalam hatiku, sekarang baru aku bukakan, kerana sangkaku, rahsia itu harus engkau ketahui sebelum kita berpisah. Siapa tahu barang kali tak dapat aku kembali lagi, tak dapat kita bertemu pula. Jika tiada aku bukakan rahsiaku ini, pastilah menjadi sebagai duri dalam daging bagiku terasa-rasa sebilang waktu….”

(2) Sesungguhnya, pantun Syair Siti Nurbayah, juga setulusnya dariku: ”tinggi-tinggi si matahari, anak kerbau mati tertambat, sudah lama aku mencari, baru sekarang aku mendapat” adalah untaian yang harus engkau ingati.

(3) Teman, saat sebermulanya, sebagaimana ketakyakinanmu padaku pada pertemuan kita itu, berat langkahku. Rantai kapal Titanic rasanya membelenggu kakiku. Berdolak dalik fikiranku. Haruskah saja dekat padamu, agar terus wangi taman kita; atau terus mencarinya aku, menjadikan lautan batas sempadan yang menghacurkan?. Namun hatiku teguh menggerak pergi. Kusanding galas sebuah impian, mencari yang putih jadi pegangan. Hitam hatiku mahu kujernihkan. Kelabu fikiranku mahu kutembus terang. Di dadaku, mahu kutanam penuh kejernihan, kerelaan, keihklasan; tiada dengki, tiada iri, tiada dendam. Aku ingin menyapu yang hitam dan kelabu dengan yang putih jernih. Juga aku bermimpi, jari-jariku, akan melukis sebuah potret mawar merah menghias mengharum kamar, tanda syukur atas kembalinya aku. Lantas` kita akan raikan jalanan panjang seterusnya, atas kemurnian cita-cinta bersama.

(4) Sekian waktunya aku di sini, di kejauhan ini, semua keenakan telah kulepaskan. Aku tidak lahir di syugawi. Aku lahir di bumi ini. Aku ingin pulang di bumi nyata, berpijak padanya. Selalunya, tidur nyenyakku dikasur tilam lembut; kini berganti berlapek tikar mengkuang, di atas lantai-lantai papan mengerutu. Sakit kulitku bukan kepalang. Lenguh seluruh tubuhku. Selimutku adalah kedinginan alam. Menyerbu dari celahan rekahan dinding yang bermata-mata. Menusuk menikam ke sum-sum tulang. Bibirku bergetar. Tubuhku bergoncang. Mataku susah untuk pejam.

(5) Mandian hangat saban pagi dan malam; kini, saat air mengucur jari-jari kakiku, gigiku bergetaran, berirama ngak karuan. Makan semahunya kapanpun juga; kini, yang ada adalah selambak nasi dan ikan yang sudah mati bertahun-tahun jadi asin. Minumanku apa saja jadi pilihan; kini hanyalah segelas air gunung yang dinginnya percuma. Sayur mayor jadi mimpi. Daging, jauh pangang dari api. Kembalilah aku seperti aku sebelum lahirnya aku. Entah kapan, belum pernah kutemui sepayah ini.

(6) Fikiranku goyah. Badanku mulai rebah. Jalananku jadi tidak tegap. Dadaku bertanya: ”Bisakah aku bertahan?. Fikiranku sudah gundah dan bersoal banyak:” Haruskah aku menyiksa diri? Haruskah aku melalui semua ini? Tidakkah sedang tertawa nyaman semua mereka itu?”. Hatiku tetap hatiku: ”Langkahilah semuanya. Hadapilah segalanya. Maju terus biar tembus ke padang pasir, lebih baik mati sebegitu, dari undur tunduk bagai celeng melangkah malu.”. Suara hati dan fikiran, bersatu, paling payah.

(7) Teman, semuanya, dalam hatiku, telah kutetapkan, di tanganku nanti akan kupersembahkan dua kuntum mawar: merah dan putih. Kedua-duannya adalah untukmu, agar terus kau pertahankan segarnya, buat mereka. Siapa mereka? Kubiarkan saja masa menjawapnya. Cuma, tetap hadirlah bersamaku!

(8) Aku sudah bertatih. Melawan segala. Berdiri dan mulai berlari. Saban pagi kubawa tubuhku menantang alam. Ke gunung dan ke lurah. Ke desa dan ke kota. Terjunan air dingin kuselami. Hembusan angin gunung kudepani. Biang-biang ilalang tetap kuterjah. Banyak wajah kutatapi. Kerdip duka juga riang, semuanya aku sebak. Suara bicara, tertawa atau tangis, semuanya kuamati. Pada semuanya kucari segala pengertian tentang hari muka. Yang kelam atau cerah. Yang basah atau kering. Yang putih atau hitam. Alhamdullillah, sebahagiannnya aku telah mengerti. Tiada putih, tiadalah hitam. Tiada hitam, tiadalah putih. Keduanya terpisah tidak. Keduanya adalah satu. SubhanaAllah, betapa terlalu luas hamparan bakti belum tertunai. MasyaAllah, betapa kerdil diriku ini.

(9) Teman, malam kelmarin adalah pekat gelita. Aku merenung ke langit. Tiada rembulan. Tiada bintang. Segalanya sepi. Angin pun mati. Sesaat, halilintar berdentum memanah. Aku rebah tersandar. MasyaAllah, aku terluka di dalam. Jantungku berderai. Darahku membeku tidak meruah. Dadaku perih menahan gumpalan. Benar-benar aku terngadah pedih untuk bernafas.

(10) ”Kau tikam aku dengan parah”! Kenapa? Bukan halilintar yang datang menyambar, pada malam kelam itu, melainkan kata-katamu mengenyah aku. Bagai Jebat bungkam di tangan Tuah. Lok 11 Taming Sari merobek dadanya. Pedihnya bukan kepalang. Mengucur darah ke seluruh kota dan desa. Langit jadi kelam. Sungai melimpah menadah segala tangisan. Semua pepohon jadi kaku. Kota Melaka roboh menyembah bumi. Papan di Jawa didiri sekadar penganti. Namun, aku termanggu pedih sendiri.

(11) Teman, kembalikah aku? Akan berdiri lagikah aku? Mampukah untuk aku tetap berjalan? Sepertinya, aku hanya mengerti akan betapa kita ini seharunya tetap putih dan hitam, lalu berbicara sekilasnya padamu, namun aku seperti tidak mampu menghayun tubuhku mendasari keputihan dan hitam itu.

(12) Teman, saat Amir Hamzah terpaksa tunduk pada darjat, sebagai rasanya dirimu padaku, hatinya tetap hiba dan engkau dengarkanlah madahnya:

”hanyut aku, kekasihku!
hanyut aku!

(h)ulurkan tanganmu, tolong(lah) aku
sunyinya sekelilingku!
tiada suara kasih, tiada angin mendingin hati, tiada air menolak ngelak (dahaga),
dahagakan kasihmu, hauskan bisikmu, mati aku sebabkan diammu.
langit menyerkap, air berlepas tangan, aku tengelam,
tengelam dalam malam,
air di atas menindih keras,
bumi di bawah menolak ke atas,
mati aku, kekasihku, mati aku!


(13) Jika engkau masih sangsi, betapa hati yang hancur mematikan jasad, maka aku hamparkan kepadamu betapa akhirnya Chairil Anwar pergi cepat penuh sendu:

aku tak bisa tidur
orang ngomong, anjing ngonggong
dunia jauh-mengabur
kelam mendinding batu
dihentam suara bertalu-talu
di sebelahnya api dan abu

aku hendak berbicara
suaraku hilang, tenagaku terbang
sudah! tidak jadi apa-apa:
ini dunia enggan disapa, ambil peduli
keras membeku air kali
dan hidup bukan hidup lagi

kuulangi yang dulu kembali
kuulangi yang dulu kembali
sambil bertutup telinga, berpicing mata

menunggu redha yang mesti tiba


nota: Sumber syair dan sajak dari Amir Hamzah, Pangeran dari Seberang oleh Nh. Dini dan Kerikil Tajam dan Yang Terhempas dan Yang Putus oleh Dian Rakyat

kota bandung, indonesia
24 jan., 2012

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Bayu Senja said...

Saudara Abdullah
Kehidupan itu bukannya mudah,terutamanya bagi mereka yang tidak mahu ambil jalan mudah kerana di sebalik lingkaran dan onak duri yang perlu dilalui ada penghujung yang indah, apa mungkin dapat dirasai kenikmatannya, itu bukan ketentuan kita. Seperti ada nya cuma satu cendiakawan, satu pahlawan agung, satu pemerintah zaman silam yang ternbilang pada satu ketika dan zaman, seperti itu juga akan ada penghujung yang membawa sirna kebahgiaan dan kegemilangan saudara, bukan untuk dibanggakan tapi untuk kepentingan masyarakat sejagat.Sepertimana saudara perlu buat sesuatu dengan bersungguh sungguh, sepertimana saudara perlu hidup untuk kepentingan orang lain dan pada masa yang sama tidak memperdulikan hal orang lain, seperti itu juga pengakhiran akan membuahkan hasil dari perjuangan yang penuh erti dan ikhlas. Moga ita bisa sama sama mengharungi semua yang datang dengan cara kita sendiri, dan semoga kita dipertemukan di satu titik persimpangan bagi tujuan memertabatkan bangsa kita yang masih daif ini.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.