.

2/11/11 BICARA DUA ZAMAN...

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - November 03, 2011

Share

& Comment


Saat tidak enak sebegini, ada keinsafan yang mendalam. Menyucuk dan menerpa-nerpa bagai gigitan semut api. Menjadikan kuinsaf dan sadar. Insaf buatku sujud dan menangis. Berdoa. Alahai, berdoa? Makanya? Ah biarlah aku menangis dan menjerit. Biarlah aku lakarkan dua lakunan dari dua zaman. Mungkin ngak memuaskan, mudah-mudahan akan mengetarkan.

Jatuhnya Melaka:

Tirai di buka. Asap-asap putih dan merah berbaur. Rebana di palu: dom....dom...dom..perlahan berirama. Lalu berlarian manusia-manusia hitam dalam lingkaran kepulan asap. Rebana jadi kencang. Kencang. Membingit. Pentas Rakyat. Jatuhnya Melaka. Penonton bertepuk menyambut.

(2) Rakyat sudah kebinggungan. Ribut Jebat mengamuk belum usai. Ada dentum gempita dari laut luas. Hari tidak mendung. Kilat tidak memanah. Tiada angin dan ribut. Dentuman apa itu? Tiba-tiba, bola-bola berat meledak melayang mematah kelapa, memecah dinding. Semua seperti hairan. Bola besi. Sebesar kopekan kelapa. Masa mungkin ada anak jin bermain lastik. Kalau di kampung, orang melastik hanya dengan gintilan tanah-tanah dikeraskan. Ini, bola-bola besi, hitam, berat. Tidak terangkat biar dua orang paling gagah sekalipun. Musibah apa sedang mendatang? Semua tertanya-tanya? Saling melihat.

(3) Tiba-tiba berdiri manusia anih. Bertopi lebar. Terselit bulu ekor ayam jalak di belakang topinya. Tidak. Itu bukan bulu ekor jalak. Itu bulu ekor merak. Wah topinya saja sudah hebat. Lihat tubuhnya. Besar. Tinggi. Orang kampung paling besar dan tinggipun jadi kemetot. Ah. Jinkah itu? Tidak. Kalau jin, pasti pakai cawat. Pakaiannya indah sekali. Hitam. Dua lapis. Berjubah. Hajikah dia? Bukan. Kalau Haji pakai kupiah kalau tidak serban. Dia pakai topi. Tangannya bersarung. Kakinya bersalut. Jari-jari dan kukunya tidak kelihatan. Pasti dia bukan jin. Jin, tangan dan kakinya telanjang. Agar tampak bulu-bulunya lebat dan menakutkan. Sudah pasti dia bukan jin.

(4) Oh Tuhan. Dia menghunus pedang. Dia membidik sepotong besi. Dorrrr. Ayam tergolek saat di gedorrrnya dengan sepotong besi itu. Besi apa ya? Orang Kampungpun ada besi. Tetapi, ayam perlu dikejar, ditangkap dulu, baru besi orang Kampung boleh mematikannya: menyembelih. Ini, tidak usah ribut-ribut, tuding saja, dorrrr, ayampun mati. Bagaimana kalau dituding pada manusia, orang Kampung? Dorrrr, apa mungkin tergolekkah dia? Siapa mahu cuba?

(5) Penghulu bergegas datang. Temenggong sudah di maklumkan. Dia si tua uzur datang bertongkat. Berjingjit-jingjit. Sultan biarkan. Dia masih anak yang belum tahu apanya. Hulubalang, semua sudah bergelimpangan. Jebat mengamuk sebulanan. Semua saudaranya sudah mati tertikam. Tuah kecewa membawa diri ke hutan. Kembali menjadi penghulu segala Jakun mungkinnya: "Jebat, aku tahu setiamu padaku. Aku mengerti kesucian hatimu. Namun antara Raja dan sahabat, adindaku Jebat, aku terpaksa derhaka kepada engkau. Lekir, Likiu, dan Kasturi telah semuanya gugur bersamamu, demi aku. Raja juga sudah kau bungkamkan pergi. Siapalah aku Jebat, tanpamu, tanpa Raja, tuanku. Aku jadi hulubalang tanpa Raja, tanpa panglima*. Aku sendiri. Tiada tuan. Tidak berlima."

(6) Si Jin ini, kulitnya hitam. Rambutnya ikal, panjang. Hidungnya mancung. Ah kita namakan saja dia Keling Hitam perhitung Temenggong. "Apa, kemu penggil saya Keling Hitam. Saya Portugis. Portugis. Bukan Keling". Wah dia boleh berbicara Melayu. Apa bisa ngomonmg jowo mas?. Orang Kampung tertawa. Dia menghunus pedang di tangan kanan. Mengusap-ngusap sepotong besinya pada jengotnya yang panjang berjurai lebat dengan tangan kiri. Leher Penghulu dicarinya. Ya Allah, penghulu sudah terketar-ketar. Sudah mahu terkencing rasanya. Dooorrrr, seekor tupai terguling dari pelepah kelapa. "Aduh, mati aku. Maaf. Maaf kami. Kami tidak tahu Tuan siapa? Maaf kami. Tuan datang tak bagi salam". Penghulu menyembah. Temenggong menyembah. Semua orang Kampung menyembah. Semua tunduk tidak kuasa bertantang mata. Tunduk. Tunduk. Ketakutan. Ada titis-titis mata tergetar berguguran.

(7) "Salam. Apa iyu salam? Itu tembak meriam adalah salam. Salute. Ini pistol. satu dorrr, kamu bek mati". Mata penghulu terkebil-kebil. Temenggong hanya berdoa: "Ya Allah. Bala apa datangnya ini. Tidak sudah-sudah. Ambil saja nyawaku. Aku sudah tidak tertanggung". Doa atau paksa pinta? "Kemu, tadi panggil saya apa? Tuan? Ya Tuan. Sedap panngilan itu. Sekarang saya tuan. Tuan. Ya tuan". lalu dia mengoncang-goncang pedangnya. Menghidu bau asap yang keluar dari potong besinya. Heran. besi itu tidakpun dibakar. Ada asap. Ajaib. Ini Potugis ajaib.

(8) "Kamu tahu apa nama ini?", tanya Portugis, sambil menuding kepada Pengulu?
"Ini pistol. Dorrrr, mampus! Mahu?" tengkingnya. Penghulu terketar, dia terkencing, dia semput. Rakyat sujud. Rakyat meraung. "Jangan Tuan. Jangan apa-apakan kami, Hamba Tuan". Portugis naik minyak:"Apa? Kamu siapa? Saya siapa?", bentaknya. Temenggong memberani diri. "Kami hamba. Hamba Tuan". Portugis mengurut jenggot. Membuka dada. Meliar mata. Berjalan gagah. Gedorrr sana gedorrr sini. Anak-anak bertangisan. Ibu-ibu jadi pucat seperti lepas melahirkan. "Bagus. Kemu hamba. Saya Tuan. hamba dan Tuan. Satu kerdil satu Besar! Bagus" keling Putihpun ngundur. Rencana mahu perang. Tunjjuk garang saja, Melayu sudah kegagapan. Pistol baru mengorbankan ayam dan sang tupai saja mereka sudah tunduk. Melaka, kita tukar saja jadi Malacca. Itu baru betul. Itu baru bisa kita sebut dengan sempurna.

Aku:

Zamannya kini. Tirainya, adalah pentas kehidupan ini. Penontonnya adalah kita semua. Dan segalanya sudah jadi lipatan sejarah. Sejarah yang tidak ada makna. Tidak usah di lihat lagi. Jauh sekali harus kita meneliti. Apa ada padanya? Gahnya sudah pergi. Jika ada apa ada faedahnya? Hati-hati manusia Melayu kian sepi dari sejarah sendiri. Kian menyisih dari masa lalu. Ya untuk apa di kenang? Untuk apa diingat? Kita sudah begini, ya sudah. "Mau ke depan kek, mahu ngundur kek, masa bodoh sendiri" bilang orang Jawa yang sama saja ragamnya. Uletnya sudah juga punah. Kentalnya sudah juga melayang. Teganya kian berjela-jela. Tegarnya sudah lama hanyut: "Mosok goblok dewe. Biarin!".

(2) Di sepohon kelapa tua, di pinggir kali duduklah aku anak Kampung yang berfikir dan merenung: "Jebat, kenapalah engkau derhaka pada Raja. Tuah, kenapalah engkau buta pada sahabat. Hanya kerana Raja yang menganugerah tahta, maka kau lupa pada keringat lima bersaudara yang mengucur menjadikan engkau sebegitunya. Yang di tangan engkaupun Raja terliur. Kau lepaskan hanya kerana dia Raja. Tuah, jika itulah sifat hulubalang Melayu, pasti segala Melayu akan melepaskan semua milik mereka, jika di mahukan oleh sesiapa. Temenggong, bijaksanamu sudah mati bagai tubuhmu nan kering. Biar sudah bongkok, tetap juga kau masih mahu jadi Temenggong. Apa bedanya engkau dengan Tuah. Sudah tua nak mampus, masih juga mahu duduk di situ. Untuk apa? Biar kepunahan terus berluasa? Ya, itulah akibatnya, kita semua jadi begini."

(3) Biar aku bertepik. Biar aku menjerit. Tidur semua biar jadi ngak enak. Senyum kalian jadi terhenti merenung. Kita. Apa telah kita perbuat? Kita apa telah kita siasat? Kita, apa telah kita persiapkan. Segalanya kendiri. Kita saling khianat. Islam mengikat kita. Namun Islam sekadar sepak raga. Tiada kita mengerti apanya, sebenarnya. Islam kita saat mati. Islam kita saat cukuran. Islam kita saat sunatan. Islam kita saat pernikahan. Islam kita saat korban. Selainnya, entah kemana? Namun segalanya WYSI(N)WYG. What You See Is NOT What You get.

(4) Islam kita tidak pada daya fikirnya. Islam kita tidak pada tulus, ikhlasnya. Islam kita tidak pada kental, tegar kerjanya. Islam kita tidak di mana-mana. Aku bertanya pada diri ini, di mana aku dalam Islamku?

(5) Tuhan, semoga aku bangkit dari luka ini, meniti Jalanan Muhammad iklhas, luhur segalanya. Bantulah aku. Bantulah semua teman-temanku. Bantulak kami yang mahu sebegitu. Semua.

nota:
Mengikut firasatku, istilah panglima itu asalnya adalah dari Hang Lima. Kalau hanglima, kurang enak, lalu diganti panglima.


matang jaya, kuching
3 nov., 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.