20/7/11 PIDATO DI MACHANG
Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 23, 2011Semasa saya di Tingkatan Dua, dalam tahun 1974, semasa belajar di Kuala Krai, saya telah dipilih untuk mewakili sekolah dalam pidato Bahasa Inggeris. Tajuk yang diberikan kepada saya adalah: If I Have A Million Dollar. Pidato pertama saya adalah lawan antara Zon bagi Jajajahan Machang dan Ulu Kelantan. Sebetulnya, itulah permulaan latihan bagi saya untuk meloloskan diri dari kepompong rasa malu dan takut untuk bercakap dikhalayak ramai. Acara pidato, kalau tak silap di adakan di SMK Hamzah Machang, Kelantan, sebuah sekolah yang jauh lebih hebat dari tempat di mana saya belajar ie SMR Kuala Krai.
(2) Hari ini, saya kembali ke Machang, kebetulan untuk ketemu seorang teman. Naik teksi menggunakan jalan pilihan Mata Ayer-Kemubu bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Krai-KB di Ketereh terutama bila di hujung minggu akibat Pasar Minggu. Di sepanjang jalan ini, banyak rumah-rumah Melayu lama yang uzur tetapi khazanah yang kian meruntuh. Mungkin dengan tertubuhnya Amanah oleh Tengku Rezaliegh Hamzah, maka warisan ini akan dapat dihidup dan diperkayakan semula. Harap Amanah bukan lagi hanya suara politik untuk politik. Melayu pada dasarnya perlukan kepemimpinan yang lebih luas dari hanya berpolitik.
(3) Di pekan Machang saya cuba bersiar-siar sambil menanti kedatangan teman saya, dan terasa amat mengamit nostalgia. Dulu bila bercakap pasal tajuk pidato, hujah saya pada masa itu adalah bagaimana wang sejuta dollar itu dapat digunakan secara berterusan. Pokoknya, pada usia 14 tahun saya sudah berfikir untuk melihat bagaimana saya harus boleh membantu mereka yang tiada pekerjaan dan tiada pendapatan baik untuk hidup dengan baik. Pada masa itu, saya berhujah, dengn sejuta dollar saya ingin membuka lading dan menyediakan peluang pekerjaan kepada banyak orang. Dari sana juga saya bercadang untuk terus berkembang. Anihnya, sebetulnya, saya tidakpun tahu apa sebenarnya ladang, dan ladang apa yang ingin saya buka. Saya cuma berhujah.
(5) Menahan rasa tak sabar, kerana janji jumpa jam 11.00, biar saya sudah tawaf Machang sebanyak dua kali, dia masih juga belum datang. Akhirnya, jam 11.30 baru ketemu di KFC. Orang Melayu, biar telah berpendidikan tinggi juga telah merantau sampai hampir ke bulan, namun menghargai masa masih sangat tidak diperdulikan!
(6) Dari jendela KFC Machang, saya jadi terpegun bagaimana Allah seperti telah mendorong saya sejak lama dulu untuk punya ilham sebegitu. Kini, setelah mengemudi Organisasi pimpinan saya, baru saya sedar, betapa apa yang saya lakukan kini adalah pidato saya di Machang. Sekurang-kurangnya saya, biar sudah menuju akhir jalanan bakti, saya telah menyedari tujuan hidup saya sejak saya masih anak-anak lagi.
(7) Ngobrol bersama teman, kami meleret kepada soal masalah kerjaan anak-anak di Kelantan. Negeri yang dipegang PAS, kerjaan untuk rakyat adalah soal kedua. Soal pertama adalah Kelantan mesti diperintah PAS. Soal kebajikan rakyat, rakyat harus boleh mencari jalan sendiri. Untuk memerintah, PAS perlukan bantuan rakyat. Selepas dapat memerintah, rakyat tidak perlukan bantuan PAS. Isu You scrape my back, and I’ll scrape your back tidak timbul. Soal masalah anak Kelantan yang engan hijrah juga menjadi perkara pokok terhadap penawaran kerja di sini. Soal hijrah, saya kira bukan hanya soal berbindah, nampaknya ianya juga mencakupi soal hijrah pemikiran dan sikap.
(8) Saya kemudian ke Pasar Machang, saya membeli anak ikan tamban kering. Harganya agak murah dan rasanya pasti enak kalau dibuat sambal goreng: cili hidup, bawang merah, bawang putih, sedikit halia, tomato, semuanya digiling lumat, lalu kemudian digoreng bersama anak-anak ikan tamban. Inilah bakal juadah sahur saya di sepanjang puasa nanti.
Kota Bharu, Kelantan
23 July, 2011
#Abdullah Chek Sahamat
Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment