19/7/11 TOK GURU GATEH BASIKAL....
Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 23, 2011Mendarat di l/terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu tepat jam 23.40. Dengan menyewa sebuah kereta sewa, terus meluru menyusur jalan keliling l/terbang. Di Kelantan, kita harus hati-hati bila menempah teksi. Silap-silap, beca yang datang, kerana di Kelantan, teksi adalah beca dan teksi sebenar adalah kereta sewa.
(2) Saat menyusuri jalan keliling jalan l/terbang, agak hairan melihat banyak kereta berhenti di tepi jalan di samping para remaja dengan berbasikal yang beranika warna tayarnya. Saya bertanya:"Ada bosia atau lumba haram ke?" kepada pemandu teksi.
(3) Jawab pemandu teksi:"Kelantan dah jadi balik asal bang. Di sini tak ada hiburan. Sekarang main bola pakai stadium. Dulu padang bola biasa saja. Bila ada main bola, semua orang akan datang menonton. Remaja perlukan hiburan. Sekarang, semua itu sudah tidak ada, jadi mereka datanglah ke sini tengok pesawat turun naik. Sampai tengah malam. Kereta pakai cermin gelap. Lelaki perempuan. Remaja semua berpesta".
(4) "Beberapa bulan lepas, berbasikal dah jadi suatu perkara baru. Tok Guru ajak budak-budak naik basikal untuk senaman agar sihat. Tok Guru gateh basikal, Kelantan sihat. Peleknya, yang naik basikal semua anak-anak Melayu. Yang jual basikal orang lain. Yang keluar duit Melayu, yang dapat duit bukan Melayu. Itu tak apa, dari petang sampai tengah malam naik basikal. Belajarnya tidak. Macam ragam. Lelaki perempuan. Seksi pulak setengahnya. Anak Cina, dia orang tak naik basikal, mereka pergi kelas Taekwan Do. Mereka berenang. Mereka pergi tuisyen. Mereka jadi lebih baik. Anak-anak kita, entah. Dulu masa saya kecil, kita naik basikal ke sekolah. Sekarang mereka tak mahu, mereka naik motor. Basikal hanya untuk suka-suka. Malu naik basikal ke sekolah. Berseronok tak malu pula naik basikal. Pelek." sambung beliau meleret sehingga ke soal bahasa, soal segala kepelekan anak cucu Cik Siti Wan Kembang.
(5) Semasa melewati baris-baris kereta yang tersidai di pinggir jalan l/terbang, kebetulan sekumpulan lelaki berjubah putih dan beberapa pajero sedang berhenti sama:"Itu JAIK (orang Sarawak kena hati-hati dengan sebutan ini!). Tenmgah buat operasi tangkap khalwat", jelas beliau seterusnya tanpa di minta. Saya buat-buat tak mengerti bahasa Kelantan agar dia terus seronok berceloteh dalam Bahasa Luar.
(6) Saya kemudian melewati Masjid Muhammadi. Kepingin singgah tetapi pagar sudah tertutup rapi. Kerana celoteh Pak Supir agak menarik, elok juga saya tuliskan agar esok saya tidak buru-buru menghadap PC. Saat saya menulis ini, sambil menjengah ke luar kamar, di jalan masih kelihatan anak-anak berkeliaran berbasikal. Alamat tak lama lagi Tok Guru kenalah buat fatwa lain pulak.
Kota Bharu, Kelantan
23 July, 2011
#Abdullah Chek Sahamat
Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment