14/7/11 LANGKAH PENDEK DAN PANTAS (ii)
Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 19, 2011(Bangsa kita, saat orang mengapai langit, kita sekedar menghitung hari kapan mau pulangnya. Apa ada antara kita setakat mungkin enak muter-muter di kerusi empuk kerja sekerasnya, namun tetap kita sebagai sebuah bangsa yang dilihat dengan mata terpejam kalau tidak diludahi!)
Berbekalkan seteguk air jernih, dalam lenguh yang susah mahu meluruhkan diri, aku di seawal subuh (18 Julai, 2011) merangkak merentas kesunyian, dalam baris-baris bersama semua yang mengejar kehidupan, kemudian memanjat dalam kurungan bernama lift lalu menghempas diri berputar-putar dalam apa yang semua gilakan: kerusi empuk dalam kamar berhawa dingin. Sengaja aku memutarkan-mutarkan dudukku sepantas mungkin, agar rasa malas dan lelah hilang menjauh saat aku harus terus melangkah.
(2) Selonggok kertas-kertas yang asalnya putih bersih dari para pohon yang hijau segar, kini tercoret dengan pelbagai warna tinta dengan pelbagai rasa dan mahunya, bertimbun di depanku yang harus segera aku lunasi agar semua bisa terus bekerja sekerasnya. Suatu beban lumrah dalam hidup sehari-hari yang di namakan makan gaji, jika tidak kulangkahi dengan deras pasti akan meruntuhkan gedung sekuat mana bahan binaannya.
(3) Usai memimpin beberapa perbincangan yang aku sendiri belum pasti akan buahnya, serta kapan menuainya, aku berlepas bergegas ke Wisma Bapa Malaysia. Di sana sedang menanti Pak Menteri dengan persoalannya, atas khilaf di mana, rakyat yang sepatut terbela, namun segelintir mereka yang kepenakan: seronok duduk di kerusi empuk, terus saja mahu yang lebih besar tanpa mengira di mana hak dirinya dan di mana hak yang berhak. Dadaku jadi sebel, terasa sakit yang terbawa semakin menusuk tajam dan lebih perih. Aku tidak takut pulang, cuma aku takut apa mungkin jadinya yang akan aku tinggalkan. Aku jadi diam. Aku jadi bisu. Biar sejuta Auzubillah berhambur, tetap mata dan nafsu manusia mengatasi akal warasnya. GLC, pimpinan Melayu, untuk membela Melayu, atas tamak, Melayu yang bijaksana, atau kerana tidak bijaksini lalu jadi tunggangan mereka yang Melayu tahtakan sebagai Datuk! Terasa hina aku sebagai ahli kelompok yang dinamakan Melayu, sering saja dipergunakan untuk membunuh Melayu!
(4) Syukur Allah masih mahu aku bersama mereka yang mahu membajai Melayu, aku sedikit lega bila Babak Pak Menteri kelihatan girang menerima hamparan hasil pencarianku sejak berbulan yang lepas untuk menandai Warisan Melayu bagai Singa mahu menandai sempadan naungannya. Batu nisan Melayu perlu diukir dan dibenamkan pada tapaknya sebelum bumi di mana mayat Melayu harus tersemadi terhakis air yang entah dari mana dan bila datangnya.
(5) Ingin rasanya kukembalikan Masjid lama Kuching berdiri dalam bentuk yang lebih mesra dan jinak bersama membina masyarakat dalam sebuah Akademi yang bukan sekadar mengaji tetapi turut jauh mengkaji. Aku berkira, tetimpang kita atas agama Islam yang suci adalah kerana pengajian pendek dan ringkas kita atas nafas dan firmanNya.
(7) Tanpa sempat mengalas perut sewajarnya sejak dari subuh sehingga mentari sudah condong ke barat, aku bergegas ke Hanger Hornbill lalu terbang meniti pantai Samarahan-Betong lalu merentas ke Kabong, Grigat dan Belawai. Sekitar sejam penerbangan lalu mencapai sasaran di Selatan Pulau Bruit. Di sana, antara hitam pekat awan dan hijau hamparan bakau, aku merenung jauh menunduk melihat tatih-tatih Melayu miskin yang sudah terlalu lama tidur dan penggap. Siapa yang mengipas deras agar mereka terus tidur? Melayu sendiri aku berkira?
(8) Bersamaku, kebetulan ada teman-teman dari Kuala Lumpur yang mengerti maksudku. Tanpa banyak soal, mereka ikut saja petunjukku. Berpusar-pusar, merayap di celahan antara awan kabut dan hamparan kemiskinan, kami mengelilingi Pulau Bruit dan menghitung satu-satu kandang kemiskinan yang berhamburan. Dua puloh tahun dahulu, aku pernah sampai ke sini, bukan terbang, bukan bekereta, tetapi bergelombang terhempas membelah Selat antara hujan dan angin, kepingin sekali melepas sakit kemiskinan di sini bagai juga aku kini kepingin melepas dari sebak, rasa berat di dada yang telah lama kutanggung. Dua puloh tahun tiada apa yang kuterbuat. Betapa sia-sia usia ini tanpa bakti yang jelas. Kini rasanya kemiskinan ini akan tetap memberatkan rasa hatiku biarpun diwaktu tidur dan tawa. Terkadang, aku bertanya: Apa mungkin beginikah seterusnya aku, lahir payah, kembalipun dalam selimut payah? Kapan bisa aku melihat senyum panjang bangsa ini?
(9) Aku kini paling berharap, dan semoga ada belas kasih Allah agar dapat sedikit aku pasti kembalinya aku nanti tidak dengan kekosongan tanpa aku berbekal seadanya dari terbang melayangnya aku di udara kemiskinan dan kepayahan Melayu Bruit ini. Mudah-mudahan aku masih ada sedikit kekuatan untuk mengecapi nikmatNya itu.
(10) Jika aku lapar, masih boleh rasanya aku berdiri dan berjalan biar perlahan. Jika aku dahaga, masih boleh juga aku mengheret diri sesampai ke mana juga. Jika pesawat lapar, jika dilawan, pasti maut kunjung tidak diundang. Kami mengisi minyak di Sibu, dan empat orang teman yang lain terbang pulang ke Kuching. Aku meneruskan acara malam bersama Pak Menteri lain, berdepan dengan masalah yang lain lagi.
(11) Malam usai Isya, Pak Menteri bersilat suara bersama rintih kesah Melayu Kg Datu yang saban waktunya terancam hempasan ombak bot dan langgaran balak-balak tengelam yang menghilir deras. Suatu suara lancang: Di sini, tidur kami tidak lena. Jiwa kami tidak tenteram. Aank-anak kami kapan saja bisa jatuh lemas dan hanut tanpa kami sedari. Kami mahu di pindah. Kami akhirnya menanggung hutang. Tanah kami dikosongkan, orang lain datang dan membuat untung. Kami pindah, kami susah orang lain ketawa dan kenyang. Pembangunan apa namanya ini?
(12) Silat Pak Menteri silat bunga rampai. Rambangnya bagai menebar jala di air susu. Tangkapnya ngak seberapa, namun ada harapan ditebarkan. Aku jadi gusar. Apa rencana harus kufikirkan. Ya Allah, di Kuching baru saja aku dapat sedikit cahaya, tadi awan hitam adalah pekat kemiskinan yang lama tersimpan, di sini bau hanyir adalah rasa peminggiran yang terlalu lama ngak cepat dipedulikan, apakah sanggup aku memikulnya, sedang beban di dadaku sendiri belum sempat aku fikir dan pedulikan? Aku pohon kekuatan, aku tunduk memikir dalam getar yang dalam.
(13) "Maaf Pak Menteri, saya pamit dulu. Mau ketemu teman-teman dari kantor Bapak Bapak Menteri dari kualanya ngak berlumpur," lalu mengundur diri lantas mengajak teman-teman dari Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk makan sup gear box. Jam sudah 2200. Ayampun sudah lama tidur. Yang dinamakan khinzir pasti ngorok:dengkurnya mengetarkan alam, dan kami baru ingin memula cerita agenda Pembangunan Negara. Kerana menghormati teman-teman yang telah sedikit membantu buat melepas lelah kemiskinan dan penindasan kaum sagu kecil, aku melayani mereka sehingga jam 0130 malam. Kepala sudah berat. Mata sudah sesepet sang Eskimo. Aku hanya dapat melayang tenang sekitar jam 0300. Jam 0500 sudah bangun menadah diri dalam dingin simbahan pancuran lalu bergegas ke lapangan terbang.
(14) Sampai saja di kantor (19 Julai, 2011) sekitar jam 0830, kembali dalam tugas biasa meniti titis-titis tinta yang tumpah di atas kertas-kertas yang tersusun tebal di depan mata. Kemudian saat banyak teman-teman karyawan telah hadir, aku bagai biasa memanggil kelompok demi kelompok untuk meneliti beberapa perkara yang wajar di pedulikan. Suatu catatan yang aku teliti bersama seorang teman, betapa Umur dan Pendidikan telah sangat mempengaruhi Jenis Pekerjaan dan Pendapatan beberapa penempatan Melayu yang sedang terpikul dipundak kami. Juga betapa kadar Ibu Tunggal dan Ibu Tinggal yang payah jerih juga terpapar luas pada Penempatan ini. Aku cuba menyedarkan temanku, betapa, kami secara kebetulan telah diberi sedikit anugerah Allah untuk dapat melihat kepayahan mereka itu. Kepayahan mereka jika tidak dipedulikan pasti akan berpindah kepada kita yang melihatnya lantaran jika kita tidak terbuat apa-apa. Aku kepingin temanku, mengerti akan hadirnya aku dan dia dalam kedudukan sebegitu.
(15) Jam 1430, sekali lagi aku terpaksa berdepan dengan segelintir mereka yang telah diberi kenikmatan dan juga diberikan peluang untuk lebih makmur dengan sedikit perkongsian dengan mereka yang kurang berada di kawasan Selangau, Sibu. Dengan sedikit kesabaran dan tolak ansur, akhirnya aku dapat meyakinkan betapa sang pelabur perlu sedikit berkorban demi untuk mendapat laba biar sedikit kurang. Mulut dan perut yang lapar harus dipedulikan.
(16) Jam 1530, bersama mereka yang bijak dalam melukis dan mereka-reka aku bersama beberapa teman merumus dan mempersiap segala kertas-kertas yang berbagai warna dan corat-coret untuk nantinya tanggal 15 Ogos di persembahkan kepada Babak Pak Menteri.
(17) Jam 1600, bersama beberapa teman, aku bertandang ke rumah seorang teman lama di Kampung No 6. Beliau adalah anak gadis manis yang cekal berdiri sendiri. Aku suka Kek lapis buatannya kerana dia tidak mengurangkan sebarang ramuan yang sepatutnya. Namun hargannya juga tidak beliau kurangkan. Pokoknya, kalau kita sedikit kedekut, untuk makan sendiri wajar membeli dari beliau, jika hendak dibeli sebagai hadiah buat teman-teman, belilah dari pembuat yang lain kerana harganya 50 peratus lebih murah. Namun kita harus ingat pesan Muhammad SAW: Memberi biarlah yang terbaik!.
(18) Aku pulang terus tersandar penat. Tubuhku terlalu berat. Nafasku terlalu sesak. Dadaku berdenyut sakit. Fikiranku polos. Cuma deringan talipon dari teman jauh, Rhei di Pontianak sedikit memuncak adrenalin tubuhku. Anak manis ini juga sekarang tengah bertarung hidup untuk merdeka, dan aku bisa tersenyum sekurang-kurangnya beberapa buku Self Motivation yang aku hulurkan buat beliau setahun dulu tengah beliau amalkan. Kemudian aku hanyut dalam dedangan PeterPan, kumpulan penyanyi Indonesia dan lagu: Di Balik Awan menyebabku menghela nafas panjang. lagunya kusisipkan dalam karangan selepas ini.
(19) Tidurku tadi malam (20 Julai, 2011) kurang enak. Sekitar jam 0200 aku terbangun kerana denyutan kepala yang sangat perih. Aku agak khuatir, apakah kepalaku akan pecah, pastinya Allah masih perlukan aku untuk bangun. Kerana sadar hari-hari seterusnya akan juga berat, maka Melathonin jadi temanku agar aku dapat kembali lena aman. Namum, sekitar jam 0500, berat kepala tidak ampuh, dan aku tetap mengheret tubuhku terus melangkah.
(20) Seawal pagi sudah dikhabarkan Pak Menteri ingin ketemu untuk mengetahui Kemajuan tentang Darul Hana dan Kg. Datu yang sudah diasak dipundakku. Syukur, aku berkira dalam bulan September, pasti ada kemajuan sebagai yang rakyat harapkan. Dua teman bersamaku. Selepas menjamu selera di restoran yang sepatutnya menyelesaikan kelaparan, Masala (tanpa h untungnya) jadi tempat rehat sebentar kami.
(21) Kembali ke kantor, setelah menyelesaikan beberapa kertas yang berhamburan, aku terpaksa menutup pintu. Aku mohon tidak diganggu sebentar. Kepalaku terasa berat, mata terasa panas, hidung hangat. Aku amat khuatir akan tumbang. Aku cuba lena. kerana gegaran di kepala terlalu berat. Aku cuba lena sekitar 15 minit dan kemudian lalu mencuci muka untuk mendapat sedikit kesegaran.
(22) Sekitar jam 12.00 aku terpaksa berdepan pula dengan segelintir penduduk yang ingin agihan bersama nikmat pembangunan di Beladin-Meludam. Setelah mendengar cerita dari kedua belah pihak, ternyata yang tersembur dalam PRU10 lepas serta tulisan kritik beberapa teman dalam blogku agak jauh dari hakikat sebenar. Rata-rata, mereka hanya sekadar ingin makan bersama, cuma lumrah manusia, khusunya orang Melayu, selalunya: Jarang Sesal Dulu, selalu saja ketinggalan: Sudah Terantuk Baru Terngadah. Namun, aku yakin kedua pihak akan dapat diatur kerana sikap Melayu: Mudah Diatur, Boleh Belakang Kira atas kesadaran Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Umat Kerana Maufakat. Peranan aku dan rakan-rakan adalah untuk menjadi Pembentung.
(21) Jam 12.30 kembali berbincang dengan rakan kongsi yang aku kira bisa membantu dalam membina Wibawa Melayu di Kuching, Sibu dan Bintulu. Segalanya berjalan dengan baik, dan beberapa asas ke depan dapat kurintis. Mudah-mudahan siapapun selepas ini, pasti mereka punya tongkat kukuh untuk berjalan terus.
(22) Tepat jam 14.30, secara cepat beberapa perancangan lain aku dan teman-teman bincangkan. Salah satu darinya yang telah begitu lama aku idamkan adalah membangunkan sebuah Bandar Baru yang lebih sempurna di Simunjan. Inilah sebuah daerah dalam Samarahan yang masih jauh ketinggalan. Asalku adalah dari sini, sedang aku sepertri kerana terlalu sibuk melihat kuman di seberang laut atau menyusu kera di hutan maka Gajah mati dan anak kelaparan di Simunjan, seperti aku lupakan. Mudah-mudah sebelum pulang aku sempat singgah dan mencuci tapak kaki di Simunjan.
(23) Selesai beberapa perkara lagi, aku tekad keluar saja. Badanku terasa panas lain. Hidungku rasanya mahu memuntahkan darah. Aku pulang dan istirehat untuk menghadapi hari esok. Esok (21 Julai, 2011) adalah hari perhitungan di mana, biar apa sekalipun aku tekad untuk menamatkan tempoh perkhidmatanku. Selepas esok aku kepingin hidup sebagai aku yang lain. Mungkin dengan cara ini aku tidak lagi akan melangkah pantas tetapi berlari kencang. Aku tekad untuk melanggar dan menerjah.....
Matang Jaya, Kuching
19 July, 2011
#Abdullah Chek Sahamat
Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Sdra Abdullah
I believe, given the opportunity, we are able to develop the new township for Simunjan. A new town that meets the needs of the people, that does not take a toll on the environment in it's building and evolution, a town that is people friendly, economically sustainable and would be of ecological nature.
This could be a starting point to undertake the 'hijau' concept which i commented earlier in one of your posts.It has been my dream too to create a what i termed as eco village/town.
Sdra Abdullah
Bila hendak memulakan kerja perancangan dan pembangunan Simunjan?
Post a Comment