.

13/7/11 LANGKAH PENDEK DAN PANTAS (i)

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 17, 2011

Share

& Comment


Sejak sebeberapa ketika ini, rasa kabut dan resah sering menyerang dadaku. Aku bagai manusia melayang tanpa kakiku berpijak pada tempatnya. Sebermula dari dua minggu sebelum Piliharaya Negeri Sarawak, PRU pada bulan April sudah, PRU10, bila mana aku diserang pelbagai kegawatan di lapangan akibat kemelut politik semasa, tidur, diam dan jalanku sering terganggu. Biar sebanyak mana aku berkhalwat denganNya, namun kesahku tidak mahu pergi.

(2) Kelmarin aku hadir di sebuah gerbang kebahagian anak seorang sahabat. Jarang sekali aku mahu ke majlis seperti ini, atas sifatku yang agak prejudis atas kemungkinan pembaziran. Hadirku atas menghormati, betapa si ibu, telah begitu lelah dan resah dalam mendidik anaknya, dan sering kali juga berkongsi cerita denganku. Kini, kukira, segala resahnya sudah terlepas di bahu si anak sendiri.

(3) Pulang dari majlis itu, aku lantas baring ingin melupakan keresahan yang aku masih samar. Beberapa nyanyian kelompok Unggu menemaniku. Paksaan untuk aku diam dan pejam akhirnya mengajak aku bingkas lalu meluru pulang ke desa. Aku meluru entah bagai dikejar apa, yang selalunya, untuk sampai ke rumah di desa biasanya aku akan santai dalam 90 minit, namun kelmarin, aku bagai terbang dalam sekitar 50 minit. Pacuanku sekitar 120-140 km/jam pada jalan yang berliku-liku dan berombak.

(4) Sore, dalam hujan lebat, bersama masyarakat desa yang masih mahu bersatu dan beradat, aku hadir dalam Nisfu Saaban. Sudah begitu lama aku tidak punya kesempatann berkumpul dengan mereka. Bila kuperhati sekeliling, yang dewasa sudah tidak ada. Kini, tinggal paman: pakcikku yang paling tua. Jalannya sudah lemah. Pengelihatannya kurang jelas. Yang lain, juga sudah kian kering adalah mereka yang berpangkat kakang: abang kepadaku. Ponakan: anak-anak buah serta mereka yang berpangkat putu: cucu sedang kemeriek bagai anak ayam kehilangan ibu bersenda gurau saat semua sendang mahu menghadiri diri kepadaNya. Dalam gaungan Surah Yasin, aku berjalan meniti wajah-wajah mereka: masih panjang dan banyak galang dalam hidup mereka fikirku, sambil kupanjat doa agar mereka mendapat berkat dari kehidupan yang gigih dan jujur.

(5) Di desa, saat sebegini, suatu kemestian, setiap keluarga akan membawa makanan sendiri, mengikut kemampuan sendiri. Di sini, hantaran juadah ini di sebut among-amongan. Istilah ini sebenarnya bermaksud di buat makan beramai-ramai. Secara adatnya, among-amongan sendiri tidak boleh dimakan sendiri. Ianya harus dimakan oleh keluarga lain. Jika tidak habis, boleh di bawa pulang sebagai berkat. Konsep berkat ini sebenarnya adalah sabagai sajian kepada kaum keluarga di rumah terutama kaum wanita yang tidak ikut sama ke majlis, dan semoga mereka juga mendapat berkah dari majlis yang di hadiri oleh kaum lelaki. Itulah adat desa, dan aku masih bersyukur masih terus dapat menghidupkannya.

(6) Pulang saja ke rumah aku terus saja baring di atas katil semasa kecilku: katil betawi. Dengan segala tingkap terbuka luas, deru angin malam membawa masuk haruman kenanga, jasmin, melur dan lengkuas, kisah Sukarno saat mudanya menjadi ubat lenyap lena paling mujarab. Sedetik kisah sengsara perjuangan Sukarno memerdekan bangsa hadir menjadi mimpiku yang agak menyedihkan. Aku terpanggil ke sebuah kantor, menghadap seorang ternama, lalu aku sampai pulang tidak dipedulikan. Saat aku tersadar, banyak soal menerpa benakku: apakah ini, tanda kegagalan berterusan akan merentangi jalanan mukaku?.

(7) Sebagai biasa, jam 0500 aku bangkit dan usai urusan pribadi, aku kembali menyambung lena. Keharuman segala macam bungaan di luar jendela kamarku, dingin angin subuh serta sayu nyanyian segala seranga menjadikan aku terus terlena sehingga jam 0700

(8) Sebelum mandi, aku memeriksa ikan-ikan yang kuternak dalam kolam sekeliling rumahku apa sudah diberi makan oleh pembantu yang khusus kuamanahkan untuk berbuat sebegitu bila aku tidak ada. Kebetulan, makanan ikan sudah beliau sediakan dan ditinggalkan di depan pintu. Saat aku menabur makanan:Maaf Pak, ikan patinnya cuma tinggal tujuh ekor. Saya ngak tahu di mana sembilan ekor lagi. Yang besar sekali rasanya sudah ngak ada. Ikan emasnya banyak yang mati, sapa pembantuku dengan nada agak perlahan dan kesal. Ya udah. Kamu terus saja bersihkan halaman. Biarkan. Mungkin sudah jadi rezeki orang, balasku biar dalam hatiku sedih kerana ikan-ikan itu sengaja aku ternak sebagai hiburan anak-anak desa yang bertandang ke tempatku khususnya mereka yang berpengajian. Aku cuma berharap, dengan mengaji dalam suasana taman, maka anak-anak ini akan punya ilham yang jauh lebih hebat saat mereka sudah dewasa dan berjaya nanti tentang cara terbaik dalam berbakti kepada bangsa mereka.

(9) Sekitar pukul 0900 dengan berpakaian ladang, aku memandu Kubota kedalam kebun sawit bagi memeriksa segala kerja yang selama ini dijalankan oleh para pekerjaku. Sepanjang perjalanan, aku melewati banyak tanah-tanah terbiar yang tidak menghasilkan apa-apa kepada pemiliknya. Tanah-tanah terbiar ini malah menjadi sarang kepada bermacam-macam perosak yang turut menimbulkan masalah kepada kebun sawitku. Kejadian-kejadian ini menambah sebak dadaku. Aku menjadi hampir patah hati untuk meneruskan usaha yang kecil namun telah banyak mengorbankan tenaga dan kewanganku demi menyedarkan masyarakat Melayu desa akan untung nasib masa depan mereka.

(10) Dalam memeriksa kebun-kebun sawitku yang agak berselerak dalam empat buah kampung berhampiran, aku melewati Kampung Rangawan, Bilis, dan Tanjung Kelaso. Memandu traktor kubota melewati kampung-kampung ini sangat menarik. Anak-anak kecil berlari-lari cuba mengejar aku. Mereka girang menghambat kemajuian yang melintas lalu, sedang apakah mereka mampu menghambat kemajuan buat mereka akhirnya?, tanyaku. Juga banyak mereka yang kukenali melambai-lambai dan kehairanan kerana melihat aku memandu traktor keliling kampung mereka. Ada yang tertawa gembira. Masyarakat di sini, hakikatnya telah lama mengenali aku. Sejak dari dulu aku sering mundar mandir samada berjalan kaki atau berkereta ke sekeliling kampung-kampung ini.

(11) Lenggang lenggok traktor kubota membuat aku terasa seperti sedang menonggang kerbau membajak sawah. Betapa indah di zaman dahulu, dengan menunggang kerbau atau lembu, kita keliling sawah bersama diiringi riuh rendah keriangan anak-anak berkejaran

(12) Jam 1230 aku bersama para pekerja makan bersama di rumah. Dua ponakan: anak buahku sebagai selalu menjadi teman setia makan bersama aku. Setiap kali makan bersama mereka, aku benar-benar kembali di waktu anak-anaku sendiri sedang seusia mereka. Mereka perlu dipujuk untuk makan apa yang baik untuk mereka khususnya sayur-sayuran. Telur, ayam goreng dan ikan sering menjadi pilihan mereka. Namun, biasanya, mereka lebih gemar minum air dingin dari makan.

(13) Aku kemudian santai di dangau pengajian sambil mendengar lagu-lagu nyanyian Abiet G Ade. Sebuah lagu bertajuk: Lagu Untuk Sebuah Nama, membawa aku ke dunia lain yang menambah sebak di dadaku. Fikiranku jadi celaru dan resah tidak karuan. Segalanya menjadi hambar. Semangatku seperti meluncur jatuh deras melepasi jantung-hatiku lalu terpijak-pijak lumat. Tanpa sedar, ponakanku menegur: Wak nangis!, dalam tersentap, aku cuba senyum lalu memejamkan mata. Deru angin tengahari akhirnya menjadikan aku lelap pada kerusi goyang betawi. Sebetulnya, di kerusi yang serupa, lima belas tahun dahulu, embah: nenekku sering santai bergoleng-goleng sambil memerhati anak-anakku yang nakal dan lincah.

(14) Sekitar jam 1400, usai memberi beberapa arahan ringkas buat para pekerja serta sepupuku tentang beberapa perkara yang perlu mereka lakukan, aku berangkat pulang. Pacuanku sangat kencang. Abiet G Ade menemaniku di sepanjang jalan. Lagu Untuk Sebuah Nama kuulangi entah beberapa kali. Aku turut bernyanyi. Aku ingin berhibur diri. Namun hatiku semakin berat. Pengelihatanku kabur namun tekanan pedal minyak tidak pernah kukurangi. Aku memecut deras. Apa yang sedang kuhambat? Pulang atau kembali?

(15) Pada suatu selekoh, aku melintas seorang tua sedang mendorong kereta sorong. Aku berhenti secara buru-buru. Hampir aku terbabas. Aku menanti. Dia akhirnya melewati aku. Di dalam kereta sorongnya ada ubi, ada pisang, ada nenas, ada parang dan sebotol minuman. Nafasnya mengah. Dia lelah. Aku mengeloh. Aku terdiam. Aku sekali lagi basah berlinangan air mata. Ya Rahman Ya Rahim, kenapa rasaku jadi begini? Kenapa aku seperti sudah kalah? Kalahkah aku sebelum aku kalah?, pelbagai rasa songsang menerpa muka dan dadaku.

(16) Si tua dan kereta sorongnya sudah hilang. Aku mulai menekan pedal minyak. Meluru terus menderas. Mahu kemana aku? Mahu pulang? Apa maksudnya pulang? Pulang ke mana? Pulang untuk apa? Atau aku ingin kembali? Kembali ke mana?

(17) Antara seperti separuh sadar, Ayatul Kursi meluru sama dari bibirku. Berulang-ulang, sebanyak, selama berulangnya: Lagu Untuk Sebuah Nama. Air mataku sudah kering, sebakku tetap melekat. Aku kian sedar aku tidak mahu kalah. Aku tidak mahu menyerah sebelum melangkah seakhirnya. Aku tidak akan menyerah kalah atas rasa hatiku. Aku tidak peduli akan kata hatiku. Aku akan berjalan. Perlahan-lahan, kemahuan untuk aku melangkah pendek dan pantas membuah dalam benak dan fikiranku. Aku akan menghambat berlari sejauh sepantas dan sekerasnya. Keinginanku untuk belari lebih pantas kian menjelma jelas.

(18) Aku akan menulis sebegini seterusnya, agar kakiku cepat melangkah kerana kian sebak atas masa yang kian singkat yang kumiliki, sedang apa yang kudapat dan bakal kutinggalkan belum ada. Ya Rahman Ya Rahim, berikanku luang untuk berdiri dan berjalan pendek dan pantas.

Matang Jaya, Kuching
17 July, 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Anonymous said...

ASSALAMUALAIKUMWARAHMATULLAHHIWABARAKATUH.SEBENARNYA ABANG TIDAK PERNAH SENDIRIAN DI DLM PERJUANGANMU.BANYAK DOA YG MENGIRINGI PERJALANANMU.TEGUHKAN IMANMU,TABAHKAN HATIMU,PERBAHARUI TEKADMU,INSYAALLAH BAHAGIA ITU MILIKMU,DI TEMPAT YG ABADI,BERSAMA INSAN2 YG ABANG KASIHI.AMIN....YA RABBAL ALAMIN

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.