.

4/4/11 SEKALI BAH SEKALI TEBING BERUBAH...

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - April 05, 2011

Share

& Comment

(Jika kita mengerti, pasti keindahan kembang ini akan jauh lebih indahnya. Untuk mengerti, pastinya, ianya memerlukan pengertian yang sangat mendalam. Untuk itu, pasti ada keperluan asasnya)

Hari ini, semasa hendak berangkat ke Sibu, di lapangan terbang Kuching, biar masih di awal pagi, kelihatan ramai remaja, berduyun-duyun mahu terbang pergi. Dari lagak mereka, pasti mereka adalah yang sedang mahu mengejar ilmu di mana-mana. Sungguh kagum dan amat mengujakan melihat anak-anak muda kini begitu ghairah dalam mengejar ilmu.

(2) Kebetulan, semalam, sedang saya sambung menyemak Doktrin Ekonomi Umar Ibn Khatab juga sebentar tadi (petang 5 April, 2011), dalam sebuah siri keagamaan terbitan RTM1, terungkai hujah: "Allah menghendaki umatnya mencari ilmu...sehingga ada ulama menyatakan bahawa, tanpa ilmu, apapun pekerjaan kita tidak akan diberkatiNya...", begitulah, Umar Ibn Al Khatab, bila saja mendapati sesiapa saja melakukan sebarang pekerjaan tanpa mempunyai ilmu, pasti dia akan marah. Ada ketikanya bila dia melawati bazaar, dia akan menghalau mereka yang mmenjalankan perniagaan tanpa memiliki pengetahuan tentang perniagaan mereka.

(3) Keperluan mendalami dan memperluaskan ilmu, sememangnya tuntutan Islam. Hikmah bahasa Arab, sebagai bahasa rasmi Islam, adalah pertanda jelas betapa Islam menghendaki sesiapa menganuti agama itu perlu berilmu, setitak-tidaknya, perlu tahu membaca jawi. Dalam apa juga pekerjaan yang hendak kita lakukan Islam menuntut segala bentuk kesempurnaan. Kesempurnaan akan menjamin laba dan yang sangat tinggi, dan dalam Islam pahala didahulukan,dari segala laba lainnya.

(4) Kesempurnaan hanya akan tercapai dengan kemahiran yang mendalam dan meluas. Untuk itu, ilmu menjadi asas keperluannya. Maka, dengan sebab itu, Muhammad SAW tidak lagi memiliki mukjizat berbentuk keajaiban sebagai mana para nabi lain seperti Musa dengan Tongkatnya, Sulaiman dengan kemahirannya berbicara dengan segala binatang, Ibrahim tidak terbakar api, Isa yang boleh mengubati segala macam penyakit dsb. Muhammad SAW, meninggalkan apa yang Allah sempurnakan kepadanya, sebuah kitab Ilmu, Al Quran, yang mukjizatnya adalah jauh lebih hebat dari segala mukjizat milik segala nabi dan rasul.

(5) Cuma terfikir dan mendesis dalam dada saya, biar sebegitu tuntutan Islam, dan biar suatu ketika dahulu sangat hebat perkembangan dunia keilmuan di zaman silam Islam terutama di zaman kehebatan Baghdad, Istambul dan Kordova, namun kemudiannya dunia keilmuan itu punah dengan perkembangan zaman. Kini, masyarakat Islam seperti kian puput bidang keilmuan mereka. Kita kini lebih mahir mencedok, bahkan menjadi mangsa kepesatan keilmuan masyarakat lainnya. Kenapa?

(6) Bila saya menonton siri keagamaan seperti gaya ianya diterbitkan di RTM1 sebentar tadi, ianya seperti menyentapkan saya kepada satu andaian betapa mungkin suatu ketika dahulu, cara kita mendalami ilmu dalam Islam telah menjurus kepada suatu jalan sahaja, iaitu semata-mata ke jalan 'memperkuatkan iman', jalan syurgawi. Pasti ada punca yang tersendiri kenapa ini terjadi. Salah satu darinya, saya kira adalah kerana kita kesempitan, dan menyempitkan pengertian ilmu itu sendiri.

(7) Mengimbau kembali bacaan saya tentang sejarah kejatuhan Baghdad, kemudian Istambul, dan akhirnya Kardova, ternyata bahawa perkembangan keilmuan di zaman kegemilangan pemerintahan Islam itu telah menjadikan para pemimpin dan masyarakat Islam pada masa itu menjadi lalai kepada kehidupan keduniaan. Akibatnya, perlakuan salah guna kuasa, tamak, rasuah, hasad, dengki, permusuhan akibat perlumbaan kebendaan telah menjadi kegilaan umum, sehingga mereka lupa untuk bersatu, saling bertelagah antara satu sama lain, lalu dengan mudah dikalahkan oleh temaddun dan kuasa baru, dunia Barat!

(8) Namun dalam masa yang sama, seperti janji Allah, pasti sentiasa ada di kalangan ummahnya, yang akan bangkit mempertahankan tauhid Islam, maka timbul suatu kelompok, yang melihat betapa ilmu keduniaan telah menghacurkan kekuatan Islam, maka mereka akhirnya menjurus diri kepada 'gerakan memantapkan keimanan', dan meminggirkan keduniaan. Lalu mereka kemudiannya bertebaran ke seluruh pelusuk dunia mengembangkan Islam pada asas 'syurgawi'.

(9) Kerana hadirnya kumpulan itu, maka kemudiannya tumbuh Kerajaan Islam Pasai di Acheh, Kerajaan Islam Jambi, Palembang, Kerajaan Islam Melaka di Tanah Melayu, Kerajaan Islam Mataram, Maluku, Kerajaan Islam Sulu di Mindanao, dan Kerajaan Islam Majapahit di Jawa di atas runtuhnya Baghdad, Istambul, dan Kardova. Namun, kerana jalanan sejarah tetap berulang-ulang, maka Kerajaan Islam di Nusantara itu kemudiannya turut terkubur atas ratahan Sepanyol, Belanda, Portugis, dan Inggeris di abad ke 15. Semuanya kerana 'duniawi' tidak sebati dengan gerakan 'syurgawi'.

(10) Hakikatnya, pada asalnya, sejak dari Muhammad SAW menjadi pemerintah dan menegakkan Kerajaan Islam di Madinah, kemudian diikuti dan dikembangkan pantas oleh Sayidina Abu Bakar, Otthman, Umar dan Ali, usaha pendongkelan dan memperseimbangkan keilmuan syurgawi dan duniawi adalah teras kepada kemajuan dunia Islam pada masa itu. Hadirnya ilmuan Islam seperti Maliki, Hambali, Shafiee, Muslim, Bukhari, Ibnu Sina, Ibnu Khaldum, Ibnu Batuta, dsb adalah bukti betapa di zaman itu, kejaran ilmu adalah menjurus kepada keseimbangan syurgawi-duniawi. Namun, selang masa berlalu, bila berlaku kegelinciran salah satunya, maka kepincangan mulai menjelma, lalu menghancurkan.

(11) Kejatuhan empayer Islam Baghdad, Istambul dan Kordova telah menjurus dunia pemikiran dan kejaran ilmu dalam Islam terpecah kepada dua iaitu condong kepada duniawi (sebagaimana Muhammadiah di Indonesia dan PAS di Kelantan) dan duniawi (sekular-Kebangsaan di Turki, Malaysia, Indonesia; sosialis Baath di Syria, Iraq, Mesir, dsb).

(12) Kehidupan 'duniawi', yang terbukti sejak sebelum kedatangan Muhammad SAW, seperti dalam Zaman Purba Mesir, Parsi, Greek dan Roman, akhirnya banyak membawa kehancuran. Semuanya kerana, jiwa manusia 'duniawi' terlalu inginkan syurga keduniaannya hanya miliknya atau kelompoknya, maka mereka akan tidak teragak-agak menjatuh dan membunuh sesama sendiri atau kelompok lainnya, kerana sifat haloba, hasad, dan bakhil. Sifat 'duniawi' kelompok ini, menjadikan mereka atau sebilangan dari mereka sudah lupa akan tanggungan nikmat keduniaan mereka. Mereka menjadi lupa, maksud Allah akan pengertian...pada harta (dan kuasa) sebahagian dari kamu, adalah harta (dan kebajikan) sebahagian yang lain....juga, sengaja Aku jadikan sebahagian dari kamu melebihi dari yang lain, sebagai bukti keImanan kamu...atau sengaja ada sebahagian di antara kamu adalah yang susah...sebagai bukti atas kesabaran kamu...

(13) Allah itu Maha Mengetahui. Islam itu agamaNya. Pasti dia akan melindunginya. Maka sesuai dengan kata Muhammad SAW, pasti ada di antara kamu, sebilangan (sentiasa ada 30 orang(?)), yang pasti sentiasa mengambilalih tanggungan memelihara kesucian Islam. Maka dalam kemelut dan kepunahan akibat sifat 'duniawi', muncul sekelompok gerakan 'syurgawi'. Mereka ini seperti melupakan 'duniawi'. Kehadiran mereka ada dalam pelbagai kelompok seperti para ulama di Al Azhar, kaum Mullah di Iran dan rantau Asia Tengah, kebangkitan tabligh di India dan Pakistan lalu berkembang ke Nusantara, Muhammadiah di Indonesia, bahkan PAS di Tanah Melayu. Bahkan di dunia Barat, banyak pemikir-pemikir Islam secara senyap muncul dan berkembang mulanya sebagai Pengajian Arab, dan akhirnya menjurus kepada Islamic School of Thought.

(14) Kini, saya berkira, di rantau dunia Arab, setelah sekian lama mereka agak terpengaruh dengan kemelut 'duniawi' (khususnya di Mesir, Syria, Libya, Bahrain, Qatar, UAE, Lubnan, Kuwait, dan Iraq) dan 'syurgawi' (Saudi, Iran, dan Yaman), maka angin pergulatan antara syurgawi-duniawi sedang melanda kuat.

(15) Golongan 'syurgawi' seperti akan memenangi medan penguasaan mereka. Namun timbul suatu halangan, bagaimana dengan corak demografi yang sudah jauh berbeda, golongan ini seperti tergadah, terhenyak bingubbg memikirkan bagaimana Negara-bangsa perlu diuruskan. Sehingga kini, kita dapati, suatu gagasan pilihan belumm juga dapat dirumuskan di Mesir, Yaman, Bahrain, bahkan di Palestin. Semuanya adalah kerana, sikap kita umat Islam selama ini sering saja mengasingkan diri antara jalan kanan atau kiri iaitu 'syurgawi' atau 'duniawi', tanpa melihat penyatuan keduannya adalah jalan keImanan sebenar.

(16) Kita di Malaysia, sikap orang Melayu-Muslim yang agak sedikit 'cool' dan anjal dalam banyak perkara perlu kita pergunakan sepenuhnya. Kemelut yang melanda dunia Islam, perlu dijadikan landasan buat kita kembali 'memimpin' agar dunia Islam di sebelah sini kembali terhormat seperti di zaman Pelayaran Laksamana Cheng Ho. Kita perlu mengambil sikap membuka jalan keseimbangan antara membina kekuatan jati diri dalam bidang ekonomi-pertahanan dan Iman.

(a) Kehadiran UIA dan fakulti-fakulti Islam di universiti-universiti tempatan harus tidak terlalu bersifat ekslusif bagi pengajian tertentu dan golongan tertentu. Fakulti-fakulti ini, perlu dibuka dan sebahagian kuliahnya diterap dan menjerap lain-lain bidang yang turut bersifat fardhu kifayah dan tidak semestinya bersifat teologi semata-mata.

(b) Pendidikan asas (dan lanjutan) bagi mereka yang ingin menjurus kepada pendidikan Islam, harus dilihat dalam pengertian yang jauh lebih luas. Janganlah kekurangan di sekolah-Sekolah-sekolah Pondok, Madrasah, Agama dsb terus saja kita biarkan. kekurangan-kekurangan itu jika berterusan, pastinya akan melahirkan serba kekurangan akhirnya.

(c) Begitu juga, Pendidikan Kebangsaan kita janganlah dibiarkan hanyut dalam persada keduniaan semata-mata. Adunan pendidikan yang menjurus kepada sifat-sifat tanggungjawap jati diri, kemasyarakatan dan kenegaraan perlu diperkuatkan. Tidaklah salah bagi kita duduk bersama pemikir-pemikir agama lain untuk merumus kurikulum yang dapat di terima bersama. Saya berkira, begitulah sifat Muhammad SAW semasa dia berurusan dengan para Yahudi di Madinah dahulunya.

(d) Kita harus berusaha keras agar tiga bahasa: Inggeris, Arab, Manderin akan menjadi pelajaran yang mudah diikuti oleh anak-anak muda kita di peringkat sekolah dasar lagi. Sebaiknya, semua para uztaz, uztazah dan Pak Imam kita hendaklah turut mahir dalam Bahasa Inggeris serta punya minat mendalami ilmu jauh lebih luas dari bidang pengkhususan mereka.

(d) Kita perlu bekerjasama kuat dengan negara-negara Islam dan Barat yang masih menyimpan dan 'mencuri' kitab-kitab tulisan ilmuan Islam di Zaman Kegemilangan Baghdad, Instambul dan Kardova agar dapat di salin, terjemah dan sebarkan di negara ini. Peruntukan khusus boleh disediakan untuk mendongkel dan mendedahkan gedung ilmu yang telah terkumpul ini.

(d) Saya berkeyakinan, sistem kewangan Islam yang kita sedang pergunakan masih bersifat membebankan. Kajian terhadap pengolahan jaminan agar risiko pelaburan dapat dikawal rapi perlu dipertingkatkan, dan ini akhirnya boleh diterjemah dalam bentuk 'cost of finance' yang jauh lebih membantu pembiayaan bagi umat Islam menceburi segala bidang dagangan dan perusahaan. Sistem kewangan dan ekonommi Islam amalan Muhammad SAW, Abu Bakar Al Siddiq, Othman, Umar Al Khatab dan Ali Abi Thalib perlulah kita kaji dengan mendalam. Kelemahan kita dalam bidang perdagangan dan perusahaan adalah atas sebab masalah pembiayaan.

(17) Saya berkeyakinan, gejolak yang sedang melanda dunia Arab, adalah rahmat agar kita dapat berfikir pantas dan jitu, mencari jalan dan pertunjuk agar kita kembali kuat dan terhormat. Janganlah kita terlalu kalut dengan kemelut sosio-politik, sehingga kita lupa tugas besar yang perlu kita pikul. Tidak mengapa jika kita bertatih, namun kita mesti ada sasaran kapan mahu berlari kencang.

(18) Saya yakin, jika Malaysia, punya jadual tetap bagi mencapai perlaksanaan Sistem Ekonomi-Kewangan Islam dan Pendidikan Islam, pasti kemelut UMNO-PAS akan menjadi reda. Lebih baik kita berdebat dan bermesyuarah untuk mencari jalan bagi mengatur kehidupan ummah yang cemerlang dari terus berdebat siapa Islam dan siapa Kafir. Biarlah ketentuan itu letaknya sepenuhnya di tangan Allah. Saya percaya, Allah akan membantu kita, jika kita berusaha keras agar Malaysia menjadi Pusat Ekonomi-Kewangan-Pendidikan Islam. Jika ini, terjadi, kemelut soio-politik yang sedang kita hadapi akan terurai dengan sendirinya.


Mukah, Sarawak
4-6 April, 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.