.

8/3/11 BAHASA MELAYU....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 18, 2011

Share

& Comment


Mudah-mudahan benar bagai apa yang saya dengar. Dalam berita tadi malam, saat saya ingin lelap di kamar kecil (bukan tandas) di sebuah hotel kecil di Mukah, di RTM1, keluar berita yang mengkhabarkan bahawa Kementerian Rais Yatim akan mengerakkan langkah memperkukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Malaysia. Dikhabarkan, Bahasa Melayu termaktub dalam perlembagaan Negara sebagai Bahasa Kebangsaan. Maka bangkit kembali cerah mata dan fikiran saya untuk menulis dan meneruskan persoalan saya selama ini kenapa Bahasa Kebangsaan Malaysia asyik berubah nama dari Bahasa Melayu ke Bahasa Kebangsaan dan akhir-akhir ini menjadi Bahasa Malaysia, dan mungkin akhirnya nanti jadi Bahasa 1Malaysia.

(2) Jika benar Bahasa Melayu sebagai termaktub dalam perlembagaan negara sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia, siapakah pendurhaka bahasa yang telah menukarkannya kepada pelbagai nama lain. Saya ingin sekali agar kita orang Melayu, dalam seluruh kebijaksanaan mempertahankan apa yang ada pada kita. Kita mesti pertahankan Bahasa kita!

(3) Suatu ketika dahulu, kaum keluarga saya semuanya berbahasa Jawa bila bercakap sesama sendiri. Tanpa segan silu mereka bercakap dan menyatakan apa saja dalam bahasa Jawa. Kini, mereka terutama mereka yang mengelar saya Embah, Wak dan Mamang, semuanya sudah tidak lagi mengerti berbicara dalam bahasa Jawa. Sebutan Jawa mereka hanya pada gelar kedudukan saya dalam susunan kekeluargaan.

(4) Kini mereka sudah berbahasa Melayu, Melanau, Iban, Cina dan bahkan Orang Ulu dalam pertuturan harian mereka. Saya mulai bertanya, bahasa Jawa dan bahkan bahasa Bugis mereka juga sudah hilang. Lantaran itu, kini mereka lebih enak digelar sebagai orang Melayu dan sangat jarang sekali mahu memperkenalkan diri mereka sebagai Tiang Jawi. Bahkan istilah Tiang Jawipun mereka sudah tidak mengerti. Ya, mereka mengakui sebagai Melayu kerana pertuturan mereka dalam dalam Bahasa Melayu. Bahasa menunjukkan bangsa (kaum).

(5) Itulah natijahnya bila kita sudah bangsa Melayu telah hilang harga diri pada Bahasa kita sendiri. Teladan yang saya berikan, adalah menyentuh kaum kerabat saya di kampung, namum kita bangsa Melayu di kota-kota sudah tidak lagi fasih, apatah lagi menulis dalam Bahasa Melayu, bertutur dalam bahasa Melayupun kita sudah banyak keliru.

(6) Dalam beberapa tulisan saya terdahulu, banyak saya bangkitkan, masyarakat kita sukar mengerti apa yang 'pemimpin' kita bicara atau tuturkan, kerana penguasaan Bahasa Melayu mereka adalah sangat lemah. Kita telah dengan sewenang-wenangnya menggantikan istilah-istilah Melayu dengan istilah-itilah pinjaman khasnya dari bahasa Barat.

(7) Tidak mengapa, saya kira jika kita terus pinjam dan adunkan istilah-istilah dari pelbagai loghat Melayu, asalkan ianya tetap dari rumpun Melayu. Saya berkira, jika ruai dalam bahasa Iban dapat digunakan untuk menamakan 'Koridor', maka mengapa istilah itu tidak kita terima: kenapa pula corridor harus jadi koridor. Orang Melayu kampung mana mengerti akan istilah koridor? Kita bangsa Melayu harus punya keberanian untuk menyepadukan segala istilah loghat Melayu ke dalam Bahasa Melayu agar ikatan kekuatan rumpun Melayu akan utuh dan menebar. Janganlah hanya memandang bahawa orang Iban itu agak masih mundur maka kita pandang bahasa mereka sebagai tidak sesuai diangkat menjadi Bahasa Melayu. Jika itu sikap kita, pasti Melayu suatu hari nanti hanya sendiri-kendiri dan pupus beransur-ansur.

(8) Kita perlu mengakui, tidak semua perkara dalam kehidupan kita ini ada istilah Melayunya. Contohnya, saat kita menghantar tetamu ke luar pintu mahu pulang, dalam bahasa Melayu tulinnya, pasti tidak ada istilah khusus dapat menjelaskan perilaku keberangkatan tamu itu. Tetapi dalam bahasa Jawa, ada istilah khusus yang dapat digunakan dalam menjelaskan acara keberangkatan tetamu disebut: Pamit, Pamitan. Istilah terdekat bahasa Melayu adalah minta diri, tetapi itu bermaksud mohon pulang atau undur. Tidak setepat pamitan.

(9) Orang Papua New GHuinea umpamanya, bila saat pamitan pasti mereka akan berkata: "Lokin(bunyinya lookim) you behind", yang sama pengertiannya sebagai "Jumpa lagi kemudian": jumpa-lookin, kemudian-behind, senada bila ungkapan Melayu diterjemah dalam bahasa Inggeris!. Jika kita teliti semua ini, inilah yang menjurus kita mengakui diri kita sebagai bangsa serumpun. Namun sikap banga diri, terkadang bodoh sombong, juga kealpaan kita maka kita tidak pedulikan rerumpunan kita itu.

(10) Saya ingin mengajak semua, agar kita bangsa Melayu, mengikut tafsiran antropologinya dan tidak terbatas pada tafsiran politik, melihat pembangunan rumpun Melayu dalam gerakkan menjadikan Bahasa Melayu sebagai teras dan asas kepada kebangkitan bersama. Saya pasti, banyak manafaatnya bergerak dan berusaha sekerasnya memperkukuhkan rumpun Melayu, kerana penyapu itu tidak terjadi sebatang lidi melainkan seberkas lidi.

(11) Cuma, saya pasti, kekalutan Bahasa Melayu, dicampur baur dengan bahasa Barat terubah, adalah kerana kita sendiri tidak mahir dalam penguasaan bahasa kita sendiri. Juga kita juga sangat lemah dalam bahasa-bahasa lain.

(12) Mudah-mudahan Rais Yatim dengan darah Minang yang mengalir dalam tubuhnya, kembali gagah menjadi pengerak kepada Jajib Razak (darah Bugis-Melayu) dan Muhhyidin Yasin (Jawa-Rhiau) mengembalikan semula Bahasa Melayu dalam kedudukan bakunya. Namun, tidak usah kita terikut-ikut cara Anwar Ibrahim dengan penciptaan istilah-istliah kacukan yang boleh mengelirukan.

Cafe Barbera, KLIA
18 March, 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

3 comments:

Anonymous said...

1)kpd penulis..segala kegusaran yg d utarakan oleh anda secara kesimpulannya merujuk kpd PERKEMBANGAN bahasa melayu (cuma kesyaitanan yg telah merasuk menyebabkan nama bahasa melayu d tukar ganti).Bahasa Melayu (BM) adalah bahasa yg sngt unik kerana d sebabkan oleh beberapa faktor slh satunya adalah (1) sifat kelenturan (fleksible) berbanding dgn bahasa lain.

2)suatu masa dahulu BM pernah menjadi bahasa linguafranca semasa kegemilangan Kerajaan Melaka.Faktornya d sebabkan oleh sifat BM yg sy telah terangkan d para (1).Sy rasa sedih apabila penulis ada mengatakan penutur BM(mungkin sedikit)yg "bodoh sombong" dlm ketelitian penuturan BM (mungkin bahasa serumpun) dr segi ketatabahasaannya.Brdsrkn penelahan sy dlm bidang bahasa,sesuatu bahasa itu menerima/menyerap/mengasimilasikan bahasa lain ke dlm bahasa tersebut,itulah petanda yg baik.Ini menunjukkan perkembangan bahasa tersebut.

3)Pada hari ini,kita hanya mendengar sahaja nama Bahasa Sanskrit(BS).BS sudah pupus penuturnya dan bahasanya terkubur seperti dinasor.Hanya contoh2 cebisan manuskrip lama sahaja yg boleh kita lihat pada hari ini.Perkara ini disebabkan "kejumudan" sifatnya.Maksud sy,BS tidak menerima/menyerap/mengasimilasikan bahasa lain ke dlm bahasa nya.Penutur nya juga terhad,hanya dlm golongan atasan sahaja.Bygkn bahasa kelas elit boleh terkubur pupus d telan zaman..kerana sifatnya.Jadi kita patut rasa bangga kerana kita adalah penutur BM yg berkembang pesat searah dgn zaman.

4)Cuma yg menjadi kegusaran kita sbg penutur BM pada abad ini adalah penjenamaan BM yg d tukar ganti wewenangnya.Kenapa?Jgn salahkan pengasimilasian kerana itu merupakan petanda baik pada perkembangan BM...tp gusarlah pd pihak 2 yg sering mengeluarkan jari telunjuk mengarahkan segalanya d tukar dgn alasan "MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU".

5)dlm para (1) (2) (3) dan (4) sy menyatakan sifat kelenturan yg dimiliki oleh BM.Untuk mereka yg kurang mendalami pengkajian dlm bahasa,mereka akan gusar...namun dperjelaskan d sini bahawa walaupun BM mempunyai sifat kelenturannya namun BM tidak pula secara wewenangnya menerima/menelan bulat2 semua perkataan bahasa lain ke dalam BM (harus d pengingati).Inilah keistimewaan BM.Sampai skrg kita masih menyebut "nasi"sbg "nasi" kan..bukan "rice".

6)Kepada penulis,fahami dan dalami bidang bahasa,supaya dpt d perhalusi lg keadaannya.

Abdullah Chek Sahamat said...

Saya tidak mempersoal penyaduran loghat Melayu lain kedalam Bahasa Melayu (Malysia), namun apa yang saya persoalkan sebenarnya, selama ini adalah bila bahasa Melayu ditukar hanya kerana kita tidak mahir dalam penggunaan bahasa Melayu itu sendiri. Pokoknya, mungkin sikap kita yang terlalu memandang rendah kepada Bahasa Melayu, sehingga bila sesuatu istilah Melayu tidak kesampaian dalam fikiran kita, maka kita dengan mudah mengatakan bahawa bahasa Melayu itu telah jumud dan tidak anjal.

(2) Contoh, istilah Assimilation telah diasmilasi sedang, perkataan Melayunya boleh bermaksud: jerap, terap, adun, sebati, gunakan, dsb tergantung pada kedudukan ayat dan keadaannya (bukan kondisi, atau situasi).

(3) Keadaan ini, smalah seperti yang Dr. Mahathir perkatakan, bila di Singapura, kaumm Jawa, Banjar, Rhiau, Jawa, Bugis dsb tidak disebut sebagai Melayu atas muslihat mahu menghapuskan Melayu. Begitulah agaknya, kerana bagi kita di negara ini, sering saja melihat orang Jawa sebagai bangsa tukang kebun, bangsa boroh, maka perlahan-lahan orang Jawa sudah tidak mahu lagi mulanya bercakap Jawa, alau kemudian segala anak-cucu-cicit mereka tukarkan bangsanya menjadi Melayu.

(4) kekhuatiran saya adalah bila suatu hari nanti kebanyakan istilah Melayu biar semudah mana terus saja ditukar dengan istilah yang bukan Melayu asasnya, maka asal usul Melayu itu akan punah.

Anonymous said...

1)sy setuju pendapat penulis,namun itulah kelenturan BM.Bg sy secara peribadi sy sngt menyokong kelenturan BM ini.Tetapi tidak memberitahu bahawa kita tidak menidakkan atau merendahkan BM sendiri.Kelenturan itu sesuai dengan zamannya supaya BM tidak terkubur seperti bahasa2 lain antaranya Bahasa Sanskrit dan banyak lg bahasa lain sebenarnya yg sama aliran dgn bahasa sanskrit yg turut terkubur.

2)Kita patutnya berbangga kerana bahasa kita semakin berkembang untuk kemudahan penuturnya.Kita ambil contoh yang ringkas "marker".Kalau ikut lidah kita,kita akan menjenamakan benda "marker" itu sebagai "pen besar (pen pun adalah unsur pinjaman)Jadi secara naturalnya BM meminjam perkataaan ini untuk d serap agar memudahkan perkataan itu d guna pakai oleh penuturnya.Lihat,kdg2 BM menerima dan mengasimilasikan baasa asing kedlmnya kerana ada satu2 istilah belum wujud atau agak sukar d capai dlm BM.Jd d sinilah pentingnya sifat kelenturan.Kalau tidak adanya sifat kelenturan ini,ntah apa kita nak sebut benda "komputer" tu ek?

2)Jabatan perancangan BM pula tidak akan sewenang-wenangnya menghalalkan sesuatu istilah bahasa asing d serap ke dalam BM.Malahan mereka bertungkus lumus mencipta istilah baharu untuk penutur2 BM.

3)Jgn terlalu optimis(pinjaman lagi) kerana bahasa itu berkembang mengikut peredaran zaman.Tidak perlu menoleh terlalu jauh,ambil contoh yang ringkas,zaman cerita P.Ramli,dgr sahaja BM yang d gunakan,sudah semestinya ada perbezaan dgn BM sekarang (sebutan).Tapi kosa kata masih sama.Ini d namakan salah satu contoh perkembangan bahasa sejajar dengan peredaran zaman.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.