10/12/10 YANG TEGAK HANYALAH BENDERA?
Posted By: Abdullah Chek Sahamat - December 28, 2010(37 tahun dahulu, di sinilah dalam Kelas I&IIA saya belajar meniti hidup yatim piatu di perantauan. Duduk di kiri saya (sekarang Rosnani) adalah arwah teman paling akrab Mustapha Yusuf, arwah, dan di kanan saya adalah Rosnani (sekarang Nur Fatmadewi). Hari ini saya kembali, duduk semula di sini, dalam debaran gusar merenung nasib bangsa yang seperti hanya bisa bertancap bendera namun tiada erti terkesannya!)
Penghujung Disembar 1972 dengan berasak-asak menaiki KTM Kelas III saya mulai menjejak kaki ke Kuala Krai. Mulai saat itu, saya mulai terdedah dalam keadaan yatim piatu kepada segala kesempitan dan kepayahan hidup. Tiga tahun kemudian, saya juga menaiki KTM dari Kuala Krai ke Kuala Lumpur dan kemudian terus ke Alor Setar. Kali ini menaiki Gerabak Kelas II dengan kamar tidur. Selepas daripada itu, perhubungan saya dengan rakan-rakan terputus terus kerana selepas tamat SRP (di SMR Kuala Krai), kami semua akan bertebaran melanjutan pengajian ke serata tempat di sekolah-sekolah berlainan.
(2) Namun kerana saya mempunyai sebuah keluarga angkat yang sangat baik, bila saya sudah dewasa dan mulai bekerja, setidak-tidaknya tiga tahun sekali saya akan berkunjung ke rumah Hj Harun Hj Senik di Guchil. Guchil dari dulu sehingga kini adalah penempatan yang terbesar di Kuala Krai. Cuma bedanya, dulu rumahnya agak terpisah dan kini sudah terlalu banyak rumah terbina terselit-selit berlapis-lapis di antara satu sama lain. Anak-anak tetap masih berkeliaran berbasikal yang terkadang-kadang menerpa ke jalan dan mengkagetkan. Jalan-jalan masih merupakan lorong-lorong sempit yang berputar-putar. Ada ketikanya paras jalan jauh lebih tinggi dari rumah tanpa longkang sisi yang sempurna, dan menyebabkan rumah-rumah kebanjiran di waktu hujan lebat. Saya dapat gambarkan 30-50 tahun mendatang di sinilah akan lahirnya segala macam penyakit sosial yang mungkin juga akan membangkitkan Hitler Melayu!
(3) Biarpun sebelum ini saya banyak kali ke Kelantan, adalah amat sukar untuk saya dapat bertemu dengan rakan-rakan lama kecuali Mat Nor Omar. Rakan-rakan pada masa itu saya berkira sedang berjuang hebat mencari dan membina hidup meniti dari satu tanga ke satu tanga dengan penuh kepayahan namun cekal dan kental.
(4) Lawatan saya ke Kelantan kali ini adalah agak istimewa. Bersama, saya bawa kedua anak-anak saya Luqman Nur Haqim dan Nur Fatmadewi dan ibu mereka. Sengaja saya bawa mereka untuk saya perkenalkan kepada kehidupan saya semasa usia 13-15 tahun, sendiri di perantauan yang jauh, terpencil dan masih tidur dalam selimut busuk dan koyak-koyak.
(5) Sejak dulu sehingga kini, saya perhatikan, anak-anak Kelantan sangat gigih dalam menghambat ilmu. Mereka seperti sedar, bahawa asakan hidup payah hanya akan dapat mereka lepasi melalui penguasaan ilmu. Ibu-bapa mereka sanggup berbuat apa saja demi pendidikan anak-anak mereka. Ibu-ibu sanggup mengekang mata berkering tulang demi mencari rezeki buat biaya pelajaran anak-anak. Bersawah, menoreh, menjaja, berniaga, mengayuh beca, memandu teksi, membuat segala macam pekerjaan yang belum tentu mendatangkan rezeki yang lumayan. Banyak dari teman-teman saya dulu terpaksa melalui kehidupan sebegitu. Perjalanan mengejar ilmu mereka agak tersekat-sekat. Pelbagai kesulitan dan kekurangan terpaksa mereka harungi.
(6) Sejak mendarat di L/T Sultan Ismail Petra pada jam 24.30 malam 24 Dis., 2010 kemudian memandu ke Hotel penginapan, saya merasa Kota Bharu masih juga tidur dan tidak tahu kapan akan bangunnya. Jalan-jalan, dari dulu sehingga kini masih sempit dan berlingkar-lingkar tanpa seni taman yang menyegarkan. Fikiran saya mulai membandingkan Kota Bharu dengan bandar-bandar lain di seluruh negara: Johor Baharu, Pulau Pinang, Kuala Trengganu, Kuantan, bahkan Kuching. Kota Bharu jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding dengan kota-kota ini.
(7) Biarpun saban hujung minggu, Kota Bharu sesak dengan para pengujung dari luar Kelantan, namun sangat sedikit usaha telah dilakukan bagi memperkemaskan punca rezeki masayarakat di sini. Rata-rata pedagang batik, emas, segala macam consumer and specialty goods berniaga dalam keadaan berasak-asak yang tidak menyelesakan. Memang, saya pasti, ada yang akan berkata, itulah istimewanya Kota Bharu: berhimpit-himpit, berasak-asak, bersimpang siur, riuh rendah (kalut), melemaskan! Pergilah ke Wakaf Mek Yeh dan nikmatilah suasana berlopak, kekalutan, yang saya tidak terbayang takala hari hujan!
(8) Dalam benak saya bertanya: "Apakah ini akan mendatangkan pulangan paling lumyan buat mereka ataukah....mmmm....seronok juga dapat bergensel punggong semasa berasak-asak!". Seperti juga kalau banjir di Kota Bharu, itulah rezeki mata: "Dapat melihat betis dan peha anak-anak dara!" Jika pun pelawat merasa seronok berasak-asak bergensel pinggul, namun biarlah ada dalam kepala otak sebilangan dari yang mengurus segalanya ini suatu pertanyaan: "Apakah rezeki para penjaja ini akan datang mencurah-melimpah ruah seperti hujan takala hujan lebat? Berapa harikah dalam setahun hari-hari hujan di Kota Bharu?" Alasan kepada semua ini: "Kita negeri miskin, bersabarlah. Allah akan tetap bersama mereka yang syobar!". Namun hakikatnya, begitulah jalan pelarian dan juga kebanyakan yang mengurus sebetulnya sedang kemiskinan jiwa dan fikiran!Fikir saya, kita seperti sedang berhibur dalam perjudian nasib bangsa!
(9) Kesesokan harinya, saya membawa keluarga saya ke Kuala Krai iatu sekitar 65 KM ke utara Kota Baharu. Di sepanjang jalan sawah-sawah masih terbentang jauh. Penempatan dan kawasan-kawasan perniagaan baru mulai menguasai sawah-sawah di pinggiran depan jalan. Namun, segalanya seperti tidak teratur dan tanpa sokongan sebagaimana yang sering saya saksikan di kota-kota lain dengan jalan, Street Lighting dan Landscape yang teratur. Di sana sini kelihatan menara tangki-tangki air persendirian terbina tinggi menandakan permasalahan air yang amat kritis di serata negeri ini.
(10) Di sepanjang perjalanan juga saya perhatikan pertarungan memasang bendera PAS dan Barisan Nasional (kekadang UMNO)masih tetap sengit. Di mana saja ada terpasang bendera sebuah parti lawan, pasti parti saingan tetap akan terpacak disanding. Semangat berlawan di kalangan masyarakat Kelantan adalah teramat tinggi. Mereka sanggup bertancak bendera, berebut siapa paling tinggi, siapa paling besar, siapa paling banyak! Hebat! Cuma sayang mereka seperti lebih gemar bersaing pada ego dari bersaing pada kebajikan dan kemakmuran hakiki!
(11) Betapa semua ini mengetarkan jiwa saya tentang betapa Negeri Islam sedang terbina dalam penuh keterbelakangan. Anak-anak Kelantan adalah sangat terasing dalam sebuah negara yang entah apa maksud merdekanya? Juga di mana 1Malaysianya. Sayang, saya berkira dengan meninggalnya Tun Abdul Razak Dato' Husein, maka semangat membina bangsa merentasi ideologi dan puak turut juga telah berkubur! Kini yang penting adalah kelompok, parti, sendiri. Biarlah bangsa merempat, siapa dan apa peduli!
(12) Bila berjumpa dengan rakan-rakan lama, tidak kira lelaki atau perempuan, dari perbualan kami, ada seperti satu keunikan di kalangan sebahagian para suami dan isteri di Kelantan. Pertamanya, anak-anak mesti banyak. 5-9 orang satu pasangan. Saya menduga 60-100 tahun mendatang (3-5 generasi), mungkin 30 peratus dari rakyat Malaysia adalah keturunan Kelantan! Keduanya, seperti lumrah, janda-janda di Kelantan tidak akan menjanda lama. Pasti janda-janda ini akan mendapatkan teman baru. Umur dan status tidak penting, biarpun menjadi nombor yang ke berapa. Mereka seperti menerimanya, entah kerana sunah atau kerana budaya? Namun saya berkira, demi maruah dan harga diri, lebih baik bersuami dari menjanda yang boleh menjadi buah mulut-fitnah! Ianya kemudian menjadi budaya yang diterima secara diam kerana sunnah menjadi alasannya. Durhaka kepada sunnah jika engkar!
(13) Ketiganya, para suami di Kelantan, mimpinya adalah sebuah keluarga besar. Kebanyakan kepingin bersarang lebih dari satu. Keluarga besar menjadikan lelaki-suami Kelantan akan bekerja dengan lebih kuat. Keluaraga besar adalah suntikan semangat kerjaya buat mereka: "Kita ni jate loh, kena kuak. Anok keno ramai. Bini comel, muda, kalau bulih gak, lebih dari sore. Baru ada kelah!", pernah dihujahkan kepada saya oleh seorang teman. Kedudukan berhampiran dengan Golok memudahkan segala. Muslihatnya, sesudah berkahwin lagi satu, dua, atau tiga, sang isteri pertama pastinya hanya diam menerima. Sekali lagi pukulan adat menjadi penghalal segala. Sang isteri (atau isteri-isteri) yang dimadukan kemudian akan bertungkus lumus membesar dan menumpahkan kasih sepenuhnya kepada anak-anak. Secara azali, perempuan-perempuan Kelantan seperti terdidik untuk sujud-sembah kepada keluarga. Maka dengan sebab itu, saya berkira, semangat anak-anak Kelantan kepada ibu mereka adalah jauh berbeda dari semangat mereka terhadap bapa mereka.
(14) Namun ini berbeda jika wanita-wanita Kelantan berada di luar dari Kelantan. Sikap 'memberontak' mereka pasti terserlah jelas. Kalau boleh mereka tidak mahu rapat dengan lelaki Kelantan. Mereka boleh 'tok kecek Kelante' hanya beberapa hari kemudian. Maka atas sikap conservative adat pada lelaki Kelantan, biasanya bila di luar Kelantan mereka sangat bersikap protective terhadap wanita-wanita senegeri mereka. Sikap sebegini, sering menjadi masalah hubungan puak bagi anak-anak Kelantan dan anak-anak lelaki dari negeri lain. Akhirnya, tersembul pandangan serong terhadap puak Kelantan!
(15) Dari dulu sehingga kini, padangan saya terhadap Kelantan tetap sama. Bukanlah Islam yang sebetulnya mereka perjuangkan. Minat mereka adalah ketuanan Melayu. Mereka pergunakan Islam untuk mempertahankan ketuanan Melayu. Sama prihalnya dengan Melayu Pattani dan Champa. Mereka lebih kental pada Melayu dari Islamnya. Apapun janji yang dihamburkan di Kelantan, selagi ianya tidak menjurus kepada penguasaan Melayu, pasti konsep: "Malaysia Boleh, Kelante Jange-buatlah apa saja di Malaysia, tetapi jangan di Kelantan' tetap terpegang teguh. "Tok ada guno loh, negeri saja maju, ore Melayu kito dok kelipah-kelipah tengok sajo! Ini jadi masalah sayo dale UMNO!", begitulah pernah arwah Mamat Ismail bertelingkah dengan saya dalam pertemuan saya bersamanya empat tahun dahulu.
(16) Datanglah ke Kelantan, saksikan sendiri betapa di sana, kita akan terasa Melayunya. Paling ketara, apapun nama gedung atau perusahaan yang ada, pasti segala nama akan tertulis dengan tulisan Jawi. Sangat sukar untuk kita lihat tulisan berpangkah-pangkah atau berbelit-belit melingkar! Inilah suatu hakikat yang Najib perlu perhatikan. Tiada bezanya Kelantan dan Makasar, negeri asal nenek motyang Najib. Mereka sehingga kini tetap mahu memberontak, hanya kerana mereka mahu jati diri Bugis-Makasar tetap unggul. Cuma, saya ingin mengajak, janganlah Kelantan terus dipinggir, kerana kita seperti sedang menghukum rakan sebangsa-seagama, hanya kerana Politik warisan Rom-Greek! Janganlah hanya kerana kepentingan-serakah diri, suatu hari nanti Allah menurunkan musibah kepada kita sebagai mana musibah Tsunami yang diterima Jawa-Acheh yang tidak pernah mahu sebulu!
Matang Jaya, Kuching, Sarawak
28 Disembar, 2010
#Abdullah Chek Sahamat
Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
@ … pasti segala nama akan tertulis dengan tulisan Jawi.
-
Tulisan jawi – Amat cantik! Semakin Terancam?!
Semarak Jawi. Membandingkan dengan Rumi:
1. Jawi lebih indah, lebih mudah, lebih menarik.
Rumi = 26 +A+B+D+E+G+H+Q+R = 17x2 = 34 bentuk berdiri sendiri.
Huruf Arab + 6 Jawi - titik-2 = Sahaja 17 bentuk yang manis + tari-menari.
Tidak seperti Rumi, Jawi suka bercantum.
Hanya ekor perubahan seperti yang ditunjukkan di sini:
http://www.arabictypography.com/ani1.html
2. BM adalah bahasa fonetik, seperti Arab.
Cara terbaik adalah ditulis (dan dibaca) dalam Jawi
-
Tetapi kebanyakan orang Melayu + Indons tidak mengetahui.
-
Orang Melayu harus malu menggunakan Rumi di tempat Jawi.
Melompat Lebih Tinggi + Semoga Berjaya
sya suka komen Aziz Mostafa ..
yup me too...kerajaan yg pengaruhi segala menukarkan jawi kpd rumi...rakyat msia mcm ni pun kerana acuan kerajan...jgn ABC dok menyangak nasibnye melayu jer...tp x tngk ape pemerintah dah buat..
Saat ini saya sedang menyiapkan tulisan mengenai penelitian saya terhadap kejayaan rakyat Jerman, Korea, dan Jepun yang telah dihimpit hebat sebelum dan selepas WWI dan WW2. Mereka bangkit atas satu semangat tidak mahu dimalukan. Siapa yang beperanan besar dalam merombak semua itu: rakyat, kerajaan, cendikiawan?
(2)Dalam prihal Kelantan, di sepanjang saya di sana (dan bila-bilapun), jiwa dan semangatnya, tetap Melayu diDahulukan (Malay First) dalam apa juga urusannya. Bagaimana ini boleh terjadi dan sebegitu budayanya? Adakah ianya terletak di bahu Kerajaan, Rakyat atau Cendikiawan (para guru di pondok-pondok)?
(3) Perkara ini tidak anih, kerana di Korea, Jepun, dan Jerman begitu jugalah sifat-perlakuannya. Cuma, adakah kita juga ingin begitu sikap-tabiatnya?
Post a Comment