.

9/12/10 BERKAMPUNG MENGAMIT NOSTALGIA DI KUALA KRAI....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - December 27, 2010

Share

& Comment



(Gambar kanan: Chegu Mokhtar-'bereng', di sebelah kanan saya; Gambar kiri: duduk dari kanan Maziah, Mat Nor, Penulis, Rosnani, Muhayati, Asmarani, Nik Mustapha, (?), Berdiri dari kiri: (?), (?), Mohd Nawi, Shikin,...??? )

Tiga puloh lima tahun dahulu, pada hujung tahun 1972, dengan menaiki keretapi Kelas III berasak-asak paling tidak selesa, dari Stesyen Keretapi Kuala Lumpur, saya bersama-sama Untung Keri (Belawai), Kamaluddin Wasli (Betong), Haili Helen (Balingian) dan Ahmad Ismail (Marudi) dengan di temani Datuk Abg Yusuf Putih pertama kalinya menjejak kaki ke sebuah sekitaran yang sangat terasing dan terpencil, iaitu Kuala Krai, Ulu Kelantan. Pada ketika itu, musim Monsoon sedang bergelora, sehingga banyak tempat kebanjiran, memutuskan perhubungan jalan raya dan lapangan terbang. Di hari permulaan kami ke sina, atas hajat Kerajaan Negeri mahukan kami suatu masa nanti menjadi manusia berjasa kepada negeri ibu pertiwi, itulah kegetiran-ujian yang kami terpaksa lalui. Mengimbau saat itu, seperti kami terprogram sebagai anak-anak Arian yang sedang didik khusus oleh Hitler untuk korban negara-bangsa!

(2) Sesampai di Lapanganterbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, pada 24 Disembar, 2010 jam 23.30 malam, saya bersama anak-anak dan ibu mereka, dijemput oleh sahabat lama saya Muhamad Rafie Abdul Kadir (dulu kami panggil Mat Pek) dan isterinya Norizan, langsung kemudian menuju ke Kota Bharu Waterfront untuk menikmati Super. Angin malam sepoi-sepoi nyaman. Para bintang bertaburan. Sang rembulan malu berselindung hanya menunjuk wajah separuh. Air kali Kelantan mengalir deras bersama segala pasir dan kelodak hakisan di hulu dari kaki Titiwangsa. Tahun ini, tidak seperti selalunya, Kota Bharu tidak kebanjiran.

(3) Keesokan paginya, saya membawa keluarga saya sarapan Nasi Dagang di pinggir jalan. Kemudian, terus menyusur menuju ke Kuala Krai sekitar 65 KM dari Kota Bharu. Sebelumnya, saya sudah menghantar pesanan ringkas kepada teman sekelas saya Rosnani Ahmad bahawa saya akan ke Kuala Krai dan ingin singgah di sekolah lama. Rosnani adalah di antara beberapa teman rapat yang banyak membantu saya bila kami sama-sama menjawat jawatan Pengawas dan Perpustakawan di SMR Kuala Krai. Beliau adalah anak-anak yang sungguh sopan, tertib dan rajin. Cuma beliau tak 'reti' melukis dan saya selalu membantunya melukis.

(4) Bersama Rosnani kemudian saya berusaha mencari seorang lagi teman rapat iaitu Rozita Abdul Rahman, di Guchil, seorang anak comel, bermata sayu, sering btersenyum, agak diam berambut ikal mayang, namun tampaknya beliau sudah berpindah ke Kuala Lumpur. Persahabatan saya dengan Rozita adalah juga kerana kami sama-sama satu Kelas, Pengawas dan Perpustakawan. Kebetulan ibu Rozita sering membuat Nasi Dagang dan saya sering berkunjung ke rumah mereka khususnya di hujung minggu lalu bersahabat baik dengan Nik Ahmad Kamil yang juga diam bersebelahan dengan Rozita. Dalam pencarian ini, saya di khabarkan Nik Ahmad Kamil telah pergi 26 tahun dahulu akibat masalah ginjal.

(5) Dari rumah Rozita, kami melewati penempatan Guchil yang semakin sesak. Jalan-jalan tidak diselengara dengan baik. Guchil, seperti membangun dengan sendiri tanpa banyak sokongan dari Kerajaan Negeri dan Pusat. Di sini, saya melewati rumah dua sahabat saya yang paling akrab: Mustapha Yusuf yang juga telah meninggal kerana akibat masalah ketagihan dadah, dan Dzulkifli Mohammed yang juga telah meninggal akibat masalah jantung. Sebetulnya, setiap kali saya ke Kelantan, apa tah lgi bila ke Kuala Krai, pasti dua nama ini tetap menjadi sebutan saya. Mustapha dengan segala masalahnya, namun tetap menjadi anak baik, saat dia sering bersama saya. Sedang Dzulkifli setahun lebih senior adalah 'pencabar ketat' yang mendorong saya untuk lebih berjaya.

(6) Kemudian saya singgah di rumah seorang lagi teman, Mat Nor Omar, namun kami hanya berselisih beberapa minit kerana dia sudah munjung ke rumah mertuanya di Pasir Putih. Biarpun saya tidak dapat bertemu Mat Nor, saya dan keluarga sempat menjamu teh di rumah lama, iaitu rumah ibu-bapanya yang dulu menjadi sebahagian dari tempat saya sering berkunjung terutama di hujung minggu. Saya kira hari itu kalau bukan kerana agak segan, pasti biskut keras yang dihidangkan akan saya habiskan.

(7) Dari sana, kemudian tidak jauh dari situ, saya singgah di rumah keluarga angkat saya, Hj Harun Hj Senik. Haji Harun telahpun meninggal dunia sekitar empat tahun dahulu, dan isterinya (Mak Mah) sekarang lebih suka tinggal di Pondok iaitu Pondok Hj Deraman, yang bersebelahan dengan SMR (kini SMK) Kuala Krai. Saya hanya sempat berjumpa dengan anak-anak beliau Mohd Nawi dan Hassanah bersama suaminya Din. Mohad Nawi, akibat berbedaan fahaman politik, terpaksa bekerja keras untuk menampung hidupnya yang bekeluarga agak besar.

(8) Mohd Nawi kemudiannya 'belanja makan' di Gerai Persatuan Peladang di simpang Jalan Kuala Krai-Gua Musang-Kuala Lumpur. Sebetulnya, empat tahun dahulu, saya sembang-sembang sehingga jauh malam bersama juga sahabat senior saya Mamat Ismail yang menjadi sahabat baik Dzulkifli Muhammad. Pada masa itu, saya agak terperanjat bila di khabarkan bahawa Mamat Ismail adalah suami kepada Rosnani Ahmad yang juga sahabat se kelas saya. Takdir Allah, rupanya itulah pertemuan kami sejak sekian lama terpisah dan yang terakhir. Dia meninggal kerana masalah jantung akibat terlalu banyak merokok!

(9) Kami kemudian kembali ke hotel dan kemudiannya pada jam 2100 saya berjumpa dengan Raja Rusmin Dato' Raja Mahmud Pengurus Jualan dan Pemasaran Riverview Hotel. Kebetulan dia adalah sahabat junior saya semasa di UKM dan kami tidak pernah berjumpa sejak 1984. Kemudiannya, Rohani Ahmad Amar, juga sahabat junior saya semasa di UKM, datang menjemput kami sekeluarga untuk 'shopping' di Wakaf Mek Yeh.

(10) Wakaf Mek Yeh adalah pasar terbuka yang menjual beranika barangan terutama tektil dari India, China, Vietnam, Thailand dan tempatan. Barangan dijual dengan harga agak murah serta banyak pilihan. Cuma apa yang menyentuh perasaan saya adalah betapa para penjaja ini seperti tidak pernah di pedulikan sesiapa. Tempat letak kereta sungguh tidak senonoh di kawasan buangan sampah, berlopak-lopak, dan berasak-asak. Namun, saban hari, pada sebarang hari, tempat ini telah menjadi tumpuan banyak orang biar dari dalam atau luar Kelantan. Sekali lagi hati saya berdetak, betapa rakyat Melayu-Islam Kelantan terpaksa bertarung hidup secara sendiri tanpa kepedulain Kerajaan (Negeri dan Pusat).

(11) Inikah kudratnya bangsa kita, ummah kita, saat mereka benar-benar mahu berusaha, maka mereka tidak dipedulikan sedang yang tidak mahu berniaga, disogok dengan apa segala! Saya hanya berjalan tunduk namun kagum!

(12) Setelah berlegar agak lama, kami kemudian ke Restauran Wa berhampiran dengan hotel kediaman kami. Di sana kami makan bersama Chegu Mokthar Paiman, bekas guru Sains Paduan kami, dan isterinya Rosnaini Ismail yang sengaja kami datangkan dari Slim River untuk bersama-sama berkampung kemudiannya. Chegu Mokthar sangat terkenal di kalangan pelajar. Terkenal bukan kerana 'baiknya', tetapi kerana 'garang-berengnya'. Biarpun saya tidak pernah bermasalah dengannya, namun bagi pelajar-pelajar lain, dialah guru yang kalau boleh mesti dielakkan mata pelajaran yang diajarnya. Bila dia mengajar, suaranya boleh kedengaran dengan baik di kelas sebelah. Sebatan di tangan, hukuman berdiri, ketok ketampi...adalah hukuman biasa buat yang tidak dapat menjawap soalannya. Kerana saya tidak menimbulkan masalah kepadanya, maka saya dia tidak kenali dan ingat!

(13) Asmarani Md Nor pada malam itu telah ditugaskan untuk menjemput Chegu Mokhtar di stesyen bas Kota Bharu. Asmarani adalah antara teman sekelas saya yang paling lincah. Dia adalah hotspot bagi para senior dan mungkin sebilangan guru-guru muda. Dia adalah juga pengawas. Dalam bidang pembelajaran, saya, Rosnani dan Asmarani pastinya akan sering bersaing rapat. Namun kelebihan saya dalam Lukisan, Bahasa Inggeris, dan Sains Panduan maka saya sering dengan mudah dapat mengatasi mereka.

(14) Pagi 26 Dis., 2010 tepat jam 0900 Norizan, kami berkonvoi ke Nasi Dagang Pokok Cherri, yang saya lupa memastikan di mana letaknya, dengan isteri Mohd Rafaie menjemput Chegu Mokhtar dan isterinya, dan saya memandu sendiri.

(15) Nasi dagang Kelantan agak berbeza dengan Nasi Dagang Trengganu. Di Kelantan mereka menggunakan beras hitam bercampur, sedang di Trengganu hanya menggunakan beras putih. Sebagai biasa, makanan Kelantan pastinya agak manis dan tidak di Trengganu. Mungkin kerana itu Mek Kelate lebih comel-manis! Tempat ini sememangnya sangat terkenal. Kami terpaksa bergilir menunggu tempat duduk. Sekali lagi saya mengamati keliling, betapa, orang-orang Kelantan adalah mereka yang sangat cekal dan gigih. Mereka membina hidup hanya dengan bantuan yang amat sedikit. Jalan berlopak-lopak. Bahu jalan tidak terurus, begitu juga longkang-longkangnya.

(16) Sekitar jam 10.30, kami beredar ke Tok Bali, Pasir Putih. Untuk ke sana kami terpaksa melewati jalan-jalan melintasi banyak sawah dan perkampungan seperti Ketereh, Melor, Jelawat dsb. Ketereh amat biasa bagi saya. Saya pernah menjadi anak angkat keluarga petani, yang agak susah di sana. Ketika itu rumahnya hanya berdinding bambu. Mandi air telaga. Tandas pula jenis 'pit toilet'. Saban awal pagi bila hendak mandi atau 'hajat', adalah paling mengelikan kerana pasti sang pacat akan berebutan merembet di kaki. Malangnya tiada siapa dapat menghubungkan saya kembali dengan keluarga ini, cuma saya berdoa semoga mereka telah berjaya melepasi hidup susah-getir mereka sebagai petani.

(17) Di sepanjang perjalanan, saya berusaha memastikan kedua anak saya memerhatikan keliling. Sawah. Saliran. Sungai. Batas. Ayam. Itik. Kambing. Lembu. Kerbau. Kampung. Rumah-rumah. Namun, segalanya sudah berubah. Di pelusuk desa yang kami lalui sudah tersergam banglo-banglo besar yang di depannya tersadai beberapa MyV, kancil, dan bahkan kereta-kereta sederhana mewah. Kemiskinan seperti sudah hilang menjauh di Kelantan. Namun, bila dilihat secara lebih mendalam, ternyata, rakyat desa di Kelantan tetap mereka tidak atau sangat kurang dipedulikan. Mereka sebetulnya berdiri di atas kaki sendiri. Rumah-rumah besar di desa-desa saya percaya adalah hasil Wang Hantaran-remittence para anak-anak yang sudah berjaya berhamburan di seluruh pelusuk negara.

(18) Mungkin kerana itulah, maka saya berkira jiwa dan fahaman orang-orang Kelantan seperti tidak pedulikan apapun yang dijanjikan oleh Mahathir, Abdullah dan Najib. saya berkira, istilah "ore luar reti kecek sajo, apo hok nok dibuak, kita tak napokpun' sangat menepati kenapa mereka begitu degil tidak mahu 'bersalin baju'. Sayang, keprihatinan Tun Abdul Razak, yang melewati batas politik dan puak, tidak lagi menjadi ikutan mereka yang mengantikan beliau. Kelantan memerlukan pendekatan Tun Razak jika mereka hendak 'dimandi dan diganti baju'!

(19) Rakan-rakan lama mulai hadir di Tok Bali Resort & Spa mulai jam 12.00. Satu-persatu mereka datang, sedang saya dan Norizan adalah antara yang paling awal dan menjadi Bidan Terjun untuk menyambut tetamu. Pastinya, semua seperti teragak-agak, biarpun mereka sangat dekat, tetap banyak tidak pernah saling bertemu sejak 35 tahun yang lepas. Saya adalah antara yang paling tidak dikenali mereka biarpun banyak yang menyebut-nyebut nama saya kerana 35 tahun dahulu saya adalah seorang yang kurus, agak pendiam, berambut pendek-rapi-lurus. Kini saya agak lebih gondrong, tinggi dan berisi.

(20) Yang istimewa, yang hadir bukan hanya mereka dari Kelas I,II,IIIA, tetapi juga rakan-rakan dari kelas lain-lain yang sukar saya ingati. Antara yang paling awal adalah Maznah dari Kelas IIIC, dan paling tidak saya sangka, seperti katanya: "Saya mari sebab Chegu Mokhtar dan awak. Saya ingin sekali nak jumpa awok dan Chegu Mokhtar". Sebabnya saya tidak pasti, mungkin kebetulan dulu dan kini, saya dan Chegu Mokhtar sama-sama 'bereng'.

(21)Shikin adalah teman yang anih buat saya. Sebelum ini, dia sering berhubung dengan saya, biarpun saya sering saja mengatakan bahawa tidak ada pelajar dalam Kelas saya bernama Shikin, namun dia tetap bertegas mengatakan dia mengenali dan tahu sangat akan saya. Namun, bila saja dia melangkah kaki mendekati Dewan di mana kami mula-mula berkumpul, saya seperti tahu itulah Shikin, lantas saya mendekati dan berdiri di depan beliau. Saya cuba menduga apakah benar dia mengenali saya sebagai mana yang beliau sering katakan. Namun, hakikatnya dia langsung tidak kenal saya, sehingga saya tegur. Selepas itu, dia menjadi 'bahan lelucon' saya!

(22) Chegu Adibah, adalah guru ke dua yang sampai agak awal. Chegu Adibah adalah bekas guru Bahasa Inggeris. Suaranya masih lembut. Wataknya juga masih sopan dan lembut. Percakapannya cukup perlahan dan teratur.

(23) Agak lewat, seorang lagi teman yang tidak mudah saya lupa adalah Siti Haizan. Dalam Kelas dia suka duduk di depan saya. Alasannya, bila dia ada masalah pelajaran, mudah dia menoleh dan mendapatkan bantuan saya. Dan paling mengingatkan saya kepada dia adalah, istilah: "Wat heppe teachor-What happen teacher!".

(24) Kemudian, saya tercari-cari: "Saing kita hok duduk di Stesyen Keretapi...hok kecik, pendek, ite manis". Sebentar kemudian, muncul: Maziah Omar. Dia dulunya agak pendiam, sopan, dan tertib. Sebetulnya, dulu-dulu sebaik turun dari bas, saya, Rosnani, Maziah, Sharifah Abdul Rahman (?), Mat Zin Salleh akan sering berkumpulan berjalan sama melewati padang Kelab Sukan Kuala Krai. Mereka ini tinggal di kawasan Stesyen Keretapi Kuala Krai, sedang saya tinggal di asrama berhampiran.

(25) Dulu-dulu, Maziah, Sharifah, Zaharah, dan Mariam adalah empat serangkai 'gadis-gadis kecil', pendiam, sopan dan sangat berhati mulia dalam persahabatan mereka. Saya tidak pernah mendengar gosip dan celaan keluar dari hati-mulut mereka.

(26) Teman-teman lelaki, teman-teman akrab saya seperti Mat Zin Salleh, Mat Nor Omar, Mat Nawi, dan Rozalan Husein adalah teman-teman yang sering menumpangkan saya berbonceng basikal khususnya bila ada kegiatan petang di sekolah. Kami juga bila ada kelapangan akan menunggang basikal di sekitar pekan Kuala Krai atau kemana-mana ke rumah teman-teman untuk bersantai. Mereka hadir agak lewat sedikit.

(27) Keriuhan suasana mulai terasa bila agak petang Muhayati Yusuf tiba bersama anak-anaknya memandu dari Kuala Lumpur. Muhayati adalah antara teman yang suka 'gege'. Sifat 'happy go lucky' beliau tidak berubah dari 'gadis kecil' sehingga kini. Dulu dia adalah pengawas sekolah. Dulu juga dia adalah 'hotspot' para senior dan guru-guru muda. Muhayati, Asmarani, Rosnani dan sekali-sekala Zaiton Mat Amin merupakan empat serangkai yang lain dari empat serangkai Maziah-Sharifah-Zaharah-Maryam.

(27) Di sebelah malam saat akan bermulanya majlis makan malam, maka datanglah para guru, pertamanya Chegu Muhamad Yusuf bekas Guru Besar. Chegu Muhammad Yusuf kini sudah berusai 74 tahun, dan mengabdikan diri mengajar dan belajar di PhD: Pondok Haji Deraman bagi terus mendekati dirinya kepada SMR yang pernah beliau pimpin. PhD adalah terletak di luar panggar di sebelah utara SMR.

(28) Chegu Arifin dan Chegu Mustapha Salleh datang ketika saya sedang keluar untuk minum ke Pantai Bisikan Bayu. Keistimewaan Chegu Arifin dan Mustapha adalah mereka sangat tidak berubah sejak dari dulu. Badan mereka masih tegap. Lagak mereka masih smart. Kegiatan hidup selepas bersara sejak enam tahun dulu adalah melibatkan diri secara aktif dalam benyak program kemasyarakatan. Chegu Mustapha sering menghantar saya pulang ke asarama bersama adiknya Mat Zin Salleh bila kami habis tuisyen terutamanya di hujung minggu.

(29) Makan malam pada malam itu sedikit agak ribut kerana bialngan mereka yang hadir melebih dari dijangka dan pengesahan. Paling istimewa, biar banyak yang tidak mengesahkan kehadiran mereka, namun atas ingin saling bersaudara kembali selepas 35 tahun sudah, banyak yang sanggup memandu dari pelbagai pelusuk: Kuantan, Kuala Lumpur, Trengganu, Johor, dsb untuk hadir sama. mengetahui akan hal ini benar-benar mengetarkan jiwa.

(30) Pemerhatian saya, rata-rata mereka yang hadir samada saya kenali atau tidak, tampaknya semua mereka telah berjaya. Dari perbualan mereka, rata-rata mempunyai anak-anak yang jauh lebih berjaya dari mereka. Juga sangat jarang yang menghitung anak kurang dari lima orang. Angka yang sering asaya dengar adalah: 5,6,7,8 dan beberapa ada 9 orang anak. Juga saya dengar dan dapati banyak yang mendapat straight 8As dan atau 9As dalam PMR yang lepas.

(31) Bila mendengar semua ini, hati saya terasa amat tersentuh kerana semasa di SMR dulu, bila saya menjalankan tugas meronda sekolah semasa waktu rehat, pasti ada saja pelajar dari Kelas IIIG yan berlaku onar. Bila saya menyuruh mereka menulis nama mereka, paling memeranjatkan saya, sebahagian dari mereka belum boleh menulis dan membaca! Itulah corak celik huruf akibat kemiskinan-perit segala kekurangan pada masa itu.

(32) Orang Kelantan sememangnya terkenal dengan keperihatinan mereka terhadap kejayaan pendidikan. Tidak banyak dari rakan-rakan saya sebenarnya dapat melangkah mudah ke Universiti. Kebanyakan dari mereka terpaksa merangkak dari SPM, STPM, Kolej, dan kemudian baru ke universiti. Mereka gigih mengejar kejayaan biar dalam kepayahan dan kekurangan yang sangat mengusarkan.

(33) Pada malam dan di sepanjang p[ergaulan saya dengan teman-teman saya, saya pastikan bahawa anak saya terutamanya Luqman Nur Haqim mengikuti perbualan dan bicara kami. Semua ini adalah untuk menyadarkan dia akan kesusahan mereka yang susah.

(34) Pada malam itu, beberapa rakan-rakan telah di berikan peluang untuk berucap. Begitu juga para guru. Saya sendiri mengambil kira-kira 20 minit untuk bercakap, dan antara lainnya:

(a) Saya merasa amat terhutang budi kepada Negeri dan rakyat Kelantan kerana telah mendidik saya untuk berjiwa sebagaimana saya sedang berjiwa sekarang ini. Kelantan mengajar saya tentang erti kemiskinan-kepayahan-kekurangan. kelantan seperti mendidik saya untuk melepasi semua itu. Kelantan juga mendidik saya untuk terus ingat akan bahana bangsa jika sifat peduli terhadap masa depan bangsa tidak kita semai dengan baik. Guru-guru, rakan-rakan, mengajar saya akan erti semua itu. Saya berteima kasih atas lingkungan yang mereka sediakan buat saya menjadi saya sebegininya.

(b) Sengaja saya memilih saat ini untuk membawa kedua anak saya yang baru lepas PMR dan SPM untuk ke sini. Saya berkira mereka akan dapat memerhati betapa masyarakat Kelantan tetap akan 'degil' dalam mempertahankan sifat keMelayuan mereka. Saya berkira dan berharap mereka akan dapat menjerap sebahagian dari sifat-sifat tersebut dalam menempuh jalanan hidup mereka di masa mendatang.

(35) Perkampungan di Tok Bali pada malam itu sebenarnya adalah pertemuan bagi mengimbau akan persahabatan sejati kami di saat usia yang begitu innocent. Persahabatan kami adalah benar-benar atas keikhlasan dan kesetiaan sebagai rakan sama belajar. Pada malam itu, biarpun kami tidak mengenali pasangan masing-masing, terasa tidak ada kecurigaan dan prasangka bila kami bercerita tanpa segan silu akan kisah-kisah lampau di depan anak-anak dan pasangan masing-masing.

(36) Saya berdoa agar semua para guru dan teman-teman terus dalam peliharaan Allah. Mudah-mudahan diberikanNya segala kekuatan agar kita dapat terus berbakti sebaik mungkin dalam mengukuh dan memperkuat ummahnya. bagi teman-teman yang sudah pergi: Mustapha Yusuf, Nik Ahmad Kamil, Zakaria (Pok Ya), Dzulkifli Mohammed, dan mamat Ismail, begitu juga Chegu Hamid (Guru Seni Perusahaan) mudah-mudahan roh mereka sentiasa dalam kesejahteraan dan perlindungan Allah. AlFathihah.


Matang Jaya, Kuching
27 Dec., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

2 comments:

ani ahmad amar said...

saya yang turut serta pada pertemuan Abg Dollah bersama2 teman sekelasnya dulu,dapat merasakan ikatan persahabatan yang terjalin. Jarak masa dan kedudukan langsung tidak menjadi masalah buat mereka semua. Rasa hormat anak murid terhadap guru mereka jelas terpapar malam itu. Walau apa kedudukan sekalipun, mereka di dalam dewan masih lagi menunjukkan rasa hormat kepada bekas guru yang hadir. Sepanjang memandu pulang malam itu dari Tok Bali ke Pasir Tumboh, saya tersenyum memanjang, membayangkan jika saya dapat menghimpunkan rakan2 sekelas saya bersama guru yang pernah mengajar kami. Di manakah agaknya mereka kini. Tahniah kepada Abg Dollah yang berjaya melakukan ini, dan pastinya dengan bantuan rakan2 yang 'sporting'.

mdnasiridris said...

Salam. Sebenarnya saya google cari sejarah rumah quarters keretapi kuala krai tp jumpa dgn blog saudara.

Hanya 1 org shj watak2 yg saudara srbut dlm blog ini, iaitu Maziah Omar yg tinggal berjiran dgn saya di quarters keretapi kuala Krai. Dia 1 tahun tua dari saya.

2 tahun lps saya bertemu dgnnya dn seterusnya singgah sebentar di rumahnya di pasir mas.

Maziah ni awet muda, orgnya masih cantik

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.