(Gambar Kiri-barisan belakang kanan ke kiri: Rosli, Zainal, Engku Husein, Datuk Zaini, Marzuki, Penulis; Gambar Kanan-para isteri Datuk Zaini, Marzuki, Zainal (Azilah), Norlin (Engku Husein), Datin Mahani, Rini (Rosli). Abdul Halim Hamid tidak sempat hadir semasa gambar ini dirakamkan)
Beberapa minggu yang lepas, sahabat saya Engku Husein Hazmi yang bertugas di sebuah Bank Perdaganan di Kuala Lumpur (KL) mengutus SMS mengajak saya untuk hadir sama dalam Majlis ReUnion. Selepas mengadakan beberap siri perbincangan pelaburan dengan beberapa pengusaha dari Yaman, pada lewat sebelah petang Jumaat, saya ke rumah Engku Husein di Alam Damai, Shah Alam. Inilah lawatan saya yang ketiga ke rumah beliau ini. Lawatan pertama, bilamana saya telah dipinta memberikan beliau nasihat tentang tanaman yang hendak beliau tanam sebagai Hiasan Taman. Keperluan saya bertandang ke rumah Engku Husein setiap kali beliau baru pindah ke rumah baru telah seperti menjadi suatu tradisi.
(2) Dulu, semasa beliau pindah ke rumah baru dari apartmen di Pandan Indah, saya juga telah membantu beliau untuk menyiapkan Kamar anaknya, Safiq. Masa itu Safiq saya kira baru berumur sekitar dua tahun. Gambar-gambar Mickey Mouse dan Donald Duck menjadi hiasan utama kamar anaknya pada masa itu. Kini, Safiq sudah menjadi anak mendewasa dan sedang meniti hidup di University of Monash, KL.
(3) Pada pagi Sabtu, 19/11/10, seperti dijanjikan, kami berlepas dari rumah masing-masing. Engku Husein, isterinya Norlin (guru), anaknya, Safiq dan saya dari Alam Damai, Shah Alam. Rosli Abu Yamin (Amanah Saham Raya) dan isteri (guru) dari Kuala Lumpur. Marzuki (Kastam), dan keluarga dari Putra Jaya. Zainal (RHB), isteri Azilah (Sime Darby) dan anak-anak, Datuk Zaini (mantan Datuk Bandara Melaka, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan isteri dari Kuala Lumpur. Abdul Halim (pengusaha), isteri (CIMB) dan anak-anak dari Pulau Pinang. Datin Mahani , isteri kepada Datuk Mat Noor, mantan Pegawai Daerah Cameron Highlands menjadi tuan rumah majlis. Rata-rata, kami dalam lingkungan usia 50-52 tahun.
(4) Semua teman-teman ini adalah mereka yang keluar dari UKM pada tahun 1983 dan 1984. Kesemua mereka, kecuali saya adalah bekas siswa Fakulti Ekonomi UKM. Pergaulan saya dengan mereka ini, sebetulnya bermula bilamana saya melibatkan diri secara aktif dalam gerakan politik kampus pada 1981-84.
(5) Saya memasuki UKM pada Julai 1979 selepas tamat Matrikulasi di SMSAH Jitra Kedah. Di tahun pertama, 1979/80, saya ditempatkan di Kolej PJ 17/1 iaitu berhampiran dengan kampus lama UIA atau Kolej Islam PJ. Kemudian dalam semester II/80, saya memasuki Reserve Officer Training Unit (ROTU), sebuah Unit yang ditubuhkan oleh Angkatan Tentera Malaysia bagi melatih siswa/i yang berminat dalam soal ketenteraan, sama dengan Reserve Officer Training Cor (ROTC) di Amerika. Hasilnya, saya mendapat keistimewaan untuk ditempatkan di Kolej Jalan Pantai iaitu berhampiran dengan Maktab Perguruan Lembah Pantai dan Institut Bahasa Lembah Pantai.
(6) ROTU sebenarnya di asaskan dalam tahun 1980. Saya menjadi salah seorang anggota pelopor kepada pembentukan ROTU. Dalam ROTU, rakan-rahan seperti Che Ani Husein (Kastam Pulau Pinang), Mukti Ahmad (Guru, ATM), dan Razali merupakan kalangan senior yang telah terlebih dahulu mengangotai Pasukan Askar Wataniah, kemudian di serap ke dalam ROTU. Rakan-rakan sebaya dalam ROTU antaranya adalah Norizam(Abang), Sidek, Bakar, Yunus, Wan Mazlan (Lan Gajah, SUB KPPK), John Apau, Shariman....., malangnya, kerana kami sering memanggil antara satu sama lain sebagai Dabus, sempena sebuah watak kartun dalam Utusan Malaysia pada masa itu, saya kira pada masa itu, kami tidak sesekali mengambil berat untuk mengingat nama sebenar masing-masing. Dari Sarawak, hanya saya, John Apau dan Shariman yang menganggotai ROTU. Saya sudah kehilangan hubungan dengan mereka ini, kerana sejak kembali ke Sarawak pada 1984, saya agak kurang aktif kerana mahu menumpu sepenuh masa dalam menghambat jalanan sebenar hidup saya.
(7) ROTU telah mendidik kami untuk membentuk setiakawan yang sangat akrab dan saling membantu di antara satu sama lain, khususnya, pada masa itu sebahagian besar dari kami adalah datang dari keluarga susah dan sering saja tidak kecukupan wang. Saban waktu, kami akan bergerak sebagai satu sindiket, kemana juga, sama ada ke Bilik Kuliah, menonton wayang atau ke pasar Malam khususnya di Kampung Kerinchi. Disiplin ketenteraan yang mesti kami lalui dan patuhi selama tiga tahun menjadikan kami satu kelompok yang agak lain dari siswa/i seangkatan pada masa itu. Pada setiap hujung minggu kami terpaksa melalui latihan dan semasa cuti semester, kami pula terpaksa menjalani latihan hutan. Semua jenis latihan yang terpaksa dilalui oleh anggota tentera profesional mesti kami lalui, dan pada akhir tempoh tiga tahun, setelah dengan jayanya melepasi semua ujian, latihan dan kekal berambut pendek (rekrut) dan berkulit hitam, maka kami dianugerah Laftenan Muda (LtM) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Taraf kami adalah taraf bertauliah dan boleh mengetuai mana-mana Plantun dalam alam ketenteraan sebenar. Biasanya DYMM dengan dihadiri oleh YAB PM sendiri akan mentauliahkan kami setelah tamat latihan. Zaman saya, DYMM Tengku Ahmad Shah dan YAB Datuk Sri Dr. Mahathir hadir dalam majlis tersebut pada tahun 1982.
(8) Dalam tahun pertama ini (1979/80), saya mengambil sikap memerhati dan tidak begitu menonjol dalam apa juga kegiatan kampus kerana masih lagi berkemelut dengan permasalahan identiti. Yang paling mengesankan adalah kerana, pada masa itu saya masih lagi diselubungi keresahan kerana ayah saya sedang menghadapi sakit parah pneumonia. Bila berita pemergian beliau sampai kepada saya pada awal Semester II/80, pada masa itu saya seperti ingin pulang dan melupakan jalan pengajian saya. Pada masa itu, lengkaplah pusingan hidup saya sebagai yatim piatu di perantauan. Dan saya terapung-apung perlu hanyut sendiri!
(9) Pemergian ayah saya itu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk tidak menghambat cita-cita asal saya untuk menceburi bidang perubatan, yang sebetulnya di dorong oleh rasa ingin membantu ayah (dan juga ibu) yang kepayahan untuk mendapat rawatan perubatan yang baik dengan mudah pada masa itu. Juga, pemergian beliau, telah menyedarkan saya untuk tidak juga mengejar jalan menjadi seorang saintis, biarpun saya berada di Fakulti Sains UKM. Sekian lama juga saya seperti mengasing diri, mencari-menghitung jalan hidup yang perlu saya hambat.
(10) Syukur, Allah seperti telah menentukan, saya kemudian, melihat kepada kepayahan hidup yang jauh lebih hebat di kalangan teman-teman, telah sedar bahawa, jika saya tidak dapat berbakti kepada kedua orang tua saya, maka saya perlu berbakti kepada bangsa saya buat membalas budi-jasa mereka. Mulai saat kesedaran itu, saya mulai memerhatikan gerak langkah politik kampus para senior. Secara kebetulan, pada tahun 1980/81 iaitu di dalam tahun ke II, kelompok bergelar Tindakan Siswa Bersatu (TSB) yang diketuai oleh Zainuddin Rais (Datuk, dan pernah jadi Exco Negeri Sembilan) telah dibentuk bagi menentang kelompok yang bergelar Angkatan Tindakan Mahasiswa (ATMA). TSB sebenarnya didokong kuat oleh UMNO, sedang ATMA ditunjangi oleh ABIM dan PAS. Atas sifat liberal dan patriotik ROTU, saya memilih untuk mendekati kelompok TSB. Pada Piliharaya Kolej 1980, saya bertanding kerusi AJK Kolej Sains Lembah Pantai. Dalam pertanding tersebut, saya memenangi kerusi tersebut bersama rakan-rakan: Nasir (Geology), Shahdan (Kimia dan sekarang TKP Lembaga Nenas), dan Rubiah (Guru?). Kami hanyalah minoriti (pembangkang) dalam kelompok majoriti ATMA dalam AJK Kebajikan Kolej.
(11) Semasa di tahun ke II, saya juga telah mulai berjinak-jinak dengan Persatuan Mahasiswa Sarawak, UKM: PEMESRA dan mulai aktif dalam penyusunan kegiatan bersama.
(12) Dalam sessi 1981/82, iaitu semasa saya dalam tahun ke III, Fakulti Sains UKM telah berpindah sepenuhnya ke Kampus Induk di Bandar Baru Bangi (BBB). Di sana, kegiatan kampus saya mulai berkembang luas dan cepat.
(13) Kebetulan dalam piliharaya kampus 1981/82, TSB sedang dalam kepayahan untuk mencari calon bagi Kawasan Umum (Parlimen). Namun, kerana nama saya sudah sedikit bermain dibibir para senior, maka saya menjadi pilihan mereka. Syamsuri Syono (Sham), seorang senior dari Fakulti Sains, yang begitu akrab dengan Biro Tatanegara (BTN) sebenarnya adalah antara yang paling awal mengheret saya dalam arus politik kampus dan seterusnya mendedahkan kepada kesedaran politik negara. Perkenalan meluas saya dalam ROTU Induk UKM juga sangat membantu kepopuleran saya untuk bertapak dalam politik Kampus Induk. Rakan-rakan baru seperti Halim Hasyim (Pengetua Sekolah Syed Omar, Alor Setar), Mohamad Salleh (Datuk, CP Sarawak) dari Fakulti Sains Sosial menjadi Jambatan untuk saya mulai menerobos ke Fakulti tersebut. Begitu juga dengan rakan-rakan baru dari Fakulti Islam, Perniagaan dan Jabatan Persuratan Melayu.
(14) Dalam gerakan politik kampus dalam 1981/82 saya mula berkenalan dengan Rahman Bakar (Datuk, Senator dan Bekas Timbalan Menteri Tenaga Rakyat), MatNor Mat Diah (arwah), Azmi Razik (CEO Badan Keusahawanan Trengganu), Zawiyah Yusuf (Pensyarah), Hamidah Omar (LHDN Ipoh), Akhbar Satar (Pengusaha), Rafii (Pendakwah bebas), dsb. Perjuangan kami pada masa itu, lebih menumpu kepada membangun minda siswa/i. Kami seperti mahu membentuk sebuah gerakan yang boleh membentuk siswa/i agar bersikap patriotik serta sangat prihatin terhadap pemasalahan bangsa dan negara.
(15) Dalam sessi 1981/82 ini juga, saya telah membentuk satu pakatan anak-anak Sarawak UKM agar lebih bersatu biar apapun keturunan kaum dan tempat asal mereka. Saya berpandangan, adalah lebih baik untuk anak-anak Sarawak di UKM yang dari berbilang latar sosial, agama dan kaum serta dalam jumlah yang amat sedikit bersatu memperjuang sesuatu yang jauh lebih bermakna dari hanya belajar dan bersosial sesama sendiri. Dalam pemilihan jawatan dalam tahun tersebut, biarpun ada gerombolan yang sinis terhadap keabraban saya denggan anak-anak Malaya, namun hasil dokongan padu anak-anak Sarawak dari Fakulti Sains serta mereka yang berasal dari luar bandar, saya dapat menguasai PEMESRA. Nama-nama seperti Kamaluddin Alkap, Kameri Affendi (Pegawai Kanan), Misnu Taha (Datu, Timbalan Setiausaha kerajaan Negeri), Hamsiah (Public Bank), Hasanah Daud(Pengetua), dllnya menjadi barisan kabinet saya. Dalam tempoh saya menjadi Presiden PEMASRA dari 1981/82 hingga 1982/83, saya berusaha membawa PEMASRA kepada persoalan Pembangunan Sosio-ekonomi Sarawak. Maka, banyak acara kami buat lebih menjurus kepada memperlajari gaya pengurusan pembangunan di Semenanjung. Juga saya cuba membentuk jambatan antara anak Sarawak dan rakan-rakan lain di Semenanjung kerana pada pandangan saya, ini adalah penting untuk kejayaan kerjaya masa depan mereka. Namun, sikap introvert, rendah diri, pemalu, curiga, anak-anak Sarawak menyebabkan saya seperti bergelut hebat dalam merobah gaya dan pemikiran mereka. Ada ketika, saya seperti dituduh: Mat Malaya!
(16) Melalui PEMESRA maka tapak untuk saya memperluaskan pengaruh politik kampus menjadi semakin lebar. Di Persatuan Anak Negeri Johor (PERMAJ), saya mulai berjinak-jinak dengan Sugiman, yang juga pendokong kuat TSB. Dalam PERMATA, Persatuan Anak Negeri Trengganu, Rahman Bakar dan Engku Husein sedang bekerja secara senyap-senyap agar Persatuan tersebut kekal dalam pengaruh TSB, Syamsuri Suyono, kemudiannya Muhammad Husein (pensyarah) sememangnya sangat fanatik untuk memastikan PERMAS, iaitu Persatuan Anak Negeri Selangor sentiasa bersih dari pengaruh ATMA dan PAS. Ikatan Borneo juga membawa saya agak dekat dengan Persatuan Anak Negeri Sabah, biar pada masa itu, anak-anak Sabah seperti berada di atas angin hanya kerana mereka adalah antara elit yang mendapat biasiswa yang jauh lebih lumayan dari siswa/i kebanyakan selain dari merka di bawah tajaan PETRONAS dan Brunei. Saya sering bergaul mesra dengan merka di dalam Persatuan Anak Negeri Kelantan, biarpun hakikatnya, kami sering bermusuhan akibat pengaruh PAS-UMNO. Mansor Abdul (Penolong Kanan SMSAH Jitra), Azizan, Nazer L. Jiwa (arwah),...mendekatkan saya kepada Persatuan Anak Kedah. Sharom menjadi jambatan ke dalam Persatuan Anak Perak.
(17) MatNor Mat Diah mendekatkan saya kepada Persatuan Anak Negeri Sembilan. Saya dengan MatNor menjadi rapat kerana saya dengan mudah dapat menguasai Bahasa Minang dan sering bersama beliau dihujung minggu di Kampungnya di Batu Kikir Negeri Sembilan. Melalui beliau saya berkesempatan memerhati gerak fikiran Datuk Sri Rais Yatim secara lebih dekat.
(18) Perkenalan saya dengan para pemimpin anak negeri juga turut mengheret saya untuk lebih akrab dengan para pemimpin persatuan berasaskan akademik. fakulti Ekonomi, Fakulti Sain Sosial, Fakulti Islam, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Jabatan Persuratan Melayu menjadi sasaran pengembangan pergualan dan pembelajaran kepimpinan saya. Rakan-rakan seperti Fuad Jali (Prof, pensyarah), Misron Jerut (Pentadbir), dan banyak lagi yang saya telah lupa, menjadi rakan seperjuangan yang sangat akrab.
(19) Tujuan saya meresapi persatuan anak-anak negeri dan akademik adalah untuk menarik mereka menyertai TSB, yang lebih bersifat politik perjuangannya, merentasi negeri dan akademik. Dalam gerakan inilah, maka saya dengan Mustapha Ishak (Datuk VC UUM) telah bersatu dengan mereka seperti Engku Husein, Halim Hamid, Fuad Jali, Muhammad Husein, Rosli Abu Yamin, Marzuki, dan banyak lagi mulai belajar akan strategi-stragei terbuka dan penyusupan dalam memenangi hati siswa/i untuk menyokong kami. Saya, Engku Husein, Halim Hamid dan Fuad jali lebih kepada perang saraf terutama dalam menampal poster dan pengedaran risalah-risalah bagi menjelaskan gerakan dan perjuangan kami. Abdul Rahman Bakar dan MatNor Mat Diah yang telah keluar tetap membantu khususnya dalam mendapatkan sumber kewangan bagi menyokong kelompok kami. Saya banyak bergerak bersama Abdul Rahman Bakar dan MatNor Mat Diah dalam bertemu dengan para pemimpin UMNO untuk mengumpul dana bagi keperluan kami.
(20) Dalam tahun 1983/84 iaitu tahun di mana saya telah menangguhkan tempoh tamat pengajian saya, dan meneruskan kehadiran saya di Kampus untuk setahun penuh, tanpa ada apa-apa kuliah tetapi hanya menyiapkan thesis yang sebetulnya telah siap, saya telah menumpu sepenuh masa dalam politik Kampus. Kegiatan politik saya membawa saya ke Sabah (Kampus UKM Sabah), ITM Shah Alam, UM lembah Pantai dan USM Pulau Pinang terutam dalam membantu UMNO dan BTN untuk memenangi sokongan para siswa/i agar sentiasa mendokong matlamat Kerajaan untuk menfokus perhatian mereka kepada pelajaran dan tidak 'lari' dalam arus kancah perang UMNO-PAS. Dalam tahun itulah
(21) Syukur, dalam saya mendekati para siswa, saya juga dapat menarik golongan siswi untuk turut sama membantu berkempen dan menrekrut penyokong TSB. Kalangan siswi membantu kami secara senyap di balik tabir dan tidak banyak yang sanggup tampil secara terbuka kerana suasana di Kolej adalah agak pelik di mana jika didapati para siswi mendokong TSB mereka biasanya akan 'diserang' dan cuba dipencilan seberapa boleh. Sebagai fitrah bahawa kaum Hawa tidak gemar untuk 'berperang', mereka biasanya menyokong secara senyap-senyap, melainkan sedikit seperti Zawiyah Yusuf, Shamsiah Amin, Norazlin Masyuar, Mazlon Naim, Hashimah, dan banyak lagi yang saya sudah tidak ingat.
(22) ReUnion kami di Cameron Highlands benar-benar mengimbau kembali nostalgia semangat mahu membina bangsa, dan kebetulan pada malamnya saya sekamar dengan Abdul Halim Hamid, dan kami bercerita tentang siapa-siapa dan di mana, dan apa yang mungkin sedang masing-masing perbuat dalam memenuhi idealisma siswa.
(23) Saya menulis ini, dengan harapan, kepada yang hadir pada ReUnion ini, yang keseluruhannya merupakan individu Melayu yang sudah berjaya, tetap kita tidak lupa akan janji-janji kita semasa kita masih bergelar siswa/i. Mudah-mudahan, kejayaan yang kita kecapi hari ini akan dapat diagih sama buat masyarakat kita seluruhnya. Mudah-mudahan, InsyaAllah.
Sibu, Sarawak
24 Nov., 2010
5 comments:
isteri nya bapak yang mana satu ya..kelihatannya ada 6 peria ..pasti salah satu isteri nya(dari gmbar isteri2) bapak ... pasti orang nya comel dan cantik setanding dengan bapak yang ganteng ..
saya sempat mengikuti perkembangan politik kampus penulis sewaktu di UKM dulu. Malah sempat juga bergiat sebentar bersama-sama teman2 sewaktu di tahun petama. Seperti yang dinyatakan 'tidak banyak yang sanggup tampil secara terbuka kerana suasana di Kolej adalah agak pelik di mana jika didapati para siswi mendokong TSB mereka biasanya akan 'diserang' dan cuba dipencilan seberapa boleh.', maka jadilah saya hanya penyokong kepada gerakan TSB secara sembunyi. Walaupun ingin bergiat secara serius, tetapi ketiadaan teman siswi lain yang ingin terlibat secara terangan2an, keinginan saya hilang begitu saja. Alangkah baiknya jika sayajuga berkesempatan membuat re-union bersama2 teman yang seangkatan dengan saya (82 - 85), tentu banyak yang boleh dibualkan. Kepada ABC, teruskan perjuangan membantu anak bangsa, teruskan menulis dan saya kagum kerana dari fakulti sains(kagum dengan lukisan bunga orkid ABC), ternyata ABC mempunyai bakat bersajak. Terjawab sudah persoalan saya selama ini, iaitu sewaktu teman2 ABC berkonvo, ABC masih di kampus, mengelek nota, kononnya pengajian belum tamat. Terima kasih kerana tulisan ini kerana saya juga sdg mencari senior saya Zawiyah Yusoff!
Zawiyah Yusuf kalau tak silap adalah pensyarah di Fakulti Pembangunan (?) di UKM. Saya pernah melihat nama beliau terpampang di kamarnya kira-kira tiga tahun dahulu. Saya juga belum ada kesempatan untuk betremu semual dengan beliau yang saya anggap "Iron Lady" semasa dalam perjuangan politik kampus!
(2) Buat Rohani yang kini sudah jadi pendidik, ikutilah blog saya tentang gaya bangsa Jerman menggunakan pendidikan untuk membangkitkan sifat self-development dikalangan rakyatnya. Ajarlah naka-anak bangsa supaya sering menyoal dan menyelidik. Paling baik, fahami dan patuhilah arahan Iqraq.
(3) Isteri saya....sedang hadir dalam mimpi!
terima kasih kerana respon di atas! Begitu pantas masa berlalu, dan saya sebenarnya terlalu mengabaikan keinginan saya sendiri demi anak2 yang masih kecil. 18 tahun saya di Bandar Baru Bangi, UKM terlalu jauh untuk saya jengah. Waktu itu anak2 masih kecil dan memerlukan pemerhatian dari saya. Saya yang sebenarnya 'tidak boleh duduk diam', akur dengan keadaan ini. Bukan saja UKM, malah segala aktiviti sekolah sering saya elakkan, termasuk mesyuarat yang dianjurkan, apatah lagi bila ianya memaksa saya bermalam. Jadi, Kak Zawiyah sebenarnya ada dekat sekali dengan saya, tetapi menjadi terlalu jauh untuk saya hampiri. Kini saya kembali ke kampung di Kota Bharu, anak2 juga sudah dewasa, sudah boleh ditinggalkan, saya kembali aktif. Saya sering di tawarkan menjadi caperon di dalam aktiviti sukan. Untuk bergiat secara lebih lagi dalam bidang pentadbiran sekolah, faktor umur mungkin membataskannya. Tetapi saya rasa, sayalah yang paling banyak melibatkan diri dalam segala aktiviti di sekolah(seolah2 membalas dendam pada masa lalu). Menjadi guru, bukanlah cita2 utama saya dulu, dan kini inilah kepuasan saya, melihat anak2 didik berjaya, bersama2 mereka, mengenali keluarga mereka yang rata2 adalah dari golongan yang susah. Abg Dollah, dulu sewaktu mula2 mahu ditugaskan, saya berdoa supaya saya dihantar ke Sabah dan Sarawak (cuma di dalam hati, kerana keinginan ini pasti akan ditentang keluarga sehabis2nya).Keinginan ini disebabkan saya tahu di sanalah akan benar2 teruji kemampuan saya. Dan sekarang, bila anak sulong saya akan ke India (tajaan JPA), saya gembira kerana disana nanti pastinya dia akan belajar berdikari sepenuhnya, walaupun hati saya,ibunya, bimbang akan keadaan semasa.
Masyaallah!, masih lagi bermimpi? Hadirkanlah sang isteri itu ke alam nyata, kerana di sini pasti dia akan mendengar suara2 alam yang merdu.
(1) kolek dalam perahu
moleklah kalau begitu
(2) sedap dengar lagu
ngajar molek-molek bila jadi cegu
Post a Comment