.

8/7/10 APAKAH BENAR SEGALANYA KERANA KETENTUAN ILAHI?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 18, 2010

Share

& Comment


(Apakah kudhratnya sememangnya miskin? Tidakkah kejam jika Allah telah menetapkan agar dia terus miskin, payah dan susah. Maha Kejamkah Allah? Atau, biar sekeras mana dia berusaha, akan senangkah hidupnya? Di mana silapnya, pada kudhrat atau pada usahanya (dia sendirinya)? Begitu juga tentang bangsa Melayu kita ini. Payah, susah, derita, pariahnya kita adakah kerana kudhrat Ilahi atau kerana apa?)

Orang Melayu sering berkata: Jodoh, maut di tangan Allah. Maksudnya, Allah yang menetapkan bila akan kematian seseorang, dan Dia juga menentukan dengan siapa dan bila pertemuan jodoh seseorang itu. Dalam soal kematian, sememangnya jelas ternyata di dalam Al Quran. Soal kematian dan segala sesuatu kejadian selepas kematian sering diperkatakan di dalam Al Quran. Cuma, saya rasa, sukar untuk saya menemui perbicaraan jodoh dinyatakan dengan jelas di dalam Al Quran. (Mungkin ada yang mahu membantu!)

(2) Dalam soal mati, Allah telah menetapkan semua orang, dan bahkan semua kehidupan akan mati. Di alam kita ini, tiada sesuatupun akan terus kekal sebagai azalinya (aslinya), semuanya akan berubah. Peraturan alam telah Allah tetapkan agar segala sesuatu itu akan terus berubah, cuma perlahan-lambatnya sahaja yang membedakan. Contohnya, batu tidak sesekali terus-terus tinggal sebagi bungkah mengunung bahkan akan hancur jadi kelikir, pasir dan tanah. Air, tidak terus saja mengalir, namun ianya juga akan bertukar jadi wap, salji, dan bahkan bungkah glasier. Sungai, lautan, tebing, pantai, segalnya tetap berubah.

(3) Rembulan tidak terus saja enak mengambang. Ada tikanya gerhana, lenyap. Pun juga matahari tidak terus saja terang-hangat-panas sinarnya, padi ada redup dan malam.

(4) Sememangnya bumi tetap berputar dari Timur ke Barat, pada garis Khatulistiwa, maka dengan itu tetaplah edaran matahari dan bulan sebagaimana sangkaan kita. Namun itu juga tidak kekal, biar putarannya tetap dari Timur ke Barat, namun tempohnya juga akan berubah-rubah. Lihatlah pada keadaan cuaca kita kini, hujan moonsun sudah tidak lagi hanya terjadi pada penghujung tahun, bahkan sudah kian tidak menentu. Kita jadi binggung dan resah kerananya. Namun sebetulnya, begitulah tangan Allah, segalanya, sebetulnya Dia 'kadang-kadang' sengaja menjadikan keadaan itu tidak menentu. MahuNya, agar otak kita terus juga berputar ligat!

(5) Persoalan yang ingin saya utarakan, kita orang Melayu seperti seperti sudah berpegang teguh, bahawa segala sesuatu itu telah ditetapkan Allah. Maka timbullah andaian: Hidup dan Mati itu di tangan Allah. Apakah ini betul? Apakah ini benar? Apakah maksud sebenarnya tentang ungkapan kata-kata itu?

(6) Saya amat resah melihat dan memikirkan betapa kita orang melayu sering menjadikan Allah sebagi sebab akan segala kegagalan kita untuk mencapai sesuatu, khusunya tentang kebaikan. Kita mati awal sebab Tuhan. Kita miskin sebab Tuhan. Kita tak dapat anak, sebab Tuhan. Kita salah kahwin sebab Tuhan. Segalanya, seperti sebab tuhan! Kita seperti sangat berserah kepada Allah bila kita gagal. Apakah kerana kegagalan, maka Allah jadi sandaran sebab kita, atau sebetulnya kita adalah manusia yang masih jahil dan bahil? Jahil dan bahil untuk menghalusi fitrah kejadian kita sendiri!

(7) Saya resah, inilah sebenarnya yang tengah mengnancurkan martabat dan maruah bangsa Melayu, kemunduran Islam dalam dunia Melayu!

(8) Saya banyak mendengar dan berjumpa, bila seseorang berada dalam kemelut jodoh khususnya, maka, sering mereka akan berkata, biarlah saya sembahyang Isthiharah dulu untuk mendapat pertunjuk Allah tentang pilihan saya. Saya, bersyukur tentang saranan itu, namun, selalunya, tidakpun mereka yang berkata sebegitu melakukan Isthiharah pada pengertian sebenarnya. Mereka akhirnya mementukan pilihan mereka hanya semata-mata atas pertimbangan fikiran dan hati sahaja. Isthiharah sering hanya dijadikan penyedap rasa hati!

(9) Saya ingin bersangka, sebetul dan sebenarnya, Allah maha berkuasa dalam menentukan kejadian kita, iaitu merestui persenyawaan sperma (telur lelaki) dan ovum (telur perempuan). Dalam soal ini, Dia menjadikan ada dari tiada. Bila dua sel asas manusia telah bersenyawa, hanya bila telah tiba peringkat tertentu sahaja pembentukan janin (embrio), Allah akan memberikan kita nyawa (nafasNya), kalau tidak silap pada tahap 12 minggu selepas persenyawaan. Maka dengan sebab itulah, penguguran bayi selepas 12 minggu dari tarikh mula kehamilan adalah sangat dilarang, melainkan demi kesihatan sang ibu! Ini kerana, di dalam tubuh bayi itu sudah ada roh Allah. Mengugurkan bayi itu pada saat sebegitu, adalah sama dengan khianat pada roh (nafas) Allah!

(10) Pendeknya, di dalam setiap kejadian janin (embrio), Allah tetap punya campur tangan langsung. Hanya dengan kemahuanNya sahaja maka barulah janin itu akan lahir sebagai bayi. Tanpa restuNya (kudrat), janin itu tidak akan menjadi. Maka hakikatnya, jadi atau tidak janin itu, mesti ada campur tangan langsung dari Allah. Allah tahu, dan adalah kudhrat mutlakNya untuk menghidupkan seseorang manusia dari sebarang persetubuhan dua manusia matang.

(11) Dalam perkara-perkara (soal-soal) lain, saya bersangka, Allah hanya menetapkan faktor-faktor (sebab musabah) kepada penzahiran kejadian itu, khususnya pada seseorang manusia.

(12) Ambil contoh tentang kematian. Ada di antara kita mati belumpun sempat kita keluar dari rahim ibu. Ada juga yang mati melewati umur 100 tahun. Kalau kita kaji sedalam dan seluas yang boleh, dan bertanya, apakah benar Allah menetapkan tarikh kematian kita? Dengan soalan sebegini, memang banyak orang akan berkata: "Penulis sudah terpesong Imannya!". Saya tidak menafi kita akan mati. Saya juga tidak menafi Allah telah menetapkan, iaitu Dia berkuasa mematikan kita. Itu ketentuan, itu kekuasaan Allah, itu kudhrat mutlakNya. Dalam memutuskan roh, menarik keluar nafasNya dari jasad kita adalah kuasa mutlaknya. Itu saya pasti dan yakin.

(13) Saya hanya bertanya, di samping menentukan kematian, apakah Dia juga menetapkan tarikh, saat, ketika, dan caranya matinya kita? Dalam soal ini, saya bersangka tidak. Saya berkira, Dia hanya menetapkan sebab-musabah yang boleh mematikan kita. Saya bersangka, Allah tidak menetapkan tarikh, saat, ketika, dan caranya matinya kita. Dalam soal ini, kita sendirilah yang menentukan tarikh, saat, ketika, dan caranya matinya kita. Allah hanya membenarkan (meluluskan) sahaja, tarikh, saat, ketika, dan caranya!

(14) Asas kepada fikiran saya ini, kerana, pada tingkat 12 (?) minggu genesis (pembentukan) janin (embrio), Allah memberikan kita nafasNya. Dengan nafas itu, proses genenesis kita terus berkembang kepada pembentukan segala organel (tisu-tisu) dan organ tubuh badan kita. Yang paling penting, selepas 12 (?) minggu, otak dan hati kita akan terbentuk secara komplek. Saat itu, terbentuklah manusia yang sebetul dan sebenarnya Allah berikan dengan sepenuh kemerdekaan. Pada saat roh sudah dihidupkan pada janin itu, menjadi bayilah (manusia) janin tersebut, dan seterusnya punya 'kemerdekaan membangun diri'.

(15) Ringkasnya, saya bersangka, dalam kejadian seorang manusia, Allah telah tentukan faktor-faktor kepada kejadiannya: dua lelaki-perempuan matang, bersetubuh, menyatukan seperma-ovum, dan dengan penjagaan kehamilan yang baik, lahirlah seorang manusia kemudiannya. Jika mana-mana faktor ini tidak terjadi, pasti tidak lahirlah manusia. Dalam soal ini, Allah hanya campur tangan langsung dalam soal meminjamkan roh (nafas)Nya semasa proses genesis janin (dan dalam tempoh hayatnya).

(16) Dalam perkara-perkara lain dalam kehidupan manusia, Allah tidak akan campur tangan secara langsung. Dia telah memberikan kita kuasa penuh. Dia berikan kita roh, dari roh itu melahirkan otak dan hati. Dari otak dan hati, maka kita sebenarnya telah Allah berikan kemerdekaan penuh untuk menentukan siapa dan apa akan terjadi kepada kita. Kita diberikan hati untuk melahirkan naluri untuk mengingin, kita pula diberi otak untuk berfikir, menyaring dan menimbang, lalu memutuskan (dengan berani bersama hati)!

(17) Biar dalam urusan mati sekalipun, sebenarnya otak (fikiran) dan hati (naluri) kitalah yang menentukannya. Jika otak kita lalai, naluri kita buas, maka tangan, mulut, dan perut kita akan meratah apa juga sehingga kita 'mati sebelum tempohnya'.
Perhatikan, apakah Allah akan merampas dari tangan kita bila kita dengan enaknya melahap sup yang berlemak? Dia berkuasa untuk berbuat apa juga, tetapi adakah patut perkara sekecil itu juga menjadi tugasNya? Allah sebenarnya hanya menentukan faktor-faktor (sebab musabab) kepada kejadian kematian kita. Jika kita manusia yang sering hati-hati biar tentang apa sekalipun, pastinya Allah akan memanjangkan umur kita. kalau kita tidak semberono, maut sebenarnya di tangan kita.

(18) Kalau hendak jelas: pergilah gantung diri! Allah, pasti akan mematikan sesiapa juga mengantung diri, dengan syarat lehernya tercekik, pernafasannya tersekat. Allah telah tetapkan, faktor-faktor kematian dalam hal ini, jika pernafasannya terputus dalam tempoh tertentu (3-5 minit), dia pasti mati! Jika faktor-faktor ini berlaku dengan sempurnanya, maka "kun fayakun", matilah dia! Jika kebetulan ada orang lalu, menyambut kita sebelum tali menjerat lehar, maka tidak jadi matilah kita, kerana faktor-faktor kematian kita tidak berjalan sempurna! Bukan kerana ajal kita belum sampai! Namun, jika kita memang hendak mati, kita tetap masih boleh membunuh diri!

(19) Begitu juga dalam soal jodoh. Kita cari, kita jumpa, kita suka kerana secocok, serasi, maka jika ini semua berjalan sempurna, maka jadilah ianya. Jika mana-mana darinya belum sempurna, pasti akan terus terkial-kiallah kita. Pelbagai alasanlah yang akan kita berikan, sehingga perlu sembahyang Istiharah (biarpun hanya penyedap mulut dan rasa!). Seeloknya, dalam soal kekusutan mencari (dan mempertahankan) jodoh, cakap sajalah yang sejujurnya: kalau tak suka, minta maaf sajalah, tak suka. Tak payah nak beralasan apa juga. Tutup saja buku. Pendekkan segala cerita. Be gentleman (cuma pokoknya kita terlalu pengecut untuk be gentleman)! Itu bagi yang tak suka. Tapi bagi yang suka tetapi masih terkiual-kial, kena bijak sajalah membaca 'orang tak sudi'. Kita belah sajalah! Aman dunia! Namun bagi yang sudi-sudi, usaha sajalah yang sesempurnanya, insyaAllah, Dia tahu apa nak buat seterusnya.

(20) Dalam soal mencari rezeki, sama juga. Kita usaha, kita guna sekuat tenaga, fikiran, kemahiran, dsb, pasti Allah akan berikan kita rezeki mengikut kemahuan dan usaha kita. Allah, sebenarnya hanya meluluskan segalanya mengikut kehendak dan usaha kita jika kita memenuhi segala faktor-faktor kepada ketentuannya. Cuba fikirkan, jika kita hendakkan ikan, dan kita berusaha keras pergi memancing, menjala, memukat, memento, menjaring, mengempang, menjaul, menontang, manaut, dsb di tempat yang betul, pasti Allah akan mendatangkan rezeki ikan pada kita. Tidak mungkin Dia mendatangkan rezeki minyak diesel pulak!

(21) Begitulah seluruhnya dalam kehidupan kita: pangkat, kedudukan, kebahagian, kekayaan- pokoknya mati kita, sihat-sakit, maju-mundurnya kita, Allah sebenarnya telah berikan segala kemerdekaan untuk kita capai sendiri. Dia tidak bertanggungjawap secara langsung dalam mencapainya untuk kita. Dia hanya menentukan faktor-faktor kepada saat dan tahap kecapaiannya.

(22) Fahamilah, pada usia janin kita berumur 120 (?) minggu, Allah pinjamkan nafasNya kepada kita. Dari roh itu, kita seterusnya dibangunkan otak dan hati. Jika si ibu-bapa menguruskan tempoh kehamilan (genesis) itu dengan sempurna, maka sempurnalah genesis otak dan hati kita. Apa lagi jika kedua orang tua itu seterusnya dapat menguruskan sekitaran tumbesaran anak itu nanti dengan sempurna, maka otak dan hati yang sudah sempurna itu akan terus jadi 'perfect' cara fikiran dan nulurinya. Jika itu terjadi, maka akan sempurnalah, manusia itu hasil dari keseluruhan kesempurnaan faktor-faktor yang menyelubunginya. Kehadiran otak dan hati inilah sebenarnya, kuasa yang Allah telah turunkan kepada kita untuk menentukan siapa, apa, dan bila apa juga kejadian akan terjadi kepada kita.

(23) Saya berkira, jika kita punya keyakinan sebegini, kita pasti tidak menjadi manusia kerdil yang hanya tahu meminta dan berserah. Kita sakit bukan kerana ketentuan Ilahi kita mesti sakit. Kita sakit, kerana kita sendiri yang membenarkan kita sakit, dan pasti kita mampu mengatasinya. Kita miskin bukan takdir kita miskin, kita mampu mengubahnya. Kita pandai, kaya, sihat, panjang umur, dsb bukan takdir kita sebegitu, semuanya kerana kita berusaha ke arah itu, dan Allah hanya merestuinya jika kita telah terbuat akan faktor-faktor untuk kejadiannya. Soal sempurna atau tidak, juga tergantung tahap kesempurnaan pekerjaan kita terhadap faktor-faktor tersebut.

(24) Maka memohon restu Ilahi dengan berserah diri kepadaNya, hanya akan diluluskanNya, jika kita sebenar-benarnya telah berusaha, melakukan segala sesuatu itu sejelas, sesempurnannya, sejujur dan seikhlasnya. Jika itu semuanya dipatuhi, maka di situlah apa yang orang Melayu sering katakan barakahNya, persetujuanNya, kun fa ya kunNya, kudhratNya akan terlaksana!

(25) Ada bidalan Melayu berkata: Pengayuh di tangan, sampan di air, ke mana mahunya, tepuk dada tanya selera! Tidakkah ini lain dari: Segalanya dari Allah?

MyStore, Terasi , Pendam
18 July, 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

2 comments:

Anonymous said...

Mmg susah mencari yang secocok... Bila kita suka, si dia main tarik tali, bila kita tak suka, si dia pula tebalkan muka.... Apa pun hakikat tak perlu berdiam diri dan menjadi pengecut..Jika suka katakan suka... Jangan biarkan si dia ternanti2... tak baik mainkan perasaan orang,kelak ALLAH S.W.T akan membalasnya...Dan yang penting jangan hanya tahu bercakap dan nasihat kan orang sahaja.. Selami diri... mungkin kita pernah membuat orang ternanti2 jawapan dari kita....Agar tiada yang berdendam dengan kita dan agar hidup kita dan hati kita menjadi tenang..... Semoga antara kita dapat renung2kan....Amin....

Anonymous said...

"kena bijak sajalah membaca 'orang tak sudi'. Kita belah sajalah!"

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.