Sore ini, seperti sore-sore selalunya, sejak berbulan-bulan yang lalu, aku duduk di sini di atas batu hitam bergerigi di tebing curam ini. Di sini, aku seperti menjejak langkah-langkah lampau yang pernah kulewati. Pada saban sore nan sepi, dalam sepoi-sepoi bayu Laut China Selatan, berirama iringan nyanyian sang cengkerik, kakiku pasti menurut saja perintah hatiku, tetap mengheret malas tubuh keringku, biar deru otak di kepala memberontak mati berkata jangan, tetap hatiku bertahta juga, berjaya dia memaksa aku ke sini. Saban waktu, aku tanpa sadar, mampir, duduk termangu merenung pada kaki langit, menjejaki rebah tidurnya sang mentari, dari hamparan batu-batu ini, pada tebing curam ini, aku melihat garis-garis merah malam lenyap satu-satu, berganti pekat hitam, seperti saja perginya asaku dalam menelusuri sisa-siksa rohku yang terkurung pada jasad yang kian longlai.
(2) Di tebing curam ini, saban kali termanggu aku di sini, aku seperti merenung nasib semalamku yang begitu hangat dan bersemangat. Hatiku, yang sudah lama tandus-kontang, tetiba terbuka menyambar bening tetes cinta pada sebuah tubuh Hawa yang lewat bersama moonson. Izan, gadis kuning langsat, lampai, rambut ikal mayang berjuntai lebat, bibir seulas pinang, raut wajah membujur sirih, pekerti dan santun secuci gadis Melayu desa yang terdidik penuh adat dan agama dan jiwa yang teguh namun nakal menyebabkan hatiku menjadi goyah lalu mengadah cinta-kasih padanya.
(3) Saban waktu bersama, kami bercerita apa saja tanpa ada tabir di antaranya. Betapa banyak cerita duka hidupnya yang telah aku dengar dari bibirnya dan seperti telah kuhafal segalanya. Dari hidup sebagai anak desa yang penuh kekurangan, meniti arus hidup remaja merantau ke serata negara hanya kerana tugas dan tanggungjawap orang tuanya kepada negaranya, dia ibarat sabut yang terus saja hanyut bersama arus, dipukul badai ke mana saja, dan terdampar yang belum pasti tempat sebenar persinggahannya. Selalunya, bila air pasang berkunjung datang, sabut terus saja hanyut dan terdampar ke mana-mana. Segala cerita hidupnya, dan juga aku, telah kami telanjangi tanpa silu tanpa malu. Kami seperti saling terlalu mengerti di antara kami. Jiwa kami seperti telah bersatu dalam satu roh. Kami seperti satu. Kami seperti satu jasad, satu roh, satu cerita, satu jalan: seirama, saling melengkapi.
(4) Dalam pada gelora cinta yang membakar hangat, ada saja musibah hidup yang memisahkan. Seperti Adam dan Hawa, hanya kerana angkara syaitan dan buah khulbi, biarpun saja Allah telah menjanjikan segala isi syurga adalah halal untuk Adam dan Hawa, namun masih juga ada pagarnya, maka tercampak mereka dari syurga lalu terdamparlah Adam di tanah Palestine sedang Hawa terkapar di pergunungan Hindi. Ratusan dan mungkin ribuan tahun baru saja mereka ketemu untuk mengembang zuriat lalu terus-terus saja digoda para syaitan untuk memilih kiri jalan. Qabil dan Habil, dua anak keturunan Adam-Hawa, kerana syaitan juga, angkara cinta dua bersaudara, maka Habil mati dibunuh kandanya Qabil. Kerana cinta, seperti telah menjadi kudratNya, dari sebermula kejadian manusia ada saja penghadangnya. Aku dan Izan, hanya kerana pagar adat, hanya kerana ketakutan akibat melangkah adat, takut akan pincang maruah keluarga, takut akan cacat hubungan saudara, takut untuk mengecewakan, maka patuhlah dia akan ikatan cincin yang telah dia sarungkan hanya kurang sebulan dari waktu kami bersetentangan mata yang membuahkan cahaya cinta spontan mendadak.
(5) Padanya, aku tidak pernah menjanjikan syurga. Kami hanya sering berbicara tentang zuriat penyambung tugas yang akan berjalan keras berlari kencang membina bangsa dan negara. Aku berkira, itu tidak sesekali terasing: sebermula dari Adam-Qabil-Habil, Ibrahim-Ismail-Ishak, Yakub-Yusuf, dan Muhammad-Hassan-Husein semuanya inginkan zuriat yang meyambung tugas demi ummah. Kami mengerti. Kami sebati tentang cita-cita ini. Ya apa lagi dicari pada erti cinta, jika bukan mengerti dan sebati. Jika bukan sehala setujuan! Namun pagar adat terlalu kuat, tidak berani dia melangkah rebahkan pagar. Sehingga aku, seperti terpagar juga dalam keteransingan sendiri, melihat pagar adat mengagung diri, memisahkan kami. Aku juga menjadi kecut melihat rentasan tegar pagar adat.
(6) Adat seperti telah menghancurkan keserasian dan haluan yang selama ini kucari. Saat aku menemuinya, adat membunuh ia pergi. Adat menghambat aku menjauh. Adat tidak merestui keperluan dokonganku cita-cita kesinambungan perjuangan untuk bangsaku. Adat seperti membunuh pelengkap cita-citaku untuk bangsaku. Adat seperti membunuh bangsaku. Fikiranku memberontak keras atas usul: "Biar mati anak, jangan mati adat". Aku diburu rundung. Aku di buru walang. Aku menyuram. Aku kehampaan. Aku diburu kekeciwaan.
(7) Tersungkur aku dalam gelora cinta ini, seperti sudah menjadikan aku hilang segala. Yang tadi, adanya Izan yang mengerti dan sebati, yang menghibur dan menemani, kini sudah jauh, hilang bersama waktu. Degup jantungku yang mulai menyegar, kini tetiba menguncup malas. Semangat membara bunga bangsa, kini kian hanyut ditiup bayu mengejar lembayung yang kian malap. Pudarnya roh cinta-kasih Hawa, menjadikan fikiranku lemah, mahu saja aku menyerah. Mahu saja aku lekas kembali kepadaNya.
(8) Di saat ini, dalam remang sore ini, dan pada tubuhku, hanya kerana masih adanya hatiku yang mahu terus bertahan, biar warna merah segarnya kian pudar seakan lenyapnya lembayung sore yang hilang bersama bangkitnya rembulan, sedang kepalaku sudah memutuskan bahawa, hadirnya aku sudah seperti bangkai bernyawa. Fikiranku sudah menghukum bahawa aku tidak harus hadir lagi menerima siksa-sengsara sebegini pedih, sedang hatiku tetap keras, mengajak aku terus menanti mentari bangkit saban esoknya hari. Inilah ajaibnya tangan Tuhan, yang menjadikan aku dari gumpalan tanah yang beranika zat dan warna. Otakku mungkin terbina dari zat besi yang mudah berkarat, lalu mudah saja menyerah, sedang hatiku adalah berlian keras yang terus berkilau, semakin bergemerlapan biar hanya dalam samar.
(9) Begitu juga, mataku mungkin adalah tergumpal dari tetesan air yang tersembunyi pada gumpalan tanah, kerana perahan kuat tangan Tuhan, terpercik air bening keluar melewati liang kelenjar, seperti tidak mahu berhenti, mungkin itulah fitrah anugerah Tuhan, punca segala tangis derita yang dapat kukucurkan. Setiap kali di sini, fikiranku kaku, hati seperti rindu, air mataku tumpah tanpa perintah. Fikiranku dan rasa hatiku sudah tidak bersatu. Satu mengarah aku pergi, satu laginya, memaksa aku menanti sampai kapanpun. Hanya tetes-tetes air mata, yang terkurung pada jasad mataku yang kebingungan, mengalir seperti mengerti, bahawa tiada daya yang sebaik tangis lirih agar kedua fikiran dan rasa hatiku menjadi puas.
(10) Ombak, arus deras dan tebing nan curam ini, mengamit aku untuk melayangkan tubuhku agar dihempas puas ombak ganas. Tubuh yang kian kerempeng, pasti dengan mudah saja bisa hancur berderai dipatah-patah terbanting terpulas pada gigi-gigi karang yang sedang lapar. Cebisan-cebisan daging tubuhku pasti nyaman buat sajian segala mahluk yang sedang lapar. Itulah perkiraan fikiranku, sebagai akhirnya pengorbananku kepada Tuhan yang telah menjadikan aku. Itulah perkiraan fikiranku. Kali ini, biarlah aku menjadi korban kepada mahlukNya yang bukan manusia. Fikiranku, seperti sudah kalah untuk lagi bersama manusia. 'Terjunlah!' aju otakku. 'Jangan dulu!', bentak hatiku. Kemelut diri menghantuiku, lalu sang mataku, menangis tidak mengerti perintah mana perlu dituruti. Adakah aku menangis kerana nestapa, atau kerana kecelaruan yang sukar aku mengerti!
(11) 'Broommmm', deruan kereta mampir menyentak aku dari kemelut diri. "Ah, kau Munshi, ke hulu ke hilir, seharian aku mencarimu! Apa engkau buat di sini? Sedang berfikir mahu membunuh diri ya?", bentak Busman seraya melangkah menghampiriku. Aku hanya diam membatu, air mataku tetap mengalir deras, tanpa aku pedulikan kehadiran Busman. Fikiranku sudah tekat, saat ini, manusia bukanlah sebaik mahluk yang perlu kudampingi. Jika boleh, biarlah aku berasmara dengan para syaitan dan iblis, kerana di saat ini merekalah yang kurasakan paling bersimpati akan siksa-nista yang kuhadapi. Aku yakin, segalanya telah kuserahkan sepenuh-ikhlas buat manusia, namun segalanya tidak ada maknanya buat mereka. Aku terpinggir-terbuang lebih jelek dari najis babi selayaknya. Tubuhku goyah, bibirku mengeletar, sebakku menjauh mahu sembunyi ke dalam hati yang masih keras.
(12) "Munshi, bersabarlah. Tuhan itu maha adil. Dia pastinya sangat menyayangimu, maka Dia tidak memberikan apa yang pada pengetahuanNya yang tidak sempurna atau selayaknya buatmu. Percayalah, pasti Dia punya rencana tersendiri buatmu, aku pasti jika kau terus jujur dan ikhlas atas sifat kebajikan dan pengorbananmu kepada ummahNya, pasti Dia memerhatikan mu secara dekat", Busman membujuk lembut, sambil memeluk erat tubuhku. Dengan gagah dia mengheret aku menjauhi tebing langsung menuju keretanya. Dia seperti sudah mengerti, bahawa tebing itu pasti mengundang nahas buatku. Sangking aku melawan, sangking kuat dia mengheretku menjauh tebing itu.
(13) Busman adalah teman sepermainanku sejak anak-anak. Kami sering ke mana saja bersama. Di Kampung dan juga semasa menuntut di Menara Gading kami sering berdua sebagai belangkas sehingga ada jolokan mengatakan kami adalah Homo. Selalunya kami sambil tertawa mengakui saja jolokan itu kerana sememangnya kami adalah Homo sapien. Kini kami sama-sama dewasa dalam alam kota. Dia adalah ahli perniagaan berurusan terutamanya dalam soal hartanah. Aku telah meninggalkan dunia perkhidmatan awam dan sedang berusaha membina kekuatan dalam bidang perladangan. Busman banyak membantu aku di awal dunia baruku. Aku sebetulnya agak bosan dengan kerenah perkhidmatan awam yang sangat mengongkong dan lesu. Sepuluh tahun dahulu, aku telah berbincang dengan para petani di kampungku, dan akhirnya mereka bersetuju menyerahkan tanah-tanah mereka untuk aku majukan dengan sawit. Sebagai balasan, mereka aku lantik sebagai kontrator bagi segala jenis pekerjaan ladang yang mampu mereka lakukan di atas tanah masing-masing. Segala keperluan modal aku biayai sepenuhnya, bermula dari wang gaji dan segala simpanan yang ada kemudian perlahan-lahan melalui biaya Pinjaman Bank. Konsep perkongsian kami adalah mudah, aku mengambil 50 peratus dari keuntungan bersih hasil ladang dan selebihnya aku serahkan buat para pemilik tanah. Aku cuma perlu pastikan bahawa pembahagian keuntungan ini dibuat secara bulanan. Inilah sistem yang sangat dikehendaki oleh orang kampung, berbanding dengan segala sistem yang sedia ada yang bertitik tolak kepada keperluan pembahagian keuntungan bersih lepas cukai pada penghujung tahun. Aku tidak mengenakan sebarang kos pengurusan dan juga aku tidak mengenakan mereka sebarang bunga atas segala perbelanjaan. Bagiku, biarlah wang gajian yang kudapati aku tabur buat kebahagian mereka yang memerlukan.
(14) Alhamdullilah sehingga kini usahaniagaku sudah kembang dalam dunia borong dan peruncitan. Dalam masa yang sama juga aku sudah mengikat beberapa kontrak kerja ladang dengan beberapa ladang lain di sekitar daerahku. Hidupku kini sudah kian sibuk. Di awal pagi aku keliling melihat kerja-kerja yang perlu dilakukan di ladang sawit. Sekembali dari sana, terus saja ke Mini Market dan Stor Borong untuk melihat stok barangan dan membuat pesanan yang sepatutnya.
(15) Aku sudah terlalu lama berminat dalam dunia perniagaan. Sedari kecil aku sering melihat Ah Kok seorang peruncit Cina di Kampungku, sering saja menjadi tumpuan para penduduk yang memerlukan wang terutamanya di musim mula persekolahan. Ah Kok bertindak seperti banker yang kapan saja penduduk tempatan ada kesulitan wang pastinya dia dengan murah hati membantu. Melihat akan perilaku Ah Kok, aku kepingin sekali punya upaya berkebajikan seperti dia. Cita-cita niagaku meluap-luap bila saja aku kembali dari Pengajianku dua puluh tahun dahulu. Kehendak ini terdorong, bilamana aku dapati Ah Kok seperti memeras rezeki para penduduk kampungku. Dia membeli barangan kampung dengan harga jauh sangat murah, sedang menjual keperluan harian tempatan dengan harga yang terlalu tinggi. Secara kasarnya, Ah Kok bertindak sebagai lintah darat. Sebagai anak kampung yang berpendidikan aku merasa tercabar, dan telah berazam untuk membebaskan masyarakat kampung dari berlenggu himpitan orang tengah seperti Ah Kok.
(16) "Yah, dulu nenek moyangku berperang dengan Belanda, dengan Inggeris, dengan Jepun mahu memerdekakan tanahair ini, kini, di depan mataku, di depan muncungku, Kampungku seperti kembali terjajah, dan apakah aku harus betah membiarkan Kampungku tidak merdeka?", pertayaan dan persoalan ini sering saja bermain di kepala-hatiku. Aku sudah terlalu lama terasa terjajah di negeri sendiri. Aku juga telah terlalu lama, terasa bahawa martabat bangsa sudah hilang dengan lenyapnya perjuangan kemerdekaan. Aku terasa kemerdekaan telah memusnahkan martabat bangsa.
(17) Aku juga sebenarnya merasa terhina, bagaimana, orang kampung yang keseluruhan adalah orang kita boleh begitu tertindas oleh kaum lain yang bukan permastautin. Paling aneh buatku, anak-anak muda kita punya pelajaran yang jauh lebih hebat dari manusia seperti Ah Kok tetapi punya semangat dan daya hidup yang jauh lebh kerdil dari beliau. Paling aku amat kesali, semasa di Menara Gading semangat mahu menegakkan Islam mereka sangatlah membakar, namun, bila sudah tamat pengajian, semangat Islam mereka hanyalah sekadar untuk menyelamat diri sendiri dari terbakar api neraka. Mereka hanya menjadi Islam yang amalnya hanya untuk diri sendiri: sembahyang, berpuasa, Hajji, dan Fitrah. Soal membina upaya agar boleh membayar Zakat yang besar tidak pernah diutamakan. Apa tah lagi dalam usaha membina upaya perekonomian ummah.
(18) Bagi yang berkecenderungan membina moral, begitulah kebanyakannya sifat mereka; sedang yang beranggapan liberal, mereka lebih mementingkan kemewahan diri: punya keluarga, punya kereta, punya rumah dan boleh hidup dengan kemewahan. Soal masyarakat soal kedua atau menjadi tidak penting sama sekali. Sebahagiannya, sehingga soal kebajikan orang tua merekapun telah mereka abaikan. Mereka seperti kacang lupakan kulit!
(19) Aku sering saja termanggu melihat semua ini: "Manusia, belangnya putih, tembelangnya hitam, berapa mungkin yang segalanya putih?", aku tidak pasti, tidak mengerti akan kerja tangan Tuhan: ada hitam, ada putih; ada gurun, ada lembah kebanjiran; ada malam, ada siang; ada ribut, ada sepoi-sepoi, seperti segalanya berpasang-pasang, yang tujuannya tidak aku sangat mengerti. Tuhan, aku hanya bisa termangu, terngadah, terkadang-kadang alpa dan lupa!
(20) Saat ini, fikiranku tersangat teruji. Segala kewarasanku sudah seperti terbang pergi. Putih berganti hitam, dingin berganti bara panas neraka, segalanya seperti sudah di akhir jalannya. Busman memandu kereta ke kota. "Malam ini, kita makan steak di St. Franchisco Grill", usulnya cuba memecah kebisuanku. Namun aku hanya terus keras membisu. Fikiranku hanya kepingin agar Busman memecut keretanya selaju yang boleh, lalu terlangar apa saja, agar aku bisa terhumban dan tergoleng-goleng kaku lalu dipenyek lori-lori lumat menjadi tanah. Tetiba tubuhku kembali mengeletar kuat, fikiranku menjadi semakin merasuk, tanpa sadar, aku menumbuk cermin tingkap kereta Busman sekuat tenaga, menyebabkan dia kaget, langsung menekan pedal brek, menyebabkan aku terhumban keras ke dashboard. Pecahan kaca melukai tanganku, darah mulai mengucur deras. Kepalaku terhantuk kuat, meninggalkan sakit yang bukan kepalang. "Munshi!", jerit Busman. "Cuba kau ingat Tuhan sedikit! Kalau kau nak....", dia manahan diri dari menghabiskan ayatnya. "Astarfirrulah hallaazim, nasib baik kereta kita tidak terbalik, bersabarlah", sambungnya, mematikan enjin kereta, lantas terus keluar dan mendapatkan aku dari pintu sebelah.
(21) "Ingatan pada budak Izan itu datang lagi merasuk engkau ya? Aku hairanlah, apa yang hebat sangat tentang si budak Izan yang kau gilakan ni?", sambungnya lagi. "Aku dulupun bercinta juga, pernah ditinggalkan mentah-mentah oleh entah berapa perempuan, juga pernah berputus tunang, tidakpun aku sampai gila macam engkau ni? Engkau dah gila ya? Kalau kau dah gila boleh aku hantar kau ke hospital gila", leternya. Dan, tanpa semena-mena, sebiji penumbok kulayangkan ke perutnya. Dia mengerang kesakitan. "Kau memang dah biol kau tahu tak!", jeritnya. Dia terduduk di sisi kereta. Aku terselimpuh sama di sisinya. Kepalaku tertunduk. Kupaut erat lutut ke tubuhku.
(22) "Malam ini, aku sudah tekad mahu mati kau tahu tak. Apa setannya engkau menghalang aku, tebing dan jerung sudah sedia membantu melenyapkan aku", jawapku dalam sedu yang dalam. Pedih dan darah yang terus menyimbah dari luka-luka di tanganku tidak kupedulikan. Harapanku cuma satu, biarlah aku terus berdarah dan dengannya aku akan boleh pergi cepat kepadaNya.
(23) "Aku bukan memburu cinta. Aku tidak akan mati hanya kerana putus cinta. Cinta aku boleh dapat di mana-mana. Telah banyak yang melayang bergolek-datang, ikhlas atau pura-pura. Aku menghambat cita-cinta. Cintaku padanya adalah citaku pada perjuangkanku. Terkecundangnya cintaku, berkuburlah cita-citaku, engkau tahu tak. Sudah berapa kali aku berkata begitu kepadamu. Bila engkau hendak faham?", herdikku pada Busman. "Kau ingat itu Man, kau sadarlah Man, aku tidak sekali-kali akan bergabung cinta jika tidak ada cita-cita pada bangsa", tambahku dengan keras."Aku tidak akan mencintai sesiapapun, jika dia tidak mencintai cita-citaku. Izan mengerti itu, dan dia sanggup begitu. Itulah nilainya cinta kami", sambungku. "Yalah aku faham, namun kau tidaklah boleh meletakkan harapan terlalu tinggi pada dia dan tidaklah wajar juga kau memaksakan kehendakmu pada Allah", gerutu Busman.
(24) Kami terdiam. Sememangnya telah berkali-kali aku berbicara dengannya, bahawa aku sedang mencari sri kandi yang dapat mengerti akan tugas dan tanggungjawapku. Aku sangat perlukan seseorang yang mengerti akan pribadi perjuanganku. Dan Izan, memiliki sifat-prilaku sebegitu. Aku yakin, pasti dia dapat mendorong aku untuk lebih teguh dalam segala tangungjawapku.
(25) Cahaya lampu dari kereta yang lalu lalang memijarkan mata. Sebentar, aku merasa bahuku diusap-usap, kemudian Busman mencapai tanganku, dan secara spontan aku mengaduh kuat. Busman terpegang tanganku yang luka, dia lantas memandang padaku: "Munshi, banyaknya darah, teruknya engkau ni", tegurnya melihat darah yang terus mengalir dari tanganku serta yang telah membasahi baju ku. "Mana lagi kau luka, mari aku periksa", pintanya sambil mengamati muka dan bahagian tubuh lainku. "Kau angkat tangan kau melepasi kepala, nanti darahnya akan berhenti keluar", sambil dia bangkit membuka boot kereta lalu membawa sebotol mineral water dan beg First Aid. Dia mencuci lukaku, merawatnya dengan iodin, lalu dibalut kemas dengan bandage. Aku dapat rasakan wajah cemas dan rasa sebal di hatinya. Busman, sampai kapanpun, selalu saja dia bersamaku. Naluri dirinya seperti sudah sebati dengan nasib-jiwaku, selalu saja hadir saat getir hidupku. Dalam diam aku tafakur: " Tuhan, sengaja kau kirim dia kepadaku. Seperti Kau belum sedia menerimaku. Teladan apakah yang kepingin Kau titipkan lewat diriku ini?"
(26) Kami kemudian terus meluncur ke Bukit Hantu menuju Apartmenku. Selepas mandi dan bersalin, aku terus bersembunyi di kamarku. "Munshi, aku tumpang tidur di rumahmu. Aku malas pulang", bicara Busman sambil mengetuk-ngetuk pintu kamarku. Busman sudah biasa dengan apartmenku. Sebuah kamar, seperti sudah menjadi miliknya. Dia sebetulnya lebih banyak menghabiskan masanya bersama aku, dari di rumahnya sendiri. Saban waktu, di musim sugulnya, pasti kamar itulah menjadi gua khalwatnya. Apartmenku ini, sudah terlalu banyak melihat suka dukanya dia. Saat putus cinta, saat kemelut perniagaan dan bahkan saat dia perlu pengasingan dari keluarganya juga, di sinilah dia pasti menapakan diri. Dan aku, seperti setia, membangkitkan semula dia dari segala lemasnya. "Yalah, kau buat apalah yang kau hendak. Aku tak lapar. Jangan ganggu aku", jawapku ringkas kepadanya sambil menutup rapat daun pintu kamarku.
(27) Aku membelek-belek album foto lama di samping katilku. Kulihat wajah hitam putih ibuku semasa mengendongku pada usiaku yang belum bergigi. Wajah bersih ibu, menatap penuh kasih pada diriku. Aku dapat rasakan, hangat dan dalamnya kasih dia. Kasih yang menyelubung-membungkus seluruh jasadku. Kasih ibu, kasih yang tiada bandingannya. Biar dalam hidupnya, entah setinggi gunung mana dan sedalam teluk lautan mana sengsara yang pernah dia tanggung, namun bila menatap wajahku, tetap senyumnya tersungging penuh mensirna segala pengharapan. Namun kasih itu telah pergi. Kasih itu tidak sempat aku balas. Kasih itu menjadikan aku terlalu rindu, dan hilangnya kasih itu mengheret aku menagih kasih yang lain.
(28) Pada wajah ibu, pada wajah ayah, yang keduanya telah pergi menghambat kasih Ilahi, meninggalkan aku yang dahaga kasih-sebersih, aku titiskan air jernih dari mataku yang tidak mahu pejam, sambil hanya berkelumit: " Ya Allah, kau regut kasih mereka dariku, Kau kasihilah mereka lebih jernih dari air mataku, Kau kasihilah mereka lebih dalam dari rindu kasihku! Ya Allah, apakah maksudnya semua ini? Kasih ayah-ibuku kau cabut pergi, dan kini, sengsara aku menagih kasih pada dia Izan, juga Kau larikan jauh. Apakah aku tidak selayaknya menerima kasih? Ataukah aku harus tetap terlahir agar tidak mengerti kasih? Ya Allah, di manakah jalan kasihnya hidupku ini? Saat aku tergoncang kuat sebegini, segalanya diregut pergi!"
(29) "Tok..tok..tok, Munshi kau dah tidur? Kau tak lapar? Kau OK?", terdengar suara Busman di luar pintu kamarku. "Dah pukul dua pagi ni, elok kau berTahajjud, mohonlah ketenangan, tidurlah. Aku dah terlalu mengantuk", sambung Busman. Namun aku tetap bisu-kaku. Aku dapat melihat dari bawah pintu, bayang-bayangnya melewat pergi, dan aku atas persahabatan kami, mengikut kata nasihat Busman, terus ke kamar kecil mengambil wudhu dan langsung menunai sholat Isya dan terus berTahajjud dan berIstiharah, dan memohon: "Ya Allah, betapa engkau tahu akan geringnya fikiran dan jiwaku, atas kehilangan kasih yang ingin kutambat, jika aku terus begini, maka menjadilah aku manusia yang mendurhakakan penciptaanMu. Aku mengusul kepingin berjalan jauh. Biar buruk atau baik, aku akan melakukannya. Izinkan aku. Maafkan aku memaksakan kehendakku padaMu".
(30) Aku mengambil selembar kertas. Kutulis dan kuletakkan di tilam diperbaringanku: 'Busman, aku berpergian dulu. Jika Dia, menghendaki kita ketemu lagi, pastinya tetap ketemu juga kita akhirnya. Berapa lama, dalam keadaan bagaimana juga, aku belum pasti. Segalanya, aku pasrahkan padamu untuk mengurusnya. Segalanya aku relakan demi kebajikan semua, semampunya'. Ku sarung sepatu jogging, jersey, sehelai saput tangan putih kusarung ke sakuku, kupastikan dompetku ada segala yang perlu. Kusambar sebuah novel di meja bacaanku: Emak karya Daoed Josoef. Perlahan-lahan dalam samar lampu kamar tidur Busman, aku meloloskan diri keluar mengambil lift terus melewati Pak Karim, pengawal yang bertugas malam. "Wah awal jogging Pak Munshi!" sapa Pak Karim. "Ya udah jam lima pagi, saya mahu jogging terus ke masjid", sahutku dalam penuh kepura-puraan. Aku berlari-lari anak, mengatur rencana, mahu berlari-jalan ke mana, sebetulnya aku belum pasti, namun aku sudah tekad, akan pergi.
(31) "Ah biarlah, aku sholat dulu. Mana tahu, mungkin ini sholatku yang terakhirnya di sini", bisik hati kecilku lalu menuju Masjid Jamek. Selepas, usai sholat, aku tergesa-gesa mencari sebuah teksi menuju ke lapangan terbang. Aku pasti, ada pesawat berlepas awal ke Kuala Lumpur. Ya kebetulan, aku dapat menaiki pesawat jam 06.30 pagi. Pemandu teksi, pelayan di kaunter tiket dan daftar masuk, serta pegawai immigresen dan bahkan pramugari pesawat juga seperti kehairan melihat aku hanya berpakaian trek sut menaiki pesawat. Apakah persoalan yang bermain dalam benak fikiran mereka? Aku hanya diam dan selamba. Wajahku jauh dari senyuman. Aku juga tidak memberi perhatian pada mereka. Aku kakukan segalanya.
(32) Dari KLIA, aku terus ke Chow Kit Road. Di sana, aku ingin mengulangi jalan hidup remaja-mahasiswaku. Aku ingin menyaksikan sekali lagi hidup mereka yang payah untuk hidup. Di sana, aku menginap di sebuah Logding House. Kamarnya kecil. Agak hapak. Katil kecil. Cadar dan selimutnya tipis. Bantalnya kemek. Kamar madi di luar, berkongsi. Aircon berbunyi bising seperti suara enjin kapal. Harganya murah RM60.00 semalam. Di luar, ada anak-anak muda, lelaki dan perempuan bersimpang siuran. Aku tidak pedulikan mereka. Aku rebah dan terus tertidur.
(33) Sedang di apartmenku, Busman sudah sadar dan dia mendapati kamarku sudah kosong. Sebaik membaca notaku, dia terdiam bisu di ruang tamu. Kemudian dia mencapai handphonenya, lalu cuba memanggil nomborku. Aku pastinya tidak menjawap. Lalu kuterima sebuah SMS: "Munshi di mana dan bagaimanpun engkau, janganlah engkau mendahului kudrat Ilahi. Biarlah kita akan sentiasa dapat bertemu, dan janganlah kekalutan dan rasa celaru, menjadikan engkau sukar untuk aku dapati. Mudah-mudahan engkau selamat sejahtera. Aku akan tetap berdoa untuk kebahagianmu sebagaimana engkau selalu bersama aku. Kita saling memerlukan. Aku tidak tahu, bagaimana jadinya aku, saat aku perlukanmu, dan engkau tidak di situ!" Aku tidak menjawap, cuma berkata "Terima kasih teman! Aku tidak akan melupakanmu."
(34)Hanya lewat malam, baru aku tersadar. Suara hiruk dan kikikan miang dari kamar sebelah membangkitkan aku dari tidur panjangku. Aku begitu lapar. Pakaianku sudah berbau lusuh. "Ah aku sudah menjadi manusia 'miskin dan sengsara', rupanya. Beginilah rasanya bila miskin dan sengsara", bisik hati kecilku. "Biarlah aku begini, mungkin inilah yang terbaik buatku", tambah hatiku lagi. Aku berjalan di Lorong Hj. Taip, lalu singgah memesan teh tarik dan mee goreng dari warung pinggiran jalan."Enak juga jadi orang susah, makan seadanya, tidur seadanya, pakai seadanya", tambah hatiku seperti membujuk diri sendiri. "Tetapi ke mana matlamat hidupku", bentak fikiranku. Begitulah, antara otak dan hatiku, keduanya seperti sudah tidak sekutu dalam satu tubuhku. Kepunahan cinta, telah menterasingkan mereka dari diriku. Otakku, hatiku, tubuhku, sudah tidak bersatu menjadi aku.
(35) Aku terus saja kemudiannya menelusuri Jalan Chow Kit. Biar sudah lewat malam, masih ada saja manusia terus mahu mencari hidup. Ada berjual panganan, ada berjual segala macam perhiasan murahan, ada berjual buah-buahan, dan sebagainya. Tidak kurang yang menyelongkar tong-tong sampah, mencari entah harta apa agaknya? Aku merapati sebaris penjual pakaian terpakai. Aku mencoba sehelai jean levi lusuh, kemeja kapas Made in Amerika, dan sebuah topi-cap Manchester United. Cik Siti penjual pakaian tersenyum-senyum mengangguk-nganguk tanda puas melihat aku memperagakan pakaian baruku. "Ok semuanya, RM35.50, tetapi kerana sudah lewat malam, kita kurangkan menjadi RM30.00 sahaja", katanya padaku. Aku tanpa banyak bicara, menghulurkan wang sejumlah tersebut, lalu berlalu pergi. Dan sekali lagi fikiranku mencari-cari arah mana langkahku seterusnya. Sebentar lagi akan subuh dan pagi: "Apa aku terus saja mahu menetap di Chow Kit ini. Untuk apa?", otakku terus saja bertanya.
(36) Aku kembali semula tidur di kamar kecilku. Namun lena tidurku sering saja terganggu oleh suara-suara nakal dari kamar di samping dan depanku. Sayup-sayup dapat kudengar suara-suara merayu, merengek, membujuk, manis, lembut, mengasyikan. "Ah itulah suara orang-orang yang sedang digelora cinta dan suara orang-orang sedang 'berbuat cinta'. Dunia mereka begitu indah. Dunia mereka begitu lengkap. Dunia mereka begitu sempurna. Dan aku, melirih di atas suara-suara kesempurnaan-kebahagian mereka! Setan!" Bentak kepalaku.
(37) Sudah jauh siang rupanya. Aku menghampiri kaunter pendaftaran, melunasi bayaran penginapan pada Apek kerempeng-ompong. Dia tersenyum-senyum, dan di kepalaku, membentak: "keparat, inilah nasib bangsaku, sampai 'menjual' milik sendiripun, harus berantara sebegini!" Dan di sebelahnya, seorang lelaki separuh umur, berkumis dan berjambang tebal, tersenyum dan menegurku. "Lewat bangun, sebok ke malam tadi?", sapanya padaku, seperti menyindir. "Oh tidak, cuma terlalu letih dari perjalanan jauh', sahutku. Aku tidak mahu untuk bertengkar, aku harus saja menyembunyikan siapa aku, biar dalam kepalaku memberontak terus: "Inilah keparat yang sebenar, bangsa sekongkol menjual bangsa sendiri". " Oh ya, hendak ke mana selepas ini? Perlu teksi?", tanyanya. "Ya kemudian, tapi sekarang hendak sarapan dulu. Maaf, saya Munshi dari Kuching", sambil aku menghulur salam kepadanya. "Saya Yahya, tapi elok panggil saja Pak Ya, saya bawa teksi. Ke mana saja Encik Munshi nak pergi, saya boleh hantarkan. Pakai meter", jawapnya kembali. "Kalau begitu, mari kita sama-sama sarapan. Dari sana nanti saya hendak ke stesyen keretapi, saya hendak ke utara mungkin", usulku.
(38) Kami sarapan bubur di warung siam di Jalan Raja Muda. Terasa enak sekali bubur istimewa siam dengan campuran segala ikan kering yang dihiris halus-halus dan digoreng ranggup. Tumis kangkung dan cili padi bercampur kicap menambah kelazatan bubur siam ini. Kemudian kami terus saja ke stesyen keretapi, bila saja aku hendak melangkah keluar dan selepas membayar tambang, aku berpesan sedikit kepada Pak Ya ini: "Harap-harap kita boleh menjaga maruah bangsa kita". Aku melihat terus ke dalam matanya dan mukanya yang memerah. Aku kemudian menempah tiket untuk ke Seberang Prai. Aku memilih Coach Kelas II dengan katil tidur. "Yah, sekurang-kurangnya, tilam dan cadar di KTM terasa bersih dan selesa", kata hatiku seraya aku meraba-raba katil di kamarku. Aku terus saja baring, sambil membelek-belek novel: Emak, karya Daoed Joesoef.
(39) Aku terpana melihat hiasan kulit Novel ini. Seorang bocah sedang terbungkuk membaca Al Quran, berlapikkan bantal. Songkoknya kelihatan lusuh. Sang ibu, aku berkira, tekun memerhati beliau duduk tersimpuh begitu tenang di belakangnya. Lukisan ini, perilaku ini, membawa aku ke tahun-tahun awal keanak-anakanku. Lukisan ini, mengimbau aku pada usapan ibu saat aku sedang merangkak-rangkak mengaji Al Quran. "Ngak apa-apa neng, cuba eja perlahan-lahan, pasti Munshi boleh membacanya. Mengajilah rajin-rajin, nanti pengomonganmu jadi lancar serta daya pengamatanmu jadi lebih tangkas-tajam, mudah-mudahan suatu waktu nanti kamu boleh memimpin adik-adikmu membaca Yasin di pusara emak dan ayah", kata-nasihat ibu menerpa kuat menusuk benakku.
(40) Dengan beningan air mata, aku membuka helaian pertama Novel ini, dan betapa aku terus saja menjadi sebak membaca seungkap kata-kata pembuka wadah Novel ini: "Kami, anak-anak emak, memandangnya sebagai jiwa rumah tangga. Kami tak berani membayangkan bagaimana jadinya hidup tanpa emak, walaupun dia sendiri mengatakan bahawa bapaklah yang membanting tulang menjadi pencari nafkah utama bagi seluruh keluarga. Bagi kami sakit bukan merupakan hal yang ditakuti berkat keberadaan emak. Hal itu bahkan menjadi peristiwa yang mengembirakan kerana anak yang sakit boleh tidur bersama emak, dikeloni..."
(41) Ungkapan itu mengingatkan aku tentang tabiat tidur semasa keanakanku yang tidak mahu jauh dari dikeloni-pelukan ibu. Aku seperti terasa hangat dakapan ibu. Aku terasa selamat dalam dakapan kasih sayang ibu. Dan dengan hayunan roda-roda keretapi, dalam nyanyian-rengusan enjin gerabaknya, menjadikan aku seakan dalam belaian sang ibu, sayup-sayup dalam kepalaku, tergiang-ngiang suara hatiku bertanya: "jika ibu masih ada di sini, apakah begini jadinya aku?" lalu aku terlena.
(42) Aku hanya sadar, bila peluit keretapi berkali-kali bertali arus berbunyi. Aku menjengah keluar tingkap. Terpampang Stesyen KTM Ipoh. Kemudian aku terus saja membaca Novel itu, yang sepanjang lenaku, rupa-rupanya kupeluk erat. Aku terus saja asyik membaca novel tersebut. Ianya adalah kisah benar Daoed Joesoef semasa kecilnya, semasa Medan sedang di jajah kuat oleh Belanda. Ianya adalah kisah sang ibu yang penuh budiman, penuh keteguhan dalam mengharungi hidup dalam segala kepayahan, namun tidak pernah menyerah pada takdir dalam mendokong hidup membangun sebuah keluarga dalam serba kekurangan dan kesusahan akibat terjajah, serta gelora perjuangan kemerdekaan. Si anak berkat kasih ibu yang tumpah dengan segala kewarasan menjadikan Daoed seorang anak yang berjaya sehingga boleh menjadi salah seorang Menteri Kanan di dalam Kabinet Sukarno-Hatta dan seterusnya menjadi pengasas kepada pembangunan Fakulti Ekonomi Universiti Islam di Medan. Novel ini, adalah biografi ibunya Daoed.
(43) Agak lewat sore, baru aku sampai ke Sebereng Prai. Dari sana, langsung aku menyeberang ke Pulau Pinang dan menginap di sebuah Hotel Baba-Nyonya. Selepas menikmati masakan asli Baba-Nyonya di Cafe Hotel, aku berbual-bual sedikit dengan pengurus hotel berkenaan. Aku bertanya-tanya, di mana paling elok aku lawati untuk mengambil sedikit angin dan melapangkan fikiran. Paling menarik, dia mengusulkan: "Kenapa tidak saja ke Medan. Dari sana, terus saja ke Danau Toba". Dalam diam, aku mengakuinya, benar juga, bukankah Novel Emak yang telah kubaca, banyak mencerita tentang Medan dan kampung-kampung Melayu Deli, tempat bermulanya kesatuan Hatta-Karno terbangkit dalam usaha memerangi Belanda. Juga aku tidak pernah ke sana.
(44) Novel ini seperti juga sedang memberi pertunjuk buatku. Pada mukasurat 217, terungkap nasihat Emak pada Daoed: "..menurut emak, ada empat jenis perjalanan yang sangat dipujikan dalam ajaran keIslaman. Pertama, hijjrah, yaitu berpergian untuk bermukim di lingkungan muslim. Kedua, alhaj, yaitu berpergian ke Tanah Suci Mekah. Ketiga, ziyarah, yaitu berpergian mengunjungi orang-orang suci dan tempat pengajiannya. Keempat, rihla, yaitu berpergian guna menuntut ilmu pengetahuan. Maka berpergian aku ini untuk apa? Persoalan itu sejurus menerpa otakku. Aku tercari-cari jawabannya: "Memenangi diri? Menguatkan diri? Mengembalikan diri?" Aku berkira tepat juga saranan pengurus hotel itu. Esok aku akan ke Medan, dan aku juga mahu ke Jambi dan Palembang, mudah-mudahan di sana akan aku temui diriku kembali.
(45) Seawal jam 0900 pagi aku sudah ke Pengakalan Kota untuk menaiki feri ke Medan. Aku mengambil tempat duduk di depan sekali pada dek atas. Di sebelahku duduk sepasang anak muda. "Mahu ke mana Pak?", tanya salah seorang darinya yang bernama Yanti. "Mahu jalan-jalan ke Medan, mungkin langsung ke Palembang", jawapku dengan senyum. "Berapa lama nantinya di Medan? Sudah pernah ke sana?", tanya Jamilah yang duduk di sebelahnya. "Saya belum tahu lagi. Kalau cocok, mungkin lama sedikit, kalau ngak yo saya berangkat saja nanti terus ke Palembang. Sebetulnya, ini kunjungan saya pertama kali ke Sumatera", jelasku. "Awas Pak, kami ini orang Medan. Medan itu banyak perampok", sambung Yanti seperti memberi amaran. "Gi mana itu?", pintaku ingin penjelasan lanjut. "Ngak apa-apa Pak, pokoknya kami sudah membayangkan kepada Bapak. Nanti Bapak akan tahu juga maksudnya", jelas Yanti. Aku tidak mahu menyambung bicara, lantas melunjur kaki, berpeluk bulu, lantas memejamkan mata, melayar enak dalam alunan ombak Selat Melaka.
(46) Setelah lebih kurang sejam dalam perjalanan, feri telah berada di laut luas. Aku terus bangkit dan menuju ke dek terbuka di bumbung feri. Beberapa penumpang lain sudah berada di sana. Dari dek terbuka ini, aku dapat melihat saujana Selat Melaka yang kelihatan sedikit bergelora. Para nelayan yang sedang memukat dan menjaring terombang-ambing digegar gelombang yang hadir tak putus-putus hasil tiupan kencang angin Timur. Aku merasa seronok, mengikuti irama feri dihempas turun naik dalam alunan gelombang. Sesekali bila dilambung ombak yang agak besar, terasa tekanan diafrem perut mengasak ronga perut ke atas sehingga terasa seperti menyesakkan nafas. Bila feri mengikut alunan menurun ombak besar, terasa seperti ronga perut menekan diafrem lalu paru-paru menyedut nafas panjang menjadikan terasa seperti termengah. Inilah, apa yang orang tua-tua selalu peringatkan, jika ke laut, perut tidak boleh kosong dan tidak boleh terlalu kenyang. Pantang sekali jika perut kosong. Semua ini adalah petua agar tidak menyesakkan nafas bila dimain ombak. Jika mabuk laut, sekurang-kurangnya, kita tidak akan termuntah angin, yang sangat menyakitkan.
(47) Aku juga asyik memerhati burung-burung camar, terbang berkawan-kawan membontoti feri. Sesekali mereka menjunam ke dalam air, menangkap anak-anak ikan yang sesekali melompat akibat rempuh gelombang feri. Sesekali juga aku dapat melihat flying fish melompat dan terbang pada ketinggian sekitar satu meter dari permukaan air. Angin yang deras sesekali menyimbah percikan air ke mukaku, dan aku dapat merasakan kemasinan air Selat Melaka.
(48) Semua ini, membuat aku berfikir, betapa sukar dan perihnya nenek-moyangku dulu, belayar dari Palembang, merentasi Laut Natuna dalam berhijjrah mencari kekuatan di negeri perantauan buat akhirnya untuk menentang pertualang penjajah Belanda, membebas merdekakan Palembang dan Kepulauan Riau. "Yah, mereka hijjrah berjuang, kini aku hijjrah wewenangan. Harus beginikah perjalanan hidupku?", aku bertanya dalam diri tentang kepemergianku ini.
(49) Aku sampai di Pelabuhan Medan sekitar jam 15.00 petang. "Pak, dari sini ke kota sekitar 30 menit. Hati-hati ya Pak, nanti kena rampok!", sapa Yanti yang kebetulan membontoti aku semasa berpunggahan. "Terima kasih neng, mudah-mudahan ketemu lagi", balasku. "Kembali Pak, hati-hati ya", sampuk Jamilah. "Mas, saya mahu ke Kota, anter saya ke mana-mana hotel yang bagus", pintaku pada salah seorang supir teksi yang sedang berrebut-rebut mahukan penumpang. "Boleh Pak, sila naik", jemputnya dengan penuh sopan. "Mas, berapa ongkosnya", tanyaku. "Bapak dari Malaysia ya? Murah aja Pak, sekitar 350", jawapnya. "Baiklah, kita bisa berangkat sekarang", usulku.
(50) Sampai di Hotel Matahari, aku mengunjukkan Rp350,000.00 kepada Pak Supir. Namun, aku melihat riaknya agak tidak nyaman. Matanya agak melotot. "Bukan Rupiah Pak, Ringgit, 350 Ringgit", pintanya. "Wah, itukan sama dengan Rp1.25 juta. Masak di Medan pake Ringgit. Pastinya Rupiah. Ini udah ngak bener ini. Udah saya bayar Rp 350,000 aja. Masak perjalanan 30 menit sampe RM350.00, RM100.00 udah lumayan", aku cuba mempertahankan hakku. "Ngak boleh begitu Pak. Saya sudah bilang 350. Bapak setuju. Maka 350 lah", dia cuba berkeras. "Ya, tadi mas bilang apa Rupiah atau Ringgit? Mas ngak bilangkan. Maka saya bertanggapan pastinya Rupiah. Udah, ambil ini Rp500,000.00. Saya udah capek", lalu kuhulurkan Rp500,000.00 kepadanya dan dengan pantas berlalu pergi."Ya inilah apa yang di maksudkan oleh Yanti dan Jamilah tadi dengan perampok!", kata hatiku.
(51) Di kaunter aku menempah sebuah kamar dengan harga Rp750,000.00 semalam. "Ada air anget untuk mandi ya neng?", tanyaku pada gadis pelayan tamu. "Ada Pak. Punya TV. Punya peti es. Juga ada sarapan pagi", jawapnya dengan senyum manis. Sesampai ke kamar, aku membuka paip agar air panas dapat mengumpul. Namun setelah beberapa minit, air panasnya tidak juga muncul biar hingga selesai aku mandi. Aku cuba berhubung dengan talipon ke kaunter, talipon tidak berfungsi. "Ah, sekali lagi aku di rampok agaknya", kata hati kecilku. "Inilah akibatnya, bila manusia hanya mampu melihat kesusahan dan kepayahan sendiri dalam mengejar rezeki. Bila ada peluang saja, dia seperti mahu melampiaskan kesusahan dan kepayahannya kepada orang lain. Sedang dia tidakpun mahu memikirkan orang lainpun turut susah sama dalam mencari hidup. Benarlah kata Muhammad SAW, hampir-hampir kepapaan itu membawa kekufuran!" sambung fikirku biar sudah terllau penat. Aku terus saja berbaring dan terus terlena.
(52) Malam itu aku keliling Kota Medan menaiki beca. Aku sempat singgah ke berapa Galeri Lukisan. Ternyata, seni lukis agak berkembang di Medan ini. Lukisan-lukisannya bertema sekitar kehidupan desa dan wajah-wajah payah di lorong-lorong kota. Semua ini mengambarkan, kehidupan kini Medan yang dapat aku garap sebagai masih jauh dari kesenangan. Aku juga melawati Masjid Agung Medan dengan Menara tegak gagah di tengah-tengah Kota. Di sekitarnya, banyak sekali orang menjaja, apa saja keperluan hidup. Pak beca tersusun tertib di sepanjang pinggir jalan meneriak-neriak mengamit penumpang. Malam itu aku traktir Pak Beca makan di restoran Nasi Padang yang paling lazat di Medan. Sungguh enak segala gulai yang ada: gulai ayam kampung, gulai babat, gulai kambing, ikan sepat asin, sambel tempe kacang panjang, gulai godong singkong, dan es jeruk murni. Tanpa sedar, aku habis tiga pingan nasi. Sebagai penyudah, aku memesan kopi tubruk, minum sambil menyandar di tiang bangsal dan ngobrol sama Pak Beca hingga larut malam. Pak Beca, punya tiga anak. Dua cewek satu cowok. Semuanya masih kecil. Isteri cuma kerja rumah saja. Pendapatan harian sekitar Rp50,000.00 (RM12.00). "Payah Pak. Kami orang susah. Ngak bisa makan seenak tadi. Bapak traktir itu, saya amat bersyukur. Harap sendiri, ngak tahu kapan bisa makan di tempat sebegitu. Selalunya bawa aja bekal dari rumah", ceritanya.
(53) "Gini Pak. Jika bisa, besok malam bawa ibu sama anak-anak ke restoran tadi. Saya mahu traktir dan kenalan sama keluarga Bapak. Kira-kira sekitar jam setengah tujuh kita ketemu di sana", pinta ku, atas sangkaan bahawa pastinya dia tidak pernah membawa anak-isterinya ke tempat sebegitu. "Loh, ngak usah Pak. Malu saya", sahutnya. "Jangan begitu, rezeki jangan ditolak, nahas jangan dicari. Besok, setengah tujuh saya ada di sana. Bapak bawa atau tidak keluarga Bapak ke sana, saya tetap ke sana. Saya ikhlas mahu traktir keluarga bapak", pintaku tegas, sambil turun dari beca, dan kuhulurkan Rp500,000.00 sebagai upahnya menemaniku. Aku terus melangkah masuk ke ruang legar Hotel meninggalkan dia, tengah terpinga-pinga-kebingungan.
(54) Malam keesokannya, aku mengambil beca menuju ke Restoran Sri Padang Medan. Tepat jam 19.30 Pak Beca, Pak Bakri datang bersama isterinya Munirah, anak-anaknya Zainab, Aishah dan Kamarul. Jelas, para pelayan Restoran seperti kehairanan melihat aku menjemput mereka lalu mempersilakan ke sebuah Lesehan. Dari corak pakaian mereka mengesahkan penceritaan Pak Bakri tentang kehidupan mereka pada malam sebelumnya. Kami duduk bersila. Aku berikan penghormatan penuh pada Ibu Munirah, yang umurnya sekitar pertengahan 30an untuk memesan apa saja makanan yang dia dan keluarganya suka. Aku sengaja pura-pura ke kamar kecil semasa mereka sedang berkira-kira mahu makan apa. Dengan begini, sekurang-kurangnya aku dapat menumpang nikmat pada 'kehausan' mereka yang tidak berupaya.
(55) Selesai makan, seperti biasa aku memesan kopi tubruk. Kali ini, aku mahu kopi tubruk dengan es. Sakinah, gadis pelayan yang ku pesankan Kopi Tubruk Es seperti kebingungan. "Ya kopi tubruk, di kasi dalam gelas kaca, lalu dikasi es yang banyak", ajuku buat menghilang kewaspadaannya. Buat Zainab, Aisah dan Kamarul aku pesan 'special ice cream', dan ternyata mereka tampak girang dan berselera sekali 'melahap'nya. Sambil ngobrol, aku cuba menasihati anak-anak Pak Bakri agar belajar rajin-rajin serta agar menjadi anak yang tumbuh jadi bangsa yang bermaruah. "Dulu saya juga orang susah. Kalau ke sekolah jalan sendirian di jalan-jalan becak selama satu jam. Ngak pernah pake sepatu ke sekolah. Jarang sekali punya jajan ke sekolah. Ibu ngak ada mahu ngurusin. Dia pergi duluan", ceritaku ringkas buat mereka. Kepada Pak Bakri dan Ibu Munirah, aku cuma dapat berpesan, biar payah bagaimana sekalipun, biarlah anak-anak di sekolahkan secukupnya. Kemudian, aku titipkan Rp2.00 juta buat jajan anak-anak mereka di sekolah.
(56) Usai makan aku berasa cukup bersyukur, tenang, dan puas kerana ditemani sebuah keluarga yang benar-benar dapat bersama aku menikmati keindahan hidup ini. Malam itu aku tidur cukup lena. Jiwaku seperti lain tenang-lapangnya. Aku seperti mahu terus hidup, dan mahu terus dapat 'memberi' nikmat hidup kepada yang memerlukannya. Ya, aku memutuskan mahu terus hidup. Hidup untuk menghidupkan. Ya, nasib baik Busman cepat datang tempoh hari, jika tidak, mungkin matiku adalah penuh dengan derita-sengsara. Kini aku sudah mahu untuk terus hidup untuk menghidupkan. Kini aku sudah sedar, masih terlalu banyak yang memerlukan untuk aku terus hidup. SubhannaAllah. Medan telah menyandarkan aku kembali untuk terus hidup. Medan menerangi kembali medan hidupku.
(57) Keesokannya, sedang aku hendak check-out, Pak Bakri dan isterinya menyambut aku di ruang lobi. Mereka menyerahkan sehelai kain pelikat kata mereka buat buah tangan dan tanda ingatan abadi dari mereka sekeluarga. Sebelum aku menaiki kereta sewa khas untuk ke Kampung Darat, aku memeluk kedua Pak Bakri dan Bu Munirah sambil berdoa agar kehidupan mereka akan kekal sejahtera-bahagia. "Kami mendoakan agar Bapak juga lebih sejahtera dan bahagia", sambut Bu Munirah dengan tetesan air mata.
(58) Pagi itu cuaca agak dingin. Hujan semalam menyegarkan hawa pagi itu. Kereta sewaku meluncur tenang melewati banyak perkampungan pada jalan yang bersimpang siur mengelilingi kawasan perbukitan. Sawah padi dan segala macam kebun yang di lewati sungguh memberikan suasana damai yang sangat berbeda. Perkampungan yang dilalui juga memberikan suasana yang sungguh tenteram dan punyai kelainan yang tersendiri. Rupabentuk rumah-rumah Melayu Deli, tatasusunnya, serta halaman-halaman yang penuh dihiasai segala macam kembang-kembangan sungguh mengasyikkan. Di sana-sini, anak-anak berbondong-bondong berjalan menjejer jalan ke sekolah. Ibu-ibu pula seperti sedang sebok pulang dari mandi-manda di sungai-sungai yang airnya jernih mengalir deras dari perbukitan.
(59) Sekitar jam 1500 petang aku sampai di Kampung Darat. Di sini tersergam sebuah Madrasah Pondok Serambi Mekah Muhammadiah. Madrasah ini terbangun di pinggir bukit. Pondok-pondok tempat anak-anak menginap terbina tersusun di pinggir sungai di lereng bawah sedikit dari bangunan Madrasah yang terdiri dari berepa buah bangunan kayu yang agak usang. Sekitaran Madrasah sungguh nyaman, dengan Hutan Bukit kayu Jati dan Rhu terpelihara rapi. Di lereng-lereng kaki bukit di halaman Madrasah ditanami pelbagai jenis kembangan dan ubi-ubian. Aku langsung pergi ke kantor Pengetua Madrasah: Pak Haji Mocthar. Setelah berkenalan serba sedikit, aku di bawa naik speda motor untuk ketemu dengan Pak Lurah dan Kepala Desa.
(60) "Sebetulnya Pak, saya kemari untuk mencari ketenangan. Saya mahu istirehat sebentar dari keributan kerjaan saya di Malaysia. Kalau bisa, saya mahu berkampung di sini barang seminggu dua, tergantung, jika mungkin di izinkan serta kalau sesuai, mungkin juga lebih lama", jelasku kepada kedua Pak Lurah: Haji Muhammad dan Kepala Desa, Hj. Ibrahim, sambil menghulurkan passport Malaysiaku sebagai bukti kebenaran kata-kataku. "Kalau gitu Bapak mahu mondok ya?", tnya Pak Haji Muhammad. "Maksud saya begitulah Pak. Saya kepingin merasakan hidup mondok, ya bersama anak-anak itu, melihat dan menghayati pencarian ilmu mereka. Saya selama ini hanya mendengar saja bagaimana pola laku mereka di sekolahan Pondok sebegini", jawapku. " Bisa saja, kita juga masih punya beberapa Pondok yang masih kosong. Bapak boleh kebagian satunya. Nanti kita minta Pak Haji Mocthar ngaturnya", sambung Pak Lurah. Kemudian aku terus dituntun ke Pondok dimaksudkan oleh kedua Pak Hj Mocthar dan Pak Haji Ibrahim.
(61) Kebetulan anak-anak Madrasah telah pada usai belajar semuanya. Sore itu, aku bersama beberapa dari mereka sama-sama berceburan mandi-manda di sungai, dalam air jernih dingin, air batuan yang mengalir deras dari kawasan hutan segar perbukitan. Aku seperti kembali ke zaman bocahku. Tertawa dan bersiraman dengan anak-anak Pondok seakan-akan kami adalah teman akrab yang sudah lama kenalan. Saat ini aku teringat akan Busman temanku yang selalu berkeluyuran di zaman kecil kami, kemudian terus berterejunan dari dahan-dahan pohon perpat di pinggir sungai di kampung kami bila air pasang besar.
(62) Ya anak-anak itu ada yang masih kecil, dan ada juga yang sudah berumur lewat belasan. Pondok-pondok anak lelaki terpisah jauh dari anak-anak perempuan. Di sini, setiap Pondok dikongsi oleh dua orang anak-anak. Mereka mencuci pakaian sendiri. Menjaga Pondok sendiri. Saban sore masing-masing menyapu dan membakar segala sampah keliling; membuat asapan buat memburu nyamuk dan agas di lewat senja. Ada juga yang bertanam ubi-ubian di keliling pondok. Tidak kurang yang bertanam sayuran dan kembangan. Mereka juga masak sendiri-sendiri. Pokoknya, mereka terpisah dari keluarga masing-masing dan bertanggungjawap sendiri-sendiri untuk belajar hidup. Mereka adalah rata-rata anak petani dan nelayan yang datang dari pelbagai desa di sekitar Medan. Pastinya, mereka adalah anak-anak keluarga yang tidak berupaya untuk menyekolahkan mereka di sekolah biasa yang biayanya jauh lebih tinggi.
(63) Saban sore mereka akan ke Masjid, di sana selepas Maghrib mereka langsung mengaji beramai-ramai sehingga Isya. Mereka hanya makan malam usai sembahyang Isya. Mereka memasak sendiri seadanya. Di awal subuh, mereka akan sekali lagi ke Masjid untuk sholat subuh, kemudiannya kembali ke Pondok masing-masing untuk adus di air dingin dan masak seadanya untuk sarapan pagi. Kebanyakan juga masak buat makan tengah hari. Dan ditengah hari semuanya akan kembali ke Pondok untuk makan dan selalunya, kebanyakannya melakukan Dzohor di Pondok sahaja. Pada jam 1430 tengahari mereka akan ke kelas masing-masing untuk sambung belajar sehingga Assar. Selepas Assar, kehidupan seharian mereka berulang-ulang selama dua hingga tiga tahun begitu sehingga mereka khatam Al Quran dan usai tingkat-tingkat tertentu pengajian keIslaman mereka.
(64) Aku tidak mengikut anak-anak ke kelas-kelas mereka. Aku hanya menghabiskan masa samada keluyuran di hutan berdekatan, atau ke Masjid membaca segala macam buku-buku KeIslaman yang ada di sana. Dari Masjid, aku dapat sedikit-sedikit mengikuti pidato para guru yang mengajar anak-anak ini. Ada masanya aku akan berkunjung ke rumah Pak Kepala Desa dan ngobrol bersama beliau dan masyarakat desa di warung kopi berdekatan. Ada waktunya aku diundang makan tengahari atau malam bersama Pak Lurah dan Pak Kepala Desa. Sarapan pagi aku biasanya sediakan sendiri. Lain-lain keperluan makanan, aku tempah saja di warung pinggir jalan yang berhampiran. Para ibu yang berdagang biasanya seperti berebutan mahu aku melangan warung mereka bila melihat aku datang, kerana biasanya aku akan mengajak sama beberapa anak-anak pondok khususnya yang masih kecil ingusan makan bersama aku. Tidak ketinggalan aku sering juga traktir mereka yang kebetulan ada sama makan atau minum di warung-warung itu. Paling aku gemari adalah rebusan singkong dengan kopi tubruk. Tidak kira siang atau malam, saban waktunya pasti aku akan minta singkong rebus sama kopi tubruk.
(65) Saban malam, aku minta dua anak yang baru berusia tujuh tahun: Mustakim dan Kamil untuk menemani aku di Pondokku. Aku bukannya takut atau sunyi, hanya ingin lebih rapat kepada kedua anak-anak ini. Aku sangat melas melihat mereka seumur ini sudah terpisah dari asuhan kasih sayang dan terpaksa belajar hidup sendiri. Mustakim dan Kamil, keduanya berasal dari perkampungan tidak jauh dari Kampung Darat. Keduanya adalah anak dari keluarga pesawah. Kedua orang tuan mereka hanya datang dua-tiga bulan sekali untuk menjengah mereka bagi menghantar bekalan panganan dan sedikit wang jajan.
(66) Setelah selesai tiga minggu aku di sini, aku terpaksa kembali ke Medan. Had waktu lawatan 30 hari membatas aku untuk tinggal lebih lama di Pondok ini. Aku berangkat kembali ke Medan di awal pagi sabtu dan kebetulan pada hari itu hari libur persekolahan. Anak-anak dan masyarakat yang sudah biasa dengan aku semua pada datang berkunjung memenuhi laman Pondokku pada saat aku mahu berangkat. Semua mereka bersalam dan berpelukan mengucap selamat jalan. Mustakim dan Kamil adalah dua manusia yang paling kelihatan amat suggul mungkin kerana selama tiga minggu yang sudah segala makan minum mereka telah aku tanggung. Mereka sudah mengangap aku seperti keluarga mereka sendiri. Sebelum berangkat aku serahkan sedikit sumbangan buat Madrah Pondok Muhammdiah kepada Pak Haji Mocthar dan buat Mustakim dan Kamil kuserahkan sebuah amplop kepada Pak Haji Ibrahim buat jajan mereka di sepanjang pengajian mereka di Sekolah Pondok itu. Aku juga kelmarinya sudah melangsaikan segala yuran sekolah dan sewa pondok mereka.
(67) Madrasah Pondok Serambi Mekah Muhammadiah, sebuah sekolah hasil usaha masyarakat desa dalam membagi ilmu buat anak-anak susah, anak payah, anak-anak miskin yang tidak mampu ke sekolah biasa. Di sini mereka belajar hidup untuk menjadi insan luhur. Insan penuh ilmu pengabdian diri kepada Allah. Inilah usaha para prihatin yang kepingin anak-anak Islam agar menghayati maksud Iqrak. Dan inilah juga aku kira kemahuan para prihatin agar anak-anak ini menjadi insani yang akan memenuhi syurga atas kepatuhan mereka pada ajaran Islam. Namun di dalam hati dan kepalaku, apakah tepat dan benar tafsiran para prihatin sebegini rupa tentang maksud syurga buat ummah manusia yang patuh? Tidakkah pernah kita terfikir lain dari syurga hanya bagi mereka yang patuh sujud beribadat kepada Allah? Tidakkah pernah kita membuka akal bertanya mengapa Allah sering sahaja mengambar syurga itu dalam gambaran kebendaan? Tidak pula Allah itu mengambar syurga dipenuhi oleh mereka yang sedang sujud menyembah Allah. Akal kita selama ini, menurut saja apa yang biasanya ditafsirkan oleh mereka yang terdahulu. Tidakkah kita punyai otak dan akal sendiri?
(69) Di sepanjang perjalanan pulang ke Medan, aku seperti sebel dan khuatir, khuatir tentang anak-anak itu, 'kain-kain putih' itu, sedang kita 'lukiskan' pada mereka, dan apakah lukisan-lukisan itu nanti boleh 'terhidang' dengan sempurna di pasaran terbuka bersaing dengan segala lukisan lainnya yang beranika rupa dan coraknya? Aku berfikir panjang, apakah ini jalan Islam sebenarnya? Mudah-mudahan kita tidak melakukan 'ujikaji' yang salah ke atas maksud hidup mereka.
(70) Kesesokan harinya aku terus menaiki feri ke Pulau Pinang, dan kemudian di sebelah malam terus terbang kembali ke Kuala Lumpur. Aku masih belum mahu pulang ke Kuching. Aku masih mahu terus saja 'hilang'. Dari Kuala Lumpur aku terus saja terbang ke Surabaya, asalnya aku mahu mondok di Demak, namun apa bedanya dengan mondok di Medan, lantas aku melangsung ke Makasar dan seterusnya ke Kendari. Kali ini aku kepingin melihat 'titik mulanya' kemasukkan Hindu dan Belanda ke Nusantara.
(71) Pesawat mendarat di Kendari sekitar jam 1600. Dari lapangan terbang aku lantas menuju ke hotel. Pada malam itu aku sudah terlalu penat. Aku mahu istirehat sepenuhnya. Makanan nasi goreng teri sama air kopi aku pesan terus dan minta di hantar ke kamar. Sebelum naik ke Kamar, aku minta bantuan Penyambut Tamu untuk berhubunng dengan beberapa orang yang sudi aku sewa mobil dan supirnya untuk beberapa waktu buat aku pusing keliling Kendari pada keesokan harinya. Aku tetapkan untuk bertemu mereka pada jam tujuh pagi esoknya.
(72) Keesokannya, tepat jam tujuh aku terus ke kaunter untuk bertemu dengan beberapa orang yang sedia menyewakan mobilnya. Setelah memeriksa mobil-mobil yang ada, aku berkeputusan menyewa sebuah Hilux untuk keperluanku yang kebetulan di pandu oleh seorang anak muda seumur sekitar 30an. Ongkosnya sekitar Rp750,000 sehari tidak termasuk solar. Harga solar sekitar Rp10,000.00/l di Kendari. Selepas sarapan, aku lantas mengajak dia mengisi penuh solarnya, dan mulai menelusuri jalan keliling pulau. Aku menyuruh dia hanya memandu perlahan saja. Dalam perkiraanku, biar perlahan bagaimana sekalipun, pastinya dalam tempoh dua hari pasti seluruh Kendari akan dapat kuterokai.
(73) Kendari adalah sebahagian dari Sulawesi. Ianya adalah ibukota bagi Provinsi Sulawesi Selatan Timur, namun bagi kebanyakan orang, nama Kendari dan Provinsi Sulawesi Selatan Timur adalah sinonim. Di luar Pantai Kendari terdapat banyak pulau-pulau batu karang kecil yang kadang-kadang berlingkaran membentuk lagoon indah dengan air kehijau-biruan yang sangat indah. Pulau ini juga berliku-liku membentuk teluk-teluk yang terlindung dan di luarnya banyak kapal-kapal layar dari Belanda, Portugis, Jerman, dan Australia berlabuh. Perahu layar pribumi juga seperti bersimpang siur mengejar tuna di lautan persisiran. kendari sangat kaya dengan hidupan laut. Tuna adalah hasil yang paling berharga di sini.
(74) Di daratan, Kendari adalah dibanjari oleh bukit-bukit dan gunung-gunung hasil muntahan ledakan lahar gunung berapi. Keadaan tanah yang merah berkelikir serta penuh dengan zat-zat gunung berapi menjadikan buminya sangat subur. Apa juga jenis tumbuhan tropika kedapatan di sini. Paling istimewa, Kendari seperti menyimpan khazanah Indonesia buat panganan semua umatnya, iaitu sasak atau rumbia. Kendari terkenal sebagai salah sebuah wilayah Indonesia yang mempunyai pohon rumbia yang bermutu tinggi. Riwayatnya, sebelum kedatangan padi yang diperkenalkan dari China, sasak menjadi makanan ruji masyarakat kepulauan Pasifik. Namun kini, sasak seperti kian kehilangan martabatnya, seperti juga anak-anak pribumi yang kian minggir-terasing dimamah permodsenan.
(75) Di sepanjang perjalanan, aku sering saja berhenti khusus bila ketemu dengan para pengusaha warung di pinggir jalan. Warung-warung ini, biasanya terletak berhampiran tebing tinggi, memberikan pemandangan laut yang begitu indah dan nyaman. Aku biasanya duduk sebentar di warung-warung ini sambil berbual-bual dengan para pengusahanya. Jagung bakar, ubi bakar, dan air kopi tubruk menjadi sajian kemestian bagiku. Adakalanya aku seperti terlena takala bersandar di tiang bambu warung dalam hembusan bayu laut sambil melayan fikiranku melayang menyeberangi lautan singgah entah ke mana. Bayu laut yang bertiup lembut yang jarang aku nikmati seperti membelai perasaan dan fikiranku. Sadar tak sadar, Mas Ruddy, supir mobil selalunya akan mengejutkann aku, mengajak aku untuk perjalanan seterusnya. Begitulah perjalanan kami untuk selama dua hari penuh. Aku lebih suka keliling melihat-lihat perkampungan tradisional masyarakat Kendari, yang rata-rata adalah masyarakat Bugis yang kuat bertani. Mereka juga adalah masyarakat pelaut yang handal.
(76) "Mas, apa Mas tau ya, Kampung di sini, agak jauh sedikit dari kota, yang mungkin bisa saya nummpang nginep barang seminggu dua agar saya benar-benar dapat merasakan kehidupan masyarakat di sini", tanyaku pada Mas Ruddy. "Ada Pak, kalau Bapak sudi, kita ke Kampung nenek saya saja. Kira-kira perjalanan separuh Pulau, di balik pulau aja Pak", usulnya. "Boleh, kalau Mas ngak keberatan", jawapku. "Baik Pak, kapan rencana mahu ke sana. Saya bisa temani Bapak. Saya sudah lama juga ngak ke sana. Nanti saya bawa sama adik saya buat bantu memasak dan segala", lanjut soalnya. "Dua hari ini, biar saya keliling lihat-lihat Kendari dulu. Hari ke tiga nanti kita ke sana", balasku. "Baik Pak, nanti saya bicara sama ayah dan ibu saya, mungkin mereka juga mahu ikut sama ke sana. Kalau mereka ikut, kita ngak terlalu sepi. Nenek saya ngak banyak pengomongannya Pak. Kalau ayah, ibu dan adik saya ikut, pasti rame dan meriah", usulnya. "Boleh saja, malah kalau mereka sudi, saya pasti lebih gembira", balasku.
(77) Kendari kotanya kecil sahaja. Tidak ada apa yang menarik di sini. Perekonomian di sini, sememangnya sangat tidak terbangun. Tiada satupun perusahaan yang dapat aku lihat. Ikan-ikan yang ditangkap terus saja di hantar ke Jawa. Biarpun keupayaan wisata di Kendari sungguh besar, namun kerana jaraknya yang terlalu jauh dari Jawa, mungkin menyebabkan ianya amat terpinggir.
(78) Aku kehairanan juga apa yang menjadi daya tarikan pelaut Sepanyol, Portugis, Belanda, Jerman, Inggeris, Australia dan Amerika kemari. Juga 4,000-5,000 tahun terdahulu, pelayar Hindu juga pernah kemari mengembangkan pengaruhnya sehingga terbentuk Kerajaan Majapahit di Yojgakarta yang menjadi musuh kepada Kerajaan Sri Wijaya di Palembang. Rempah? Hanya kerana rempah? Tidak mungkin hanya kerana itu? Sebanyak mana sangat rempah diperlukan? Tidakkah mungkin kepelbagaian keindahan semulajadinya, kedudukan strategik maritim, kekayaan hasil laut, kekayaan hutan dsb yang turut menjadi daya tarikan mereka. Aku berkira, rantau nusantara adalah penghubung antara Timur-Barat dan Selatan-Utara, maka ianya menjadi idaman bagi semua bangsa ini untuk menguasainya, memilikinya!
(79) Di hari ketiga, Mas Ruddy datang menjemputku di hotel. Bersama dia, dia perkenalkan ayahnya, Pak karim, ibunya Ibu Sutiah dan adiknya Arni. Kami terus saja ke Kampung Sengkuang, kampung datuknya Ruddy iaitu kampung ibunya sebenarnya. Dua hari yang sudah aku, menyusur sebelah Timur Pulau kendari, dan hari ini, Ruddy membawa kami menyusur jalan sebelah Barat pula. Seharian kami di jalanan, melewati jalan-jalan kecil di sepanjang persisir merentasi kampung-kampung tradisi. Tengahari kami singgah di sebuah warung yang letaknya betul-betul di hamparan sebuah tebing tinggi dengan pemandangan laut yang sangat menakjubkan. Di kejauhan, perahu-perahu layar seperti berkejaran di lautan luas kebiruan dengan dihempas bunga-bunga ombak keputihan dalam tiupan angin deras yang mengasyikkan. Kami makan tengahari berlauk gulai bebek dan ayam kampung panggang di warung itu. Kerana Ruddy kelihatan sedikit kepenatan, aku mengusul agar dia lena sebentar di bangku panjang di bawah pohon redang di sebelah warung itu. Aku diam bersandar di bawah pohon sambil terus saja mengunyah jagung kampung bakar. Jagung kampung bakar sebegini hanya aku nikmati saat aku masih anak-anak lagi suatu masa dahulu.
(80)Kampung Sengkuang terletak di pinggir Teluk PaoPao, menghadap Teluk Bone yang di sebelah baratnya di batasi oleh Sulawesi Selatan. Suasana laut Teluk Bone agak tenang berbanding dengan bahagian sebelah Timur Kendari. Dari kejauhan, jelas lebih banyak perahu layar mundar mandir di kawasan Teluk Bone. Kampung Sengkuang adalah sebuah perkampungan kecil dengan bilangan keluarga sekitar 50 sahaja. Rumah-rumah di sini terbina dari tiang-tiang dan dinding bambu, dengan atap dari anyaman daun-daun rumbia. Kalau dibanding, dapat aku simpulkan bahawa rumah-rumah di sini lebih mirip kepada pondok-pondok sementara di kebunan di Malaysia.
(81) Kami sampai ke rumah datuknya Mas Ruddy sekitar jam lima sore. Rumahnya agak kecil. Terdapat tiga kamar. Di lataran, terdapat sebuah bangsal dinding separuh, yang aku kira pastinya tempat keluarga ini berkumpul untuk makan atau istirehat. Melihat wajah ibu Sutiah yang seperti agak gusar, aku berbisik kepada Ruddy agar aku tinggal saja di bangsal. Tidur dalam suasana berangin pasti nyaman. Lagi pula, aku tidak akan banyak di kamar, kerana aku kepingin mendaki dan meneroka kawasan perbukitan di belakang kampung. "Bu, kami di Bangsal aja", usul Ruddy kepada ibunya, lantas mengunjuk aku ke sana. Selepas kami berkenalan ringkas dan bersalaman dengan kedua datuk dan neneknya, Ruddy mengajak aku mendaki dan mandi di sebuah pancuran di belakang kampung. "Kita harus cepet mandi, nanti sudah peteng, agak payah. Juga nanti Bapak bisa duduk di pojok sana, di bawah pohon beringin rendang, dan menikmati suasana matahari terbenam yang sangat indah", usul Ruddy sambil mencampakkan sehelai anduk buatku. Kami berlari-lari menuju pancuran di lereng bukit di belakang kampung. Sungguh nikmat sekali dapat mandi air gunung yang dingin dan bersih.
(82) Selesai mandi, aku lantas duduk di bawah pohon beringin. Perlahan-lahan sang mentari merendah diri. Langit mulai bertukar warna dari putih kebiruan perlahan-lahan menjadi unggu-kemerahan. Di kejauhan, banjaran gunung yang membarisi pedalaman Sulawesi Selatan mulai menjadi gelap dengan awan senja mulai merebah diri."Pak, ini kopi sama gorengan ubi", unjuk Arni padaku. "Sebentar lagi Kang Ruddy akan ikut Bapak. Dia masih membantu ayah di dalam. Minum duluan. Nanti malam kita makan agak lewat sedikit", sambungnya lalu berlalu pergi dengan penuh sopan dan tertib sehingga tidak sempat untuk aku ucapkan terima kasih.
(83) Sekitar jam 21.30 baru kami makan. Makan di bangsal dalam hembusan dingin angin malam di pinggir laut seperti ini sememangnya tidak pernah aku nikmati. Apa lagi makan diterangi senter-lampu minyak tanah. Inilah kali pertamanya aku dapat menikmati suasana sebegini. "Maaf Pak. Kita makan seadanya saja. Kerana hari sudah agak telat, kita ngak sempet mau bikin apa-apa", kata Ibu Sutiah. "Bu, ini sudah cukup lumayan. Saya lebih suka sayur bening godokkan sebegini aja. Lebih sehat toh. Apa lagi adanya keluban sebegini. Ikan bakar ini cukup enak sekali, seger sih", jawapku sambil tanpa silu mengaut keluban ke dalam pingganku."Tau keluban ya Pak", sampuk Ruddy. "Itu memang kegemaran saya", sahutku. "Ni neng Arni yang handal bikinnya. Dia belajar dari kakek", sambung Ruddy sambil jarinya menuding ke arah adiknya Arni. "Ya, dulu-dulu masa saya masih bocahan, ibu saya selalu bikin keluban", jawapku ringkas. "Pinter Neng Arni bikin keluban, enak sekali", pujiku pada Arni yang duduk tersimpuh di samping kakeknya. Keluban adalah salad Jawa terbuat dari rebusan kacang panjang, daun ubi kayu, irisan mentimun, towgey, dan belahan telur ayam rebus dengan kuah kacang dan parutan kelapa.
(84) Keluarga Pak Karim adalah keluarga kecil. Beliau bekerja sebagai boroh binaan. Dia agak pendiam orangnya. Isterinya, Ibu Sutiah hanyalah suri rumah, yang membantu mendapat belanja dengan membuka warung di depan rumah. Ibu Sutiah agak lembut, sederhana tinggi, sangat sopan dan tertib orangnya. Arni, adiknya si Ruddy masih sekolah, dan akan tamat Sekolah Menengah Atas (SMA) pada penghujung tahun ini. Dia mudah saja mesra, rapi, serta genit orangnya. Rencananya, jika ada rezeki, dia mahu menyambung ke sebuah Kolej Perbidanan di Makasar pada tahun hadapan. Ruddy pula, hanya nyupir, berkerja dengan sebuah Toko Wisata yang sering mendapat tempahan sewaan mobil. Ruddy hanya tamat SMA, dan kerana kekurangan upaya, beliau mengalah untuk bekerja membantu keluarga sahaja. Mereka asalnya adalah dari Tanah Jawa, dan telah hijrah ke Kendari sejak mulai Indonesia mendapat kemerdekaan di akhir tahun 1940an. Malam itu, kami duduk sehingga larut malam berbual-bual mengenali diri masing-masing.
(85) Aku terbangun awal seperti biasa,kira-kira sebelum Subuh. Suasana sungguh dingin dan nyaman sekali. Langit cerah dengan bintang-bintang bertaburan. Kebetulan, rembulan separuh purnama masih tinggi menyuluh puncak-puncak banjaran yang membarisi Sulawesi. Sebentar kemudian aku melihat Pak Karim berjalan beriringan dengan mertuannya. "Mahu ke mana Pak?", tanyaku. "Oh udah bangun. Kami mahu ke laut. Mancing", jelasnya ringkas. "Saya ikut', kataku sambil mengoyang-goyang badan Ruddy agar dia bangun dan ikut sama. "Ayuh, cepet sih", sahut Pak Karim. Aku dan Ruddy berlalri-lari ke pantai lalu membantu Pak karim dan mertuanya menghulur perahu layar mereka ke air.
(86) Layar dilepaskan. Perahu kami perlahan-lahan meluncur tenang menuju tengah laut. Tidak lama kemudian, layar diturunkan, dan sauh dilabuhkan. Pak Karim, mertuanya, dan Ruddy pada sibuk melontarkan kail masing-masing. Pak Karim memasang sebatang kail buatku. Dipasangnya umpan babat ayam. "Bapak bisa mancing. Kalau nasib Bapak bagus, nanti mungkin akan dapat Tuna. Bapak harus sentiasa tarik-tarikkan joran pancing biar umpannya seperti bahan hidup. Ikan tuna suka menangkap umpan yang seakan-akan hidup", ajarnya serba ringkas kepadaku.
(87) Pelan-pelan di ufuk timur, garis-garis perak mulai timbul. Sebentar, suasana gelap pagi bertukar perlahan-lahan menjadi cerah merah-memutih. Kemudian muncul sang mentari dari atas banjaran gunung lalu hari bertukar menjadi siang. Angin pagi yang tadi seperti agak perlahan dan dingin, kini bertukar mulai menjadi deras dan hangat. Aku sangat terpana memerhati pertukaran hari dari gelap ke siang ini. Dari kejauhan, banjaran hitam perlahan-lahan bertukar menjadi hijau. Burung-burung mulai berterbangan. Perahu-perahu layar kelihatan merata berlabuh di sana-sini. Kami tidak sendirian rupanya. Aku seperti lupa akan pancingku, terus saja keasyikan melihat perubahan alam. Sebentar aku menoleh ke sampingku dan perasan, Pak Karim, mertuanya dan Ruddy tersenyum-senyum memerhatikan tingkah melompongku menyaksikan keindahan alam ini. "Ternyata Bapak tidak punya darah nelayan. Dari tadinya, pancing Bapak langsung tidak dipedulikan ikan", tegur Ruddy sambil tertawa kecil. "Sebentar lagi kita akan pulang", sahut Pak Karim. "Tapi, kita.....oh sudah dapat banyak ya. Saya tidak sadar", balasku sambil melihat beberapa ekor tuna sekitar 3-5 kilo beratnya sudah memenuhi keranjang ikan di sebelah Pak Karim. "Gimana mahu sadar, Bapak dari tadi seperti ngelamun terus. Teringat kampung ya Pak", sindir Ruddy. Aku hanya tersenyum sipu.
(88) Bila sampai ke pantai, Ibu Sutiah dan Arni berlarian mendapatkan kami. "Dapat banyak ya Pak?", tanya Arni pada ayahnya. "Lumayan. Pinter Pak Munshi mancing. Ngalah kami. Dia yang paling banyak dapat ikan", jawap Ruddy. "Ah kamu, menyindir ya?", balasku dengan disambut tertawa besar oleh semua yang hadir.
(89) Petang itu aku membantu Ruddy mencabut beberapa pohon ubi di kebunan datuknya di kaki bukit. Kemudian kami berjalan-jalan sekitar hutan mencari rebung buluh. "Beginilah kehidupan kami Pak. Hidup seadanya di desa. Mau mencari rezeki lebih, amat payah sekali. Seperti ikan-ikan itu, jika kita dapat lebih sekalipun, sukar untuk menjualnya. Mau disimpan, juga payah. Kita ngak punya peti es. Lestrik selalu saja padam. Belum ada perusahaan besar yang bisa menampung hasil tangkapan para nelayan", jelasnya agak panjang tentang kepayahan perekonomian di sini.
(90) Kami kemudian menghantar ubi galian kami kepada Arni yang sedang mengolah ikan di kawasan perigi. "Wah, dalam bener ya sumurnya", tanyaku kepada Ruddy bila melihat lubang perigi yang sangat jauh ke dalam. "Ya Pak, sekitar 10-15 meter", jawapnya. "Kenapa ngak disalurkan aja air dari pancuran di pinggir bukit. Bukankah airnya lebih jernih dan bersih", tanyaku lanjut. "Lumayan ongkosnya Pak. Kita ngak bisa langsung aja rentas jalan. Pihak berwajib ngak kasi. Bambu paipnya harus dipasang keliling kampung dan hanya bisa merentas jalan lewat jambatan kecil sekitar tiga kilometer jauhnya. Semuanya, sekitar enam kilo meter bambu paip baru bisa sampai ke rumah ini. Kita di kampung ini sudah kira sekitar Rp10,000,000.00 baru cukup. Kita sudah kumpul, namun masih kekurangan Rp6,000,000.00 lagi" jelasnya lanjut. "Apa bambunya bisa di dapati dengan mudah?", soalku ingin tahu. "Bisa aja Pak, banyak di Kota", jawapnya ringkas. "Kalau gitu, besok kita ke Kota aja, kita beli dan nanti kita sama-sama satu kampung bangunkan secara gotong royong. Ongkosnya, saya tampung", usulku. "Kasian deh melihat kedua nenek sama kakekmu, terbungkuk-bungkuk mencedok air di sumur yang sebegitu dalam. Salah-salah nanti bisa kejebur ke dalam sumur mereka.",tegasku.
(91) Petang itu, aku, Ruddy dan Pak Karim ke Surau Kampung Sengkuang, untuk sholat Maghrib. Kemudian kami berbicara dengan Bapak Kepala Desa bagi memaklumkan niat kami untuk menyalur air pancuran bukit terus ke rumah-rumah di Kampung itu. Untuk tujuan itu, kami mohon agar penduduk kampung datang bergotong royong mengerjakan urusan itu pada tengah hari esoknya. Awal subuh aku dan Ruddy ke Kota Kendari bagi membeli bambu paip, sedang Pak Karim dan mertuanya turun ke laut untuk memancing mencari lauk tambahan buat hidangan semasa majlis gotong royong nanti.
(92) Seperti dijanjikan, keesokannya, anak-anak kampung berbondong-bondong hadir bagi mengali lorong di sepanjang pinggir jalan bagi menanam buluh paip sebesar dua inci untuk menyalurkan air pancuran ke setiap rumah di perkampungan Sengkuang. Sebetulnya, hanya sedikit yang sebenarnya bekerja. Lainnya banyak yang hadir untuk makan-makan, bercekak pinggang dan ngobrol saja. Namun suasana keramaian sebegini sangat mengasyikkan, apatah lagi berbuat kerja amal sebegini. Banyak yang memuji-muji kemurahanku, dan banyak juga yang mengucap syukur dan mendoakan agar aku terus dilimpahi rezeki sepanjang hidupku. Namun dalam hatiku, semuanya adalah sebagai sedekah dan wakaf buat kedua orang tuaku yang seumur hidup mereka tidak berkesempatan menjamah air paip. Aku secara diam berdoa, agar nikmat kedinginan air pancuran ini nanti akan turut dirasain oleh mereka di alam baka. Dua hari suntuk diperlukan bagi menyiapkan semua kerja-kerja ini.
(93) Dulu-dulu semasa aku masih kecil, sememangnya menjadi tugasan harianku untuk mengangkut air perigi mengisi gentong di pelantar dapur buat mandian ibuku, khusus bila dia sudah tidak boleh berjalan akibat serangan lumpuh separuh badan. Kejayaanku untuk menyalurkan air bukit ke rumah-rumah di kampung Sengkuang ini memberikan peringatan yang sangat mendalam buat diriku. Begitu juga, betapa girang tampaknya wajah nenek si Ruddy kerana rumahnya sudah dipersiap dengan air paip. Ibu Sutiah dan Arni juga seperti sangat lapang kerana, aku berkira mereka sudah tidak lagi perlu ke kaki bukit untuk mandi di pancuran. Juga mereka sudah punya pilihan antara air perigi yang sedikit kekuningan dan air gunung yang putih bersih. Paling mengembirakan semua orang, termasuk diriku, kakus mereka juga sudah punya bekalan air, tidak usah lagi terpaksa harus mencebok ke perigi bila saja mau buang air besar.
(94) Atas penghargaan kerjasama semua pihak, aku mengusulkan kepada Ruddy agar menjemput Kepala Desa dan Ahli-ahli Mesyuarah Desa dan Imam Surau makan malam bersama di rumahnya. Usulku disambut baik oleh Pak Karim dan Ibu Sutiah. "Kita undang juga teman-teman saya Pak. Mereka bisa bantu saya masak!", kedengaran suara Arni menyeru dari balik dapur.
(95) Hari ke empat, setelah menyiapkan kerja-kerja memasang buluh paip, aku merasa tubuhku sakit di sana-sini. Aku merasa amat berat untuk mahu ke mana-mana. Ruddy, Pak Karim dan datuknya sudah pergi mengail untuk mencari lauk buat makan malam nanti bersama semua tetangga dan Bapak Kepala Desa. Sepanjang pagi, aku hanya duduk di bangsal sambil membaca tiga buah novel yang sempat aku beli, dua di bandara Makasar: Perempuan Berkalung Sorban karya Abidah El Khalieqy dan Musafir Cinta karya Taufiqurrahman Al-Azizy, dan satu lagi dibeli di bandara Sukarno-Hatta: Putri Sio karya M. Hilmi As'ad. Ketiga-tiga novel itu sangat mengasyikan dan membantu membunuh masaku. "Pak, ini kopi sama gorengan ubi", suara Arni, menyentap aku dari tumpuanku menghayati Novel Sejarah Purti Tionghua di Palembang seawal pemerintahan Majapahit. Melihat aku seperti kegagetan, Arni lantas saja mengucap: "Maaf Pak, saya kira Bapak sadar kedatangan saya". "Oh ngak apa-apa neng", balasku dalam nafas pendek-pendek. "Buku apa itu Pak", tanya Arni. "Novel", jawapku ringkas. "Jika Arni mahu, nah baca Perempuan Berkalung Sorban ini. Nanti kalau udah usai, bisa sambung baca Putri Sio dan Musafir Cinta", balasku sambil menghulur novel berkenaan kepadanya. Arni kelihatan sangat girang menerima novel yang kuberikan, berlari-lari anak kembali ke dapur untuk terus membantu ibunya.
(96) Malam itu setelah semua para tetamu pulang, aku bertanya Ruddy kapan rencana dia mahu pulang ke kota. "Bapak udah ngak betah di sini ya!", tiba-tiba aku seperti disergah Arni. "Ngak neng, kalau saya lama-lama di sini, nanti kan menganggu kerjaan Bapak sama Ibu neng", sahutku. "Biar saya habisin dulu novel-novelnya Bapak. Saya tengah asyik deh. Kami udah rencana, mau libur seminggu di kampung", jawapnya sungguh-sungguh. "Kalau gitu, saya juga bisa netep lagi sampe kalian pulang ke kota", balasku. "Soal novel itu, neng bisa simpan aja. Saya bisa beli yang lain nanti di Makasar dan Jakarta", sambungku lagi. Ternyata, dengan jawapanku itu, Arni kelihatan senang dan girang sekali. "Arni, ya gitu Pak. Dia paling suka membaca. Tapi kami ngak bisa belikan dia bahan bacaan yang bagus-bagus. Saya percaya dia sangat seneng sama buku-buku yang Bapak kasi. Di Kendari payah untuk dapat buku-buku bagus Pak", jelas Ruddy sambil mengekori telatah adiknya berlari-lari ke dapur sambil mengangkat pinggan mangkuk bekas pangganan."InsyaAllah, nanti bila saya pulang, saya akan titipkan semua buku-buku yang ada bersama saya ini kepadanya", sambil membuka menunjukkan beberapa buku lagi di dalam 'backpack'ku kepada Ruddy.
(97) Hari-hari berikutnya aku ikut-ikutan Ruddy, ayahnya dan datuknya memancing. namun hadirku, sekadar menemani saja. Memancing adalah perbuatan yang paling aku tidak suka. Mereka seperti sudah mengerti akan tabiatku itu. Sedang mereka mancing, aku menghabiskan masaku dengan membaca tiga buah buku berjudul agak berat: Merebut Hati Rakyat-sumbangan pemikiran Aburizal Bakrie, The Formative Period of Islamic Thought oleh William Montogomery Watt, dan Decent Homes For All-Planning's evolving role in housing provision oleh Nick Gallent dan Mark Tewdwr-Jones.
(98) Di hari keenam, kukira hari terakhir aku di Kampung Sengkuang ini, Arni dan Ibunya ikut sama mancing. "Kita nanti makan di laut aja Pak. Sore baru kita pulang", bilang Ibu Sutiah sambil memasukkan segala periuk ke dalam perahu. Aku hanya membalas dengan senyuman. Kali ini, datuk si Ruddy tidak ikut. Arni seperti sibuk juga dengan novel Putri Sionya. Seperti biasa aku hanya menumpu membaca. Kali ini aku membaca tentang: Subroto- Tak Kenal Lelah terbitan Yayasan Bina Anak Indonesia. Buku ini merupakan penceritaan bagaimana Subroto, sebagai seorang Menteri dalam kabinet Suharto telah menaggung tugas dengan baik dalam membangunkan ekonomi desa Indonesia, khususnya melalui gerakan Koperasi Desa. "Bapak suka membaca tentang pemimpin Indonesia ya", tegur Arni melihat aku begitu asyik menghayati kisah kerjaya Subroto. "Saya bukan hanya membaca tentang Hatta, Bung Karno, Suharto, Achmad Yani, bahkan penulis-penulis besar seperti Mocthar Lubis, Pramoedya, Taufiq Ismail, Ismail Marzuki, Pak Hamka, dan banyak lagi. Bahkan tentang si Benjamin S. pun saya baca", jelasku. "Tahu siapa yang paling saya suka?", telahku. "Pastinya pemimpin besar", sangka Arni. "Ngak, dia adalah Abiet G. Ade", jawapku. "Loh, diakan penyanyi. Kok jadi begitu?", soal Arni seperti tidak percaya. "Ia, dari saya masih di SMA saya udah suka sama dia. Nyanyiannya cukup puitis dan mengesankan. Dia memperjuangkan kehidupan!", jelasku.
(99) "Untung ya, saya bisa ketemu Bapak, yang bukan saja suka membantu, malah banyak membaca. Pastinya Bapak ngak pernah sepi ya", sambut Ruddy. "Sebetulnya, saya lebih suka menyepi", balasku. "Loh, kok gitu Pak. Saya lihat Bapak ngak sebegitu?", soal Arni. "Ya ia deh. Kalau mahu membaca, masak mahu ribut-ribut. Pastinya mahu menyepi deh!", jawapku sambil tersenyum. "Wah Bapak, mahu bercanda ya!", balas Arni. "Kita mesti banyak membaca. Ingat itu suruhan Allah yang pertama-tamanya buat penghulu kita Muhammad. Kalau mahu ilmu yang lebih luas dan dalam, banyakkan membaca. Lebih baik hidupnya kalau kita punya banyak ilmu", sambungku. "Ya Pak, Pak Uztaz di Sekolah saya bilang, kalau orang berilmu itu pasti Allah sayangi dan dimurahkan rezeki", sahut Arni. "Ya bener. Lihat saja pada Bapak Arni, kerana dia punya ilmu memancing yang hebat, maka dia bisa mengalahkan saya dalam soal memancing. Rezekinya dia lebih luman dari saya", sambut ku dengan ketawa sambil menoleh kepada Pak Karim. Kami kemudiannya semua tertawa.
(100) "Tapi, Bapak saya ngak pernah membaca soal mancing!", sanggah Arni dalam tertawanya. "Dia pasti membaca cara lain", kataku. "Gimana itu Pak", soal Arni. "Dia membaca cara pengamatan. Pastinya dia udah lama mengamati gimana neneknya Arni memancing dan bahkan para nelayan lain memancing. Pokoknya, dia tetep mempelajari", jelasku. Arni seperti sedang berfikir, menyengetkan kepala lalu tersenyum tanda setuju.
(101) Keesokannya, di awal pagi selepas sarapan getuk dan gorengan ubi dengan ikan bakar, kami berangkat pulang ke Kendari. Aku pamitan sama datuk dan neneknya si Ruddy. Aku hulurkan sebuah envelop sebagai tanda terima kasih atas kesudian mereka menamukan aku. Hadir sama kemudiannya adalah Kepala Desa dan beberapa tentangga. Agak berat juga rasanya, untuk melangkah pergi. Sedang pickup kami meluncur menjauh, aku dapat melihat lambaian sayu dari jiran-jiran yang kami lewati. "Mudah-mudahan kita bisa ketemu lagi", bisik hatiku.
(102) Sesampai di Kendari, Ruddy mengajak agar aku nginep saja di rumahnya. Aku agak keberatan. "Bapak ngak sudi ke gubuk buruk kami ya", tanya si Arni bila melihat aku seperti kebingungan. "Bukan gitu neng. Kerjaan kalian udah seminguan saya ganggu sih", aku cuba memberi alasan. "Tapi kami ngak merasa begitu Pak. Malah kami amat bersyukur di atas kehadiran Bapak. Ayuh nginep aja di rumah kami", ajak Pak Karim. "Baiklah, hanya dengan satu syarat", pohonku. "Loh. Kok main syarat melulu Pak. Apanya?", tanya Ruddy sambil menolehku dengan sedikit keheranan. "Saya cuma nginep di sana dua hari saja. Dan sebagai balasnya, kalian saya traktir ke Makasar. Kita sambung libur di Makasar barang dua-tiga hari sebelum saya pulang ke Malaysia", tegasku. "Pas Pak!", jerit si Arni. "Eh ini anak, bisa setuju ngak karuan", sergah ibunya. "Kita kan ngak pernah ke sana. Arni masih liburan. Untung ada Bapak bisa tunjukki kita Makasar. Pasti Kotanya lebih besar dan rame. Ayuh bu. Setuju aja", gesa Arni. "Ah kamu", sambil ibunya kulihat dari cermin pickup mencubit anaknya. "Saya kira semua setuju. Ruddy harus ikut sama", paksaku. "Pas Pak!", kata Ruddy sambil bahunya ditepuk-tepuk girang oleh Arni.
(103) Makasar sebetulnya cuma 30 minit saja dari Kendari. Pesawat cuma perlu terbang merentasi Teluk Bone. Jika pakai feri juga boleh. Sebetulnya dari Kampung Sengkuang, pakai perahu layarpun bisa terus ke Makasar. Di Makasar, kami nginep di Hotel Makasar, sebuah hotel bertaraf sederhana yang letakknya betul-betul di pinggir laut di tengah Kota Makasar. Kerana hari hujung minggu, Makasar kelihatan agak sibuk. Aku menempah sebuah Van untuk membawa kami bersiar-siar di Kota. Dari cermin van, dapat aku perhatikan betapa mereka seperi rusa masuk kampung, celingak celinguk berputaran memerhati hiruk pikuk kota. Setelah puas keliling, kami singgah di sebuah pasaraya. Aku minta dua orang pelayan membantu untuk memilih pakaian dan sepatu buat mereka. "Saya gratis, buat lebaran nantinya", usulku kepada mereka. "saya mahu lihat neng pilih yang paling cantik sekali", usulku pada Arni.
(104) Malamnya, aku mengajak mereka makan di Pizza Hut. Bila aku menyebut nama Pizza Hut, Arni seperti tersembul bola matanya. "Arni sering nonton di Tv Pak, melihat bagaimana enaknya orang makan apa itu......Pizza Hut", sambungku. "Enak Pak, Buk, Kang Ruddy", sambungnya lagi. Aku cuma tersenyum, begitu juga supir di sampingku. Habis makan jam 21.00, dan kerana mereka masih kelihatan agak teruja, aku mengusulkan: "Kita nonton di bioskop. Mas apa masih ada main filem telat sebegini ya", tanyaku pada supir kami. "Masih pak. Malam minggu begini, yang terakhir sekitar jam setengah sebelas", jelasnya. Kebetulan, Filem Perempuan Berkalung Sorban sedang dimainkan. "Wah Bu, filemnya sama dengan novel yang Bapak kasi saya baca. Asyik deh ceritanya!", ujar si Arni.
(105) Hari berikutnya, dengan menggunakan van kami terus keliling Kota Makasar sekali lagi. Kami melihat-lihat perkampung nelayan, gedung-gedung pemerintah, taman-taman rakyat, sekolah-sekolah yang lebih bagus dari di Kendari, dan paling akhir ke Kolej Perbidanan Makasar. "Wah pak. Bapak kok ngerti saya mahu ke sini tahun depan?", jerit si Arni keriangan bila saja kami singgah di depan pintu utama Kolej tersebut. "Loh, bukankah Arni yang ceritakan kepada saya semasa di rumah neneknya kelmarin", jawapku. "Oh, ya. Lupa saya. Terima kasih amet-amet Pak kerana bawa saya ke sini. Pasti nanti malam ngak bisa tidur saya", balasnya sambil terus melangkah keluar van bagi meninjau sekitaran kolej.
(106) Keesokannya aku memutuskan mahu berangkat ke Jakarta. Pak Karim juga memutuskan agar mereka turut berangkat pulang ke Kendari. Di Bandara Makasar, sedang Pak Karim, Ibu Sutiah dan Ruddy kuarah duduk dibangku, aku mengheret Arni ke Gedung Buku. "Wah Pak, banyaknya buku", jeritnya bila memasuki ke gedung tersebut. "Arni pilih buku-buku yang Arni suka. Kemudian kasi sama mbak itu, biar nanti saya bayar harganya", sambil aku memanggil pelayan untuk membantu.
(107) "Saat kita berpisah sudah sampai Pak, Bu", ucapku saat pengumuman keberangkatan Garuda ke Kendari dilaungkan. "Kalian ikut saja penumpang yang lain itu", sambungku sambil menuding ke arah sebaris penumpang yang sedang 'check-in di Gate 12' untuk ke Kendari. Pak Karim bersalaman dan memelukku. Begitu juga Ruddy. Ibu Sutiah seperti menangis, menghulur salam kepadaku. Aku tunduk memberi hormat padanya. Arni yang kelihatan sungguh manis memakai skirt labuh dan blouse 'merah jambu' dan bersepatu sederhana tinggi yang dibelinya semalam, menghampiriku tertunduk. Ternyata matanya merah menahan tangis. "Terima kasih Pak. Sekali-kali Arni ngak akan lupa pada Bapak", katanya dalam sedu sedan sambil menunduk mencium tanganku. "Neng, ini saya beli khusus buat Neng. Baca dan fahami sampai habis ya. Mudah-mudahan suatu hari nanti saya akan bisa mendengar khabar yang baik tentang diri Neng. Belajar jeng tekun yo! Nanti bila udah sampe ke Jakarta saya nelpon!", pesanku sambil menghulurkan empat buah buku yang telah dibungkus khusus dan rapi: Kerudung Merah Kirmizi karya Remy Sylado, Emak karya Daoed Joesoef, Panggil Aku Kartini Saja karya Pramoedya Ananta Toer dan Habis Gelap Terbitlah Terang karya Armin Pane. Aku juga menghulurkan sebuah sebuah envelop hijau dengan nota: Kalian telah menyadarkan aku tentang wajibnya aku kembali, dan meneruskan perjalan panjangku. Semoga kita sama-sama diberiNya segala kekuatan buat menyambung tugas masing-masing kepadaNya-Munshi, 1 Juni, 2009.
(108) Pada Ruddy kuhulurkan juga sebuah envelop untuk segala ongkos perjalananku dan gajiannya. Sebagai tandamata, kusarungkan sebuah jam tangan buatnya. Mudah-mudahan, demi masa, dia akan menjadi seorang yang berjaya, doaku buatnya.
(109) Pesawat Garuda menerbangkanku ke Surabaya sebelum ke Bandara Sukarno-Hatta. Saat di Bandara Sukarno-Hatta, hatiku seperti masih sebak. Hari ini, hari Minggu, I Juni, 2009, adalah tanggal yang harus aku tandai dengan sesempurnnya. Inilah tanggal, sempurnanya belah-kecaian cinta antara aku dan Izan. Aku tidak sanggup untuk berada di bumi Malaysia pada saat ini, merasai saat sempurnanya gegaran runtuhan cinta-kasihku padanya. Tadi, di Bandara Makasar, saat Arni mencium tanganku, aku seperti spontan mengusap-ngusap kepalanya dengan bersaksikan kedua ibu-bapanya. Hanya kerna entah apa yang menahanku, hampir-hampir aku mengucup dahinya saat dia mendongak merenung mataku. Kini, aku termanggu di sini, di mercu tanda perjuangan kemerdekaan bangsa Sukarno-Hatta, mengingat prilakuku itu, apa sejujurnya aku sedang mengusap kepala Arni atau aku sedang menghalalkan kemerdekaan mutlak perpisahan kekal aku dan Izan. Aku tersimpuh di pojok jauh kaki Sukarno-Hatta.
(110) "Maaf Pak. Ngak bisa tidur di sini. Udah telat malam ini!", suatu suara membangkit dan menguncang-guncang bahuku. "Maaf Pak, saya ketiduran", lalu bingkas bangkit dari kerusi plastik yang tadinya menahan tubuh goyahku. Aku mengambil sebuah teksi langsung ke Senayan. Selepas check-in, aku teringat untuk menalipon Arni. "Salam Pak. Kok telat banget baru nelpon. Udah jam setengah dua ini. Tadi ibu sama babak kebingungan. Sangka mereka....", jawap Arni saat aku menalipon dia. "Kok Arni belum tidur? Ya ngak usah bingung. Saya udah selamat sampe", sambutku. "Saya sedang baca novel Kerudung Merah Kirmizi Pak. Asyik jalan ceritanya", jawapnya. "OK ya udah. Salam sama ibu dan bapanya. Selamat malam", balasku.
(111) Aku kemudian turun lalu berjalan-jalan keliling Stadium Senayan. Di langit, biar berselindung di balik entah awan entah kabut kotoran asap Jakarta, aku dapat melihat sang rembulan mengambang jauh. Dalam benakku, mungkinkah di saat, dalam getir seperti ini maka Franky Sahilatua dapat mencipta sebuah lagu: Lelaki dan Rembulan. Dan kini, aku sedang melakonkan nyanyian kasmaran Franky itu. Atau di saat berkeluyuran di padang rumput Senayan ini, juga Abiet G Ade terilham mencipta: Cintaku kandas di rerumputan. Juga aku, di saat ini jadi pemain lakonannya. Mataku berpinar. Pada rembulan dan di rerumputan, bergantian bayangan Izan dan Arni datang menerpa jiwaku. "Ya Tuhan, kenapa aku boleh jadi sekerdil ini, dalam meniti perlencungan hidupku ini? Apakah aku akan terus tergelincir dan patah?".
(112) Aku singgah melepas lelah duduk di bangku panjang di pinggir Taman Senayan. Di situ aku menghabiskan malamku. Aku terlena dibungkus embun kotor Jakarta, sedang Izan dan Arni enak dalam selimut hangat, lena dalam penuh kebahagian. Aku, kesendiri, terasing, mengigil digigit dingin hawa subuh.
(113) Sayup-sayup bacaan Al Quran menerobos kupingku. Sungguh merdu, sungguh lembut, sungguh mengetarkan hatiku akan senandung bacaan itu. " Astarfirullah. Sudah mau subuh rupanya", bisik hatiku. Kemudian aku melangkah mengesani arah datangnya suara bacaan Kalam Allah itu. Seketika, dari celah-celah pepohonan rain tree pijaran cahaya kalimantang menyerlahkan kubah Masjid Hijau. Aku sujud dan tafakur di situ. "Ya Allah, akhirnya, terseret tubuhku ini di tanah tumpahnya nenekku ini. Apakah akan Kau jelaskan maksudnya hadirku di pentas duniaMu pada tanah ini?", pohonku padaNya.
(114) Aku kemudian terus saja ke kamar dan tanpa memperdulikan apa-apa, terus saja menyambung lena. Hanya bila terasa tersangat lapar, baru aku bangkit, lalu memesan nasi bebek cabik ijo. Jam sudah menunjukkan pukul 1500 petang. Sambil makan, aku membelek-belek Peta Kota Raya Jakarta. "Mahu ke mana aku? Mahu berbuat apa aku?", persoalan itu menerjah-nerjah benak fikiranku.
(115) Mataku tetiba berpusat pada "Taman Ismail Marzuki". Aku kemudian langsung ke kaunter bertanyakan: "Ada apa di Taman Ismail Marzuki, neng?" kepada salah seorang pelayan tamu di situ. "Oh di sana lumayan bagus Pak. Ada tempat makan. Ada Wayang Pentas. Ada Galeri Seni. Pokoknya, rame orang wisata ke sana Pak", jelas beliau.
(116) Keesokan harinya, aku meneter dari Taman Marzuki ke Perpustakaan Jakarta Raya dan langsung seterusnya ke Taman Mini Indonesia. Di ketiga-tiga tempat ini, aku seperti telah melupakan deritaku. Buku-buku langka telah membunuh masaku tanpa aku sadari. Dari sebuah rak ke sebuah rak, dari sebuah warung ke sebuah warung aku membelek-belek tanpa lelah biar terkadang-kadang terbersin kerana hapak dan debu buku-buku itu. Dua hari suntuk aku habiskan di tempat-tempat ini, dan akhirnya beberapa kotak buku kuangkut pulang ke hotel.
(117) Paling istimewa buku-buku: Siapa Menabur Angin, Akan Menuai Badai tulisan Soegiarso Soerojo; Spectrum: Essays presented to Sutan Takdir Alisjahbana terbitan Dian Rakyat; Himpunan Puisi Taufiq Ismail 1953-2008: Mengakar diBumi, Mengapai ke Langit; DiBawah Bendera Revolusi karangan Sukarno; dan paling istimewa sebuah buku yang mengupas sejarah Gelora Konfrontasi Mengganjang Malaysia terbitan Departmen Penerangan Republik Indonesia akan menjadi khazanah yang tidak akan ternilai buat anak-cucuku dikemudian hari. Inilah buku-buku tentang sengsara perjuangan kemerdekaan dan buku-buku tentang cerita suara hati rakyat yang payah dan susah.
(118) Dengan buku-buku ini, pelan-pelan rasa cinta kerana asmara mulai meluntur dari fikiran dan jiwaku. Sengsara cintaku hanyalah perasaan. Sedang sengsara para pejuang adalah kegetiran yang mengugat mental, jasad, dan roh. Terlalu besar dan perit untuk dibandingkan. Namun tetap mereka bertahan dengan hasil kemerdekaan-kebebasan. Kini aku seperti kian kembali, tersadar tentang cinta-perjuangan yang perlu aku garap keras. Benarlah, sebagaimananya terjadinya kepada Pak Hamka: Haji Abdul Malik Karim Amrullah, kerana jadi korban adat, maka dia terputus cinta lalu merantau sehingga sekejap bermastautin Dibawah Lindungan Kaabah, mencari ilmu dan seterusnya menerangi kegelapan dan kemelut sosial di Minangkabau khususnya dan Nusantara amnya. Aku kembali pulang, pulang menginjak dan menjamah tanah semula. Kudrat Allah, begitulah kehendakNya, menyiksakan aku, agar aku akan terus sadar tentang masih banyaknya siksa dan sengsara di bumiNya ini. Biarlah aku terkorban untuk kebahagian yang lain.
(119) Aku kembali. Busman tersenyum lebar menyambut tubuhku yang sudah goyah. Namun aku tantang matanya dengan penuh keyakinan. Aku sudah kembali dan akan berjalan tegap.
Sibu-Kuala Lumpur-Kuching
26 April-1 June, 2010
13 comments:
country road take me home
to the place where i belong
kini ku sedari kehadiran ku tiada ertinya......
Hanya melepaskan lelah seketika.....
Namun aku redha... kerana aku tak mampu melawan takdirnya....... mungkin ada hikmahnya......... namun ku doakan agar dirinya berbahagia.......... Dirinya tetap ku cinta... Walau dia tiada keyakinanya pada cintaku.......... Mungkin aku bukan untuknya.......
Kini ku sedarinya........ Kehadiran ku tiada ertinya....Hanya pelepas lelah seketika... Mungkin ini takdirnya......Namun aku redha.. AKU BUKAN UNTUKNYA...Itu dalam fikirannya...... namun aku tetap akan terus cintakannya.. Walaupun keyakinananya pada cintaku tiada.... inilah kehidupan nya manusia....... Sering permainkan perasaan sesamanya....... aku pasrah.......
Cobaan......ekkkk....cobaaan!
hmmm...jiwang semacam jek....ada double meaning nih....
Tidak ada seorang pun akan memahami diri kita jika kita tidak membuka ruang untuk seseorang cuba dan belajar memahami ttg diri kita...... Kerana setiap insan itu tidak sama tingkah dan sifatnya......
rasanya...macam ada 2 orang yang sedang berkomunikasi di alam fantasi.
rasanya seperti ada message yang ingin di sampaikan pada seseorang..En Abdullah ,berterus terang kan itu lebih baik dari terus menerus melarikan diri..jangan susahkan yang mudah.seperti sedang berkomunikasi antara 2 manusia ini.
Biarlah mereka sebegitu....setidak-tidaknya, saya telah menyediakan wadah buat mereka. Juga, biarlah juga sesiapapun bebas mentafsir apa yang saya tuliskan...benar atau tidak, itu bukan perosalan pokoknya....hanya saya mahu otak kiri saya terus hidup!
Hidup seperti satu permainan yang pastinya ada yang kalah dan ada yang menang. Namun masa tidak menghiraukan siapa yang menang atau kalah, ia tetap beredar mengikut putarannya. Yang muda pasti akan tua, yang elok pasti akan robek, yang cepat pasti akan perlahan dan yang hidup pasti akan mati.
Persoalan hidup juga ada pada manusia itu sendiri, terkadang dia jumpa , terkadang dia kehilangan, apa pun dia terpaksa pasrah dengan takdir. Selagi banyak yang kita cari, semakin banyak yang tidak kita ketahui.
Saya juga sependapat dengan saudara ada baiknya menghidupkan otak kiri yang sering disisihkan dalam urusan seharian.
kasih sayang adalah kurniaan Illahi yang tiada ternilai, namun kadang kala manusia itu alpa..bila kasih sayang itu pernah jadi milik sah, manusia itu membiarkah kasih yang mutlak pudar, layu tak bermaya...bila kasih itu hilang manusia itu cuba mencari pengganti kasih yang hilang..sehingga di saat Illahi menemukan kasih itu...ia turunkan ujian...sekadar memberi peringatan....agar persiapkan diri jangan ulangi kesilapan
bermula dari perenggan 52 hingga akhir, adakah ini pengalaman benar? Saya membaca bersama juntaian air mata.... dan IZAN? Saya belum benar2 mengenali Abg Dollah, dan.....IZAN?
ABC memang misteri!
asalamualaikum..saya baru sahaja selesai membaca aku sedang bepergian.
sebenarnya banyak tulisan beliau yang melukakan hati,yang meruntun jiwa,yang meremukredamkan perasaan pembaca khasnya.saya diantaranya yang seringkali mengikuti bloq beliau. memang tidak dapat dinafikan agak menyentuh hati,merobekkan jiwa dan mampu mengalirkan airmata terutama bagi seorang yang bernama wanita.
begitu juga jika dilihat pada tulisan yang lainnya seperti bila hati terus diam,pelangi hidupku dll.
Renungkan seketika..seperti ada masanya kita tidak dapat membaca apakah sebenarnya yang ada dihati penulis..tapi ada tikanya kita seperti dapat merasakan apa sebenarnya kehendak,hasrat dan harapan penulis kepada semua nun di luar sana..
comment ani ahmad..abc adalah misteri dan bagi saya sendiri penulis sebetulnya penuh misteri....TQ.
Post a Comment