.

12/10/09 HARAPAN YANG MEMINTA-MNTA....apakah kita akan dipedulikan!

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - October 25, 2009

Share

& Comment


Saya telah berjalan agak jauh juga di muka bumi Allah ini: Singapura, Thai, Burma, Filipina, Indonesia, Australia, Papua New Guinea, Amerika, Kanada, Vietnam dan kini India. Saya sedang bemimpi untuk ke Bukhara, Basrah, Ishafan, sebelum mungkin menghadapNya. Namun apakah kerana kudrat, kebetulan atau minat dalam setiap lawatan saya, pastinya saya akan mencari segala wajah-wajah kesusahan dan kepayahan yang segalanya terjelma dari kemiskinan. Di mana juga, kemiskinan seperti adalah sumber bagi segala kecelakaan lainnya: pelacuran, penghambaan, peperangan, penindasan, penipuan, penghianatan, dan segala jiwa-jiwa kotor. Maka tepatlah sebagaimana Muhammad katakan: Kemiskinan itu hampir-hampir membawa kekufuran!

(2) Saya perhatikan, biar di kalangan masyarakat Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Confucius, atau animisma, yang sangat 'taat' untuk 'menghampirkan diri' pada yang Esa adalah mereka yang dalam sengsara. Di mana juga mereka, air mata khudus, air mata keinsafan, air mata kesadaran berserta sedu suara pasrah yang sangat dalam sangat mudah terjelma dari mereka dalam golongan ini.

(3) Paling ketara, bila kesengsaraan ini terlahir dari kemiskinan yang terakibat dari apa juga puncanya: pengasingan, peminggiran, bencana, sifat malas diri, dsb; maka bergitu hebat tampak 'penghampiran diri' mereka ini kepada yang Esa. Ada 'penghampiran diri' ini telah bertukar kepada fahaman 'dunia ini hanya pentas mainan: sia-sia', seperti sudah diasak 'kekecewaan' dan 'dugaan' ini tidak dilihat dan dihayati sebagai suatu titk mula kesadaran dan kebangkitan! Saya telah perhatikan, banyak kejadian sebegini, di dalam mayarakat kita, masyarakat Hindu, Buddha, dan segalnaya, dan juga beberapa teman. Saya sangat khuatir!

(4) Maka saya mulai bertanya kepada diri saya, bila memerhatikan semua ini, apakah yang Esa benar-benar akan 'melihat, mendengar, dan peduli' akan semua 'penghampiran diri' dari semua mereka ini? Jika benar, bukankah sudah sekian lama golongan sebegini sudah wujud dan bersikap 'menghampirkan diri' sebegeni, namun kenapa pula terus-terusan saja mereka 'mati dalam sengsara sebegini?'. Berapa ramai telah yang Esa bebaskan dari sengsara mereka atas cara dan gaya 'menghampirkan diri' mereka ini? Dalam erti kata mudah: Apakah Tuhan peduli kepada semua doa kita? Pertanyaan saya ini, ada yang akan menganggap sebagai suatu pendurhakaan atau mungkin ada yang sudah bersangka (percaya) mungkin saya sudah murtad!

(5) Melihat akan semua ini, sambil terus ingat akan cabaran Allah: (a) Tiada Aku akan membaiki kamu, melainkan diri kamu membaiki dirimu sendiri; (b) Jangan disangka kamu adalah beriman, melainkan telah Aku coba segalanya; (c) Dan jangan kamu sangka kamu adalah beriman hanya dengan memalingkan muka kamu ke kiri atau ke kanan sahaja; (d)Telah aku jadikan segalanya untuk kamu, jika kamu orang-orang yang berfikir...dan banyak lagi yang terus-terus mengasak kita agar terus berfikir dan berusaha sekuatnya memerdekakan diri.

(6) Syukur, dalam usia yang kian maghrib, saya mulai melihat agama sebagai 'pagar' bagi kita untuk terus menjadi ciptaan yang paling berguna, paling agung. Agama adalah 'disiplin diri' agar kita terus sadar akan erti kewujudkan kita dalam suasana dan keadaan kita dilahir dan dibesarkan. Contonya: Jika kita terlahir dalam keadaan kemiskinan, maka tidaklah bermaksud Dia mahukan kita terus miskin, melainkan dia mahu kita 'merdeka dari kemiskinan'. Begitu juga, biar kita terlahir dalam penuh kekayaan, tidak bermaksud kekayaan itu akan terus kekal pada kita, jika kita tidak berfikir dan berdisiplin kuat. Allah, khususnya, adalah mukzizat yang sangat anih, hanya akal dan pengamatan tajam baru kita mengerti akan segala ciptaan dan kejadian yang dijadikanNya. Untuk itu, kita sudah dijadikan sangat istimewa: punya Otak dan Hati.

(7) Maka betapa kuatpun kita 'meghampirkan diri' kepada yang Esa, dan paling saya khuatiri, jika sikap, cara, dan gaya 'menghampirkan diri' kita telah menjadi 'pasrah atas kekecewaan' saya khuatir 'pasrah' itu hanyalah sia-sia dan tidak akan yang Esa 'pedulikan'!

(8)Janganlah kita terlalu mudah untuk menyerah dan mengalah. Biarpun benar, kerana kemiskinan itu adalah terakibat dari sikap tidak peduli para pemimpin yang sepatutnya membebaskan kita, kenapa kita terlalu mudah untuk lupa akan suruhanNya (Allah): Berpegang teguhlah pada tali Allah; pada maknanya seruan ini tampak mudah, namun pada pengertiannya, apakah kita pernah berfikir jauh melangkau maknanya....tidakkah kemiskinan itu akan dapat dihapuskan jika kita ada kesatuan! Kita mesti bersatu menentang segala kesengsaraan, namun kesatuan kita mesti berlandaskan akal dan naluri yang terkawal! Yang mikin, yang payah, jika mereka bersatu akal, bersatu jiwa berlandaskan disiplin, pasti mereka juga akan bebas dari kemiskinan dan kesengsaraan!

(9)Dalam Islam, hanya bila kita ada tumpuan (khusuk), kejujuran (bersih), keinsafan (muhasabah), dan kesungguhan berpandukan akal dan naluri yang terkawal sahaja barulah kita akan berjaya seberjayanya. Agama adalah disiplin hidup yang mesti kita patuhi. Mudaha-mudahan, kita tidak menyembah Dia, hanya untuk 'meminta-minta', tetapi 'memohon restu' atas usaha dan rencana hidup kita! Biarlah akal dan naluri yang ada pada kita akan menjadikan kita ciptaanNya yang paling merdeka!

(10) Buddha, Ghandi, Mandela, Teresa, dan lain-lainnya segaja berlapar diri agar tercerna dalam diri mereka akan perlunya mereka fokus, jujur, tabah, cekal dan bijaksana dalam mengahadapi segala masalah sosial yang sedang mereka hadapi. Maka, Allah juga telah mengingatkan kita: Telah Aku wajibkan Puasa (dan Sembahyang) itu kepada umat-umatKu terdahulu,.... maka jika kita disiplinkan diri dan punya keinsafan yang meluas atas maksud dan tujuan kejadian diri kita, pasti kita tidak akan 'sengsara' menanggung 'kesal' atas membiarkan kesengsaraan dan kepayahan berleluasa, bermaharaja lela!

(11) Janganlah kita sekali-kali 'pasrah' kerana kekecewaan dan perlarian (escapism). Pasrahlah kita atas jalan dan usaha kebaktian yang sedang dan telah kita rencana dan perlakukan!

Chennai, Tamil Nadu, India
25 Oct., 2009

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

3 comments:

Bayu Senja said...

Boleh saya bersama tuan menjejaki bumi Bukhara, Isfahan dan Basrah.Banyak lagi yang perlu saya selesaikan, namun saya juga tekad untuk melihat kehidupan di sana yang hanya dapat saya bayangkan.
Terima kasih

Abdullah Chek Sahamat said...

Kenapa tidak. Saya berencana untuk ke tempat-tampat payah tetapi penuh pengajaran ini samada pada tahun hadapan atau berikutnya, tergantung kepada keadaan kesihatan yang agak membatas saya untuk ke tempat-tempat sulit sebegini. Namun, itulah cita-cita saya sebelum Ke Kaabah.

Bayu Senja said...

Kita usahakan dan ketentuan ada di tangannya. Usia sentiasa akan menghambat kita, namun ia bukan penghalang untuk langkah seterusnya. Saya juga ingin menyambut seruan keinginan saya selama ini.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.