Kebanyakan orang melihat dan membicarakan Muhammad saw dari sudut kerohanian, biarpun, semua orang yang sering berbicara tentang dia, selalunya mengatakan bahawa dia adalah seorang rasul yang serba lengkap tentang ilmu dan cara hidupnya, namun tidak banyak (bahkan tiada) dalam seumur hidup saya pernah saya temui perbicaraan tentang Muhammad selengkapnya. Semua bicara yang pernah saya ikuti sejak dari kecil sehingga kini adalah tentang sifat kerohaniannya dia, bagaimana dia beribadat: bersembahyang dengan seribu satu cara bertafakur, bersujud, berpuasa, dan segala sesuatu ‘pengabdian diri’ beliau kepada Allah swt. Jarang sekali kita dengar penghalusan bicara kepribadian, kepimpininan, gaya pengurusan, kecendikiawanan, pergaulan social, dan segala sesuatu sifat-sifat kemanusiaan biasa baginda.
(2) Namun saya yakin, Muhammad bukan hanya rasul yang mahu membersihkan keimanan kita, dia adalah juga rasul Pembina Bangsa, a Nation Building person. Saya sedang tercari-cari segala bahan bacaan yang boleh mengenengahkan sifat Nation Building beliau, agar dapat dikongsi bersama, namun segala tulisan berkenaan ini adalah sangat terbatas: atau mungkin saya tidak mengerti bahasa Arab, Parsi, Turki, dan Yahudi, maka saya sukar untuk menemui semua ini. Saya percaya, dengan mengenali Muhammad dari sudut kemanusiaan biasa beliau, mudah-mudahan dengan itu, kita akan dapat menjejaki sifat dan tabiat unggul beliau dengan lebih mudah. Allahuwallam.
(3) Dalam lawatan saya ke India baru-baru ini, salah seorang yang menemani saya adalah seorang beragama Hindu. Apa yang menarik perhatian saya, adalah dia mengusulkan kepada seorang yang beragama Hindu juga (tapi pada kasta Brahmin) untuk membaca sebuah buku: Muhammad - A Biography of The Prophet oleh Karen Amstrong, bahkan dia menjanjikan akan menghadiahkan buku tersebut kepada beliau dalam pertemuan selanjutnya. Dia kemudian menghadiahkan saya buku: The Life of Gandhi oleh Louis Fischer, mungkin kerana dia mengamati saya sering bercakap tentang kekhilafan manusia sehingga ada yang terus miskin, hina, sengsara dan payah.
(4) Juga saya yakin, Gandhi sengaja memayah dan mensengsarakan dirinya, kerana dia tahu itulah hakikat 30-40 peratus dari rakyat India sehingga kini, dan hanya dengan sebegitu, pengorbanannya dia dapat menyatukan India biarpun sebahagian besarnya masih dalam kepayahan dan kesengsaraan di mana-mana. Saya menghadiahkan teman saya itu ‘pure Indian Cotton Shirt’ untuk melindungi dia dari ‘payah’ panas dan dingin yang enak tetapi boleh memalaskan.
(5) Sekian lama telah saya berlegar di kedai-kedai buku di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, dan di mana-mana: MPH, Popular, DBP, Times, dsb samaada di bandar besar atau kecil kemana saja saya pergi, baru kali ini, bila saya menyatakan kepada beliau, suatu kemestian kepada lawatan saya kali ini adalah berkunjung ke kedai buku dan pusat kraftangan. Saya sangat berminat untuk memiliki buku-buku sejarah dan biografi manusia-manusia agung pada zaman masing-masing.
(6) Di kedai buku Landmark di Chennai, Tamil Nadu, saya menemukan buku ini dan sebuah lagi buku yang sering saya intai semasa di UKM: Capital, tulisan Karl Marx (pada masa itu diharamkan sepenuhnya, melainkan untuk kajian ilmiah peringkat tinggi). Saya tidak ingin berbicara tentang Muhammad saw, Cuma, biar tanpa izin saya ingin menterjemahkan Kata Pendahuluan Karen Armstrong pada buku beliau. Mudah-mudahan dengan ini akan mendorong para pembaca BM blog saya untuk mengikuti sejarah Muhammad dalam bidang yang jauh lebih luas dan pada kedudukan sebenarnya (dan tulisan Karen Armstrong selanjutnya).
(7) Saya yakin, Muhammad tidak dijadikan hanya untuk membimbing kita mensucikan kerohanian kita semata-mata, namun dia adalah juga insan pilihan bagi menunjukkan kita jalan bermasyarakat, berkerajaan, bertemaddun. Tidak banyak rasul sebelum beliau, punya sifat sebagai Nation Builder: Noh, Musa, Ismail, Ishak, mungkin hanya sebahagian saja, namun tidak mungkin selengkap baginda, kerana hanya di tangan baginda sajalah Allah menyudah dan melengkapkan Islam sebagai Adeen!
(8) Kata Pendahuluan Karen Armstrong lebih kurang begini terjemahannya:
“ Saya menulis biografi mengenai Muhammad hanya sepuloh tahun selepas kemelut Salman Rushdie. Untuk sekian waktu saya agak terganggu oleh prasangka tentang Islam yang sering terjadi, biarpun di lingkungan golongan paling liberal dan bertolak ansur (toleransi). Selepas kejadian yang sangat dahsat dalam abad ke dua puloh ini, saya merasa kita tidak harus terus mempunyai pandangan yang serong dan tidak tepat mengenai agama yang dianuti oleh 1.20 billion Muslimin yang merupakan seperlima dari penduduk dunia. Bila Ayatollah Khomeini mengeluarkan fatwa mengenai Rushdie dan penerbit buku beliau, maka prasangka Barat mengenai perkara ini menjadi semakin keras.
Dalam tahun 1990, bila saya menulis buku ini, tiada siapa di Britain mahu peduli tentang rumuhan Kongress Negara Islam, yang diadakan sebulan selepas fatwa berkenaan dikeluarkan, di mana 44 dari 45 negera Islam yang hadir, telah memutuskan bahawa fatwa Ayatollah adalah tidak sah - menjadikan Iran kesendirian dalam perkara berkenaan. Hanya sedikit orang Barat mahu peduli bahawa beberapa Sheikhs di Saudi, Tanah Suci bagi orang Islam, dan Madrasah Agung Al-Azhar di Kaherah yang mengistiharkan bahawa fatwa tersebut menlanggari Syariah Islam. Hanya sekelumit mereka yang simpati terhadap kaum Muslimin di Britain yang tidak mahu terkait dengan Ayatolah, dan tidak mahu melihat Rushdie dibunuh, biar mereka rasa amat tertekan di atas penghinaan ke atas Muhammad dalam novel beliau. Para cendikiawan Barat seperti telah yakin bahawa seluruh kaum Muslimin seperti dahagakan darah Rushdie. Beberapa penulis, cendikiawan, dan ahli falsafah terkemuka Britain mengambarkan Islam dengan penuh kejahilan atau lansung tak hirau (horifying indifferent) tentang kebenaran. Pada mereka, Islam adalah tidak bertimbang rasa, kepercayaan fanatik, tidak perlu dihormati; dan gurisan perasaan orang Islam tentang salah gambaran Rushdie terhadap rasul kesayangan mereka adalah tidak penting.
Saya menulis buku ini kerana, adalah amat mengecewakan, gambaran Rushdie mengenai Muhammad akan menjadi satu-satunya bacaan kebanyakan masyarakat Barat. Biarpun saya mengerti bahawa apa yang Rushdie mahu ketengahkan dalam novel beliau, bahawa adalah penting cerita sebenar mengenai Muhammad mesti diketahui, kerana beliau adalah di antara manusia unggul yang pernah hidup. Amat sukar untuk mendapatkan penerbit, kerana kebanyakan beranggapan bahawa orang Muslim akan marah jika seorang kafir seperti saya ini punya keberanian untuk menulis mengenai rasul mereka, dan jika mereka menerbitkan buku ini, pasti saya akan terpaksa bersembunyi bersama Rushdie. Namun, saya amat terharu di atas penerimaan baik para Muslimin ke atas buku saya dalam keadaan segetir itu. Sesungguhnya, Muslimin dan para Pengkaji Islam merupakan golongan pertama yang peduli dan percaya bahawa saya merupakan manusia (nun) yang tidak hanya suka mengacau. Dan dalam tempoh sepuloh tahun mendatang, endemik Islamofobia Barat kian menyusut. Prasangka tetap akan muncul dari masa ke semasa, namun semakin ramai yang mahu memberikan peluang kepada Muslimin.
Kemudian muncul peristiwa dahsat Sept., 11, 2001, bila penganas Muslim memusnahkan Pusat Dagangan Dunia di New York bersama sebahagian dari Pentagon, membunuh lebih dari lima ribu manusia. Jenayah yang mengerikan ini seperti memaktubkan semua padangan serong Barat mengenai Islam sebagai kepercayaan fanatik yang menganjurkan pembunuhan dan keganasan. Saya menulis Kata Pendahuluan terbaru ini, hanya sebulan selepas serangan tersebut. Ianya adalah satu titik yang amat membingungkan. Fahaman bahawa Islam punyai unsur keganasan adalah masih subur dan segar. Dalam segala perbicaraan mengenai kejadian berkenaan, celaan terhadap Islam sering kali mengenengahkan ayat-ayat Al Quran tertentu, dan menuduh ayat-ayat berkenaan adalah pendorong kepada dan menghalalkan keganasan. Semuanya seakan lupa bahawa kedua-dua kitab-kitab Yahudi dan Kristian juga ada unsur bermusuhan. Di dalam Torah, kitab paling suci Yahudi, kaum Israel berkali-kali disuruh menghalau (hapuskan) kaum Cannaanite dari Bumi Dijanjikan, menghapuskan segala sesuatu dari mereka, dan supaya tidak mengadakan apa-apa juga perdamaian dengan mereka. Sebahagian kecil fundamentalis Yahudi telah mempergunakan ayat ini sebagai alasan untuk berlaku ganas terhadap kaum Palestin dan pembangkang agama yang mahukan kedaiaman di Timur Tengah. Namun semua yang memahami agama Yahudi, mengerti bahawa ayat yang terasing ini tidak mewakili keseluruhannya agama itu, maka untuk mengamalkannya sebegitu rupa adalah tidak sah. Demikian juga, Isa sering digambarkan sebagai seorang yang cintakan keamanan, namun di dalam Kitab-kitab Gospel, dia diriwatkan sering berbicara dan bersikap agak kasar. Pada suatu ketika dia pernah berkata bahawa dia tidak datang untuk keamanan tetapi membawa pedang. Namun tiada siapa mengemukakan ayat-ayat ini bila puak Serbia Kristian menyembelih lapan ribu umat Islam di Srebreneca. Tiada siapa menuduh agama Kritian adalah sebuah kepercayaan yang merbahaya dan ganas, hanya kerana banyak pihak mengerti akan agama ini dan menuduh sedemikian rupa adalah tidak betul. Kebanyakan masyarakat Barat tidak mempunyai kefahaman yang cukup mengenai Islam, maka mereka tidak pantas untuk menilai agama ini secara saksama atau berbicara mengenainya secara sebaiknya.
Namun di ketika kegelapan ini, di mana usaha bagi mengalakkan persefahaman Muslim-Barat seperti seakan gagal, namun masih tampak sedikit kecerahan. Pertamanya, saya kagum dengan cara Presiden George W. Bush dan Perdana Menteri Tony Blair dalam usaha mereka menjelaskan bahawa keganasan tidak mewakili budaya Islam yang kaya dan recam, mereka berikhtiar melawati masjid-masjid, dan meyakinkan bahawa peristiharan perang di Afghanistan bukanlah perang ke atas Islam, dan sering menekankan bahawa Islam adalah agama keamanan. Ini merupakan perkara baru. Tiada pemimpin politik yang berbuat sedemikan rupa di masa krisis Rusdhie.
Kemudian timbul perkara yang amat mengembirakan, di mana banyak orang kian sadar bahawa mereka tidak lagi boleh bersikap lengai terhadap kepercayaan kaum Muslimin. Di Amerika Syarikat, Al Quran habis terjual di kedai-kedai buku, jualan buku-buku mengenai Islam, termasuk tulisan saya sendiri, meningkat mendadak. Dua belas tahun yang lepas, hanya sebilangan kecil yang berminat dalam mendalami tentang kebenaran kepercayaan Muslimin, kini selepas kegemparan Sept., 11, banyak seperti belum puas untuk mengetahui mengenai Islam, Al Quran, dan Rasul. Memang benar, banyak kejadian gerakan memusuhi Islam di sebahagian negera barat. Lelaki-lelaki berwatak Timur Tengah dibunuh, termasuk seorang Sikh, seorang Kritian Azali (Coptic), dan di London, seorang pemandu teksi, yang mungkin seorang pelarian Taliban telah dilumpuhkan dari kepala ke bawah. Kaum perempuan sangat takut untuk meninggalkan rumah mereka dengan berhijab. Masijid-masjid diserang. Namun, terdapat juga kekhuatiran meluas mengenai kemelut ini dan terdapat usaha gigih untuk menghentikannya. Semua ini adalah pertunjuk baik, dan jika kecelakaan September ini dapat membangkitkan pemahaman dan penghargaan tentang Islam di Barat, maka sesuatu yang baik akan timbul dari musibah ini.
Adalah sesuatu yang amat sukar untuk saya terima jika jalan keganasan yang mereka pilih adalah atas kepercayaan mereka mengikuti jejak Muhammad. Usama bin Laden, sangkaan utama, dikatakan telah mengikuti ideologi ‘fundamentalis’ kenabian Muhammad. Berdasarkan Pelan Fundamentalis ini, yang pertama kali diutarakan oleh Sayyid Qutb, seorang cendikiawan Mesir, jalanan kehidupan Muhammad adalah tersangat suci, ianya adalah suatu Pelan yang maha agung, didatangkan dari Tuhan; merupakan satu-satunya jalan bagi membentuk masyarakat yang rukun damai. Rasul telah memerangi Jahilliah, istilah yang digunakan oleh Muslimin untuk mengambarkan golongan ganas pra-Islam Arab. Namun pada saban waktu, mengikut Qutb, pasti ada golongan Jahilliah, dan Muslimin dalam abad ke dua puloh ini mesti mengikuti jejak Muhammad dengan menghapuskan kedurjanaan ini dari sekitaran mereka. Pertama, mereka mesti keluar dari kaum jahilliah ini, dan membentuk satu ketumbukan yang suatu hari nanti akan berjuang untuk kaum Muslimin, seperti juga Muhammad telah lakukan bila dia mula berpidato di Mekah. Akhirnya, Muslimin perlu terus mengasingkan diri sepenuhnya dari kaum Jahilliah, dan membentuk sebuah masyarakat Islam sebenar, suatu kelompok yang suci, di mana mereka akan kemudiannya bersedia untuk perjuangan selanjutnya. Dalam tingkat terakhir Pelan tersebut, Muslimin kemudian akan dipaksa untuk berjihad, peperangan suci, dengan penuh yakin akan kejayaan mereka - seperti Muhammad bila dia dapat menawan Mekah dalam tahun 630 dan menyatupadukan seluruh Arab di bawah pemerintahan Islam.
Bin Laden dengan jelas telah menganuti idologi ini. Dalam minggu-minggu sebelum Sept., 11, dia sering mengunakan ungkapan Qutb, dan kem latihan beliau jelas dipenuhi para pengikutnya yang bersedia untuk berjihad. Para perampas pesawat juga mengingati Muhammad dalam kepala mereka semasa menaiki pesawat. “Yakinlah”, begitulah arahan yang mereka terima berdasarkan dokumen yang dikatakan ditemui di dalam beg mereka; “ Muhammad sentiasa yakin”.
Namun keyakinan yang membawa kerosakan seperti yang terjadi pada Sept., 11 yang dilalukan atas nama Muhammad adalah suatu fitnah, kerana seperti yang saya cuba jelaskan di lembaran-lembaran ini, Muhammad dikebanyakan dari hayatnya telah berusaha untuk menghentikan pembunuhan yang tak berketentuan sebegini. Perkataan Islam itu sendiri, yang bermaksud pengabdian sepenuhnya kepada Tuhan, yang diperlukan bagi Muslimin, adalah sangat berkait dengan perkataan salaam, ‘damai’. Dan yang paling penting, Muhammad, membenci keganasan dan dengan berani mengutarakan dasar kedamaian seperti yang diikuti oleh Gandhi. Dengan beranggapan bahawa perjuangan suci adalah atas menjejaki kenabian Muhammad, golongan fundamentalis ini sebenarnya telah memesongkan keseluruhan pengertian kehidupan Muhammad. Bukan sekadar Bapa Jihad, Muhammad adalah pendamai, beliau sanggup mengadai nyawa dan hampir hilang dokongan para sahabat, kerana beliau memilih untuk berdamai dengan Mekah. Dari berjuang bermatian dengan golongan derhaka, Muhammad bersedia untuk berunding dan bertolak ansur. Dan hasil dari sikap rendah diri dan persefahaman, seperti dinyatakan di dalam Al Quran, ianya membuahkan kejayaan (fat’h).
Kita memerlukan sejarah Nabi di saat genting sebegini. Pelampau Muslim tidak boleh dibiarkan mencuri biografi Muhammad dan lalu memutar belitnya untuk kepentingan sendiri. Selain itu, banyak perkara kita boleh pelajari dari Nabi terutama bagaimana kita harus bertindak dalam dunia yang kian berubah. Muhammad tiada Pelan Tindakan, tiada Pelan Tindakan yang jelas, bila dia memulakan perjuangannya. Pelan sebegitu adalah pendekatan lama, kebiasaan dalam dunia serang menyerang, dan dia yakin ianya mesti diperbetulkan. Dari membentuk suatu dasar dan terikat kepadanya, Muhammad mengambil sikap mendengar, dengan penuh perhatian, kebijaksanaan, dan kehalusan pada semua perkara yang timbul, melihat jauh ke dalam perkara sebenar, melampaui apa yang mampu dilihat oleh para sahabatnya, dan kemudian bertindak sewajarnya. Makanya, beliau telah dapat mencari jalan bagi mendamaikan dunia Arab yang sering bertelingkah. Kita juga sedang menghadapi perubahan yang mendadak selepas kejadian Septembar. Kita mesti sedar, contohnya, dalam menghadapi peperangan baru ini kita tidak boleh lagi menggunakan senjata dan ideologi sama seperti di Zaman Perang Dingin. Kita memerlukan cara baru untuk mengatasi masalah ini, dan kita boleh belajar dari sikap kesabaran Nabi. Dan di atas segalanya, kita boleh belajar dari Muhammad bagaimana kita boleh berdamai. Di sepanjang hidupnya, yang pertama yang perlu di atasi adalah rasa tamak haloba, kebencian dan kepuasan hati sendiri dan kita perlu membuat reformasi ke atas masyarakat kita. Hanya dengan itu barulah dapat dibina sebuah dunia yang selamat, mantap, di mana manusia dapat hidup rukun damai, dan saling menghormati.
Di Barat, kita tidak pernah memahami Islam; fahaman kita mengenai kepercayaan ini adalah sangat lemah, penuh penafian dan kebongkakan, namun kini kita tidak boleh lagi terus berada dalam sifat lengai dan berprasangka. Pada akhir biografi ini, saya turunkan petikan Ilmuan Kanada, Wilfred Cantwell Smith, yang mana tulisannya telah menjadi sumber inspirasi kepada saya. Tulisan beliau dalam tahun 1956, dia mengutarakan bahawa kedua-dua Barat dan Islam mesti melakukan usaha besar jika mereka tidak mahu gagal dalam menghadapi cabaran abad ke dua pulohan ini. Muslimin kena menerima Barat dan kejayaan Barat, kerana inilah hakikat hidup. Namun Barat pula perlu belajar bahawa mereka perlu berkongsi planet ini secara saksama dan tidak pada landasan perbezaan. Sehingga temadun Barat dan theologi Kristian mampu menghormati manusia lainnya mengikut lunas yang asasi, keduanya akhirnya akan gagal untuk sebati dengan kebenaran abad ke dua puloh ini. Kejadian Septembar 11, menunjukkan bahawa biarpun ada kemajuan telah dicapai, namun dunia Barat dan Islam adalah sama – kita telah gagal dalam ujian itu. Jika kita ingin terbuat yang lebih baik di abad Kristian ke dua puloh satu ini, masyarakat Barat mesti belajar untuk memahami Muslimin yang berkongsi sama planet ini. Mereka mesti belajar untuk menghormati kepercayaan, keperluan, kemarahan, dan aspirasi mereka. Dan tiada titik mula yang lebih baik untuk memulakan perjalanan ini melainkan dengan pengetahuan yang lebih tepat mengenai kehidupan Nabi Muhammad, di mana kebijaksanaan dan fitrahnya dapat menyinari kegelapan yang mengerunkan ini.”
(9) Saya percaya, biarpun paparan ini hanya mengenai Kata-kata Pendahuluan Penulis, namun, saya percaya penulisan sepenuhnya dia pasti berkait juga dengan kita umat Islam khususnya orang Melayu yang telah banyak melakukan kekhilafan bila kita hanya memahami Muhammad dari hanya suatu sudut. Maka jika kita ingin menang besar, dalam jihad menegakkan Negara Bangsa yang gagah, wajiblah kita memahami Muhammad sebagai penyuluh kegelapan Jahilliah, dan konsep Jahilliah kita janganlah pula di batasi dengan konsep kafir pada ibadat tetapi kafir juga pada ilmuan dan ibadah lainnya.
(10) Alangkah anih, jika yang bukan beragama Islam seperti Susan Armstrong, sedang berusaha keras mahu mengenali Muhammad dari sudut seluasnya agar mereka terus menang, sedang kita, yang saban waktu berkhalimah kepadanya, percaya kepadanya, namun kita tidak pun mengerti semengertinya khalimah dan syahadah kita tentang Muhammad. Anih, namun itulah amalan kita, kekhilafan kita!
(11) Mudah-mudahan Museum Islam di Jalan Ong Tiang Swee, Kuching yang tampak gagah dan cantik itu akan memulakan usaha mengumpul dan memberikan kemudahan kepada para pengkaji Islam untuk mendapatkan dokumen-dokumen Islam terutama yang sekarang tengah dicuri dan diseludup keluar dari Khutub Khanah Baghdad akibat serangan Amerika. Kalau tak silap sejak zaman Pemerintahan Malikin, telah tersimpan 9,000 judul dokumen yang diterjemahkan dalam bahasa Arab di sana.
Kuching, Sarawak
29 Oct., 2009
2 comments:
Kita masih tercari-cari dan hidangan yang terhidang semacam tidak dipedulikan. Kita masih terlena dan aman untuk menerima seadanya. Kita terlalu takut untuk berjuang demi kesejahteraan semuanya. Maka kita tersimpul dengan gerak geri lama. Jika itu sudahnya maka kita terlahir sebagai manusia yang hina tidak terperi!!!-SangKancil-
“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.” (Quran s. al- Anbiya : 107)
Peribadi Nabi Mohammad s.a.w. sungguh menarik hati seluruh manusia yang mengakui kebenaran, keperibadian Rasulallah jelas diterangkan dalam al-Quran antaranya Allah berfirman yang bermaksud:
“Maka disebabkan rahmat dari Allah (kepadamu Muhammad s.a.w) , engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka. Kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari kamu. Oleh itu ma’afkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadap engkau, dan mohonlah keampunan bagi mereka, dan juga bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan (permasaalahan keduniaan) itu. Kemudian setelah engkau berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal kepadaNya. (al-Quran s. Ali Imran: 159)
Post a Comment