.

03/10/09 LEBIH BAIK HIDUP SEMASA HIDUP.....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - October 06, 2009

Share

& Comment

(Putih begitu jelas tampaknya, namun tetap ada kuningnya, juga hitamnya, agar putih itu adalah putih. Dalam rangkuman warna-warna ini semua, hijau sering kita lupakan, sering tidak kita sadari....begitulah kita, sifat kita, pada kembangan ini, jika kita berfikir dalam dan panjang! Kita nampak apa yang kita lihat, namun jarang kita lihat apa yang kita nampak! )

Saya suka berjalan, melihat, menyoal diri sendiri, berfikir, merencana, dan pastinya ingin 'menjadikan'. Sifat suka berjalan saya ini kini semakin semarak, apatah lagi kini saya punya teman-teman akrab yang sangat setia, tidak banyak menyoal, ikut saja ke mana saja saya mahu pergi, tanpa jemu, tidak mahu terpisah langsung dari saya, kami seperti kuku dengan isi, gigi dengan gusi, Adam dan Hawa: sebuah kamera dan sebuah NoteBook.

(2) Dalam perjalanan saya ke mana-mana, saya suka terus meneroka, tidak betah duduk lama, maka kerana sifat sebegitu, sering saya dilontarkan dengan pertanyaan bagaimana saya boleh mengekalkan sifat bertenaga sedemikian rupa, seperti saya tidak pernah lelah. Juga saya sering ditanya, bagaimana saya begitu cepat untuk dapat melihat dan menangkap lain dari yang lain yang sering orang lain tidak terlihat dan atau tertangkap.

(3) Saya menulis ini di sini, bukan untuk tujuan lain, melainkan berkongsi. Mudah-mudahan, ada yang mampu menjejakinya, dan mudah-mudahan ada yang akan dapat terbuat yang lebih baik. Saya cuma ingin berkongsi hidup sebelum saya tidak lagi hidup! Saya yakin, hidup saya tidak akan sepanjang yang saya mahu!

(4) Kenapa saya seperti tidak pernah kehabisan tenaga? Terutama bila apa yang sedang saya cari dan atau lakukan adalah berkait dengan masyarakat. Untuk menjawap persoalan ini, ada beberapa perkara yang saya paksakan ke atas diri saya:

(i) Sejak semakin sudah tidak lama lagi nak hidup ini, saya sering mengingatkan diri saya bahawa saya mesti hidup selagi saya hidup! Saya mesti hidup untuk hidup! Saya hidup untuk hidup! Saya mesti hidup untuk kehidupan, dan kehidupan yang mesti saya hidupkan adalah manusia, masyarakat! Dengan keyakinan sebegini, maka saya memaksakan kepada diri saya untuk sentiasa melihat, mengamati, berawas, meneliti, dan mencerakini di manakah kepincangan (gaps) yang mesti kita perbetulkan. Pokoknya, bila kita sentiasa mahu menghidupkan, maka kita akan sentiasa mencari apakah jalan dan unsur yang akan terus menghidupkan kita (masyarakat) serta apakah unsur dan jalan yang boleh mematikan kita (masyarakat) agar dapat kita halang dan atau musnahkan dan singkirkan sebelum ianya terjadi. Dengan cara ini, kita akan menjadi lebih teliti, hati-hati, dan tekad diri. Jika kita memiliki sifat-sifat ini, kita tidak akan pernah mau lelah biarpun sebenarnya kita sudah hampir separuh mati! Tiada apa yang akan ada antara kita dan tanggungjawap kita!

(ii) Kita mesti ingat, tenaga yang ada dalam tubuh kita punya had. Kita tidak punya keistimewaan di mana tenaga kita adalah tidak terbatas seperti tenaga matahari. Kita mesti sadar akan sifat fisiologi (hayat) kita ini. Maka oleh yang sedemikian, kita mesti tahu ke mana arah (keutamaan) kebanyakan tenaga kita mesti kita tujukan. Jika tenaga kita yang terhad kita tujukan kepada terlalu banyak perkara, pastinya kita tidak akan menjadi paling berjaya dan atau pakar dalam mana-mana perkara. Contohnya, sedang kita mengejar kerjaya sebagai tukang masak, kita juga hendak menjadi bintang bola sepak. Kedua-duanya memerlukan tumpuan tenaga yang amat besar dan berbeza. Jika kita mengagihkan tumpuan tenaga kita pada kadar sama rata pada keduanyan, pasti kita tidak akan menjadi yang terbaik dalam mana-mana satu dari keduanya (neither here no there). Dalam kata ringkasnya, keutamaan hidup kita mestilah kita selaraskan dengan keupayaan tenaga biologi kita. Atas fahaman ini, saya sebenarnya sukar untuk mengingat apa-apa juga perkara yang tidak berkait dengan kerja. Kerana jika saya membazirkan tenaga ingatan saya kepada unsur-unsur yang tidak berkaitan dengan kerja, pastinya CPU Otak saya akan mudah 'corupted'.

(iii-a) Pengalaman hidup saya mengajar saya untuk tidak hidup untuk hidup sendiri. Terlahir dalam era sebelum Merdeka, melalui dan melihat kepayahan hidup seawal Merdeka. Semua ini menjadikan lukisan hidup yang payah, sempit, sengsara terpahat kekal dalam saraf Otak saya. Lukisan ini, yang jelas tidak indah, yang jelas amat memilukan, perlu saya buang sekekal-kekalnya dari benak pemikiran saya. Jalan pembuangannya hanya akan tercapai jika saya dapat mengantikan lukisan sengsara ini dengan lukisan penuh keindahan dan kemakmuran. Otak kita sebenarnya tidak sama dengan sehelai kanvas lukisan. Di dalam ingatan Otak kita, tidak mudah untuk kita menutup suatu ingatan dengan suatu ingatan yang lain. Namun tidak mustahil untuk kita melupuskan suatu ingatan dalam otak kita jika kita dapat sebatikan (harmonise) pemikiran kita dengan naluri hati kita.

(iii-b) Kini saya sedang berusaha keras agar otak saya dan hati saya (fikiran dan naluri) dapat disatukan (to be at peace) dengan memadamkan segala lukisan derita dan sengsara yang pernah saya rakam dalam otak saya, dan menggantikannya dengan lukisan-lukisan baru yang indah dan makmur. Ini hanya akan terjadi, jika tangan dan kaki saya dapat saya gerakkan untuk benar-benar merobah segala kesengsaraan dan kepayahan yang pernah saya lalui dan lihat kepada pemberian kesenangan hidup kepada mereka yang kini sedang mengalaminya. Pendeknya, saya mesti bekerja keras untuk mengurang dan atau menghapuskan kesengsaraan yang sedang dan akan masyarakat kita lalui. Jika saya mampu terbuat yang sedemikain, barulah hati (jiwa) saya akan terubat dan pastinya Otak (fikiran) saya pun akan menjadi damai. Selagi ini tidak terjadi, maka Otak dan Hati saya akan terus memerintahkan tangan, kaki, mulut, mata, dan telinga saya untuk terus aktif seolah-olah saya tiada keputusan tenaga!

(5) Bagi mereka yang terlahir dalam tahun 1980an dan selepasnya, pastinya, sukar untuk melalui dan memahami erti kepayahan dan kesengsaraan generasi terdahulu, namun, ianya bukan alasan untuk kita menjadi tidak peduli tentang nasib bangsa kita di hari muka!

(6) Secara kesimpulannya, ke mana juga saya pergi, saya lebih suka mengambil sikap, meneliti di manakah kekurangan di atas kelebihan yang saya lihat. Saya jarang kagum (lalai)dengan kelebihan, saya suka mencari jurang di atas kelebihan. Dengan mengenali kekurangan atau jurang (gaps) saya kemudian, akan memikirkan apakah yang boleh saya lakukan untuk menghapuskan atau mengurangkan jurang yang saya perhatikan tersebut. Saya suka mengkritik berserta mencadang jalan pilihan. Saya juga lebih suka terlibat, dari hanya melihat dan atau mendengar!

(7) Kita mesti hidup semasa kita masih hidup. Kita hidup adalah untuk hidup. Kita mesti hidup untuk hidup! Namun hidup kita tidaklah selamanya! Semua ini, menjadikan saya, seperti tidak pernah kehabisan bateri!

Mukah, Sarawak
6 October,2009

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

3 comments:

Bayu Senja said...

salam
sdra dapat melihat apa yang ingin dilihat kerana itu kurniaan dari yang maha esa. Setiap orang punya keistimewaan yang tersendiri. Saya pasti tidak boleh lihat apa yang sdra lihat, begitu juga sdra tidak boleh lihat apa yang saya lihat.itu sudah lumrah kejadian manusia.

2.Tenaga dan kudrat yang ada pun datangnya dari tuhan, maka bersyukurlah. Sdra mungkin kuat semangat tetapi lemah dalam hal lain. Hidup ini, kita tak dapat semua kerana kita tak diberi semua. Mungkin sdra yang susah dulu adalah lebih baik dari sdra yang senang sekarang.
3.Tidak semua kita yang dilahirkan sebelum merdeka atau ketika waktu itu melalui kehidupan yang susah.Saya tidak pernah merasa susah kerana apa yang saya lihat adalah kesenangan dan kecantikan dalam kehidupan itu sendiri. Kehidupan yang semakin mudah dan senang waktu kini adalah lebih susah kerana kita hanya melihat apa yang kita ingin lihat.
4. Kita mesti terus hidup untuk meneruskan kehidupan yang hidupnya akan diteruskan walau kita ada atau tiada.Maka hayatilah kehidupan sebagai khalifah di bumi ini selagi terdaya. Ada kalanya kita terlalai dengan kebolehan kita sehingga menampakkan kealpaan orang lain.

Abdullah Chek Sahamat said...

Namun, segalanya boleh dipelajari, jika kita sadar dan mahu.

(2) Kalau dilihat dari segi sejadinya (nature), pokok kayu adalah pokok kayu. Namun jika kita mahu menggunakan sepenuh akal dan sering memaksa akal dicernakan (generated), pasti pokok kayu itu akan boleh menjadi (dilihat) sejuta kegunaan.

(3) Cuma, kita hanya sering kesal, bila hidup ini sudah menuju garis tamat. Kita tidak mahu hidup semasa kita hidup!

Bayu Senja said...

Betul, kita boleh melihat pokok kayu adalah pokok kayu. Dan kita lihat bagi mereka yang otaknya begitu geliga dan pintar, habis ditebangnya sampai hutan jadi padang jarak padang tekukur. Mungkin lebih baik bagi mereka yang ingin terus hidup ini menebang mengikut keperluan sahaja, mengikut piawaian dan ekologi hutan.

Tapi berapa ramai yang hidup itu mahu terus hidup begitu? Bagi yang punya akal dan tidak mahu menggunakan akal dan modal yang mungkin boleh dicukupkan, mereka menjadi penebang pokok yang hanya makan gaji. Semuanya ini kerana ingin terus hidup.

2. Pentingnya, ada ketua/head yang boleh lihat semua ini, dan 'create a balance' dalam memenuhi keinginan untuk terus hidup dan melihat, jangan kita hanya sekadar memandang di angin lalu sahaja.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.