.

02/10/09 AKU MAMPIR DI SINI....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - October 06, 2009

Share

& Comment

(Mungkinkah yang berpakaian hitam di kanan sekali itu nanti akan menjejaki Mahathir menjadi Pakar Perubatan, atau si kakak berbaju biru boleh menjadi Zeti Aziz bila dewasanya nanti. Anak-anak kampung, siapa jadinya mereka, terpikul di pundak kita sekarang ini!).

Istilah Baling, bermaksud lontar dalam BM, lontaq (juga tekalong) kata orang Utara, campak (bukan demam) dalam banyak dialek Melayu, pekong kata orang Kelantan, tikam kata Melayu Sarawak/Sambas. Sedang Gian, pula bermaksud ghairah atau terlalu ingin dalam BM, gi'ea atau nok sangat kata orang Kelantan, kemaruk kata banyak dialek Melayu.


(2) Kalau ayam dibaling, pasti ianya akan lari entah ke sudut mana, bersembunyi mungkin. Sama juga,kalau manusia dikatakan gian (sek), kemungkinan dia jadi naik kemaruk, dan kalau tidak mampu melepaskan diri, pasti juga akan menyepi diri. Namun, bila Baling disatukan dengan Gian, maka ianya akan menjadi Balingian, sebuah tempat di sudut jauh di Sarawak. Mungkin, manusia di sini dulu-dulunya, manusia yang suka menyendiri bukan untuk lari dari pergaulan biasanya, namun lari kerana gian ke laut. Mungkin itulah maka tempat ini, dinamakan Balingian! Atau mungkin, istilah Paling, kerana tersalah sebut jadi Baling. Manakala gian, kerana suka, paling suka menjadi Balingian!

(3) Apatah lagi sebuah tempat dihilirnya, di muara Btg Balingian, punyai lebih kurang 50 keluarga, yang disebut Kuala Balingian. Saya pernah melawat ke sini, lebih 20 tahun dahulu. Dalam lawatan itu, saya amat tersentuh, kerana untuk ke sana, saya terpaksa menaiki bot. Dan, tempat yang pertama saya kunjungi di sini adalah Sekolah Rendah Kuala Balingian. Bangunan sekolah terbuat dari kayu, senget, banyak bahagian sudah reput, dan kerana masa itu adalah musim cuti sekolah, maka saya tidak mendapati guru atau anak-anak di sekolah berkenaan, sebaliknya, pelantar (veranda) sekolah adalah tempat para kambing tidur. Dalam hati saya, saya bertanya kepada diri sendiri, adakah ini sekolah manusia atau sekolah kambing!

(4) Hari ini, dalam lawatan biasa saya ke beberapa kawasan di Bahagian Mukah, sengaja saya ke Kuala Balingian. Kali ini saya boleh berkereta dan singgah ke rumah salah seorang pemimpin tempatan. Saya dijamu juadah Raya, dan paling istimewa dan buat pertama kalinya saya menikmati Umai dari obor-obor. Biasanya umai dibuat dari ikan. Saya juga dapat merasakan dodol labu yang sangat istimewa di sini.

(5) Namun, semasa hendak menuju ke rumah pemimpin berkenaan, saya melewati sebuah jalan kampung yang baru saja dibina. Bayangkan, setelah 46 tahun merdeka, baru kini, mereka mendapat sebuah jalan kampung yang 'sebenarnya adalah ala kadar sahaja'.

(6) Anak-anak dalam foto di atas, tampak senang sekali dapat pertama kali berjalan di atas jalan kampung berkelikir! Saya percaya, mereka ini wajar mendapat lebih dari apa yang sedang mereka nikmati. Namun yang terpenting, mereka sangat perlukan bimbingan untuk melayari masa depan mereka yang kian bergelora!

Kuala Balingian, Mukah, Sarawak
6 October, 2009

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Bayu Senja said...

Baling-gian...interesting, mungkin ada cerita di sebalik itu.
2.Sekolah di luar bandar yang teruk keadaannya, mungkin belum ada peruntukan dari kerajaan sebab digunakan untuk sekolah-sekolah yang lain di luarbandar di seluruh negara.Kalau pendekatan 'design and build' dan 'turnkey' dihapuskan dan semua dibuat secara tender terbuka, maka sekarang boleh dibina dua kali ganda bilangan sekolah baru. Tapi kalau jaga kepentingan rakyat saja, siapa pulak nak jaga kepentingan pemimpin dan orang -orang yang berkepentingan?Dan oleh kerana faktor pemikiran kontraktor -kontraktor kita yang meletakkan rezeki mereka di tangan manusia, maka selagi itulah sekolah di Balingian dan di mana-mana yang belum diperbaiki atau dibina belum dapat peruntukkan.
3. Umai obor-obor memang sedap, terutamanya yang jernih macam kaca tu. Cuma yang sedihnya, semasa saya di Bruit, para nelayan yang bertungkus lumus menangkap obor-obor di laut hanya dapat menjual sekeping/seekor pada harga 50 sen, sedangkan tauke tauke di sana menjualnya di pasar pada harga Rm2. Bila dah diproses , jadi Rm5 dihantar ke restoran atau diekspot. Kalau setakat nak proses obor-obor, pihak LKIM atau Perikanan boleh bantu, tapi biasanya nelayan kita terus jual pada tauke-tauke....dua agensi yang bertindih peranannya tapi nelayan tak juga maju, yang tetap maju ke depan hanyalah ikan.
4. Dah 46 tahun merdeka....jalan itu dah kira cukup baik.Anak-anak yang tidak mengerti apa-apa pastinya tersenyum gembira kerana ini musim raya. Fikiran mereka tidak kusut seperti kita, memikirkan masa depan mereka. Begitulah tulusnya hati kanak-kanak. Adakah mereka akan jadi pemimpin atau gabenor bank negara.?Agak sukar saya rasa walaupun tidak mustahil..kerana kalau kita lihat Zeti, kita lihat pula siapa ayahnya.Saya pernah bekerja /berniaga dengan Prof Ungku Aziz.Tidak ramai orang yang berfikiran sepertinya, dia sering melewati rumah dato saya, seorang Bugis yang asalnya dari Sulawesi...mereka pasti ada persamaan kerana saya lihat rancak sekali perbualan mereka tatkala bertemu. Ya , mungkin ada Zeti yang akan keluar dari kalangan mereka yang dibaling di hujung kampung sekiranya ada otak, mata, kaki dan tangan yang prihatin dan sentiasa memberi arah haluan .....dorongan yang tinggi hingga anak-anak ini boleh merasa gian untuk samapai ke situ.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.