Kebanyakan manusia mendatangi Baitullah sebagai tempat untuk menghadap diri dan bersuci kepadaNya. Itu mungkin salah satu hakikat kejadian Baitullah atau Ka'abah. Namun dalam tulisan ini, saya cuba melihat pembinaan Ka'abah itu dari sudut yang sedikit berbeza. Keperluan ini saya sandarkan bahawa, di dalam diri manusia ini telah ada roh dari hembusan nafas Allah, serta kejadian otak yang memberikan kita kuasa untuk berfikir dan membuat rasionalisasi tentang segala kejadian agar kita dapat lebih memahami kebesaranNya. Adalah sia-sia Allah memberikan kita otak, jika kita tidak mencernakan akal dan fikiran waras darinya. Begitu juga halnya betapa akan sia-sia pemberian Allah itu, jika kita hanya mampu mengunakan telingga untuk mendengar tetapi tidak mengawas, melihat (mata) tetapi tidak mengamati, mencium (hidung) tetapi tidak menghidu, dan merasa (deria rasa) tetapi tidak mengesan. Saya kepingin pembaca agar bersama-sama berfikir dalam dan panjang agar kita mengerti semegertinya akan hikmah hadirnya (terbinanya) Ka'abah.
(2) Baitullah sebenarnya mulanya dibina oleh para malaikat. Pernahkah kita bertanya, kenapa pula Allah menghendaki para malaikat membina Ka'abah, sedang mereka adalah penghuni surga dan sentiasa saja sujud dan taat padaNya? Tidakkah ini menunjukkan bahawa selain beribadah kepadaNya, Allah mahukan para malaikat itu berbuat lebih dari itu?
(3) Maka atas kemahuan dan kehendakNya, Allah menjadikan manusia iaitu Adam. Dan semasa penciptaan Adam, para malaikat membayangkan kekhuatiran mereka tentang kemungkinan bahawa manusia akan mendatangkan pelbagai masalah di muka bumi nantinya. Namun Allah menghapuskan kerisauan para malaikat dengan meyakinkan mereka tentang betapa manusia itu akan mempunyai ilmu yang jauh lebih hebat dari para malaikat. Keupayaan keilmuan manusia itu adalah kerana Allah telah memberikan Otak dan Hati kepada manusia. Dengan adanya Otak dan Hati maka manusia amat lain dari para malaikat kerana mereka pasti punya Akal dan Naluri. Kerana adanya akal dan naluri, manusia boleh menjadi mahluk sebaik-baiknya mahluk, dan bahkan juga menjadi sejahat-jahatnya mahluk tergantung kepada pilihan mereka sendiri. Pada dasarnya Allah memberikan manusia akal dan hati, lantas dengan adanya dua organ yang penting ini, maka Allah juga memberikan manusia sepenuh kebebasan untuk menentukan halatuju diri mereka.
(4) Lantas, melalui Ismail dan Ishak, puteranya Ibrahim dari dua isteri yang berbeda, Allah telah mengembang biak dan menjadikan kepelbagaian kumpulan manusia. Namun, kepelbagaian ini ada maksudnya tersendiri, seperti jelas dalam firmaNya: Bahawa Dia menjadikan manusia itu berpasang-pasangan dan berbeda-beda agar mereka saling mengenali antara satu sama lain. Perbedaan yang paling ketara pada setiap kumpulan manusia adalah kerana ilmunya. Dan ini juga dijelaskan oleh Beliau, bahawa Dia meletakkan orang yang berilmu itu pada darjat yang lebih tinggi dari yang lain!
(5) Maka sehubungan dengan wujudnya akal dan naluri pada manusia, ditambah dengan kehendakNya mewujudkan kepelbagaian di antara mereka (dengan memisahkan bangsa Ismail dan Ishak), maka segalanya ini pasti mewujudkan kepelbagaian pengalaman hidup dikalangan mereka. Dari kepelbagaian pengalaman hidup maka wujudlah kepelbagaian ilmu yang dikuasai oleh mereka.
(6) Allah itu mahabijaksana, sengaja Dia memberikan manusia itu akal. Dari akal manusia boleh menimba (mencerna) ilmu. Kerana adanya ilmu, manusia boleh terus berjaya untuk hidup. Dan ini berbeda dengan semua mahluk lain: binatang cuma ada nafsu, para malaikat, kudratnya hanya menurut, syaitan, tabiatnya hanya menyesatkan, begitulah seterusnya. Dan kelebihan terhebat manusia adalah bila dia berilmu, maka naluri untuk berjayanya akan menjadi jauh lebih besar. Kerana itu, manusia akan terus-terusan mahukan kelebihan ilmu agar dia akan terus memiliki segala kelebihan berbanding dengan yang lain! Maka inilah mungkin apa yang Dia maksudkan bahawa: manusia itu besar ilmunya, dan diantara mereka siapa yang punya ilmu yang lebih besar, maka darjat mereka akan juga lebih tinggi!
(7) Atas dasar untuk memenuhi naluri manusia kepada ilmu, agar mereka itu akan sentiasa berkedudukan baik, maka Allah sengaja merencanakan agar manusia itu mesti saling berhubung antara satu sama lain. Manusia dari pelbagai latarbelakang mesti bertemu, berhubung, berkumpul agar mereka dapat bertukar-tukar ilmu, memperluas dan mendalami ilmu.
(8) Maka saya berkeyakinan, bahawa sejak sebermula dari turunnya Adam, Allah sengaja mengarahkan beliau membina Baitullah agar ianya menjadi Pusat bagi perkumpulan manusia. Di Baitullah, manusia dari segala pelusuk mukabumi dengan kepelbagaian pengalaman dan ilmu akan berkumpul. Di sana, Allah mahukan mereka bersatu, bekerjasama, sepakat, mencari jalan bagi kejayaan yang besar bagi kesinambungan ummah. Pendeknya, saya percaya, Allah mahukan manusia, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka ke Baitullah untuk memperluas, mendalam, dan mengembangkan segala ilmu buat kebaikan mereka.
(9) Atas, ganjaran bagi mereka yang gemar memperluas, mendalami, menghayati dan seterusnya mengamalkan ilmu yang diperolehi dari perkampungan di Baitullah, maka Allah menawarkan ganjaran pahala sehingga 17,000 kali jika kita beribadat di Baitullah, Masjid Nabawi dan Al Aqsa. Dan maksud ibadat Allah ini, saya kira termasuklah menuntut dan mengamalkan ilmu bagi kekuatan ummah, sedang ganjaran 17,000 kali pahala jika kita bersembahyang di tempat-tempat suci ini, saya kira akan hanya kita perolehi jika kita mengerti pengertian sepenuhnya ibadah yang Allah maksudkan.
(10) Saya juga percaya, begitulah halnya dengan Haji Mabruh. Lengkap (sempurnanya) Ibadat Haji kita hanya akan tercapai jika kita sebenarnya faham dan seterusnya mengamalkan segala ilmu yang kita perolehi semasa menjadi tetamuNya. Pendeknya, kita mesti mengerti dan mengamalkan ilmu sebenar pengerjaan Haji, bukan setakat ibadah sempit seperti yang sering kita fahami dan atau suapkan! (Pernah saya terbaca, wajar kita gunakan jalan panjang ke Baitullah, dan pulang dengan jalan paling singkat. Ini, saya kira adalah untuk memperkayakan ilmu kita, dan sebaik mungkin, selepas memperolehi ilmu, maka dengan pantas hendaklah kita amalkan ilmu kita itu!)
(11) Natijahnya, apakah rugi dan untungnya pada Allah, jika manusia hanya 'beribadah' kepadaNya mengikut jalan sempit seperti yang sering kita fahami dan atau disuapi! Saya tidak yakin, Allah menghendaki kita berbuat sesuatu adalah untukNya, namun saya percaya, segalanya sesuatau perintahNya adalah untuk kesinambungan kehidupan sejahtera manusia semata-mata! Tiada apa yang boleh menguntung atau merugikan Allah. Cuma kita yang akan rugi jika kita tidak mengetahui hikmah yang tersembunyi dibalik wajibnya kita mengerjakan Haji iaitu berkampung memperluaskan ilmu, bukan hanya setakat mensucikan diri!.
(12) Saya menjangka, mungkin Arab Saudi dan para pemimpin negara Islam telah khilaf mengenai hikmah sebenar Ibadah Haji, sehingga Ibadah Haji tidak dipandang sebagai gelanggang pertukaran dan perluasan ilmu di kalangan umat Islam sebaliknya, saya kira, ibadah dalam pengertian sempit telah kita utamakan. Maka biar telah beratus tahun kita mengerjakan Ibadah Haji, dan telah berjuta bangsa Melayu mengerjakan Haji, namun, bangsa kita belum lagi "Haji seHajinya" iaitu bangsa berilmu tinggi dan luas, bangsa gagah membangunkan ilmu!
(13) Kenapakah musim Haji tidak digunakan sebagai musim bagi pengembangan/kupasan/analisa ilmu di kalangan umat Islam? Kenapakah Haji dan Ummrah, hanya dibatas kepada 'ibadah' kepadaNya? Tidakkah boleh semasa Haji dan Ummrah diadakan majlis/forum/konvesyen/pamiran bagi pertukaran ilmu dikalangan umat Islam. Apakah ilmu sebenarnya kita perolehi selepas menunaikan Haji? Kita mungkin puas hati kerana kita merasa telah bersih diri, namun apakah ertinya kita jadi bersih sedang Nilai Tambah kita kepada masyarakat dan agama mungkin tiada!
(14) Agaknya selain dari 'beribadah' kepadaNya, apakah perkara-perkara lain yang dilakukan oleh umat Ibrahim dan Muhammad semasa Haji, sehingga mereka kemudian menjadi bangsa yang kembang gagah? Kita mungkin telah khilaf tidak membicarakan aspek ini secara meluas!
Mukah, Sarawak
5 October, 2009
0 comments:
Post a Comment