Kebetulan saya ingin membersihkan memori kamera yang telah saya gunakan sejak 2018 sehingga kini tidak pernah saya pedulikan. Tanpa saya sedari, rupa-rupanya di dalam memori kamera tersebut terlalu banyak kenangan yang telah saya lupakan lantaran kesibukan saya sejak 2018 sehingga kini. Salah satunya adalah usaha rakan akrab dan isteri saya dalam membina kekuatan insaniah di kalangan anak-anak di kampung saya.
(2) Apa yang ingin saya paparkan di sini, suatu penghargaan tidak terhingga saya kepada dua manusia yang telah begitu berjasa dalam membawa kesadaran keilmuan kepada anak-anak kampung saya pada 2017-2019. Sebermula pada Lebaran 2015, saya mengadakan rumah terbuka. Biasalah, pada rumah terbuka, yang berduyun-duyun datang adalah kanak-kanak. Hidangan Lebaran saya agak berbeza dengan orang lain. Saya menjamu tetamu dengan segala buah-buahan. Sebabnya mudah, saya perhatikan kanak-kanak di kampung menghadapi kekurangan zat Vit. C. Ini boleh dilihat pada kulit mereka yang kering serta mata yang kurang bercahaya. Saya menjangkakan, kekurangan Vit C mengakibatkan mereka jadi agak lembab dalam pelajaran. Kelembabpan ini biasanya menjadikan mereka tidak seronok untuk ke sekolah dan akhirnya menjadi pelajar tercicir.
(3) Isteri saya, Maizan Ismail memang tidak lepas tangan menghidang para tetamu. Beliau mempunyai suatu ciri yang cukup mesra kanak-kanak, akhirnya menimbulkan suatu buah fikiran kepada saya. Semasa melayani kanak-kanak ini kami berdua mengambil masa untuk berbual-bual dengan mereka. Soalan yang utama kami ajukan adalah "Bagaimana pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris mereka?" Jawaban yang mereka berikan telah saya duga: "Tidak faham apa chegu ajarkan". Kebetulan saya dan Maizan Ismail adalah graduan di bidang Sains, maka bidang itulah menjadi perhatian kami. Kami juga cuba mengetahui pemahaman mereka tentang Al Quran dan sholat. Rata-rata mereka hanya belajar mengaji di sekolah dan bila pulang, mereka tidak pernah memegang Al Quran dan apa lagi Sholat. Ini termasuklah anak-anak buah saya sendiri. Pastinya kami sendiri tidak mempunyai masa untuk memperbetulkan keadaan. Soal mengaji dan sholat, saya datangkan seorang Ustazah dari Indonesia untuk mengajar mereka. Untuk keperluan ini saya bangunkan sebuah Musola. Alhamdullilah selama tiga tahun Ustazah berkenaan berada di Kampung, beliau telah dapat mengkhatam serta mengajar anak-anak buah serta jiran-jiran saya untuk sholat.
(4) Maizan hanya datang ke kampung sekitar 2-3 bulan sekali. Biar jarang bersama saya di Kampung, pada masa dia berada di sini, masanya akan dipenuhi dengan bersama anak-anak buah saya. Pagi-pagi mereka akan membuat kerja gotong royong membersihkan rumah atau mengutip sampah di sekitar Musola, kedai dan rumah kami. Sebelah tengahari membawa ke malam, dia akan terus bersama kanak-kanak samada bersiar-siar atau kegiatan masak-memasak. Uniknya, bila Maizan berada di Kampung, rumah saya akan dipenuhi kanak-kanak dan ada antara mereka tidak mahu pulang sebaliknya mahu tidur bersama-sama di rumah saya. Maizan adalah keluarga besar bagi mereka. Saya akan hanya bergabung dengan mereka pada masa makan malam ie selepas saya mengImami Sholat Maghrib. Di siang sepanjang hari, saya menumpu masa di kebunan. Keakraban beliau dengan anak-anak ini sesungguhnya dapat menarik mereka untuk minat belajar, mengaji dan sholat. Mudah-mudahan amalan ini menjadi pengiring kami di akhirat nanti. Barakah segera yang kami perolehi adalah bilamana Maizan Ismail atas bujukan saya, beliau sanggup untuk melanjutkan pelajarannya dan graduated pada 2022 biar dalam segala kepayahan akibat Covid 19.
(5) Saya agak runsing dengan prestasi anak-anak kampung saya di bidang akademik. Malangnya di Kampung, tidak ada kemudahan tuisyen. Kebetulan pada 2017, rakan akrab saya Abdul Mukti Ahmad yang merupakan Guru Pakar Matematik dan Fizik di Matrikulasi Pokok Tai, Gurun Kedah memulakan pencen beliau. Saya mengajak beliau untuk datang ke tempat saya untuk membantu para pelajar dalam cuba memahami pelajaran Matematik dan Sains. Pada 2019 isteri Chegu Mukti ie Puan zaiton pula datang bagi membantu memperbaiki pelajaran bahasa Malaysia. Suatu yang amat memeranjatkan saya adalah bila mana sambutan adalah cukup luar biasa. Saya hanya menyasarkan sekitar 20 pelajar sekolah rendah. Yang ingin belajar mencapai ke 60 orang termasuk para pelajar sekolah menengah. Sebahagian perlu saya tolak lantaran guru berkenaan tidak mampu untuk menumpu perhatian khas kepada pelajar-pelajar yang agak lembab. Kelas tuisyen ini diadakan pagi petang dan melibatkan sehingga ke hari Ahad. Suasana pembelajaran adalah sangat santai. Saya meminta Abdul Mukti agar bersikap santai kepada anak-anak ini. Experiment saya ini sangat berjaya dan saya amat merasa puas dan seronok. Pastinya, umpan saya yang paling mujarab adalah sesekali secara rawak saya sediakan makan minum free.
(6) Sebuah khutub khanah berkonsepkan gazebo telah saya sediakan di samping Restoran MyStore bagi membolehkan para pelajar membuat rujukan dan kajian. Pandemik Covid 19 merencat segala-gala termasuk pada 3 Okt., 2022 MyStore terpaksa menerima nasib Post-Covid 19 Economic Down Turn. 3 Okt., 2022 adalah detik to my lowest self yang Allah ujikan kepada saya. Semoga Allah memberikan saya peluang kembali untuk melakukan sesuatu yang lebih baik untuk anak-anak bangsa ini di suatu hari kelak.
(7) Maizan Ismail, Abdul Mukti Ahmad, Zaiton (isteri Mukti) dan Ustazah Reka, In Shaa Allah ilmu yang kalian semaikan kepada anak-anak ini akan tumbuh bersama mereka sehingga ke liang lahad. Semoga bakti dan budi kalian Allah balasi dengan segala rahmat yang kalian wajar perolehi. In Shaa Allah.
Terasi, Sadong Jaya.
2 Julai, 2023
0 comments:
Post a Comment