.

1/4/19 YO YO MA63 ...sandiwara politik semua?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - April 15, 2019

Share

& Comment

CAVEAT. Saya bukanlah pakar dalam bidang perundangan. Apa lagi dalam bidang Perlembagaan. Saya belum meneliti secara menyeluruh dokumen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Malaysia terkini. Tulisan ini, hanya berteraskan logik serta pemahaman logika biasa saya sebagai warga Sarawak dan Malaysia yang ingin bersama membantu dan merasa kemakmuran dan kesejahteraan Negeri dan Negara terbina secara baik.

(2) Allah menjadikan manusia pada asasnya semua sama. Sifat dan prilaku azali manusia semua sama. Tidak ada manusia berkaki lima, hidung di lutut, bahkan mulut di tangan. Secara anatomi dan fisiologi, manusia semua sama. Biar seorang Eskimo, Maori, Anglo, Cina, dsb dan bahkan Jakun dan Penan di belantara sekalipun, rupa bentuk mereka tetap sama. Bahkan secara mental dan emosi, manusia semua dijadikan sama. DNA atau gen manusia adalah sama, maka sifat dan perilaku asas manusia pasti sama. Maka status kesamarataan anugerah Allah kepada manusia itu menyebabkan Allah menuntut mereka agar terus bersama dalam hal-hal asas. Pada saat manusia terus bersama dalam hal-hal dasar, maka Allah pasti menganugerahinya dengan hak-hak yang asas baginya.  Lain-lain hal sampingan, peripheral itu terpulang atas pertimbangan akal dan nafsu manusia masing-masing.  Sebegitulah hukum azali Allah natural law ke atas manusia.

(3) MA63, adalah perjanjian pembentukan Malaysia di antara Negeri-Negeri (States) Malaya (Semenanjung Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu dan selepas ini akan saya sebut sebagai Semenanjung), Singapura, Sarawak dan Sabah pada 1963. Dalam Bahasa Inggeris, state boleh bermaksud negeri, negara dan bahkan wilayah atau kawasan. Semasa penjajahan British, semua wilayah-wilayah ini disebut sebagai state lantaran setiap satunya hanyalah wilayah atau state dari sebahagian Empayar British yang sangat luas. Sebelum 1957, semua states ini adalah tanah jajahan British. Dengan desakan Amerika yang berpegang keras kepada Demokrasi dan Hak-Hak Asasi Manusia, selepas WWII, semua empayar jajahan telah dimerdekakan. Saya berkira, keinginan Amerika untuk menyaksikan bangkitnya negara-negara merdeka, bukanlah sebenar-benarnya kerana pegangan Demokrasi dan Hak-Hak Asasi Manusia, melainkan hanyalah permainan licik Amerika untuk dapat berebut kekayaan dunia secara lebih bebas dari penjajah-penjajah Barat seperti British, Belanda, Portugis, Sepanyol, dan malah Itali, Peranchis dan Jerman. Saya juga menjangka, dengan wujudnya negara-negara merdeka, maka IMF dokongan Yahudi akan dapat memperluaskan penguasaan kewangan antarabangsa mereka. Pembentukan Malaysia adalah sebagai langkah memerdekakan empat states ini tadi. Namun pada 31 Ogos, 1957 Malaya mengistiharkan dirinya sebagai an Independent State di mana Tunku Abdul Rahman telah menjadi Ketua Menterinya (bukan Perdana Menteri). Sepatutnya, Malaya selepas merdeka harus menjadi Negara, tetapi dalam Inggeris ianya hanya dikenali sebagai a State, bukan a Nation. Tunku perlu mengambil langkah tersebut bagi mengelak kemungkinan bahawa Persekutuan Malaysia gagal dibentuk akibat masalah pertelingkahan dengan Indonesia dan Filipina sehingga memungkinkan kemerdekaan Malaya juga akan terjejas. Biar pada masa itu, British kelihatan mahukan Malaysia itu ditubuhkan secepat mungkin demi menjamin kpentingan mereka, namun Amerika kelihatan mahu bermain wayang untuk menyebelahi Filipina atas kepentingannya di Laut China Selatan dan Selatan Pacifik.

(4) Secara  umum MA63 adalah Perjanjinan Negeri-Negeri 4S bagi pembentukan Malaysia. Asas utama dalam MA63 adalah kesamarataan wilayah atau equal states right. Maka dalam MA63, Malaysia terdiri dari empat states iaitu Semenanjung, Singapura, Sarawak dan Sabah. Brunei pada mulanya direncanakan juga akan membentuk Malaysia. Mungkin kerana nama Brunei itu bermula dengan huruf B dan mungkin dengan ketentuan Allah huruf B tidak serasi dengan huruf S iaitu tersenggang terlalu jauh maka Brunei tidak menjadi sebahagian dari Malaysia. Itu candaan saya. Tetapi saya berfahaman bahawa Brunei tidak mahu disama ratakan dengan lain-lain States maka Brunei tidak menerima gagasan pembentukan Malaysia. Brunei jika saya tidak silap, menuntut hak-hak istemewa tersendiri. Benar, mana mungkin, dalam sebuah keluarga besar, harus wujud keistimewaan khusus bagi satu-satu pihak.

(5) Maka Malaysia asalnya terbentuk oleh 4S states mungkin lantaran Melayu dibolehkan untuk menikah empat. Maka Malaysia asalnya adalah ibarat sebuah keluarga poligami empat dengan isteri-isteri Melayu, Cina, Iban dan Kedazan.. Maka saya berkira MA63 secara tidak sadar telah Melayu (iaitu bapak-bapak Pembentukan Malaysia) perakui betapa poligami itu harus dengan mematuhi perintah Allah agar samarata itu wajib diperlakukan. Rukun asas poligami adalah samarata, iatu keadilan. Dalam sebuah rumahtangga berpoligami, pada saat samarata tidak tertunai, maka pasti berlaku pergolakkan sehingga akhirnya berlaku perceraian. Pada 1967, Singapura perlu Tunku ceraikan dari Malaysia. Sebabnya, sang isteri genit (Singapura) meminta terlalu banyak serta ingin pula hendak menjadi Ketua Rumah. Dalam adat Melayu, ketua rumah mesti sang bapa, bukan isteri, maka Tunku sebagai bapa melihat Singapura sebagai isteri genit yang boleh mengugat kesejahteraan keluarga besar. Khilafnya, Singapura telah dilihat sebagai isteri, Tunku sebagai bapa maka saya berkira dari saat Singapura terkeluar dari Malaysia, maka konsep samarata sudah berubah. Akhirnya, atas keperluan isteri tua iaitu Semenanjung maka rukun rumah tangga poligami telah dipinda pada zaman Abdul Razak (1970-1976) dan seterusnya dilaksanakan tanpa was-was oleh tiga Perdana Menteri selepas beliau. Sarawak (dan Sabah) tidak pernah membantah untuk diperlakukan sebagai isteri-isteri kedua sehinggalah apabila Adenan Satem menjadi Ketua Menteri pada Mac 2014. Di Sabah persoalan ketidak puas hatian terhadap Kuala Lumpur sudah lama kedengaran dari mulut Jeffery dan Pairin (?) Kitinggan, sejak 1980an lagi, cuma kesannya tiada. Di bawah Najib, suara ketidak puas hatian mulai lantang disuarakan, namun Najib dia bijak membawa kedua-dua Sarawak dan Sabah berjoget dahulu sebelum ngopi dan sembang-sembang santai stealing his time. Najib mempergunakan tuntutan MA63 untuk sebagai bahan dagang kesetiaan.

(6) Jika disorot ke belakang, segala-galanya adalah sejarah kekhilafan. Pada saat getir, terutama bila rakyat Sarawak (dan Sabah) sudah mulai sedar bahawa biar telah merdeka selama 55 tahun, mereka masih kemunduran, maka segala titik bengekpun terhujah. Kini di tahun 2019, dan bahkan sejak 2003 bila sumber asli kekayaan Sarawak mulai susut deras, dan dalam keadaan ekonomi dunia dan Negara tidak menentu, maka segala-galanya menjadi sulit khususnya bila kejujuran dan rasa sabar sudah kian menipis. Rakyat menuntut lebih banyak keperluan. Peruntukan dan sumber biaya Negeri juga sudah susut, maka Adenan dengan bijak mengalih hala rungutan rakyat kepada Putera Jaya. Negara dalam apapun tindakannya akan berteraskan Perlembagaan Semasa Negara. Bagi Sarawak (dan Sabah) perlembagaan yang ada sudah banyak dipinda serta agak menjauh dari MA63. Lantaran itu, Sarawak (dan Sabah) sudah mulai rasa terpinggir bersebab Perlembagaan Negara sediada. Sarawak (dan Sabah) menuntut agar MA63 dikembalikan. Dalam bahasa Inggeris MA63 must be reinstated atau restored. Jika dalam bahasa pengaturcaraan komputer, bolehlah diibaratkan bahawa perisian software MA63 mesti direinstall dan atau restore. Dan dalam memperjuangkan perihal tersebut, maka konsep taraf egual state mulai dimainkan; dipolitikan sebenarnya. Semenanjung, Sarawak dan Sabah harus diperlakukan pada kedudukan samataraf. Saya tiada masalah dengan itu. Saya hanya ingin membincangkan kemungkinan kekhilafan yang kita sedang lakukan dengan tidak menyokong reisntalment MA63 pada jasad aslinya dulu tanpa perlu pegging with all the details.

(7) Istilah state dalam Inggeris telah Melayu terjemahkan sebagai negeri. Di Malaysia mengikut Perlembagaan Negara kini terdapat 13 Negeri dan satu Wilayah. Sarawak menjadi salah satu dari 14 negeri-negeri dan wilayah dalam Malaysia. Sedang dalam MA63, Malaysia hanya ada tiga states setelah Singapura ditendang keluar. Secara Mathematik, di sinilah khlafnya. Dalam Perlembagaan Negara kini, states ada 14, sedang dalam MA63 hanya ada tersisa tiga. Maka kesamarataan bagi angka 14 berbanding dengan 3 pastinya berbeza. Samalah dalam sistem berpoligami (P), kesamarataan atau keadilan bagi Poligami Empat (P4) pastinya berbeza nilainya dengan Poligami Tiga (P3) dan apalagi P2. Khilaf kita paling asas dalam meminda Perlembagaan Malaysia selama ini adalah dengan menterjemah dan atau mentafsir states sebagai negeri dan tidak mengekalnya pada tafsiran asal sebagai wilayah. Jika di dalam Perlembagaan Negara sekarang ditafsirkan bahawa Malaysia terdiri dari tiga wilayah regions dan setiap wilayah terbahagi kepada negeri-negeri, bahagian atau residensi, maka saya berkira masalah down grading apa lagi menganak tiri akan kurang dan atau tidak berlaku. Pasti banyak bezanya dengan apa yang sedang berlaku.

(8) Maka untuk mengembalikan semangat kesamarataan dalam Malaysia, saya berkira kita harus terlebih dahulu mengambil jalan asas iaitu mengembalikan MA63 sebagai Perlembagaan Tunggak Negara. MA63 mesti direinstate, reinstall atau restore seperti aslinya, tanpa apa-apa perubahan. Sebarang perubahan kepada MA63, maka ianya bukanlah MA63 dan pasti berkesudahan dengan tiada kesudahan cepat. Bagi Sarawak (dan Sabah) mereka juga harus kembali kepada Perlembagaan Negeri yang bertunjangkan kepada komponen-komponen asas masing-masing dalam MA63. Saya yakin sejak 1963, Sarawak (dan Sabah) juga telah meminggirkan MA63. Maka untuk menuding Putera Jaya sebagai tidak mematuhi MA63, sedang Sarawak (dan Sabah) juga telah secara sedar dan tidak sedar meminggirkan MA63 adalah sangat tidak adil. Kedua-dua belah pihak telah khilaf all along. Kini Putera Jaya mempunyai segala locus standi untuk bersikap seperti sekarang dan Sarawak (dan Sabah) seperti tiada locus standi untuk menuntut hak mengikut MA63. MA63 mungkin telah mulai terpinggir dan berubah hebat sejak peristiwa 13 Mei, 1969.

(9) Cuma sedih, bila MA63 diusul direinstate, pada 4 April, 2019, ianya telah didiamkan oleh BN dan GPS dengan sebab tanpa perincian. Khusus kepada GPS, saya berkata mereka sedang bermain wayang, kerana pengembalian sesuatu kepada keadaan asalnya, tidak perlukan perincian. Reinstate, restore dan atau resinstall tidak perlukan apa-apa perubahan dan atau pembaikan, sebaliknya, just do and done as it was.  GPS selama ini seperti sangat hendakkan MA63 seperti asalnya, namun bila peluang itu telah di depan mata, mereka pura-pura pejam mata tidur pula.  Semua kerana GPS tidak mahu memberi jalan kepada PKR dan DAP Sarawak untuk kelihatan sebagai jagoh MA63. PKR dan DAP Sarawak pula, kerana riak ingin melihat usaha penobatan kembali MA63 sebagai usaha keras mereka. Hakikatnya, kedua-dua belah pihak saya lihat sebagai mengenepikan keperluan rakyat dan Negeri dan sebaliknya lebih mementingan ego sendiri. BN sememangnya hendak bersandiwara. Mereka sedang mencari jalan untuk kembali berkuasa. Mereka akan berbuat apapun untuk melemahkan PH. Ironisnya, tuntutan MA63 Sarawak (dan Sabah) ibarat pasangan bermasalah yang bercerai tidak, sebantalpun tidak, berada dalam keadaan tergantung-gantung. Yo Yo. Cara kita mengolah MA63 sekadar Yo Yo, permainan keriuhan anak-anak untuk mencerikan padang Parlimen dan DUN sahaja.

(10) Kekhilafan di pihak Warisan Sabah, mereka terlalu taksub dengan keperluan Sabah. Assabiyah Sabahan terlalu tinggi sehingga Shafie Apdal terlupa, bahawa kejayaan untuk reinstate MA63 perlukan sokongan padu Semenanjung dan Sarawak. Shafie memilih berjuang untuk Sabah for Sabah, sehingga lupa membujuk Sarawak untuk menyokong sama. Saya menjangka, Shafie adalah orang yang paling kecewa dengan kegagalan retoration MA63 pada julung-julung kali ini. Tidak heran jika Shafie terguris luka oleh sikap diam Sarawak kerana semasa dia menjadi Menteri KPLB, Shafie sangat membantu Sarawak dalam membangun jalan, air, elekrtik dan IT di luar bandar di Sarawak. Jasa besar Shafie kepada Sarawak telah Sarawak pejamkan mata bersama.

(11) Dalam kita mahukan MA63, kita telah lupa akan hukum Allah. Saat kita telah bercerai, saat rumahtangga itu mahu kita bina semula, asasnya adalah menikah dulu. Perincian selepas menikah, itu urusan rumahtangga selepas menikah. Kita harus mudahkan yang sulit dan tidak mempersulitkan yang mudah. Sama juga dengan poligami, yang penting adalah memperakui bahawa samarata itu asas poligami dan mesti diterima. Tentang bagaimana samarata itu hendak kita bina secara seadil-adilnya, itu boleh saja kita sama-sama bina bersama as we go along. Jika itu tidak tertunai, di sisi Islam, Hukum Syariah ada. Di sisi Negara dan Negeri, kita ada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau pertubuhan lain di bawah naungannya sebagai badan yang boleh mengadilinya. Maka kini, jika Perlembagaan Malaysia tidak menepati kehendak MA63 saya berfikir ke manapun kita hendak bawa ianya tidak akan dapat diadili lantaran MA63 bukanlah sebahagain dari Perlembagaan Negara dan bahkan Kanun Negeri Sarawak (dan Sabah) kini. Dari segi legitimation MA63 telah menjadi dokumen sejarah. MA63 bukan lagi Perlembagaan Negara dan atau Negeri. Sarawak terpaksa ke London untuk mendapatkannya, seolah-olah kita sendiripun tiada pegangan Perlembagaan Kita Sendiri. Pokok persoalannya, Sarawak (dan Sabah) harus terlebih dahulu mempunyai locus standi untuk membawa Putra Jaya ke manapun tentang pelanggaran terhadap prinsip-prinsip asas MA63. Pada kedudukan semasa, seperti saya nyatakan bahawa MA63 bukanlah asas Perlembagaan Negara dan Negeri terkini, maka di peringkat antara bangsa, tiada apa boleh kita lakukan.

(11) Bila hati saling melukai, ego akan menjadi penentu damai atau perang. MA63 adalah perkara cukup mudah yang sedang dipersulitkan semua lantaran ego dan curiga prejudice.

Kuching, Sarawak
15 April., 2019

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.