.

1/3/19 TERKURUNG DALAM KANDANG BESI ..... bolehkah Mahathir lolos? (DRAFT)

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 07, 2019

Share

& Comment

Agak lama saya tidak menulis. Saya sedang sibuk dengan beberapa perkara serta kini saya sudah tidak dapat bertahan lama untuk berhadapan dengan PC. Saya kira, mata saya telah mulai menunjukkan gejala kesan jangka panjang sinar elektron dari paparan PC. Saya telah menggunakan PC secara intensif sejak 1990. Di UPEN banyak kertas kerja serta kemasukan dan analisa data perlu dibuat. Selama 14 tahun saya di UPEN bekerja hampir sepenuhnya mengunakan PC. Sebegitu juga semasa di PELITA @ LCDA di mana saya perlu menilai pelbagai pelaburan PELITA lewat lapuran-lapuran berbentuk digital. Pada usia muda, kesan 'glaring' paparan PC tidak menjadi masalah, namun bila usia mulai meningkat, pastinya kesan negatif sinaran elektron ke atas sel-sel mata tidak dapat diregenerate secepat waktu kita masih muda. Saya menduga Steve Jobs mengalami genjala sama sehingga ianya menganggu pemulihan sel-sel lain pada kepala beliau. Saya menduga sel-sel rambut dan otak beliau juga terjejas lantaran beliau terlalu dekat dengan pendedahan sinaran elektron. Dugaan saya itu berasaskan sejak akhir-akhir ini, bila berdepan dengan PC dalam tempoh lebih dari satu jam, kepala saya akan terasa hangat dan mata mulai berpinar. Juga, saya sengaja tidak menulis lataran sedang memerhati masalah Negara khasnya dari segi pengurusan politik Pakatan Harapan (PH) selepas mereka memenangi PRU 14 pada 9 Mei, 2018 lepas. Bahkan saya juga telah tidak melawat Blog Che Det untuk sekian lama untuk memberikan pandangan saya seperti selalunya.

(2) Pelbagai 'krisis" politik telah melanda Negara sejak peralihan kuasa pada 10 Mei, 2018. PH terutama Mahathir kelihatan seperti 'a limping duck'. Banyak rakan-rakan yang dulunya sangat mendokong Mahathir sudah kian 'hilang' keyakinan. Pakatan Harapan kini mereka kian slogankan sebagai Putus Harapan. Mereka sudah putus harapan kepada keupayaan Pakatan Harapan terutama Mahathir untuk membawa perubahan seperti mereka kehendaki. Mereka tidak salah. Rakyat pada keseluruhannya juga tidak salah jika mereka berpendirian sedemikian.  Saya berpendirian, sikap putus harapan mereka kini hanyalah sebuah khilaf. Ianya hanyalah sebuah kekhilafan bukan suatu kesalahan. Khilaf lantaran, cara kita melihat sesuatu itu tidak menyeluruh. Khilaf lantaran kita suka bersipi-sipi atau selective dalam cara kita berfikir, menilai dan merumus. Keduanya, mereka baru putus harapan. Kepada saya, sesiapa yang putus harapan, selagi mereka tidak putus asa, mereka masih berpunya harapan. Thesis saya, seperti saya nyatakan awalnya tadi, kita putus harapan lantaran gaya dan cara kita melihat dan menangani sesuatu. Namun itu tiada masalah jika kita belum berputus asa atau ada pihak yang dapat menyatakan kebenaran hakiki.

(3) Dalam tulisan ini saya akan mengutarakan beberapa pertimbangan lain untuk kita nilai bersama sebelum kita putus harapan mutlak terhadap PH dan atau Mahathir. Sekadar berputus harapan, sebetulnya kita masih ada harapan jika kita terus berusaha. Ambil satu analogi yang telah saya alami. Seorang teman, lantaran masalah keluarga terpaksa bercerai. Bagi siapapun, bercerai adalah suatu yang sangat menyakitkan. Pedih sebetulnya. Apa lagi bila melibatkan anak-anak yang masih kecil dan sangat perlu jagaan penuh. Maka suatu hari, atas pelawaan saya untuk makan tengahari, teman ini bercakap-cakaplah tentang masa lalunya dan masa kini yang rata-rata pedih dan pilu. Segala-galanya sudah menjadi terlalu hitam baginya. Dia seperti sudah putus harapan. Saya hanya diam mendengar; suatu tabii bukan asli saya. Biasanya saya cepat-cepat menyampuk dan memberikan saran. Namun selepas dia puas berbicara, tiba-tiba tersembul keinginannya untuk kembali berumahtangga. Biarpun beliau berkata sebegitu, saya tetap diam. Saya senyum diam. Saya terus diam. Saya membeli masa untuk menyelesaikan dulu makanan enak di depan kami. Selepas habis makan, seperti selalunyai my usual favorite next adalah memesan Nescafe Panas. Dia berputus harapan. Namun dia masih menaruh harapan. Dia masih berharap untuk kembali berumahtanga. Bermaksud, dalam putus harapan tetap masih ada pengharapan @ harapan. Cuma kini, yang menjadi persoalan adalah bukanya harapan tetapi usaha. Dia belum berputus asa. Maka dalam mendengar, saya mencari akal untuk menyatakan suatu ungkapan yang kedengaran short, sharp, high impact phrase untuk bekal dia pulang. Lalu teringat saya kepada pesan nenek saya, dalam apapun kesalahan, pasti puncanya kita sendiri yang yang khilaf atau silap. Maka saranan saya kepada beliau, "Cuba fikir-fikir, imbas betul-betul di mana kamu silap dalam hubungan kamu. Cari kesilapan kamu sendiri, tidak perlu lagi berfikir tentang dia. Cermin diri. Jika kamu sedar tentang silap salah kamu, dan kamu tahu cara memperbaikinya dan mahu memperbaikinya, maka carilah jodoh baru. Jika kamu tidak nampak salah silap kamu sendiri, tidak kira bila dan dengan siapapun jodoh kamu, tetap perceraian juga akan berlaku". Saya mengenali teman ini sudah agak lama. Dia paling suka berbahas sepertinya saya. Namun kali ini sikap saya sedari awalnya sudah menghantar isyarat jelas iaitu "please don't debate with me on my view", maka dia hanya diam dan kami terpisah sejak sekian lama, dan alhamdullilah saya mendapat khabar kini dia sudah cukup baik. Maka atas natijah itu, thesis saya kepada sesiapa yang rasa berputus harapan terhadap Mahathir khasnya, pendirian saya mereka sekadar khilaf.

(5) Sebetulnya, masalah terbesar teman saya tadi adalah dia berpunya harapan yang terlalu tinggi, expecting beyond the means. Dia sangat berharap pasangan hidupnya, boleh memberikan dia apapun yang dia inginkan. Segala-galanya harus mudah hadir kepadanya seperti hujan jatuh dari langit. Jika sesiapapun berpunya pengharapan sebegitu, itulah punca segala putus harapan. Jika kita tidak bijak menanganinya, di dalam sebuah rumahtangga pastinya akan berlaku pergolakkan dan berakhir dengan pemberantakan yang pedih. Dalam Islam, di sinilah perlunya kita mentafsir sifat redha itu dengan betul. Itulah jalan penyelesaiannya. Natijah nasib sebuah Negara juga sama bila rakyat punya harapan melambung sedang keupayaan Negara untuk menunaikannya adalah payah, maka lantaran tiada kesadaran dan kesabaran, itu pasti membawa kepada putus harapan. Pakatan Harapan (PH) dengan gaya kempen PRU 14 lepas, dengan segala janji yang Rafizi, Anwar, Mat Sabu, Khalid Samad dsb paksakan ke atas Mahathir untuk dipersetujui menjadi Menifesto PH telah melambung harapan rakyat kepada mereka. Namun kebobrokan Negara, tidak memungkinkan segala janji untuk ditunaikan segera, maka kita kini bergolak lantaran kita khilaf riak dan tidak sabar. Dalam kita berIman kepada Allah, kita lupa tafsiran sebenar redha, sedang dalam bernegara, kita terlupa ungkapan hikmat JFK iaitu "Usah ditanya apa sumbangan Negara untuk kamu, tetapi tanyalah apa sumbangan kamu untuk Negara" yang membawa erti "Jangan dicari redha Allah tetapi redhalah (syukurlah) kamu kepada Allah".

(6) Kini banyak pihak merasa berputus harapan terhadap Mahathir dan PH kini lantaran mereka menilai performance Mahathir khasnya pada jalan kehendak mereka. Mereka tidak menilai Mahathir pada jalan keperluan Negara, Bangsa dan Islam secara jangka panjang. Khilaf dan salahnya lantaran sebagai individu bahkan kelompok, banyak pihak melihat kepada kepentigan diri dari kepentingan Negara. Kita melihat apapun tindakan Mahathir dari sudut sebagai rakyat biasa, sedang Mahathir melihat segala-gala dari sudut seorang Negarawan. Khilaf dan salah kita dan boleh juga kepada Mahathir, kita melihat prihal semasa dari perspektif yang tidak seragam. Kita tidur sebantal namun mimpinya lain-lain.

(7) Sesungguhnya, saya sendiri juga sebel melihat telatah menteri-menteri PH. Sama juga saya sebel melihat gelagat Mahathir dalam beberapa hal. Saya juga pernah beberapa kali menulis dalam Blog Che Det menasihati dia agar berhati-hati di persada dunia. Ekonomi Malaysia masih kalut. Kekalutan kita hanya dapat diperbetulkan cepat jika kita dapat hindari berkonflik di peringkat antarabangsa. Nilai Ringgit kita perlu dijaga betul-betul. Nilai Ringgit sangat tergantung kepada cara Barat melihat kita. Biar hasrat kita hendak mempertahankan hak sendiri juga membantu sesama manusia apa lagi seagama, kita perlu mencari jalan lain dan bukan jalan confrontational untuk melakukanya. Mahathir kena merubah international outlook beliau. Benar kita tidak boleh tunduk, tetapi kita harus tegak berdiri, head highup cara lain, bukan lagi pada zaman Mandela, Ghadafi, Mubarak, Assad, Sadam Husein, Yaser Arafat, dll masih ada. Mereka semua sudah tiada. Di saat mereka masih ada, dunia banyak pilihan untuk membantai siapa. Kini kita kesendiri. Kita boleh lunyai dikeroyok anjing-anjing hyenas. Sedang Negara ini berada dalam kebobrokan yang sangat dahsyat, kita perlu segala masa dan tenaga untuk dipusatkan untuk mengembalikan seluruh sistem kita balik cintakan rakyat, Negara dan agama.

(8) Suatu yang Mahathir perlu sedar, rakyat Negara ini sudah bukan mereka pada Mahathir berusia 50an. Mereka yang dulu masih anak-anak pada masa Mahathir berusia 50an, kini sudah berusia 40an. Rafizi, Nurul Izzah, Abdullah Sani dsb belum ada pada masa Mahathir berusia 50an. Maka Mahathir tidak lagi boleh mengharap rakyat Malysia berbanga dengan cara kelantangan beliau di persada dunia. Samada kita hebat atau tidak di persada dunia, itu perkara kedua bagi rakyat kini, generasi baru binaan Mahathir sejak 1981-2003. Rakyat kini, mahukan apa yang harus ada di depan mata mereka kini. Biar siapapun mereka, itulah kehendak mereka kini. Sesungguhnya tumpuan lampau Najib adalah untuk memenuhi tuntutan itu. Cuma cara beliau berusaha memenuhi tuntutan itu, banyak pada jalan tidak bijak maka kekalutan lain melanda rakyat dan Melayu kita. Sebel saya, rasa putus harapan teman-teman dan rakyat umumnya, saya kira sebahagiannya berpunca dari cara Mahathir sendiri dalam mengurus hal dalam Negara dan Luar Negara. Mahathir masih terus bermain lagu lama. Itu teras pertama.

(9) Konsep Negarawan rakyat sudah berubah. Sukarno lantang mengkritik dunia, dia dipandang tokoh Negarawan besar Indonesia. Itu cocok pada pasca Indonesia merdeka. Mahathir dari awalnya sebegitu. Kita memandang tinggi sikap Negarawan sebegitu. Namun kini, hebat di persada dunia, bukanlah nilai ukuran kenegarawanan di hati rakyat lagi. Rakyat sedang membaca kehebatan di persada dunia itu adalah semata-mata langkah pelarian. Biar Sukarno sekalipun, rakyatnya sudah melihat beliau sebegitu akhirnya. Benar Mahathir mengkritik dunia, lantaran dunia tidak menilai accord Ringgit pada nilai sebenar. Sesungguhnya nilai Ringgit di persada dunia ditentukan oleh sistem dagang dan kewangan dunia. Menggunakan landasan politik untuk menyerang Barat lantaran lakuan mereka terhadap Ringgit tidak mendatangkan apa-apa kesan baik. Malah ianya boleh menambahkan musuh Ringgit. Jika dulu Barat menggunakan perdagangan dan kewangan untuk meruntuhkan Ringgit, kini mereka telah bergabung menggunakan perdaganan + kewangan + politik untuk menyerang Ringgit. Kita parah. Sedikit waktu lagi mereka akan menokok tambah agama + hak asasi + alam sekitar + dsb sebagai pemberat dalam menilai Ringgit. Untuk itu, Mahathir perlukan pembentukan imej antarabangsa dalam bentuk Mahathir Baru bukan sekadar the New Malaysia. Dunia dan Negara sudah tidak perlukan the old Mahathir Style, Mahathir Gaya Lama. Di persada dunia, Mahathir perlu berusaha untuk menyelamatkan nilai Ringgit. Rakyat kini menuntut Mahathir Baru Penyelamat Ringgit.

(10)   Kedua, sejak sebelum PRU 14, rakyat tidak yakin kepada PH. Rakyat tidak nampak siapa yang layak menjadi bakal PM yang boleh cepat memulihkan ekonomi rakyat. Ekonomi Malaysia sememangnya digembar gembur sebagai baik, namun ekonomi rakyat Malaysia sedang menghadapi masalah tenat. Biar Mahathir mereka usulkan, tetap kudrat usia menjadikan beliau tidak diyakini. Bahkan beberapa "professor" dan "ustaz" sering menohmahkan beliau sebagai "orang tua tak sedar diri dah nak mampus". Namun rakyat Malaysia tetap memilih PH atas faktor strategi PRU mereka  yang berkesan dan rasa tiada pilihan lain melainkan Mahathir ( + Muhhydin + Shafie) yang ada pada rakyat.  Rakyat biar tiada keyakinan, namun tetap mereka berpunya harapan kepada Mahathir. Hakikatnya, teman-teman dan rakyat kini seperti putus harapan, lantaran Mahathir kini adalah Mahathir93 dan bukan Mahathir55. Mahathir menjadi PM pada 1981 pada usia 55 tahun. Kini Mahathir menjadi PM kali kedua pada usia 92 tahun. Beda 36 tahun. Lantaran rata-rata umur umat Muhammad SAW adalah 65 tahun, maka usia 93 tahun adalah 27 tahun melampau usia purata tersebut. Dengan itu, siapapun pasti ada kecurigaannya. Biar Tengku Rezaleigh Hamzah, "musuh ketat" sekalipun risau jika berlaku apa-apa terhadap Mahathir, Negara akan 'chaotic'.... Faktor usia Mahathir menjadikan rakyat agak gusar. Kegusaran rakyat bukanlah sebenarnya atas Mahathir; kegusaran rakyat adalah jika Mahahtir gagal mengubah segala-gala dengan cepat, apa lagi yang lain. Isunya di sini bukanlah Mahathir atau usia Mahathir sebetulnya. Semua itu sekadar menifestasi. Isu sebenar adalah siapa dan berapa lama masalah rakyat dapat diselesaikan.

(11) Rakyat belum mahu menerima saranan, selepas Mahathir adalah Anwar. Saya menduga, rakyat tidak memihak kepada PH dalam PRU14 lalu lantaran tawaran PM interim adalah Mahathir dan selepas Mahathir adalah Anwar. Rakyat belum nampak ketokohan Anwar sebagai tandingan pengantian Mahathir. Anwar hanya terbukti sebagai orator. Beliau belum terbukti sebagai doer. Seharusnya, seperti yang saya utarakan dalam beberapa tulisan lalu, Anwar patut bersama Mahathir dalam segera memperbetulkan keadaan. Peranan Anwar mungkin wajar berada dalam kelompok thinkers and communicators, bukan lagi sebagai public debator menghentam Najib dan Hadi yang sudah kalah. Anwar, Mahathir dan PH sudah menjadi Upper Hand, Najib dan UMNO sudah menjadi under dog, maka tidak perlu lagi German Shepard menyalak tikus mondok. Anwar (Mahathir dan PH) patut sudah lari dari hal-hal mengutuk, menebar perkara-perkara yang belum jelas dsb. Sikap Anwar di luar Kerajaan harus tidak terbawa-bawa ke dalam bila mana dia kini sudah dalam Kerajaan. Ini terpakai kepada semua menteri-menteri PH. Biarlah kerja-kerja mencacai ini untuk budak-budak PH sahaja. Sikap apologetic PM, DPM malah Menteri-Menteri harus tidak dijelaskan dengan kata-kata tetapi ditunjukan dengan kesungguhan bekerja. Hutang kita banyak, kita jelaskan saja secara professional. Biarlah Ketua Pengarah EPU dan pakar kewangan atau ekonomis yang menjelaskannya. Tidak perlu lagi Azmin dan LGE untuk terlalu retorik mengenai semua ini. Kita tidak perlu lagi terus berteriak menuduh; sebaliknya tunjuklah sikap jimat cermat dan bekerja keras yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Rakyat susah, tidak perlu terus-terus menyalahkan BN, mereka sudah kalah, jelaskan saja secara professional, dan gerakkan segala jentera Kerajaan untuk bekerja menyelesaikan masalah rakyat. Sebegitu juga gembelingkan segala usaha untuk mengerakkkan semua GLC dan swasta untuk sama-sama jihad untuk rakyat.

(12) Secara ringkas, berapa lama lagi sikap dan tabii pembangkang harus wujud dalam sistem PH. UMNO meroyan, itu sememang kerja under dog, kerja dan tabii anak-anak kecil yang sekian lama dimanja. PH yang sudah menjadi upper hand kenapa harus menari bersama gendang tempang? Di manakah jatidiri baru yang hendak PH ketengahkan. Rakyat dan pendokong PH mulai putus harapan adalah bukan kerana janji tidak ditepati, semua kerana rakyat tidak melihat dan merasa bahawa Kerajaan sedang berusaha bersungguh-sungguh dalam menangangi masalah rakyat. Kerajaan, khasnya para Menteri dan agensi-agensi Kerajaan tidak kelihatan berhempas pulas untuk segera menangani masalah rakyat. Rakyat masih dibawa hanyut dalam kancah politik. PH terus berperang sesama PH. Rakyat tidak melihat Azmin, Zuraidah, Anwar, Saiffudin, Rafizi, Abdullah Sani, Nurul Izzah dsb bersama-sama rakyat menyelesaikan masalah rakyat. Rakyat hanya terus dibinggit dengan slogan-slogan pre PRU14. Rakyat tidak melihat peluh menyimbah lantaran semua sedang bekerja keras. Rakyat sedang menyaksikan proses bunuh membunuh sesama dalam politik berleluasa demi kuasa. Rakyat kecewa rakyat berputus harap kerana PH dan BN berwajah serupa. Sepertinya musang sedang saling menuduh anjing mengongong ayam, sedang rakyat melihat keduanya tetap pencuri ayam.

(13) Semua prihal ini, membawa kepada cemuhan ke atas Mahathir. Lantaran kepimpinan tertinggi PH dan Negara adalah Mahathir, maka Mahathir digambarkan sebagai "Orang Tua Yang Lemah". Mahathir kelihatan gagal menguasai kepimpinan Negara, lantaran itu beliau ditohmahi dengan segala kelemahan. Bagi UMNO, untuk membunuh Mahathir adalah dengan melagakan agar Melayu hilang keyakinan kepada beliau. Jika Melayu hilang keyakinan kepada Mahathir, maka sokongan Melayu dalam Bersatu, Amanah dan PKR dapat dipecahkan. Sebegitu juga sokongan Sabah dan Sarawak terhadap Mahathir juga menjadi tidak menentu. UMNO mahu mengeruhkan air kemudian menebar jala. Cara paling mudah, serta strategi perang saraf paling ampuh adalah dengan mengaitkan Mahathir dengan pagar besi DAP.  Selama 61 tahun DAP sudah dinobatkan oleh UMNO sebagai Parti Kominis maka, dengan mengaitkan Mahathir dengan DAP = Kominis, dalam pertimbangan UMNO pasti membawa tuah. UMNO ingin menjarakkan Mahathir dari DAP. Itu satu hal, kerana tanpa sokongan padu DAP (dan Amanah + Warisan), Mahathir akan gugur. Kedua, UMNO berharap Anwar segera mengatur langkah bagi mengantikan Mahathir lantaran dia kelihatan lemah dan dikawali DAP. Jika ini berlaku, maka PH akan pecah. Maka dalam keadaan apapun, UMNO akan menjadi King Maker dan apa lagi kini UMNO dan PAS sudah bertunang.

(14) Kalangan tertentu dalam UMNO suka Anwar dapat menganti segera Mahathir, bukalah kerana Anwar itu lebih baik dari Mahathir. Semua ini adalah strategi penyusupan politik. Jika Anwar jadi PM, dalam kacamata UMNO, Anwar jauh lebih lemah dari Mahathir. Denga itu, pasti lebih mudah untuk membantai Anwar dan menumbangkan PH. Apa lagi cerita-cerita LGBT, liberalisma, hak samarata kaum, serta dokongan Yahudi sedang dimainkan kembali oleh bermacam pihak; sesungguhnya saya menduga semua itu adalah preamble untuk menghancurkan Anwar sampai pada waktunya. Saya juga menduga, kalangan ini akhirnya akan menjemput Mahathir untuk sama menghancurkan Anwar kemudiannya. Sangat licik segala pemikiran yang licik.

(15) Apakah benar Mahathir sedang dipagari DAP. Dari segi kementerian, DAP kelihatan paling banyak menduduki kerusi Menteri. Malah katanya, pemilihan kalangan tertentu untuk menduduki jawatan penting dalam Kerajaan PH juga sangat dipengaruhi oleh DAP. Apakah itu benar? Atau semua ini adalah salakan UMNO dan mereka yang kini bukan sekadar putus harapan tetapi sedang kecewa dan terpukul oleh fenoma kesedaran langit itu tinggi. Bagi saya, mereka ini tidak lain adalah kalangan yang sudah kalah. Hanya waktu sedang berdetik melabuhkan terjahan. Mereka sudah menerjunkan diri ke dalam permainan nothing to loose, nothing to gain. Mereka sedang mengajak rakyat untuk terjun sama ke jurang gelap yang suatu waktu mereka akan diam di dalamnya. Bagi saya kehadiran Menteri-Menteri DAP, telah dari awal Mahathir kawal lewat Penasihat-Penasihat Khas yang beliau wujudkan.

(16) Biar sebel, saya masih menaruh harapan tinggi bahawa jika Mahathir diberikan cukup ruang, dia akan melakukan sesuatu yang dalam 6-12 bulan lagi In Shaa Allah akan mengembalikan rasa cinta dan bangga rakyat kepada Negara ini. Saya berkeyakinan Mahathir sedang bekerja keras dengan kalangan tertentu di luar dari Kabinet untuk merumus sesuatu yang boleh membebaskan Malaysia dari kancah keberhutangan tinggi dan nilai Ringgit yang tidak menentu. Saya yakin Mahathir sedang berusaha keras untuk menurunkan atau rationalise hutang kita, menstabilkan nilai Ringgit dan menstabilkan harga minyak lalu seterusnya menyusun semua struktur ekonomi kita yang tidak mendokong kepada kepentingan rakyat umum.  Sesungguhnya keberhutangan tinggi dalam upaya pembayaran rendah dan ditokok dengan nilai Ringgit tidak menentu pasti menjadikan banyak perkara tidak stabil. Ketidak stabilan ini, boleh saja dibakar menjadi pelbagai keresahan yang akhirnya membakar politik semasa. Sejak 1998 kita telah melalui politik bercelaru, maka jika dalam tempoh 2-3 tahun lagi kita tetap sebegini, saya percaya Malaysia akan menuju kehancuran. Negara dan rakyat akan sama-sama parah.

(17) Biar riuh sebingit mana keadaan di luar sana, saya juga tidak gundah. Kebingitan itu boleh saja ditukar menjadi advantage jika kita tahu cara mengolahnya. Pekikan, teriakan, laungan seperti Melayu hilang kuasa, hak Melayu dicabuli, Islam dihina, dsb" yang tampak membahayakan kedudukan Melayu dan menjadikan seolah-olah mereka sedang menuju jalan kebangsatan sesungguhnya    tidaklah bahaya manapun. Ianya ibarat ngauman sang singa. Sesungguhnya, selagi sang singa masih bisa mengaum, maka tiadalah apa-apa bahaya ke atas dirinya. Ngauman sang singa, sesungguhnya adalah menifestasi bahawa dia masih maharaja. Kebingitan Melayu kini, bukan kerana Melayu sedang dalam bahaya, tetapi adalah keriuhan juru lelong di pasar lelongan ikan LKIM pada saat ikan sedang mendarat. Bagi UMNO, kebingitan mereka adalah ibarat singa tua yang nostalgik. Cuma, harapan saya, agar Mahathir dapat bekerja dengan baik, Negara kembali bersatu padu, Anwar harus membuang sikap gopoh dan terlalu terpengaruh dengan mainan sekitaran (dalam dan luar) yang nafsu-nafsunya adalah gelojoh. Saya lebih cenderung untuk melihat gaya Anwar dari bahana DAP dalam mengagal atau menjayakan usaha Mahathir untuk segera memulihkan segala kebobrokan yang sedang kita hadapi.

(16) Allah menyatakan, sengaja Dia datangkan kita sakit agar kita sadar. Kesakitan yang kita alami ini adalah kehedak Allah agar kita sering bermuhasabah diri. Alhamdullilah Dia sedang memberikan kita seorang Doktor untuk memulihkan penyakit kita. Maka bersabarlah dan yakinlah akan hikmah Allah kemudiannya.

Kuching, Sarawak
7-11 March, 2019

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.