Pada 12 Julai, 2014 saya menulis: Melayu Sarawak.... berdirinya di mana? dan tulisan itu boleh diikuti melalui: http://abchek.blogspot.my/2014/07/1714-melayu-sarawakberdirinya-di-mana.html Tulisan tersebut sehingga kini, 2 Nov., 2017 telah dilawati sebanyak 15,591 kali. Sejak 12 Julai, 2014, lawatan ke tulisan tersebut telah mengatasi lawatan ke tulisan bertajuk Keeping afloat for others to sail yang saya tulis pada 1 Jan., 2012 dengan lawatan sebanyak 8,238 pembacaan. Tulisan tersebut boleh dicapai pada http://abchek.blogspot.my/2012/01/1112-keeping-afloat-for-others-to-sail.html Kali ini sebagai kesinambungan kepada Melayu sarawak ...berdirinya di mana saya akan cuba melihat Melayu Sarawak .... jalannya bagaimana dan ke mana?
(2) Bila seorang anak sudah mula pandai berdiri, saat dia bertatih, siapapun pasti ingin melihat caranya berjalan dan ke mana dia hendak berjalan. Keinginan ini terdorong oleh rasa mahu memastikan bahawa anak tersebut mampu berjalan betul dan menuju ke tempat selamat yang betul. Maka, nada tulisan saya ini, kali ini adalah pada prinsip yang sama.
(3) Melayu Sarawak kira merdeka dari Brooke dan British pada 1963 setelah terjajah sejak 1841. Pada 1970 sehingga 2014, Melayu Sarawak telah ditadbir oleh dinasti Yakub melalui Abdul Rahman Yakub dan anak buahnya Abdul Taib Mahmud. Adenan Satem dan kini Abang Johari, bagi Melayu Sarawak, merekalah Melayu Sarawak. Rahman dan Taib dikira Melayu juga tetapi Melayu kacukan. Bila merdeka, kira-kira Melayu Sarawak sudah bolehlah dianggap mahu belajar berdiri, dan sejak 1963, mereka saya kira sudah mula bertatih dan mahu berjalan tegap. Malangnya, saya kira Melayu Sarawak terus perlu berjalan dipimpin, dari sebelum merdeka, sehingga merdeka, Melayu Sarawak masih perlu berjalan dipimpin ditolak ie diibe dalam istilah Melayu Sarawak. Cuma mengibe ke mana dan untuk apa, adalah persoalan yang jarang dikupas secara jujur dan berani. Pada pengamatan saya, Dinasti Yakub telah mengibe Melayu Sarawak jauh ke jalan tempang.
(4) Liputan Melayu Sarawak dalam tulisan ini, untuk kali ini saya sempitkan sebagai the pure Malays biar itu agak samar-samar untuk diperolehi lantaran jarang sekali kita dapat menjumpai pure Malays di Sarawak ini. Namun untuk tulisan ini, biar saya takrifkan Melayu Sarawak sebagai aslinya mereka yang telah berbudaya Melayu dan beradeen Islam mendahului kaum-kaum lainnya yang kini turut dikelompokkan sebagai Melayu juga. Kelompok Melayu asli atau Melayu Sarawak yang saya rujuk adalah Melayu Kuching, Urang Laut (Melayu Persisir), bahkan Melayu Sibu, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas. Saya menjangka inilah kelompok Muslim seawal abad ke 7 dahulu.
(5) Bagi saya, semasa saya menulis Melayu Sarawak .... berdirinya di mana? pada masa itu saya melihat biar dengan kuasa yang rakyat Sarawak telah berikan kepada Rahman Yakub dan Taib Mahmud yang saya kira tidak kurang dari empat dekad ie 44 tahun, dari sudut ekonomi dan kesejahteraan hidup, apakah pencapaian hebat yang telah Melayu Sarawak capai? Saya menanyakan kejayaan yang hebat. Saya tidak ingin membicarakan soal pencapaian biasa-biasa. Dalam tulisan tersebut, pasti banyak yang dapat membayangkan bahawa Melayu Sarawak biar dalam keadaan biasa-biasa juga belum sampai ke mana-mana. Melayu Sarawak setelah 44 tahun memberikan kuasa kepada mereka yang berkuasa untuk mengangkat martabat mereka telah sangat terpinggir sebetulnya. Urang Laut yang datang berpetualang ke Kuching, Miri, Bintulu, malah Sibu di zaman Taib mereka diburu untuk menjauh di pinggir-pinggir kota. Biar mereka bebas dari kehidupan setinggan, namun mereka sekurang-kurangnya selama dua generasi terpaksa bergulat menebus sekadar untuk hidup di tempat baru yang juga tidak berkecukupan. Tulisan itu, saya tujukan khusus kepada Tok Nan yang telah menghadiahkan saya buku Dilema Pendidikan Melayu Singapura semasa lawatan beliau ke Bintulu pada 2000 dahulu iaitu semasa saya masih menjawat jawatan sebagai Residen Bintulu. Mudah-mudahan dengan tulisan itu, ada yang akan menyampaikan kepada beliau, dan beliau akan mengambil beberapa langkah pembetulan berani untuk merubah keadaan. Alhamdullillah, dalam tempoh yang sangat sedikit, beliau telah mula mengasak ke arah tersebut, biar belum jelas penghujungnya. Namun pada pengamatan awal saya tentang penekanan Tok Nan, beliau juga seperti terburu-buru dan sedang memilih jalan yang agak tempang juga. Beliau seperti sedang bergerak ke rural bias, di mana jika dipandang dari sudut Melayu Sarawak, langkah itu kurang tepat. Melayu Sarawak sebetulnya adalah urbanised atau semi-urban. Saya tidak nafikan, Melayu Sarawak banyak di luar bandar, namun saya berani mengatakan mereka kini lebih banyak di bandar dari di luar bandar. Perkara ini telah saya tuliskan sebelum ini. Beliau telah Allah panggil pulang, sepertinya sebelum beliau melakukan langkah silap yang berkelanjutan. Namun ada langkah-langkah beliau seperti sedang dipinjam oleh Abang Johari untuk melangkah cara lainnya keluar dari langkah Taib juga Rahman. Al Fathihah untuk Tok Nan.
(6) Kali ini, setelah Tok Nan tiada, Abang Johari (2017) pula mengambilalih pimpinan Negeri, dalam pengemudian masyarakat Melayu khasnya. Untuk itu saya sedang perhatikan bahawa beliau sedang mencari-cari asas yang kukuh untuk melonjak kemajuan Sarawak amnya dan Melayu Sarawak khasnya. Cuma bila Negeri ini, di mana Melayu adalah minoriti, tugas beliau menjadi sangat mencabar lantaran kesaksamaan harus dijaga dengan baik. Rahman dan Taib juga pernah menghadapi masalah yang sama. Namun, demografi rakyat Sarawak sudah jauh berbeza, maka saya yakin, cabaran yang perlu diatasi oleh Abang Johari pasti jauh lebih sulit.
(7) Rahman, dalam dia membina Sarawak, dia saya kelompokkan sebagai cuba membina kekuatan dalaman. Maka dengan sebab itu, di zaman beliau terdapat banyak kroni-kroni bumiputera khusus dari suku kaumnya. Mereka inilah kemudiannya akan Rahman pergunakan sebagai Shaik-Shaik Pemurah. Taib pula, lantaran perlu lari dari bayangan Rahman, telah menggunakan kaedah yang seakan-akan serupa cuma dengan sedikit kelainan. Kroni-kroni Taib agak sedikit berbeza dari kroni-kroni Rahman. Kroni-kroni Taib lebih berupa active business circle sebagai tujuan reserve bank. Biar ciri kroni berbeda, natijahnya tetap sama iaitu membina kekuatan berteraskan patronizing. Rahman dan Taib membina kroni sebagai patron, payung kepada kekuasaan mereka. Melalui konsep politik payung, patronizing political strategy kedua-dua Rahman dan Taib dapat mencengkam hebat semua pengikut mereka. Budaya politik sebegini, bukanlah sesuatu yang anih, lantaran itulah budaya politik Asia di mana-manapun. Konsep pemimpin adalah payung adalah lumrah dalam budaya politik Asia. Rakyat melihat pemimpin sebagai payung. Maka untuk memayung pemimpin pula harus berpunya. Hubungan simbiosis payung ini, akhirnya bertukar menjadi parasitic. Juga payung dalam tradisi Melayu, adalah alat yang keperluannya sangat terbatas. Saat hujan dan panas, payung itu perlu. Selain dari itu, payung pasti disingkirkan. Dan dalam banyak ketika, yang memayung kepanasan atau kehujanan, yang berpayung pula lupa dirinya adalah payung kepada yang memayung. Dalam dunia fesyen Melayu, sebegitulah juga nasibnya payung. Namun jika kita melihat budaya Muhammad SAW, beliau tidak perlu payung dan atau memayung. Bagaimana cara beliau?
(8) Saya dapat bayangkan dalam keadaan demografi Sarawak terkini dan masa depan, Abang Johari sedang dalam dilema hebat. Apa lagi bayangan Taib dan Adenan terus mengekori Abang Johari. Selain orang Melayu, suku kaum lain juga sedang memaksa tuntutan kesaksamaan. Cara Rahman dan Taib, tidak boleh dinafikan telah meletakkan Sarawak pada kedudukan kini, namun saya yakin kedudukan kita harus terlebih baik jika pendekatan lain telah kita laksanakan. Namun, tidak perlu kita mengukit kisah silam, tumpuan kita harus pada masa depan. Sejarah biarlah hanya bahan rujukan pelajaran untuk jalan masa depan yang jauh lebih cerah dan hebat.
(9) Dilema Abang Johari adalah masa. Seperti ikrar Allah Demi masa...., Abang Johari seperti terkejar-kejar masa untuk berbuat yang terhebat dan lain. Keadaan ini menjadi lebih terdesak dalam keadaan politik Negara yang serba salah ini, di mana BN Pusat sedang kurang popular, dan BN Negeri baru saja mewarisi kegemilangan lagenda Tok Nan. Abang Johari menjadi seperti melukut di tepi gantang terlalu mengikut Pusat, nanti kedudukannya di Negeri payah, tidak mengikut Pusat, banyak trade off perlu dikorbankan. Namun jika desakan masa terlalu kita layan, kita mungkin keburu-buruan, rusuh dan hasilnya sakit di tengah jalan. Oleh yang sedemikian, semua harus membantu Abang Johari untuk memndapatkan ilham terbaik untuk mengibe (bimbing) Melayu Sarawak berjalan baik ke tujuan terbaik. Namun ada tanda-tanda jelas kematangan berpolitik yang diterima pakai oleh Abang Johari, yang boleh menyelamatkan Sarawak amnya dan menguntungkan Melayu Sarawak khasnya. Kita harus terus bersikap professional, yang baik kita ambil, yang jahat kita diam atau abaikan.
(10) Sesungguhnya bila Abdul Razak mengasak pembangunan Negara ini lewat peranan besar sektor awam, maka Melayu menjadi bangsa sangat bergantung kepada bantuan kerajaan. Inilah asas kepada kritik public enterpises as against private enterprises dalam kelas-kelas ekonomi pada 1960-1980an. Oleh yang demikian, sebagai pemimpin berwawasan jauh, Mahathir merobah semua itu lantaran ketergantungan kepada kerajaan tidak akan membawa Melayu ke persada jauh. Maka bila Mahathir berusaha keras untuk membebaskan Negara ini dari belenggu kuku pentadbiran awam feudal ke arah pentadbiran koprat maka usaha-usaha beliau selama 22 tahun itu telah melahirkan Melayu yang mula mahu melihat amalan demokratik yang meluas. Cuma bila Islam fardhu Kifayah Mahathir terlalu jauh ke depan dari Islam fardhu Ain, maka keputusannya Mahathir telah membina sekelompok Melayu Kapitalis yang akhirnya membentuk kelompok little Napolean. Maka sebagai kesan menjauhnya, kini Abang Johari sedang berdepan dengan demografi Melayu Sarawak yang mahukan lebih amalan demokrasi. Kejayaan sistem pendidikan kita telah merobah paradigma Melayu, biar perlahan tetapi sudah bermula.
(11) Konsep politik payung sudah mulai dibenci oleh Melayu. Di Malaya, UMNO yang masih terus berpegang kepada konsep politik payung sudah kian dicabar. Malah suara-suara lantang yang menongkah para agamawan yang bergelar Ulama, Tok Guru, Tabib, Shaik, Kiyai dsb dari terus mengamalkan politik payung adalah petanda-petanda bahawa penolakan sistem tradisi Melayu yang menjurus kepada feudal-autokratif sedang bermula. Di Barat, contohnya di abad ke 13 mereka cukup menolak konsep politik payung Istana dan Gereja sehingga melahirkan demokrasi. Saya, dalam tulisan ini, sekadar ingin menyumbang sedikit pandangan, khusus dalam keadaan Federalism, Persekutuan Malaysia yang kian tercabar kini untuk dilihat dan dinilai oleh sesiapapun, namun sasaran saya pastinya kepada sistem semasa.
(12) Dalam tulisan ini, dan seperti selalunya, saya tidak akan berbicara soal kaum-kaum lain. Bukan soal mereka tidak penting. Mereka sama penting dengan Melayu dalam apapun. Kita semua ibarat seberkas lidi membentuk penyapu. Cuma seperti saya telah katakan selama ini, setelah saya mengundur dari perkhidmatan awam, saya ingin menumpu jiwa dan fikiran saya kepada Melayu dan Kampung tumpah keringat-darahnya ibu dan bapa saya. Asas kepada perubahan sikap saya itu harus mudah dimengertikan. Pertama dan hanya itulah, lihat kepada ikrar Syahadah kita. Sebagai seorang Muslim, ikrar kita adalah Tiada Tuhan yang kita sembah melainkan Allah. Kita sepatutnya hanya patuh kepada Allah. Allah pula kita akui sebagai yang Mahaberkuasa, Mahamengetahui, MahaPenyayang dan Mahapengasih. Lantaran itu, kita seharusnya tidak perlu bersandarkan kepada siapa dan apapun dalam menentukan siapa dan ke mana diri kita ini. Maka atas prinsip itu, seseorang Muslim harus kekal pada tujuan penciptaan mereka dan atas tujuan Islam itu didatangkan kepada mereka. Muslim adalah khalifah Allah di bumi ini. Muslim mesti memimpin segala mahluk Allah dengan prinsip-prinsip asas Al Quran iaitu mencerminkan sifat dan tujuan Allah. Maka jika Al Quran jadi pegangan Melayu Muslim sebagai jalan hidup dan jalan pengurusan, pastinya segala yang lain akan terjaga penuh saksama. Maka berlandaskan itu, nada dan julat perbincangan saya dalam tulisan inipun pastinya hanya berkisar dalam dunia Melayu Sarawak khasnya dan Melayu amnya. Melayu Sarawak yang hebat adalah Muslim yang hebat di sisi Allah dan memegang amanah sebagai khalifah Allah untuk semua. Ibarat seberkas penyampu, lidi itu penting, namun yang terpenting adalah pemberkas agar penyampu menjadi utuh berguna. Dalam prihal ini, Melayu Sarawak adalah ibarat pemberkas itu. Jika pemberkas baik dan kuat, maka sempurnalah penyapu itu. Berpegang kepada prinsip itu, maka Melayu Sarawaklah yang harus saya lihat terdahulu. Pendirian ini harus siapapun perlu mengambil maklum.
(13) Sejak mengambilalih tampuk kepimpinan di Sarawak, saya melihat Abang Johari sering melakukan lawatan keluar Negeri dengan rombongan yang cukup besar. Beliau ke China, London, Australia, New Zealand, dan terakhir rasanya Estonia. Apa yang sedang dia cari? Saya menduga, selain mencari peluang-pelunag FDI, saya mengira Abang Johari sedang mencari-cari falsafah pengurusan Negeri sesuai dengan keadaan anak Negeri Sarawak yang rata-rata masih keterbelakang berbanding negeri-negeri kaya lainnya di Persekutuan Malaysia. Sarawk kaya, namun kita jauh di belakang berbanding Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Kita sepatutnya dari segi mutu kehidupan harus bersama kelompok lima negeri termaju di Malaysia. namun kita tidak. Kita corot bersama Sabah dan negeri-negeri Melayu. Saya yakin, langkah Abang Johari berkunjung belajar ke luar Negara adalah wajar, lantaran Allah juga sering berpesan pergilah berjalan dan belayar ke serata muka bumi ini, pasti di sana kamu akan temui kebesaranKu. Maka bagi saya, China itu bagus untuk kita lihat apa mereka boleh buat untuk keperluan mereka. Namun kita jangan terperangkap dengan cara Malaya, iatu menjadikan Malaya hanya batu loncatan China. Kita tidak harus menjadikan China sebagai penghasil keperluan kita. China harus menjadi rakan yang memakmurkan kita dan bukan sebaliknya. Keperluan kita biarlah kita sendiri yang menghasilkannya. Kita kena mahir dalam falsafah dan cara naga iaitu bapa ular yang akan makan ular-ular lainnya akhirnya. Australia bagus dalam soal-soal pengurusan kependudukan. Sarawak mempunyai tanah yang luas. Penduduk kecil. Maka dasar perbandaran kita, boleh diatur sedemikian rupa agar belanja membangun dan mengusus kita adalah selari dengan keupayaan kita. New Zealand pula adalah sangat baik berkaitan dengan pembangunan Industri Pertanian dan pengurusan alam sekitar dan masyarakat terpinggir Maori. New Zealand boleh menjadi contoh ikutan Sarawak dalam tiga faktor penting tersebut. London pula bagi saya adalah, is all about being gentleman. Abang Johari perlu menunjukkan teladan agar Melayu Sarawak bersikap gentleman. Kempimpian di Sarawak harus bersikap gentleman. Namun gentleman, kita tidak seharusnya bersifat British hidung tinggi, tetapi berhemah menurut Melayu-Islam. Estonia (?) adalah kelompok negara-negara Scandinavia. Inilah wilayah jajahan Jerman dahulu kala. Sikap Jerman adalah kerja-kerja. Mereka jauh lebih bersemangat berkerja berpasukan dari Jepun atau Korea. Kehebatan paling hebat Jerman adalah dalam bidang hambatan ilmu dan kemahiran. Melayu Sarawak perlukan strategi khusus dalam bidang ini.
(14) Sebelum saya merungkai intipati tajuk bicara di atas, terlebih dahulu cuba kita sorot sepintas lalu, di mana Melayu Sarawak kini. Di manakah Melayu Sarawak kini? Apakah kelemahan yang tiada penghujung, yang sedang kita hadapi sehingga kedudukan kita seperti sedang mengundur? Saya hanya perlu mengambil beberapa kayukuran yang mudah untuk menjawab persoalan ini. Pertama, dalam prihal BR1M. Kita akan dapati berduyun-duyun Melayu ingin mendapatkan BR1M. Mereka sanggup meninggalkan apa saja, demi untuk mendapat bayaran BR1M. Samalah dalam soal K1M. Apapun jenis penyakit, Melayu akan ingin dirawat di K1M. Juga cuba, jika tanpa bantuan kewangan apapun bila anak-anak ke Universiti atau Kolej, pasti kebanyakan Melayu mengeloh. Ekonomi orang Melayu secara am masih corot. Namun, keduanya, dalam soal berhibur, Melayu pasti duluan. Kita kini sedang kegilaan pesta Lumba Perahu. Pesta Lumba Perahu ini punya sejarah serta kepentingan yang telah saya tuliskan sedikit waktu dulu. Inilah antara kekuatan perpaduan dan semangat lomba ASEAN, jika kita mampu garap, pasti boleh meletakkan Nusantara dan Melayu ke arena yang cukup hebat. Tetapi, pesta hanyalah pesta untuk berhibur, dan tidak lebih dari itu. Melayu cukup hebat menghambat hiburan. Dalam soal menghambat ilmu, kita dengan mudah sering dipintas oleh keperluan berhibur atau sesuatu yang tidak memperbaiki ekonomi diri kita. Ketiga, yang seharusnya adalah pertama, penghayatan kita tentang Islam, sangat jauh mundurnya. Kita seperti belum pernah di jamah Islam. Saya berani berkata Islam kita sekadar Islam sajalah. Islam kita Islam Pak Kaduk, tukang ikut. Di bidang ekonomi, sosial dan keImanan dan Taqwa kita, kita masih jauh keterbelakang dari yang seharusnya. Kayukuran saya bukan kepada China, USA, atau Cina, India, Iban dsb; benchmark saya adalah sejarah silam kita sendiri. Melayu pernah berpunya sejarah gemilang. Islam pernah punya sejarah gemilang. Dari dua sudut itu, kita kini juga masih corot, apa lagi mahu dibanding dengan USA, Britain, Switzerland dll. Kenapa kita jadi sebegitu, saya telah banyak menulis mengenainya, dan bacalah.
(14.2) Saya berpandangan, kelemahan paling menjijikan buat Melayu Sarawak adalah kita tidak berasa malu untuk jadi pengemis di bumi penuh rahmat Allah ini. Kita tidak malu betapa kita masih corot dalam terlalu banyak hal. Kita sebagai kelompok bangsa, kita tidak malu bangsa kita corot. Pendeknya, kita cukup "memalukan" Allah bila segala yang perlu sudah Dia anugerahkan kepada kita, sedang kita masih penuh tercemar bergelumang segala kelemahan.
(15) Apakah kekuatan yang ada pada kita? Kekuatan yang paling hebat, terhebat milik kita adalah Al Quran. Pasti ini anih kepada banyak orang. Sesungguhnya pandangan sebegitu, saya sudah jangka. Sebabnya mudah, ie lantaran kita lupa, tentang asal kejadian kita. Seawalnya, apakah kekuatan hebat Adam AS berbanding Iblis dan Malaikat. Iblis adalah mahluk Allah paling hebat pada suatu waktu dahulu. Sehingga kinipun Iblis itu tetap hebat. Iblis cukup hebat bila berdengki riak. Malaikatpun pada asalnya perlu berImamkan Iblis. Malaikat juga adalah hebat. Namun Allah tegaskan, ilmu adalah kekuatan paling hebat Adam AS berbanding mahluk apapun lainnya. Allah mengajar Adam AS ilmu. Tiada mukzizat lain yang saya baca telah Allah berikan kepada Adam AS melainkan ilmu yang mengatasi segala kekuatan Iblis dan Malaikat. Sehingga akhirnya, segala ilmu Allah itu terhimpun menjadi Al Quran.
(15.2) Al Quran adalah lautan ilmu. Al Quran mengajak dan mengajar kita untuk berilmu. Dengan ilmu, In Shaa Allah sepertinya janji Allah, pasti martabat kita akan menjadi lain. Cuma sayang, saat kita membaca Al Quran, kita tidakpun mengerti apa yang kita baca. Kita sekadar membaca; kita tidak berkecenderungan untuk mencungkil ilmu dari kata-kata Allah di dalam Al Quran. Biar Allah berkata, Al Quran adalah kunci kesejahteraan dan kemamuran hidup; jaminan kebahagian hidup, kerana kita tidak faham maksud sebenar jaminan itu, kita tidak mengkaji tentang itu, maka kitapun tidak dapat melihat apa sebenarnya jaminan yang Al Quran janjikan. Kita tidak mutlak yakin kepada Al Quran lantaran kita tidak tahu pengertian sebenar kata-katanya. Sesungguhnya, umat Melayu sedang jalan tempang di jalan Allah yang luas terang terhampar. Melayu sedang berjalan gaya pemabuk buta, bisu dan tuli. Kita berjalan melihat dengan kebutaan. Kita merasa dengan hati yang penuh bisu. Kita menguping dengan teliga yang tuli. Kita, sedang melangkah ke jalan gelap menyimpang dari jalan terang yang telah Allah suluhkan. Kita tidak kenal, kekuatan azali kita ie Al Quran gedung segala ilmu. Tanya apa saja, Al Quran sudah ada jawabannya, jika kita celik hati dan fikiran terhadap Al Quran.
(15.3) Saya tidak melihat hutan, laut, tanah luas, galian dsb sebagai kekuatan azali. Semua itu tidak azali, tidak hakiki. Segala itu kata Allah hanyalah pinjaman. Semua itu bukan kekuatan azali. Yang azali adalah ilmu. Ilmu yang mutlak azali adalah Al Quran, namun awas, saya tidak bermaksud literally. Hanya dengan memahami mendalami kajian tentang Al Quran dari semua sudut ilmu, maka barulah segala yang Allah hamparkan di depan, belakang, di atas kepala malah di bawah kaki kita akan menjadi kekuatan azali kita, jika dan hanya jika kita dapat melihat itu melalui kacamata ilmu Al Quran yang luas dan mendalam. Contoh, Sarawak pernah mempunyai lambakan kayu yang bermutu tinggi. Kini sudah pupus? Kenapa? Lantaran dalam mengurus semua itu, hati kita tidak berpandukan Al Quran. Kita menuruti kehebatan ilmu Iblis iaitu tamak. Samalah dengan minyak. Kita kaya minyak. Kita eksport minyak kita. Kini sumber minyak sudah susut. Kita jadi gundah gelana, kemiskinan dan kepayahan kembali menerjah kita; kenapa? Kerana semasa minyak banyak kita urus harta minyak dengan ilmu tamak dengki Iblis. Kita lupa Al Quran yang mengkehendaki segala diurus penuh zuhud dan saksama. Maka ubat segala keresahan dan kepayahan kita ada semua di dalam Al Quran. Di saat kita membelakangkan Al Quran, pasti segala musibah akan bertandang mudah.
(16) Melayu Sarawak mesti dan boleh menjadi Melayu hebat. Bukan saya yang menyaran sebegitu. Itu saranan Allah. Sebermula, Allah telah menjadikan Adam AS moyang umat manusia termasuk Melayu Sarawak. Beliau adalah hebat. Beliau menundukkan Iblis dan Malaikat. Allah mengaungerahkan Al Quran untuk pedoman dari Adam AS sehingga manusi di kala kapanpun. Al Quran mengajak dan mengajar manusia untuk menjadi hebat. Hanya manusia hebat akan bersama Allah di Syurga-SyurgaNya. Di sisi lain, keperluan kita untuk menjadi Melayu hebat seharusnya sudah jelas. Kita minoriti. Apapun, jika minoriti harus hebat untuk terus lestari. Allah menjadikan kedudukan minoriti itu adalah agar kita hebat. Kita jangan sekali-kali lupa kita adalah minoriti. Kerajaan pimpinan Melayu Sarawak harus jangan sekali-kali menjadikan Melayu Sarawak menjadi kelompok bangsa Melayu selesa, complacent seperti di Malaya. Janganlah Melayu Sarawak menjadi sekelompok bangsa subsidi, pengemis, peminta-minta, bangsa perlu payung-payungan!. Juga kita berada di sini, menjadi Muslim lantaran Allah mahukan kita menjadi khalifah kepada segala mahluknya di sebelah sini. Sebagai khalifah, kita wajib menjadikan diri kita hebat. Hebat kita mesti hebat di jalan Islam demi memperolehi barakah dariNya.
(16.1a) Melayu Sarawak sangat mampu untuk menjadi hebat. Melayu Sarawak tidak dijadikan untuk menjadi bangsa dayus, bacol, bodoh apa lagi miskin hina tidak bermaruah. Allah tidak menjadikan kita untuk bercirikan sebegitu. Allah mahukan kita menjadi bangsa yang berani, cekal, pintar, amanah dan jujur. Kita mesti menjadi sekelompok bangsa yang punya harga diri yang tinggi lantaran kita berdiri, berjalan dan berkerja kuat dan jujur. Kita mesti menjadikan diri kita benar-benar hebat, dan kehebatan itulah kemudiannya akan menjadikan kita hebat di mata dan hati sesiapapun. Jika kita hebat, siapapun mahukan kita menjadi payung kesejahteraan mereka. Keupayaan kita untuk menjadi hebat, seharusnya juga telah jelas. Keupayaan kita untuk menjadi hebat lantaran Allah telah membuka hati kita dan meletakkan Al Quran di depan kita. Al Quran adalah landasan kehebatan kita. Maka untuk itu:
(16.1b) Martabat Islam Melayu Sarawak harus hebat. Martabat Islam itu hanya satu iaitu Islam. Islam hanya berwajah tidak lain dan tidak bukan adalah Islam. Islam tidak boleh dipandang dari sudut lain selain Islam. Tiada apa seperti yang disebut sebagai Islam sederhana (moderate), Islam progresif, Islam totok dsb. Penghujahan sebegitu hanyalah sebuah kekeliruan. Yang dibawakan oleh Islam berkait soal kesederhanaan, progresif, adil, keamanan, dsb, itu adalah ciri-ciri Islam. Islam seharusnya berwajah Islam. Islam berwajah total. Sifat dan ciri-ciri Islam tidak singular. Islam merangkumi segala kebaikan yang Islam utarakan dan tersisih dari segala perkara yang ianya larang. Namun bagi tujuan tulisan ini, dan atas kepentingan masyarakat majmuk tropikal, saya cuma ingin melihat Islam dalam pengertian dan tujuan mudahnya iaitu membawa ketenteraman dan kesejahteraan kepada semua. Islam membawa kepada ketenteraman jiwa, dan kehidupan biar secara individu, keluarga, kaum, masyarakat, bahkan bernegara dan serantau.
(16.1c) Maka jika Melayu Sarawak ingin hebat di sisi Islam, maka kita harus menjadikan Islam bawaan kita itu menepati kehendak Islam yang sebenar iaitu menjurus kepada ketenteraman dan kesejahteraan kepada semua. Kita mesti dilihat hebat lantaran kita membawa ketenteraman dan kesejahteraan kepada semua. Ketenteraman dan kesejahteraan Melayu Sarawak berlandaskan Islam adalah penting. Melayu Sarawak harus melakukan serta berpunya segala ciri yang boleh membawa ketenteraman dan kesejahteraan kepada semua. Pastinya ini menuntut agar Melayu Sarawak untuk berpunya jatidiri Islam yang kental. Dalam masa yang sama, Melayu Sarawak juga mesti menyuburkan ketenteraman dan kesejahteraan kepada semua termasuk yang bukan Muslim sekalipun. Inilah tututan kesaksamaan dalam Islam. Itulah kehebatan dalam Islam. Hebat di sisi Islam adalah penting. Saat kita hebat di sisi Islam, maka pastinya Allah akan menepati janjiNya akan menjadikan kita hebat juga. Oleh itu, sebagai asasnya, pandangan kita terhadap dunia dan akhirat harus saksama. Kita tidak boleh memberatkan satu dari yang lain. Juga kita tidak boleh memisahkan satu dari yang lain. Allah mengkendaki kita kini hidup di dunia untuk akhirat. Sebagai mahluk dunia, kehidupan duniawi kita mestilah menjurus kepada kehidupan yang Islam mahukan. Saat itu kita amalkan, pastinya akhirat kita terjamin selamat. Samalah dalam pertimbangan kita terhadap diri secara perseorangan, keluarga, masyarakat malah Negeri dan Negara. Semua harus kita dipertanggungjawapkan secara saksama. Setiap sesuatu ada hak dan batasnya. Hak dan batas ini harus kita jaga agar matlamat ketenteraman dan kesejahteraan itu terjaga.
(16.1d) Kita jangan menindas. Kita jangan suka menyisih apa lagi sesama sendiri. Soal perbedaan pendapat atau pegangan hidup itu soal lain, kehidupan bermasyarakat Islami meluas harus menjadi keutamaan kita. Islam harus kita jadikan sebagai asas penyatuan Melayu Sarawak tidak kira asal mereka dari Kuching, Laut-Persisir, Sibu, Bintulu, Miri dan atau Limbang-Lawas. Kita semua adalah Melayu, kita bersaudara di sisi Islam dan kita mesti maju di dalam dan bersama Islam.
(16.2a) Pencapaian taraf pendidikan dan kemahiran tinggi mesti menjadi keutamaan Melayu Sarawak. Kita patut mengambil sikap berlumba-lumba dengan Alfred Jabu bila beliau dengan sebegitu passion mahu melihat setiap bilik di rumah panjang berpunya seorang siswazah. Cuba bayangkan, terdapat lebih kurang 360,000 rakyat Iban di Sarawak ini. Itu bersamaan dengan 72,000 keluarga Iban. Secara amnya itu berupa 4,800 buah rumah panjang di serata Sarawak. Alfred Jabu menyasarkan di Sarawak ini memiliki tidak kurang dari 72,000 orang siswazah Iban. Itu bukanlah angka yang harus kita cemburui, tetapi itu juga bukan angka harus kita perlekehkan. Kita tidak perlu iri hati dengan usaha murni Jabu kepada masyarakatnya. Kita tidak perlu takut. Itu hak mereka. Itu kita mesti akui dan terima malah mudahcarakan sesaksamanya. Apa yang perlu kita fahami adalah kisah SAW sendiri dalam soal ini. Cuba ingat kembali, SAW adalah seoarang buta huruf. Boleh dikatakan dia seorang "tanpa pelajaran". Siapakah teman-teman di sekeling beliau? Tidakkah dari Khadijah membawa kepada Ali Abi Thalib dan segala para pengikut setia beliau adalah dari kalangan mereka yang boleh membaca, menulis dan berkarya? Apakah maksudnya Allah memberikan SAW lingkungan sebegitu? Soal SAW itu buta huruf, Allah ada rencana terhebatNya tersendiri. Soal Dia mengelilingi SAW dengan mereka yang berpelajaran pada waktu itu, seharusnya kita mengerti. Sebetulnya, dengan adanya mereka ini di sekeliling SAW, maka Islam menjadi kekuatan terhebat pada masa itu. Sesungguhnya, Allah sekali lagi menegaskan kepada umat Islam; berilmu itu adalah asas kepada segala-gala kekuatan kita. Islam mewajibkan semua umatnya mengerti Al Quran. Latas sebetulnya, dengan keperluan sebegitu, sesungguhnya Islam itu mewajibkan semua umatnya ie 100 peratus umatnya berpendidikan dan berkemahiran baik. Cuma tidak ramai yang melihat sebegitu, lantaran mata hati kita tidak pernah kita buka seluas-luasnya.
(16.2b) Bagi memperkasa martabat keIslaman yang harus Melayu Sarawak pegang, maka pendidikan di kalangan Melayu Sarawak juga harus menjurus kepada nilai-nilai Islam yang Melayu Sarawak harus miliki. Maka dengan peredaran masa, serta mengambil fitrah betapa Allah tidak tidur dan Dia mahamengetahui, maka Melayu Sarawak juga harus berpunya ciri-ciri tidak tidur dan sangat mengetahui. Pernahkan kita bertanya "Apa benar Allah tidak pernah tidur?". Al Quran sememangnya berkata sebegitu, namun Al Quran tidak boleh dilihat secara literally. Maka, "Jika Allah boleh tidur, bagaimana Dia boleh mahamengatahui apapun?". Ciri kedua, dalam soal ilmu Allah adalah sifat sangat menyubur menyenangkan. Cuba lihat pada contoh ikan emas. Jika kita faham tentang ikan emas, pasti kita asyik dan seronok bahagia. Pada keunikan ciri dan sifat ikan emas, sesungguhnya ada pengajaran dari Allah. Cuma indahnya ilmu Allah ini, jika kita berpunya sikap mahu mendalami akan misteri segala ilmuNya. Maka jika kita terbuka mata hati, sistem pendidikan kita haruslah menjurus kepada cara sistem pendidikan Allah iaitu menyubur, seronok dan mudah. Ketiga, dalam memberikan ilmu, bagi saya Allah sampaikan dalam dua bentuk. Pertama, secara big screen display. Alam ini adalah big screen display Allah. Maka terpulang kepada kita untuk melihat pada sudut mana pada kaca tv dunia itu. Keduanya, sebahagian besar ilmu Allah sampaikan melalui para nabi dan rasulnya. Kepada para nabi dan rasul ini, semua adalah bersifat wahyu. Wahyu Allah sampaikan bagaimana? Saya yakin hampir semua wahyu Allah datang 'secara angin lalu'. Maka jika kita dapat dan mahu berfikir, saya berkeyakinan sistem pengajaran dan pembelajaran umat Melayu Sarawak kini masih terlalu corot dari sistem pendidikan Islam yang Allah pergunakan.
(16.2c) Sistem pendidikan Allah: pertama-tama Adam AS dibikin di syurga dan dia pernah tinggal di syurga. Maka dalam fikiran ie otak Adam AS sudah tertanam ilmu ie gene ingin hidup mewah rahmat seperti di syurga. Kemudian Adam AS diutus ke bumi. Maka kita kini, biar siapa kita, Muslim atau tidak, semua ingin hidup seperti dan di syurga, kerana kita mewarisi gene syurga dari Adam AS. Perkara ini telah saya tulis sedikit waktu dulu. Allah telah memberikan kita gene ie ilmu untuk kita hidup penuh rahmat. Itulah hak dan rahmat yang Allah telah berikan kepada kita. Tidak ada siapa harus menafikan hak yang telah Allah kurnaikan kepada kita itu. Kedua, kepada para nabi dan rasul Allah sampaikan ilmu kepada mereka lewat wahyu. Wahyu sampai kepada mereka lewat 'angin lalu'. Allah tidak hadir sendiri duduk terselimpuh mengajar para nabi dan rasul. Biar kepada Musa AS di Bukit Sinai dan bahkan SAW semasa beliau ke Arasi, Allah juga menyampaikan wahyu kepada mereka secara 'cahaya'. Dan ketiga, tentang bukti sahih kebenaran segala ilmu Allah itu, maka Dia hamparkan cakrawala ini sebagai big screen show case yang boleh ditonton dan jerapi oleh sesiapapun yang mahu dan kapanpun tidak mengira dia berIman atau tidak. Sehingga itu, did those ring your bell? akan seharusnya jalan yang kita pilih agar sistem pendidikan kita Melayu Sarawak menjurus kepada sistem pendidikan Allah?
(16.3d) Sesungguhnya, malang sekali kita umat Islam tidak dan belum melihat cara pengajaran dan pembelajaran sistem pendidikan Allah dari sudut Cyber Space Management. Sesungguhnya, dalam segala hal juga, kita gagal menyerasikan apapun cara kerja kita dengan "cara kerja" Allah. Saya berkeyakinan betapa kenyataan Al Quran, betapa Allah tidak tidur dan Dia mahamengetahui lantaran Dia berpunya Cyber Space Management yang mutlak unggul. Jika kita sebagai Muslim, dan kita benar-benar ingin menjejaki jalanan Allah, maka kita harus berani mengkaji Al Quran berasaskan fenomena alam yang Allah hamparkan kepada kita. Kita harus berani melihat dan menghayati tafsiran Al Quran dari segala sudut pemikiran manusia yang ada. Cuma di saat kita meneliti sains alam ini, kita harus mengikat segalanya dengan keperluan memperkukuhkan Iman kita kepada Allah. Masyarakat Barat sangat banyak bertanya-tanya. Mereka melihat kilat, mereka bertanya bagaimana kilat itu terbentuk dan untuk apa? Mereka kaji, dan akhirnya mereka menemukan rekaan yang boleh memperkasakan mereka, iaitu lampu kalimantang. Cuma khilafnya, pengkajian dan malah rekaan mereka itu tidak disertakan dengan keperluan untuk berIman dan memperkuatkan Iman. ...... bersambung In Shaa Allah
(7.3) Politik Melayu Sarawak adalah ibarat telur di hujung tanduk. Dalam tradisi Melayu, politik adalah segalanya. Tanpa kuasa politik, Melayu bertanggapan, mereka pasti cicir. Benarlah sebegitu dari sudut tradisinya. Melayu sejak wujudnya bangsa Melayu, politiklah yang telah menjadikan mereka terus dapat bertahan. Namun itu, hanyalah pandangan dari sudut politiknya. Namun jika berpunya kuasa politik sekalipun, jika politik Melayu adalah haprak apa lagi lengai, Melayu juga pastinya tidak akan lestari kesejahteraan hidup mereka. Sesungguhnya politik Melayu Sarawak tidak lari dari Politik Ketuanan Melayu. Namun konsepnya mungkin jauh berbeza dari Politk Ketuanan Melayu Beraja..... bersambung In Shaa Allah
(7.4) Kedudukan ekonomi...... bersambung In Shaa Allah
(7.5) Sosio-budaya Melayu..... bersambung In Shaa Allah
(7.6) Jatidiri individu Melayu..... bersambung In Shaa Allah.
(8)

0 comments:
Post a Comment