.

9/1/14 ISA AS BUKAN UNTUK ROM.......Laqmaan menjadi Luqman?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - January 28, 2014

Share

& Comment

Saya memang terperanjat besar dengan pernyataan: Allah melarang Isa AS dari mengajar Agama kepada Yunani-Rom bila saya membaca buku tulisan Wisnu Sasongko, seorang pensyarah di Jabatan Daerah dan Perancangan Bandar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur yang berjudul Luqmanul Hakim adalah Socrates Berkulit Hitam. Saya tidak pernah membaca prihal ini sebelum ini. Juga biar saya sering melayari internet bagi mengikuti syarahan Islam, juga Kristian dan Yahudi, saya juga belum pernah mendengar akan prihal ini. Alasan yang diberikan kenapa larangan itu dikeluarkan adalah kerana anutan paganisma begitu menunjang di kalangan Yunani (Greek)-Roman (Latin). Temaddun Yunani (Greek) adalah temmadun awal di Barat yang berkembang di Athen, Greece. Keruntuhan Yunani kerana munculnya (serangan) temaddun Roman yang berpusat di Rome, di Italy. Masyarakat Yunani-Rom sebelumnya adalah masyarakat yang mengamalkan agama berbilang Tuhan dan mereka akan bersikap ganas die hard jika fahaman turun temurun itu cuba diganggu gugat. Isa AS hanya dibenarkan mengembangkan Islam bawaannya hanya di kalangan kaum Yahudi yang sudah agak biasa dengan Konsep Tuhan itu Tunggal. Jika benar, sebegitulah fitrah Allah, Dia tidak mempersulitkan tugas hambaNya, biar kemudiannya Yahudi juga tidak dapat menerima Islam pembawaan Isa AS lantaran hanya mereka selanyaknya berAgama Yahudi, sedang Isa AS membawa Islam untuk umat sejagat. Allah MahaMengetahui, mendidik Islam kepada Yunani tidak akan sampai ke mana. Sia-sia. Di sini saya mengatakan Isa AS adalah membawa Adeen Islam, kerana semua Nabi dan Rasul Allah adalah berAdeenkan Islam dan persuruh dalam menebarkan Islam. Berasaskan itu, Kristian dan atau Nasrani, bukanlah Agama bawaan Isa AS, itu adalah Agama bawaan Jesus, bukan Isa AS. Jika Isa AS menbawa Agama Nasrani, pasti akan ada pernyataan: Isa dan Nasrani dan atau Nasrani bawaan Isa, namun setakat pemerhatian saya tidak ada sebarang ruang di dalam Al Quran mengenai pernyataan seperti itu dan atau mirip sebegitu.

(2) Saya memerhati, Gospel (Injil, New Testament) juga Old Testament kian berubah mengikut keperluan zaman. Bagi masyarakat Barat, Agama harus menenuhi keperluan semasa manusia. Keperluan semasa ini pula, sangat terkait dengan keperluan nafsu sebetulnya. Jika dulu-dulu, ibubapa Melayu sangat melarang anak-anak Muslim biar hanya memegang Injil, namun kini saya kira wajar bagi Umat Islam membuat koleksi Injil untuk memerhati perubahan kepada kitab tersebut mengikut masa, keadaan dan tempat. Dalam dunia Barat, everything must evolve with time sehingga kini sudah keras diusahakan dan umat Islam kian terperangkap agar Islam juga harus mengalami transformation. Islam kini tidak perlukan evolusi apa lagi transformasi. Proses ini telah Allah laksanakan ke atas Islam sejak dari Adam AS sehinggalah kepada akhirnya wahyu kepada Muhammad SAW iaitu: .....pada hari ini Aku sempurnakan Islam Adeen seluruh UmatKu.... Islam kini adalah Adeen yang telah mutlak sempurna. Tiada cacat celanya. Apa yang perlu di evolusi dan atau transformasi bukan Islam tetapi Umat Islam, Cara dan Inti Pati Pendidikan Islam. Walau bagaimanapun, saya tidak berhasrat untuk berbicara lanjut tentang kedua para di atas. Saya sebetulnya, selama ini tertanya-tanya siapakah Luqman Al Hakim seperti Allah riwayatkan di dalam Surah Luqman di dalam Al Quran. Surah ini tidak menceritakan siapa Luqman, ianya hanya menceritakan akan segala nasihat Luqman kepada anaknya.

(3) Sikap kita bangsa Melayu akhir-akhir ini dikatakan sebagai sangat smart. Contohnya, kenapa perlu kita pening-pening kepala berfikir dan menyelongkari bagaimana sesuatu elektronic gadget itu beroperasi. Kita jangan buang masa. Kita beli, kita guna, bila rosak, tidak usah sibuk-sibuk hendak perbaiki, kita beli baru lagi bagus, cepat, mudah. Itulah sikap sangat smart kita. Kenapa kita jadi begitu? Begitu juga, di kalangan generasi kini, bila berdepan dengan kepayahan, mereka mudah mengundur. Sikap mereka mudah, jika sesuatu kepayahan itu tidak menyangkut kepentingan diri, maka peduli apa akan prihal tersebut. Tidak perlu bussy body susah-susah. Maka, kini kepayahan dan keresahan masyarakat Melayu sudah bukan menjadi tanggungjawab sesiapa, melainkan terlalu banyak kian mengambil sikap peduli apa, masa bodoh. Lama saya cuba mencari jawaban kenapa kita menjadi bangsa yang tidak tekun memerhati, mengkaji, menguji kaji, membuat sendiri, sanggup berusah payah berusaha. Jawaban kepada persoalan saya, sikap kita sebetulnya telah bertolak sejak dari dulu, sejak dari mula Islam diketengahkan kepada kita sekitar 800 tahun dahulu. Selama 32 generasi terdahulu. "Ini ajaran dari Allah, kita terima, kita tidak perlu soal". Inilah, saya kira jawaban mudah bagi mereka yang sebetulnya masih cetek ilmu. Inilah jawaban bagi golongan tidak tahu yang mereka tidak tahu mengikut Iman Al Ghazali. Kerana tidak punya jawaban dan atau untuk mengelak dari salah jawab maka sebegitulah sandaran segala perbahasan mereka. Alhamdullilah mereka tidak memandai-mandai, namun sebel bila mereka sebetulnya sedang membenih suburkan sifat-sifat ambil mudah segala kepada anak bangsa selanjutnya.

(4) Bertolak dari rasa ingin tahu itulah saya sering bertanya, siapa Luqman Al Hakim?. Saya tidak hanya berminat terhadap nasihat beliau, namun saya ingin tahu siapa beliau sehingga boleh memberikan nasihat sehingga Allahpun memperakuinya. Allah memberkati nasihatnya. Sangat besar manusia ini. Jika tidak, mana mungkin dia dapat memberikan nasihat sebegitu indah dan bermakna. Itu yang pertama. Kedua, saat isteri saya akan melahirkan anak sulung kami, saya tidak pernah berbicara dengannya apakah anak sulung kami itu harus lelaki atau perempuan. Sering bila dia ingin membawa tajuk itu, saya sekat dengan ungkapan: Apa ada beda jika dia lelaki atau perempuan? Kita hanya harus fikir apakah dia akan jadi manusia berguna kepada masyarakat dan Islam. Saya tidak pernah peduli, dan tidak mahu tahu akan jantina anak sulung kami juga yang kedua (bungsu) sehinggalah mereka terlahirkan. Maka, bila isteri saya sedang sarat hendak melahirkan, saya hantar dia ke hospital di awal pagi, kemudian terus ke kebun, pada tengaharinya, saya berfikir-fikir keras sambil memandu pulang dari kebun, jika anak itu lelaki apa namanya, juga jika perempuan apa namanya? Saya mulanya ingin menamakan dia Abdul Manan sempena nama datuk saya, setidak-tidaknya Abdul Manaf sempena buyut Muhammad SAW. Alhamdullilah, tidak semena-mena, Luqman Nur Haqim begitu mudah terjelma dan bermain-main dalam fikiran saya, dan saya tidakpun terfikir nama-nama lain biarpun jika dia adalah anak perempuan. Lantas, sekitar jam 2.00 petang bila saya naik ke Kamar Bersalin di Hospital Umum, Kuching, semua tersenyum, dan saya terus berkata "Pasti dia anak lelaki". Semua mengangguk, lalu saya katakan "Nama dia adalah Luqman Nur Haqim". Atas dua sebab itulah, sekian lama saya cuba mencari-cari siapa sebenarnya Luqman Al-Haqim. Saya berdoa agar Luqman Nur Haqim memiliki roh Luqman Al-Hakim, dan mungkin kerana itu subconscious mind saya meletakkan Nur dari Al pada namanya. InsyaAllah.

(5) Kelmarin saya ke MPH, dan terpandang buku tulisan  Wisnu Sasongko, dan tadi malam saya terus membaca buku ini sambil menyemak cross references beliau dari koleksi buku-buku dan tafsir Al Quran yang saya ada. Dari segi logic methodology kajian beliau, sepertinya Socrates adalah Luqman Al-Haqim. Socrates dari tulisan anak murid unggulnya iaitu Plato, adalah seorang lelaki hitam dari Namimbia di selatan Mesir. Socrates lahir pada tahun 469SM dan menetap di Athen, Greece. Dia asalnya adalah hamba abdi. Gelaran "socrate itu diandaikan dari istilah secrete, hasil buangan, najis, iaitu menunjukkan kehinaan tentang dirinya sebagai hamba abdi yang hitam legam, hodoh. Dalam bahasa Ibrani (Hebrew), Scocrate mungkin berasal dari sakarate hitam legam terbakar mentari. Tetap kias manusia hodoh. Namun, kerana kejujuran, kekentalannya, yakin diri, serta terus-terusan mendapat taufik dan hidayah dari Allah dia menjadi pemikir yang hebat dan dia akhirnya dimerdekakan oleh anak asuhannnya bernama Alcibiades yang kemudian menjadi salah seorang panglima perang Yunani. Hubungan Socrates dan Alcibiades sangat akrab dan anih di mata umum Yunani. Dulu Socrtaes adalah paidagogos hamba kepada Alcibiades. Namun kerana kebijaksanaan dan kejujuran Socrates, Alcibiades pula sanggup jadi murid Socrates. Hubungan songsang. Mereka sering berdua-duaan sehingga ada fitnah mengatakan mereka adalah pasangan homo. Sebelumnya, Socrate di bawah tuan empunya dirinya, banyak melakukan kebaikan bagi Yunani. Benar-benar hubungan songsang. Dia terlibat dalam peperangan dan sangat berani mempertahankan Yunani. Sifat-sifat luhur, berani, cekal serta bijaksananya dia akhirnya dia dilantik menganggotai Dewan Kehakiman yang tujuannya adalah untuk mengadili para jeneral perang yang belot dan atau gagal. Kerana itulah dia diberi gelaran Al Haqim (seorang hakim), Socrates Al Haqim, Hakim Hodoh.

(6) Socrates menjalani hidup sebagai seorang miskin, sederhana. Dia sepertinya sangat mencintai Alam. Dia banyak belajar dari Alam. Dia mentafsir banyak perkara dari Alam. Ilmu Alamnya sangat metaforik penuh falsafah, hikmah. Contohnya, beliau berpandangan Manusia itu penuh ilmu saat dia masih janin lagi. Ilmunya terlucut hilang saat dia dilahirkan. Kerana Alam, manusia sedikit demi sediki kembali mengumpul ilmunya, jika mereka berfikir. Socrates digambarkan sebagai manusia yang sentiasa mengingati Allah. Dia paling bersyukur ke atas segala nikmat yang Allah berikan kepada dia, biar dia sering dicemuh sabagai manusia hodoh: hitam, hidung kemek, mata menonjol terbelalak, abdi, miskin, dsb. Dia dapat melihat akan segala nikmat kebesaran Allah pada hodoh dirinya. Di sinilah sepertinya Socrates sangat arif tentang maksud Al Quran Surah 3:190-191: Verily! In the creation of the heavens and the earth, and in the alternation of night and day, there are indeed signs for men of understanding; Those who remember Allah (always and in prayers) standing, sitting, and lying down on their sides, and think deeply about the creation of the heavens and the earth, (saying): "Our Lord! You have not created (all) this without purpose, glory to You! (Exalted be You above all that they associate with You as partners.) Give us salvation from the torment of the Fire. Socrates adalah seorang Muslim, hanya kerana Plato dan semua mereka selepasnya tidak faham akan Tuhan itu Satu, Allah ArasyNya di Langit, maka saat melihat Socrates sering berdoa mendongak ke langit, maka dia dituduh bertuhankan Matahari. Di situlah mulainya pertentangan penguasa Yunani dan Socrates. Socrates berTuhan selain Tuhan masyarakat Yunani. Socrates dikatakan adalah seorang Yahudi, dan ini tidak janggal kerana sebelum wujud temaddun Yunani, agama Yahudi sudah tertebar luas ke Afrika dan Selatan Arabia. Bahkan di zaman Firaun, khususnya di Alexandria (Iskandariah) Yahudi sudah subur makmur. Kemunginan dari Namimbia, ibu bapa Socrates hijrah ke Alexandaria kemudian lalu ke Athen.

(7) Saya berkira, bukanlah kerana perbedaan keTuhanan yang menimbulkan masalah antara Socrates dengan para penguasa Yunani. Semuanya adalah kerana politik kerakusan. Beliau adalah seorang yang tidak diam saat melihat yang salah. Contohnya, bila dia memperupamakan Yunani sebagai seekor kuda yang tidak kenal akan kekuatannya, sedang dia adalah seekor lalat yang menyebabkan kuda itu bingas sebok. Juga dia memperupamakan dirinya sebagai bidan Bidan membantu melahirkan anak, dan aku melahirkan Yunani yang bermaksud, dia seperti bidan menegur mengajar bagaimana Yunani itu harus boleh jadi gagah besar. Dia menegur segala kesalahan, dia mengajar segala kebenaran. Kerana para pengikut ajaran beliau kian kembang, maka para tak cerdik pandai seangkatannya menaburkan fitnah ke atasnya. Kenapa? Sebabnya mudah. Socrates menghujah: Perempuan cantik, menggunakan kecantikannya untuk mendapatkan harta, maka dia adalah pelacur.(1) Sama halnya, jika para ilmuan, menjual ilmunya dengan harga mahal sehingga terlalu sedikit dapat manafaat dari ilmu tersebut, maka ilmuan itu juga adalah pelacur. Socrates mengajar sesiapa tanpa upah. Ini tidak digemari ilmuan Yunani pada masa itu. Never goes against the current. Never rock the boat. Apa lagi, bila Alcibiades, anak didiknya, salah seorang panglima perang Yunani mengalami kekahalah teruk dalam peperangan menantang lawannya, maka kekalahan itu difitnah sebagai laknat Tuhan ke atas Yunani dan Socrates yang telah mempengaruhi Alcibiades untuk tidak sujud kepada Tuhan Yunani. Inilah fitnah paling dapat dipercayai oleh para penguasa Yunani. Socrates kemudiannya terpaksa berdepan dengan Dewan Kehakiman yang dia pernah anggotai. Di dalam Dewan itu ada beberapa yang sangat dengkikan Socrates, maka atas jarum fitnah berterusan, lalu Socrates dijatuhi hukuman mati.

(8) Socrates sangat mementingkan nasihat buat anaknya. Dia juga sangat prihatin agar manusia terus berbuat baik. Manusia mesti sering bersyukur. Dia menasihati manusia untuk hidup bersederhana. Sebab-sebabnya? Socrates semasa anak-anaknya, dia sering membantu ibunya sebagai bidan. Dia melihat, mengalami kepayahan hidup ibunya. Dia juga melihat kepayahan ibu-ibu saat bersalin. Dia melihat dan merasakan keperitan ibu-ibu memelihara anak-anak mereka. Maka, sepertinya Muhammad SAW yang melihat ibunya sengsara memelihara dia saat dia yatim, maka dari situlah timbul naluri belas kasih Socrates dan Muhammad SAW kepada sang ibu. Juga, dia adalah seorang miskin. Hodoh pula dari kacamata umum. Dia adalah hamba. Seperti juga Muhammad SAW. Dia juga miskin. Pengembala. Dari hidup sebagai seorang miskin, mereka juga dapat merasakan betapa kebaikan kepada yang susah payah perit, adalah sangat mulia. Mereka merasa, mereka menikmati nikmatnya miskin. Mereka lantas menganjur agar semua mesti berbakti berbuat baik. Socrates hidup di zaman kegemilangan Yunani. Muhammad SAW hidup di zaman kegemilangan Jahilliah. Kedua-dua era sebetulnya dipenuhi dengan pelbagai keonaran. Mereka dapat melihat betapa keonaran itulah yang akan meranapkan, maka mereka mengajurkan hidup sederhana. Tamak haloba dengki khianat penghambaan paksaan sudah menjadi budaya semua penguasa dan para tak bijak pandai. Kaya boleh kaya, Allah tidak pernah melarang pencarian kekayaan, Sulaiman AS contohnya Dia anugerahkan kekayaan berlimpah-limpah, namun biarlah kaya pada jalan benar, biar kaya untuk kebenaran. Di dalam Al Quran, Allah menegur mereka yang berjalan di muka bumi dengan sombong. Muhamad SAW menyaran agar Kaum Muslimin harus berjalan secara lembut serta menundukkan kepala, jangan angkuh. Namun suatu hari, Umar Al Khataab menegur seorang hamba Allah yang berpakaian comot terhangguk-hangguk di Masjid, sebagai mati sebelum mati. Begitu juga Aisah RA menceritakan: Umar, bila berpakaian, banyak tampungan, berjalan dia segak lekas-lekas. Bila bercakap cukup keras, mengerunkan. Bagi Socrates, Kekayaan, membawa kemegahan dan kemalasan. Kemiskinan membawa zuhud juga keganasan. Kedua-duanya tidak baik. Bersederhanalah. Maka sebab itu amalan kebanyakan para Nabi dan Rasul adalah sangat zuhud, bersederhana. Socrates juga sebegitulah amalannya.

(9) Suatu kehebatan Socrates yang sangat saya kagumi adalah sifat sabarkan bininya dia. Bini Socrates sangat garang. Cemburu mungkin. Jika tidak kurang yakin diri. Socrates sering dihina isterinya biar di khalayak ramai. Sering dia disimbah air oleh isterinya di depan khayalak ramai. Namun Socrates tidak pernah marah. Tidak pernah kecewa. Dia sabar tunggul. Kepada Socrates, sifat berang isterinya, adalah gurunya. Socrates, syukurnya terlalu lain, terlalu luhur, suci mendalam. Samalah, Muhammad SAW saat para isterinya melakukan pelbagai perkara yang tidak wajar ke atasnya sebagai Nabi dan Rasul, sifat cemburu perempuan, sifat kurang yakin diri mereka, baginda paling parah, hanya mengasingkan diri selama sebulan dari para isteri baginda. Socrates, sebegitu jugalah dia. Dia hanya diam. Namun dia diam tidak diam, dia diam berfikir. Dia diam untuk berfikir kuat. Dia akhirnya mendapat taufik dan hidayah dari Allah. Kegarangan sifat jelek sang isteri membangkit kekuatan dalaman Socrates. Maka, atas sifat sabarnya pada sifat buruk isterinya, maka dia menjadi seorang yang sangat cekal. Dia tidak pernah pakai sepatu atau apa-apa alas kaki. Kakinya pecah-pecah. Maka dia jadi lali kepada segala kuman. Saat Athen dilanda wabak hebat, Soctares tidak pernah sakit. Dia gagah di dalam. Jiwanya benar-benar keras kental. Saat berperang, dia memakai pakaian biasa biar di dalam salji. Dia tidak takut dingin membunuh salji, kerana itu dia dapat mengalahkan banyak musuhnya. Saat berdepan dengan musuhnya di Dewan Kehakiman dia memilih tidak membela diri. Dia memilih untuk menebar ilmunya. Dia memilih untuk bersyarah tentang Tuhan Yang Satu. Dia tidak gentar mati. Ucapnya: "Aku tidak takut mati di tangan kalian. Allah telah menetapkan sebelum kejadian aku lagi, betapa aku akan mati dari khianat kalian. Kenapa aku harus takut menerima takdir Allah. Manusia yang menggunakan kehidupannya dengan suci bagi berfalsafah (kebenaran) akan mempunyai keyakinan diri ketika dia dijemput oleh kematian. Manusia yang benar-benar mencintai falsafah, pasti akan menjauhkan diri daripada segala kemahuan jasmani dan tetap bertahan serta pantang menyerah. Segala-galanya dilakukan tanpa rasa takut kepada kemiskinan dan kehancruan rumah tanga, seperti yang biasa diinginkan ramai manusia pencinta harta. Mereka juga tidak takut akan kehilangan penghargaan dan nama buruk seperti yang biasa dikejar para pencinta kuasa dan penghargaan. Itulah penyebab para pencinta falsafah lebih mencintai jiwa berbanding mencintai jasmani, hingga mereka mengucap selamat tinggal kepada para pencinta jasmani, serta tidak akan melalui jalan yang sama dengan para pencinta dunia. Ini kerana para pencinta dunia itu tidak tahu ke mana mereka akan pergi. Allah telah menyediakan segalanya untuk menyambut aku. Dan kalian akan musnah di atas kematianku". Athen diserang Sparta pada tahun ke empat selepas kematian Socrates> Sparta menang ke atas Athens selepas dua belas tahun selepas kematiannya.Peperangan lama dengan Sparta, mengakibatkan Athen jadi muflis dan berlaku pemberontakan hebat terutama oleh para murid Socrates. Balas dendam berlaku. Athen bermandi darah dari musuh-musuh Socrates. Bukan sekadar musnah, malah Bahasa Yunani juga telah pupus. Namun, Socrates dia kekal terpahat keagungannya khususnya di Barat kerana dialah pengasas kepada Fasafah Barat. Jika Socrates adalah Luqman Al Haqim, pasti namanya akan terus diingati selama Islam itu terus wujud.

(10) Plato adalah salah seorang murid Socrates yang unggul. Dari Plato, terkarang pelbagai buku berkait dengan Socrates. Socrates buta huruf, sama dengan Muhammad SAW. Dia tidak pandai menulis. Dia hanya bercakap, berpidato. Kerana banyak cakap dari mencari nafkah untuk keluarga, maka dia hidup dalam kemiskinan yang menimbulkan keperitan bagi keluarganya. Pantas isterinya sering berang dan sering menyimbah air padanya di khalayak ramai. Salah mengerti antara tanggungjawab lelaki dan mahunya isteri. Satu demi Allah, satu demi keluarga. Allah dulu? Keluarga dulu? Di persimpangan. Socrates, dia pasti yang mana tujuan hidupnya. Lalu dia memilih hidup dan matinya untuk Allah. Dia menerima hukuman mati dengan meminum racun. Dalam Bahasa Arab, perbuatan ini disebut Laqmaan iaitu meminum dengan cepat.  Socrates Laqmaan Al Hakim adalah Hakim Hitam Hodoh Minum (Racun) mungkin lalu dimudahkan menjadi Luqman Al Haqim. Hanya Allah yang pasti. Namun tidak salah untuk kita mengerti dan mengambil iktibar. Betapa keagungan kekal adalah hasil pengorbanan sangat dashat. Juga bayangkan jika Luqman Al Haqim (dan Muhammad SAW) boleh menulis dan membaca, bagaimana agaknya jadinya kitabulah-kitabulah selanjutnya. Sesungguhnya, hikmah Allah di sebalik segala perlu kita kaji dan mengertikan mendalam agar terus suci kental Iman dan Taqwa kita.

(11) Aristole muridnya Plato, juga seorang ahli pemikir Yunani, adalah guru kepada Alexander the Great. Dari ilmunya Luqman Al Haqim, Plato menghasilkan banyak karangan, lalu diikuti oleh Aristotle. Lewat pendidikan Aristotle Alexander menjadi pemimpin yang hebat dan bertanggungjawap lalu mengembangkan Empayernya ke Asia Minor, Mesir, Sham, Farsi sehingga ke India. Alexander the Great, apakah dia sama dengan Iskandar Zulkarnean. Sepertinya, ilmunya Socrates lewat Plato dan Aristotle, melahirkan Iskandar Zulkarnain yang gagah, berani, berjiwa besar dan mementingkan ilmu. Iskandar mengalak pengkayaan ilmu. Di bawah pemerintahan beliau, Yahudi di Alexandria mendapat taraf sama dengan bangsa Yunani. Cendikiawan Yahudi berkembang biak di Alexandria. Di Alexandaria, terbangun perpustakaan besar, yang mengumpul segala khazanah Yunani (juga Roman). Cuma, saat Roman menyerang Yunani, perpustakaan menjadi sasaran penting untuk melupuskan segala ilmu silam. Begitu juga saat Rom menjadi Roman Catholic dan mulai mengembangkan empayarnya. Perpustakaan di Iskandariah tidak terlepas. Cuma bila kini, Amerika dan sekutu Baratnya meranapkan Timur Tengah dan Afrika, mereka mencuri segala khazanah ini untuk kajian bagi mencari formula segala kekuatan. Jika Socrates adalah Luqman Al Haqim, maka tidak pantas bagi umat Islam membiarkan ilmunya di pesongkan oleh Barat, dan mengambil sikap melupakan dia.

(12) Saya berkira pasti bukanlah suatu kebetulan bila Surah Ar-Rum mendahului Surah Luqman dalam susunan Al Quran. Perkara ini tidak disentuh oleh Sasongko. Muhammad SAW semasa Peperangan Khandak (Parit) punya vision bahawa Baghdad dan Damshek dua kota di bawah jajahan Rom akan dapat dikuasai oleh Islam suatu hari nanti. Vision Muhammad SAW mungkin selama ini kita hanya baca sebagai usaha perluasan Islam serta pembebasan seluruh Tanah Arab, namun saya yakin, ianya pasti punya hikmah yang lebih jauh dari itu. Maka, umat Islam jangan hanya membaca Al Quran sekadar membaca tanpa ada rasa ingin menyelidik khusus bagi membangkitkan kembali kekuatan kita yang kian pudar.

Kuching, Sarawak
28 Jan., 2014

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.