.

3/10/13 LET BROOM THE BR1M....beranikah kita?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - October 08, 2013

Share

& Comment

Kalau tidak silap, ada lebih kurang 4,000,000 penerima BR1M yang terakhir pada tahun ini. Pada nilai RM500.00 seorang, maka jumlah keseluruhan BR1M 2013 adalah sebanyak RM2,000,000,000.00 (dua laksa). Itu hanyalah sekitar 0.008 peratus dari jumlah keseluruhan Peruntukan Belanjawaan 2013. Kacang, sebetulnya. Kulit kacang, mungkin? Namun, pesan Melayu dulu-dulu, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Katakan pada 2014, nilai BR1M dinaikkan menjadi RM750.00, maka jumlah peruntukan diperlukan adalah RM3,000,000,000.00. Bayangkan sehingga 2018, jika BR1M terus meningkat sehingga RM1,500.00 seorang, pasti Negara perlukan RM6,000,000,000.00 untuk membiayainya. Ini dengan anggapan jumlah penerima adalah kekal pada 4,000,000 orang iaitu sekitar 14.2 peratus dari keseluruhan penduduk Negara. Apa kata jika angka penerima juga kian meningkat, ibarat gula, saat banyak berhamburan, pasti jumlah semut yang datang juga akan turut bertambah, lalat pun akan turut 'berkerumunan', cuma bedanya, semut biar berebut bagaimanapun, kita tidak melihat mereka saling bermusuhan, namun BR1M banyak menimbulkan luka-luka gurisan.

(2) RM2,000,000,000.00-RM6,000,000,000.00 setahun sebagai tambahan kepada Peruntukan Pembangunan sediada setiap tahunnya, jika di peruntuk dan di gunakan dengan strategik dan hemah bagi membangun Kelantan, Kedah dan Perlis apa tidak mungkin seluruh kemiskinan tidak terhapus dari tiga Negeri Melayu tersebut dalam tempoh 2013-2018? Secara politik apa tidak mungkin mereka akan terus mendokong Melayu dan Islam jika mereka merdeka dari keperitan hidup? Pada tahun 2010, jumlah penduduk bagi tiga Negeri Top Miskin tersebut adalah 3,720,000 orang. Cuma, kita selama ini, menjadikan tiga negeri tersebut sebagai kubu Melayu untuk terus miskin. Sepertinya, Melayu harus kekal pada jati diri sebagai bangsa yang Harus Miskin demi Negara!

(3) Itu baru BR1M. Cuba semak berapa biaya untuk pemberian NoteBook untuk anak-anak sekolah, Pembelian Buku-buku, Pembelian Handphone, dsb. Juga lihat berapa banyak rangkaian Kampung Tanpa Wire di seluruh Negara. Bukan sekadar itu, kini kian bertambah-tambah kemudahan untuk Rakyat, termasuk yang terakhir saya lihat Tangki Penyaringan Air di kampung-kampung. Hitunglah apa saja dari bantuan Kebajikan sehingga kepada segala bentuk subsidi. Soalnya kenapa semua ini mendadak mencurah-mencurah mendatang? Pernahkah dikaji bagaimana semua kemudahan ini telah digunakan oleh para penerimanya? Sememangnya, RM500.00-RM1,500.00/penerima adalah bermakna bagi sebahagian pihak. Bermaknanya bagaimana? Adakah semua ini kian memakmurkan Rakyat atau kian menjadikan banyak berbondong-bondong menadah tanggan, menyubur jiwa mengharap, meminta-minta?

(4) Semasa kemuncak kempen PRU13, Nik Aziz Nik Mat menegur soal BR1M, saya kira nadanya sebegini: Jangan buat manusia macam binatang, macam ayam-itik, bila hendak panggil, tabur padi. Pemberian BR1M macam itulah ibaratnya.. Hanya kerana ungkapan itu tersembur semasa Kempen PRU13, maka banyaklah fitnah timbul darinya. Cuma saya fikirkan begini:Ayam-itik kalau lapar kita tabur padi atau jagung, pasti padi dan jagung itu akan menjadi daging, maka ayam-itik akan membesar. Maksudnya tumbuh membesar. Tetapi jika manusia lapar, tabur BR1M, bagaimana jadinya?

(5) Buatlah pemerhatian saat pembayaran BR1M dilakukan. Buatlah penyelidikan, ke mana sejurusnya immediately wang itu dibelanjakan? Juga saat Kupon Buku diedarkan, apakah terjadi kepada kupon tersebut, apa yang dibeli dengan kupon tersebut? Lihat keliling kampung, berapa banyak kemudahan Kampung Tanpa Wire masih berjalan baik, juga berapa banyak penggunaan bermaknanya? Sedikit masa dulu, Satelite Telephone, apa sudah jadi? Siasat apa yang para pelajar buat dengan NoteBook mereka? Sesungguhnya jika kita hendak berhujah, sememangnya banyak hujah yang boleh kita kemukakan. Cuma hujah-hujah tersebut apa tidak dipersoal di akhirat kelak?. Benarlah, kenapa harus takut melakukan kesalahan, jika kita insaf, kemudiannnya mohon ampun saja kepada Allah, tidakkah janji Allah akan mengampun segala taubat yang ikhlas dan bersungguh-sungguh? Jika itu benar, dan saya tidak mempersoal hak Allah, cuma biarlah dalam diri kita ada sekelumit kesangsian, apakah Allah berwenang memaafkan keslahan kita saat terlalu banyak kesan buruk yang terbit akibat perbuatan kita? Apakah Muhammad SAW serta para Khulafah Arasyidin berwenang membelanjakan Dana Baitul Mal, biarpun Syurga telah menjadi hak mereka? Dulu disebut Baitul Mal, kini boleh kita samakan dengan Wang Negara dan atau Jabatan.

(6) Masalah pokok yang kita sedang hadapi, saya menjangka sekitar 30-40 peratus dari rakyat di Negara ini masih belum mampu untuk memenuhi Keperluan Asas Tambahan mereka. Ini termasuklah keperluan-keperluan asas yang lebih selesa dan atau berkualiti dan mengembangkan taraf hidup mereka. Juga, mungkin 2-5 peratus pula masih belum mampu memenuhi Keperluan Asas Pokok khususnya dalam soal kepemilikan perumahan (termasuk segala 'utilities'), pengangkutan, pendidikan dan kesihatan. Masalah ini pula berpunca kepada peningkatan sara hidup yang tidak selari dengan kenaikan pendapatan dan atau mutu perkerjaan. Melihat kepada nisbah kependudukan Negara di mana sekitar 65 perastus adalah pribumi, saya mengira 70-80 dari mereka masih terjebak dalam keadaan ketidak cukupan. Khususnya di kalangan orang Melayu, di mana gejala ketempangan akidah dan sosial yang kian meningkat, saya menduga, mereka sudah benar-benar berada dalam kedudukan seperti telur di hujung tanduk. Kita sebetulnya sedang menghadapi masalah Agihan Ekonomi. Itulah masalah pokok yang sedang dihadapi oleh Rakyat.  Masalah Agihan Ekonomi harus dilihat dari segi Agihan Pendapatan yang mana harus mencakupi segala faktur langsung dan tidak langsung yang menyumbang ke arah kepincangan agihan pendapatan.

(7) Untuk melihat masalah Agihan Ekonomi ini, saya berkira tidak perlu pergi terlalu jauh. Selidiki secara Professional and Independent  kenapa jumlah hutang PTPN menjadi begitu banyak tidak dilunasi ie RM24,000,000,000.00 (?) dan ini sekitar 60 peratus adalah di dalam genggaman kaum pribumi?

(8) Yang kita hambat hebat adalah Pertumbuhan sedang yang kian kita lupakan adalah Agihan. Agihan pula kian kita lihat sebagai subsidi hamburan pemberian bermusim. Kerana politik, kita sebetulnya lebih gemar meminggirkan dan mengasingkan dari bergerak sebagai sebuah Negara Bersatu yang menghambat kematangan menjadi sebuah Negara Demokrasi jika tidak Negara Islam. Contohnya, hanya kerana lima tahun sudah Kedah ditadbir PAS, maka pembangunan di Kedah dipinggirkan. Akhirnya kini, bila UMNO kembali menguasai Kedah, maka 'penyakit' yang tertinggal di Kedah menuntut perbelanjaan yang jauh lebih besar untuk mengubatnya. Bayangkan bagaimana besar dan dalamnya agaknya kerosakan sedang berlaku di Kelantan (95 peratus Melayu) yang sudah diperintah PAS sejak lebih 20 tahun dahulu? Untuk memulihkan Kelantan, pasti jumlah yang sangat besar diperlukan. Kerosakan di Kelantan, sebetulnya sudah memakan korban menjalar jauh keluar dari Kelantan itu sendiri. Saya yakin, masalah Kelantan sudah menjalar sehingga ke Sabah-Sarawak dan bahkan ke Pattani, Champa dan Arakan Rohingya. Peminggiran Kelantan serta mana-mana kawasan pemerintahan pembangkang, akhirnya kian menjadi beban seperti mendukung biawak hidup di pundak Negara.

(9) Soal saya, prilaku kesalahan seperti ini, apakah akan berwenang Allah memaafkan kita jikapun kita telah bertaubat Nasrulhak? Punya cukup waktu dan upayakah kita untuk memperbaikinya selepas bertaubat? Juga jika tidak termaafkan, apakah kita mahu terus berlebih sepertinya alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!. Sesungguhnya, kekalutan yang sedang kita hadapi adalah akibat Politik Kapitalis yang menjadi anutan melampaui Syahaddah kepada Allah yang kian menjadi darah daging kita. Inilah asas masalah kita: Penguasa serakah berjiwa Politik Kapitalis; sedang Rakyat terbelit sembelit dalam masalah Agihan Ekonomi. Kita kian tidak arif tentang lafas Syahadah kepada Allah!.

Kuching, Sarawak
7 Okt., 2013


#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.