.

8/8/13 ANAK-ANAK MERDEKA....mimpi setan apa ini?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - August 21, 2013

Share

& Comment

Abah ada sawah. Di depan rumah. Tak jauh. Boleh nampak dari pintu depan. Enam relong. "Berapa luas tu?" tanya Bang Long, anak lelaki sulong.  "Sekitar empat ekar" jawab Emak sebelum sempat Abah membalas. "Berapa banyak itu?" tanya Kak Lang, anak nombor dua dengan berkedut dahinya tanda tak tahu apa-apa. "Sekitar 1.75 hektar" jawab Abah. Tetap Kak Lang tak tahu apa-apa. Hektar ke, ekar ke, relong ke, dia tetap tak tahu apa-apa. Tetapi, sifatnya dia suka menyoal. "Tanah Abah ke?" tanya Ateh, abang lelaki di atas aku. Aku, semua orang panggil Anggah, sebab aku anak ke empat, dudok kira-kira di tengah-tengah. Bukan betul-betul di tengah-tengah, kira-kira saja di tengah-tengah. Kak Ngah, itulah aku. "Tiga relong tanah pusaka, arwah abah mak, atuk engkau. Tiga relong lagi Abah beli. Engkau orang ada enam adik beradik, esok boleh dapat satu relong seorang bila kami sudah pergi." ujar Emak lanjut. Acik dan Usu hanya leka bermain-main dengan kucing yang beranak enam, namun tertangkap di telinga Acik, perkataan pergi. "Mak dan Abah hendak pergi ke mana?" tanya Acik selamba. "Mak dan Abah hendak ke langit" senda Abah. "Naik Apollo Usu ye bah" sampuk adik sambil mengunjuk Apollo mainannya. Semua kemudian berderai. Acik dan Usu hanya menyeringai.

(2) Itulah vision mudah Emak dan Abah. Dapat ramai anak, lebih satu dari saran Dr. Mahathir. Ikut Sunnah. Besarkan anak-anak. Ikut adat. Kerja kuat, cari dan tinggalkan harta buat kami bila mereka sudah tidak ada nanti. Murni. Ikhlas. Adil. Mudah.

(3) Setiap pagi, Emak bangun awal buatkan sarapan. Abah, pimpin kami ke telaga untuk mandi. Walaupun sejuk gila, Abah paksa mandi juga. Kata Abah "Kalau takut mandi pagi, takut sejuk, nanti bila sudah besar jadi malas". Acik dan Usu tidak terkecuali. Biar dengan bertangisan Abah seret mereka pergi juga ke telaga. Nampak Abahy tidak ada belas kasihan pada Acik dan Usu. Namun itu cara Abah. Emak tidak berani masuk campur, paling-paling membujuk tambah menyuruh gelis, menyat lekas-lekas sebelum Abah naik minyak. Bila mendidik Abah sememangnya kasar. Katanya, kerbau boleh dicucuk hidung. Manusia bila sudah dewasa pasti keras. Susah diajar. Maka kena asah semasa masih rebvung, macam buluh. Bila hendak mandi, aku selalu gurau dengan Bang Long dan Kak Lang. Kami berkejaran dan main siram-siraman supaya hilang sejuk. Ateh, kira anak Abah. Dia tukang bawa baldi sabun dan tuala Abah.  Emak kekadang berdiri di depan pintu, ketawa sambil tersenggeh-senggeh melihat telatah kami riuh sekampung.

(4) Lepas sarapan, Bang Long, Kak Lang dan Ateh pergi ke sekolah naik basikal. Bang Long kayuh, Kak Lang bonceng di belakang, Ateh duduk di'handle' depan. Basikal tinggi macam unta. Terkial-kial juga Bang Long. Nasib baik kaki dia panjang, tidaklah susah sangat. Kekadang bila beg buku Bang Long dan Kak Lang penuh, dari jauh telatah mereka sebiji macam unta di padang pasir. Cuma, mereka berkayuh di batas sawah tanah berpasir. Kalau hujan lebat, batas jadi becak, basikal pulak 'naik' mereka. Kadang-kadang aku berlari-lari menolong mereka tolak basikal. Aku, baru berumur lima tahun. Belum bersekolah lagi. Duduk di rumah, tolong Emak jaga Acik dan Usu yang kekadang nakal macam kucing. Sebelah petang, selepas Assar, kami berenam akan ke surau belajar mengaji. Lepas mengaji, kami main-main di batas sawah. Aku suka kutip bunga. Tidak kira bunga apa, seduduk, kecubung, tasbih, apa saja asal punya tangkai panjang akan aku petik. Letak dalam botol bekas kicap lalu susun berderet atas setiap anak tangga. Kiri kanan anak tangga. Cantik. Emak suka bila tengok aku hias tangga macam itu. Abah, dia selalu hanya geleng-geleng kepala. Entah suka, entah tidak, aku tak tahu. Dia tak pernah cakap. Kak Lang suka tangkap sesibu. Dia tambat ekor sesibu dengan benang lalu diterbangkan jadi layang-layang. Abah selalu tegur Kak Lang, dia kata berdosa siksa sesibu. Kak Lang selalu tak hirau. Dia seronok bila sesibu putus ekor dan terbang macam lipas kudung. Bang Long, Acik dan Usu suka tangkap ikan laga. Otak mereka otak 'business'. Ikan laga yang besar dan cantik mereka jual sepuloh sen seekor kepada kawan-kawan. Ateh suka jerat burung wak-wak. Dia selalu kurung burung wak-wak dalam reban ayam. Hujung minggu dia suruh Abah sembelih dan kami makan ramai-ramai. Sedap. Lebih sedap dari puyuh. Ranggup. Manis. Seakan-akan rasa burung dara. Buat gulai lemak lagi sedap. Emak suka masak gulai lemak wak-wak kalau Ateh dapat tangkap banyak. Aku suka Emak buat gulai lemak pedas. Acik dan Usu tak boleh makan, jadi kami dapat makan lebih. Tapi Abah selalu kunyah dan hisap wak-wak supaya hilang rasa pedas dan bagi pada Acik dan Usu. Emak sering usap kepala Acik dan Usu bila berebut wak-wak hisapan Abah. Rasanya itulah tumpah kasihnya Abah dan Emak pada kami.

(5) Abah saban hari pergi sawah. Kalau tak mencabut rumput, dia goyang-goyang pepatung buat memburu burung, Burung pipit selalu curi makan padi. Kalau tidak dijaga, tinggal hampaslah padi kena sedut hari-hari oleh burung pipit. Sambil itu, dia jugak bagi makan tiga ekor lembu di kandang berhampiran. Lembu Abah gemuk-gemuk. Gemuk lebih gemuk dari anak-anak yang sering ditunjuk dalam TV yang suka makan KFC. Sengaja dia buat kandang lembu di tepi sawah. Katanya, selain dari mudah hendak angkut rumput, juga kencing dan najis lembu terus dapat jadi baja. Dia biasa buat sebuah petak sawah dari baja najis dan kencing lembu. Dia dapat akal itu selepas tengok padi organik dari dokumentari pasawah Jepun. Nasi dari padi organik lebih lembut dan enak. Kami simpan padi jenis ini untuk makan sendiri dan yang lain Abah jual ke kilang berdekatan. Dua tahun sekali, Abah akan jual lembu, dan kamipun dapat beli banyak barang baru. Tahun depan, Abah janji nak beli basikal untuk Kak Lang dan aku. Aku akan ke sekolah pada tahun depan. Harap lembu Abah terus gemuk dan sihat supaya harganya mahal. Lebih mahal dari budak gemuk makan KFC. Acik dan Usupun hendak basikal juga. Basikal mainan buat keliling laman kejar ayam dan itik. Bang Long dan Ateh tidak minta apa-apa. Tahun depan giliran Kak Lang, aku dan adik-adik untuk dapat barang baru. Abah dan Omak pandai atur giliran belian barang baru untuk kami.

(6) Abah selalu balik dari sawah agak petang. Sudah hampir Maghrib baru dia balik. Dia kena tunggu semua burung pipit balik tidur dulu baru dia balik. Lagipun dia juga kena ambil banyak rumput buat makanan lembu di sebelah petang. Bila Abah pulang kamipun sama-sama dia berkeriuhan mandi petang di telaga di sebelah rumah. Hari-hari sebegitulah kerja dan kehidupan Abah. Emak pula, hari-hari sibuk jaga kami dan mengurus rumah serta ayam itik dan laman. Dia tidak pernah memngeloh kesah. Penat tak penat, hari-hari begitulah semuanya. Bang Long, Kak Lang dan Ateh, sesekali abah bawak pergi ke sawah. Tahun ini Abah hendak buat sebuah kolam ikan di petak tengah sawah. Katanya hendak bela ikan keli. Mereka bantu Abah gali kolam. Aku, Acik dan Usu ikut sibuk sama. Kami semua suka berkubang mengantikan kerbau di sawah. Abah dan Emak bukan main seronok lihat kami bermandi lumpur. Tidak perlu perdi ke Spa mandi lumpur, cuma, di Spa lepas mandi lulur lumpur kulit badan jadi licin, tetapi kulit kami jadi hitam dan mengerutu. Kasihan juga dengan guru-guru kelas Bang Long, Kak Lang dan Ateh dengan bau hanyir mereka bila ke sekolah lepas berkubang khususnya di hujung minggu. Sememangnya, orang Kampung, kalau putih bersih itu tandanya Pondan. Jadi anak Kampung, begitulah nostalgiannya hidup kami.

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.