.

3/7/13 APAKAH NAJIB TERUS MAHU POPULAR....?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 08, 2013

Share

& Comment

Alhamdullilah, Rabu, 10 Julai, Umat Islam akan mulai menjalani Ibadah Puasa. Maka banyak yang akan mengucapkan Selamat Berpuasa. Ya benar. Berpuasa, bermaksud menjalani ibadah puasa. Apa itu ibadah puasa, seluruhnya maksud dan intipati ibadah puasa, ikutilah tulisan dan atau ceramah yang sudah meluas mengenainya. Saya cuma ingin menegur janganlah terlalu ikut-ikutan mengirim salam Selamat Puasa iaitu tanpa penambah kata ber. Kalau sapaan sebegitu, maksudnya, yang selamat adalah Puasa, belum tentu manusianya. Biarpun niatnya adalah mendoakan kesejahteraan ke atas yang berpuasa, namun biar niat sekalipun, biarlah ianya sejelas ungkapan. Puasa itu adalah milik Allah, ianya pasti telah selamat. Yang dikehendaki oleh puasa adalah keselamatan ke atas manusia.

(2) Selamat menjalani ibadah puasa dan semoga di sepanjang tempoh berpuasa kita akan dilimpahi dengan segala taufik dan hidayah Allah untuk kita melangkah di perjalanan selanjutnya dengan penuh keberakatan.

(3) Berkeliling di Kuching, kira-kira dua minggu sudah, iaitu di waktu Nisfu Syaaban sekalipun, para pedagang sudah mulai memaparkan Iklan Jualan Khas Sempena Aidil Fitri. Berpuasanya belum, namun asakan agar berbelanja lebih terus menghantu. Inilah sikap kapitalis. Tiada satu iklanpun mengucapkan Selamat Berpuasa, sedang Jualan Istimewa Sempena Aidil Fitri sudah berkibar luas. Begitu juga beberapa gedung jualan istimewa sudah berebut-rebut untuk segera dibuka. Dunia kapitalis, sebegitulah segalanya, dunia adalah hambatan hebat semua. Mungkin inilah waktu wajar agar di setiap Masjid dan Surau diperingatkan sejelas dan setegasnya agar Umat Islam berhati-hati dalam berbelanja. Jelaskan secara terang maksud riak, haloba, dan takbur. Perdalamkan maksud syukur, sabar, zuhud, dan redha.

(4) Kalau di Dewan Kuliah Ekonomi atau Pengurusan Perniagaan juga mungkin di kelas-kelas Social Welfare di Negara Barat, khususnya di Amerika Syarikat pasti Lebaran 2013 ini menjadi suatu tajuk perbincangan akademik yang sangat baik. Pasti para pemikir ekonomi, perniagaan, kebajikan dan bahkan keselamatan Tempatan, Negeri dan atau Persekutuan akan cuba menduga kesan dari Aidil Fitri 2013. Amalan di Malaysia, yang gemar mengikut cara Barat, khususnya di zaman Abdullah Ahmad Badhwi, terutama lewat perubahan tarikh menerima gaji dari 30 atau 31 haribulan, lalu dianjak ke 25 hari bulan, di mana jika banyak masih ingat Khairy Jamaluddinpun pernah mengusulkan agar gaji dibayar seminggu sekali atas tujuan untuk mengatasi Cash Flow rakyat, kesan Aidil Fitri 2013 pasti boleh diteliti secara emperikal akan kesannya kepada sosio-ekonomi rakyat. Tiori anjakan gaji dari hujung bulan kepada 25 hb setiap bulan, sudahkah benar-benar menepati tujuannya, khususnya dalam membantu mengatasi masalah Aliran Tunai Rakyat? Sesungguhnya, soal Aliran Tunai tidak tergantung kepada soal tarikh pembayaran gaji, ianya lebih kepada Nilai Pendapatan Bersih atau Take Home Salary seseorang, khasnya rakyat kebanyakan. Soal adanya banyak tanggungan yang perlu dilangsaikan pada 1 haribulan setiap bulan, itu saya kira dalam banyak perkara punya julat tempoh dibenarkan. Juga kini sudah ada kemudahan Auto Debit, jadi ianya bukan menjadi suatu soal pokok lagi. Maka isu gaji awal, sebetulnya lebih kepada disception toward the real problem, tetapi masalah sebenar tetap terus berkekalan

(5) Di hari Lebaran, kaum belia kitalah yang paling ceria. Sesungguhnya, kaum belia kita perlu ada sikap yang jauh lebih tegas dalam hidup mereka. Mereka harus punya sikap tegas dalam memertabatkan Melayu dan Islam. Itu adalah perjuangan lebih besar dan menguntungkan. Itu sepatutnya perjuangan Khairy Jamalludin dalam memimpin belia Negara khususnya anak-anak muda Melayu. Mereka bukan setakat cergas, tetapi mereka mesti tegas berwawasan jauh ke depan. Melayu dan Islam harus menjadi matlamat hidup mereka. Biar Negara kita adalah Negara majmuk, namun itu tidak harus menjadikan kita berkedudukan serba salah dalam cara kita menentukan arah masa depan bangsa, khususnya Melayu. Kita jangan sekali-kali menuruti perangkap Christo-Judaism yang berselindung di balik Kapitalisma dan Demokrasi-Liberal. Cara Muhammad SAW dan para sahabah besar selepasnya adalah amat jelas tentang cara mereka. Jika itu jadi pilihan kita, maka akan menjadi besarlah bangsa Melayu. Jika lain dari itu, pesan Allah adalah amat jelas: Jangan setelah disuluh, memilih pula jalan gelap, pasti kesasar akhirnya.


(6) InsyaAllah Aidil Fitri tahun ini akan diraikan pada 8/9 Ogos, 2013 iaitu selepas 13/14 hari dari pembayaran gaji bagi bulan Julai, 2013. Saya rasa. mengikut dasar Perkhidmatan Awam, maka gaji bulan Ogos akan dipercepatkan, setidak-tidaknya pada 5 Ogos, 2013. Sememangnya Umat Islam, khususnya Melayu sangat mengharap pembayaran gaji bagi bulan Ogos dipercepatkan agar Aidil Fitri mereka lebih cerah. Namun, jika dilihat, gaji selanjutnya adalah pada 25 Septembar, 2013 iaitu sekitar 50 hari kemudian dari pembayaran gaji awal Ogos, 2013. Maka, pasti akan berlaku kemarau panjang bagi mereka yang paling bercahaya Aidil Fitri mereka pada 2013 ini, khusus bagi yang berpendapatan rendah. Cuti Aidil Fitri biasanya disambung dengan cuti panjang persekolahan. Pastinya simpanan khusus bagi golongan berpendapatan rendah akan terbelanja hebat. Berapa peratuskah golongan berpendapatan rendah ie mereka yang mendapat gaji RM1,500.00/bulan ke bawah di Negara ini? Di Kuala Lumpur mungkin mereka yang mendapat RM2,500.00/bulan masih berada dalam golongan berpendapatan rendah. Pasti sekitar 70-75 peratus dari rakyat di Negara ini masih tergolong dalam kelompok berpendapatan rendah dan itu saya agak melibatkan tidak kurang dari 3,500,000-4,000,000 keluarga. Bayangkan kesannnya.

(7) Sememangnya, perniagaan pada Julai-Ogos akan melonjak tinggi jika Kerajaan memutuskan untuk membayar gaji bulan Ogos awal. Begitu juga Aidil Fitri pasti meriah benar. Cuma, selepas 10 Ogos sehingga 25-30 Septembar, 2013 bagaimana agaknya keadaan segala. Pertama perniagaan runcit dan perkhidmatan, rasa-rasanya menjunam turun. Kedua, soal kredit dan Along, saya rasa mungkin akan melonjak. Kerana kekeringan akibat 50 hari ketandusan aliran tunai maka penggunaan Kad Kredit akan melonjak. Begitu juga mungkinnya bagi yang tidak mampu serta tidak punya kad kredit, maka Kad Kredit Along pasti sangat mengiurkan. Amat mendukacitakan sebetulnya, jika Kerajaan mengambil perhatian berat akan gejala along ini pasti akan memeranjatkan bagaimana mendalamnya kegiatan mereka. Bagi pekerja boroh, bahkan di kalangan mereka bergaji kecil, dan paling bahaya bila Along sudah menular hebat di kalangan anggota Keselamatan Awam, Along adalah kekasih dekat mereka. Saya berkira, perhatian berat akan prihal ini bersifat tengelam timbul. Banyak pihak tidak ingin terlbat dalam pembasmian Along mungkin atas kepentingan tertentu. Saya tidak yakin Along tidak dapat dibasmi, soalnya tepuk dada tanya selera, mahu atau tidak. Di saat kegiembiraan menjelang tiba Pak Along sering terbayang-bayang. Melayu harus benci kepada sifat berhutang. Jika dulu, P Ramlee akan sering menggunakan watak ceti sebagai modal sendanya, kini belum ada siapa cuba mengenengahkan kerakusan along. Sesungguhnya, minat Melayu kepada P Ramlee hanyalah pada watak tampaknya, tidak pada sindirannya.

(8) Saya menjangka jika Kerajaan silap dasar pembayaran gajinya pada Julai-Septembar ini, pasti masalah jenayah akan meningkat di bulan Oktober dan mungkin berlanjutan di bulan Novembar nanti. Saya menjangka pukulan silap cara dan jumlah bayaran gaji bagi Ogos-Septembar pasti akan berkelanjutan sehingga Decembar 2013 bila mana selepas itu tertunda dengan cuti panjang sekolah serta kemasukan baru ke sekolah-sekolah. Saya berkira, para penjawat Awam khususnya dari Umat Islam, janganlah memaksa Kerajaan untuk mempercepatkan pembayaran gaji bagi bulan Ogos. Berayalah seadanya. Raya tidak hanya sekali. Hidup rukun damai tanpa hutang adalah lebih berkat. Kenapa harus beraya berhabisan sedang kesan buruknya akan meresahkan.

(9) Saya menjangka kedapatan 1,420,000 orang Pejawat Awam Persekutuan, dan jika Penjawat Awam Negeri, Badan berkanun serta sebilangan GLC diambil kira, pasti tidak kurang dari 2,500,000 juta Penjawat Awam akan terkesan dengan Dasar Gaji Kerajaan. Nilai bulanannya saya kira pasti tidak kurtang dari RM5,000,000,000.00-7,000,000,000.00/bulan. Ini bukanlah suatu nilai yang kecil, hampir sama dengan Peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi tempoh Pembangunan Lima Tahun Sarawak. Malaysia amat terkenal dengan Nibah Penjawat Awam: Rakyat yang sangat tinggi. Ini mengambarkan betapa kita sudah terlalu bersifat Welfare State dengan Kerajaan sepertinya tidak cekap dalam mengaruh agar pengujudan kerja harus dipikul oleh pihak swasta. Mungkinn inilah apa yang seharusnnya difikir hebat oleh Wahid Omar khusus dalam menyusun semula corak pengurusan ekonomi Negara agar ianya lebih kendiri serta tidak membebankan orang awam.

(10) Kerajaan sebetulnya punya tiga pilihan dalam soal memenuhi keingianan rakyat menjelang Aidil Fitri 2013 ini, iaitu dengan tidak membayar atau mendahulukan sepenuhnya atau membayar setengah bulan gaji sahaja. Atau pilihan lain Kerajaan hanya membayar Setengah Tahun Bonus. Jika pilihan  bonus yang Kerajaan adakan, maka apakah maksud sebenar Bonus? Apakah patut Bonus dibayar sebelum penilaian penuh daya pengeluaran dan kecekapan Perkhidmatan Awam dinilai secara sempurna. Apapun pilihan Kerajaan, saya berharap janganlah berbuat sesuatu sekadar untuk mengambil hati, berselindung atas simpati sedang hakikatnya racun sedang kita hulurkan. Menarik untuk melihat apakah Najib di pasca PRU13 akan terus mengambil sikap popular atau berani demi masa depan Melayu?

Kuching, Sarawak
8 Julai, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.