.

5/5/13 NAJIB, BEBASKAN MELAYU DARI DEBU-DEBU KOTA.....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - May 07, 2013

Share

& Comment

Seperti yang saya duga, Kelantan pasti menjadi terlalu sukar untuk ditawan UMNO bila Pilihanraya diadakan dalam keadaan 'cuti panjang', khusus yang membolehkan anak-anak Kelantan yang bekerja di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapore pulang. Dalam PRU13, Trengganu hampir-hampir tersembam. Kedah biar dapat ditawan semula, masih ada sifat memberontak di kalangan sebahagian nyatanya. Sememangnya banyak puncanya. Namun biar saya secara uletnya terus berhujah atas sebab mudahnya, dan biarlah saya ulangi sekali lagi agar Kerajaan, khususnya Najib lewat AkuJanji BN PRU13, dapat meneliti dengan hati dan fikiran terbuka dan melihat perkara ini sebagai suatu yang akan kian menjadikan masalah jangka panjang bagi Umat Melayu khususnya dan seluruh Umat Malaysia amnya kemudiannya. Penyelesaian jangka panjang harus kita fikir dan gerakkan sekarang.

(2) Dalam tulisan ini, biarlah saya gunakan dulu prihal anak Kelantan sebagai asas untuk kejelasan dan memudahkan pemahaman. Saya yakin prihal Kelantan, adalah model bagi mewakili yang lain yang bersamaan terutamanya bagi Trengganu, Kedah, Pahang, Perlis, Perak, Sarawak dan Sabah.

(3) Banyak anak-anak Kelantan berada di luar Kelantan, adalah atas sebab faktur-faktur ekonomi dan sosial. Dasar Pembangunan Negara atas perhitungan politik jumud kedaerahan telah menyebabkan kepada keterlantaran ekonomi dan sosial khususnya di Kelantan. Juga perhitungan secara kapitalis yang terlalu melihat ROI sebagai asas pertimbangan pelaburan juga menjadi dalang peminggiran berterusan. Pembangunan di Kelantan sengaja dipinggirkan. Akibatnya negeri tersebut terus dihimpit kemiskinan. Biar Kelantan dan rakyatnya dalam kemiskinan, ianya telah menyuntik semangat tinggi anak-anak Kelantan dalam menghambat kecapaian keIlmuan. Dalam masa yang sama, ianya juga telah menyemat rasa terkhianat di dalam hati nurani mereka. Di mana juga di pusat-pusat pengajian tinggi atau teknikal di negara ini, berlambak anak-anak Kelantan. Malangnya, sejak sekian lama Kelantan tidak dapat menyediakan pekerjaan yang mencukupi bagi menampung keperluan mereka selaras dengan taraf pendidikan dan kemahiran yang ada pada mereka. Mereka terpaksa berselebaran di serata negara. Yang sekadar dapat menjadi guru, banyak dihantar ke segala pelusuk pedalaman Sarawak dan Sabah yang sangat asing serta meresahkan buat mereka. Pun begitu, bagi anak-anak Kelantan, yang agak rendah taraf pendidikan dan kemahiran mereka, yang atas sifat mereka yang suka berdagang, mereka memilih Lembah Kelang, Johor Baharu dan Pulau Pinang serta bandar-bandar besar lain di Selangor dan Wilayah Persekutuan sebagai sumber rezeki mereka. Mereka sangat banyak terlibat dalam perniagaan F&B serta di pasar-pasar borong dan malam di mana-mana juga. Mereka bertarung hidup di perantauan. Pertarungan yang sangat memerit dan menyakitkan. Perit dan sakitnya hidup sebegitulah yang menanam bibit-bibit kecewa tidak berkesudahan mereka kepada Kerajaan Pimpinan Melayu yang mereka harapkan. Apa lagi saat mereka sering terpampar di msegala bentuk media dengan kemewahan pemimipin Melayu sedang mereka kelaparan dan dahaga tidak berkesudahan.

(4) Istimewanya sifat-sifat anak-anak Kelantan, mereka sangat terikat dengan naluri mahu diri dan keluarga mereka dekat kepada Allah. Inilah pegangan hidup, atas rasa ingin menebus kekecewaan mereka hidup melarat di perantauan. Dalam istilah saikologi Barat, ianya boleh dilihat sebagai jalan pelarian, namun budaya didikan Melayu-Islam, menemukan mereka ke jalan sabar. Bagi mereka, di negeri luar suasana kerohanian sangat mencacai dan mereka tersangat ingin untuk kembali ke kampung halaman khusus bila sudah agak berumur atau sudah berumahtangga. Mereka sangat ingin hidup dalam suasana kemasyarakatan yang saling peduli dari terus hanyut dalam sikap individualistik kota. Biar apapun kedudukan sosio-ekonomi mereka, mereka tetap akan membangun atau mahu memiliki rumah sendiri di Kelantan. Sebabnya adalah mudah, mereka ingin untuk lebih dekat kepada suasana yang memberansangkan dalam pembinaan kerohanian yang tinggi. Maka, jika kita selidiki secara mendalam, pasti akan kita temui betapa suasana kejiranan di Lembah Kelang, Johor Baharu, dan Pulau Pinang adalah sangat tidak sesuai dengan keperluan untuk hidup di hari-hari tua. Atas sebab itu, kebanyakan anak-anak Kelantan khususnya bagi golongan berpendapatan menengah rendah dan rendah, mereka lebih suka menyewa rumah kediaman dari membeli untuk terus menetap di luar Kelantan. Lagi pula, jika mereka hendak membeli rumah-rumah di luar Kelantan, harga rumah juga amat menekan. Akibatnya mereka memilih untuk hidup menyewa di kawasan-kawasan murah dan tidak selesa. Pastinya keadaan ini sangat menekan jiwa mereka dan terus wujud rasa memberontak kepada mereka. Buat banyak dari mereka, ini Tanah Melayu, tetapi Melayu terus menumpang. Saya yakin inilah perkara yang sering kita terlepas pandang saat kita ghairah mencacak menghambat pertumbuhan  ekonomi model kapitalis.

(4) Pokonya, sejak BN memerintah, khususnya di pertengahan 1980an, kita sepertinya telah terlepas pandang untuk menyediakan suasana kejiranan yang boleh memupuk dan memperkukuhkan akidah dan jati diri budaya Melayu. Kesan sosial akibat ledakan penghijrahan penduduk desa ke kota, tidak kita peduli hebat. Kita tidak mengkaji secara mendalam tentang keperluan pembangunan perumahan dan kejiranan yang baik untuk khususnya rakyat kebanyakan. Kita sangat selesa untuk membiarkan pihak swasta untuk memikul beban membina perumahan murah sedang dasar dan perlaksanaan di pihak Kerajaan sangat tidak bergerak selari dengan keperluan semasa. Dari sudut fizikal, Model Ekonomi Kapitalis sememangnya telah meletakkan kita jauh ke depan. Namun dari segi kecapaian kerohanian, kita semakin mengundur. Lihat AngkaTunjuk Jenayah, Perceraian Muda, Kelahiran Luar Nikah, Keterlanjuran Remaja, keMurtadan, Penagihan Dadah, dsb di kalangan anak-anak muda Melayu adalah sangat mengemparkan. Akibatnya, akhirnya kita tidakpun ke mana-mana. A zero sum game.

(5) Saya amat mendokong AkuJanji BN PRU13 yang dipelopori oleh Najib di mana mahu diwujudkan 3,000,000 peluang pekerjaan baru serta membina 1,000,000 rumah mampu milik lewat PR1M. Maka selaras dengan AkuJanji BN PRU13, kita perlu perhatikan benar-benar akan perkara ini, khususnya tentang objektif PR1M yang tidak hanya untuk menyediakan perumahan mampu milik tetapi harus lebih menjurus kepada Pembangunan Kejiranan Sejahtera. Asas kekuatan Melayu tidak hanya terletak pada kecapaian fizikal namun kerohanian kita mesti terus disuburkan. PR1M harus berkembang menjadi suatu Konsep dan Falsafah Perumahan dan Kejiranan yang menyuburkan kehidupan bernegara dan bertemaddun. PR1M perlu wujud sebagai satu suasana kejiranan selaras dengan keperluan budaya Melayu-Islam dan atau Malaysia Majmuk Bersatu. Ianya perlu dirancang dan dibangunkan sebagai sebuah Kampung yang menyediakan segala keperluan sosial dan kerohanian secara setempat atau paling tidak interconnected. PR1M harus dijadikan alatan utama dalam membina kehidupan Kota yang selesa, sejahtera, memberansangkan. PR1M tidak harus hanya dilihat dari sudut kapitalis. Kerajaan mesti turun tangan dalam menjadikan PR1M benar-benar sebuah Kampung Kejiranan Sejahtera bagi kehidupan Kota dan Pinggir Kota. Kerjasam erat antara Kerajaan dan badan koprat besar boleh menjayakan agenda ini.

(6) Dalam masa yang sama juga Kerajaan harus sedar akan adanya generasi peralihan yang terdiri dari golongan muda yang baru mahu memulakan hidup. Mereka ini samaada berbentuk perseorangan atau pasangan muda yang baru hendak membina hidup. Mereka boleh terdiri dari golongan berpendidikan tinggi, rendah atau keciciran. Makanya, kemampuan mereka untuk memiliki rumah adalah sangat mencabar dan banyaknya payah. Setidak-tidaknya mereka memerlukan antara 10-15 tahun baru dapat sedikit bernafas untuk memiliki rumah sendiri secara kekal. Maka, saya berkira, di setiap bandar dan kawasan pekerjaan utama di negara ini, haruslah Kerajaan menyediakan rumah-rumah untuk sewaan. Ianya boleh menjadi sebahagian dari PR1M. Kerajaan mesti berkorban untuk menyediakan perumahan bagi mobile generation  ini khusus di Lembah Klang, Johor Baharu (apa  lagi di Iskandar), Pulau Pinang dan bandar-bandar besar lain di seluruh negara. Rumah-rumah ini hanya untuk sewaan dan tidak boleh dijual untuk milik kekal. Ataupun, mana-mana unit yang terjual, harus diganti dengan unit-unit baru untuk sewaan. Sesungguhnya, kita perlu menyediakan mobile facilities agar masyarakat kita akan menjadi lebih bebas bergerak selaras dengan perubahan suasana ekonomi negara dan setempat serta kemahiran mereka. Inilah contoh apa yang saya lihat di Amerika Syarikat. Di tengah kota dan pinggir kota banyak dibangun Rental Appartment khusus bagi menampung keperluan mobile population. Di hari bekerja, banyak dari rakyatnya tinggal di kota-kota di rented appartment, sedang di hujung minggu mereka punya rumah kekal di luar kota. Rumah-rumah di luar kota ini sepertinya telah mereka khususkan untuk liburan di hujung minggu atau cuti perayaan serta persiapan di hari tua. Mereka mempunyai kediaman di luar kota yang jauh dari kerusuhan kota. Akibatnya juga, Amerika mempunyai tenaga kerja yang sangat mobile lantaran mereka tidak terikat untuk diam kekal di mana-mana saat mereka masih bekerja.

(7) Sememangnya sistem perumahan seperti di Amerika Syarikat masih jauh dari kecapaiannya di Malaysia. Mereka hanya memenukan konsep perumahan dan kejiranan sebegitu setelah melalui beberapa siri revolusi yang adanya sangat berdarah ngeri. Kita tidak perlu menanti sampai ke saat sebegitu. Allah menjadikan kesilapan di tempat lain sebagai pengajaran dan iktibar kita, jika kita berfikir berkerja tulus. Sesungguhnya, sebegitulah naluri masa depan warga negara ini, khususnya bagi masyarakat Melayu. Bagi American Old Folks mereka memilih kawasan luar bandar untuk menghabiskan sisa umur secara tenang dan mengembirakan. Rakyat Kelantan khususnya, dan saya yakin Melayu yang asalnya dari desa, pasti ingin menetap di desa-desa untuk menyiapkan diri secara sempurna ke alam Jannah. Di kota, bagi golongan berumur, rasanya lebih menyuburkan kehidupan ke alam Neraka Jahaman. Saya yakin masyarakat bukan Islam juga berkehendakan suasana sebegitu, maka dengan sebab itu mereka bekerja setengah mati mencari harta di saat muda agar bila tua mereka ingin tinggal di Perth atau New Zealand untuk mengecapi suasana kehidupan yang menyuburkan.

(8) Ringkasnya, jika BN ingin memenangi PRU14 secara mudah dan tanpa lambakan wang untuk meraih simpati rakyat, khususnya di Kelantan, maka pertamanya kehidupan masyarakat pekerja menengah dan rendah di Lembah Kelang, Johor Baharu, Pulau Pinang dan bandar-bandar besar lain di seluruh negara mesti dirombak dan susun semula. Gerakkan Tabung Haji, Sime Darby, Tabung Angkatan Tentera, dsb untuk bekerjasama penuh dengan MayBank, CIMB, Bank Islam, dll ke arah ini. Saya yakin lain-lain badan koprat akan mahu ikut sama, cuma soalnya adalah perumusan package yang menguntungkan semua. Saya melihat, pembangunan Kejiranan Sejahtera adalah sumber pertumbuhan baru negara untuk 5-15 tahun mendatang. Pastinya, keduannya, Najib harus berani untuk menjadi pemimpin Melayu Tertinggi Nasional yang tidak menzalimi meminggirkan bangsa seagama sendiri biar siapapun mereka. Pembangunan di wilayah Kelantan-Trengganu, Kedah-Perlis, Perak-Prai hendaklah diperhatikan bersungguh-sungguh. Inilah wilayah-wilayah yang saya lihat sebagai kawasan Melayu tertekan dan badan-badan koprat kita harus digerakkan bagi memberikan perhatian ke wilayah-wilayah ini. Pertumbuhan Ekonomi Teragih Growth with Distribution adalah ibarat high water raises all boats. InsyaAllah.

(9) Najib harus dapat membaca, betapa sokongan kuat Melayu kepada UMNO dalam PRU13 adalah sebagai amaran betapa Kerbau dipegang tali, manusia dipegang janji. Jangan sampai siapapun biar Najib biar siapa dalam UMNO berfikir, sokongan padu Melayu adalah sabagai tanda taat setia mereka. Mereka sedang memberikan Najib peluang dan harus kepercayaan itu jangan bertukar jadi ludah sarapah, air mata, darah dan nanah nantinya. Najib harus ingat, dia menyembah merayu Melayu lalu Melayu dengan rasa tidak sampai hati mendokong UMNO, Janganlah Najib selepas ini bersandiwara wayang Ibarat Sedang Memburu Cinta, Hujan Turun Di Tengahari, Habis Manis Sepah DiCampakkan.. Kita mesti berkeringat lebat bersama berfikir, bekerja demi Allah untuk semua UmatNya. Mudah-mudahan. InsyaAllah.

Kuching, Sarawak
7 Mei, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

balqiswilson said...

Assalamualaikum.

Terlebih dahulu ucapan tahniah kepada BN kerana berjaya membentuk kerajaan baru diperingkat Persekutuan dengan majoriti kerusi 133lewat 3.30am,6.5.13. Di Sarawak paparan berita 10.30pm 5.5.13,ucapan Pehin Tan Sri Taib Mahmud berkata, rakyat masih memberi sokongan padu kepada BN,jelas usaha gigih PM yang sentiasa mendapat tempat dihati rakyat Sarawak ternyata berbaloi.
Begitu juga di Semenanjung, kemenangan beberapa buah negeri eg Pahang,Johor dll membuktikan rakyat masih bergantung harap kepada BN.

Tidak lupa juga tahniah kepada East Coast(Kelantan),Tn.Guru Nik Aziz kerana berjaya mempertahankan kedudukan PAS diPRU13.Beliau mendapat sokongan jitu dari seluruh rakyat Kelantan luar dan dalam negeri di PRU13 juga di PRU beberapa penggal yang lepas. Sesungguhnya adunan dan ikatan kasih sayang Tn.Guru begitu mekar dan utuh.Walaupun dalam usia 81, kita berharap Tn.Guru akan dapat memakmurkan Kelantan yang dicintai.

Saya juga agak terharu dengan kenyataan Datuk Ali Rustam melalui NST May6.pg 27,I do not understand.
I have helped many people in the state in many ways and... I did not expect the people of Bukit Katil to abandon me when I needed them the most. Menang kalah adat pertandingan,jangan berputus asa, masih ada PRU14,InsyAllah..rezki Allah ada dimana-mana..

Syukur juga tidak banyak bantahan sewaktu kempen dan hari pembuangan undi.Sikit-sikit tu adatlah.Lautan mana tidak bergelombang,bumi mana tidak ditimpa hujan.Cuaca agak sedikit kurang baik pada hari pengundian.Agak mendung sekaligus mengurangkan bahang kepanasan PRU. Ada seketika gerimis membasahi bumi
seolah mengerti kesedihan dihati..

Apapun segalanya telah selesai.
Kini pembentukan kerajaan baru demokrasi berparlimen bermula.PRU adalah mekanisma yang memelihara pemerintahan demokrasi negara.ia adalah saluran/suara hati rakyat kepada kepimpinan sebelumnya,selepas dengan harapan bakal pemimpin baru juga berhati dan berjiwa rakyat.

Manurut Tun Dr Mahathir,demokrasi hidup subur dinegara ini kerana setiap orang layak/bebas bertanding tanpa mengira fahaman politik.Rakyat diberi hak sepenuh dalam memilih wakil dan kerajaan. Malangnya ada sesetengah berkata Tun merosakkan demokrasi.Tidakkah itu kata-kata kurang sopan.. Sebarang kenyataan harus berhati-hati.Terlebih dulu menyemak di teks
/media social yang lain,jangan kita tidak tahu sejarah negara sepertimana luahan Saudara ABC, Bila Kita Buta Sejarah.Media social
adalah laman bebas tentang kritikan
juga luahan hati namun ia tidaklah berbaur fitnah,mengaibkan sesiapa, apalagi mencetuskan sentimen perkauman.

Saya tertarik untuk menyingkap secara ringkas peranan Tun Mahathir dalam pembangunan.Ini bukan debat sekadar berkongsi pembacaan yang masih samar tentang jasa pemimpin kita yang perlu dihargai.
Tun adalah PM ke4,gelaran Bapa Malaysia Moden.Perubahan dalam pentadbiran politik negara berubah.
Melalui kepimpinannya,peningkatan taraf kecekapan BCA atau Kepimpinan
melalui tauladan.Beliau mengalihkan
pandangan rakyat melalui Dasar Pandang ke Timur eg Jepun dan Korea.Ekonomi pertanian diubah kepada ekonomi indutry.Itu adalah sebahagian sumbangan beliau.

Lihat,kini apakah pula sumbangan kita kepada negara?Sebagai rakyat Malaysia yg hidup berlandaskan 5prinsip Rukun Negara..jangan ada diantara kita yg masih belum tahu apakah 5prinsip itu.. Sebagai muslim sejati yg beragama Islam kita juga diberi garis panduan dari Allahswt.Pengakuan muslim adalah lafaz kepada 5 Rukun Islam..
Mari kita bermuhasabah diri dengan melihat kekurangan dan cuba memperbaikinya.

Masa dan ketentuan Allah akan tiba.
Sebagai Islam hendaklah sentiasa berdoa agar Allah melindungi semua.
Mudah-mudahan kita berada dilandasan sebenar dikehidupan dunia dan akhirat.
Semuga dgn pembentukan kerajaan baru ini negara akan lebih mahu seiring wawasan Tun 2020.Rakyat hidup bersatu padu,pemimpin di hargai,tetap dihati rakyat dan setiap pembangunan dinikmati bersama,sesuai dgn luahan hati PM NST,may 7,I will serve as prime minister for all Malaysians.

Rujukan-pol.arkib negara,free web sejarah kita,New Straits Times.
Tq,wassalam..

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.