.

3/5/13 MM = 4MM, LET THE KING SPEAK!.

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - May 02, 2013

Share

& Comment

Saya menerima sebuah SMS dari seorang teman dari Kota Bharu. Dia sebetulnya bekerja di Melaka, dan subuh semalam dia pulang ke KB bersama-sama abang dan ibunya. Tujuannya adalah untuk mengundi. Dia bertanya, apakah saya akan mengundi Biru atau Hijau. Sememangnya kebetulan, bendera dan kain rentang Biru dan Hijau sedang menghias indah jalan di Kampung saya. Juga dia agak merungut, melihat keadaan prasarana di KB yang serba kekurangan dan semakin teruk. Dia memutus untuk mengikut gelombang biru. Cuma, seperti selalunya, bila mengundi adalah di hujung minggu, dan apa lagi kemungkinan Isninnya akan diistihar cuti umum, biar siapapun menang,  maka berduyun-duyun anak Kelantan dari perantauan akan pulang. Inilah gerombolan apa yang rakyat tempatan sebutkan sebagai Pengundi Luar. Saya pernah bertanya akan para ustazah yang mengajar di tiga buah sekolah di sekeliling Kampung saya, apa mereka akan pulang semasa mengundi nanti, jawaban mereka adalah pasti dan pernyataan tegas mereka adalah, mereka sayangkan Islam dan Melayu. Adakah itu bermaksud Biru atau Hijau sukar diduga kerana ianya adalah hujah berlapik.

(2) Namun sering saya perhatikan, bila hari pengundian adalah pada cuti panjang, pasti ratusan bas, deretan gerabak keretapi, ratusan teksi, ribuan kereta sendiri, puluhan penerbangan dan bahkan motosikal akan berduyun-duyun balik ke KB. Biasanya, jika ini terjadi, Hijau sentiasa lekat di hati Pengundi Luar ini. Itulah juga kekhuathiran sahabat saya tadi. Dia pasti, saat Pengundi Luar balik, Hijau adalah terlalu dekat kepada mereka. Kenapa? Sebetulnya, seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan-tulisan lalu, anak-anak Kelantan yang terpaksa berhijrah berkerja di negeri lain, kehidupan mereka sangat payah. Mereka hidup dalam keadaan agak terdesak dan payah. Biar mereka adalah pedagang sederhana apa lagi kecil-kecilan. Juga pegawai pertengahan dan rendah kerajaan. Lebih parah jika mereka hanyalah sekadar pekerja rendah dan sederhana swasta. Kehidupan mereka di rumah-rumah sewa adalah amat tidak selesa dan amat jauh dari rhetoric Negera makmur. Perhatikan keadaan mereka di Kampung Baru, Gombak, Pandan, Selayang, Cheras, Nilai, bahkan di Pasir Gudang, dan Pulau Pinang. Dulu-dulu saat saya sering melawat teman-teman dari Kelantan di Kuala Lumpur, sering mereka berkata Negara Makmur Taik Kucing! Begitulah mereka jika mereka terlalu sakit hati. Cerita-cerita nyata ini akan mengisi bual  mereka di wakaf-wakaf di kampung-kampung. Sahabat handai, teman taulan, saudara mara, semua berkumpul sambil makan colek akan mengikut percaya. Mereka Pengundi Luar inilah yang akan Neutralise Kempen Gelombang Biru biarpun mungkin mereka tidak mengundi sekalipun. Annuar Musa dalam PRU12 dulu berkira kembalinya Pengundi Luar ini akan menumbangkan PAS, malah sebaliknya meranapkan sokongan kepada UMNO.

(3) Namun apapun, Melayu Kelantan dan Kedah harus bijak. Saya sangat berharap Melayu dari dua negeri ini akan menjadi pelopor kepada penyatuan sebenar Melayu. Saya amat gembira, bila mengikuti kempen di dua negeri ini, kedua-dua Mustapha Mohammed dan Mukriz Mahathir, MM tidak bersikap keterlaluan. Tatasusila Melayu mereka jaga baik. Buat saya untuk menjadi pemimpin Melayu tulen, sikap ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya; serta rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk; juga biarlah diam-diam ubi, tetapi berisi. Saya hendak ucapkan syabas kepada kedua-dua MM ini. Setakat ini saya tidak mendengar biar dari Anwar Ibrahim atau Karpal Sighn dan Lim Kit Siang perkara karut marut mengenai keduanya. Begitu juga biar dari Mat Sabu sekalipun. Itu adalah petanda baik buat kedua-dua MM ini.

(4) Dari mula saya bersekolah di kedua-dua negeri ini di dalam tahun 1970an, belum banyak perubahan sosio-ekonomi masyarakat tempatan. Bila saya katakan sosio-ekonomi, tekanan saya adalah kemerdekaan dan kedaulatan ekonomi, bukan sekadar elok prasarananya. Di Kedah, sememangnya, Mahathir telah mengadakan banyak perubahan, namun perubahan itu belum terjun ke pertiok nasi rakyat Melayunya. Banyak perubahan baru menjengah di depan pintu belum benar-benar bertandang ke dalam rumah lagi. Di Kelantan, ibarat kata orang Sarawak Jauh Pak Awi atau tak dok gapo satu lagi kata orang Kelantan. Kedah dan Kelantan memiliki keistimewaan-keistimewaan yang sangat baik untuk menjulang Melayu kekecapaian tinggi. Islam menjadi teras kehidupan keduannya. Melayu adalah majoriti nyata di sini. Biar bukan Melayu sekalipun, inilah dua negeri yang betul-betul telah dapat mengasimilasi agar mereka patuh kepada budaya Melayu. Masyarakat Cina dan India di Kelantan dan Kedah, mereka fasih berbahasa Melayu dalam loghat Kedah dan Kelantan. Bahkan ada yang hebat sehingga boleh menjadi Tok Dalang, Tukang Karut. Sangat jarang sekali ini boleh kedapatan di negeri-negeri lain. Apa lagi inilah dua negeri yang menjadi hamba menanggung miskin agar Negara tidak lapar. Keduanya telah terlalu lama membakar diri untuk menerangi orang lain, sedang diri sendiri hanyut dalam kemiskinan. Inilah nasib Melayu jelapang padi. Pemberontakan Politik Kedah dan Kelantan, saya berkira kerana mereka puas menangis atas tawa hilai orang lain. Keadaan ini harus dirobah. Kedua-dua MM saya kira telah Allah adakan untuk memberi kesempatan kepada Melayu Kedah dan Kelantan menjadi Melayu Merdeka Berdaulat, Melayu Maju Makmur.

(5) Tiori awal saya ke arah Melayu Kedah-Kelantan Merdeka Berdaulat adalah mudah. UMNO dan PAS kena membentuk Kerajaan Campuran di peringkat Negeri. Di peringkat Persekutuan, BN harus menang. Di Negeri, biarlah tubuhkan Kerajaan Campuran. Ini tidak susah. Pertama, kedua-dua Sultan dari kedua Negeri ini harus turun tangan, mencemar duli. Rakyat harus dibimbing payungkan. Kedua-dua DYMM dan Timbalan DYMM harus memainkan peranan untuk kali ini berusaha keras untuk menyatukan Melayu. PAS dan UMNO di Kedah dan Kelantan perlu dititah perintah untuk bersatu. Lihat siapa akan derhaka kepada Raja, jika ada yang mangkir? Keduanya, pada 5 Mei nanti, rakyat Kedah dan Kelantan, pilihlah yang terbaik antara semua calun-calun. Tidak kira UMNO atau PAS, jika mereka elok, berkebolehan, maka pilihlah mereka. Tidak perlu siapa menang besar. Kalau boleh 50:50 lagi baik. Mudah menyatukan mereka mengunakan kuasa Sultan dan DYMM. Ketiganya, Melayu Kedah dan Kelantan harus tegas. Mereka mesti berbuat sesuatu di luar kebiasaan demi Islam, demi Melayu. Tidak perlu mereka terikut-ikut sentimen luaran biar dari UMNO, PAS, atau PKR. Mereka harus tegas berdiri pada landasan mempelopori Melayu Merdeka Bardaulat agar menjadi Melayu Maju Makmur.

(6) Sesungguhnya di Kedah, InsyaAllah jika Mukriz dapat jadi MB, dia pasti dapat menyatukan kuasa yang ada pada Tan Sri Mokhtar Boustead, Tun Daim Zainuddin, Datuk Berke Sime Darby, serta Datuk Mokzani Mahathir, dsb untuk membangunkan Kedah secara koprat. Bahkan Tabung Haji juga boleh digembelingkan bersama untuk membangun Kedah sebagai Pusat Industri Makanan Negara yang memakmurkan Melayu Kedah. Dalam masa yang sama, Islam harus diterap secara sepatutnya di Kedah. Tan Sri Mokthar lewat Yayasan Al Bukhari, saya kira sudah mengorak langkah ke arah ini, dan ini boleh terus dikembangkan luas menyeluruh. Buat saya, Kedah adalah pelopor kepada pembangunan Umat Melayu di Utara meliputi Yala (Siam), Perlis, Seberang Prai, dan Utara Perak. UMNO dan PAS harus boleh melihat peranan mereka seperti ini. Saya yakin, dan merasakan perlu bagi DYMM Sultan Abdul Halim Muazam Shah, sebagai Yang DiPertuan Agung dan Sultan untuk turun bertitah memerintah ke arah ini. Usah ditakut soal Raja mencemar duli, kerana jika itu perlu, maka payunglah Melayu. Melayu Makmur, Raja Berdaulat!

(7) Di Kelantan, keadaannya tidak juga sukar. Kempen di Kelantan janganlah sampai hendak menganyang sesiapa. Kerana, jika begitu, kita akan bersikap melintang patah, membujur lalu; alang-alang menyeluk pekasam, biar berulat ke pangkal lengan busuk memuntahkan seluruh badan akhirnya semua rembah punahKedua-dua Mustapha Mohammed dan tengku Rezaleigh harus bekerjasama untuk sekadar menang. Menang bersama rakan-rakan UMNO dan PAS yang boleh bekerjasama. Biar PAS atau UMNO, keduannya tidak perelu menang besar. Pilih yang terbaik berkeupayaan antara yang bertanding. Bekerjalah dari awal untuk membentuk Kerajaan Campuran. Ini tidak susah bagi rakyat Kelantan. Timbalan DYMM adalah sangat dihormati oleh Nik Aziz dan sebaliknya. Begitu juga, Nik Aziz ada hormat kepada Mustapha Mohammed dan Tenhku Rezaleigh. Maka, apa lagi halangannya? Saya berkira, Sultan Kelantan hanya perlu bertitah. Bertitah agar mereka membentuk Kerajaan Negeri Campuran dan bekerja keras membangunkan Ekonomi dan Syariat Islam. Itu saja. UMNO ada kepakaran dan keupayaan dalam bidang Ekonomi, sedang PAS ada kemahuan dalam bidang Syariat. Bersamalah. Namun di Peringkat Persekutuan, biarlah BN terus berkuasa dalam keadaan sedikit selesa. Saya yakin jika ini dapat dilakukan, soal Wang Minyak, soal jalan, soal pekerjaan temnpatan, soal air, InsyaAllah mudah untuk diselesaikan. Sesungguhnnya makmurnya Melayu Kelantan, maka akan turut makmurlah Melayu Narathiwat, Pattani (Siam), Perak, Pahang dan Trengganu.

(8) Sesungguhnya, adanya Mustapha Mohammed, Mukriz Mahathir MM di dua Negeri Melayu Majoriti tetapi telah terlalu lama menjadi Melayu Miskin adalah pemula jalan yang saya kira Allah bentangkan agar kita memulakan langkah Menyatukan Melayu, Menyemarakkan Melayu, Memerdeka Mendaulatkan Melayu. SubhannaAllah, Kedah dan Kelantan dua Negeri Melayu yang kini menerajui Memerintah Malaysia apa tidak terfikir oleh kita, betapa sesungguhnya Allah siap memberikan kita kuasa untuk bangkit Merdeka Berdaulat sebetul-betulnya. Para laksawan, billionaires Melayu, Mustapha Mohammed, Mukriz Mahathir dengan payung DYMM (Kedah) dan Timbalan DYMM (Kelantan) inilah masanya untuk kita Menyatu, Memeperkasa, Memerdeka, Mendaulatkan Melayu. 4MM. SubhannaAllah. Wal Asri. Wajar kali ini Melayu tunduk kepada daulat Raja-raja Melayu untuk Melayu?

Kuching, Sarawak
2 Mei, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.