.

12/5/13 ANAK KAMPUNG.....tuhan dan hantu?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - May 23, 2013

Share

& Comment

Tiga bersaudara. Umur mereka sekitar sembilan tahun. Itulah budak-budak Kampung. Budak-budak, ah, istilah ini terlalu memperlekehkan mereka. Dengan mengelar mereka sebagai budak-budak sepertinya mereka terlalu kerdil dari segi jalan fikir dan kedudukan sosial mereka. Itu tidak benar. Ada budak yang fikirannya jauh lebih hebat dari biar yang paling dewasa. Cuba lihat, Belalang dalam Nujum Pak Belalang. Biar hanya seorangb budak tetapi tetap dia mampu mencari nafkah buat bapanya. Juga Hang Nadim dalam lagenda Singapura Dilanggar Todak. Biar seumuran setahun jagung dia mampu menyelamatkan rakyat Melayu dari kedunguan Raja dan para pembesarnya. Kerana istilah budak-budak membawa bayangan kurang baik, baiklah, kita jangan gunakan-istilah tersebut ke atas merekla beriga ini. Kita ganti dengan, anak-anak. Ada rasa kasih saat istilah itu kita gunakan. Ya, anak-anak. Anak-anak Kampung. Tapi istilah Kampung, juga kurang enak disebut dan didengar. Ah, pedulikan. Itu hakikat. Kampung adalah Kampung. Mana mungkin jadi vila atau kejiranan. Biar tidak enak didengar apa lagi disebut, tetapi, mereka telah memilih itulah jati diri mereka. Mereka lahir di Kampung. Ibu-bapa mereka orang Kampung. Bersekolah di Sekolah Kampung. Mereka menghirup udara Kampung. Mereka diterangi matahari dan rembulan Kampung. Mereka anak-anak Kampung, kerana mereka ada Kampung. Kehidupan mereka adalah Kampung. Paling tidak, mereka ada Kampung sedang, ya kamu, yang terniat memperlekehkan mereka, di mana Kampung kamu. Jangan mereka diperlekeh macam ulat dalam kepompong.

(2) Tiga anak-anak Kampung.  Dua lelaki, seorang perempuan. Guntur dan Ramlee adalah dua anak lelaki tersebut. Dari segi sifat dan laku keduanya sangat berbeda. Guntur, sifatnya lincah, tangkas, cerdas. Ramlee, lembut, lambat, gagap. Ramlee sebetulnya adalah bapa saudara kepada Guntur. Bapa Guntur adalah anak buah bapanya Ramlee. Mereka adalah bersaudara. Namun kerana usia, yang sebetulnya, Guntur berusia dua bulan lebih dari Ramlee, maka di antara mereka tiada gelaran pangkat digunakan. Ramlee hanya di gelar Lee. Ramlee akur digelar Lee. Sifat tutur katanya sama dengan Towkey Lee seorang pedagang Cina yang berkedai runcit di hujung Kampung. Towkey Lee, bila dia bercakap Melayu, pelatnya seperti orang gagap. Mungkin juga kudratnya nanti siapa tahu, Ramlee akan mengantikan Towkey Lee sebagai peruncit handalan di Kampungnya nanti. Sedang Guntur digelar Gan. Guntur tidak mahu namanya disebut sebagai Gun. Sebabnya, bunyi Gan lebih keras dan gagah dari bunyi sebutan Gun dalam bahasa Kampung. Sepertinya, Guntur lebih enak dengan gelaran yang agak keras serasi dengan wataknya. Gan sama bunyinya dengan gun dalam bahasa Inggeris. Mungkin jiwa Gan sudah ada tumbuh bintik-bintik Cow Boy maka sebab itu sebutan gan lebih dia gemari dari gun. Cuma, bila mahu cari gaduh, cuba sebut tur padanya. Pasti dia akan meledak menyinsing lengan. Pantang baginya, namanya hanya di sebut sebagai Tur. Terkadang Lee sengaja mencari bala dengan menyebut nama Guntur sebagai tur. Pasti lunyai Lee dibelasah kuat oleh Gan. Tur buat Guntur samalah lentar lentur macam cacing kepanasan, tanda manusia lembik. Bila berbalah, Gan sering merujuk Lee sebagai tur atas sifatnya yang melentar lentur lembik, lemah, lambat. "Apa tur-tur. Lentar lentur cacing lembik" seringnya Gan melenting saat dia dipanggil Tur oleh Lee. "Kamulah tur. Gentar gentur. Guntur. Tukang marah" balas Lee saat sebuah peninju Guntur singgah di pipinya. Anak-anak sebegitulah mereka. Semakin banyak mereka berkelahi semakin seperti kuku dengan isilah mereka. Inilah satu kehebatan Kampung, berkelahi untuk bersahabat. Tidak di Kota atau di mana-mana. Paling-paling jika sudah terlalu melarat, akan ada peringatan: "Kalau kamu gaduh dengan aku, nanti aku tidak mahu berkawan lagi dengan kamu". Saat itu sudah terungkap, segalanya terlerai dan mereka saling berganding tangan semula, tertawa, bersenda penuh ceria. Itulah senjata ugut yang Ramlee sering gunakan ke atas Guntur saat dia sudah terbelasah teruk.

(3) Di Kota apa mungkin sebegitu? Tidak mungkin. Yang mungkin, jika budak-budak Kota berkelahi, pasti ibu-bapa akan campurtangan. Guru pasti dipersalah kerana lalai tidak mengawasi budak-budak. Polis juga jadi ribut. Akhirnya, guru bermasam muka dengan ibu-bapa. Di antara Ibu-bapa berselisih muka. Maka, jangan anak Kampung dilihat sebagai budak kerana mereka jauh lebih dewasa dari budak Kota. Anak-anak Kampung, mereka saling menjaga sesama. Budak-budak Kota mereka terus mahu di jaga biar oleh ibu-bapa, guru juga polis. Sesungguhnya, kehebatan MahaBesar Kampung adalah cepat mendewasakan anak-anak. Mereka merdeka. Mereka berdaulat. Alam bebas bersama mereka dan sebaliknya. Namun, janganlah ini pula mahu disamakan dengan Kampung Kerinchi, Jalan Pantai Baru atau Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di sana budak-budak sudah pada parah. Banyak budak-budak di sana sudah jadi budak tahi dadah dan sampah.

(4) Hamidah adalah anak perempuan di kalangan mereka bertiga. Dia comel. Rambutnya kerinting. Badannya kecil molek. Hitam manis. Bukan kerana dia hitam, tetapi dia sering bertelanjang bila mandi di sungai bersama Gan dan Lee. Tubuhnya puas dijilat matahari, samalah dengan Gan dan Lee. Mereka sangat gemar bermandian di sungai. Mereka berenang, berkecuburan di kolam binaan Tuhan. Buaya ke? Ikan lepuk berbisa ke? Ular ke? Kaca ke? Tunggul kayu ke? Semuanya mereka tidak pernah hiraukan. Tidak pernah terdetik akan bahaya dalam hidup mereka. Selagi matahari belum tidur, sepanjang hari adalah keriangan buat mereka. Ya semua itu menjadikan anak Kampung benar-benar liat dan lasak. Hamidah, singkatnya mulanya dia dipanggil Midah, dan akhir-akhir ini sering digelar Midot. Tabiat Midot, seperti pasang surut. Ada ketika riang, ada ketika monyong suram menyendiri. Namun dia baik hati. Lembut hati sebetulnya. Bila makan tidak pernah makan sendiri. Pasti Guntur dan Ramlee kebahagian sama biar hanya sekeping gula-gula, pasti digigit dibahagi sama. Namun ada satu muslihat pada Hamidah, dia berbuat sebegitu agar Guntur dan Ramlee terus memberi perhatian kepadanya. Inilah naluri perempuan saat anak-anak sudah subur sifat sebegitu: mahu perhatian. Namun Guntur dan Ramlee, peduli mereka tidak pernah. Lantarn itu, maka Hamidah sering berangin. Kerana sifat keberanginnya Midah, maka dengan sebab itulah Gan memberikannya gelaran Midot. Alasan Gan adalah agar bunyinya agak anih dan unik tetapi istimewa. Dalam kepala Gan, dia hendak mengabungkan semua nama mereka bertiga sepertinya Do Re Mi dalam filem Bujang Lapuk lakunan P Ramlee, Sudin dan Aziz Satar. Jika digabung Lee + Gan + Midot, maka jadilah Lee Gan Midot lalu disingkat menjadi Ligan Midot. Sebegitulah selalunya gelagat Gan dan Lee. Mereka suka menyakat mengusik Midot. Bila Midot, marah-marah mereka akan berkejaran berliganan berkeliling. Mereka sering berkejaran berliganan dengan Midot keliling tiang elektrik di pinggir jalan, pokok buah-buahan terutama kelapa, pisang, beringin dan nangka, pelataran rumah, dan di mana-mana saja. Saat siapa bersorak ligan Midot maka riuh rendahlah mereka berkejaran berkeliling. Namun hakikat sebenar kenapa Gan memberikan Hamidah gelaran Midot ada dua, pertama kerana sifat suka beranginnya dia maka midot itu sama dengan madot. Madot adalah sebutan Kampung bagi sifat seseorang yang suka suram dan menyendiri. Madot, monyong, mendut, mengkeret maksudknya dalam bahasa Jawa. Dalam bahasa Melayu baku, ianya bermaksud merajuk, mengundur diri sendiri sendiri. Keduanya, Gan juga sangat simpati dengan gagapnya Lee. Bila nama penuh Hamidah digunakan, pasti Lee terketar-ketar gagap untuk menyebut "Hahahaha...mmmmiiiimiii....DAH". Macam orang sedang bersin gayanya. Atau saat ternganga, kemasukan langau. Apa lagi kalau Midah. Jadinya "Miiiimiiii....DAH!" Seperti baru habis makan mee saja bunyinya. Apa lagi saat mereka bertiga sering berbelanja jajan di warung Sekolah. Silap-silap, bila mengarah Midot untuk membeli ais krim, mee pula yang dapat. Maka Midot terlebih pantas digunakan. Lee tidak punya kepayahan untuk menyebut Midot setepat dan sepantasnya. Matanya tidak perlu terkebil-kebil saat menyebut Midot. Tangannya juga tidak perlu terketar-ketar macam orang hendak melepas sembelit. Dahinya juga tidak berpeluh. Gan, akalnya luas saat ingin membantu menyelesaikan apa saja, khusus dalam soal Midot dan Lee ini, biar agak anih gayanya.

(4) Midot adalah juga emak saudara kepada Gan. Dia adalah sepupu kepada Lee. Umur Midot sebulan lebih muda dari Gan dan sebulan lebih tua dari Lee. Bapa Midot adalah abang kepada ibu Lee. Sedang Gan adalah anak saudara sulong kepada bapa Lee dan ibu Midot. Berpusing-pusing sepertinya. Ya kehidupan Melayu Kampung sememangnya sebegitulah. Kiri saudara. Kanan saudara. Depan saudara. Belakang saudara. Pusing sana, pusing sini semua saudara. Hidup Melayu Kampung penuh pusang pusing ; Pi Mai Pi Mai Dok Tang Tu Juga. Sebab itulah, rambut Melayu tulin berkerinting, bila dara remaja menjadi ikal mayang. Otak mereka dok asing berpusing. Namun hidungnya tetap seperti seludang kelapa, kalau tidak seperti katak puru bertenggek di punggong kerbau. Dahinya pula luas seperti KLIA jika tidak KLCCT. Sebab itu perempuan Melayu bijak-bijak. Bijak memasak. Bijak menjahit. Bijak mengurus rumahtangga. Bijak membujuk dengan madot. Terkadang terlebih bijak berceloteh dan bergunjingan bisik membisik mengumpat. Bibir mereka bagai seulas pinang, leher sejinjng zirafah, dada bidang luas berisi. Semua itu adalah tabii pendorong sahwat sehingga perempuan Melayu sepertinya kilang pengeluran anak, sebagai menunaikan sunnah Muhammad SAW. Midot, Lee dan Gan, mereka adalah pada darjat Makcik, Pakcik dan Anak Buah. Ini adalah satu lagi hebatnya Kampung. Rata-rata bersaudara. Biar saudadara sedarah. Juga saudara kerana perkahwinan. Juga mereka sering bersuadara kerana sama-sama susah, sama-sama payah, sama-sama setaraf sebangsa seagama. Maka bagi yang sudah buta budaya, Kampung bukan semata-mata sebuah tempat. Kampung adalah kehidupan. Seluruh sistem kehidupan masyarakat Melayu. Tetapi jika banyak Melayu sudah lupa akan prihal ini, biarkanlah kerana sememangnya banyak Melayu sudah tidak Melayu apa lagi sudah terlalu banyak Melayu sudah malu jadi Melayu dan tidak kurang Melayu yang sudah khianat kepada Melayu. Inilah mereka yang sepertinya kacang tidak berkulit sama jenis dengan kacang gajus. Biji di luar, isi terasing.


(5) Istimewanya tiga anak-anak ini,  mereka gemar mencari akal. Setiap pulang dari sekolah, mereka akan singgah dulu beristirehat di bawah sepohon beringin yang tumbuh tidak jauh dari simpang jalan ke Kampung mereka. Kebetulan, pohon beringin ini sangat redang sekali. Banir-banirnya sangat besar dan sangat sesuai untuik main sembunyi-sembunyi. Mereka menyandarkan basikal masing-masing di banir-banir tersebut. Usia beringin ini, kata bapa Guntur, sudah sama dengan usia moyangnya iaitu datuk kepada Hamidah dan Ramlee. Di situ, biasanya mereka akan bersoal tentang pelajaran yang baru mereka dapati dari sekolah tadi khusus bila timbul kesulitan untuk memahaminya. Tadi dalam pendidikan Islam, ustazah ada bercakap pasal Tuhan. Katanya "Tuhan itu paling berkuasa. Dia boleh berbuat apa saja yang Dia mahu. Kamu semua, Tuhan yang buat. Tuhan juga adalah paling baik. Dia tidak pernah berbuat jahat. Dia sangat sayang kepada apa sekalipun. Semua makanan yang kamu dapat, Tuhan yang berikan". Saat di dalam kelas, mereka hanya dia mendengar. Namun dalam benak mereka, penuh tanda soal. "Macamana semua Tuhan buat? Tidak pernah nampakpun Tuhan buat kerja? Di mana Tuhan? Siapa Tuhan? Kami, aku, Lee dan Midot ada bapa dan emak. Kami anak emak dan bapa. Bila pula Tuhan beranak kami? Setiap hari, kami beli makanan di Warung. Masakan Makcik warung itu adalah Tuhan? Juga setiap hari bapa yang cari makanan dan emak yang masak. Bila pula Tuhan itu datang berikan makanan?. Betul ke Ustazah itu? Atau mungkin dia demam panas, cakap benda-benda tidak betul?" begitulah ligatnya kepala Guntur mempersoal pelajaran Islamnya di kelas tadi.

(6) "Engaku faham tak pasal Tuhan yang ustazah cakap di kelas tadi?" soal Guntur kepada Ramlee. Dalam soal Islam, Ramlee lebih hebat. Bapanya mengajar mengaji di Kampung. Guntur dan Hamidah turut belajar mengaji dari bapanya Ramlee. "Bapak aku pernah cakap. Tuhan itu duduk atas langit. Dia boleh datang macam angin. Kita tidak boleh nampak Dia. Tetapi Dia selalu ada dekat orang baik-baik. Dia tidak berkawan dengan orang jahat. Dia suka jaga orang baik-baik" jelas Ramlee antara gagap dan gugup. Hamidah dan Guntur sesekali tersenyum sesama sendiri saat melihat kepayahan Ramlee dalam menjelaskan pendapatnya. "Emak juga ada kata begitu. Jadi kalau kita mahu Tuhan jaga kita, kita tidak boleh buat jahat. Kalau kita jahat, Tuhan tidak mahu bersama kita. Sebab itu hantu datang" jelas Hamidah bantu memperjelas. "Ha. Di atas pokok beringin selalu ada hantu. Mak aku selalu larang aku bermain di pokok beringin tepi sungai di belakang rumah aku" teriak Ramlee menyampuk. "Emak engkau bohong" balas Guntur. "Betul. Malam-malam selalu ada burung hantu di atas pokok beringin. Itu tandanya ada hantu." sambung Ramlee tidak mahu mengalah. "Ala, engaku tu penakut. Bapak aku kata, hantu tidak berani dengan orang yang berani. Kalau kita berani dan baik, bukankah Tuhan akan jaga kita? Siapa lebih kuat, Tuhan atau hantu? Emak engkau saja hendak takut-takutkan engkau. Dia tidak mahu engkau main panjat-panjat nanti engkau jatuh. Burung yang berbunyi malam-malam tu, bukannya burung hantu. Itu burung pungguk. Dia berbunyi sebab panggil bulan supaya timbul. Malam boleh jadi terang. Lagi pohon beringin dalam semak, banyak ular, sebab tikus banyak bersarang. Jadi kalau engkau tidak hati-hati boleh digigit ular, disengat lipan atau labah-labah" terang Guntur. Hamidah mengangguk-ngangguk tanda membenarkan bicara Guntur.

(7) "Ha. Gan, engkau tidak boleh jahat lagi. Engkau tidak boleh jahat kepada kami lagi. Engkau tidak boleh usik-usik kami lagi. Kalau engkau jahat, nanti Tuhan tidak mahu jaga engkau. Mesti hantu kacau engkau nanti." peringat Hamidah menuding tepat ke muka Guntur. Guntur terpinga-pinga dibuatnya. Ramlee mengilai tertawa. "Kalau engkau jahat, engkau jadi hantu. Tuhan akan lawan engkau" tuding Ramlee menambah.Tidak mengapa. Aku baca Bismillah HirRahman NirRahim, Tuhan akan datang tolong aku. Aku baca Auzubillah Himinasyaitan Nirrajim, hantu semua lari.

(8) Ramlee tahu dia sudah kalah. Tidak guna cuba berdebat dengan Guntur. Dia ada segala jawaban kepada segala persoalan. Ramlee bingkas mencapai basikalnya. Dengan pantas dia mengayuh pergi sambil melaung "Tur Tur Tur. Guntur si Tur yang jahat". Apa lagi, dengan secepat kilat, Guntur mencapai basikalnya mengejar Ramlee sekuatnya. Hamidah terpinga-pinga, lalu meneriak. "Tunggu. Aku takut. Hantu-hantu" sambil berlarian mengejar keduanya seperti ketakutan tidak alang kepalang. Guntur sempat menoleh ke belakang. Dia berpatah balik. Hamidah menangis. Dia madot. "Midot Midot benar-benarlah engaku ini Midot Madot. Cepat ambil basikal engkau" teriak Guntur sambil menghilai tertawa. Ramlee juga berpatah balik. Turun membujuk Hamidah. Dan Guntur tetap Guntur, saat Tur terlafas oleh siapa saja, pasti berdentum peninjunya sampai ke pipi. Ramlee terguling di tanah ditumbuknya keras. Namun, mereka kemudian tetap ketawa terbahak-bahak saling menuding dan melalak: "Engkau hantu. Tuhan tak suka engkau". Namun sekurang-kurangnya mereka sudah agak tahu siapa Tuhan dan siapa hantu. Mudah-mudahan Nur dan Hidayah Allah terus bersama kedewasaan mereka untuk lebih jelas dan menjelas yang betul dan benar. InsyaAllah.


Kuching, Sarawak
23 May, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Anonymous said...

Ha ha. What a piece. Really remind me of my old primary school buddies. Good one.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.