.

11/5/13 KABINET BARU NAJIB DAN HARAPAN KESAN KEMAMURANNYA....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - May 16, 2013

Share

& Comment

Pertamanya, rakyat Sarawak harus berterima kasih kepada Najib atas kemurahannya untuk memberikan kedudukan yang sangat strategik dan sesuai dengan kedudukan ekonomi dan potensi Sarawak dalam barisan kabinet baru beliau. Sesungguhnya, dalam AkuJanji PRU13 BN, saya sangat berharap suatu daya pertumbuhan ekonomi baru akan terjana dari AkuJanji tersebut. Syukur, setelah menang, setidak-tidaknya Najib telah menyokong AkuJanjinya dengan suatu pasukan kerja yang sealiran dengan AkuJanji tersebut. Cuma, apakah menteri-menteri yang dilantik dari Sarawak dapat dengan cepat mengerakkan Kementerian masing-masing untuk dengan kuat menjana pertumbuhan yang sangat di perlukan oleh Negara. Saya yakin selain menitik beratkan soal Sarawak, mereka harus saksama dalam membangunkan seluruh Negara. Jika Najib adalah Perdana Menteri Malaysia, termasuklah buat Kelantan, maka mereka adalah juga Menetri Persekutuan Malaysia. Bagi yang lainnya, Najib sepertinya perlu bekerja dalam keadaan giving benefit to the doubt, mencuba dan mudah-mudahan segalanya Allah permudahkan untuk semua. InsyaAllah.

(2) Syukur juga, kerana Najib telah melantik Wahid Omar, CEO MayBank sebagai Menteri khusus untuk bertanggungjawap dalam mengurus Unit Perancang Ekonomi (UPE). Sesungguhnya, bagi menunaikan AkuJanji PRU13 Najib, UPE perlu menterjemahkan segala AkuJanji tersebut kepada Rancanagn Pembangunan Lima Tahun Malaysia (RM). Ini khusus untuk melihat, disamping Ekonomi Negara terus berkembang sihat, ianya juga perlu dizahirkan kepada pertumbuhan sebenar bagi Pendapatan Rakyat. Kita tidak harus menjadi Negara kaya, tetapi rakyat tidak terbela sewajarnya. Di antara Pertumbuhan dan Kesejahteraan Rakyat harus menjadi agenda utama Rancangan Pembangunan Najib untuk tempoh 2013-2018 ini. Saya yakin, dengan pengalaman hebat Wahid Omar, serta dedikasi dan macro-view kakitangan UPE, satu pendekatan rancangan pembangunan Negara yang lebih seimbang dan sejahtera akan dapat dirumuskan. Begitu juga, saya berkira, Wahid dan UPE pasti akan dapat melihat bagaimana Corporate System dapat digerak cepat dalam membangun asset-asset ekonomi masyarakat Melayu dan pribumi di Negara ini agar mereka dapat bersama terlibat aktif dalam menyumbang kepada pembangunan berkesan Negara. Seharusnya, Wahid dan UPE sudah ada rasa jijik menikmati dan terus mempertahankan betapa kaum pribumi di Negara ini dari terus dibantu. Bagaimanakah caranya seharusnya selepas 2020, pribumi khususnya Melayu di Negara ini perlu menjadi bangsa yang mandiri? Kaum pribumi Negara ini, khususnya orang Melayu yang menjadi tunjangnya perlu punya jati diri boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pribumi di Eropah, Korea, Taiwan, Jepun, India dan China dalam menunjangi kekuatan ekonomi Negera ini. Janganlah mereka akan menjadi pribumi sepertinya di Amerika Syarikat, Australia, Amerika Latin, Palestiun dan bahkan di Singapura.. Saya yakin, MayBank, CIMB, Bank Islam serta institusi kewangan milik majoriti pribumi berserta GLC yang didokong oleh pribumi sepertinya PNB, Sime Darby, Tabung Haji, Khazanah, Tabung Angkatan Tentera, dsb boleh digembeling untuk mengerakkan pembangunan berkesan serta memberi manafaat sepanjang hayat kepada pribumi dan Melayu khususnya.

(3) Berbalik kepada barisan kabinet dari Sarawak. perlantikan Fadilah Yusuf sebagai Menteri Pembangunan Prasarana, Douglas Uggah sebagai Menteri Industri Perladangan dan Komoditi, dan Alex Linggi Nata sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah adalah sangat bersesuaian dengan keperluan segera Sarawak. Pun begitu seharusnya, jawatan Timbalan Menetri Perlancungan juga perlu diterima baik oleh Joseph Salang atau siapapun dari Sarawak. Sesungguhnya, Kementerian Pembangunan Prasarana harus dapat melihat kawasan pertumbuhan sebenar di Sarawak. Di manakah agaknya jika jalan dan jambatan dapat dibina dan atau ditingkatkan baik yang akan memberikan kesan pertumbuhan segera? Bagi Sarawak, saya yakin, kawasn-kawasan baru dan sediaada yang dengan mudah dibangunkan dengan komoditi utama pertanian harus terlebih dahulu diberikan perhatian. Kedua-dua Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi dan Kemeterian Pembangunan Prasarana harus dapat berganding bahu untuk melihat akan perkara ini. Di samping itu, harus juga diteliti tentang kos berkesan kepada usaha-usaha ini. Saya yakin, dalam keadaan financial constrain, suatu Value Management yang merangkumi bidang-bidang yang sangat luas dan menyeluruh perlu dipertimbangan dengan teliti.

(4) Secara kasar, saya melihat kawasan-kawasan yang saya sebutkan selepas ini akan menjadi kawasan pertumbuhan hebat di Sarawak, bahkan dapat menyumbang kepada pertumbuhan tinggi kepada Negara iaitu Samarahan-Asajaya; Sebangan-Sebuyau-Sri Aman; Lidong-Betong-Pusa-Selalang; Sibu-Dalat-Bintulu, dan Bintulu-Batu Niah-Miri. Bagaimana kawasan-kawasan ini harus dapat dihubungkan hebat dengan hinter land serta bandar-bandar berdekatan harus difikirkan cepat dan secara strategis. Pertumbuhan bandar-bandar baru serta kawasan-kawasan industri baru harus juga dapat difikir dan direncana cepat. Saya berkira, kawasan-kawasan ini dari segi sosio-ekonominya adalah jauh lebih mudah dan murah untuk dimajukan, kecuali dari segi teknikal, sedikit lebih mencabar.

(5) Buat Rohani Karim, Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita, sesungguhnya kudrat dirinya harus menjadikan beliau lebih insaf akan keperluan Keluarga dan Wanita yang terpinggir dan meminggir. Jika beliau sensitif, juga jika dia sanggup bersimpang siur di kawasan-kawasan tertentu di Kuala Lumpur, Johor Baharu, George Town, Ipoh, Kuching, Kota Kinabalu, Petaling Jaya, Kajang, dsb pasti akan dia temui betapa terlalu banyak anak-anak muda Melayu sedang memperdagangkan diri demi sekadar untuk hidup di kota-kota ini. Inilah apa yang saya sebutkan sebagai golongan persinggahan atau peralihan yang berhijrah dari desa-desa dengan persediaan yang tidak mencukupi. Inilah anak-anak muda yang kian tertangal kupiah, songkok, kerudung mereka. Sayang, Negara kian menjulang maju, Melayu sesat di kota-kota. Saya yakin Rohani perlu bekerja rapat dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Tempatan dan Perumahan untuk menanggani masalah ini. Namun beliau tidak harus lupa, kebanjiran masalah remaja di kota-kota adalah kerana desa-desa kian membosankan bagi mereka. Juga desa-desa telah tidak dapat menampung keperluan mereka. Rohani kerana datang dari Batang Lupar harus sedar akan pepatah Melayu berbunyi keluar kandang singa, masuk ke mulut buaya. Begitu juga Kementerian Halehwal Islam, harus tidak melihat dan terus bekerja lewat pemikiran jumud dan seronok sendiri. Islam bukan sekadar Sholat, Puasa, Zakat-Fitrah, Hajj. Islam adalah suatu budaya kehidupan sempurna dan menyeluruh. Sholat, Puasa, Zakat-Fitrah, dan Hajj adalah asas kepada pembinaan ahlak dan itu perlu didokong perkuat dengan kehidupan duniawi terkini. Tanpanya, Muhammad SAW telah menegaskan: kefakiran membawa kekufuran

(5) Secara keseluruhan, biarlah kita berikan kabinet Najib tempoh selama setahun untuk melihat tindakan susulan ke atas AkuJanji PRU13 BN. Jika tiada terkesan secara benar dan betul, Najib harus samada berani mengundur diri atau merombak kembali kabinetnya. Namun saya yakin, jika dia dapat mengumpulan pakar-pakar untuk menasihati Kemeterian-kementerian berkenaan, InsyAllah dia akan mendapat hasil yang baik. Cuma biarlah kali ini kita mengambil iktibar betapa mereka yang pakar dalam hal-ehwal Islam harus di bawa bersama dalam merumus apa juga pembangunan buat Negara ini. Sesungguhnya keperluan Umat Islam untuk menjadi Muslim yang baik harus tersepadu baik dalam setiap program dan projek pembangunan Negara. Keberkatan dari Ilahi, seharusnya hambatan hebat Najib, dan pasukannya khususnya yang beragama Islam harus sekerasnya sebegitu. Mudah-mudahan. IsnyaAllah.

Kuching, Sarawak
16 Mei, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.