Siang terasa sudah seadanya. Biar benderang, biar redup mendingin, biar panas membahang, tiada apa bedanya. Kulit tubuhnya sudah tidak menangkap apa-apa beda rasanya. Kehijauan hutan di kejauhan, adalah samar-samar bauran warna; tampak tiada kententuannya. Matanya melihat semua itu sekadar hamparan warna yang sudah kaku tanpa makna yang dapat dia mengerti jelas. Tidak nyaman, tidak juga menyakitkan. Apa lagi gemburan ombak di pantai, tiada keriuhan, tiada perkhabaran apapun yang dapat dia tangkap. Malam juga kelamnya tidak lagi ditunggu akan keindahan sirna rembulan. Dan bintang-bintang biar bergemerlapan, tidak lagi bagai taburan permata yang sering dia puja, padanya segala itu sudah tiada beda dengan pecahan-pecahan kaca di jalan pasir. Matanya tidak buta, belum buta. Kupingnya masih keras gegendangnya untuk menangkap bunyi apapu. Kulit tubuhnya masih sintel, tegang halus lembut. Jalan fikir mencintai alamnya seperti kian padam, telah memudar. Sepertinya, hatinya dia sudah menerima akhir jalan hidupnya. Sore itu segalanya sudah tidak terasa apapun baginya. Dia melangkah malas menyusur pantai tanpa rasa dan tujuan, dalam hati penuh hambar tawar.
Dia terbatuk-batuk penat. Nafasnya tersendat-sendat menyesakkan. Di pohon kelapa tua, dia melabuh diri. Di Barat, sang pencerah alam kian pantas bersembunyi di balik gunung. Awan putih kian memerah perlahan-lahan menghitam menghampar akhirnya siang. Samudera yang terbentang luas kian menderu nafasnya ke pantai. Hari kian kelam. Di kejauhan, samar-samar cahaya berkelipan dari rumah-rumah berbaris di pantai. Seketika, Seru Menghadap Allah sayup-sayup berkumandang, dibawa angin menerpa tubuhnya, hinggap memukul gegendang telinganya. Indah. Syahdu. Jelas. Samar. Tengelam. Timbul. Mendayu. Berirama bergelombang. Dia kenal suara itu. Suara Azan anak muda yang terlalu akrab dengannya. Saban waktu, sewaktu-waktu sebegitu, berdua mereka berpimpinan tangan menaiki tangga Mushola, dalam langkahnya terketar-ketar, dan pelukan erat anak muda itu, mampu membawanya bersila menunaikan pertemuannya dengan Penciptanya. Hari ini, anak muda itu pasti tertanya-tanya, di mana dia? Tiada siapa mungkin sadar, seharian dia telah meninggalkan rumahnya, dan belum berpulangan Detak hatinya, dari tadi siang, telah memaksakannya berjalan, biar kakinya bagai lalang ditiup angin kencang bergoyang-goyang. Berkupiah. Bercelana gombal murahan hitam. Berkemeja putih labuh berlengan panjang. Berselempang kain pelekat. Saat melewati anak-anak kecil yang bermainan, semua bersangka pasti dia hendak ke Mushola, namun layang langkahnya terus membawanya ke hujung kampung di pinggir bukit di tebing curam. Sepohon nyiur yang sudah bongkok melentur seperti terpacak menghadang perjalan selanjutnya. Di situ dia terduduk, kian kedinginan diterpa deras bayu senja. Kerana sudah payah untuk terus berjalan, dia menyapu-nyapu debu-debu halus pasir ke lengan, muka, rambut, telinga dan jari-jari kakinya. Dia bertayamum. Lalu kemudian terselimpuh menghadap Kiblatullah, menghadir diri kepada PenciptaNya.
Guntur, anak muda, anak Pak Munsyi, teman akrabnya Pak Bakri, si tua itu, kegelisahan menerpa di sepanjang Sholatnya di sore itu. Debar tak nyaman melanda dadanya. Khusuknya entah di mana? Saban waktu dia mengerling ke tempat biasanya Pak Bakri. Pak Bakri tidak ada di sana seperti selalunya. Tadinya, kerana kerusuhan lantaran kelewatan pulang dari kota, Guntur terus saja ke Mushola tanpa singgah menjenggah menjemput Pak Bakri di rumahnya seperti kebiasaannya. Dia bersangka, pasti Pak Bakri telah ke Mushola duluan. Saat Imam mengucap Salam keduanya, Guntur terus bubar, menoleh keliling mencari-cari di seluruh pelusuk Mushola. Ternyata Pak Bakri tidak hadir. Dia bergegas belarian ke rumah Pak Bakri. Gelap. Pintu tertutup rapat. Terkunci kuat. Berulang kali salam diberikan, tiada jawaban. Pintupun dia gedor-gedor kuat. Tiada juga jawaban. Para jemaah di Musholapun sudah berkumpul di rumah Pak Bakri turut memanggil-manggil. Tetap sepi. Tetap gelap. Murad tekad memecah jendela melolos masuk. Pintu terkuak deras. Guntur menerpa keluar pantas. Wajah kehampaannya terpampang jelas. Pak Bakri tidak ada di rumah. Semua saling berpandangan. Semua saling bersoal. "Ke mana dia?". Anak-anak kecil sudah mulai berkumpul. Berdatangan sama usai ngajian dan sholatan. Ada berkhabar, tadi siang Pak Bakri ke Mushola. Ada berkhabar tadi sore dia berjalan ke laut. Tersentap kaget bukan kepalang sebilangan mendengar akan pernyataan itu. "Apa mungkin dia lemas?" soal sebilangan penuh curiga. Ada menuding ke bukit. "Ah. Mungkin dia sesat dan tidak tahu jalan pulang!" segala duga menerpa. Ada tergaru-garu tidak pasti. Akhirnya, semua geleng-geleng tergaru-garu, tidak kurang menyeringai, bagai Toyol dimarahi tuannya.
Pak Munsyi paling binggung. Degub dadanya ternyata kuat. Jika tulang dadanya tidak kuat pasti sudah roboh tersembul jantungnya. Namun dengan pantas dia mengumpul tenaga sadar kembali tenang. "Begini. Kita berpecah kepada empat kumpulan. Satu kumpulan, pergi lawati semua kedai-kedai kopi dan lihat apa dia mungkin ada di mana-mana. Satu kumpulan menyusur jalan. Periksa longkang dan setiap mobil yang lewat. Satu lagi menyusur gigi air. Perhatikan betul-betul setiap yang mencurigakan. Satu lagi ikut saya ke bukit". tegas Pak Munsyi seperti memerintah. "Guntur, kamu panggil kawan-kawan kamu, gunakan motorsikal dan susuri semua jalan-jalan di kampung" arah Pak Munsyi kepada anaknya. Seluruh kampung yang biasa akan damai, dengan serta merta jadi geger, riuh terang benderang bersimpang siur suluhan pelbagai cahaya ke serata arah, seperti sebuah pesta adat mencari kodok buat gorengan. Di air, tunggul-tunggul hanyut diamati teliti. Di sepanjang jalan, semak-belukar dan longkang-longkang semua disuluhi. Setiap rumah menjadi riuh saling bertanya, "Apa mungkin Pak Bakri ada bertandang?". Di jalanan, semua mobil diperiksa apa mungin Pak Bakri adalah penumpangnya?
Di kaki bukit, Pak Bakri lantaran angin malam kian kencang dan dingin, serta kakinya yang sudah tidak mampu melangkah, terus saja mengelung diri rebah berbungkus kuat dalam kain pelekatnya. Semput nafasnya benar-benar mendadak datang. Kebelakangan ini dia sering mendapat serangan asma. Bibirnya kian terketar-ketar. Fikirnya, tidak lain. Dia ingin berpulang. MasyaAllah. "Ya Rabbi. Hentikan aku menyusah sesiapa. Kembalikanlah aku kepadaMu secepatnya. Aku ingin bahagia dekat bersamaMu" pintanya bertalu-talu antara jelas dan gemetar, berselangan Sahadah, Tasbih, Takbir dan Istifar. Pak Bakri sudah pengsan saat kumpulan Pak Munsyi dapat menjejakinya. Tubuhnya sudah kaku. Matanya terpejam rapat. Giginya terkacing kuat. Mulutnya berbuih. Tubuhnya kedinginan banget. Nafasnya sudah terlalu jauh, payah untuk dilepaskan. Dengan segera, dia dibopong bawa pulang. Di rumah Pak Munsyi semua sudah bersedia. Air panas untuk mengelap tubuhnya. Seorang doktor perubatan juga sudah didatangkan dari klinik berdekatan. Bantuan pernafasan segera diusahakan. Guntur paling kambuh. Paling binggung. Paling resah. Entah berapa banyak Al Fathihah dia baca dan hembuskan ke ubun-ubun Pak Bakri. Dia benar-benar bagai dukun sedang menurun saling bersaing dengan doktor yang bekerja keras cuba memulihkan pernafasan Pak Bakri. Pak Musyi sesekali mengusap-ngusap kepala anaknya. "Jangan khuatir. IsnyaAllah Pak Bob akan pulih" ucap Pak Munsyi membujuk. Tiga puloh minit bertungkus lumus, akhirnya Pak Bakri sudah boleh menghirup Kopi O panas. Ajal adalah pada ketentuan Ilahi. Perginya roh bukan pada mahunya badan. Tidak atas kehendak sesiapa. Roh adalah milik Allah, dan Dia yang menentukan saat pengembaliannya. Takdir ajal Pak Bakri tidak pada mahunya.
Pak Bakri tidak dibenarkan pulang. Biar telah kembali sedar penuh, namun dia masih tampak kebingungan. Pak Munsyi memutuskan dia tinggal saja bersama keluarganya untuk sementara. Guntur diarahkan untuk memberikan perhatin berat akan Pak Bakri. Anak remaja itu, akur segala perintah bapanya. Pak Bakri tidur di kamar dan kasurnya Guntur. Sedang dia mengalah menghampar Comforter di lantai di samping. Malam itu, seribu satu persoalan menerpa benak Guntur. "Siapa sebenarnya Pak Bakri ini? Kenapa dia jadi begitu?" Bapanya hanya menceritakan bahawa mereka adalah sahabat karib sejak zaman anak-anaknya. Begitu juga Pak Bakri. Mereka sepertinya saling mengelak bila dipinta untuk bercerita selebihnya. Sepertinya, ada rahsia yang sengaja mereka sembunyikan. Malam berlalu terasa sangat perlahan. Guntur kegelisahan biar sekelippun dia tidak dapat melelapkan mata. Saban kali dia akan bangkit memerhati sekujur tubuh yang sedang terbaring tenang di sampingnya. Dia mengamati apakah dia masih bernafas. Banyak kali dia duduk memerhati bayang gerakan anak mata Pak Bakri. Ada kekhuatiran yang sangat dalam menerjah dirinya.
Siang berdatang. Mentari sudah setinggi galah. Pak Bakri belum menunjukkan tanda-tanda mahu bangkit. Kebiasaan pasti dia sudah sholatan Duha. Tidurnya masih nyenyak. Lena sekali. Nafasnya tertarik perlahan-lahan, terlepas panjang. Dadanya berombak santai dalam bungkusan selimut tebal. Sedang Guntur sudah sibuk bersama bapanya di Reban Puyuh. Saban pagi, seawalnya dia harus membantu bapanya di sana. Bermain-main dengan anak-anak puyuh yang mungil-mungil saat berebutan hendak makan dan minum menjadi hiburan saban paginya. Dia membantu bapanya dan dua pembantu lainnya untuk memberi makan. Dia memeriksa memastikan saluran air minuman tidak tersumbat serta bekas-bekas airnya bersih. Juga dia membantu memeriksa setiap petak tidak ada puyuh yang mati atau sakit atau apa mungkin ada serangan tikus. Paling dia suka adalah mengumpul semua telur-telur. Memilih yang harus ditetas. Saban tiga hari sekali dia harus boleh memisahkan tidak kurang dari 1,000 biji untuk ditetas. Selebihnya dia serahkan kepada pembantunya untuk dibungkus bagi pasaran segar. Kemudian dia akan memeriksa segala najis-najis yang sudah agak kering dikumpul ke tempat pengumpulan dan digauli baik dengan pasir dan tanah kering dan dicampur sedikit kapur dan tanah bakaran untuk dijadikan baja kompos. Sebegitulah jadual kehidupan separuh hari Guntur saban harinya. Di sebelah petangnya, dia akan ke sekolah berhampiran, berbasikal berboncengan bersama teman-teman beramai-ramai. Meriah sekali saat mereka sebegitu. Loceng basikal berderingan dimainkan saat saling berpintasan. Apa lagi hilai tawa. Hidup sekali nuansa desa.
Petang itu Guntur hanya menghabiskan masanya dengan Pak Bakri. Dia tidak ngopi apa lagi bermain sepak bola bersama-sama teman sekampungnya seperti selalunya dia menghabiskan petang hujung minggunya. Dia membantu Pak Bakri hanya mengemas rumahnya. Rumah orang tua itu, sepertinya sudah ngak keurusan berbulan-bulan. Buku-bukunya bersepah merata-rata. Pakaiannya bertaburan di serata tempat. Begitu juga sampah sudah tidak tersapu bersih. Debu-debu berkumpul tebal di mana-mana. Keadaan dapurnya juga berantakan seperti telah diserang kucing garong jantan miang. Pohon-pohon kembang di keliling rumahnya juga sudah pada layu tidak bersiram sekian waktunya. "Apa sudah jadi dengan orang tua ini. Dia sepertinya sudah mengabaikan segalanya. Dia sudah tidak seperti dia selalunya. Paling teratur. Paling bersih. Paling berdisiplin. Atau mungkin dia sedang jengkel kerana aku sudah kurang bersamanya lantaran terlalu sibuk dengan tugas dan acaraku sendiri? Apakah ini caranya dia hendak menarik kembali perhatianku kepadanya?" timbul seribu persoalan di hati Guntur. Guntur memperhitung, agak lama juga sudah dia tidak bertandang dan menghabis masa bersama Pak Bakri. Setidak-tidaknya, mungkin serkitar dua bulanan.
Malam itu, biar dipujuk keras oleh Pak Munsyi dan Guntur agar Pak Bakri terus saja tidur di rumah mereka, namun dia tetap degil mahu sendiri di rumahnya. Pak Munsyi terpaksa mengalah kerana dia tahu, saat Pak Bakri sudah berdegil, tiada siapa boleh merobah fikirnya. Namun Guntur ada rencananya tersendiri. "Malam nanti saya nak tidur di rumah Pak Bob. Lama sudah saya tidak tidur di sana. Bolehkan Pak Bob?" celah Guntur saat dia sadar bapanya sudah mengalah. Pak Bob, itulah panggilan Murad kepada Pak Bakri. "Kamu hendak duduk terus di rumah itupun boleh. Lagipun rumah itu nantinya akan menjadi rumah kamu juga" balas penuh riang Pak Bakri. Kegirangan Pak Bakri mendengar Guntur akan bersamanya malam itu, sebetulnya punya rencana tersendiri. Dia telah lama memendam untuk menceritakan rahsia dirinya kepada anak itu. Dia berencana untuk turut keluar dari kampung itu dan kembali menetap di Kota atau merantau sehingga ke akhir ajalnya. Dia sudah bertekad untuk membuka rahsianya kemudian kabur tidak ingin kembali lagi. SubhannaAllah, hajat hatinya, dan keinginan hati Guntur juga sudah bertembung.
"Di dalam kardus ini, adalah catatan harian Pak Bob mulai dari Pak Bob bekerja sehinggalah Pak Bob melepaskan jawatan Pak Bob kira-kira sepuloh tahun dahulu. Ada kira-kira dua puloh buku catatan semuanya. Saban hari, apa yang Pak Bob lakukan, hadapi serta bagaimana Pak Bob mengatasi setiap permasalahan ada Pak Bob catatkan semuanya di sana. Juga telah Pak Bob tuliskan Pengalaman Perjalanan Pak Bob semasa di Iskandariah, Mesir pada tahun 2011 menceritakan kepayahan yang terpaksa Pak Bob lalui saat Pemberontakan Rakyat menumbangkan Hosni Mubarak. Malam ini, Pak Bob hendak serahkan semua yang ada di dalam rumah ini, termasuk rumahnya sekali kepada kamu untuk diwarisi saat Pak Bob sudah tidak ada nanti" bilang Pak Bakri memulakan bicara saat mereka berdua berlabuh di ranjang kembar di kamar utama. Guntur kekagetan mendengar penjelasan Pak Bakri tersebut. Dia membalik tubuhnya mengiring menghadapi Pak Bakri. "Kenapa Pak Bob berkata begitu? Pak Bob bukan tua sangat. Baru saja 58 tahun. Masih gagah. Atau Pak Bob hendak pergi lagi ke? soal Guntur cemas. "Tidak. Pak Bob hanya berwasiat. Mana tahu malam ini Pak Bob menutupkan mata" balas Pak Bakri cuba berselindung. Guntur berasa sedikit lega. Dia kembali menelentang. Matanya tajam mengikuti putaran bilah-bilah kipas.
" Pak Bob tidak pernah bercerita bagaimana Pak Bob dan bapa menjadi begitu akrab. Guntur rasanya ingin punya persahabat sejati sepertinya bapa dan Pak Bob. Pak Bob boleh cerita tak?" tiba-tiba Guntur bersoal tegas. "Kamu tidak pernah tanya bapa kamu?" soal Pak Bakri kembali. Mereka saling berbalik tubuh. Mereka saling bertantangan."Ada. Tapi bapa kata belum masanya untuk dia menceritakan segalanya." balas Guntur dalam nada kesal. Pak Bakri menarik tubuhnya ke kepala ranjang. Dia bersandar sambil jarinya terus mengintil menghitung butir-butir tasbih. "Pak Bob boleh ceritakan dengan satu syarat?" balas Pak Bakri sambil menuntut kepastian tegas dari Guntur. "Apa syaratnya?" soal Guntur. "Kamu mesti berjanji, selepas Pak Bob ceritakan segalanya, Pak Bob akan ke Kota untuk beberapa ketika kerana Pak Bob hendak mencari sesuatu. Keberangkatan Pak Bob ke Kota, kamu mesti rahsiakan daripada bapa kamu. Pak Bob hendak mengejutkan dia. Boleh?" tegas Pak Bakri. Guntur terdiam. Dia merenung tajam wajah Pak Bakri. Mereka bertatapan tanpa kerdipan. Dia mencari akal. "Pak Bob hendak pergi bila? Berapa lama? Hendak cari apa?" soal Guntur bersungguh-sungguh. Pak Bakri melepas senyum. Dia bertipu muslihat untuk mengendurkan prasangka pada anak itu. "Kalau boleh, besok Pak Bob hendak berangkat." jelas Pak Bakri. "Tapi, Pak Bob belumpun ceritakan kisah bapa dengan Pak Bob. Macamana tu?" soal Guntur penuh sangsi. "Di bawah ranjang kamu itu, ada sebuah kardus, di dalamnya ada sebuah buku berwarna hijau. Semua kisah hidup Pak Bob dari kecil bersama bapa kamu ada tercatat di sana. Sengaja Pak Bob karang untuk kamu, agar menjadi pedoman hidup kamu nanti. Kamu bacalah dan bila sesuai, kamu tunjukkan kepada bapa kamu. Boleh?" perjelas Pak Bakri sambil dia melorot tubuhnya kembali terlentang selesa. "Ayuh. Jangan banyak soal dan tidak perlu banyak fikir. Malam sudah terlalu lewat. Kita tidur. Besok kamu akan bangkit awal untuk mengurus puyuh-puyuh kamu itu" tegas Pak Bakri lalu tanpa menanti riak balas dari Guntur dia memadamkan semua lampu di kamar. Dalam kegelapan, Guntur dengan mudah berdengur lena sedang Pak Bakri sudah siap dengan rencana selanjutnya.
Saat jam dua subuh, Pak Bakri berwudhu lalu menunaikan Sholat Tahajjud, Hajat dan Musafir. Usai berdoa panjang, dia menjamah kepala Guntur lalu menghembus nafas kasihnya beriringan bacaan Surah Yasin:36; Yusuf: 4 dan Thahaa 39. Anak itu kepenatan. Tidurnya nyenyak sekali. Tenang. Cukup nyaman. Dengan bacaan Surah Yasin:9 memohon kepada Allah ...menutup pendengaran, dan pengelihatannya Guntur serta seisi Kampung... Pak Bakri melangkah keluar dari kamarnya terus meninggalkan rumahnya tanpa menoleh berjalan ke sebuah teksi di pinggir jalan seperti yang telah direncanakannnya sambil bibirnya terus melafas Al Fathihah, Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas dan Kursi berdoa agar segala yang dia tinggalkan akan selamat selamanya sehingga mereka ketemu kembali InsyaAllah di Padang Masyar jika tidak di Jannah. Segera dia meluncur ke Kota lalu ke lapanganterbang dan menaiki pesawat jam 5.30 pagi untuk terus terbang jauh. Dan saat pesawat sudah mendongak mengembang kepak, Guntur terbangun oleh kokokan jalak membangkitkan untuk Subuhan. Dia mengeliat sambil membuka lampu lalu melempar pandang ke ranjang Pak Bakri. Ranjang Pak Bakri sudah kemas rapi. Dia tidak ada di situ. Dalam kemamar, dia melihat sejadah terbentang di sudut kamar. Di kepala sejadah tergeletak senaskah Al Quran lama dan di atasnya sekeping envelop yang kelihatan agak tebal isinya. Guntur mencapai envelop itu. "Pak Bob pergi dulu. InsyaAllah, kita akan ketemu lagi" begitulah catatan pada muka envelop itu. Guntur termangu. Dia terselimpuh lemah. Tubuhnya mengeletar. Peluhnya menyimbah. Dia menangis. Dia meraung, bergegas belarian pulang ke rumahnya. Seperti diserang histeria dia mengedor-gedor kuat pintu rumah memanggil-manggil bapanya.
Pak Munsyi terpaksa bingkas dari sujudnya. Sholat subuhnya bubar. "Astafirullah Halazim. Bertenang-bertenang. Kenapa?" soal Pak Munsyi saat dia membuka pintu melihat Guntur kerusuhan ngak karuan. "Pak Bob. Dia dah pergi. Dia mungkin dah lari jauh. Ini surat dari dia." balas Guntur termengah-mengah sambil mengunjuk sampul surat bersama isinya kepada bapanya. Pak Munsyi terdiam. Dia hanya mengeleng-geleng kepala. Dia cuba sedaya upaya bertenang. Dia tidak boleh mengelabah. Guntur tidak harus melihat dia kekalutan sama. Dia memimpin Guntur masuk ke rumah. "Kamu berwudhu cepat. Bapak tunggu. Kita sholat sama. Lekas nanti kesiangan" ujar Pak Munsyi seraya dengan langkah longlai dia melepaskan surat Pak Bakri ke dalam laci rak buku-buku bacaannya. Surat itu dia kunci ketat. Dia tidak ingin untuk membuka dan membaca surat itu dulu. Dia ingin berfikir dan bertenang terlebih dahulu. Saat usai sholat subuh, Guntur bertanyakan akan surat tinggalan Pak Bakri tadi. "Surat itu untuk bapa. Pak Bob kamu buat surat itu hanya untuk bapa. Kamu tidak boleh baca." jawab Pak Munsyi mengelat. Dia tidak akan menyerahkan surat itu kepada Guntur selagi dia belum membacanya sendiri. Dia berusaha keras menahan sabarnya. Dia benar-benar sedih di dalam. Dia kesal. "Kenapa Bob kembali berperangai seperti dia sepuloh tahun dulu?" dia bersoal-jawab sendiri. "Seumuran sebegini, ke mana dia hendak pergi? Apa yang dia hambat? Elok sudah dia boleh menyelidik dan menulis aman di Rumah-Chaletnya, apa lagi yang dia mahu? Masakan punah cintanya kepada Sharin belum juga padam?" fikir batin Pak Munsyi saat dia berjalan ke dapur bersama Guntur untuk bersarapan. "Huhhhh" dengus Pak Munsyi. Guntur melangut keheranan mendengar desah bapanya. "Tidak mengapa. Bapa tahu ke mana Pak Bob engkau pergi. Bulan depan, bila engkau cuti kita ke tempatnya" khabar Pak Munsyi sebagai cara dia cuba meredakan keresahan Guntur, sedang hakikatnya, dia belum pasti di mana Pak Bakri sudah mendaratnya. Apa mungkin dia kembali ke Iskandariah, atau ke Ambon, atau ke Mojokerto, atau ke Timbuktu? Pak Munsyi berkira-kira, siapa antara rakan-rakannya di Immigresen Lapanganterbang dan MAS yang akan boleh membantu. Namun, untuk sementara waktu, dia mengajak Guntur berdoa akan keselamatan dan kesihatan Pak Bakri. Senyap-senyap dia meredhakan sekali lagi kaburnya Pak Bakri.
Banjir Besar
Bulan Novembar. Angin Timur Laut membelah Laut China Selatan. Merentas Barat Daya Borneo. Saban hari-harinya pucat, hitam dingin meresahkan. Bersamanya, air mencurah-curah dari segala awan yang sudah tidak tertahan kandungannya. Ketuban alam mencurah-curah pecah menyimbah segala. Halilitar bergantian menyambar-nyambar. Geledek berdentum mengetarkan jiwa-jiwa kecut. Deru angin bertukar ganas kekadang menjadi ribut membantai setiap bumbung dan dinding dengan tikaman ganas hujan menambah resah gundah semua. Itik-itikpun sudah ngak berani berenangan. Apa lagi ayam-ayam. Semua diam menerima datangnya tengkujuh. Air di sungai kian menghitam tawar, tanda-tanda para gunung di kejauhan sudah bersama muntah tidak lagi tertahan menakung curahan alam. Sungai-sungai mulai membuak. Air melimpah meruap. Para cacing dan segala yang bersarang di tanah sudah lama mengelupur. Tanpa amaran, pelataran sudah menjadi lautan yang kian meninggi. Air sudah naik setinggi dua kaki. Perkhabaran di Berita RTM menjelaskan betapa hujan tidak akan berhenti-henti sekitar tiga ke empat hari lagi. Pak Munsyi berkira, jika ini benar pasti paras air akan mencecah sehingga lima kaki. Dia sudah menduga. Tahun ini, pasti musim tengkujuhnya akan lebih parah dari tahun-tahun terdahulu. Pemerhatiannya pada perangkaan taburan hujan bagi tahun ini amat tidak seimbang. Dari bulan Febuari sehingga Oktobar, tampaknya agak kurang hujan. Maka, dia menjangka hujan pada penghujung tahun ini pasti akan lebih lebat dan panjang tempohnya. Beberapa bulan yang lepas dia telah menghantar SMS kepada Ahli-ahli Yang Berhormat setempat agar segera memerhatikan kerja-kerja meluaskan sungai dan saliran-saliran berkaitan. Dia perhatikan telah terlalu lama saliran utama tidak pernah digali atau diluaskan. Teguran Pak Munsyi hanya diambil tindakan bagai melepas batuk di tangga. Kerja-kerja pembersihan hanya dijalankan di kawasan yang boleh dilihat rakyat sedang di kawasan-kawasan lebih tenat dan terlindung tidak dipedulikan. Anak-anak berembang dan bakau sudah menyemakkan semua muara saliran-saliran utama. Saat banjir, pasti aliran air akan terjejas hebat. Sangka Pak Munsyi jadi kebenaran. Saat musim tengkujuh sebegini, saat manusia menjadi alpa, pasti musibah berganda berdatang. Seluruh Kampung mengalami kerugian besar. Buah sawit jadi busuk. Segala tanaman pisang, nenas, ubi, sayuran, segala mati tanpa siapa peduli untuk menghulur pampasan. Belum dikira kerosakan kepada perabut dan peralatan di rumah-rumah. Rakyat benar-benar jadi susah dan resah. Cuma, bagi rakyat desa, sifat redha mereka mengatasi rasa amarah dan menyalah sesiapa. Mereka tidak bersuara berdemonstrasi. Mereka tidak mengerti akan semua itu. Tahu mereka, perut mereka lapar. Anak bini perlu diberi makan segera. Mereka kambuh tidak membuang masa hanya sekadar untuk mencari makan untuk hidup. Mereka tidak punya waktu utntuk lain-lainnya. Mereka redha menerima seadanya. Buat Pak Munsyi, pasti reban puyuhnya akan digenangi air setinggi tiga kaki. Satu tingkat rebannya mesti dikosongkan segera. Kalau tingkat satu tidak segera dikosongkan pasti puyuh-puyuh itu akan mati ditengelami bah. Namun dua puloh ribu ekor puyuh sudah memenuhi semua ruang dan petak yang sedia ada. Puyuh tidak tahan air biar hanya seminit. Kedinginan dengan cepat membunuh puyuh. Jika ini terjadi pasti akan lebih memudharatkan. Jika tidak dikubur cepat, pasti serangan penyakit mungkin mendatang. "Ya Allah, sesungguhnya segalanya dariMu. Berikan aku
hidayah bagaimana harus aku hadapi cabaran ini?" Pak Munsyi berdoa dalam diam.
Kudrat Allah. Hujan, tikaman deras angin membikin lapar menerjah cepat. Pak Munsyi dihenyak rasa lapar. "Guntur, kamu panggil semua teman-teman kamu dan tetanga berhampiran. Bapa yakin mereka sekarangpun dalam kepayahan untuk dapatkan lauk pauk. Katakan kita minta bantuan untuk menghantar puyuh-puyuh ini kepada semua tetangga kita di Kampung ini. Kita sedekahkan saja setiap petak puyuh yang sudah cukup dewasa kepada mereka buat lauk." arah Pak Munsyi tegas kepada anaknya Guntur. "SubhannaAllah. Dari kerugian akibat kematian, lebih baik jika disedekahkan buat pangganan yang lapar memerlukan" bisik hati kecil Pak Munsyi. "Ya dari kerugian akibat bakhil, lebih mulia beruntung atas fitrahnya pemurah. MahaBesarnya Engkau, aku bersyukur atas hidayahMu itu" tegasnya lanjut dalam-dalam. Sedang Solehin dan Imam, tanpa arahan lanjut sudah siap bergegas ke reban untuk mengasingkan puyuh-puyuh dewasa. Bekalan makanan puyuh juga perlu disiapkan untuk diagihkan kepada jiran-jiran bersama puyuh-puyuh tersebut. Seketika riuh rendah teman-teman Guntur bekerja keras memunggah petak-petak puyuh ke dalam lori yang tertutup rapi untuk terus dihantar kepada jiran-jiran sekampung. Bukan kepalang gembira sebahagian kerana saat hujan-hujan sebegini pasti enak jika dapat makan panggangan atau gorengan panas puyuh. Rasanya, malam ini akan semerbak bau masakan puyuh di seluruh Kampung Pak Munsyi.
Bertinggung di tangga. Pak Musnsyi dan Guntur, keduanya memerhati tetes-tetes hujan dari pancuran. Jika di waktu aman, pasti syahdu layaknya. Namun saat sebegini, keresahan terus menerpa. "Bagaimana dengan ikan-ikan kita pak? Sayang. Kalui-kalui itu semua sudah besar dan sudah mulai membiak" soal Guntur saat dia melihat benteng kolam kian tinggi dilepasi bah. "Tidak mengapa. Tidak semuanya mesti kita selamatkan. Mungkin Allah mahu sebahagiannnya lepas bebas membiak melata di alam bebas buat bagian mahluk lainnya. InsyaAllah, rezeki kita akan tetap Allah simpan untuk kita. Yang lepas, biarlah menjadi rezeki dan khazanah alam" balas Pak Munsyi meredhakan. Guntur menerima dengan senyum riang pengajaran dari bapanya. Dia sering kali diingatkan oleh Pak Bakri agar sentiasa bermurah hati dan ringan tulang. "Orang yang sentiasa ikhlas bermurah hati dan ringan tulang, rezekinya tidak akan pernah terputus. Juga saat kepayahannya, Allah akan sentiasa ada di sampingnya untuk membantu dalam keadaan apa dan bila pun. Tidak kira, saat kita susah sekalipun, jangan sekali-kali bakhil kedekut. Tidak perlu menunggu sehingga kita berada baru kita hendak bermurah hati. Juga tidak perlu menanti saat-saat tertentu baru kita mahu bersedekah atau membantu. Berbuat kebaikan saat perlu dan tidak dipinta. Sesungguhnya pembalasan paling nyata dari Allah atas ikhlas kemurahan, adalah kebahagian yang tidak terasa oleh sesiapapun. Cuba ingat Muhammad SAW hidup dalam zaman paling payah dan paling susah. Namun, sifat-sifat pemurah baginda menjadikan Allah sangat sayang dan sentiasa membantu baginda. Hidup baginda penuh dengan kemuliaan. Jadi tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh yakin terhadap perlunya sifat-sifat pemurah sesama Ummah apa lagi jiran tertangga." pesan Pak Bakri sepertinya tergiang-ngiang kembali di telinganya. Guntur mengongak menatap tepat wajah bapanya. "Bapak dan Pak Bob benar-benar dua sahabat sejati. Mereka punya pegangan hidup yang hampir serupa. Aku juga mesti mencari sahabat yang sejati sepertinya mereka" bisiknya diam tersenyum lebar. "Kenapa ini? Tersenyum-senyum macam kerang kena panas je?" sergah Pak Munsyi saat melihat Guntur terus tersenyum-senyum sendiri. "Guntur rasa, pasti kalui-kalui itu bila keluar dari kolam akan bersorak sorai kegembiraan. Kalau kita dapat dengar dan mengerti bahasa pertuturan mereka, pasti seronok kan bapak? Mungkin mereka berbaris menyanyikan lagu ‘Inilah Barisan Kita’" balas Guntur berseloroh mengelat. Pak Munsyi turut tersenyum. Mengeleng-geleng kepala. "Anak ini, otak Abu Nawas sudah mulai menguasai jalan fikirnya. Mudah-mudahan dia akan menjadi paling kreatif dalam melangkahi jalanan hidupnya nanti" bisk Pak Munsyi penuh pengharapan. "Kamu mahu tahu, bagaimana gembira dan bersyukurnya ikan-ikan itu saat mereka terlepas?" soal Pak Munsyi. Macamana?" balas Guntur temanggu tersengih terus. "Kamu bila hendak ke sekolah, saat mahu keluar rumah, apakah kamu buru-buru atau berjalan perlahan menoleh dan melambai-lambai" soal Pak Munsyi menguji. "Wah. Patut tadi bila Guntur dan kawan-kawan perhatikan, ikan-ikan itu berenang selamba sahaja. Mereka seperti berciuman, lalu sebahagian terus tengelam sedang sebahagian terus berenang melintas batas kolam mengilir air terus ke sungai" jelas Guntur. "Mereka sedang bersalaman. Juga pasti mereka sedar kamu dan kawan-kawan sedang memerhatikan mereka. Mereka juga sedang melambai-lambai mengucap selamat tinggal kepada kamu semua. Kamu nampak tidak ekor mereka mengibas bergelombang berirama? Itulah tandanya mereka sedang bernyanyi 'Inilah Barisan Kita dan Selamat Tinggal Bungaku' jelas Pak Munsyi dengan disambut seringai panjang dari Guntur. Kedua-dua mereka kemudian tersenyum lalu tertawa ceria.
Hujan sudah mereda. Hangat mentari sudah mulai menerangi seluruh alam memberikan harapan bangkit cerah buat seisi Kampung. Hanya renyai-renyai dan sesekali menjadi sedikit lebat datang menerpa. Tiupan angin Barat Daya juga sudah mulai melembut. Bah sudah menyusut deras. Seperti biasa, Allah jarang sekali menyusahkan UmatNya berganda-ganda. Bila sudah menyusut, jarang sekali bah akan melanda berulang kali dalam sela waktu yang singkat. Ujian Allah kepada Umatnya, tidak akan melampau batas kemampuan
sabar dan Imannya mereka. Pelataran masih becak berlumpur. Rakyat sudah mulai memeriksa kebun-kebun masing-masing. Banyak yang terus sibuk membersihkan timbunan lumpur dan sampah yang mengotori pelataran masing-masing. Pesta Pembersihan sepertinya sudah bermula di seluruh Kampung. Reban puyuh Pak Munsyi tidak kurang ditengelami lumpur. Guntur terpaksa mengupah beberapa orang temannya untuk membantu. Empat hari penuh penuh mereka bekerja keras untuk membersih dan menyusun semua kembali seperti biasa. Syukur, selain dari sekitar lima ribu ekor puyuh yang telah disedekahkan, tiada
kerosakan lain yang perlu ditanggung. Lima belas ribu ekor puyuh yang lain hidup dalam keadaan segar bungar. Sekitar sebulan lagi, Guntur pasti boleh menetas kembali bagi memenuhi jumlah dua puloh ribu ekor puyuhnya. Segala peralatan penetasan dan baja-baja makanan juga terselamat baik. Cuma longokan najis saja yang rosak dan perlu dibersihkan segera agar tidak menimbulakan bau busuk yang keterlaluan. Dalam keadaan masih berlumpur, Solihin dan Iman bertungkus lumus mengali lobang-lobang di kebun sawit berdekatan untuk menanam longgokan najis yang basah itu.
Usai menguruskan reban puyuh, Guntur terpaksa terus bertungkus lumus pula membersihkan empat kolam ikannnya secara silih
berganti. Kolam-kolam itu telah dikotori oleh lumpur dan segala macam kotoran bawaan air bah. Semuanya harus dibersihkan bagi mengelakkan sebarang serangan penyakit ikan. Semua kolam-kolam tersebut telah Pak Munsyi jadikan incubator
ternakan dan pembiakan kalui. Sejak empat tahun sudah, Pak Musnyi telah membuat ujikaji sendiri untuk menciplak keadaan semulajadi bagi pembiakan kalui. Dia telah pergi ke beberapa tempat di mana dilapurkan adanya
kalui, dan memerhati persekitaran di tempat-tempat itu untuk ditiru. Pak Munsyi yang kini banyak meneliti akan tafsir Al Quran, telah mengambil iktibar yang sangat meluas akan isi Al Quran. Pada Surah Al Baqarah, tiga huruf pembuka Surah, Alif Lam Min telah dia tafsir sebagai ILM sutau singkatan bermaksud Ilmu dan Alam. Ilahi membentangkan lautan Ilmu di Alam ciptaanNya. Sebegitulah caranya dia, membesarkan Allah. Sebegitulah dia cuba memafaatkan kebesaran Alam ciptaan Allah. Alhamdullilah, segala usahanya sudah berhasil. Bukan sekadar kalui-kalui sudah boleh membiak, malah sudah ada tanda-tanda penghasilan kacukan yang punya warna-warni yang cukup menarik. Pak Munsyi yakin dia telah berjaya menghasilan benih F3 dari segala persenyawaan silang antara F2 dan benih tulin F1 yang dia beli dan perolehi dari pelbagai tempat. Pak Munsyi yakin, dalam lawatannya ke beberapa Kedai Ikan Perhiasan di seluruh Negara, bahkan di Indonesia dan Thailand, belum pernah dia menemui anak-anak kalui berwarna warni seperti yang dihasilkannya. Dia amat bersyukur kerana Allah sedang memberikan dia satu rahmat yang orang lain mungkin sukar perolehi. Pak Munsyi yakin, dia akan dapat mempelopori Perusahaan Ikan Hiasan Kalui dalam sedikit masa lagi. Dalam
hati Pak Munsyi, tertanam rasa barakah, betapa mengikuti jejak Muhammad SAW dan para sahabahnya terus berbakti kepada alam akan memberikan kebahagian dan kepuasan yang lain. Jika sahabah Rasullulah dapat mengacukkan kurma, Pak Munsyi
telah berjaya menemukan jalan bagi mengacukkan kalui.
Bukan kepalang riuh rendah Guntur bersama teman-temannya bergelumang selut lumpur saat membersihkan kolam. Apa lagi hiruk pikuk hilai tertawa para tetangga bila melihat mereka saling berlanggaran saat mengejar menangkap kalui-kalui. Gerimis malah tikaman hujan tidak mereka pedulikan. Semuanya menimbulkan keseronokan. Malah beberapa tetanga juga turut membantu mereka. ”Bapak, kalui di kolam pertama tidak banyak yang terlepas. Rasanya sebahagian besar kalui-kalui dewasa masih ada hanya sedikit sahaja anak-anak kalui yang terlepas” lapur Guntur kepada Pak Munsyi saat kolam tersebut telah selesai dia bersihkan. ”Syukurlah. Rezeki kita masih utuh” balas Pak Munsyi. ”Kalau dua tiga hari ini terus hujan, kolam itu dapat kembali dipenuhi air, baru Guntur bersihkan kolam nombor dua dan seterusnya” ujar Guntur selanjutnya. ”Kamu periksa baik-baik gua-gua bagi penetasan kalui-kalui itu. Bersihkan dari limpahan lumpur. Juga segala tanaman di sekeling dan di dalam kolam perlu dijaga baik-baik seperti sebelumnya bah. Ganti cepat mana-mana yang mati atau rosak. Pergi ke Kota cepat dan belikan anak-anak udang serta anak-anak seluang dan lepaskan di kolam tersebut. Bapak rasa semua anak-anak udang dan seluang sudah semua terlepas.” peringat Pak Munsyi
Urusan puyuh dan kolam ikan, sering Pak Munsyi biarkan untuk diurus oleh Guntur. Dia hanya cuba membimbing dari terus terlibat keras. Anak itu, biar umurnya baru 15 tahun, sudah punya daya usahawan tersendiri. Dia cepat mempelajari selok belok penternakan puyuh. Pak Munsyi juga sedang mengasuh dia untuk segera memperlajari cara ternakan ikan hiasan terutama ikan kalui. Pak Munsyi yakin, berdasarkan lawatan-lawatannya ke Indonesia, ikan kalui bukan sekadar mempunyai potensi besar untuk menjadi ikan hiasan, malah ianya adalah Juadah Istimewa yang belum sesiapa terokai baik di Malaysia. Pak Munsyi ingin mempelopori bidang ini. Diam-diam dia sangat bersyukur betapa Guntur, anak Kampung jika terdedah dan terdidik baik, pasti juga akan bisa menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti. Juga dia amat bersyukur kerana mengambil keputusan tekad bersama Bakri sepuluh tahun dahulu untuk mengundur diri dari makan gaji dan terus hijrah menetap di Kampung. Membawa Guntur menetap di Kampung, mendidiknya sebagai anak Kampung sepenuhnya dalam suasana Kampung menempuhi alam serba kekurangan dan payah, Pak Munsyi berkira akan membentuk jiwa merdeka dan berdaulat kepada anak itu. Dia mahukan Guntur dewasa dalam alam penuh perjuangan. Dia tidak mahu Guntur dewasa dalam penuh kemudahan senang lenang Kota. Mudah-mudahan barakah jejak langkahnya Muthalib, datuk kepada Rasullulah SAW akan melimpah kepadanya, dalam mendidik Guntur pada jalan mendidiknya Muhammad SAW di saat anak-anaknya di luar Kota di Padang Pasir gersang dalam kehidupan bebas merdeka berdaulat Badui. Bukan sekadar itu, Pak Munsyi kepingin sekali Guntur akan menjadi ahli perniagaan yang besar, yang akan punya sifat-sifat Umar Al Khataab RA, akibat mengertinya dia akan susah peritnya hidup payah miskin saat anak-anaknya, mengembala di bawah bimbingan keras bapanya. Pak Munsyi memperhitung, kepayahan, kekurangan, kerja keras dengan iringan bimbingan kasih yang sederhana akan menjadikan Guntur suatu waktu nanti menjadi Insani yang jujur, cekal dan berani. Dia tidak mahu menatang Guntur bagai menatang minyak yang penuh. Dia kepingin bersama alam mendidiknya agar dia boleh mengerti hubungan alam dan Pencipta segalanya. namun apapun, Pak Munsyi berserah segalanya kepada Allah. Dia seharusnya terus saja berusaha pada jalan baiknya, tentang kesudahannya biarlah Allah menentukan segalanya. Juga Pak Munsyi kepingin sekali membangkitkan sifat-sifat keusahawanan di kalangan penduduk Kampung samada secara perseorangan atau kumpulan. Dia kepingin mempelopori gerakan menyubur buidaya berdagang di kalangan masyarakat kampung, agar mereka mendapat limpahan rezeki yang lebih sebagaimana jalan kehidupan Muhammad SAW di saat remaja baginda. Sifat dagang masyarakat Kampungnya yang sudah berkubur ingin dia kembali suburkan. Sebetulnya sebegitulah kemahuannya, saat dia memujuk agar Bakri terus menetap bersamanya di Kampung sepulangnya dari perantauan panjangnya. Dia mahu bersama Bakri yang dulu sangat hebat dalam mengembang perusahaan majikannya dalam sektor perladangan dan pembangunan hartanah untuk sama mengembeling tenaga bersamanya menyedarkan masyarakat desa sekitar Kampungnya untuk bersama memperkukuhkan perekonomian masing-masing. Namun, dengan kaburnya Bakri kali ini, dia yakin, dia terpaksa memikirkan jalan lainnya untuk mencapai cita-citanya itu.
Sesungguhnya bah yang melanda, bukan sekadar mencabar Pak Munsyi mengenai pengurusan puyuh, ikan kalui dan sawitnya. Bah yang melanda telah memberikan dia satu pandangan baru tentang langkah-langkahnya selanjutnya. Sekali bah, sekali pantai berubah, begitulah perumpamaan falsafah hidup Melayu yang harus dia segera manafaatkan. Tanpa Bakri, teman akrabnya, adik angkatnya, dia mendepani bah tanpa musibah yang menguncangkan. Bah juga sepertinya telah memberikan ruang buat Guntur untuk mengenal saudara dan sahabat. Anak itu kini sepertinya, sudah punya pengikut-pengikut yang setia. Saban hujung minggu bila ke Kota, pasti ramai yang mahu mengikut membantu dia memunggah segala belian khususnya baja makanan puyuh dan kalui. Juga mereka sepertinya mulai berminat untuk membantu dalam menyusun sembelihan puyuh-puyuh ke dalam Ice Box bagi hantaran ke pelbagai tempat. Saban malam Jumaat selepas Maghrib, sekitar lima ke tujuh orang dari mereka akan berkumpul di rumah Pak Munsyi berBBQ lalu berbincang tentang urusan masing-masing untuk dua hari berikutnya. Kehadiran mereka, kini dapat perlahan-lahan mereda sesal Pak Munsyi akan kaburnya Pak Bakri. Hilai tawa senda gurau anak-anak itu, saat mereka makan-makan dan bermain guitar bernyanyi parau melolong melampias fikiran Pak Munsyi dari terus berduka mengingati Pak Bakri. Sesekali dia bersama mereka bernyanyi Berita Kepada Kawan, Sally dan Semalam Di Malaya
Demi Allah
Pak Munsyi sendiri di kamarnya. Dia terasa agak malas mahu ke mana-mana. Sarapannya paling ringkas. Sekadar segelas kecil susu segar dan beberapa biji kurma. Dia kembali baring di ranjangnya. Fikirannya melayang-layang. Dia sedang berfikir. Berfikir hebat. "Aku, banyak mahuku. Banyak keinginanku. Juga keras usahaku. Tetapi di mana aku?" Dia bersoal berbalas dalam dirinya. Dia mengeluh. Sesal? Kecewa? Marah? Dia menyelami hati nuraninya. "Di mana aku? Dia terus bertanya-tanya. Sorotan mentari kian terik. Dia bangkit lalu Sholat Duha. Dia berdoa, agar Allah terus memberikan dia hidayah untuk terus berdiri dan berjalan tegap. Dia mencapai Sirah Rasullullah SAW. Dia membuka beberapa lembaran terakhir buku itu. Dia membaca, mengikuti hati-hati. Dia meneliti, setelah Allah memperakukan: "Aku relakan Islam sebagai agamaKu, Al Quran sebagai pengajaran sempurnaKu, dan tugasanmu, Muhammad SAW, sebagai persuruhku telah sempurna tertunaikan" akan kejadian selanjutnya kepada Muhammad SAW. Baginda jadi gering. Baginda banyak membiarkan Abu Bakar As-Siddique RA untuk menguruskan segala tugas kemasyarakatan bahkan pengImaman baginda. "SubhannaAllah, apapun, segalannya, pada semua pasti Engkau sedang mempertunjukkan sesuatu. Berilah hidayah kepadaku untuk mengerti akan maksudMu akan hari-hari terakhir Muhammad SAW persuruhMu"
Di luar jendela kamarnya, sepohon melati sedang subur menghijau. Di sana-sini di hujung tunas dahan mekar bunga-bunga putih semerbak harumnya. Burung-burung madu, rama-rama, para lebah dan semut silih berganti hinggap, merayap menikmati menyantap sari madunya. Namun, apa hasilnya untuk Melati? Ada ketikanya mereka berdatangan meriah ramai-ramai. Gembirakah Melati atas kedatangan mereka? Saat mentari kian meninggi, semua kemudian pergi, dan melati terus saja berdiri sendiri. Apakah Melati akan sepi? Sedang di hujung lain, siap kuntum-kuntum sedang dalam pelbagai peringkat mekarnya. Pohon melati rimbunnya sedang mempamir segala peringkat kemekaran kembangannnya. Ada yang baru berputik, ada yang baru mekar, ada yang sudah berguguran kelopaknya, dan ada sudah kering layu hitam. Beranika. SubhannaAllah. Inikah maksudnya, teman tertawa berlambak, teman menangis tiada atau patah tumbuh, hilang berganti? bisik hati kecil Pak Munsyi diam-diam dalam-dalam. "Atau, sang Melati tersangat akur, itulah fitrahnya, mengharum segala semerbak, menghias solekan sesiapa, mengisi kenyang perut sesiapa, dia hanyalah sepohon yang akan terus berdiri di situ, hujan, kemarau, panas, redup, pagi, malam, tidak lain adalah itu fitrahnya. Jangan disoal, jangan disesal, usah diperhitungkan. Maka Melati tiada bicara. Tiada suara. Dia diam. Dia menerima. Dia redha.
Mata Pak Munsyi berbalik-balik antara Sirah Muhammad SAW dan Melati di pinggir kamarnya. Jalan fikirnya juga berulang-alik antara Sirah dan Melati.
.. .. . . ... ....bersambung
Demi Allah
Pak Munsyi sendiri di kamarnya. Dia terasa agak malas mahu ke mana-mana. Sarapannya paling ringkas. Sekadar segelas kecil susu segar dan beberapa biji kurma. Dia kembali baring di ranjangnya. Fikirannya melayang-layang. Dia sedang berfikir. Berfikir hebat. "Aku, banyak mahuku. Banyak keinginanku. Juga keras usahaku. Tetapi di mana aku?" Dia bersoal berbalas dalam dirinya. Dia mengeluh. Sesal? Kecewa? Marah? Dia menyelami hati nuraninya. "Di mana aku? Dia terus bertanya-tanya. Sorotan mentari kian terik. Dia bangkit lalu Sholat Duha. Dia berdoa, agar Allah terus memberikan dia hidayah untuk terus berdiri dan berjalan tegap. Dia mencapai Sirah Rasullullah SAW. Dia membuka beberapa lembaran terakhir buku itu. Dia membaca, mengikuti hati-hati. Dia meneliti, setelah Allah memperakukan: "Aku relakan Islam sebagai agamaKu, Al Quran sebagai pengajaran sempurnaKu, dan tugasanmu, Muhammad SAW, sebagai persuruhku telah sempurna tertunaikan" akan kejadian selanjutnya kepada Muhammad SAW. Baginda jadi gering. Baginda banyak membiarkan Abu Bakar As-Siddique RA untuk menguruskan segala tugas kemasyarakatan bahkan pengImaman baginda. "SubhannaAllah, apapun, segalannya, pada semua pasti Engkau sedang mempertunjukkan sesuatu. Berilah hidayah kepadaku untuk mengerti akan maksudMu akan hari-hari terakhir Muhammad SAW persuruhMu"
Di luar jendela kamarnya, sepohon melati sedang subur menghijau. Di sana-sini di hujung tunas dahan mekar bunga-bunga putih semerbak harumnya. Burung-burung madu, rama-rama, para lebah dan semut silih berganti hinggap, merayap menikmati menyantap sari madunya. Namun, apa hasilnya untuk Melati? Ada ketikanya mereka berdatangan meriah ramai-ramai. Gembirakah Melati atas kedatangan mereka? Saat mentari kian meninggi, semua kemudian pergi, dan melati terus saja berdiri sendiri. Apakah Melati akan sepi? Sedang di hujung lain, siap kuntum-kuntum sedang dalam pelbagai peringkat mekarnya. Pohon melati rimbunnya sedang mempamir segala peringkat kemekaran kembangannnya. Ada yang baru berputik, ada yang baru mekar, ada yang sudah berguguran kelopaknya, dan ada sudah kering layu hitam. Beranika. SubhannaAllah. Inikah maksudnya, teman tertawa berlambak, teman menangis tiada atau patah tumbuh, hilang berganti? bisik hati kecil Pak Munsyi diam-diam dalam-dalam. "Atau, sang Melati tersangat akur, itulah fitrahnya, mengharum segala semerbak, menghias solekan sesiapa, mengisi kenyang perut sesiapa, dia hanyalah sepohon yang akan terus berdiri di situ, hujan, kemarau, panas, redup, pagi, malam, tidak lain adalah itu fitrahnya. Jangan disoal, jangan disesal, usah diperhitungkan. Maka Melati tiada bicara. Tiada suara. Dia diam. Dia menerima. Dia redha.
Mata Pak Munsyi berbalik-balik antara Sirah Muhammad SAW dan Melati di pinggir kamarnya. Jalan fikirnya juga berulang-alik antara Sirah dan Melati.
.. .. . . ... ....bersambung
Nota:
Beberapa foto ilustrasi adalah dari capaian di internet. Terima kasih kepada yang telah membuat posting bagi foto-foto tersebut:
(1) The old man walking stick;
(2) The Big Flood;
(3) The Boy glaring into the future;
(4) Species of Gurami;
0 comments:
Post a Comment