Di sekitar 1976, saya berkesempatan untuk mengikuti Pidato Abuya Hamka di sekolah saya SMSAH Jitra, Kedah. Itu adalah 37 tahun dahulu. Saya tidak ingat semua Pidato beliau. Namun saya ingat akan satu perkara, iaitu apa yang kini disebut sebagai telephaty atau Six Sense. Dalam istilah Abuya Hamka, itulah apa yang disebut sebagai perhubungan batin. Kerana dia berpidato di depan anak-anak sekolah dari umuran 13-19 tahun, maka persoalan kasih sayang dan menghormati ibu bapa sangat beliau tekankan. Begitu juga, beliau sangat mengambil berat agar para pelajar, apa lagi di sekolah seperti SMSAH itu, betapa menghormati guru adalah utama, agar semua akan mendapat barkat lalu semua menjadi bijak pandai. Abuya Hamka, jika dirujuk dalam senarai Islamic Thinkers, dia sepertinya adalah antara yang tersenarai bersama Naquip Al Atas dari dunia sebelah sini. Dia bukan sekadar Ulama, tetapi adalah pejuang Melayu yang cekal.
(2) Dalam soal telephaty beliau berhujah, "bila kita, anak-anak terpisah dari ibu-bapa, maka sedar atau tidak sedar ibu-bapa kita akan sentiasa ingat akan kita. Dalam doa, semasa makan, semasa hendak tidur, saban waktunya, kita tidak akan pernah luput dari ingatan mereka. Semua ingatan itu adalah agar kita selamat, agar kita sihat walafiat. Maka sebagai imbalbalas, kita juga tidak harus lupa akan susah payah orang tua, bertungkus lumus mencari rezeki untuk membiaya persekolahaan kita. Kita harus belajar bersungguh-sungguh. Tidak nakal. Patuh kepada guru. Mengikuti didikan dengan sepenuhnya. Berkawan dengan baik. Jika itu semua dipatuhi, InsyaAllah semua akan berasa 'bahagia, aman tenteram'". Sebabnya, kata beliau "dilingkungan kita, ada 44(?) malaikat yang menjaga kita. Jika anak ingatkan ibu contohnya, salah seorang dari malaikat yang menjaga kita akan terbang berkhabar kepada malaikat yang berada di keliling ibu dan membisikan betapa sang anak sedang 'ingatkan dia'. Lalu malaikat itu mengetuk hati sang ibu, maka dia juga akan teringat akan si anak tadi". Hujah beliau sangat terkesan sekali. Saya lihat para guru turut terdiam menghayati. Apa lagi murid-murid juga seperti semua bersopan. Sebetulnya bila saya ingat akan peristiwa itu, Abuya Hamka, bukan hanya mengingatkan para remaja namun dia juga mengingatkan para guru agar terus ingat akan anak muridnya agar ada hubungan batin antara mereka lalu terus terjalin keberkatan ilmu. Beliau juga menyatakan seba kenapa Allah menghadirkan para malaikat untuk bersama kita, tidak lain tidak bukan sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita. Sengaja mereka diadakan untuk terus melindungi kita selagi kita bersih dan benar. Di situlah kebjiksanaan Abuya Hamka tentang cara dakwahnya. Dia mengerti subjeknya. Dia mengerti keutamaannya. Dia juga mengerti di mana laparnya para pendengarnya.
(3) Kini bila saya mengikuti ceramah-ceramah agama, biar di Masjid, TV, apa lagi di You Tube, khusus yang diberikan oleh para penceramah Melayu, sungguh kurang akan ilmu yang cuba di sampaikan. Sering kita akan terpesong ke jalan politik kutuk mengutuk paling tidak sindir menyindir sehingga menjadikan pendahaga ilmu naik muak nak muntah. Cubalah ikuti kini, banyak ceramah di You Tube tentang Islam yang disampaikan oleh para penceramah di luar negara, khususnya dari India, Amerika, London, Afrika Selatan, Pakistan dsb terasa sangat jauh jurang ilmu antara penceramah kita berbanding dengan mereka. Bayangkan bagaimana, umpamanya Ahmad Deedat (Afrika Selatan), Khalid Yasin, Dr Zakir Naik (India), Abdul Rahman Green, dan Husein Yee (asalnya Malaysia) dalam banyak pidato mereka, ada penonton yang memeluk Islam pada saat bersoal jawap dengan mereka. Apakah fenomena ini pernah terjadi di Negara ini? Jika tidak ada, kenapa?
(4) Kalau kita baca betul-betul, Muhammad SAW dan para sahabah, bila mereka berpidato, bagaimana agaknya cara dan gaya mereka? Sememangnya saya sedikit bias tentang gayanya Umar Al Khatab RA, Ali Abi Thalib RA, Usman Affan RA, Umar Abdul Aziz RA lantaran kerana tidak jelas keadaan Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddique RA saat mereka berpidato, namun begitu dari gambaran zuhudnya mereka, pastinya cara mereka adalah paling sederhana. Mereka berpakaian paling sederhana. Tetapi penghias maha agung pada diri mereka adalah Ilmu dan akhlak yang ada pada mereka. Itulah sinar sebenar yang tergambar dari suara dan gaya tubuh mereka. Juga kalau kita lihat akan cara Ahmad Deedat, Khalid Yasin, Zakir Naik, bahkan Husein Yee, dan apa lagi Abuya Hamka, cara mereka berpakainan dan berperwatakan adalah paling sederhana. Saya melihat mereka sangat menyesuaikan diri dengan audience mereka.
(5) Pertama dari sudut ilmu, cuba lihat caranya Zakir menjelaskan soal poligami. Jika Uztaz atau Ustazaha Melayu disoal akan hal ini, pembuka jawabannya pasti Allah sudah beri kuota, maka gunakanlah!. Biar ianya mungkin sekadar senda gurau, namun, pasti ada kesan sampingannnya. Sedang bagi Zakir, pembuka jawabannya adalah "Hanya Islam dan Al Quran, satu-satunya agama dan doktrin yang membenarkan seorang lelaki berkahwin hanya satu. Tidak agama-agama lain. Tidak Yahudi, tidak Kristian, tidak Hindu". Malah beliau terus memberikan hujah-hujah yang boleh membungkam semua. Father Siram dalam Hindu, isterinya ada tiga. Begitu juga Lord Khrisna ada 16,108 orang. Agama Yahudi tidak pernah membatas berapa ramai isteri penganutnya. Begitu juga agama Kristian. Ibrahim AS asal salasilah Yahudi, isterinya ada tiga, begitu juga Raja Yahudi Sulaiman AS ada 700 isteri. Pembatasan isteri satu di kalangan penganut Yahudi hanya dibuat pada 1950 oleh Ketua Rabbi, bukan ketentuan agama. Kitab Taurah tidak pernah membatas jumlahnya. Begitu juga dalam Kristian. Gereja yang membataskan perkahwinan tunggal, bukannnya ketentuan Injil. Di India, Kanun Jenayah India pada 1954 yang menetapkan penganut Hindu hanya boleh kahwin satu, bukan ketetapan agama Hindu. Sedang Islam, hampir-hampir dari awalnya, 1,400 tahun dahulu telah menetapkan penganutnya agar hanya kahwin tunggal jika si lelaki adalah tidak mampu berlaku saksama.. Pendeknya, apa yang jelas, bukan hanya beliau dapat menjelaskan dan mempertahankan pendirian Islam, bahkan dia mengembangkan ilmu mengenai soal itu jauh menjangkau agama-agam lain. Di sinilah hebatnya, jika pendakwah Islam adalah juga penyelidik yang teliti dan meluas. Bukan sekadar itu, Zakir juga berhujah betapa masalah lesbian di Barat adalah akibat antaranya mereka sedang kekurangan lelaki. Di Amerika umpamanya, ada lebih kurang 5,000,000 (?) gays. Dalam masa yang sama juga ada 7,000,000 (?) sedang meringkuk di dalam penjara. Berjuta lagi sedang menghadapi masalah dadah. Segala macam masalah yang dihadapi oleh kaum lelaki di Amerika, maka pasti itu semua menyumbang kepada masalah bagi perempuan Amerika jika semua mereka ingin berumah tangga secara sempurna, sekurang-kurangnya 20,000,000 (?) tidak akan dapat bersuami. Sama halnya di Jerman. Juga di negara-negara Barat lain.
(6) Keduanya, biara kita kembali kepada perwatakan. Lihatlah cara para pendakwah asing tersebut berpakaian. Cukup sederhana. Kenapa? Mereka tidak berpakaian ala-Model. Mereka tidak bercelak mata, begincu tebal, dsb. Mereka membina keadaan selesa memandang, tiada pemesongan deception mereka menghindar fitnah. Umar Al Khatab RA pakaiannya sama saja dengan makmum saat dia berkhutbah. Bahkan ada ketika jauh lebih miskin. Sebegitulah Umar Abdul Aziz RA cucunya biarpun dia mentadbir sebuah Kerajaan yang kemiskinan telah terhapus. Bahkan watak mereka di atas pentas pun sangat sederhana. Lihatlah pada sisipan foto di sebelah. Sesungguhnya di zaman dulu, orang Melayu kebanyakan sangat mudah untuk didekati kerana mereka selesa dengan cerdik pandai mereka. Tok Kenali, Zaaba dsb bersikap seperti basa-biasa. Tidak perlu bermewah atas tujuan melakukan sesuatu itu biar sampai dan demi Allah. Lain dengan kita sekarang ini. Entah berapa ratus ribu kita belanjakan untuk Majlis Forum Perdana?. Mungkin satu atau dua Forum sudah cukup untuk belanja buat Dewan Terbuka Sekolah. Apa lagi jika yang berceramah itu, sudah punya gelaran, dan atau berpangkat. Pentas harus sempurna. Setakat kerusi plastik dan air kosong rasanya kurang manis. Majlis memperkenal diri saja sudah boleh menyebabkan pendengar berdengkur panjang. Bagi sebilangan penceramah wanita, pakaian mereka, bukan main bergemerlapan. Cincin, gelang, segala buakn main terserlah. Di mana tokoh keIlmuan mereka? Itu tidak terpecar hebat. Yang hebat adalah pakaian dan perhiasan diri dan pentas. Kita hendak berdakwah atau sedang memperagakan feshen? Melayu sepertinya sedang mempamirkan betapa Islam itu adalah jalan mahal. Maka dengan sebab itulah, maka pepatah Melayu menjadi kebenaran: Ustaz dan Uztazah kecing berdiri, pendengar kecing bertaburan. Bagaimana agaknya para pendengar akan dapat menghayati umpayamnya hidup bersedrahana sedang yang di depan mata berjela-jela? Sesungguhnya saya kian melihat betapa banyak dari Majlis Agama Islam kita adalah sekadar pamiran yang tidak memperkuat Ilmu Islam dan akidah sebenar. Inilah masalah kita, masalah umat Islam Melayu kita, para guru kita lebih suka bercakap dari membuktikan teladan betul. Sayang. Sampai kapanpun kita akan terus kelam kelibut untuk mencari yang sebenar benar. Ilmu tidak sampai dan berkembang dalam bangsa Melayu, maka sebab itu kita terus mengundur ketinggalan.
(7) Wajarlah para cerdik pandai Melayu menjadi benar-benar cerdik pandai Melayu. Bukan cerdik pandai Arab, Farsi, Turki, Mat Salleh, Pakistan atau apa saja yang celup. Biarlah kita menjadi Melayu biasa. Melayu yang biasa-biasa agar mudah Melayu biasa mendampingi kita. Saya berkira, itulah sebabnya maka Muhammad SAW serta para sahabahnya terus zuhud biarpun mereka adalah pembesar Negara, kerana mereka ingin sampai kepada perintah Allah agar mereka membina jalan lurus buat UmatNya. Allauwallam.
Kuching, Sarawak
223 March, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment