.

1/1/13 NAFSU DI BALIK SIKAP, BICARA DAN RAUT WAJAH MEREKA...

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - January 02, 2013

Share

& Comment

Saya tidak memulakan rencana pertama saya pada tahun ini dengan sesuatu yang terlalu asing. Saya tiada azam baru. Tiada gegak gempita baru. Cuma mengulas yang semalam yang akan berlanjutan sampai bila-bilapun dan mungkin ianya akan menjadi sesuatu yang akan menganggu kehidupan masa depan banyak orang. Biarlah saya bercerita tentang kenapa dalam sebulan dua ini saya agak diam.Sebetulnya sejak kebelakangan ini saya cuba memperdalam keupayaan saya untuk membaca seseorang berdasarkan gerak laku, bicara dan atau raut wajahnya. Dulu-dulu kemahiran sebegini disebut sebagai berfirasat atau ilmu kebatinan, namun kini ianya lebih kepada body language reading atau saikologi

(2) Sebetulnya dalam sebulan dua lepas saya sibuk melayani beberapa teman yang bertandang ke Kuching dan akhirnya menjadi tetamu saya di Kampung, disamping berusaha berfikir dan berteriak mengajak orang-orang Melayu di Asajaya untuk bangkit Tahajjud dan Subuhan. Saya melihat masih terlalu banyak orang Melayu lebih gemar Maghriban dan Isyaan sedang Dzhor dan Assar lebih banyak untuk makan, minum dan santai. Dalam tulisan ini saya ingin berkongsi pengamatan prilaku terhadap tiga dari beberapa keluarga yang bertandang tersebut. Tujuannya, mungkin baik untuk difikir dan dilihat bagaimana sosialisasi kini telah jauh berubah yang memungkinkan banyak kecelaruan akhirnya. Saya akui persampelan pada tiga keluarga tidak akan mewakili sekitar 5,000,000 keluarga yang ada di Malaysia. Namun, api tidak bermula dari kecil. Nila setitik boleh merosakkkan susu sebelanga.

(3) Keluarga A. Si suami sangat berjaya. Punya 13 klinik bersekutu. Mendapat kontrak dalam perkhidmatan khusus dari sebuah syarikat gergasi Negara serta badan berkanun Kerajaan. Pokoknya, dia seorang Melayu yang sangat berjaya. Watak suami sangat lembut. Kelihatan sangat warak. Hati-hati. Berjiwa seni. Suka seni taman. Gemar lukisan. Suka musik-musik berbentuk slow but shooting. Pemerhati. Si isteri, sedikit galak, cantik, sopan santun, pemurah, juga kelihatan sangat baik-baik. Mereka berdua sangat gemar mempertingkatkan kefahaman Islam lewat usrah. Usrah mereka melewati batas Negara. Mereka saban tahun beberapa kali akan keluar Negara berhimpun bersama teman-teman seperjuangan untuk saling belajar antara satu sama lain. Selalunya mereka akan menjemput seorang pakar baru untuk turut serta.

(3b) Usrah di luar Negara, bersama-sama teman-teman setaraf. Libur atau Usrah? Keduanya seperti nada dicerita biar Usrah lebih digembar gemburkan. Pengasingan diri dari masyarakat kebanyakan dalam mendongkil dan melebarkan ilmu. Sepertinya ingin ke Syurga paling baik lewat kelompok kecil. Apakah itu caranya? Adakah semua ini adalah demi Allah atau berbaur nafsu yang masih belum dapat terkawal penuh?

(3c) Walaubagaimanpun ada sifat-sifat baik terjalin antara pasangan suami isteri ini. Ada ketikanya bila si isteri agak terlepas cakap untuk bersikap sinis dan kesasar, pasti sang suami akan menegur: "Janganlah. Itu pribadi orang. Jangan campur mengutuk jika tidak ada pelajaran darinya". Jika perkara yang hendak dibicarakan ada sifat prejudis, bersama mereka akan berkata: "Ini bukan untuk mengutuk, tetapi kita melihat ini sebagai teladan yang harus kita elakkan". SubhannaAllah, jika banyak manusia bersifat sebegini, akan bertukar jadi Syurgalah dunia ini.

(3d) Paling saya kagum dengan sang isteri, bila pembantu rumah saya sedang sibuk menyediakan juadah makanan, dia turut sibuk sama di dapur bukan sekadar membantu, tetapi turut belajar memasak dan menghidang apa-apa yang perlu. Sedang sang suami sibuk meneliti buku-buku yang saya baca. Begitu juga dia sangat asyik memerhati segala lukisan, CD, serta cara saya membangunkan seni taman di sekitar kediaman saya. Dan akhirnya kamipun berbincang soal mempertingkatkan keImanan di kalangan Ummah. Di situlah mereka bercerita tentang perjalanan Usrah mereka. Sedang saya hanya menyatakan betapa saya hanya ada sebuah Mushola 12 x 12 kaki persegi, di mana di sana saya adakan seorang guru untuk mendidik anak-anak agar mengerti maksud menghidupkan Islam. Kerana mereka adalah manusia-manusia yang sudah jauh pengalaman, dengan pantas mereka dapat meneka maksud saya iaitu menjadikan Islam sebagai jati diri anak-anak itu sedari kecil mereka. Mereka tidak mengaji sekadar mengaji, sholat sekadar sholat, puasa sekadar puasa, dsb. Mereka harus akhirnya memasyarakatkan Islam. Mereka membantu menjaga kebersihan. Mereka membantu menyiram pohon-pohon saat hujan lama tidak turun. Mereka bergaul dengan tidak ada perkelahian. Mereka belajar bersama-sama tanpa ada cemuh-mencemuh dsb. Saya paksa guru yang mendidik untuk memasyarakatkan dirinya dari hanyut bergelar ustazah sedang jijik untuk hidup sehidupnya. Paling saya bersyukur, mereka akhirnya sedar betapa mereka juga harus berusaha mendirikan Mushola dalam kelompok-kelompok kediaman dan membantu mengadakan guru-guru yang dapat memasyarakatkan Islam. Saya dapat menyedarkan mereka betapa Kafa sebahagian besarnya adalah usaha melepas batok di tangga.

(4) Keluarga B. Seorang Ibu Tinggal. Saya menggunakan istilah Ibu Tinggal dari Ibu Tunggal kerana sang suami masih ada serta masih sedikit pedulikan anak-anak. Ibu tunggal saya kira jika sang suami sudah tidak peduli, tidak mampu peduli langsung, dan atau telah mati. Maka kini sebetulnya lebih banyak Ibu Tinggal dari Ibu Tunggal. Semuanya terjadi bersebabkan isteri tinggalkan suami (minta cerai) dan atau sebaliknya (dicerai), maka wujudlah ibu tinggal. Beliau punya dua orang anak. Umuran tiga dan lima tahun. Anak-anaknya sangat lincah serta punya sifat ingin tahu yang sangat mendalam. Dalam tempoh terdekat saja mereka berdua dapat bersatu dengan anak-anak buah saya yang sebaya mereka. Saya amat tersangkut hati pada anak-anaknya. Si ibu, cantik, muda, bergaya.

(4b) Cuma, si Ibu, pribadinya, pribadi kota. Pribadi kantor saya kira. Mereka ke sini hendak liburan. Santai. Take everything easy. Kerana di waktu kerja, dia sibuk, dia penat, dia lelah, dia kalut, maka saat liburan, segalanya harus libur. Jangan buat kerja. Jangan kalut. Jangan sibuk-sibuk. Jangan susah-susah. Libur penuh. Santai gila. Sifat saya, saya gemarkan anak-anak. Melihat anak-anaknya seumuran itu, saya teringatkan pribadi anak-anak saya seumuran sama. Mereka perlukan perhatian. Mereka perlu kepedulian penuh. Tidak kira saat kita lelah atau tidak. Saat kita senang atau tidak, mereka perlukan kepedulian mutlak. Melihat sikap kota, sikap kantor, sikap women lib si Ibu, saya jadi gemes dan kasihan mendalam terhadap nasib masa depan anak-anaknya. Si Ibu terlalu sibuk dengan handphone, I-Pad, dan head musicnya, ngobrol bersama teman-teman lewat pelbagai gadget ini. Sedang saat anak-anaknya hendak ikut teman-teman baru untuk sama-sama mengaji dan sholat di Mushola, si Ibu acuh-tak acuh, bila si anak minta mandikan atau mahu tukarkan baju kurung dan tudung. Begitu juga saat anak--anak inginkan susu, pembantu rumah saya pulak yang kelam kelibut terpaksa menyediakan. Apa lagi soal menyediakan makanan, langsung dia tidak peduli. Tidak membantu di dapur biar sekadar membantu menghidang. Saat waktu makan tiba. Dia hanya enak makan. Meladeni anak-anakpun dia agak selamba. Mengambil sikap puan besar rumah sepertinya. MasyaAllah. Umur sudah 32 tahu, Anak sudah dua. Taraf sudah Ibu Tinggal, mungkin dia masih hayal dalam dunia maya. Tanggungjawap dan pribadi hakiki di depan mata, tidak dia pedulikan mutlak. Tidakkah sikap ignorance peranan sebagai ibu dan atau isteri menjadikan dia bertaraf Ibu Tinggal? KFC, McDonald, Piza Hut dsb telah merosak banyak. Ibu Tinggal ini sebetulnya sedang membiak lebih banyak lagi Ibu-Ibu Tinggal di masa depan. Anak-anaknya pasti sedang terdidik untuk bersikap tidak peduli. Mudah-mudahan saya salah. Ya Allah jauhilah bangsa ini dari terus terjerumus sebegitu.

. (4c) Sebelumnya si ibu telah bercerita bagaimana bekas suami tidak peduli langsung hal anak-anak. Nafkah langsung tidak ada. Harta jadi rebutan. Penjagaan anak jadi celaru. Sepertinya, kebencian antara keduannya, sedang membuah kecelakaan kepada anak-anak biarpun dulunya mereka berdua mendapat nikmat seronok maha hebat saat keduannya membenihkan mereka. Perempuan (betina) kini? Lelaki (jantan) kini? Kemanusiaan kini? Syukurnya di mana? Sesungguhnya pembacaan awal saya, jika si Ibu tidak cepat bertukar jadi ibu mithali dan mengorak langkah pantas menuju dakapan Ilahi, dia akan terus hanyut dalam seribu kemelut lagi. Saya nampak nafsu dan 'ego' masih sangat berbaur dalam diri si ibu ini.

(5) Keluarga C. Keluarga ini khusus saya datangkan dari jauh. Asalnya saya hanya berjanji untuk membawa dua anak-anak umuran 15 dan 16 tahun liburan ke Malaysia. Tujuanya untuk menjawab banyak persoalan yang mereka sering ajukan kepada saya tentang Malaysia dan bagaimana Malaysia boleh mencapai kemajuan jauh lebih pesat dari Negara mereka sedangkan Malaysia agak lewat merdekanya. Namun kedua ibu-bapanya ingin turut sama, maka saya datangkan keseluruhan keluarga tersebut.

(5b) Kerana di sebelah malam saya sibuk bertemu masyarakat Kampung di Asajaya, maka di sepanjang tempoh mereka bersama saya, saya bawa mereka secara begilir-gilir bertamu dengan masyarakat Kampung. Tujuan saya agar mereka mengerti betapa membangunkan masyarakat itu bukan sekadar mengharap, tetapi harus ada yang gila mengerakkannya biar terpaksa berkorban apa saja. Di samping itu, saya menduga ini akan menhasilkan beberapa ilham kemudiannya buat mereka. Di siang hari, saya mengajak mereka untuk membaca buku-buku yang saya miliki. Sang suami sibuk meneliti hukum tentang musik, nyanyian, lukisan, syair dan segala bentuk hiburan di samping perlahan-lahan mengikuti koleksi karya Lat. Kebetulan dia adalah pengiat seni ie musik, tarian dan lukisan. Rumusan buku-buku tersebut adalah haram, jadi ini menjadikan dia binggung. Saya berkira pasti dia sedang merasa bersalah atas professionnya kini. Maka saya menasihatkan dia: "Jaga dulu yang asas, perbetulkan segalanya, dan kerjakan sebaiknya. Lain-lain soal adalah soal-soal picisan dan selagi Iman tidak goyah, maka tiada apa yang harus dikhuatiri". Si isteri pula, sepertinya asyik membaca buku-buku bersifat pendidikan kemanusiaan khusus dari tulisannya Pak Hamka. Sedang anak-anak sibuk dengan gitar, kamera dan mendengar musik sambil bermain-main speda keliling kampung. Buat mereka, inilah kehidupan desa yang pertama kali mereka rasakan kerana sepanjang hayat mereka, mereka diam di tengah-tengah Kota. Mujur kini musim hujan, maka suhu di Kampung dan tempat asal tinggal mereka agak tidak berbeza.

(5c) Kebetulan juga di rumah saya ada collection buku-buku perubatan berbentuk Islami dan alami. Sang Isteri (ibu) sangat kepingin anaknya untuk jadi doktor, tetapi tidak tahu dalam bidang apa harus anaknya menjurus. Si anak pula masih tetap samar-samar. Saya memandu si anak dan ibu untuk meneliti buku-buku berkenaan dan akhirnya dapat mencungkil betapa si anak inginkan sebuah perushaan sendiri. Maksudnya, dia hanya ingin bidang perubatan sebagai batu loncatan untuk membina kehidupan yang senang seisi keluarga. Kedoktoran seperti pilihan yang dia fikir mampu depani. Pada saya bidang kedoktoran adalah a prodession without a window, pekerjaannya terkurung di kamar sempit dan manusia yang ditemui hanyalah berwajah-wajah payah. Saya tanyakan apakah itu akhir mahunya si anak. Jawabnya tidak. Sedang si ibu kata itulah jalan kepada kesenangan hidup!

(5d) Selama tinggal dengan saya, saya merasa hidup saya sedikit terganggu. Pertama mereka bangkit agak lewat. Saya entah berapa kali terpaksa mundar madir ke dapur untuk sarapan, namun mereka jam 0800 baru mulai mandi, sedang saya sudah habis membaca beberapa bab buku. Keduannya, sang isteri (ibu) sifatnya, benar-benar isteri/ibu bermaid. Sekali lagi pembantu rumah saya terpaksa membuat segala. "Kasihannnnn" kata pembantu P Ramlee dalam Anak Bapak. sesekali saya memeriksa keadaan kamar tidur selepas mereka keluar, saya jadi sasau bila melihat keadaannya tidak terurus. Cadar, selimut, bantal, bantal peluk, tuala mandi bahkan pakaian mereka tidak tersusun sedang segalanya sudah saya persiapkan. Paling dahsat, dan di luar dari pengetahuan saya, sang isteri/ibu seperti menafikan terus keberadaan sang suami yang hadir sama. Suami seperti tidak wujud. Saya tidak nampak dia meladeni suaminya. Ini sudah benar-benar di luar dari sifat dan budaya anak Sunda. Saya mulai berfikir, kenapa? Jelas dalam keluarga ini, sang suami/bapa hanyalah seorang pelukis, dan pemusik tradisional sambilan. Berkarya mulai dari jam 10.00 malam sehingga pagi dan siangnya tiduran. Sang isteri berniaga lukisan dan mencari lowongan apa saja buat kehidupan sekeluarga. Si suami, lembut, pendiam, tidak banyak omongan. Lebih suka memerhati dan merasa. Si isteri, sangat gemer berbicara, seperti bijak, namun ada gaya-gaya bossy.

(5e) Si isteri dan saya kadang-kadang berbicara panjang di lesehan atau gazebo tentang sesuatu hal kehidupan khusus dalam cara untuk meningkatkan pendapatan. Oleh kerana saya tahu akan struktur keluarga besarnya serta bentuk kediaman mereka, maka saya mengusul agar mereka membangun sebuah restro galaria dan menjadikan segala ruang rulo mereka untuk acara seni dan homestay. Akhirnya, saya ditanyai tentang bagaimana suami-isteri harus berperanan dalam membangun sebuah keluarga yang berjaya. Kebetulan saya teringat akan sebuah tulisan, yang menjelaskan: Betapa isteri itu terjadi dari tulang rusuknya lelaki, maka kejadian suami-isteri itu adalah kerana keserasian tulang tersebut kembali melengkapi rusuk asalnya. Saling melengkapi, saling melindungi. Maksudnya, jika tulang itu tidak kembali ke tempatnya, maka berlubanglah bolong rusuk itu, dan tidak lengkaplah ianya. Pun juga jika tulang itu tidak menemukan rusuk yang serasi, maka akan kering reputlah tulang itu akhirnya. Maka keduanya bila sudah menjadi suami-isteri, untuk terus hidup harus saling mendokong dan melengkapi. Maka kata saya: "Kerana kamu adalah isterinya, dia pelukis, kamu perniaga dan isteri, maka bantulah dia untuk lebih 'creative dan productive', sedang dia harus mendokong kamu untuk berjaya dalam perniagaan. Jika tidak, tulang dan rusuk harus terpisah ibarat dalam ilmu kedoktoran bahawa 'transplant' itu tidak serasi. Kerana waktu tidak boleh diputar kembali, jika perceraian harus terjadi, pasti akan ada yang gagal dalam hidup nantinya!". Dia mengakui, sambil ingin menangis sepertinya, betapa dia akan berpegang kepada falsafah itu, namun hari-hari bersama saya, saya tidak nampak adanya kemahuan sebegitu, mudah-mudahan Allah dapat menyisih bad habit die hard dalam dirinya.

(5f) Kini mereka telah pulang. Saya kembali merenung. Betapa suami jika telah hilang sifat jatinya sebagai suami iaitu memberikan kepimpinan dalam sebuah rumah tangga, dan membiarkan sang isteri menguasai segala, pasti gelora akhirnya. Saya menjangka, sang suami tadi diamnya adalah diam mengalah kebuntuan. Kemahuan sang isteri gara-gara si anak jadi doktor, bukan kerana dia mendapati masyarakatnya sedang sakit, tetapi sebagai cara untuk dia menikmati hidup mewah. SubhannaAllah. Mengertikah dia betapa anak dan bakat yang ada pada suaminya adalah pinjaman dari Alla semata-mata dan pasti ada tujuan hidup lainnya selain menjadi kaya dan bersenang lenang. Kini saya sendiri, aman kembali dapat merasa, betapa saat hati (nafsu) mengusai otak (fikiran) maka dunialah hambatan kita sedang kita sebetulnya menghambat dunia untuk kebaktian ganjaran di akhirat.

(6) Sesungguhnya, jika kita berusaha keras mengenali ciri-ciri nafsu, riak, dan takbur, saya berkira kita sedang menuju pengarapan pengertian cintakanNya sebulatnya. Semua itu kita boleh baca lewat firasat sebenarnya dari sikap, riak, bicara dan raut wajah sesiapapun. Mudah-mudahan.

Kuching, Sarawak
3 January, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.