hati nan pejal,
kutemui di sebuah perjalanan panjang
membeku bergumpal bersama sejarah silam nan perit
lalu dengan telaten
kukumpul tujuh wangian kembang, kusiraminya, tetap pejal
kukumpul tujuh dulang embun gunung, kusucikannya, tetap pejal
kubasuhinya dengan limpahan zam-zam, tetap pejal
kuberdoa dan bertasbih buatnya, tetap pejal
dan airmata kutetes di atasnya, pun kering sudah,
berbekas sekelumitpun tiada
pejalnya membatu
Ya Rabbi, pada Ibrahim aku berkaca
pada Abi Thalib aku bersandar
pada Nuh aku menduga
namun pada Yunus aku terpidana
apa lagi Yusuf menjadikan aku nanar
sekian waktu aku betah pada jalan nan kupilih
kini kupaksa untuk menoleh melangkah pergi
dan melepaskan
biar akhirnya aku berdarah bernanah sendiri
seperti Khaleed Al Walid tersedu di padang pasir menyendiri
Ya Rahim, pada pejalnya
ngak mungkin aku terus terkapar
padaku aku masih samar tentang Kau sembunyikan siapa sebetulnya aku
mungkin Kau hanya mahu aku mengutip hati-hati yang banyak nan masih berharap
hidupku bukan buat satu, seperti juga bukan buat aku seaku
aku terima
sehingga sampai waktunya Engkau perjelaskan
pada aturannya diketentuanMu
bukan maaf yang kupersembahkan
setulus mohon semoga benar jalananku
Ya Rahman bimbinglah terus kami bersama
jangan pejalnya remuk merugikan
dan aku tidak nanar kekaparan menjadi pejal bersama dan kalah
biarlah kami menerjal terus hidup yang keras ini
meninggalkan kelmarin menghambat esok
terasi, pendam, sarawak
1 Januari, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Assalamualaikum..
Salam tahun baru 2.jan.2013.
Tertulis sebuah cerita lama
Buat pembuka hari kedua
Hikayat Melayu Penglipur Lara
Sebagai pengubat hati yang nestapa.
Tersebut kisah adalah sebuah negeri di beri nama Beringin Teduh. Diperintah raja yang adil lagi wibawa.Bernama Indera Sakti bersemayam ditahta bersama permaisuri yang dicintai. Kembang Teratai nama diberi,baik budi pekertinya indah sekali.
Maka lahirlah anaknda dua bersaudara,cahaya hati bonda penyambung kasih penyeri istana.Seorang putera segak bergaya seorang puteri manis jelita, parasnya molek menawan tiada tandingan. Dipeliharalah anaknda keduanya penuh kasih sayang,ilmu didada buat bekalan dihari muka.
Hari berganti minggu,bulan berganti purnama genap masa remajalah puteri,wajah ayu umpama bulan mengambang penuh diawan,menjadi rebutan segala yang ada.
Masa beredar berlalu pergi, begitulah raja bertambah uzur gering sekali,sekalian rakyat berdukacita dan bergundah-gulana akan adanya.
Raja berdaulat raja disembah...
Arakian baginda pun memerintahkan akan Memana Menteri masuk mengadap, menitahkan segala urusan negara dipertanggungjawabkan ke atas batu jemalanya anaknda Sultan Muda yang tercinta.
Hatta anaknda Sultan Muda tersangatlah arif serta bijaksana segala,mentadbir negara penuh beradat,dperhalusi segala penuh berhemah.,mewarisi sifat kemuliaan ayahnda bonda keduanya.
Yang lemah digagahi,
Yang duka dihiburi,
Yang jauh didekati,
Yang susah disenangi.
Bertambahlah akan kasihnya rakyat negeri kepada Sultan Muda tidak terperi.Termaktubnya pemerintahan adil lagi bistari.Megah dan makmur segala isi rakyat jelata,bersumpah setia penuh rela.
Kasihnya raja kepada rakyat melebihi segala,bagai menatang minyak yang penuh,tertumpah sedikit tiadalah ia.Sedalam Lautan China Selatan dalam lagi cinta kasih hati beta...Kasihnya hamba sahaya sepenuh hati berpisah tiada.
Ku renung jauh hati nan rawan,
Mekar sekuntum anggerik berkembang,
Warna warni lagi menawan,
Berbau harum penuh setaman.
Semuga kita semua dipayungi rajayang bijaksana..
Semuga kita semua dimahkotakan dengan undang-undang yang adil lagi saksama..
Seiring dengan pembangunan negara ekonomi,politik dan sosial,menjadi harapan kepada rakyat yang berwawasan 2020;bersih,cekap dan amanah.
Janganlah kita menjadi seperti Pak Kaduk yang malang,"menang sorak kampung tergadai."Oleh kerana bebalnya ia menerima akan jemputan,berkayuhlah mudik ke hulu menongkah surutnya arus yang entahkan bila tibanya,berkayuh kehilir pula sudahlah deras akan air pasangnya,maka ditanakkan nasi dicurahkan pula ke tanah....
Begitulah alkisahnya...
Maaf jika penggunaan kata dalam pantun moden,lama dan Hikayat Melayu Lama agak kurang tepat untuk pembacaan remaja hari ini.Mungkin juga kedapatan penggunaan kata melayu klasik yang kurang sesuai masa kini tapi ia masih digunapakai didalam teks kesusasteraan melayu lama.Bagaimanapun,ianya hanyalah cerita ringkas yang mudah difahami oleh semua.Ia juga hanyalah sebagai tatapan umum pembaca buat penghibur hati yang duka.
Semuga kita semua mendapat petunjuk dan rahmat Allahswt.
Ya Allah,lindungilah kami dari ketakutan,Maha Besar Engkau Ya Allah yang senantiasa melindungi kami dari segala macam bahaya.
Semuga negara kami yang dicintai dan dikasihi ini tetapkan menjadi hak kami untuk selamanya.Tq.
Post a Comment