Bila saya mula berkhidmat dengan Kerajaan pada tahun 1986, di antara beberapa kawasan yang menjadi perhatian berat saya adalah Asajaya, Simunjan-Sebuyau, Meludam-Beladin, dan Matu-Daro. Inilah suatu masa dulu kawasan tadahan perikanan utama Sarawak yang penuh dengan masalah kemiskinan, perhubungan dan bah. Sesiapa yang berminat, bolehlah membaca Lapuran Kajian Sosio-ekonomi ADB-JPLS yang dibuat sekitar 1980an. Semasa di UPEN (SPU), (1986-1999) maka bila ada kesempatan untuk merancang pembangunan mega di kawasan-kawasan ini, saya amat teruja dan dengan gigih cuba melihat bagaimana kepayahan hidup masyarakat Melayu-Melanau (kemudian ini saya sebutkan sebagai Melayu) di kawasan-kawasan tersebut dapat dibela sebaiknya.
(2) Tujuan saya menulis rencana ini, adalah untuk bercerita khusus buat kajian dan renungan para pegawai Melayu yang berkhidmat dalam Kerajaan dan GLC bahkan pihak swasta, betapa adalah penting untuk mereka berpegang kepada prinsip Pinang pulang ke gagang, sirih pulang ke tampuk, ikan pulang ke lubuk. Melayu Kampung yang sudah berjaya dan kini menjadi Melayu bandar, Melayu celik perlulah kembali memimpin Melayu desa. Janganlah kita mengambil sikap hanya melihat si buta menyeberang jalan penuh sesak kesendirian, lalu saat kecelakaan mendatang, si buta mengelupur ditabrak mobil, darah menyimbah di jalanan, baru kita kesal menyesal. Namun nasi sudah menjadi bubur. Kita jangan jadi kacang lupakan kulit. Sesungguhnya sifat-sifat sebegitu selama ini telah menyebabkan desa asal kita lambat bangkit. Apalagi, sanak saudara sebangsa seagama terus terkial-kial bagai kerbau digigit agas. Mereka sangat memerlukan kepimpinan dari kita yang sudah celik.
(3) Juga ingin saya membawa pembaca khusus pegawai-pegawai Melayu yang muda-muda, yang bercita-cita hendak naik tangga biar setinggi mana, secepatnya, mengertilah betapa untuk membangunkan orang Melayu adalah sangat payah. Di seluruh dunia, usaha untuk membangunkan masyarakat Islam sebetulnya adalah sangat payah. Muhammasd SAW, Abu Bakar As-Siddeeq, Umar Al-Khataab, Uthman Affan dan Ali Abi Thaalib, biarpun mereka adalah manusia-manusia terpilih di sisi Allah, dulunya mereka terpaksa bertaruh harta dan nyawa demi menegakkan dan mengembangkan Islam. Maka kita manusia biasa, ujian yang perlu kita rempuh dalam soal beribadah sesama manusia hanyalah sekelumit getir sosial. Untuk membangunkan umat Melayu Islam, tiada pengecualiannya. Saya berkira, hukum azali Allah, Dia sememangnya akan mencabar sesiapa saja yang benar-benar mahu beribadah sekuatnya. Di mana saja, apa saja, jika orang Islam hendak beribadah pasti syaitan ada berkeliaran menghalang dan memesongkan kita. Itulah fitrah syaitan, dan itulah tabii yang Allah telah berikan kepada mereka, untuk terus menguji asak manusia. Namun, kegigihan kita dalam memecahkan cabaran-cabaran dan halangan-halangan itu, pasti ada ganjaran pahala dan syurganya. Maka, jika kita yakin, apa juga kerja yang mendatangkan kebaikan kepada ummah, ibadah; maka kita tidak usah gentar akan halangan, hadangan, cabaran yang perlu kita lalui. Cuma, biarlah kita menggunakan fitrah kebijakan akal dalam mengatasi semua itu.
(4) Jika dihitung sebagai gagal, maka sebetulnya bolehlah dianggap saya telah gagal untuk mengusaikan cita-cita saya untuk melihat ledakan kemajuan kepada bangsa Melayu desa di Sarawak. Saya sebetulnya telah terlewat untuk benar-benar mengasak agar masyarakat Melayu persisir Sarawak maju meledak. Namun, perhitungan Allah itu berbeda. Saya mengambil, keterlewatan untuk menerobos hati nurani bangsa Melayu khususnya para rakan-rakan sekerja untuk bermati-matian membangunkan bangsa, sebagai ada hikmah tersendiri. Dan hikmah itu sedang saya fikir hebat pada kedudukan saya bukan lagi sebagai penjawat awam. InsyaAllah mudah-mudahan, dendam saya ini terusai saat hembusan nafas saya yang terakhir saya lepaskan.
Latarbelakang Sosio-ekonomi
Sarawak luasnya sekitar 124,449.5 km persegi atau 12.50 juta hektar. Sekitar 20 peratus dari mukabumi Sarawak adalah tergolong sebagai kawasan persisir. Kawasan rendah persisir adalah terdiri dari 173,792 ha kawasan Paya Bakau dan sekitar 1,697,827 ha adalah Tanah Gambut. Walaubagaimanpun, sekitar 70-80 peratus dari penduduk Sarawak menempati kawasan persisir di mana boleh dikatakan hampir-hampir 95 peratus penduduk Melayu (Melayu, Melanau, dan Kedayan) menempati kawasan ini.
(2) Mengambil kira faktor pembangunan penempatan, agihan tanah kepada perusahaan besar serta kawasan simpanan, maka hanya sekitar 300,000-500,00 ha tanah adalah dalam penguasaan penduduk Melayu secara individu. Pasti angka ini sangat jauh berbeda dengan pemilikan Tanah NCR oleh kaum-kaum pribumi lainnya.
(3) Kawasan persisir Sarawak yang menjadi tumpuan kediaman orang Melayu rata-rata adalah kawasan paya bakau dan atau paya gambut. Kawasan ini dalam keadaan azalinya adalah kurang subur untuk bertani serta sangat sukar untuk diusahakan. Masalah kebanjiran samada dari air masin dan atau bah di musim tengkujuh, sering menjadi batu penghalang untuk masyarakatnya lebih industrious. Makanya asal rumah-rumah masyarakat di sini dibangun di atas tiang-tiang dengan halaman rumah yang becak berair. Pemeliharaan binatang ternakan menjadi terlalu payah. Penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan sangat payah. Pemakanan sempurna menjadi masalah besar masyarakat di sini terutama sehingga ke awal 1990an. Dan ini akhirnya mempengaruhi pembentukan otak dan tubuh badan masyarakatnya. Kerjaya asal masyarakat di sini adalah sebagai nelayan sungai dan persisir, dan kemudian bertani mulanya menanam padi sekadar cukup makan, lalu kemudiannya menanam kelapa secara pekebun kecil. Sesungguhnya di zaman kerja pembalakan yang berlambak dalam tahun 1970an, kebanyakan lumber jack adalah dari kawasan-kawasan ini. Biar apapun kerjaya mereka, semuanya adalah sekadar cukup makan.
(4) Di Matu-Daro-Mukah dan sebahagian di Pusa, penduduk di sana menanam rumbia sebagai tanaman utama. Tanaman ini dalam keadaan biasanya sangatlah tidak menguntungkan. Cuma bila ada usaha-usaha pembangunan prasarana tebatan banjir barulah masyarakat di kawasa-kawasan ini meneroka bidang tanaman selingan seperti kopi, koko dan pisang. Kerana tanah mereka kecil, serta pelbagai halangan fizikal, kehidupan mereka sangat payah untuk berubah.
(5) Asakan keadaan khususnya akibat pemecilan oleh jaringan sungai-sungai dan anak-anak sungai serta masalah kesuburan tanah, menyebabkan kemiskinan menjadi resepi kehidupan biasa di sini khusus sehingga awal 1990an. Masalah perhubungan menjadikan harga barangan keluaran menjadi terlalu murah dan sukar dipasarkan sedang
barang keperluan lain menjadi terlalu mahal dan sukar diperolehi. Keadaan ini, terus menjerumus masyarakat setempat dalam gaung kemiskinan yang sukar dipanjat. Kemiskinan, seperti biasanya menimbulkan masalah keciciran pendidikan dan akhirnya mewujudkan rantaian dan kitaran kemiskinan yang berputar-putar ganas. Sungai-sungai ini juga telah menimbulkan jurang sosialisasi yang hebat sehingga kini, masih sukar untuk menyatukan hati dan jiwa masayarakt-masyarakat di sini untuk menjurus kepada kesepaduan ekonomi yang utuh biarpun mereka serumpun sekandang.
(6) Banyak dari mereka kini telah berhijrah ke bandat-bandar di selurtuh Sarawak terutama ke Kuching, Bintulu, Miri, Sibu dan Sarikei. Cuma sedihnya, banyak dari mereka terpaksa hidup sebagai masyarakat persinggahan setinggan di mana-mana. Tabun Melayu-Dayak, Bintawa, Gita Kubur, Seberanf Wharf Express (sekarang letaknya BCC), Kampung Dagang (Bintulu, Miri, dan Sibu), Sg Plan (Bintulu), dsb adalah contoh-contoh kloni-kloni masyarakat persinggahan ini. Mereka hidup, banyak sebagai setingan yang sering menjadi manusia perburuan.
Cabaran dan Prinsip Perjuangan
Seimbas pandang, pastinya masyarakat Melayu sedang kegawatan pemilikan tanah pertanian khususnya. Di Samarahan-Asajaya, Matu-Daro, dan Niah-Bekenu akibat desakan hidup, tanah-tanah Melayu di Kampung-kampung kian terjual dan atau paling tidak productive. Saya berkira inilah jurang pembangunan yang seluruh pegawai Melayu harus sedar dan insafi dan mereka harus bijak mengolah harta sekakang kera milik orang Melayu ini. Wajar untuk kita mulai kecut, dan bangkit membina. Namun kita jangan sekali-kali khianat dan dengki akan hak orang lain. Kita harus sedar, kekurangan pada kita ini adalah atas khilaf dan lalainya diri kita sendiri.
(2) Kalau kita teliti Kadar Pertumbuhan Pendapatan Masyarakat Melayu pastinya akan kita dapati ketakseimbangan yang amat ketara. Kadar Pertumbuhan Pendapatan yang marginal berbanding dengan Kadar Perbelanjaan Hidup yang menderas, pasti akan menimbulkan persoalan berat kepada masa depan kaum ini. Maka, tidakkah wajar Melayu Celik dapat berfikir dan bertindak cepat dan bistari untuk mengolah jalan bagi menseimbangkan pendapatan dan perbelanjaan masyarakat Melayu. Apakah sandaran yang seharusnya orang Melayu Sarawak adakan dalam keadaan sosio-politik semasa dan mendatang mereka untuk terus dapat mandiri dan perkasa? Saya melihat betapa harta sekangkang kera Melayu mesti dijadikan sandaran yang strategik. Hakikatnya seluruh harta orang melayu harus digembeling dan dimanfaatkan untuk mendokong keperkasaan mereka.
(3) Untuk membangunkan masyarakat Melayu di Asajaya, Simunjan-Sebuyau, Triso-Beladin, Spaoh-Kabong, dan Matu-Daro bukanlah suatu yang mudah. Begitu juga halnya dengan masyarakat di sepanjang jajaran persisiran Mukah-Kuala Tatau, Bintulu-Batu Niah. Sama juga halnya dengan masyarakat Kedayan di persisir Limbang dan Lawas. Kalau diteliti secara mendalam, keadaan masyarakat Melayu Sarawak yang berhamburan di Kapit, Marudi, Belaga, Sri Aman dan lain-lain pekan kecil di pedalaman Sarawak, pasti kita akan terasa bisa di ulu hati. Cabaran bentuk mukabumi, pemencilan oleh jalinan sungai dan anak-anak sungai, serta paras tanah yang lebih rendah dari paras laut adalah kekangan azali yang perlukan segala kebijaksaan untuk mengatasinya.
(3) Masyarakat Melayu desa yang sudah terbiasa hidup seadanya, untuk merobah cara mereka berfikir dan melihat dunia, adalah jauh lebih hebat galangnya. Keterbukaan fikiran mereka masih terbatas akibat masalah pendedahan serta pola asal pembentukan otak mereka. Namun jika, kita menghayati sejarah keperitan Muhammad SAW dan para sahabah untuk menumbangkan sikap Jahilliah Arab, kuku besi dan menindas Farsi dan Roman, saya berkira itu akan memberikan azam ketabahan untuk kita terus berjuang membela bangsa dan agama. Saya berkira, inilah sunnah yang harus kita lihat dan mengerti berbanding dengan segala seruan ikutan sunnah yang selama ini pernah kita diajarkan. Sesungguhnya, kita perlu melihat Islam dari sudut yang jauh lebih luas dan dalam.
(4)Para pegawai Melayu kena tegar dan sentiasa punya rasa cintakan bangsa dan agama yang tinggi untuk terus berfikir, mencari jalan dan seterusnya bertindak sebaiknya untuk kepentingan bangsa dan agama kita. Sesungguhnya, apalah Islam, jika bangsa yang menganuti agama ini lemah dan dhaif? Kita tidak boleh berharap sangat kepada orang lain untuk membantu kita. Kita mesti mengorak langkah sendiri. Abadikanlah rasa cinta, tulus, cekal, pemurah, dan yakin yang kita temui dan rasai di depan Baitullah dan di dalam Nabawi dalam semangat kita membina kekuatan ummah. Sesungguhnya, saya berkira sebegitulah rasa taksub Muhammad SAW dan para sahabah dalam perjuangan mereka menegak dan mengembangkan Islam. Makanya, harta, nyawa, dan kebahagian duniawi sanggup mereka pertaruhkan demi Islam dan Ummah.
Pembangunan Bermakna
Tidak dapat dinafikan, kita sedang membangun. Kita telah berusaha keras untuk membangun. Semua orang telah menyumbang untuk membangunkan masyarakat Melayu. Namun, jika kita dapat beranjak ke belakang dan berfikir sejenak pasti kita akan dapat melihat di mana khilaf dan jurang pembangunan yang perlu kita atasi. Kita tidak boleh terlalu taksuf dengan kejayaan di depan mata dan menjadi buta dan tuli untuk melihat dan mendengar kekurangan selanjutnya. Negara membangun, warga resah gelisah. Gedung-gedung tinggi menjulang, warga terpidana dalam harga diri yang kian menjunam. Negara maju, belum pasti rakyat merdeka berdaulat. Sesungguhnya kita adalah manusia, dan fitrah kita ialah kita tidak akan sekali-kali mencapai kesempurnaan, namun itu tidak menghalang kita untuk bekerja keras ke arah kesempurnaan.
(2) Saya perhatikan, cara kita membangunkan bangsa kita terlalu bersifat kebajikan sehingga terlalu memanjakan. Apa lagi bila didesak oleh pandangan politik singkat dan sempit. Sifat kebajikan dan memanjakan kita kini kian bertukar menjadi urusan jual beli murahan. Kita sepertinya sudah menjadi bangsa yang terlalu meminta. Kita tidak menjadi bangsa yang mahu keras berdiri dan berjalan sendiri. Maka saya berkira, cara kebajikan yang kita amalkan sekarang ini perlu dilihat dari sudut yang berbeda selaras dengan desakkan zaman. Anjuran Barat agar Corporate Way is the Way harus kita lihat dengan positif namun semestinya digarap dengan nilai-nilai kebajikan membina. Pengalaman Kerajaan Umaiyah, Abassiyah, Fatimi, Kordova dan Othmaniah seharusnya kita selidiki dan pelajari dengan mendalam.
(3) Untuk melanjutkan pembicaraan saya mengenai pembangunan di kawasan penduduk Melayu, dan bagi orang-orang Melayu di desa-desa, suka saya cuba mengenenggahkan akan pemikran saya tentang pembangunan bermakna atau dalam bahasa Inggerisnya, Significant Development. Saya amat gembira, bila Najib Razak berkata betapa Model Ekonomi Malaysia perlu memasukkan unsur-unsur kesejahteraan hidup sebagai unsur-unsur penting Model tersebut. Sesungguhnya, sejak dari tahun 1970an, sudah banyak kritik dikemukakan akan bahayanya bila Model Ekonomi Negara hanya menekankan unsur-unsur pertumbuhan ekonomi semata-mata tanpa mengambil berat Indek Kesejahteraan Rakyat. Filipina, negara-negara Latin Amerika, dan sebahagian besar negara-negara di Afrika sehingga kini tidak dapat pulih dengan baik akibat terlalu percayakan Barat dengan Model Ekonomi Makro Free Market. Namun soal saya, apakah Indek Sosial yang akan Najib masukkan ke dalam Model Ekonomi Baru Malaysia gagasannya?
(4) Pda hemat saya, pembangunan di sesuatu kawasan itu akan menjadi bermakna jika pembangunan itu dapat menjadikan kumpulan sasaran merdeka dan berdaulat. Pendeknya, mereka seharusnya boleh berdikari. Dari sudut Ilmu Ekonomi Pembangunan, bukan sekadar mereka dapat menikmati segala kemudahan sosial seperti perhubungan dan pengangkutan, bekalan air, bekalan elektrik, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan penyiaran namun mereka juga harus punya kemampuan dan kemantapan ekonomi. Kumpulan sasaran seharusnya boleh terus berkembang sejahtera dan makmur. Masalah jurang generasi seharusnya tidak timbul. Secara singkatnya, dalam keadaan biasa, rakyat harus mampu menikmati kehidupan yang sejahtera dan makmur. Sejahtera, kerana mereka mendapat apa yang sewajarnya negara dapat berikan. Makmur, maksudnya mereka dapat menampung hidup dengan mudah.
(5) Sesungguhnya kecapaian tahap pembangunan bermakna adalah sangat penting bagi semua masyarakat, dan semua pihak yang bertanggungjawap harus memikul tanggungjawap ini secara bersungguh-sungguh dan penuh keazaman. Jika rakyat dapat menikmati taraf pembangunan bermakna, maka Negara pasti akan jauh lebih maju. Inilah sebenarnya apa yang Mahathir Mohammed maksudkan dari segi saikologinya, kita mesti mencapai taraf duduk sama rendah, berdiori sam atinggi dengan mana-mana bangsa maju di seluruh dunia.
(5) Buat umat Melayu Islam, pembangunan bermakna, bagi kita ianya mesti menseimbangkan kecapaian kepuasan hidup dengan nilai-nilai akhlak yang tinggi. Umat Melayu Islam mesti meletakkan diri mereka jauh ke depan dalam soal taraf dan budaya hidup, agar mereka benar-benar menepati apa yang Allah pertanggungjawapkan kepada mereka: pemimpin seisi alam. Dari sudut Islam, pembangunan itu akan bermakna jika keperluan akhlak, ekonomi, sosial dan mahluk Allah lainnya dapat dipenuhi dengan seimbangnya. Pemikir Ekonomi Pembangunan Islam harus mengelegakkan fikiran dan akal mereka untuk merumus Model Ekonomi Ummah
Kawasan Asajaya
Banyak dayausaha sebetulnya telah difikir dan diperbuat untuk memajukan kawasan-kawasan ini. Melalui Projek DID Asajaya, yang asalnya adalah sebahagian dari hadiah Tunku Abdul Rahman bila Sarawak bersama membentuk Malaysia, semasa berkhidmat di UPEN, saya terus berpakat dengan pihak JPS Sarawak mencari akal bagaimana pembangunan di kawasan berkenaan dapat diteruskan tanpa henti. Syukur para boss saya semasa itu ie Ubaidillah Abdul Latif, William Jitab, dan Wilson Baya Dandot semuanya mendokong usaha-usaha saya. Pelbagai cara digunakan untuk melobi EPU dan MOA Kuala Lumpur agar terus memperuntukkan secukup belanjawan bagi meneruskan Projek tersebut. Sehingga kini Projek DID Asajaya sudah meliputi kawasan Sui-Engsengei-Sg Buloh. FELCRA telah sebegitu lama menjadi rakan karib saya untuk merombak taraf ekonomi penduduk di kawasan ini, namum kesannya masih terlalu kecil. Biar jalanraya, bekalan air, elektrik, khidmat perubatan dan pendidikan sudah menjalar di kawasan ini, kepuasan saya untuk melihat berlakunya ledakan ekonomi setempat masih sebel. Saya terus mencari akal bagaimana saya boleh bergelumang membawa pembabgunan bermakna selaras dengan perubahan zaman di Asajaya secara keseluruhannya. Dendam saya terus membara di sini. Kinipun biar telah melepaskan semua tanggungjawap awam, namum saya terus mencari jalan bagaimana dendam saya itu dapat dilangsaikan.
(2) Semasa di PELITA (2002-2011), pertama saya cuba mengajak Sime Darby datang ke sini. Namun apa yang menyebelkan saya, para pegawai tinggi Sime Darby takut untuk berdepan dengan kecelaruan rakyat. Kemudian saya cuba membujuk Tabung Haji, sama juga alasan mereka. Inilah titik sebel saya terhadap, khususnya para Pegawai Melayu yang jijik untuk berpeluh bersama bangsanya di desa-desa. Sepertinya, kejayaan yang telah Allah berikan kepada mereka menjadikan mereka menyisih dari bangsanya yang sangat-sangat perlukan kepimpinan. Lalu saya
berusaha membawa masuk seorang pengusaha dari Yaman. Beliau amat yakin dan benar-benar mahu, namun saya pula jadi khuatir kerana jika berlaku apa-apa pertelingkahan di antara rakyat dan Syarikat, pasti nama baik Malaysia khusus di mata Arab amat tidak baik. Saya harus memikirkan kepentingan dan maruah Negara bersama. Pilihan lain terpaksa saya cari. Saya menahan hasrat mereka untuk melabur di sini. Lalu kemudian, saya berunding dengan FELDA, mereka mahu dan beberapa siri kajian dan perbincangan telah diadakan, namun niat terhalang akibat corporate exercise dalam FELDA. Biar itu semua sepertinya mengalami jalan buntu, saya tidak akan pernah berhenti berfikir dan mencari jalan, InsyaAllah selagi daya masih ada dalam tubuh ini.
(3) Saya juga telah memperkenalkan Konsep Ladang Rakyat di kawasan ini yang menekan pemilikan tanah berkelompok dan dimajukan secara koprat. Saya sangat berharap Ladang Rakyat akan terus berkembang dan suatu hari dnanti akan apat di Public Listing untuk perkembangan keusahawanan lainnya. Saya berfikir, satu wadah keusahawanan yang lebih bermakna seharusnya dibangunkan segera bagi menampung limpahan para pemuda Melayu yang lebih berpendidikan dan berdayausaha.
Simunjan-Sebuyau
Semasa di UPEN, bersama beberapa orang teman dari pelbagai agensi Kerajaan, saya mengetuai perancangan pembangunan bagi Sebangan-Bajong. Dalam RM7, Kerajaan Negeri dan Pusat bersetuju membangunkan Projek ini di bawah usaha tebatan banjir.
Kini wilayah ini bangkit sebagai kawasan DID Sebangan-Sebuyau dan akhirnya menjalar sehingga meliputi Simunjan. Juga biar benteng banjir, saliran dan jalanraya telah berlingkaran di sini, namun ekonomi rakyatnya masih tetap belum berubah seperti sepatutnya. Usaha saya selama ini cuba membangunkan kawasan berkenaan menggunakan FELCRA masih belum memberikan kesan yang mendalam. Biarpun Tradewind telah Taib Mahmud berikan tanah untuk memajukan kawasan pedalaman di sini, dan bila saya mengusul agar mereka melebarkan penglibatan mereka dalam membangunkan masyarakat setempat, namum sikap mereka adalah teragak-agak. Sebetulnya, inilah kritik saya tentang bila Melayu sudah menjadi kerabat koprat mereka benar-benar menjadi kacang lupakan kulit. Sikap kenegaraan-bangsa luput bersama Pure Corporate Business Etiquette. Sebetulnya, sikap kapitalis mendalami hati mereka lebih dari ibadah kepada bangsa dan agama. Dendam saya untuk melihat kawasan ini benar-benar menjadi salah satu kubu ekonomi orang Melayu masih bertahan kukuh. Semoga Allah mendatangkan Ilham dan kekuatan buat saya berjalan seterusnya?
Hilir Saribas
Masyarakat Triso-Beladin dan sebahagian Pusa sudah sedikit merasa nikmat bila Tabung Haji sanggup dan telah membangunkan sebahagian dari kawasan-kawasan ini. Biarpun terpaksa berperang dengan rakyat, namun semua pihak harus sedar keikhlasan Taib Mahmud dalam membawa Tabung Haji khususnya ke kawasan ini. Hakikatnya, saya yakin terhadap konsep nucleus development yang ingin Tain asakkan, makanya semasa di PELITA saya mengusahan konsep satelite development bagi menyokong konsep nucleus development Taib. Jika dulu, masyarakat Triso-Pusa lebih melihat laut sebagai punca rezeki mereka, kini setidak-tidaknya mereka sudah sedar betapa daratan adalah kehidupan sebenar mereka. Akibat perlaihan pandangan hidup ini akhir menimbulkan kecelaruan mereka dan Tabung Haji. Keadaan ini akhirnya menyebabkan Tabung Haji jadi tawar hati untuk memperluaskan pengaruh pembangunan mereka ke luar dari batasan Triso-Pusa. Siapa yang rugi akhirnya?
(2) Sebetulnya, hasrat untuk membangunkan Hilir Saribas (Jajaran Triso-Spaoh-Pusa-Kabong)sudah mula berkumandang di tahun 1988. Ketika itu Projek IADP Kalaka-Saribas di bawah pembiayan ADB hanya menumpu perthatian di daearh Kalaka sahaja dan semua perhatian diberikan kepada pembangunan tanah NCR di kawasan pedalaman. Walau bagaimanapun, kemudian saya telah menmpengaruhi FELCRA untuk memajukan kawasan-kawasan tanah terbiar khususnya milik orang Melayu di kawasan Kabong dan Alit-Sessang. Secara amnya, masyarakat persisir pantai Saribas-Kalaka kurang mendapat perhatian. Makanya, sebagai sambungan IADP Kalaka-Saribas, saya bersama beberapa rakan lain telah menjalankan Kajian Pra-Kemungkinan bagi pembiayaan lanjutan dari ADB untuk keperluan tersebut. Namun pertukaran dasar ADB dan Kerajaan Persekutuan telah menjejaskan niat di atas, sehinggalah saya ditugaskan di PELITA barulah dapat saya mengajak Tabung Haji mejalankan kerja yang tidak usai sebelumnya. Saya berkira, mungkin kerana kecewanya Taib Mahmud dalam usaha untuk mempengaruhi Kerajaan Pusat dalam membawa kemajuan di sini, melalui Bolhassan Di, ADUN kawasan berkenaan maka Jalan Triso-Beladin telah dibina terdahulu. Dengan adanya jalan tersebut, usaha saya membujuk Tabung Haji menjadi lebih mudah apa lagi semasa itu Rashidi Che Abdullah, Dato', MD Tabung Haji Plantation, adalah sangat berani dan mudah cara kerjanya.
(3) Kecelaruan TH dan rakyat setempat, yang masih berlarutan seharusnya tidak menjadi api dalam sekam bagi kedua pihak. Adalah sangat merugikan jika permasalahan ini akhirnya mematahkan semangat sebahagian pihak, dan kita jadi saling berpatah arang, biar sama-sama menyeluk pekasam. Saya yakin atas sikap ikhsan dan kejujuran Islam mereka pasti dapat mencari jalan saling menguntungkan. Rakyat harus jujur tentang hak mereka, sedang TH harus prihatin tentang kepayahan bangsa. Apakah tujuan Ungku Aziz Omar dalam membangunkan TH pada asalnya. Kita harus kembali kepada fitrah asal setiap dari kita.
(4) Untuk memajukan kawasan Triso-Beladin, bukanlah suatu yang mudah. Pertamanya, kawasan ini termasuk ke dalam Taman Negara Meludam yang telah diwarta sebagai Taman Negara bagi melindungi Orang Belanda yang merupakan salah satu dari dua kelompok Orang Sarawak yang mesti tinggal di atas pokok. Satu lagi adalah Orang Utan! Juga kawasan ini, dulu terkenal dengan spesis balak jenis ramin yang mempunyai tektur yang sangat menarik, yang bersifat endemik kepada hutan paya di Sarawak. Maka, untuk membangun kawasan ini, Kerajaan Negeri terpaksa berdepan dengan kritikan antarabangsa. Apalagi dengan hebohnya, Carbon Release hasil dari uraian tanah gambut bila disalirkan. Sikap saya terhadap semua kritikan ini adalah mudah: kita kena jaga kebajikan rakyat kita dulu. Walau bagaimanapun pembangunan di kawasan ini harus menggawal kesan buruk ke atas generasi manusia selanjutnya. Sesungguhnya, pembangunan kawasan Triso-Beladin, bahkan Sebuyau-Lingga, dan Pusa-Kabong adalah penting sebagai jalan melestarikan bekalan ikan terubok yang membiak di Batang Sadong dan Batang Lupar.
Matu-Daro
Matu-daro sehingga awal 1990an adalah terkenal sebagai kawasan miskin dan mundur. Jalinan sungai-sungai di kawasan ini sangat memencilkan penduduk. Apa lagi, setiap air pasang besar dan di musim munson, pasti kawasan ini sering dilanda banjir. Makanya rumbia menjadi tanaman terpaksa mnereka terima biarpun pulangannya tidak seberapa. Hidup sebagai nelayan adalah lumrah di sini. Di tahun-tahun 1960-80an, kerja pembalakan adalah kepakaran masyarakat di sini. Di mana juga di seluruh Sarawak, masyarakat dari sinilah jaguh lumber jack.
(2) Banyak usaha cuba di ketengahkan untuk kemajuan kawasan ini. Dalam tahun 1992 umpamanya, semasa di UPEN, saya cuba membawa Konsep Pembangunan Bersepadu Persisir Rajang di sini dengan bantuan pihak Kerajaan Kanada dan ADB. Namun, pertukaran Dasar Kewangan dan focus Pembangunan Mahathir, hasrat itu terpaksa dilupakan. Namun Taib Mahmud melalui Wahab Dollah bekerja keras membawa pembangunan jalan raya di sini. Biar terputus-putus, akhirnya kini, Matu-daro sudah terjalin tempang dengan Mukah dan Sibu. Kedegilan Taib juga menyebabkan Tangjung Manis perlahan-lahan mulai diakui oleh Kerajaan Persekutuan. Biar hasrat Taib untuk membangun Industri Asas Kayu agak gagal, namun saya yakin dengan usaha gigih Tanjung Manis boleh bangkit lewat Industri Oleo-kimia dan Pemprosesan Makanan
(3) Semasa di PELITA, saya dengan cepat mengerakkan pelaburan swasta dalam memajukan tanah-tanah Kerajaan di sini. FELCRA telah saya amanahkan untuk bergerak lebih pantas, namun, masalah kewangan dan pengurusan tetap menjadi batu penghalang bagi kecepatan tindakan FELCRA. Begitu juga di akhir-akhir tempoh saya berada di PELITA, masalah ekonomi masyarakat terpinggir dan terpisah di Pulau Bruit dapat saya ujakan lewat pertukaran tanah dengan sebuah syarikat swasta yang beroperasi di sana. Sesungguhynya dendam saya terhadap masalah kemiskinan dan keperitan hidup masyarakat di Bruit mengelegak sejak sekian lama. Bermula dengan Perancangan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Bruit-Tekajong (kemudian dialih ke Semop) sehinggalah Pembangunan Kampung Bersepadu (VIDP), namun pemencilan dan keterasingan Pulau ini, melambatkan segalanya.
(4) Alhamdullilah, Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri akhirnya dapat berkompromi baik dengan Kerajaan Persekutuan bila Matu-Daro menjadi sebahagian dari Jajaran SCORE. Saya melihat kelapa sawit dan rumbia sebagai sumbangan bermakna Matu-Daro dalam SCORE.
Model Pembangunan Desa Melayu
Taraf pendidikan di desa-desa kian meningkat. Akibatnya, citarasa golongan muda kian berubah. Apa lagi bila keadaan pekerjaan di desa-desa masih kekal seadanya serta tidak mendatangkan pulangan yang lumayan, pasti naluri mereka mengajak mereka mencari yang jauh lebih baik. Namun tidak semua bernasib baik. Sebahagian menjadi mangsa kehidupan kota sedang yang ditinggal terus mengundur tanpa perubahan bermakna.
(2) Mengambil acara sukan sebagai perlambangan jurang keupayaan Melayu; kita kalah dalam sepak bola, kita kalah dalam bulu tangkis, kita kalah dalam bola keranjang, kita kalah dalam acara balapan, kita kalah dalam renang, kita kalah dalam apa juga acara sukan yang memerlukan kepantasan ketangkasan. Namun, pergilah ke Kedah-Perlis, ke Kelanatan, ke Trengganu, ke Pahang, Ke Johor, Ke Melaka, Ke Negeri Sembilan, Perak dsb akan kita dapati jika bermain Dam Haji, Melayu sangat tekun dan tabah. Mereka akan sanggup duduk seharian. Begitu juga, kini saya dapati memancing sudah menjadi suatu kegilaan baru. Melayu suka duduk di kedai kopi, berborak, bergosip. Kalau dibuat bancian, saya yakin 50-60 peratus dari masyarakat Melayu bandar sedang menghadapi berat badan yang berlebihan, kegemukan. Pokonya, apa-apa yang tidak memerlukan pergerakan banyak, dibuat secara berkumpulan, pasti orang Melayu suka dan tekun. Seimbas pandang itulah kelemahan Melayu. Namun, jika kita bijak, ada saikologi yang sangat baik cuba disampaikan dari sifat-sifat Melayu ini.
(3) Saya melihat, sifat dan semangat Kebangsaan profesional dan anak-anak muda Melayu masih ada, cuma cara mereka melahirkannya sudah berbeda. Mereka tetap rajin bekerja. Mereka tetap taat kepada bangsa, agama dan negara. Namun, wadahnya sudah tidak lagi berbentuk secara sukarela. Sebabnya adalah mudah, kerana segalanya perlukan duit. Jika kita faham konsep Kepuasan Pareto, pasti kita ingat, betapa manusia itu sangat berkehendak masa rehat dan riadah saat keperluan mutlak basic need mereka telah tercapai. Kini, hakikatnya, anak-anak muda sudah punya pendapatan sendiri dan mereka sudah kurang terbeban untuk menanggung keperluan keluarga khususnya orang-orang tua mereka.
(4)Jika dulu-dulu, sosialisasi di kalangan masyarakat Melayu adalah dengan bertandang ke rumah jiran-jiran dan atau sanak saudara. Sebelum bertandang, pasti seisi keluarga riuh rendah menyediakan buah tangan. Di kala sore surau dan masjid menjadi tempat perkumpulan biasa. Kini, Cafe, Kioks, restauran, bar, gym, taman-taman, padang golf, Theme Parks, pusat membeli belah dsb adalah wadah sosialisasi utama mereka. Semua ini memerlukan wang.
(5) Pokoknya, bangsa Melayu kini, mereka mahu dan boleh berkerja keras. Namun mereka kemudiannnya mahu bebas untuk menikmati jerih peluh mereka di tempat-tempat santai dan berhibur. Prinsip kerja mereka adalah mudah Work Hard, Enjoy Life. Maka untuk menuntut mereka kembali berjuang sepertinya di zaman 1960an, pastinya jauh pangang dari api! Untuk membina pejuang-pejuang 1960an di kalang generasi kini, terpaksa dilakukan dengan peperangan besar, yang pasti gagal. Sesungguhnya Muhyiddin Yassin dan Khalid Nordin mempunyai amanah yang amat besar untuk mengembalikan semangat sebegitu di kalangan generasi kini dan ke depan. Kelemahan pentadbiran Uthman Affan dan Ali Abi Thaalib berbanding pentadbiran Muhammad SAW, Abu Bakar Ass-Sidiqee, dan Omar Al-Khataab seharusnya menjadi penelitian kita. Malaysia, buat saya, cara pentadbiran Abdul Razak Husein terutama dalam mendidik para pentadbir awam dan ahli politik untuk menjadi juara rakyat boleh dilihat dengan mendalam.
(6) Sesungguhnya, kebijaksanaan dan kepakaran yang sudah anak-anak dan profesional Melayu miliki, perlu kita gunakan secara hebat untuk memperkasakan Melayu. Saya yakin, sekurang-kurangnya masih kedapatan lima (5) peratus dari mereka ini punya darah pejuang, kental dan jujur. Inilah manusia-manusia yang seharusnya di kenalpasti untuk menerajui dan mengerakkan semua GLC yang menjaga kepentingan Melayu. Saya percaya, jika GLC Melayu diterajui oleh mereka yang jujur dan cekal, pastinya seluruh anak buahnya akan turut bersifat yang sama. Yakinlah, Muhammad SAW, Abu Bakar Ass-Sidiquee dan Umar Al-Khataab, sifat taksub mereka dalam mengejar keredhaan akhirat, menjadi teladan yang terbaik untuk mereka di sekelilingnya terus bersifat sebegitu. Sedang di zaman Othman Affan dan Ali Abi Thalib, segalanya mulai berubah bila para pemimpin Islam mulai mengenal nikmat dunia dan ada kecenderungan untuk berlebihan.
(7) Khazanah Melayu perlu digembeling dan dimajukan oleh GLC Melayu. Syarikat-syarikat besar milik dan atau di bawah kawalan Melayu juga mesti memainkan peranan yang sama. Saya yakin, seluruh harta Melayu punya kedudukan strategik masa kini dan mendatang. Biarlah Melayu yang jujur dan kental, memimpin Melayu kebanyakan dan terus berfikir dan berkerja keras untuk kepentingan kebajikan jangka panjang Melayu. Islam boleh bangkit gagah jika kebijaksanaan, harta dan semangat Melayu dapat digembelingkan. Najib seharusnya bergerak pantas ke arah ini.
(8) Buat Muhyiddin Yasin, Khalid Nordin, dan Shafiee Afdal binalah warga Melayu yang menjiwai Islamic Corporate Culture, InsyaAllah saya yakin itulah Model Ekonomi dan Insani Melayu. Anak-anak Melayu sedarai kecilnya harus tahu akan sebab Muhammad SAW dan Umar Al-Khataab sangat menekankan agar Muslimin harus berniaga dan menjiwai tertib perniagaan. Bagi anak Melayu Kampung yang sudah celik, pimpinlah bangsa kita di desa-desa. Bagi orang Melayu bandar, jangan leka, tumbangknya Melayu desa, pasti akibatnya adalah kecelakaan sama bagi Melayu kota. Ingat, tumbangnya Kardova (Andalusia) bila para bangsawan menjadi bangsat-one. Sesungguhnya, dicubit peha kanan, pasti peha kiripun sakit juga. SubhanaAllah.
Kuching, Sarawak
25 Sept.,-11 Okt., 2012
9/9/12 DENDAM YANG TIDAK AKAN PADAM....dreams that I'll take to the graveyard.
Posted By: Abdullah Chek Sahamat - October 11, 2012#Abdullah Chek Sahamat
Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment