Dalam bahasa Jawa pasar, ngok itu boleh bermaksud tolol. Paling hebat, mungkin bahalol apa yang P. Ramlee sama tarafkan dengan bharal. Boleh juga bermaksud biol istilah yang Sudin dan Aziz Satar sering gunakan. Bahkan Bahlol seperti Ahmad Nisfu sering ucapkan. Maka sebab itu, terbit istilah bongok yang sememangnya sah merujuk kepada bodoh. Tulisan ini tidak membicarakan prihal ciri-ciri hitam tersebut. Namun itu adalah sebahagian dari hebatnya Bahasa Melayu jika kita mengerti untuk menguasainya, hanya dengan satu istilah, berteter istilah-istilah lain yang serupa maksud tetapi lain cara penggunaannya.
(2) Dalam tulisan ini, saya akan membicarakan tentang pentingnya Bahasa Kebangsaan Negara ini dinamakan sebagai Bahasa Melayu dan perlu dikembang jadi Bahasa Nusantara, yang mudah-mudahan ada yang sanggup berfikir dan terbuat sesuatu terhasil dari pengertian yang mendalam.
(3) Pertamanya, Bahasa Melayu bukanlah bahasa picisan. Bukan Bahasa yang serba kekurangan. Yang kurang, kerana yang mengamalkannya tidak menguasai Bahasa ini dengan baik. Temaddun Melayu, jika didongengkan pasti berasal dari Pergunungan Himalaya yang mungkin suatu ketika dulu juga dikenali sebagai Pergunungan Himelayu. Dinamakan Himalaya, saya berkira sebab British dengki dengan Melayu, atau lidah keras mereka sukar menyebut Melayu dari Malaya. Sebermula berasal dari Pergunungan yang dingin membeku, lalu mungkin berjalan mendasar Gurun Gorbi lantas mengharung Lembangan Yang Tze lalu menebar di Annam langsung membuat bahtera dan melaut ke segala kepulauan di rantau Asia Pasifik. Tidak semua Melayu dari Himalaya atau Himelayu itu turun lewat Gurun Gorbi, ada yang merentas lewat Lembangan Indus dan lalu menebar ke persisir Malabar, sehingga tersangkut di sana lalu terus jadi Malayalam.
(4) Apakah asas thesis saya ini. Jangan saya dituduh mengelamun. Jangan dulu menuduh sebelum membaca sepuas dan berfikir sepanjangnya. Juga jangan tertawa duluan sebelum mengerti apa di sebaliknya.Namun jika ada yang mahu tertawa, Alhamdullilah, saya sudah sangkutkan Kekekekek kalian itu di sebuah jalan di sebuah Kampoeng Melanesia.
(5) Cuba ingat, saat Adam AS diturunkan ke bumi, di mana baginda mendarat? Banyak tulisan mengatakan baginda mendarat di Pergunungan di India. Bagaimana caranya baginda turun? Berapa lama tempohnya baginda bergerak dari syurga ke bumi? Ya jika kita mahu berfikir, tidakkah ini membenarkan tentang Mikraq Muhammad SAW ke Arasi Allah? Jika benar Adam AS turun ke India, apa tidak mungkin di Himalaya atau Himelayu? tempat mendaratnya? Namun, isterinya Hawa berada di Jeddah, jadi bagaimana cerita selanjutnya?
(6) Tahu apa itu burung Cenderawasih? Tidakkah hebat bunyinya nama itu? Tahu di mana adanya burung Cenderawasih? Cuma di rantau Melayu, di Papua. Fahaman orang Melayu, Cenderawasih itu adalah burung dari Kayangan. Di mana Kayangan? Tidakkah ianya sentiasa terkait dengan Syurga. Makanya, sebelum Islam hadir sebagaimana Islam kini, Melayu sudah tahu adanya Syurga. Maka, Melayu ada keilmuan Adam AS. Adam AS adalah manusia pertama penghuni Syurga. Maka orang Inggeris menamakan Cenderawasih sebagai bird of paradise terjemahan dari burung dari kayangan. Dalam sejarah China, maharaja China pernah menerima persembahan bulu-bulu cenderawasih sebagai tanda betapa Negeri Melayu itu dekat dengan syurga. Itulah tanda-tanda hebatnya Melayu.
(7) Banyak kali saya katakan betapa nenek moyang kita dulu itu hebat-hebat manusianya. Tidakkah kita ingat tentang pribahasa Melayu yang berbunyi: Tempat jatuh lagi di kenang, inikan pula tempat bermain. Himalaya atau Himelayu itu adalah tempat Adam AS mula-mula dijatuhkan. Selama sendiri di sana, di situlah juga tempat baginda bermain. Maka, bila baginda sudah beranak pinak selepas bertemu semula dengan Hawa, apa tidak mungkin baginda menghantar anak-anak atau cucunya kembali untuk ke Himalaya atau Himelayu? Adam AS adalah manusia, tidakkah sebegitu naluri manusia. Kita, biar meninggi mana kejayaan kita, kalaupun jijik menginjak Kampung, namun tetap wujud dalam benak kita krinduan di kampoeng. Saya berkira, sebahagian dari anak cucu cicit Adam AS yang sudah mulai ingkar akan perintah Allah, sepertinya Qabil, dan untuk menyuburkan kembang biak umat manusia, saya pasti Adam AS mengilhamkan sebahagian dari mereka untuk kembali ke Kampoeng halaman asal tempat jatuh baginda di Himalaya atau Himelayu. Sebegiulah kira-kiranya.
(8) Jadi kalau ada thesis yang mengatakan bahawa Melayu itu ada kemungkinan datang dari persempadanan China-India, maka pasti, bangsa Melayu itu adalah warisan cucu cicit Adam AS.
(9) Namun bukanlah tujuan saya untuk memperincikan sejarah Melayu. Saya cuma ingin menyedarkan bangsa Melayu, betapa kita ini, semuanya, asalnya dari Adam AS. Tidak kisahlah apapun kelompok kita: Awang ke, Tunku ke, Pengeran ke, Tuan ke, Wan ke, Nik ke, Megat ke, Jawa ke, Bugis ke, Batak ke, Sulu ke, dsb semuanya dari keturunan Adam AS. Tidak ada harus merasa kerdil, dan tidak juga harus ada hidung tinggi. Kita adalah bangsa dari rumpun yang hebat. Kerana itu, tidak ada sebab, bangsa kita, bahasa kita, budaya kita, dan diri kita harus menjadi kerdil.
(10) Bahasa Melayu mesti berdiri bukan hanya jadi Bahasa Kebangsaan Negara, tetapi mesti tegak menjadi Bahasa Nusantara. Nusantara adalah wilayah Melayu. Lestarinya Melayu di rantau ini, jika mereka tetap berbahasa Melayu seanteronya. Muhhydin Yasin (lewat pendidikan) dan Rais Yatim (lewat budaya dan siarnuansa) perlu berjuang ke arah ini. Kita jangan namakan Bahasa Kebangsaan Negara ini sebagai Bahasa Malaysia, kita mesti tetap pada Perlembagaan Negara bahawa Bahasa Kebangsaan kita adalah Bahasa Melayu. Kalau Melayu hendak hebat, bahasanya mestilah hebat. Dulu-dulu saat Champa, Sulu, Pattani, Majapahit, Sriwijaya, Langasuka, Melaka, Jambi, Pasai, Mataram dan Makasar berkuasa tidakpun mereka perkasa kerana Bahasa Melayu mereka dicampur baur dengan Bahasa Inggeris dsb. Tidak sama sekali. Maka kenapa kita jadi ngok lupa akan prihal jati perkasa kita ini? Asas Bahasa Melayu adalah sankrit, urdhu dan Arab. Kita mesti kekal sebegitu.
(11) Jika Bahasa Kebangsaan Negara ini adalah Bahasa Malaysia maka saya kira, dari kita dibanjiri dengan istilah-istilah situasi, kompromi, ilustrasi, toleransi, dsb maka pasti tidak lama lagi Bahasa itu akan mabuk dengan istilah-istilah mentarakkan, mengilekkan, mencowkan, mengitenikan, dsb. Saya melihat Bahasa Malaysia adalah Bahasa Orang Malas, Bahasa Bobrok, kerana malas mendalami Bahasa Melayu, maka disadurkan apa saja kerana kemalasannya. Bayangkan juga apa jadi dengan Bahasa Melayu akhirnya? Apa lagi kepada bangsa Melayu?
(12) Saya berkira Muhhydin Yasin (lewat pendidikan) dan Rais Yatim (lewat budaya dan siarnuansa) punya tugas besar untuk kembali menyatu dan menghidupkan kesepakatan di kalangan cendikiawan Melayu. Biarlah cendikiawan budaya dan sastera Melayu bertungkus lumus berfikir, berbicara, merangka dan melaksanakan agar Bahasa Melayu jadi Bahasa Nusantara serantau. Jika ini dapat kita jalankan, pasti Nusantara lestarinya menjadi wilayah keperkasaan Melayu. Ayuh Muhhydin dan Rais, usah terlalu gila bersiasah sempit. Pasti Anwar Ibrahim akan mahu ikut sama. A Samad Saidpun tidaklah letih termenggah menunjuk perasaan. Setidak-tidaknya, kita seperahu dalam menuju arah bersama.
(13) Saya melihat, Melayu sudah hilang mimpi besar, maka kita kini asyik berkemelut dengan perkara-perkara remeh temeh. Sedihlah. Kita terlalu banyak membuang masa.
(14) Kita jangan jadi bangsa ngok yang tidak sedar bagaimana musang sedang menyarung bulu ayam untuk masuk sama sereban lalu memamah semua ayam-ayam kita. Bayangkan betapa Rasullullah SAW dan para sahabah berjuang mengadai nyawa untuk mendiri dan mewariskan Islam kepada kita, saat segalanya sudah tersedia, kini kita berpaling dariNya. Nauzubillah.
Kuching, Sarawak
31 Julai, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Assalamualaikum...
Bahasa Melayu mempunyai susur galurnya tersendiri. Mungkin tidak ramai yang menyadarinya,mungkin juga sengaja tidak mahu mengambil tahu akannya.
Menurut catatan saya ambil dari
Sejarah Pertumbuhan Bahasa Melayu
mengatakan Bahasa Melayu berasal dari
Asia Tengah dan Nusantara.
Pendapat pertama mengatakan dari Asia Tengah.
Ini dibuktikan oleh R.H Geldren,
seorang guru dan pengkaji sejarah dari Iranian Institute and School
for Asiatic Studies.
Kenyataan beliau dibuktikan melalui siri penemuannya disekitar
hulu Sg.Brahmaputra,Irrawady,Salween,
Yangtze dan Hwang.
Menurut ahli filology Belanda, pakar dalam pelbagai bahasa membuat kajian kepada perkataan harian eg nama,tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
Kebanyakannya berasal dari Kepulauan Nusantara iaitu Madagascar dan Filipina eg.ubi, nyior dll.
Pendapat kedua pula,kita lihat..
J.Crowford menulis,Bahasa Melayu berasal dari Pulau Jawa dan Sumatra.
Keduanya adalah bahasa induk kepada bahasa serumpun di Nusantara. Hujah beliau lagi mengatakan bangsa Java memiliki taraf kebudayaan yang tinggi diabad ke 19.
Manakala bahasa Jawa pula adalah bahasa paling utama daripada bahasa lain. Terdapat fakta lain bagi menyokong pernyataan diatas eg.tulisan W.Marsden,Gorys Keraf dll.
Cuba kita perhatikan pernyataan penulis dibawah..
Bahasa Melayu mesti tegak bukan hanya Bahasa Kebangsaan tapi mesti tegak jadi Bahasa Nusantara.
Betapa itu satu tanggungjawab berat tergalas dibahu masyarakat Melayu..pastinya ya...
Disini saya melihat Bahasa Melayu harus diperkasa terlebih dahulu sebagai bahasa perantaraan utama
(lingua franca). Hasrat itu telah tercapai bila ia dijadikan bahasa rasmi di Malaysia pada 1968.
Pada 2004,DBP(Dewan Bahasa Dan Pustaka)mencadangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN (Association of Southeast Asian Nation).
Majoriti penduduk ASEAN penuturnya
didalam Bahasa Melayu.
Apapun kita mesti melihat asas kepentingan bahasa kedua iaitu Bahasa Inggeris,terutama disektor swasta eg.perbankan. Manakala di institusi pengajian tinggi,teks rujukan menggunakan Bahasa Inggeris
eg. perubatan. Maka dalam apa situasi sekalipun tidak dapat tidak kita terpaksa akur akan penggunaan bahasa tersebut.
Disitulah kepentingannya kepada penguasaan bahasa asing disamping mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, seterusnya menegakkan kepada Bahasa Nusantara.
Didalam artikle Saudara Abdullah bertajuk Salam.,saya menyentuh sedikit bahasa mudah ringkas. Bahasa remaja hari ini yang begitu
mengharukan,ditulis eg.engkau-ko,
sebab-coz(because)dan banyak lagi.
Jika ini tidak diberi perhatian,
satu hari nanti golongan pelajar akan membawanya ke dewan peperiksaan. Fikir-fikir...
Bahasa Melayu adalah bahasa yang indah dan lembut. Ia gambaran kepribadian bangsa itu. Bahasa Melayu juga ialah penyatuan rumpun masyarakat Melayu dan Nusantara.
Wajarlah kita mendaulatkan Bahasa Melayu ke persada dunia. Mudah-mudahan impian menegakkannya akan terlaksana. InsyaAllah.
~rujukan~Sejarah Pertumbuhan Bahasa Melayu.
Wassalam~Tq.
Post a Comment