.

4/6/12 RAHMAN, RAZAK, MAHATHIR.....HUSEIN, ABDULLAH, NAJIB...TAIB

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - June 08, 2012

Share

& Comment


Para Perangkawan dan pakar ekonomi melihat pada pergerakkan statitik imbangan dagangan Negara dalam menilai samada ekonomi kita sedang pulih atau gawat. Namun sebagai rakyat biasa, petunjuk jelas yang boleh kita perhatikan adalah:pertama, kereta-kereta yang menjalar di jalan, adakah kebanyakan jenis murahan atau kian bertambah kereta harga sederhana dan mewah. Jika semakin banyak kereta mewah menjalar di jalan, maka pasti ekonomi kita sedang bergerak cergas. Juga cuba lihat di kedai kereta terpakai, banyak tak kereta bertimbun di sana. Jika ya, kita harus berawas. Keduannya, lihatlah sekeliling kita. Jika tidak banyak pembangunan baru, pasti banyak kedai-kedai, rumah-rumah dan bahkan pejabat-pejabat sedang diubahsuai. Umpamanyan saat mendarat di lapangan terbang Kuching, pasti kita sedang melewati 'landscape' yang sangat berbeda, jentera-jentera berat berselirat melakukan pelbagai jenis kerja. Ekonomi kita sedang bergerak. Ketiganya,lihat saja di kedai-kedai kopi. Apakah banyak orang di sana bersenang lenang. Jika ya, pasti mereka tiada kerjaan dan itu gambaran sulit yang harus kita ambil perhatian.

(2) Saya tidak bercadang untuk berbicara tentang pergerakan ekonomi negara. Buat saya, soal pergerakan ekonomi negara adalah soal kepimpinan. Bermula dengan rakyat terasa tertindas di bumi sendiri, serta atas rasa kita perlu menjadi bangsa merdeka dan berdaulat, maka Tunku Abdul Rahman mengumpul tenaga dan kebijaksanaan merundingkan kemerdekaan Negara. Biar Abdul Rahman tidak sempat membina bangsa, namun dia telah berjaya memberikan harapan betapa bangsa kita adalah bangsa merdeka dan berdaulat. Abdul Rahman memberikan kita asas untuk berdikari.

(3) Bila Abdul Razak memimpin tampuk negara, kita bukanlah negera kaya. Kita pada masa itu adalah negara miskin yang sedang bergolak hebat bukan hanya menghadapi kemelut dalaman, tetapi juga ancaman luar akibat Perang Dingin Amerika-Russia-China. Biar kita pada masa itu baru bocahan namun Razak bersikap matang menentukan haluan Negara mengikut keperluan dan keadaan sendiri. Kita tidak begitu terpengaruh oleh pujukan dan rasukan pertelagahan antarabangsa.

(4) Abdul Razak dapat menyatukan Negara dengan utuh hanya berbekal suatu penawar iaitu pembangunan. Buat Abdul Razak, pembangunan akan dapat mengerakkan ekonomi negara. Maka dia ke hulu ke hilir tidak berkira hujan tidak berkira panas. Juga dia tidak berkira siang tidak berkira malam. Bahkan di hujung minggu dia tetap mundar-mandir ke serata negara untuk bersama para menteri dan pegawainya meneliti dan merasakan kepayahan rakyat. Hadiah dari lawatan beliau, adalah pembangunan sebenar. Pada raykat, Abdul Razak memberikan pengharapan kesejahteraan hidup iaitu pembangunan sebenar Negara. Abdul Razak pada dasarnya menyediakan perancangan dan usaha-usaha mikro dan makro Negara. Lagenda Abdul Razak adalah mewariskan kesejahteraan sebenar buat rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang.

(5) Bila Husein Onn mengambilalih selepas Abdul Razak, akibat masalah kesihatan beliau, tumpuannya agak terbatas memelihara apa yang ada. Tidak banyak usaha besar dia lakukan. Dia mengambil sikap tenang untuk meneliti siapa bakal pernganti yang lebih baik darinya. Pada masa itu, semenagnya banyak tokoh UMNO yang berkelibar: Musa Hitam, Razaleigh Hamzah, Harun Idris, Abdullah Ahmad, dsb. Namun, dia memilih orang yang kurang berbicara, tetapi kuat bekerja, dan bila berbicara, pasti pedas. Husein Onn, mewariskan seorang pemimpin yang disenangi rakyat sebagai harapan Negara lewat pengundurannya.

(6) Mahathir tidak hadir dalam keadaan Negara mewah dan makmur. Kita pada masa itu, juga masih berupa sebuah negara penuh kepayahan dan kemiskinan. Kita masih sebuah Negara yang sangat tergantung kepada sektor pertanian, biarpun dari sumbangan relatifnya sangat tidak sepadan. Dunia juga masih tidak bersahabat dengan kita. Mahathir, sedar, sebagai seorang ahli perubatan, mengerti betapa keresahan rakyat harus dialih. Sepertinya seorang pesakit, saat akan diberikan rawatan berat, maka fikiran dan perasaannya harus dialih ke tumpuan lain. Maka, tidak hairan dari awal pebntadbiran sehingga dia berhenti, Mahathir tidak pernah jemu mengasak rakyat dengan pelbagai fikiran dan usaha untuk membawa dan menjurus fikiran dan saikologi rakyat kepada sebuah harapan yang lebih besar. Mahathir mewariskan wawasan betapa kita mesti bergerak pantas untuk menjadi bangsa yang maju. Dia berundur, kerana tidak dapat betah atas rasa tidak percaya dan tomahan betapa dia sudah terlalu kejam dan ganas. Mahathir berundur untuk memberi ruang cooling untuk rakyat Malaysia dan melantik orang bersifat cool, gentleman dan bersih untuk memimpin negara.

(7)Lain dengan Abdullah. Mungkin kerana sudah terbiasa membuntuti pemimpin yang serba boleh sebagaimana Mahathir, maka daya fikir dan pengawasannya menjadi kurang tajam. Juga, akibat celaru cronism yang melanda Mahathir, maka sifat dengki dan khianat mula menular di kalangan mereka di keliling Abbduilah, atas sikapnya yang lembut dan teragak-agak. Bunuh membunuh terjadi hebat. Banyak kerja tidak dapat dijalankan. Akhirnya, keresahan rakyat memuncak bila mana peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan kian menguncup. Akhirnya, Abdullah terpaksa mewariskan Negara dengan seribu satu macam beban susbidi yang merosakkan.

(8) Najib sebetulnya sedang berjalan di dua persimpangan yang sukar. Pertama, rakyat sudah terbiasa dengan subsidi. Jika subsidi terhapus, pasti masa depan politiknya dia akan berkubur. UMNO pasti hancur. Dia terketar kedinginan di tengah hari terik. Maka Najib terpaksa meneruskan senandung lama Abdullah dalam banyak cara. Persimpangan kedua, dia menghadapi jalan sukar untuk melonjakkan ekonomi negara. Sumber kewangan Kerajaan sudah kian menguncup. Dia tidak dapat mengikut jejak Mahathir yang berhutang untuk membangun negara. Nisbah hutang terhadap GDP negara kian meningkat. Fahaman ekonomi konventional dan outlier berekemelut hebat dalam pertimbangannya. Mahathir umpamanya, melihat private saving sebagai dana yang boleh digerak untuk memajukan negara. Najib seperti ingin mengimbangi antara Belanjawan Awam dan Swasta. Namun, keadaan tidak semudah itu. Dia dalam delima yang maha besar.

(9)Tidak dinafikan, Najib berada dalam jalan yang sangat sukar. Namun, setapak-demi setapak dia mulai melangkah baik. Cuma, saya kira, Najib terlalu leka dengan tarian siwang kampung. Dia seperti lupa, betapa golongan berpendidikan (muda dan tua) sedang menanti suatu harapan yang lebih cerah. Najib seharusnya menyusun Program Makro dan Structural yang lebih mudah dimengertikan rakyat. Saya berkira rakyat tidak jelas dengan segala istilah liar yang Idris Jala perkenalkan, contohnya GTP, silap-silap anak-anak sekolah kelirukan dengan ATP dan ADP, KPI mungkin jadi KRU, dan banyak lagi istilah-istilah lain yang berbunyi pelek dan mengelirukan. Najib harus memudahkan pengertian rakyat terhadap apa yang hendak dia perbuat.

(10) Dia berusaha menjadikan 1Malaysia lagendanya. Namun, bila segalanya tercap sebagai 1Malaysia, maka akan menjadi ayam penyet terjual di warung-warung tepi jalan. 1Malaysia bukan lagi suatu yang unik dan istimewa.

(11) Najib seharusnya belajar dari kesilapan Wan Mokthar di Trengganu, yang terlalu taksub dengan Pembangunang Insang-Pembangunang Insang sehingga Negeri tersebut tumbang dirampas PAS. Begitu juga dengan sikap hati-hati Muhammad Yacob di Kelantan yang akhirnya menjadikan Kelantan terus kekal dalam semutar Nik Aziz. Ngah Talib dan Tajul Rosli juga bersikap terlalu takut semasa mentadbir Perak. Maka kesannya, Perak juga tumbang ke tangan PKR-PAS. Khir Toyo di Selangor mungkin terlalu takut bayang-bayang Mike Tyson sehingga banyak kerjanya bersifat terburu-buru dan menyisihkan jentera awam. Akhirnya, dia terpukul penyapu sampah PKR. Hakikatnya, bila Mahathir memusatkan pembangunan ke Kuala lUmpur-Putra Jaya-Cyber Jaya, maka negeri-negeri lain di Malaysia agak tersisih dari rentak panas pembangunan. Akhirnya, bila Abdullah tidak membaca cepat kekhilafan Mahathir, bersikap pula lembut dan lambat, maka rakyat memberontak kerana masalah agihan pembangunan.

(12) Maka, biar apapun lagu yang dimainkan di Semenanjung dan Sabah, Taib Mahmud yang telah berkhidmat dengan semua Perdana Menteri Malaysia, mengambil sikap keras kepala untuk berjalan pada landasan sendiri. Sarawak dari mula dia kembali, sehingga kini, terus menghambat Politik Pembangunan. Biar apapun kekecohan yang timbul, dari sekatan pembalakan, kepada demonstrasi tanah NCR membawa kepada pembasmian setinggan dan rombakan Tebingan Sungai Sarawak, pada Taib, dan saya yakin, semuanya kerana rakyat belum mendapat apa yang boleh memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada mereka. Taib yakin, hanya pembangunan yang dapat menyatu dan memuaskan hati rakyat. Maka dengan sebab itu, secara senyap-senyap dia mengerakkan sektor swasta untuk memainkan peranan lebih dalam mengerakkan ekonomi negeri. Keterbatasan sumber kewangan Negeri dia perkukuhkan dengan keterlibatan aktif sektor swasta.

(13) Biar dalam cara yang agak samar dan sedikit berbelit-belit, pada saya Taib Mahmud jelas terus memberikan harapan yang jelas kepada rakyat Negeri ini. Dia bercakap tentang Negeri Terkaya pada 2030. Dia berulang-ulang menyatakn Sarawak perlu sehingga 60,000 para jurutera dengan adanya SCORE. Dia ke segala penjuru dunia, mula-mula ke Australia, Kanada, Amerika, Arab, kini ke China dan India untuk menarik pelaburan besar-besaran untuk datang memanafaatkan jumlah tenaga yang besar terjana dari Projek HEP Bakun. Dengan usaha sendiri, Taib membuktikan kseungguhannya. Dia mempastikan Program Pembangunang Insang sepertinya seruan Wan Mokthar di Trengganu pada tahun-tahun 1980an dulu kini benar-benar terjadi di Sarawak. Tenaga, Penghutanan, Perladangan, Prasarana, Pendidikan dan Kemahiran, ICT, dan Industri Berat Berpusat menjadi wadah untuk Taib meletakkan anak-anak Sarawak agar lebihg yakin tentang masa depan mereka dan mempunyai fokus ke arah itu.

(14) Bukanlah saya hendak mengajar Muhammad Najib, tetapi, saya ingin berkongsi pandang dengan dia dan mereka dalam lingkungannya dalam cara kita memberikan harapan kepada rakyat Saya yakin, rakyat punya kesabaran dan kesadaran dalam menilai kata-kata yang didokong oleh usaha. Saya tidak menonjolkan Taib untuk diteladani satu persatu buat Najib, tetapi anak Sarawak khususnya, harus boleh menilai antah dari beras, permata dari kaca, namun juga tiada salah Najib turut belajar sama kerana ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya. Pemimpin-pemimpin lepas kita, khususnya Abdul Razak, yang merupakan bapa Muhammad Najib sendiri adalah seorang pemimpin yang jiwa dan raganya adalah untuk rakyat. Najib, harus yakin, kerana jasa bapanyalah maka dia dapat menjadi Perdana Menteri. Ingat apa kata Mahathir bila dia ditanya kenapa dia mengusul Najib jadi TPM dan kemudian PM: Saya yakin, Tun Abdul Razak adalah seorang pemimpin besar, maka saya percaya Najib pasti mewarisi trait bapanya.

(15) Pada saya, Abdul Razak, Mahathir dan Taib Mahmud memberikan harapan kepada rakyat dalam bentuk apa yang boleh diraih demi masa depan jauh rakyat. Najib dengan segala hamburan gula-gula boleh menjadikan para doktor kita tidak cukup rehat kerana semakin banyak pesakit memburu hospital. Anwar sebetulnya telah berjaya memesongkan banyak ahli politik kita untuk semata-mata berpolitik dan tidak bekerja. Tahniah Anwar dan lembabnya kumpulan yang menari ikut gedang beliau!.


Kuching, Sarawak
8 Jun., 2012

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.