.

6/2/12 MENEBAR ISLAM LEWAT MEMARTABATKAN MELAYU

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - February 18, 2012

Share

& Comment

Saya tidak pasti, tentang hayat saya. Sebermula saya kepingin sekali untuk hidup sehingga ke usia 125 tahun. Kini saya tidak pasti untuk bertahan sehingga ke situ. Terlalu banyak yang menduga. Paling perit, rasanya saat kecintaan dan kerinduanku nan kian memuncak, segala dugaan mendadak menerpa. Saban waktu, dada saya menjadi terlalu perit. Sakit yang sukar untuk saya buang biar saya cuba berjalan sejauhnya. Ke angkasa raya, ke samudera luas, ke hutan belantara pekat, ke gunung dan lembah, sendiri sembunyi khalwat kepadaNya, semua seakan sudah saya jejak namun sakitnya kian menikam parah. Rasanya bagai irisan pedih saat terguris lok 11 Taming Sari tertetes perahan limau kasturi.

(2) Saat meneliti kisah-kisah para nabi dan merenung kembali mereka yang telah pergi, jelas betapa kecintaan dan kerinduan itu adalah pembunuh yang sangat halus a killing soft factor. Kecintaan dan kerinduan adalah rasa cinta dan rindu yang sangat dalam. Rasa yang tumbuh dan tersimpan dalam kalbu. Rasa yang mungkinnya bersatu dengan nafas Allah yang menghidup sebagai roh. Rasa yang jika tercabut, maka yang tinggal adalah sekujur tubuh yang kaku. Kaku tanpa ghairah untuk terus hidup. Bangkai bernyawa jadinya.

(3) Saat kecintaan dan kerinduan melanda, ia melekap mencengkam kalbu, payah untuk dilepaskan. Sukar dan terlalu berat jadinya untuk melupakan akan apapun yang dicintai dan dirindukan, biar harta, anak isteri, kekasih, perjuangan, bahkan Allah. Jika terlepas pasti berdarah parah, mengerikan. Ibarat kuku dan kulit. Jika dipisahkan pasti runtuh hanyut bagai aur dengan tebing.

(3) Keduanya wujud atas pengharapan dan keyakinan yang mendalam. Sebermula dengan Ismail dan Ibrahim, betapa kecintaan dan kerinduan Ismail-Ibrahim kepada Allah maka mereka sanggup berkorban apa saja. Lihatlah juga pada Muhammad SAW, kecintaannya kepada ummahnya, Allah saja yang tahu. Saban waktu, kebajikan ummahnya adalah keutamaannya, sehingga kerinduan akan Allah menjadi wadah ulungnya dalam memohon segalanya dariNya buat umatnya. Dia yakin, Islamlah penyelamat ummah di bawah tanggungannya. Kepada Allah sepenuh pengharapananya. Kecintaannya mengasak rasa rindu yang terlalu dalam dalam dirinya sehingga dia berkasih kepada Allah. Ali Abi Thalib sanggup mati demi kecintaannya kepada Muhammad SAW. Husein Abi Thalib, demi kecintaan dan kerinduannya kepada datuknya Muhammad SAW dan Islam, kematian adalah permainannya.

(4) Perhatikan juga kepada mereka yang kecintaan dan kerinduan dalam perjuangan. Jose Rizal, nasionalis Melayu Filipina, perginya lewat cinta dan air mata demi kebebasan bangsanya. Tun Abdul Razak Husein pelopor gerakan pembasmian jurang beda taraf hidup di negara ini, terkubur saat dia paling diperlukan. Matinya juga dalam kemiskinan sebuah pengorbanan kerana kecintaan dan kerinduannya pada sebuah bangsa yang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam sebuah bangsa merdeka. Chairil Anwar, penyair hebat 1940an Indonesia, lewat sajak dan nukilannya, melahirkan kecintaan dan kerinduan yang tiada tara agar bangsanya Indonesia bebas berdaulat. Dia gugur saat Indonesia perlukan tiupan sangkala kebangkitan. Sukarno terkorban akan tahtanya hanya kerana kecintaan asamaranya. Begitupun dia pergi atas rasa kerinduan kebebasan akibat terpenjara dan terasing. Sudirman Hj. Arshad, Ramlee Putih (P Ramlee), Salamah Omar (Saloma) serta banyak lagi bunga-bunga bangsa pergi atas kecintaan dan kerinduan mereka yang mendalam dalam bidang yang mereka minati.

(5) Dalam banyak hal kecintaan dan kerinduan mengundang resah. Resah atas cemburu pada singkatnya kesempatan yang ada. Masa tidak menjadi milik mereka. Keresahan menimbulkan gundah. Gundah timbul dalam berbagai gaya; kekhuatiran, ketakutan, pilu, curiga, sangsi, dsb. Keresahan dan kegundahan menjadikan emosi teruja. Pengujaan emosi, lalu meransang perembesan hormon dengan tidak seimbang. Kesedihan, ketakutan, kesakitan dan penderitaan seringnya menjadikan adrenalin, hormon yang boleh mempengaruhi banyak aktiviti pencernaan dalam badan kita terembes dengan banyak. Kepekatan adrenalin yang tinggi dalam darah, pastinya akan meransang pengerularan enzim-enzim secara tidak seimbang lantas metabolisma tubuh juga menjadi tidak seimbang. Akhirnya, kesan pengaliran adrenalin yang tinggi menyebabkan himpunan kolestrol pada pembuluh dan dinding-dinding jantung. Jika ini berpanjangan, akan terasa dada kita menjadi perit dan pasti mengundang ajal akhirnya.

(6) Sebetulnya, ungkapan penglipur lara orang Melayu: Orang yang baik, selalunya mati awal, kerana Allah lebih kasihkan mereka. Hakikat secara saintifiknya, adalah kerana mereka adalah manusia yang sering teruja emosi mereka lantaran kecintaan dan kerinduan mereka untuk berbuat yang terbaik demi kebaktian ke jalan Allah. Apa juga yang diperlakukan dengan penuh kekhusyukan emosi, pasti mengundang pengujaan yang hebat dan akhirnya mengundang ketakseimbangan rembesan hormon dan enzim.

(7) Saya tidak terlepas dari rasa teruja ini. Kecintaan dan kerinduanku pada beberapa perkara pokok sedang menerjang hebat benak fikiran dan dada saya. Satunya, dan paling pokok adalah bagaimana bisa saya meninggalkan sebuah fikiran yang jika terlaksana akan mendaulatkan bangsa Melayu-Muslim seluruhnya. Saya kepingin serta, melihat dan menikmati suatu gerakkan yang lebih hebat dalam memertabatkan KeIslaman Melayu. Keduanya, pastinya, saya kepingin ada darah saya yang akan saya bimbing dekat untuk meneruskan perjalanan saya. Untuk yang keduanya, seperti terlalu payah untuk saya temui wadahnya. Yang ada, adalah sifat kendiri yang sukar saya terima. Ke mana lagi akan saya hala diri ini, sehingga bisa saya temui dia yang paling mendokong dan mengerti. Mungkin, tidak sempat untuk saya menemuinya, maka biarlah saya tinggalkan saja buah fikiran tentang apa yang saya fikir perlu didirikan agar bangsa kita Melayu akan bergerak menjadi Model Umat Islam yang unggul.

(8) Tiga tempat di bumi Malaysia ini yang saya kira jika terbangun hebat pasti akan mempelopor kepada pembinaan Masyarakat Islam Sejagat Sejati. Pertamanya adalah Perkampungan Seberang Hilir, Kuching, kini di sebut sebagai Projek Darul Hana. Keduanya adalah perbatasan Kelantan-Pattani iaitu Rantau Panjang, Kelantan. Ketiganya adalah Kampung Baru, Kuala Lumpur. Saya akan tumpahkan kecintaan dan kerinduan untuk membina asas bagi memartabatkan keIslam-Melayu di tempat-tempat ini, insyaAllah.

I. Keperluan Memartabatkan KeIslaman-Melayu

Suka atau tidak, Melayu dalam konsep antropologinya, adalah bangsa Nusantara. Ianya adalah sebuah bangsa yang besar. Terdapat 300-350 juta manusia dari rumpun Melayu di seluruh Nusantara. Jika dihitung bersama dengan kelompok Malanesia, pasti lingkungan geografi Melayu adalah jauh lebih luas. Aku berkira, mungkin bangsa ini duduk pada tangga keempat jika tidak ketiga selepas China dan India dari segi bilangannya. Dalam dunia Islam, pasti, bahasa Melayu menjadi bahasa utama selepas Arab. Namun, kegemilangan Melayu sebagai bangsa dan bahasa unggul belum dimartabatkan utuh.

(2) Pastinya ada yang berfikir bahawa keunggulanan Melayu itu harus tidak boleh dilihat dari kacamata Barat. Namun, pendirianku, biar dari kacamata apa sekalipun, asal yang bukan jelek biarlah kita tetap ada keunggulan. Namun kita tidak boleh lari dari natijah, betapa zaman telah menuntut agar keunggulan kita harus pada kayu ukuran semasa zaman. Cuma yang wajib kita pertimbangkan sehebatnya bagaimana Islam yang menjadi tunggak kepada bangsa Melayu itu perlu diterap dengan jalan sebetulnya selaras dengan fitrah anugerah Allah itu sebagai budaya hidup yang lengkap dari sudut duniawi dan akhirat.

(3) Memartabatkan KeIslaman Melayu perlu dilihat sebagai sebuah gerakan dakwah. Allah telah mengingatkan kita betapa, "Demi masa, kita adalah dalam kerugian, melainkan jika kita adalah golongan yang berIman dan beramal salih serta saling mendokong kepada kebaikan...". Keunggulan Melayu adalah penting sebagai petanda betapa Islam itu adalah agama kesejahteraan, kemakmuran, dan barakah.

(4) Kebijaksanaan dan Muslihat Allah untuk membangun dua bangsa sebagai bangsa yang berteraskan Islam pada dua penjuru alam, Barat dan Timur, perlu kita mengertikan. Pertamanya, Islam adalah sesuatu yang sangat dekat bagi orang Melayu, very persponal. Lebih kurang 3,000 tahun mereka berada dalam pelukan Buddisma dan Hinduism, juga sekitar 300-400 tahun dalam tangan Kristian Barat, namun mereka berani melangkah keluar dan kukuh menapak bersama Islam. Semuanya kerana jiwa Melayu adalah sangat serasi dengan Islam. Allah telah menjadikan bangsa ini sebegitu agar ada keseimbangan di sebelah Timur. Maka dengan sebab itu, biar seganas mana dugaan yang terpaksa dihadapi, Melayu tetap mahu mati bersama Islam. Lihat apa yang sedang terjadi di Pattani, Sulu, Champa, bahkan di segenting Burma. Biar minoriti, mereka tetap bertahan.

(5) Keduanyna, bangsa Arab dengan sikap kasar dan rentan mereka, biarlah mereka bergelut dengan bangsa-bangsa di sebelah Barat yang Cow Boy sifat mereka. Sedang bangsa Melayu yang sopan dan hemah wajib mengorak langkah bagi mendepani bangsa-bangsa sebelah timur yang lebih sopan dan licik. Jika ini kita mengerti, maka Islam dan Melayu terpisah jangan. Maka kita Melayu di Malaysia yang berada dalam kedudukan yang lebih aman dan sudah ke depan dari kelompok-kelompok Melayu lainnya, maka kita wajib mengambil langkah berani dan berhemah dalam membangunkan Melayu sebagai mercu masyarakat Islam madani.

II. Pertimbangan Wajib

Pembangunan di kawasan orang Melayu akan berdepan dengan seribu satu dugaan. Namun, dengan mengambil iktibar, pertamanya dari perkembangan Islam dalam dunia Melayu dan Kisah 1001 Malam, Hikayat Siti Zubaidah, dsb pembangunan kawasan-kawasan ini bukanlah suatu yang mustahil. Bagi orang Melayu, apakah pengharapan (expectation) dan kebenaran (reality) yang akan terjelma. Mereka bukanlah bangsa yang gelis mahu dak-dak mendadak. Mereka adalah bangsa penuh kewaspadaan bukan kerana apa, kerana mereka sudah punya sejarah hitam yang sangat banyak dan panjang. Melayu telah terlalu banyak terkhianat oleh sesamanya sendiri dan apa lagi oleh kaum atau bangsa lain. Ungkaian Bagai Portugis dapat tanah; Dapat betis hendak peha; Ada udang di sebalik batu; Guruh di langit, air di tempayan dicurahkan; Tempua bersarang rendah; Burung terbang dipipihkan lada; Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya; Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna; Duduk dulu baru berlunjur; dsb adalah gambaran jelas kewaspadaan yang ada pada bangsa ini.

(2) Maka pertamanya, bersiratkan laungan tidak Melayu akan hilang di dunia adalah pesanan Hang Tuah agar Melayu itu mesti terus berwaspada supaya mereka akan terus mandiri dan lestari. Pokoknya, kita mesti pastikan, dalam membangunkan Melayu, mereka mesti mendapat Kelestarian Nilai Tambah tidak sekadar terpampas kemudian terbabas. Sejarah telah membuktikan betapa fair market compensation akhirnya menyebabkan Melayu jadi tersisih.

(3) Keduanya, sedari kecil, anak-anak Melayu dididik agar sentiasa mengucap Bismillah dalam segala urusan kecuali dalam hal-hal tertentu. Semuanya seperti perlu dilakukan atas nama Allah atau Demi Allah. Tujuannnya adalah agar segala sesuatu yang kita lakukan itu mendapat keredhaan Allah dan pastinya untuk mendapatkan keberkatanNya, lestariNya. Dengan sentiasa melakukan segala sesuatu itu atas Demi Allah, agar segala sesuatu yang kita lakukan itu adalah bersifat suci, ikhlas, bermanafaat untuk semua. Inilah sifat-sifat yang harus ada pada pengerak kepada pembangunan di kawasan Melayu. Pendeknya, cita-cita dan nilai-nilai keIslaman pada Melayu tidak boleh dipisahkan dari penilaian kita tentang keperluan pembangunan buat mereka. Melayu harus menjadi intsrumen kepada perkembangan Islam.

(4) Saya berkeyakinan, jika kita boleh mengunakan fitrah Melayu ini dengan baik, pasti mereka akan bersama sepenuh hati. Maka pembangunan, tiga kawasan pelopor ini wajiblah berteraskan atas cita rasa Melayu terhadap Islam. InsyaAllah, mereka akan sanggup berkorban apa saja demi Agama, Bangsa dan Tanahair mereka.

III. Konsep dan Ciri Pembangtunan

Mengambil kira fakta-fakta seperti yang saya utarakan terdahulu,adalah perlu setiap satu dari kawasan yang saya nyatakan ini dapat mewakili dan mengaruh pola dan skala pembangunan bagi kawasan-kawasan lain sepadan.

Perkampungan Seberang Hilir Kuching

Kawasan ini melibatkan 2,300 keluarga asas (core family) dan 1,500 keluarga serambi (extended family). Pembangunan semula perkampungan ini memerlukan rombakan kepada 13 buah perkampungan tradisi Melayu. Rombakan ini adalah perlu, memandangkan terlalu banyak gejala sosial yang tidak sihat sedang berkembangan pesat di sini. Semuanya kerana susunatur perkampungan yang amat menyesakkan tanpa ada kesempurnaan. Jika dianalisa secara mendalam, kehidupan di sini adalah perit bagai perasaan dalam keresahan yang menguncangkan sebetulnya. Jika perkampungan ini tidak dirombak segera, pasti ianya adalah bom jangka kepincangan sosial yang akan meledak kapan juga.

(2) Maka seharusnya bagaimanakah rombakan ini perlu dilakukan. Istilah rombak adalah istilah keras. Namun, dengan Pelansunatur dan Tindakan yang baik, ianya pasti sesuatu yang berbalui. Berbalui ini pula atas pandangan siapa? Penduduk di sana? Pemerintah? Pengusaha? Masyarakat umum? Negeri dan negara? Atau sekadar akademia sosiologis antropologis?

(3) Perkampungan Seberang Hilir Kuching, boleh dibangun dan disusun semula sebagai Model dalam pembangunan sebuah Perkampungan Sejahtera Melayu, Healthy Malay Village dan kerana kedudukannya dalam sebuah kawasan Perbandaran Kuching, maka ianya harus menjadi Model dalam proses urbanisasi yang melestarikan ciri-ciri tradisional serta menjadi aset penting dalam pertumbuhan sebuah Bandaraya Sejahtera, Healthy City

(4) Untuk itu, biarlah kita coba dulu tafsirkan bentuk Kemasyarakatan yang harus dibina. Pertamanya mereka harus mandiri. Ketimpangan sekarang dimana keperluan untuk mendapat pendapatan baik dan terus berkembang teramat payah untuk mereka perolehi. Perkara seperi ini harus diteliti rapi. Konsep money spinning di dalam within masyarakat ini mesti diteliti hebat. Income leakage menyebabkan masyarakat di sini tidak mandiri. Tanpa mandiri, mereka terjajah. Mandiri mendaulatkan kemerdekaan mereka. Islam adalah mandiri. Islam tidak bersandar pada apa-apa melainkan Islam itu sendiri. Konsep ini harus kita mengerti. Setiap Muslimin mesti mandiri. Namun mandiri mereka ini, harusnya pada tingkat di mana? Dalam Islam, ada Imam ada makmum. Ada guru ada pelajar. Ada khalifah, ada pahlawan, ada rakyat jelata. Tiada penghambaan. Kemiskinan dan kedhaifan tetap ada tetapi pembelaannya mesti jelas dan teratur. Pendeknya Islam mengiktiraf adanya specialization mirip usul Smith dalam tiori ekonominya. Namun apakah specialization Masyarakat ini akhirnya yang bisa jadi teladan buat pembangunan umat Islam lainnya setarafnya. Kita tidak seharusnya terlalu memikirkan idealisma. Biarlah kita bangunkan Masyarakat ini seperti fitrah terbangunnya Islam dan penyempurnaannya Al Quran.

(5) Keduanya, sifat keunikan Melayu yang selari dengan Islam mesti dipertahankan. Ciri-ciri tradisi khusus mesti dikekalkan. Ini termasuklah ciri rekabentuk, susunatur, kebudayaan, dan nuansa kejiranan yang mesra dan merdeka mesti dikekalkan.

(6) Rombakan pada Projek ini mesti menjurus kepada pembinaan aset berkekalan dan berkembang pertamanya buat masyarakat ini sendiri dan keduannya bagi Bandaraya Kuching. Masyarakat tempatan dan umum mesti mendapat limpahan dari rombakan pembangunan di sini. Rombakan ini tidak harus mengadai kepentingan masyarakat setempat. Pegangan aset masyarakat setempat mesti terus dikekalkan, namun ianya perlu ditadbir urus dengan cara yang berbeda iaitu yang membolehkan aliran kemasukan pendapatan atau pulangan yang cepat, berkembang dan berkekalan.

(7) Apakah tidak mungkin untuk kita membangun kawasan ini sebagai Perkampungan Model Muslimin yang Sejahtera, Makmur dan Besrsatu Padu atau an Organic Muslim Village? Pastnya boleh kalau kita mahu.

Rantau Panjang Kota Bharu

Cuba renung sejenak. Kenapa banyak orang suka ke Bandung? Juga ramai yang bercita-cita untuk ke Bali. Begitu juga banyak mahu ke Chiang Mai. Saat pulang dari Venice, banyak pasangan yang kelihatan ceria.

(2) Pekan Rabu sangat terkenal di Alor Setar. Juga Pasar Siti Khadijah Kota Bharu. Apa hebatnya Wakaf Zainab Kota Bharu sehingga orang berasak-asak macam ayam dalam reban? Pasar Baru seperti suatu yang mesti dilawati kalau orang Malaysia ke Bandung. Apa lagi yang disebut Tanah Abang di Jakarta. Bagaimana pula Floating Market di Bangkok? Atau Fish Market di Freementle, Perth Australia?

(3) Pendapatan rakyat Malaysia kian meningkat. Juga akibat perkembangan teknologi dalam pelbagai bidang cost-effective mass production kian meluas dalam pelbagai bidang. Akibatnya, serta naluri sejadi manusia, mereka pasti mencari sesuatu yang dapat memuaskan nafsu dalam segala bidang yang mereka minati atas kemampuan masing-masing. Kita mungkin tidak dapat membendung nafsu yang mendadak, namun kita boleh mempengaruhi dan mengalih arah nafsu ini ke jalan yang sebaiknya.

(4) Rantau Panjang, Kota Bharu adalah transit town bagi pergerakkan barangan Siam ke Malaysia dan Singapura. Barangan keluaran Kambodia dan Laos juga boleh dengan mudah melewati Rantau Panjang. Laos juga menjadi penghubung bagi Nusantara ke China. Maka aliran masuk dan keluar segala barangan dari Malaysia-Singapura-Thai-Kambodia-Laos-Vietnam dan China boleh dimudahcara lewat Rantau Panjang. Pendeknya, Rantau Panjang boleh menjadi Land Port yang hebat.

(5) Saya berkira, adunan Frementle, Venice, Floating Market, Paris dan Chiang Mai adalah paling tepat buat Rantau Panjang. Unsur utama yang harus ditekankan bagi pembangunan Rantau Panjang adalah harus berteraskan Family Shopping and Recreational City dengan mengambil kira keperluan Transit Business City bagi persempadanan Malaysia-Thai.

(6) Saya yakin, kepesatan Rantau Panjang akan membantu merombak ekonomi saudara kita di sempadan serta akan membuka ruang bagi perkembangan corridor Kuala Krai-Gua Musang-Ipoh. Ini akhirnya, pasti dapat membuka ruang bagi pergerakan barangan dari Sumatera dan Burma ke Tahi sehingga seterusnya ke China.

(7) Unsur-unsur keMelayuan dan keIslaman mesti dititik beratkan dalam merangka seni rupa, susunatur dan komponen pembangunan di sini. Ciri-ciri ini mestilah diadun secara cermat dan bistari dalam segala sudut komersil kawasan ini nantinya. Pokoknya, saya ingin melihat terbinanya Harmonious Islamic Trading and Family Recreation City di Rantau Panjang, the Long Beach or Island bagi Kota Bharu.

Kampung Baru, Kuala Lumpur

Di manakah Pusatnya Kuala Lumpur? Juga di manakah lambang martabatnya bangsa Melayu, yang jumlahnya sekitar 300-350 juta umat itu? Bangsa Peranchis, ada Parisnya. Bangsa China ada Shanghainya. Bangsa Jepun ada Tokyonya. Bangsa Jerman ada Berlinnya. Apa mungkin Kota Bharu, Alor Setar, Kangar, Bandar Baru Bangi, Narathiwat, Banda Acheh, Medan, Padang, Cotabato, Bandar Sri Bangawan boleh dinobatkan sebagai kota perlambanan Melayu? Jika ya, kita hanya meletakkan Melayu pada taraf Kampung sahaja!

(2) Mahathir Mohammed sebetulnya telah meletakkan asas agar Kampung Baru, Kuala Lumpur (Kg Baru) akan dapat dibangunkan sebagai sebuah mercu tanda martabat Melayu dalam persada dunia. Terletak di antara kelompok Menara Berkembar PETRONAS dan Jalan Chow Kit-Tuanku Abdul Rahman, inilah kawasan segi tiga emas yang tidak boleh dipandang ringan. Inilah kawasan yang aslinya masih milik kukuh Melayu.

(3) Dalam keadaan sekarang, jika tidak ditangani dengan baik, Kg Baru boleh menjadi suatu yang mengaibkan bukan sekadar kepada bangsa Melayu namun juga kepada negara. Keadaan free will development kini boleh menumbuhkan gejala kesesakan dan kemelut kehidupan yang memudaratkan. Tanpa pembangunan yang rapi, Kg Baru boleh menjejaskan maruah Kuala Lumpur untuk bergerak sebagai Kota Dunia (World Class City).

(4) Saya melihat, Kg Baru boleh bangkit sebagai Pusat Bandaraya Kuala Lumpur Kuala Lumpur City Center iaitu KLCC yang lebih besar dari hanya satu komplek Menara Kembar PETRONAS. Kg Baru harus dijadikan mercu tanda martabat Melayu sedunia. Tarafnya perlu di fikir ala New York sebagai mercu tanda kapitalisma, atau Shanghai sebagai mercu tanda gahnya China. Secara hipotisis bairlah saya gelar impian ini sebagai Mega KLCC.

(5) Pengabungan pembangunan semula kawasan Chow Kit membawa ke PWTC dan kawasan MARA di Jalan Tuanku Abdul Rahman pasti akan menumbuhkan Kg Baru yang gagah, Mega KLCC. Untuk meletakkan Kg Baru sebagai mercu tanda lestari bagi pembangunan sebenar martabat bangsa Melayu, saya berkira ianya mestilah berpaksi Demi Allah. Jika kita dapat membangunkan Mega KLCC ini atas dasar Demi Allah pasti ada keberkatan sebagai mana Kaabah telah dibangunkan oleh para malaikat dan kemudiannya Ibrahim. Dengan berkonspkan Demi Allah pastinya, seluruh generasi pemikir, pengerak dan juga pewaris Projek Mega KLCC ini akan terus mempertahan dan mengekalkan kesucian Kota ini nantinya.

(6) Mega KLCC sebagai yang saya utarakan sedikit waktu terdahulu harus dijadikan pengerak kepada pertumbuhan dan perkembangan Ekonomi Islam. Asas kepada pertumbuhan dan perkembangan Ekonomi Islam adalah dengan mewujudkan Pusat Kewangan Islam Sedunia. Kita mesti bergerak gigih untuk membangunkan sebuah sistem kewangan alternatif kepada yang sedia ada. Islam adalah agama kita, kitalah yang sewajibnya memertabatkan agama ini.

(7) Menjadikan Mega KLCC sebagai Pusat Kewangan Islam Sedunia, pastinya akan mewajibkan kita untuk berfikir seluruh seliratan yang perlu bagi mempelopor, melengkapi, dan mendokong secara langsung dan tidak langsung kepada gagasan ini. Unsur-unsur agglomeration, pull-push factors, lattice networks dsb wajib kita fikirkan secara mendalam dan teliti.

(8) Kita wajib melihat perkembangan Madinah dan Mekah dari asal mulanya. Kita juga wajib mengkaji, kenapa kedua-dua Kota Roh Islam ini, sehingga kini belum boleh bangkit sebagai Kota kekuatan menyelurh bagi umat Islam. Pasti banyak keperluan yang belum ada di sana, dan ini boleh kita jadikan landasan dalam memikirkan bentuk, susunatur dan kandungan Mega KLCC ini.

IV. Kesimpulan

Membangunkan masyarakat Melayu harus pada landasan memartabatkan Islam lewat keMelayuan. Inilah serasi bangsa ini pada kehadirannya di rantau sebelah sini. Sifat keTimuran bangsa Melayu pastinya akan dapat melembutkan bangsa-bangsa Timur jauh. Jumlah manusia Allah di sebelah sini bukan sedikit. Saya kira hampir 1.50-1.70 billion manusia menghuni dunia di sebelah Timur ini. Maka jika 60 peratus dari umat Melayu adalah Muslim, pastinya tugas untuk sejumlah 180-210 juta umat Islam-Melayu untuk bersama 1.30-1.50 billion umat Allah lainnya pasti adalah sesuatu yang sangat mencabar serta memerlukan kita mempunyai kekuatan yang boleh menjadikan kehadiran kita itu memanafaatkan semua.

(2) Jika KeIslaman Melayu dapat diperkokohkan, mungkin ini akan mencetus kebangkitan Islam di sebelah Barat dan Benua Kecil Asia. Setakat yang saya lihat, Islamic New York perlu dibangunkan dulu di Kuala Lumpur buat mengembalikan roh kebangkitan Islam. Dunia Arab perlu dipimpin kuat. Melayu perlu sanggup berkorban Demi Allah.

Terasi, Simunjan, Malaysia
18-24 Feb., 2012

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.