.

27/9/11 BILA SERBA SALAH MENGUASAI DIRI..

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - September 20, 2011

Share

& Comment

Kerabu Tiga Rasa Kemboja. Lain sekali dari Kerabu Siam. Manis, pedas, masam dan lemak. Ini makanan, bukan hati, melainkan Kerabu Hati Pattani.

Seorang teman menalipon. Minta pandangan. Hidupnya bercelaru. Bingung. Soalnya, mahu pilih mana satu? Di kiri manis. Di kanan pahit peria. Di depan asam pedas. Di belakang lemak masin. Semuanya nyaman. Enak. Menyeronokan. Pokoknya, kalau digaul tidak bisa jadi masak lemak. Jauh sekali jadi sambal goreng. Pilih satu, pasti banjir bah melimpah kerana tiga pasti meraung meruntun hujan airmata tak karuan lebatnya. Pilih keempat-empatnya, bisa pusing mati. Sedang P Ramlee hanya mampu sarankan tiga, kalau empat petua apa harus dipergunakan. Mungkin bukan terjun ke sungai cetek, tetapi masuk ke lubang cacing.


(2) Kebetulan saya membaca sebuah buku berjudul: Mind Warrior. Strategies For Total Mental Domination oleh Haha Lung. Saya sisipkan seungkai kata-kata yang berbunyi:

Si Munsang dan Sang Kucing bertemu di padang luas. Si Munsang bertanyakan Sang Kucing tentang apa ilmu pertahanan diri yang dia mengerti. Jawab Sang Kucing: ”Aku hanya punya satu langkah. Bila dihambat bencana, aku sepantas kilat memanjat pokok”. Maka ketawalah Si Munsang:”Aku mempelajari beratus cara, samada dari kelompokku atau dari segala binatang lain. Aku punya beratus pilihan.”

Seketika kemudian, keduannya diserang segerombolan Srigala ganas. Dengan apa yang dia mengerti, Sang Kucing secepat kilat memanjat sebatang pokok berhampiran, terlepas dari batas kecapaian Sang Srigala. Kerana masih terkapai-kapai berkira, langkah mana harus dipilih, maka Si Munsang terkulai menjadi habuan Srigala lapar
.

(3) Sebetulnya, apakah kata hati? Apakah sebenar-sebenarnya yang ingin dicapai? Kalau masin, ambil saja garam, kicappun tak apa. Kalau mahu manis, pasti terbaik adalah gula. Madupun boleh. Buah-buahan boleh juga. Kalau hendak lemak, makan biji sawitpun boleh cuba, kalau tidak minum susu segar. Hendak lemak dengan kolestrol, minum santan kelapa. Kalau hendak masam pedas, telan cili padi dengan cuka. Kalau tidak, cubalah air bateri kereta.

(4) Buku ini suatu bacaan yang sangat baik terutama bagi mereka yang lembab, lengai, lambat, was-was, acuh tak acuh, dsb dalam membuat keputusan. Hakikatnya ianya mengajar kita untuk mendengar kata hati, naluri dalaman, rasa-rasa, gerak hati, kalbu, dsb yang pada dasarnya adalah akibat aruhan bahagian otak bernama Amygdala yang berupa sistem limbik otak yang terletak di bawah bahagian Cerebrum dan Cerebellum. Ianya mengawal keinginan untuk melawan, makan, lari dan sek. Dalam banyak perkara, sedarkah kita akan peranan setiap sistem otak kita dan bagaimana kita dapat mempergunakan setiap satunya untuk kebaikan kita?.

Matang Jaya, Kuching, Sarawak
20 Sept., 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Anonymous said...

I like this one. Great advice. Thanks brother.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.