Saya sering bertanya, setiap perkataan Melayu, dasarnya dari apa atau mana. Contoh paling mudah adalah perkataan prihatin. Pertama kali perkataan ini digunakan secara meluas bilamana istilah ikram diperkenalkan oleh DYMM YDP Agung, iaitu Sultan Azlan Shah semasa Negara dalam kemelut sosial yang agak liar semasa baginda jadi DYMM YDP Agung. Inilah masanya Dr. Mahathir mulai meneriak, rakyat harus berterima kasih. Istilah Ikram bermaksud sama dengan istilah peduli dalam Bahasa Indonesia atau sekarang lebih dikenali sebagai caring and concern.
(2) Kebetulan semasa di Medan, Sumatera setahun lepas, saya terjumpa sebuah tulisan Agung Webe yang bersandarkan Serat Wulang Reh hasil karya Sri Paku Buwono IV, sebuah karya mengariskan tentang budicara Kepimpinan dan Kepemimpinan dalam masyarakat Jawa.
(3) Istimewanya masyarakat cendikiawan Indonesia, mereka sering berkarya. Mereka suka mengkaji dan menulis hasil kajian mereka. Dalam masyarakat Melayu Malaysia, saya berkira kita sudah agak keterbelakang dalam hal ini. Di universiti-universiti tempatanpun rasanya karya-karya hebat kian berkurangann. Pergilah ke gedung buku Gramedia bebanding MPH, pasti dengan mudah kita merasa jurang penulisan yang sangat luas antara dua negara bangsa ini. Ini semua gara-gara, jawatan tinggi dalam bidang akademik negara ini sudah tidak lagi terikat dengan daya karya para pensyarah. Biarpun tidak pernah menulis sebarang buku, kini siapapun seperti sudah dapat menaiki tangga Prof. Madya dan atau Profesor.
(4) Mungkin kerana telah merosotnya kecendikaiawan para Profesor Malaysia maka kini telah terbentuk Persatuan Profesor Malaysia. Persatuan ini rasanya lebih cenderung untuk minta dihormati dari hormat itu datang atas kewibawan sejati. Dulu para Profesor, kehebatan mereka, berdiri atas kewibawaan sendiri. Berdiri atas penemuan kajian, penelitian, dan pemikiran sendiri. Contohnya Prof. Ungku Aziz, Rasdan Baba, Ghazali Abdul Rahman, dan banyak lagi yang kini, samada sudah uzur atau kerkubur.
(5) Kembali pada istilah prihatin, saya agak kaget mendapati betapa istilah itu dalam Serat Wulang Reh adalah terbit dari istilah perih dan ati. Dalam bahasa Jawa, perih bermaksud kepedihan hati yang sangat hebat. Ati pula adalah bermaksud hati.
(6) Dalam Serat Wulang Reh, istilah prihatin telah digunakan sebagai satu konsep yang harus ada dalam soal kepimpinan dan kepemimpinan. Sebelum menduduki tangga sebagai pemimpin, seorang mesti terlebih dahulu punya sikap merasai atau menjiwai sengsara, kepayahan, derita, kemelut, kekhuatiran, cabaran dsb yang dihadapi oleh mereka yang bakal ia pimpin. Pokoknya, segala perih, lirih yang bakal dipimpin mesti dia ketahui secara mendalam. Dia mesti mengerti, menjiwai, dan mendalami semuanya sehingga terbentuk sikap empathy.
(7) Hanya dengan mendalami dan menghayati segala cabaran dan kepayahan golongan terpimpin, maka seseorang pemimpin itu akan dapat mengasuh ati:hatinya agar menjadi rendah diri. Sikap merendah diri adalah tuntutan maha kuat dalam kepimpinan Jawa. Dalam budaya Melayu, konsep resmi padi, lagi berisi lagi tunduk adalah membawa pengertian yang sama. Juga, diam-diam ubi berisi. Merendah diri adalah tuntutan dan pengorbanan yang sangat besar bagi kaum Jawa.
(8) Muhammad SAW dalam hidup keanak-anakannya penuh payah dan tercabar. Juga saat remajanya, dia terus saja diasak dengan segala cabaran. Akibatnya, dia mengerti masa depan kaumnya, Quraish yang pasti akan musnah jika tidak diperbetulkan. Atas keinsafannya ke atas segala itu, Muhammad SAW menjadi pemimpin yang berwibawa besar.
(9) Begitu juga halnya dengan para nabi dan rasul terdahulu, Noh, Daud, Musa, Ibrahim, dsb. Nelson Mandela menjadi pemimpin yang dapat menghancurkan kuku besi apartheid bukan dalam lapang kebebasan tetapi dalam penjara sengsara yang mendalam. Sama halnya dengan Mahatma Ghandi. Lapar dan dahaganya menjadi kuasa penyatuan India. Air mata dan darah Jose Rizal memerdekakan Filipina. Penjara dan pengasingan menjadi landasan perjuangan Sukarno. Kehinaan, kepapaan dan penindasan menjelmakan Hitler, Mao Tze Dung, Ho Chii Minh, dsb. Semua kalau kita kaji, derita, kepayahan seperti menjadi darah daging mereka yang berjaya dalam kepimpinan masing-masing.
(10) Bedanya, pemimpin dan kepimpianan yang kekal berjaya adalah pada sikap merendah diri. Sikap merendah diri dalam soal kepimpinan adalah sangat penting. Pertamanya, ianya menjadikan kita tidak mudah lupa daratan. Seorang pemimpin yang gemar diperbesarkan, pasti akan membawa padah akhirnya. Sedang yang sering merendah diri, dia akan hadir di mana-mana dan dalam keadaan apa juga. Hidupnya ringkas dan mudah. Pembawaannya ringkas dan mudah. Pemikirannya ringkas dan mudah. Segala urusannya menjadi ringkas dan mudah. Cuma kita harus mengerti, merendah diri tidak sekali-kali bermaksud, mudah dipijak. Keteguhan hatinya tetap kuat, sukar tergugat.
(11) Firaun tumbang kerana takbur betapa dia telah menjadi Tuhan. Begitu juga Cleopatra, Caeser, Mark Antony, Sadam Husein, Mubarak, dan mungkin Ghadafi akhirnya, mereka rebah tanpa kenangan abadi kerana mereka sudah lupa landasan asal kepimpinan mereka iaitu mentadbir negara demi kesejahteraan rakyat. Kita dalam penjawatan awam tidak boleh lari dari itu. Gaji yang kita kutip saban hari adalah atas amanah kita mesti mentadbir negara dengan sempurna.
(12) Keduanya, kita akan menjadi lebih terhormat. Bak kata pribahasa Melayu, ular, biar menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Seorang yang sikapnya merendah diri akan mudah didekati dan mendekati. Pekerti sebegini, akan menjadikan dia seorang yang bermaklumat tepat dan mendalam. Seorang yang bermaklumat, pasti segala tindakannya akan lebih bijaksana dan strategis. Perhatikan tingkah Tun Abdul Razak. Dia sering keliling desa untuk bersama rakyat. Bila dia turun padang, dia tidak disambut dengan segala macam bunga mangar dan hamparan permaidani merah panjang. Dia sanggup berlumpur, berhujan, bersingsing lengan. Juga lihatlah pada sikap Khalifah Abu Bakar. Sering dia menyamar dan bergaul dengan khalayak ramai. Tidak kira waktu mana. Subuh, malam, siang. Seorang pemimpin yang hebat, tinggi baktinya, biar di mana, tetap dia dihormati. Maksud, sikap harimau sembunyi kuku harus kita perhatikan dengan teliti, pastinya sangat baik diamalkan.
(13) Saya amat bersyukur dalam saya membongkar pelbagai bahan bacaan keagamaan, di bulan yang mulia ini, terselit buku ini, dan mengingatkan saya kembali betapa seorang pemimpin mesti punya sikap prihatin. Sikap ini saya cuba tanamkan di kalangan teman-teman bila, biar dalam bulan puasa yang mencabar, saya membawa mereka melihat desa-desa serta menghayati kepayahan dan keperitan hidup di desa. Mudah-mudahan, secara alon-alon tetapi kelakon ungkai kata SBY Yudiyono Presiden Indonesia yang bermaksud, mudah-mudahan perlahan-lahan sikap itu akan meresap dalam jiwa dan agar ianya menjadi perjuangan masa depan rakan-rakan yang akan saya tinggalkan.
(14) Cuma biarlah prihatin kita itu adalah kepedulian, keikraman kita kepada masyarakat, tidak semata-mata prihatin atas keinginan dan nafsu sendiri sahaja. Tututan kita bermasyarakat, bernegara, adalah agar kita tetap mendahulukan bangsa dan Negara. Itulah tuntutan Islam kita, sebenarnya. Sedikit masa lagi saya akan menguraikan maksud rangkai ungkapan ini.
Matang Jaya, Kuching
17 August, 2011
0 comments:
Post a Comment