.

7/7/11 ISLAM YANG TIDAK MENGUATKAN KITA?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 12, 2011

Share

& Comment


Penduduk Thai telah menghampiri sejumlah 70 juta orang. Lebih kurang 20% dari mereka adalah penduduk Islam. Secara kebetulan, hampir seluruh dari orang Islam Thai adalah berketurunan Melayu. Sejarah membuktikan bahawa sejak di zaman kegemilangan Kerajaan Ayuthia, orang Melayu yang merupakan pedagang, telah bersama kaum-kaum lain mulai menduduki Bahagian Tengah (Central Thai). Kekuasaan Ayuthia dulunya, dikatakan menjangkau sehingga ke Singapura, Kemboja, dan sebahagian Sumatera, yang merupakan negeri-negeri Melayu Hindu-Buddha. Pedagang-pedagang Melayu ini berasal dari rantau ini, serta dari bahagian Selatan Thai. Bila Ayuthia tumbang, mereka kemudian menghilir lalu bersama membina Bangkok sebagai sebuah Kerajaan baru menggantikan Ayuthia.

(2) Melayu juga secara sepintas lalu disebut sebagai pelaut yang membolehkan Barat menjejaki sehingga ke Filipina dan Tanjung Harapan. Dalam sejarah kegemilangan China, Melayu disebut sebagai pedagang dan pelaut yang hebat, namun hanya tertulis sebagai hiasan sejarah semata-mata. Perincian kehebatan mereka tidak pernah tertulis rapi, mungkin kerana mereka hanyalah pembantu juragan, atau pendayung dan kuli-kuli yang fikiran merekja sangat sedikit digunakan.

(3) Begitu juga, lebih kurang 100,000 orang telah terkorban dalam pembinaan Jalan Keretapi Maut di Kanchanaburi di Thailand. Kebanyakan dari mereka adalah datang dari Tanah Melayu, Singapura, Sumatera dan Jawa. Namun, dalam Musium Peringatan Perang Thailand di Kancanaburi, hanya mereka dari JEATH: Japan, England, America, Thailand, dan Holland disebut dan dibina tugu perkuburan yang indah, sedang orang-orang Melayu hanya di kubur tanpa nisan tanpa nama besar. Ini semua, kerana orang Melayu yang mati di sana adalah para kuli dan hamba yang nilai nyawanya tidak perlu dikenang dan dipedulikan.

(4) Di Tiga Wilayah Selatan Thai: Yala, Narathiwat, dan Pettani, kedudukan orang Melayu saya kira sangatlah dhaif. Inilah wilayah terdahulu yang kaya dengan timah, kemudian getah, dan hasil-hasil laut, namun kini, ianya tetap mundur tanpa penghormatan yang sebaiknya.

(5) Saya berkira, keterbelakangan orang Melayu di sini dan lain-lain tempat, adalah akibat kekhilafan kita dalam melihat bagaimana Islam sebagai agama penyelamat. Kita mungkin taksub dengan trajidi Perang Gajah oleh Abrahah sebelum pengembalian Mekah kepada Islam. Semasa itu, akibat dengki Abrahah terhadap Mekah yang menjadi kunjungan Haji para pedagang Arab dan menjadi ancaman Kota Sana'a di Yaman, maka Abrahah bertekad untuk meroboh dan menghancurkan Kaabah.

(6) Orang Mekah Arab, pada masa itu adalah sangat sedikit dan tanpa persenjataan yang cukup. Melawanpun mereka kalah, tidak melawanpun mereka tetap kalah. Namun pemimpin mereka berserah kepada Allah kerena mereka tahu Kabaah adalah rum,ah Allah, maka pasti dia akan menyelamatkan rumahNya sendiri dari acamana apa sekalipun.

(7) Pada hari ini, dan pemerhatian saya 20-30 tahun yang lepas, sebahagian dari kita seperti terlalu taksub betapa Allah akan sentiasa menyelamatkan kita asal saja kita adalah orang beriman. Kepercayaan tersebut saya kira adalah kerana kita bersandarkan sebahagian besarnya dari peristiwa di atas, serta janji Allah tentang betapa Dia akan menjaga mereka yang beriman.

(8) Kita seolah-olah tidak boleh membezakan antara kita dan Kaabah. Kita juga seperti telah mempersempitkan pengertian orang-orang yang beriman. Kaabah adalah Rumah Allah yang diarahkan pembinaannya untuk penyatuan ummah. Kita, hanyalah sebahagian dari sebanyak dan seluas ciptaanNya. Hakikatnya, kita adalah ibarat sebutir debu di Padang Sahara.

(9) Saya perhatikan, sebahagian dari kita orang Melayu dan Islam yang saya telah ketemui di Selatan Filipina, Indonesia, Thailand, Kemboja, dan di Malaysia juga, kita seperti telah mengalah dalam membangunkan martabat sendiri. Minat kita tertumpu kepada perbicaraan tentang memperkuatkan Islam. Namun tumpuan penguatan kita terjurus samada ke arah kerohanian atau ke jasmaniah sahaja. Kita tempang untuk bergerak sama dalam keduanya.

(10) Keimanan sering saja digembar gembur sebagai menumpu kepada soal-soal kerohanian semata-mata. Soal mengaji Al Quran, Zikir Rasullullah, segala perkara dosa, Sembahayang, Puasa, dan pergi Haji menjadi tumpuan perbicaraan dan didikan kita. Duniawi hanyalah pinjaman-melalaikan dan sesuatu yang sia-sia kita hambat. Otak dan jiwa Melayu muslim terdidik dengan pincang tentang Islam.

(11) Keimanan tidak dilihat sebagai usaha memperkukuhkan kedudukan umat Melayu Islam dalam hubungan yang jauh lebih luas dan menyeluruh. Kita seperti terus saja mahu menyerah kepada Allah untuk menentukan siapa dan apa akan jadi kepada kita. Kita seperti telah percaya, asal saja beriman, maka kita akan selamat dunia dan akhirat.

(12) Apa yang saya temui bila saya melawat kaum Yunan di pergunungan Thai, di pelusuk kawasan setinggan, di perkampungan terpencil, bahkan di kota-kota di mana cabaran hidup kian bengis dan panas, bukan sahaja umat Islam dan Melayu tidak punya kecukupan hidup, namun keimanan mereka juga kian pudar.

(13) Jika dulu orang Melayu hebat, adalah kerana, sikap mereka yang jauh berbeza dari masa kini. Sikap kemsyarakatan mereka, adalah untuk membina kampung dan desa. Mereka sangat memikirkan soal masyarakat. Biarpun mereka kurang keimanan namun mereka kental dalam perjuangan memartabatkan masyarakat dan bangsa. Kita kini, keimananan hanya untuk sendiri, menyelamatkan diri samada untuk akhirat atau duniawi. Saya tidak pasti apakah sikap kita itu akan menyelamatkan kita di keduanya: duniawi dan akhirat?.

(14) Perjalanan saya, seperti membuktikan betapa hambatan ke akhirat semata-mata menjadikan kita lemah di dunia ini, dan akhirnya kita menjadi manusia yang ada Islam tetapi Islam yang tidak menjamin keselamatan kita. Begitu juga hambatan semata-mata ke arah duniawi, telah menjadikan keIslaman kita menjadi kian pudar. Semuanya kerana kita telah menjadi kikir dan bahil-kedekut: segala sesuatu yang kita lakukan hanya untuk sendiri, masyarakat, bangsa tidak penting. Kita mudah mengaku kalah. Islam kini kian menjadi sendaan mereka yang tidak Islam! Melayu kian tersepit lalu menyerah!


Kota Bharu, Kelantan
13 Julai, 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.