.

21/7/11 SEJUK DAN PANAS

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 25, 2011

Share

& Comment


Tepat atau tidak pemakaian dua istilah ini, saya kurang pasti. Namun dalam bahasa Inggerisnya disebut:Cold and Hot. Inilah dua istilah yang sering digunakan dalam mentafsirkan apakah sesuatu makanan itu baik atau tidak baik untuk kesihatan. Sejuk terkait dengan tidak atau kurang baik, sedang Panas pula dianggap baik. Istilah sejuk untuk mengambarkan cold mungkin tepat, namum hot boleh turut bermaksud panas dan pedas. Biarlah teman-teman dari sekolah permakanan membenarkannya.

(2) Ahad lepas saya sempat ke kedai buku seorang kenalan di Kota Bharu. Dia sebetulnya adalah seorang jurutera yang banyak berjalan ke mana-mana. Kegemarannya adalah membeli buku dan mengedarkannya sebagai sedekah buat sesiapa saja yang kepingin menimba ilmu metelaah buku-bulu tersebut. Alhamdullillah saya dapat ketemu seorang Melayu sebagaimananya dia, setidak-tidaknya saya tidak sendiri.

(3) Secara pribadi saya sedang mengalami pelbagai jenis penyakit yang sedikit menganggu kecergasan dan kecerdasan saya dalam memikul tugas dan kehidupan hari-harian. Sejak sekian lama saya mengumpul buku bercorak Ethnobotany yang membolehkan saya meneliti tanaman herba yang boleh menjadi ubatan kepada beberapa penyakit yang sedang saya hadapi.

(4) Di kedai buku kenalan ini, saya membeli dua buah buku berjudul: Prophetic Way of Treatment oleh Badar Azimabadi terbitan Darul Ishaat, Karachi dan The Prophetic Medical Science oleh Shamsuddin Mohammed dan Ibn Qayyim Al Jawziyya terbitan Millat Book Centre, New Delhi. Terdahulu, yang saya lupa tajuknya, banyak juga saya telah membeli buku-buku berkaitan dengan cara pemakanan Muhammad SAW, yang kini saya simpan sebagai rujukan anak-anak di Kampung.

(5) Kedua buku ini banyak menceritakan pelbagai kebaikan segala buah-buahan, sayuran dan sumber protein pemakanan Muhammad SAW. Kurma, anggur, henna (sejenis tumbuhan inai)madu, susu, ikan, daging, dsb, dan tumbuh-tumbuhan yang baginda gunakan sebagai ubatan.

(6) Tulisan Badr, banyak menceritakan akan perlakuan Muhammad SAW khusus dalam cara tidur, cara makan, berpakaian, dan berhubungan dengan para isteri. Saya kira kedua buku ini patut dibaca oleh kalangan muslimin dan perhatikan nasihat besar Muhammad SAW: Punca utama segala penyakit adalah perut; Punca kedua adalah tabiat dan untuk itu kita hendaklah berhenti makan, saat kita tengah berasa paling enak, maksudnya, jika kita ingin terus sihat, maka kita mesti berhenti makan bila saja juadah yang kita hadapi itu terasa sangat nikmat (enak). Stop eating when the food feel the most delicious, sanggupkah kita agaknya? Saya pasti, hanya mereka yang kuat daya tahannya akan sanngup berbuat sedemikian. Siapalah agaknya sanggup undur saat kemuncak!.

(7) Bila membaca buku ini, kini baru saya sedar akan nasihat emak saya semasa kecil dulu: Tak elok minum semasa makan; Tak elok makan-minum sambil berdiri; dan Jangan tidur terlungkup. Juga, amalan saya selama ini yang suka minum "Teh O Ais" semasa makan sangat bertentangan dengan konsep "Panas dan Sejuk". Juga, saya tidak pasti, kenapa kita tidak elok untuk makan banyak telur bersama ikan. Jika beginilah caranya, pasti cara pemakanan Thai agak kurang sesuai kerana sering terhidang telur goreng dan segala jenis ikan. Begitu juga Muhammad SAW melarang makan ikan bersama minum susu. Bagi yang suka makan ikan dan kemudian minum minuman bersusu haruslah meneliti perkara ini.

(8) Juga, emas dan wangian sangat menjadi kegemaran Muhammad SAW. Cuma dia melarang, bila mati, segala perhiasan terutamanya emas mesti dilucutkan. Bagi Muhammad SAW, emas adalah lambang permusuhan sengit manusia, namun ianya juga adalah lambang kesungguhan manusia. Muhammad SAW juga tidak gemar lelaki, khususnya bermewah-mewah dengan emas. Muhammad SAW sangat melarang umpamanya lelaki bermegah minum dalam cawan emas. Emas ada khasiat menyerap unsur-unsur yang jahat dari tubuh kita. Orang perempuan wajar memakai emas, namun tidaklah usah macam lagak Mak Mami. Dalam soal wangian, apa yang sangat menakjubkan saya adalah betapa Muhammad SAW selalu berkata:Aku menghargai wanita dan wangian!. Muhammad SAW pernah berkata, wangian adalah sifat para malaikat sedang bau jelek adalah sebaliknya. Cuma, saya berkira, tidaklah usah kita berwangian sebagaimananya Cleopatra, seMesir boleh tahu hadirnya!

(9) Setelah membaca buku ini, saya berkira untuk bertanam tebu di kampung dan saya akan pastikan bahawa saya akan makan tebu sebagaimana saya masih kecil-kecil dulu. Minum air tebu tidaklah sama khasiatnya dengan mengunyah batang tebu.

(10) Di Bandung, Indonesia, saya dimaklumkan ada perlakuan Kahwin Kontrak. Kalau kahwin kontrak itu, biasalah. Di mana-manapun, kecuali mungkin di kota-kota suci, tidaklah ada. Buku-buku ini juga menyatakan Nikah Kontrak pernah diamalkan di suatu ketika di zaman Muhammad SAW. Namun, kemudian Muhammad SAW telah mengharamkannya. Ini dibenarkan oleh Ali RA. Cuma, pengikut Syiah meneruskan perlakuan ini dalam bentuk Kahwin Kontrak, dan saya kira bukan Nikah Kontrak. Suatu hari nanti, saya akan selidiki perkara ini jika saya berkunjung ke Bandung.

(11) Pendeknya kita perlu mengelak mengambil terlalu banyak atau kerap makanan sejuk, dan harus memakan makanan panas. Capati dengan ABC nampaknya tidaklah sesuailah!

Matang Jaya, Kuching, Sarawak
25 July, 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.