KEKALUTAN YANG MENDEPANI:
Sejak beberapa bulan yang lalu, saya banyak menghabiskan masa untuk meneliti tulisan-tulisan mengenai pribadi beberapa manusia agung yang patut kita teladani. Pastinya sebagai seorang Muslim, manusia paling perlu kita teliti pribadinya adalah Muhammad SAW. Kita juga tidak harus lupa untuk meneliti akan pribadi para rasul dan nabi yang lainnya. Begitulah seterusnya, kita juga perlu menyemak akan pribadi para sahabat nabi, para ulama dan pemikir besar Islam, juga para pemimpin dan tokoh yang besar dalam sejarah.
(2) Juga saya cuba meneliti karya-karya Melayu lama, dengan hasrat mencari jalan pulang, sebagaimana sering dulunya kita dengarkan: Sesat di hujung jalan kembali ke pangkal jalan. Saya melihat kita masyarakat Melayu, dewasa kini banyak kelemahananya, dan jika terbiar, pasti kita akan terancam mandirinya. Kita suatu ketika, adalah masyarakat bebas berjaya, namun kini kita kian menjauh terkebelakang. Kita seperti sudah kesesatan di hujung jalan. Jalan pulang perlu kita cari segera.
(3) Banyak antara kita tidak sadar. Kita sebagai sebuah masyarakat sedang terancam hebat. Ancaman yang paling jelas yang akan melanda kita adalah, kita tidak sealiran dengan agneda semasa negara. Terkini kita tidak menjurus pantas ke arah apa yang Najib sarankan: Masyarakat berpendapatn tinggi. Negara mungkin akan sampai ke situ, namun orang Melayu, saya berkira akan terkesamping (tersisih) jika tidak ketinggalan (tercicir).
(4) Asas pendapat saya adalah agak mudah. Pertamanya, penduduk Melayu kian meningkat jauh lebih tinggi dari masyarakat lainnya. Keduanya, peningkatan ini tidak sejalan dengan peningkatan kualiti diri, khususnya dari sudut keilmuan dan kemahiran selaras dengan keperluan semasa. Anak-anak Melayu keluaran universiti dan kolej-kolej lebih banyak menjurus kepada bidang berbentuk gimik semasa, tidak menepati tuntutan semasa dan depan yang sebenarnya. Silapnya, kita terlalu ghairah agar anak-anak bangsa kita menjadi 'terpelajar', namun ilmu yang diperolehi tidak dapat dimanfaat sebaiknya dengan seberapa segera. Takrifan terpelajar kita terlalu disempitkan kepada perolehan ijazah, dan bukan kemahiran hidup sebenar!
(5) Ketiganya, peningkatan penduduk Melayu akhirnya mengasak,anak-anak muda hijrah ke bandar-bandar. Penghijrahan ini mempunyai beberapa kesan yang sangat merugikan. Pertamanya, dengan berbekal segala ilmu dan kemahiran yang agak pincang, akhirnya mereka kejebor-terjerumus ke dalam bidang kerjaya yang pincang, dan akhirnya, menjadi sekadar 'kuli' dalam bentuk baru. Pakaian kita mungkin segak, gaya kita mungkin hebat, namun gaji kita tetap 'mengecil'. Kesannya, pendapatan anak-anak muda Melayu di kota yang tidak seberapa ini, kemudiannya menjebak mereka ke dalam kancah sosial yang jauh menyimpang. Keduanya, demografi penduduk luar bandar menjadi lebih kepada yang berumur lanjut dan atau kanak-kanak. Akhirnya, segalanya ini mengundang, pelepasan 'tanah dan harta' di kampung ke tangan lain, akhirnya yang tidak menjamin kesejahteraan kepada orang Melayu. Tanah terbiar, akhirnya terjual atau tergadai. Anak-anak di kota bukan semakin memperkayakan keluarga, malah banyak yang terpaksa disokong orang tua di kampung.
(6) Keempatnya, sememang benar, ramai juga anak Melayu di kota-kota yang berjaya. Kejayaan mereka jika kita terliti lebih dekat, tiada bezanya dengan semasa kehidupan di kampung, sekadar: sara diri. Rumah mungkin besar dan serba lengkap, kereta mewah, makanan dan pakaian kecukupan dan hebat, anak-anak terbiaya segalanya, namun segalanya adalah sekadar cukup untuk diri sendiri, keluarga sendiri sahaja, sumbangan untuk masyarakat entah di mana? Perkara ini menjadikan Melayu yang berjaya menjadi Melayu kendiri, dalam istilah modennya, Melayu individualistik. Kepedulian mereka terhadap masa depan bangsa kian kendur lalu luput. Maka ini akhirnya, menjadi pertentangan suatu masa nanti antara Melayu berada dan Melayu serba kekurangan.
(7) Akibatnya, keutuhan masyarakat di mana yang berada dan tidak berada harus saling melengkapi pasti tidak akan kecapaian. Masyarakat kita akan menjadi 'polarised', suatu ketika nanti akan wujud, di mana di satu pihak adalah golongan yang dipandang berada, sedang di satu pihak lagi sebagai golongan tidak berada. Jika berlaku sebarang kemelut, akhirnya, kedua kumpulan ini akan saling membiarkan. Dalam bahasa Melayu Sarawak, saling bertewas, saling membiar, saling tidak perduli, padan muka!
(8) Perkara yang saya bangkitkan ini, biarpun belum jelas, sebetulnya kian berkembang pesat. Cuma kerana kita kian sibuk mengejar kehidupan sendiri-sendiri, maka kita tidak kian peduli. Pokoknya, kepincangan sedang melanda hebat bangsa kita, cuma kerana kita tidak atau kurang peduli, maka kita menjadi mereka yang hanyut bersama arus kekalutan yang tidak akan mudah terhenti.
(9) Kita seperti sudah malas mahu meneliti. Kita juga seperti sudah malas untuk bangkit bersuara dan memperjuangkan sesuatu yang hak, betul dan benar.
ERTI KEPAYAHAN:
Kalau kita teliti betul-betul, terdapat kesamaan yang sangat mendalam di kalangan semua tokoh besar dunia. Nabi Adam, lahirnya sebagai yatim piatu. Tiada Adam punya ayah dan ibu. Sama halnya dengan nabi Isa, ada ibu, tetapi tanpa ayah. Yatim juga akan nabi Isa. Muhammad, terlahir sebagai yatim, dan melangkah remaja sebagai yatim piatu. Orang yang paling dekat dengan Muhammadpun, contohnya seperti Bilal dan Ali Abi Thalib, turut membesar sebagai yatim piatu.
(2) Dalam dunia pra-moden, Ghenzis Khan adalah contoh di mana dia dibesar dan dibimbing dalam sengsara seorang ibu. Bapanya dibunuh atas rasa tamak kuasa para kabilah Monggol yang sentiasa dahagakan darah.
(3) Di dalam dunia moden, kajilah sejarah para ulama dan ilmuan Islam. Kebanyakan mereka adalah yatim dan atau yatim piatu. Muslim dan Bukhari kerana kehilangan kasih sayang ibu-bapa, menjadikan mereka pengembara dan tekun menuntut ilmu. Begitu juga Ibn Batuta, Ibnu Sina, dan banyak lagi.
(4) Hitler, Mao Tze Dung, Ho Chii Minh, Jose Rizal adalah nama-nama besar si yatim jalanan dalam zaman penjarahan pendatang pada awal 1940an. Begitu juga tokoh seperti Sukarno, bahkan Suharto kemudiannya di Indonesia. Kalau tidak silap, begitulah juga jalanan hidup awalnya Lee Kuan Yew dan Barrack Obama.
DAHULUKAN DENGAN RAJIN:
Semua mereka yang saya sebutkan di atas, punya dua pribadi yang sukar ditandingi: mereka adalah sangat rajin dan berani. Kerajinan dan keberanian menyebabkan mereka dapat keluar dari segala kekurangan dan kelemahan yang mereka alami.
(2) Ambil iktibar dari Muhammad SAW. Lihatlah dia dari kacamata sebagai manusia biasa. Kerana rajin, Muhammad dihargai dan dipertanggungjawapkan dengan segala macam kepercayaan biarpun di saat usia muda. Dia sangat rajin berusaha melepasi segala kepayahan dan keperitan hidup sebagai yatim piatu yang terpaksa dia tempuhi. Dia rajin mendongkel ilmu. Dia rajin meneliti segala macam kelemahan bangsanya. Dia rajin berfikir, mencari jalan kebenaran. Dia rajin mempersiapkan dirinya sebagai seorang manusia yang terlahir dengan maksud dan tujuan yang luas. Kerajinannya, menjadikan dia seorang ilmuan yang agung biarpun dia hanyalah seorang buta huruf, miskin dan serba kekurangan. Mukjizat para nabi dan rasul sebelumnya lebih kepada 'kuasa ghaib', namun Muhammad, mukjizat peninggalannya adalah ilmu dan pedoman hidup buat manusia sejagat.
(3) Asasnya sifat rajin, dengan izin Allah, boleh merubah segalanya. Sebagai seorang Muslim, kita wajib yakin, betapa Allah tidak akan mensia-siakan sifat kerajinan kita. Biar laba yang Allah mungkin kurniakan tidaklah sama dengan apa yang kita kehendaki, namun Maha Bijaksananya Dia, pasti Dia membalas kerajinan kita dengan apa yang Dia yakini sesuai dengan keperluan kita.
(4) Ambil contoh, seorang miskin, tidak berpelajaran, jika dia berusaha keras, rajin bekerja agar mendapat kekayaan, mungkin Allah tidak akan memberikan dia kekayaan atas pengetahuanNya betapa kekayaan akan membawa padah kepada si miskin itu, maka Dia mungkin menganugerahkannya dengan anak-anak yang bijak pandai sehingga mendapat pembiayaan negara agar mereka dapat melanjutkan pelajaran sehingga kemampuan mereka.
(5) Sebagai seorang Muslim, adalah menjadi tuntutan agar kita sentiasa rajin. Al Quran mengandungi sangat banyak ilmu. Namun banyak pernyataan Ilmu di dalam Al Quran itu sangat tidak jelas maksud dan huraiannya. Semua itu adalah sebagai tanda arahan Allah agar kita rajin memperluaskan ilmu untuk dapat memahami segala ilmu yang terkandung di dalam Al Quran tersebut. Begitu juga suruhan kita sholat lima waktu. Khususnya sholat subuh, adalah tanda juga agar kita mesti rajin. Sama halnya arahan agar kita menunaikan Haji, kita kena rajin agar memperolehi secukup bekalan dan kemampuan untuk ke sana.
(6) Cuma, biar apapun yang bakal kita perolehi atas kerajinan kita itu, biarlah Dia yang menentukannya. Tidak usah kita menjadi terlalu kalut dan kecewa bila kerajinan kita tidak terbalas sebagaimana yang kita kehendaki. Jika kita gagal dalam apapun yang kita hajati, sewajarnya kita perlu kembali kepada sikap rajin iaitu rajin menilai di mana kelemahan dan kekurangan kita. Kemudian, kita mesti selalu rajin memperbaiki diri.
DOKONG DENGAN KEBERANIAN
Kerajinan, tanpa keberanian sukar menghasilkan buah. Contoh, biarpun kita rajin membaca, memperolehi segala ilmu dan kemahiran yang perlu, namun jika kita tidak berani mencuba dan mengamalkan ilmu dan kemahiran yang ada pasti akan seperti permata tak bergilap, tiada harganya.
(2) Mereka yang saya sebutkan di atas, sifat keberanian mereka untuk menerobos segala kesulitan dan kepayahan hidup adalah sangat luar biasa. Namun suatau yang nyata, yang banyak kita lupa, biarpun mereka pada dasarnya hidup dengan penuh kepayahan, namun bila mereka punya keupayaan dan keduidukan untuk 'senang sendiri', namun tetap mereka peduli akan nasib bangsa dan masyarakat mereka. Mereka berani menentang nafsu kendiri yang mungkin sukar kita lepasi.
(3) Sikap berani adalah perlu dalam apa juga tindakan kita. Keberanian yang dituntut adalah keberanian yang berasas, sebaiknya keberanian yang digembelingkan dengan ilmu dan kemahiran. Seorang yanjg berilmu dan berkemahiran, pertimbangan dan jalan keberaniannya adalah jalan keberanian yang berkira (calculated risk taker).
(4) Maka sikap rajin menimba ilmu dan kemahiran, serta berani mencuba ilmu dan kemahiran, berani menentang segala sifat yang menghalang kita dari menimba ilmu dan kemahiran dan mencuba segala ilmu dan kemahiran adalah suatu yang mesti kita tanam kuat dalam diri kita. Ingatlah perintah Allah, amaran Muhammad serta pesanan Umar Al Khatab tentang mereka yang tidak rajin mencari ilmu dan kemahiran serta mereka yang terlalu kecut dalam banyak perkara.
(5) Pastinya keberanian sangat terkait dengan keyakinan. Keyakinan pula sangat terkait dengan kerajinan. Kerajinan meningkat kilmuan dan kemahiran. Tidak pernah terlintas, seorang yang berani adalah seorang yang malas. Tidak pula wujud bahawa seorang yang yakin, adalah seorang yang malas dan kecut. Rajin dan berani berani adalah asas kepada yang beilmu dan berkemahiran. Gabungan ketiga-tiganya membawa kejayaan.
(7) Biar saya simpulkan sebegini. Muhammad, asalnya adalah seorang yang rajin. Kerana rajin, dia dihormati dan dipercayai. Kerana itu segala peluang terbuka luas buat beliau, yang seterusnya mendidik beliau menjadi seorang yang berani, berkemahiran. Allah menambah segala macam iulmu kemapad beliau. Kerana berani, segala ilmu yang beliau perolehi beliau tebarkan demiu kebaikan ummah. Akhirnya, sehingga kini, Muhammad SAW adalah ilmuan dan tokoh agung yang tidak ada tandingannya. Dia berjaya menjadi ikutan laksaan ummah.
(8) Semoga libur hari karyawan (saya pinjam buat menganti perkataan pekerja) akan menjadikan kita berjiwa karyawan dalam hidup kita ini. Selamat dan semoga sihat sejahtera selalu.
Nota: Rencana ini tersekat akibat peristiharan PRU10 Sarawak yang lepas.
Matang Jaya, Kuching
1-30 April, 2011
0 comments:
Post a Comment