Kalau kita biasa dengan tebingan sungai, pasti kita boleh mengagak apa maksud pepatah: Sekali bah, sekali tebing berubah. Sungai yang tebingnya adalah dari tanah, atau pasir, atau campurannya, jika dilanda banjir besar, akibat air deras membantai tebing, pasti akan terhakis. Hakisan yang besar dan atau berterusan akan mengubah bentuk tebing. Di mana berlaku hakisan akan mengakibatkan runtuhan yang hebat, sedang, tanah, pasir, kelikir yang terhakis pula akan mendap membentuk tanjung dan beting yang seterusnya mengubah bentuk dan aliran sungai.
(2) Begitulah orang Melayu kita dulu-dulu. Ada saja akalnya yang terbit dari sikap suka memerhati, berfikir lalu menyimpul satu pengajaran buat bekalan anak-cucu-cicit di masa depan. Namun sayang bertrillion kali sayang, cucu cicit yang ditinggalkan sudah tidak begitu berminat untuk memerhati, berfikir dan 'berfalsafah'.
(3) Di peringkat kebangsaan, PRU11, dengan kejayaan gemilang BN, maka orang di keliling Abdullah Badawi (Abdullah) begitu megah mendabek dada dengan kejayaan tersebut. Tersembul dari bibir Abdullah kata-kata menempelak Mahathir bila dia bertalu-talu selepas itu ditegur: "The Nation gave me the biggest mandate ever in history". Sememangnya dalam PRU12, BN mendapat mandat terbaik pernah diberikan rakyat dalam sejarah piliharaya.
(4) Akibat rasa mengah atas mandat besar rakyat dalam PRU12, maka terbina kuncu-kuncu di sekelinling Abdullah, sehingga mereka bermaharajalela mengubal apa saja mengikut kehendak mereka. Seingat saya, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Perbendaharaan telah disisihkan peranan mereka dan diganti dengan kumpulan 'think tank' di Tingkat 4, JPM. Kumpulan 'Think tank' ini menjadi pengubal dasar dan strategi kepada Kerajaan, yang akhirnya, segala usaha Kerajaan terjerumus kepada segala macam penyelewengan dan salahguna. Banyak projek terbengkalai dan tidak terlaksana berlaku di zaman pemerintahan Abdullah. Abdullah terslah baca akan sokongan padu rakyat kepadanya!
(5) Bagi mengatasi kepincangan ekonomi negara yang berantaian, kemudian kita dapati banyak dasar dan usaha-usaha berbentuk 'flip flop' di zaman pemerintahan Abdullah. Kehidupan rakyat menjadi resah. PRU13 kemudiannya menyaksikan rakyat 'memberontak' menafikan BN dari 'kemewahan' sehingga 'buayapun tersenyum girang' melihat Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang tumbang.
(6) Maka kemudian timbul apa yang dinamakan 'tsunami politik'. Anak-anak muda, mereka yang berpendidikan, generasi baru banyak dilihat sebagai penyebab utamanya kepada gelombang perubahan selera politik rakyat. Begitu juga, kebanjiran media ketiga iaitu internet, sms, blog, twitter, facebook, u-tiub dsb menjadi 'momokan' banyak pihak. Apakah itu benar? Saya agak sangsi dengan tekaan sebegitu!
(7) Saya berkira, sehingga kini, belum ada suatu kajian yang tepat mengenai apakah punca sebenar yang menyebabkan gelombang perubahan politik negara ini. Dalam PRU10 Sarawak baru-baru ini, sekali lagi, BN seperti terpinga-pinga melihat bagaimana salah sebuah komponen utamanya tumbang terjengkang.
(8) Oleh kerana ianya adalah prihal politik, maka, banyak pihak melihat jalan penyelesaian dari kacamata politik. Di peringkat kebangsaan, Abdullah terpaksa akur berundur. Di Sarawak, ada desakkan agar Taib Mahmud juga berundur. Di Sabah, sudah ada suara-suara agar Musa Aman juga perlu berundur. George Chan, Koh Su Khoon, Samy Vellu, dan bekas Presiden MCA terunggkur terhukum berat. Itu cara penyelesaian politik, betul atau tidak, hanya masa yang akan menentukannya.
(9) Natijahnya, berdasarkan sedikit Kajian Sosio-ekonomi terbaru yang di jalankan oleh beberapa teman bagi kawasan-kawasan tertentu di Sarawak, saya mendapati belum ada perubahan ketara dari segi 'Disposable Income' masyarakat terlibat. Biarpun dari segi pendidikan, pekerjaan, dan kualiti hidup sudah menunjukkan suatu yang sangat baik, namun jika dikaji secara teliti 'Disposable Income' seperti masih takuk lama.
(10) Saya berpandangan, khususnya di kalangan penjawat awam dan akademik, kita masih lagi menggunakan segala macam petunjuk (indicators) lama dalam cara kita menilai keperluan asas masyarakat. Dulu, kalau kita bercakap soal keperluan asas, maka kita akan bercakap soal: rumah, pakaian, makanan, kesihatan, dan keselamatan. Rumah, di zaman dulu, asal dapat terlindung dari hujan dan panas sudah memadai. Begitu juga soal makan, janji tak lapar, di kira sudah perlu disyukuri. Sama halnya dengan pakaian, asal dapat melindung diri dari keaiban, sudah elok. Soal kesihatan dan keselamatan juga adalah berkisar pada soal pokok, selagi boleh bekerja, tidak membahayakan nyawa, dikira sudah baik.
(11) Kini, keperluan asas biarpun sebahagian tetap sama, namun mutu dan julatnya sudah berbeza:
(a) Bila kita bercakap tentang rumah, wajah podok usang beratap nipah sudah tidak sesuai lagi. Segala bentuk kediaman dan kejiranan baru perlu diteliti dengan baik. Soal-soal keselesaan, kesesuaian, padanan dan kemampuan milik menjadi perkiraan utama.
(b) Dalam soal makanan, perkara lapar kenyang menjadi perhitungan kedua. Soal-soal selera, kesihatan, dan kepelbagaian cita rasa sudah menjadi perhatian. Kini kita makan bukan untuik sekadar tidak lapar. Kita mahu sihat. Kita mahu kelihatan hebat.
(c) Dalam berpakaian, soal selesa, padanan, dan kepelbagaian menjadi perhitungan. Ianya juga sudah tidak terhad pada baju, celana dan kain sahaja. Soal sekadar melitupi tubuh dari sejuk-panas bukan lagi soal penting. Gaya, keterampilan, pribadi, dsb sudah menjadi ukuran baru. Segala macam kosmetik sudah menjadi keperluan dan bukan lagi suatu kemewahan.
(d) Kesihatan tidak lagi sekadar tidak sakit. Kesihatan kini sudah berubah kepada soal kecergasan, keterampilan, soal-soal awet muda dan terus bertenaga. Segala macam ubat-ubatan dan makanan tambahan sudah menjadi keperluan asas.
(e) Kalau dulu-dulu soal keselamatan adalah sangat asas, namun kini, soal keselamatan sudah menjangkau pelbagai bentuk baru. Pelbagai bentuk jaminan di perlukan di mana perkara berkait dengan insuran sudah menjadi seperti keperluan wajib.
(f) Dulu-dulu unsur-unsur seperti keperluan ibadah (eg Haji, Ummrah), hiburan, pengangkutan, pendidikan, perhubungan (telekomunikasi), riadah, pembantu rumah, dan sek tidak pernah terlintas sebagai keperluan asas, namun kini, semua ini sudah kian menjadi keperluan mendesak. Inilah sebenarnya unsur-unsur keperluan asas baru yang sangat diperlukan dan menjadi perhatian hebat masyarakat muda dan berpelajaran di samping keperluan-keperluan lain terdahulunya.
(12) Pokoknya keperluan asas dan sifat-sifat serta bidangnya sudah berubah. Namun, perubahan ini tidak dapat dipenuhi oleh julat pendapatan yang kini sedang dinikmati oleh rakyat kebanyakan. Maka wajar kita melihat semula akan cara kita mengukur Indek Kualiti Hidup atau Indek Keperluan Asas Hidup agar kelemahan sebenar sistem ekonomi kita dapat kita cerakinkan dengan sedalammnya. Jika dapat meneliti semua ini, dan kemudiannya membuat simulasi Pendapatan dan Keperluan, maka akan jelas kepada kita jurang-jurang yang mesti di atasi.
(13) Saya yakin terdapat jurang yang amat ketara antara Pendapatna ndan Keperluan masyarakat kini. Semua ini, saya berkira, adalah kerana struktur pekerjaan kita masih ditahap lama. Begitu juga bidang pendidikan dan kemahiran kita turut masih tidak sejajar dengan perubahan masa. Maka dayacipta kita juga tidak berkembang meluas sehingga kita seperti menjadi masyarakat pengguna (Consumer Nation) dan tidak mesyarakat pengeluar (Production Nation).
(14) Kerana kita sering saja melihat masalah negara dari jalur politik, maka kita tidak memberikan perhatian pada jalur Pengurusan Pembangunan. Buat saya, saya berkira, semuanya adalah kerana bila penjawat awam dan swasta juga turut hebat berpolitik, maka kita tidak punya pemikiran kedua, mencari Lebuhraya Kedua dalam menanggani pemasalahan negara.
(15) Saya berpendapat, pemimpin politik dan penjawat awam negara ini sudah kian ketandusan fikiran. Pihak swasta pula, hanyut dalam perebutan 'small economic cake'.
Kuching, Sarawak
29 April, 2011
0 comments:
Post a Comment