(Agaknya, matinya sang gorila, meninggalkan apa ya?)
Orang Melayu dulu-dulu berkata: Matinya harimau tinggalkan belang, matinya manusia tinggalkan nama. Harimau mati tinggallah kulitnya yang sangat cantik. Matinya manusia, jika ada, dia akan tetap dikenang adalah kerana perbuatannya, dan paling baik jasanya. Pengekalan dan keharuman namanya di hati masyarakat adalah kerana jasanya, bukan pada belang atau hiasan hidupnya sebagaimana sang harimau. Begitulah, betapa orang Melayu sangat menghargai mereka yang berjasa. Begitulah juga betapa budaya Melayu itu menghendaki setiap seorang dan kelompok Melayu itu agar berjasa.
(2) Pergilah ke Simanggang, pasti kita akan ada terdengar nama Kampung Dagang. Begitu juga di Miri, Kapit, Belaga (?),Limbang, dan Sarikei. Hujung minggu lepas saya ke Marudi, sejauh 20 minit menggunakan MASwing dari Miri atau selama dua jam dengan kenderaan pacuan empat roda melewati jalan tanah bengkang bengkok dan becak di mana-mana.
(3) Hadirnya nama Kampung Dagang dibanyak pekan-pekan kecil di seluruh Sarawak menunjukkan bahawa suatu ketika dahulu pengujudan penempatan Melayu di pekan-pekan ini adalah atas sifat dagang kaum itu. Apakah yang didagangkan oleh orang Melayu pada zaman dahulu sehingga mereka melelang sejauh sebegitu? Dari Sibu ke Kapit umpamanya pasti mengambil masa tidak kurang dari seminggu memudiki Batang Rajang yang deras airnya.
(4) Saya pasti orang Melayu dulu-dulu pasti berdagang ikan masin, perkasam, beras, garam, gula, minyak masak, dsb yang sukar kedapatan di kawasan pedalaman. Perlahan-lahan segala pakaian dan perkakasan dapur menyusur kemudiannya. Kerana dagang mereka agak maju, mungkin mereka kemudian membangunkan perkampungan di kawasan-kawasan tersebut.
(5) Kehadiran mereka ini di kawasan-kawasan sebegini akhirnya, mengundang pedagang Cina untuk turut berebut peluang sama, dan akhirnya mengambilalih seluruh perniagaan orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu akhirnya, kerana kalah, terus kembali kepada kerjaan asal mereka, menjadi nelayan biar hanya nelayan sungai, sebagaimana saya kira kemudiannya berlaku di Simanggang, Kapit, Belaga, Marudi, Miri dan Limbang.
(6) Kampung-kampung Dagang ini, selalunya terbina di kawasan pinggiran sungai. Di Miri, Marudi, Limbang, dan Sarikei (?)umpamanya kerana kawasan pedalaman adalah tanah gambut yang becak dan sering berair, serta kerana orang Melayu suka mandi banyak kali, serta untuk memudahkan penjagaan sampan dan perahu, rumah-rumah di kampung-kampung ini agak berasak-asak. Mereka seperti tidak berminat menerokai tanah jauh ke pedalaman.
(7) Di Kapit, Belaga, Simanggang, Bintulu, dsb dimana kawasan penempatan dibangun ditebingan cerun dan sempit, juga akhirnya memaksa mereka membina rumah-rumah berhimpit-himpit.
(8) Akhirnya kini, kerana sikap keusahawanan mereka yang tidak kental, kebanyakan Kampung-kampung Dagang ini telah menjadi seperti kampung setingan. Sifat dagang mereka terbunuh dengan asakan pembangunan. Dulu segala paya gambut dan perbukitan cerun menjadi penghambat perkembangan perkampungan mereka, kini, segala bentuk jalan dan asakan pembangunan pusat-pusat komersil seperti telah mengasak mereka agar kejebur ke sungai. Lihatlah Kampung Datu di Sibu, Kampung Dagang di Miri, Kampung Dagang di Marudi, juga Kampung dagang di Simanggang. Semuanya sudah menjadi Kampung yang bakal membangun manusia-manusia Melayu yang 'rendah diri'.
(9) Di Bintulu, Kampung Dagang lenyap terus dan kini menjadi Kampung Asyakirrin. Peduduk di sini, semuanya sudah melepaskan sifat dagang mereka, dan juga kini sudah terpenjara dalam lingkungan perdagangan yang pastinya mereka sudah tidak mampu menghambat sampai bilapun!
(10) Semangat dan budaya dagang Melayu terkubur bersama Kampung-kampung Dagang yang kian pupus di mana-mana! Namapun akhirnya tidak akan terukir di mana-mana?
Marudi, Baram
25 March, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment