(Hanya kerana mereka bisa berselindung, maka kita tidak tampak kepayahan dan gelapnya masa depan mereka)
Suatu ketika dulu, saya pernah berbual-bual dengan beberapa pegawai kanan bukan Melayu. Dalam sembang-sembang tersebut, rata-rata mereka berkata, pegawai Melayu adalah pentadbir yang hebat. Mereka akan bekerja sejujurnya. Mereka akan bekerja dengan penuh iltizam. Mereka tidak akan pilih kasih. Pegawai Melayu akan melayan siapa juga dengan sama rata. Mereka sangat saksama, bertimbang rasa, dan tegas dalam mempertahankan perkara-perkara pokok. Maka sebab itu, seperti sudah tertulis, orang Melayu menjadi pilihan utama Inggeris dan Jepun untuk menjadi pentadbir. Islam yang menjadi pegangan orang Melayu menjadikan mereka sukar untuk mangkir!
(2) Tidak dinafikan pasti ada kambing hitam, ular sawa, atau musang berbulu ayam diantaranya, namun, begitulah, sanjungan para pegawai bukan Melayu kepada para pegawai Melayu. Ini mungkin dapat kita lihat dalam kerjaya ketenteraan, kepolisan, kebombaan, perguruan, kejururawatan, perubatan, pos, perkeranian, dsb. Biar hanya mendapat gaji kecil, dengan kemudahan kerja yang bobrok sekalipun, mereka tetap taat dan jujur dalam kerjanya. Biar terpaksa tertebar ke ceruk pelusuk tanahair, tetap jiwa mereka berkhidmat dengan baik, demi negara!
(3) Juga kini, lihat saja digedung-gedung kantor moden, pasti pegawai-pegawai Melayu sanggup merah mata, kusut wajah, mengorban apa saja dalam melakar, merumus dan merencana segala apa juga bentuk dasar pentadbiran negara, negeri, daerah, dan agensi. Mereka sangat taksub menggerak negara ke persada dunia. Mereka bermatian mahu membina negara.
(4) Begitu juga bila berlaku kemelut politik, biar tidak melibatkan langsung kepentingan orang Melayu, kerana kehalusan jiwa Melayu, pasti orang Melayu akan turut ingin bermatian memperbetulkan keadaan. Lihat saja dalam kancah MCA, MIC, Gerakan, dan SUPP, pasti ada saja ada orang Melayu yang boleh menjadi 'Sai Baba'.
(5) Kehebatan orang Melayu mentadbir kini semakin terserlah. Lihat saja bila saat menyambut hari Kemerdekaan, Hari Maulidur Rasul, Kongsi Raya, Hari Penternak, Peladang dan Nelayan, perasmian apa juga, dan apa juga perayaan dan pertunjukkan, pastinya terserlah kehebatan penyusunan aturan majlis.
(6) Di kampung-kampung, perhatikan saja susunan majlis-majlis keramaian. Memang mengkagumkan siapa juga yang melihat atau turut meraikannya. dari aturan hidangan, kepada jemputan tetamu, menjurus kepada acara majlis, segalanya terususn rapi. Inilah sebenarnya didikan Islam yang mendasari jiwa Melayu, mengkehendaki setiap satunya dijalankan secara tertib dan tersusun.
(7) Saya kira, seperti juga bangsa Jepun, Korea dan Cina yang hebat seni tenunan mereka, maka orang Melayu yang punya seni ukiran, tenunan dan anyaman yang hebat. Kehebatan itu sebetulnya melambangkan kehebatan otak orang Melayu yang mampu mempermudah yang payah serta menyusahkan yang mudah. Pemikiran strategik orang Melayu, saya kira sangat hebat, sehebat tenunan songkit, ukiran cengal, ayaman mengkuang kuda kepang, kehalusan seni khat, serta lembut lintuk memukul sihat dan kuntau. Kerana itu, lihat sajalah segala dasar, strategi, perundangan, dan peraturan kita adalah sangat hebat.
(8) Cuma, saya agak terkesima, kerana kehebatan seni halus Melayu, kebanyakan adalah terladen sebagai bahan tontonan dan hadiah buat orang lain saja. Sehingga, sikap kehebatan otak kitapun, hanya kebanyakan digunakan untuk memikir dan melakukan buat kepentingan orang lain. Dalam lain kata, kehebatan otak Melayu kebanyakannya terpusat buat menjaga kepentingan orang lain, dan sangat tidak kental dalam membela kepentingan bangsa sendiri.
(9) Lihatlah dalam soal kita mengurus pembangunan negara. Di kota-kota, pasti kita sanggup berbuat apa saja demi keindahan dan kemajuan kota. Namun, jika kita melangkah sedikit ke pinggir kota, di mana terdapatnya banyak penempatan orang Melayu, pasti kita terngadah, mengundur diri, tidak bersungguh-sungguh mahu memerah otak, mebanting tulang dan bertegang leher jika perlu agar mereka ini juga perlu dibangunkan bersama, tidak terkemudian!
(10) Apa lagi dipelusuk luar bandar. Semasa kita merencana, katakan pembinaan jalan, pastinya kita biarkan saja perencanaan pembinaan jalan itu kepada pihak ketiga. Kita seperti menaruh sepenuh kepercayaan kepada pihak ketiga sehingga bila jalan terbina, baru kita sadar bahawa jalan itu terbina tidak sepenuhnya menafaatkan orang Melayu biarpun sasaranya adalah untuk kepentingan rakyatdan kebanyakan penduduknya adalah Melayu. Sememangnya, orang Melayu ada kalanya degil. Degil mereka pasti ada sebabnya. Cuma kita tidak mengerti akan 'kepentingan' mereka.
(11) Lihatlah, contoh paling dekat, jalan-jalan yang asalnya di bina di kawasan Asajaya-Sadong Jaya-Sebuyau terutama bagi perkampungan seperti Tambirat, Sebandi, Semera, Jemukan, Pendam, Sebangan, Sebuyau, dll jika diteliti betul-betul, masyarakat di sini dulunya hanya dapat melihat jalan di seberang sungai, sama keadaanya masyarakat di Kampung Bako sekarang ini.
(12) Begitulah kita, para pegawai Melayu, kita cukup berpuas hati, bila melihat statistik contohnya dalam penyediaan jalan, kita sangat berpuas hati bila melihat atau membaca lapuran yang menyatakan bahawa Kampung Tambirat, Sebandi, Semera, Jemukan, Pendam, Sebangan dsb sudah dihubungi oleh jalanraya. Kita tidak pernah mahu memeriksa, apakah jalan itu telah benar-benar sampai ke kaki tangga rumah orang-orang Melayu.
(13) Itu contoh dalam pembinaan jalan. Kalau kita lihat contoh-contoh lain seperti bekalan api, bekalan air, pendidikan, kesihatan, perumahan, pembentungan, kutipoan sampah dsb. Juga di sektor menjana pendapatan seperti perkilangan, perladangan, perikanan, dsb, segalanya, saya kira sikap kita para pegawai Melayu lebih kepada, asal buat, asal secara perangkaannya telah tercapai, maka kita pastinya boleh berpuas hati, maka sebab itulah para bijak bsitari Melayu mengeluarkan pepatah: Seperti melepas batuk ditangga.
(14) Kini, saya paling khuatir melihat gaya pegawai-pegawai muda (dan sebilangan mereka yang veteran) Melayu dalam Kerajaan, mereka sudah hilang kepekaan terhadap keperluan dan nasib masa depan masyarakat Melayu. Mereka juga seperti sudah tidak berakal mencari segala jalan bagi menampung segala kekurangan dalam perancangan dan perlaksanaan pembangunan di kawasan orang Melayu. Mereka seperti sudah menerima, sebagai takdir, susah membangunkan orang Melayu. Maka, kenapa susah-susah, kenapa mesti menyusahkan diri. Jika orang Melayu tidak hendak bangun sendiri, kenapa pula kita mesti bersusah payah membangunkan mereka?
(15) Kecapaian kita dalam pembangunan, hanyalah hiasan statistik, sama sepertinya, segala seni halus kita hanyalah sebagai tontonan yang sangat kurang menguntungkan kita.
(16) Anih dan mungkin menakjubkan, banyak orang Melayu mengkagumi manusia seperti Abdul Razak Husein dan Mahathir Muhammad. Namun, kekaguman mereka hanyalah sekadar kagum, tetapi tidakpun mengorak langkah rajin dan berani sebagai mereka. Inilah, kita, kita ada kehebatan, namun kehebatan kita hanyalah untuk menjaga kepentingan orang lain, dan tidak sesungguhnya menjaga kepentingan dan mandiri bangsa sendiri. Nota: Memang susah untuk membantu orang susah, sama susahnya untuk menempah tempat di syurga. Paling susah, bila yang susah adalah orang Islam, kerana itulah janji Allah: "....apakah sempurna Iman kamu, jika tidak aku uji....", maka pastinya, jika yang susah adalah Melayu Islam, pasti bertambah susah untuk membangunkan mereka!
(17) Saya berkira, kelemahan kita para pegawai Melayu dalam Kerajaan, tidak dapat berfikir, merencana dan terbuat yang terbaik buat bangsa kita, adalah kerana kita hanya mahu jadi pentadbir. Kita tidak mahu melangkah ke depan mengasak diri agar menjadi Penggerak Perubah Bangsa. Kita kental dengan taraf kita sebagai Sarawak Administrative Officer (SAO)!
Matang Jaya, Kuching
29 March, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment