.

5/2/11 KEYAKINAN DIRI

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - February 08, 2011

Share

& Comment


Bayangkan anak yang baru lahir. Biasanya, pasti suara pertama yang didengar adalah 'tangisan'. Tangisan pertama si anak ada tujuan biologinya yang tersendiri, terutamanya untuk membersihkan tekak dari lendir agar oksijen dapat masuk dengan baik ke rongga pernafasan. Bagi kalangan saikologi, tangisan pertama si anak, bukanlah suatu tangisan, namun adalah suara perkhabaran tentang kehadirannya. Apapun tujuannya dan maksudnya, pernahkah kita bertanya kepada diri kita, kenapa pula, pada kebiasaannya, suara pertama anak-anak bila saja lahir adalah 'tangisan'? Kenapa tidak suara tertawa, atau suara melolong, atau apa saja selain dari 'tangisan'?

(2) Bayangkan jika mereka tertawa. Pastinya akan berbeda antara satu sama lain. Apa lagi jika mereka bernyanyi. Juga kalau mereka melolong. Dalam soal suara manusia, hanya ada beberapa bunyi suara sahaja yang sama: menangis, batuk, bersih, dan berdengkor. Selain dari itu, semuanya akan berbeda. Berbeda dari segi nada dan telurnya.

(3) Tetapi, saat terlahir, anak-anak biasanya akan 'menangis'. Jika 'tangisan' kedengaran dari anak yang baru terlahir, pasti akan mengembirakan, khususnya buat siibu. Soalnya kenapa suara pertama adalah suara 'tangisan'? Adakah kerana si anak kesal dilahirkan ke dunia? Atau apa?

(4) Begitulah, Maha Anihnya Allah. Segala ciptaanNya ada mistri dan istimewanya. Pernahkah kita mahu berfikir sedalamnya bagi memahaminya?

(5) Janganlah kita terlalu mudah untuk berkata, bahawa percaya sahajalah apa yang Allah berikan dan katakan. Jika itu adalah sikap kita, maka, betapa sia-sialah Allah adakan kalbu dan otak buat kita. Kita perlulah mendalami setiap sesuatu yang Allah perkatakan, agar, dengan cara itu, bukan hanya keyakinan kita terhadapNya akan benar-benar mendalam, bahkan punya makna yang jauh lebih meluas. Yang paling utama, saya kira, kita menjadi manusia yang tahu mengunakan akal dan kata hati dengan sewajarnya agar kita dapat memperbaiki segala kelemahan kita. Tiada seorangpun dari kita adalah sempurna semutlaknya!

(6) Secara sejadi, manusia sempurna akan sama sahaja. Pasti kakinya dua, tangannya dua, hidungnya di depan, kepalanya di atas, jarinya dua puloh, dsb. Secara fizikal semua manusia adalah sama. Untuk menguatkan bahawa manusia itu sama saja, saya berkira, maka Allah jadikan tangisan semua bayi itu sama saja bunyinya. Saya pasti, Allah mahu menunjukkan kepada kita, bahawa pada asalnya, pada permulaannya, kita semua adalah sama sahaja. Tidak ada kelaian bunyi tangisan antara bayi Penan, Semang, Melayu, Jawa, Bugis, Kedazan, Iban, India, Arab, Cina, Yahudi atau Orang Barat. Tangisan bayi baiepun tetap sama. Semuannya sama.

(7) Yang membedakan setiap manusia adalah dari segi fikiran dan perasaannya. Ketinggian fikiran dan kekuatan kata hati, menjadi pengukur sebenar kepada nilai-nilai sebenarnya manusia.

(8) Ketinggian fikiran (Prof Ungku Aziz gunakan istilah minda) seseorang tergantung kepada ilmu dan kemahirannya. Ini pula tergantung kepada tahap pendidikan dan pengalamannya. Bagi mencapai ke kedudukan keilmuan dan kemahiran yang tertinggi, maka Muhammad telah berpesan agar kita terus saja belajar biar sampai ke liang lahad dan atau berjalan sehingga sampai ke negeri Cina. Ini telah diterima dengan baik dalam budaya Melayu yang termaktub dalam ungkapan: "Banyak berjalan, luas pemandangan".

(9) Bila seseorang telah mencapai keilmuan yang tinggi, maka sifat-sifat seperti: pandai, bijak, cerdik, geliga, mahir, dan pakar akan tersangkut dilehernya. Dalam istilah Melayu, bijaksana, cendikiawan, dan pakar adalah tahap mereka yang paling tinggi keilmuan dan kemahirannya.

(10) Sedang kata hati sering terkait dengan perasaan. Dalam soal perasaan, banyak bentuknya yang boleh kita perkatakan: sedih, gembira, dengki, busuk, hasad, tenang, takut, berani, malas, kecewa, dsb. Jika dilihat dari bentuk-bentuk perasaan tersebut, maka jelas, ianya boleh sangat mempengaruhi fikiran atau akal kita. Saya percaya, hanya dengan ketinggian ilmu dan kemahiran, maka segala perasaan kita akan dapat dikawal.

(11) Kali ini, biarlah saya hanya berbicara tentang perasaan berani. Yang kata-kata terbitannya menjadi keberanian. Bagi saya, sifat hati yang berani menimbulkan sifat-sifat tekun, cekal, teguh, tegap, kental, tahan, lasak, tegas, liat, degil, dsb. Sungguh banyak perilaku baik yang terbit dari sikap-sifat berani!

(12) Bayangkan, jika sifat-sifat fikiran yang bijaksana dan cerdik digabung dengan sikap perasaan berani, pasti akan membuahkan sikap yakin. Singkatnya: Yakin= bijak+ cerdik+berani. Keyakinan yang tinggi adalah kerana kebijaksanaan, kecendikiawan, dan keberanian yang tinggi.

(13) Pastinya, seorang yang yakin, selalunya akan berjaya. Maka untuk berjaya, wajarlah kita menanamkan kemahuan yang tinggi untuk terus mencungkil ilmu dan kemahiran. Keberanian mereka yang berilmu dan berkemahiran, pastinya akan membuahkan keberanian sejati. Seorang yang berani tanpa ilmu dan kemahiran pastinya akan mengundang parah sendiri.

(14) Setiap seorang dari kita, lahir dalam keadaan yang sama. Fitrah biologi kita adalah sama. Orang Melayu, Muslimin, tiada kurangnya dengan Yahudi. Cuma, Yahudi menjadi lebih baik dari Muslimin, atas dasar perbedaan sikap kita terhadap kemahuan mendongkil ilmu dan kemahiran. Begitu juga sifat berani mereka, jauh lebih dalam dari kita. Maka, siapapun, selagi kita sekadar berpuas hati atas ilmu dan kemahiran yang kita ada, pastinya, saban hari, kita tidak akan menjadi berani, tetapi kita sebaliknya semakin hari semakin kita akan merasa rendah diri. Tanpa keilmuan yang baik, biarpun kita berani sekalipun, kita akan berani sebagai seorang yang bodoh! Jika ini terjadi, pastinya suatu masa nanti kita akan hilang keyakinan.

(15) Marilah kita berusaha keras menjadi manusia berkeyakinan. Perbuatlah segalanya untuk kita mencapai punya sifat yakin. Sesungguhnya, Surah Pertama Al Quran, telah tersusun ayat-ayat yang menanamkan keyakinan, kepercayaan. Natijahnya, para cendikiawan dan bijakpandai Islam, mahu kita sedar bahawa, berkeyakinan adalah asas kepada keunggulan hidup kita ini.

Matang Jaya, Kuching, Sarawak
10 Feb., 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.